kebun kelapa sawit terbakar

1

Click here to load reader

Upload: nor-qadariah

Post on 16-Nov-2015

230 views

Category:

Documents


8 download

DESCRIPTION

thn 4

TRANSCRIPT

KEBUN KELAPA SAWIT DAN NANAS TERBAKAR

MUAR - Enam lot kebun kelapa sawit di Kampung Parit Jono berhampiran Ladang Pertubuhan Peladang Negeri Johor (PPNJ) di Batu 13, Air Hitam di sini terbakar sejak semalam.

Ini merupakan kebakaran kedua melibatkan tanah pertanian dalam tempoh tidak sampai sebulan di kawasan itu.

Pada pertengahan bulan lepas, kawasan tanaman kelapa sawit dan nanas peserta ladang PPNJ, kira-kira dua kilometer dari situ, musnah dalam kebakaran yang mengakibatkan kerugian berpuluh ribu ringgit.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Muar Ariff Jini berkata sebanyak tiga jentera bomba bersama 30 anggota bertungkus lumus memadam kebakaran sejak 9 pagi hingga 7 petang semalam, dan operasi itu masih diteruskan hari ini.

"Sehingga kini, kita berjaya memadamkan kawasan kebakaran seluas 8.9 hektar dan kita menjangka dapat memadamkan sepenuhnya dalam tempoh dua hari lagi," katanya kepada pemberita di lokasi kebakaran.

Beliau berkata pasukan bomba terpaksa membina empangan bagi menakung air di kawasan parit bersebelahan untuk memastikan bekalan mencukupi bagi kerja-kerja memadam kebakaran di tanah gambut itu.

Ariff berkata anggota bomba berdepan cabaran berikutan cuaca panas terik dan terpaksa bertugas ketika berpuasa.

Katanya, setakat ini, tiada sebarang masalah besar kecuali seorang anggota bomba cedera ringan selepas terjatuh ketika memadamkan api semalam.

Beliau turut menasihatkan orang ramai, terutama petani di kawasan tanah gambut, agar berhati-hati dan tidak melakukan pembakaran pada musim kemarau ini kerana api cepat merebak serta sukar dipadam. - Bernama