kajian tindakan 2015 skbu2

11
LAPORAN KAJIAN TINDAKAN Nama Pengkaji: ABDUL SHAFIQ BIN MD SUBAHIR Tajuk Kajian: PENGGUNAAN POKET MINI BAGI MENINGKATKAN KEFAHAMAN MURID TAHUN 4 DALAM TAJUK PERKUMUHAN MANUSIA MEREFLEK 1.1 Refleksi Pengajaran dan Pembelajaran Saya mengajar di kelas 4 Innovation bagi mata pelajaran sains. Saya telah menjalankan sesi pengajaran dan pembelajaran di bawah tajuk Perkumuhan dan Penyahtinjaan Manusia. Pada fasa penstrukturan semula idea, murid-murid perlu menyatakan maksud perkumuhan dan hasil perkumuhan yang terlibat berdasarkan teks petikan yang diberikan dalam kumpulan. Murid bekerja dalam kumpulan seramai empat sehingga lima orang. Masalah pertama yang saya kesan ialah murid-murid tidak dapat mengeluarkan maklumat penting yang terdapat dalam teks petikan tersebut. Hal ini kerana terdapat beberapa kumpulan murid yang menulis kembali semua ayat yang terdapat dalam petikan tersebut. Mereka tidak dapat mengesan apakah maksud perkumuhan dan hasil perkumuhan berdasarkan maklumat yang diberikan di dalam teks petikan. Selain itu, murid-murid juga telah memberikan jawapan yang salah bagi soalan hasil perkumuhan kerana mereka telah menulis ginjal menghasilkan air kencing sebelum dikeluarkan melalui salur kencing . Saya melihat murid-murid saya kurang menggunakan kemahiran berfikir mereka dan hanya menunggu 1

Upload: shafiq-subahir

Post on 20-Dec-2015

27 views

Category:

Documents


3 download

DESCRIPTION

Kajian Tindakan 2015 SKBU2

TRANSCRIPT

Page 1: Kajian Tindakan 2015 SKBU2

LAPORAN KAJIAN TINDAKAN

Nama Pengkaji: ABDUL SHAFIQ BIN MD SUBAHIR

Tajuk Kajian: PENGGUNAAN POKET MINI BAGI MENINGKATKAN KEFAHAMAN MURID TAHUN 4 DALAM TAJUK PERKUMUHAN MANUSIA

MEREFLEK

1.1 Refleksi Pengajaran dan Pembelajaran

Saya mengajar di kelas 4 Innovation bagi mata pelajaran sains. Saya telah

menjalankan sesi pengajaran dan pembelajaran di bawah tajuk Perkumuhan dan

Penyahtinjaan Manusia. Pada fasa penstrukturan semula idea, murid-murid perlu

menyatakan maksud perkumuhan dan hasil perkumuhan yang terlibat berdasarkan

teks petikan yang diberikan dalam kumpulan. Murid bekerja dalam kumpulan

seramai empat sehingga lima orang. Masalah pertama yang saya kesan ialah murid-

murid tidak dapat mengeluarkan maklumat penting yang terdapat dalam teks

petikan tersebut. Hal ini kerana terdapat beberapa kumpulan murid yang menulis

kembali semua ayat yang terdapat dalam petikan tersebut. Mereka tidak dapat

mengesan apakah maksud perkumuhan dan hasil perkumuhan berdasarkan

maklumat yang diberikan di dalam teks petikan.

Selain itu, murid-murid juga telah memberikan jawapan yang salah bagi soalan

hasil perkumuhan kerana mereka telah menulis “ginjal menghasilkan air kencing

sebelum dikeluarkan melalui salur kencing”. Saya melihat murid-murid saya kurang

menggunakan kemahiran berfikir mereka dan hanya menunggu jawapan daripada

guru sahaja. Tambahan pula mereka tidak mempunyai kemahiran untuk

memindahkan maklumat penting apabila menjawab soalan yang diberikan.

1

Page 2: Kajian Tindakan 2015 SKBU2

Contohnya, apabila saya meminta mereka untuk menyatakan maksud perkumuhan

berdasarkan maklumat yang terdapat dalam teks petikan mereka tidak menulis

“perkumuhan ialah proses penyingkiran bahan buangan daripada badan” tetapi

mereka telah menulis “perkumuhan sangat penting kepada kita” ke dalam

pengurusan grafik yang telah saya sediakan. Kegagalan murid untuk menguasai topik

tersebut kerana topik tersebut melibatkan banyak fakta dan memerlukan pembacaan

serta meneliti maklumat dengan betul.

Oleh itu, berdasarkan masalah tersebut, saya sedar bahawa masalah ini tidak

boleh dibiarkan berlarutan memandangkan murid-murid saya mempunyai potensi

untuk menguasai isi pelajaran Sains sekiranya menggunakan pendekatan dan kaedah

yang betul. Jadi, saya cuba mengatasi masalah murid di atas dengan cara

menggunakan kaedah “Poket Mini” iaitu murid dibekalkan dengan kad warna bersaiz

kecil yang berbentuk seperti peta minda.

1.2 Fokus Kajian

Berdasarkan catatan refleksi yang dilakukan, saya telah meninjau masalah murid

melalui tingkah laku murid di bilik darjah ketika mengajar topik proses perkumuhan

manusia. Ketika mengajar topik tersebut, saya mendapati bahawa hampir

keseluruhan kumpulan tidak dapat menyatakan maksud perkumuhan dan organ

perkumuhan dengan betul apabila mereka menjalankan aktiviti kumpulan iaitu

mengeluarkan maksud perkumuhan dan organ perkumuhan berdasarkan petikan teks

yang diberikan.

Masalah ini dapat dikesan apabila saya meminta murid untuk

mempersembahkan hasil tugasan kumpulan mereka di hadapan kelas dan saya dapati

daripada tujuh kumpulan hanya satu kumpulan sahaja dapat menyatakan maksud

2

Page 3: Kajian Tindakan 2015 SKBU2

perkumuhan dan organ perkumuhan dengan tepat manakala enam kumpulan lain

tidak dapat menyatakan maksud perkumuhan dan organ perkumuhan dengan tepat.

Selain itu, saya juga telah menyemak lembaran kerja yang dibuat oleh

mereka. Berdasarkan penyemakan dokumen lembaran kerja mereka saya mendapati

bahawa mereka tidak dapat menjawab soalan maksud perkumuhan dengan betul dan

menyatakan organ serta hasil perkumuhan dengan betul seperti contoh Rajah 1.

Selain itu, saya juga telah menemu bual dua orang murid secara rawak untuk

menguji kefahaman mereka tentang topik perkumuhan seperti maksud perkumuhan,

organ perkumuhan dan hasil perkumuhan. Temu bual dijalankan selepas sesi

pengajaran dan pembelajaran dijalankan. Berikut merupakan sedutan daripada

transkripsi temu bual dua orang murid tersebut.

i. Sedutan transkripsi temu bual murid 1 :

Guru : Apakah perasaan anda ketika menjalankan aktiviti kumpulan sebentar tadi?

Murid : Seronok cikgu.

Guru : Apa yang membuatkan kamu berasa seronok? Susah atau mudah tugasan

yang cikgu beri?

3

Rajah 1 Contoh kesalahan murid menyatakan maksud perkumuhan dan organ perkumuhan serta hasil perkumuhan

Page 4: Kajian Tindakan 2015 SKBU2

Murid : Seronok sebab ada teka teki organ..tapi..hmm susahla cikgu tugasan tu...tak

tau mana satu organ perkumuhan( jawapan susah yang diberikan oleh murid

membuktikan mereka tidak dapat menyenaraikan organ perkumuhan dengan

baik).

Guru : Kenapa kamu cakap susah? Cikgu dah bagi petunjuk dalam teka teki kan dan

semua maklumat ada dalam petikan.

Murid : Saya tak tau nak tulis maksud dia..tak tau yang mana satu maksud

perkumuhan. Saya keliru dengan gambar organ yang cikgu bagi.

Guru : Baiklah..cuba kamu nyatakan maksud perkumuhan selepas kamu baca dalam

petikan tadi.

Murid : Hmm.. perkumuhan ialah bahan buangan.

(Jawapan murid tentang maksud perkumuhan ialah bahan buangan menunjukkan

murid tidak dapat menyatakan maksud perkumuhan dengan lengkap kerana mereka

hanya menghafal tanpa memahami isi pelajaran tersebut.)

ii. Sedutan transkripsi temu bual murid 2 :

Guru : Cuba nyatakan organ perkumuhan yang kamu pelajari setelah menjalankan

aktiviti teka teki organ tadi?

Murid : Ada empat ke tiga cikgu...saya tak tau...

Guru : Tak pa..kamu senaraikan organ perkumuhan apa yang kamu tau..

Murid : Ginjal, jantung, kulit.

(Murid keliru untuk menyatakan organ perkumuhan kerana terdapat pengganggu

organ lain seperti jantung ketika mereka menjalankan aktiviti hand’s on).

4

Page 5: Kajian Tindakan 2015 SKBU2

Setelah menganalisis transkrip temu bual tiga orang murid tersebut, saya

telah mengenal pasti bahawa murid mengalami kesukaran untuk menjawab soalan

yang diberikan kerana murid kurang menguasai tajuk perkumuhan dengan baik

seperti mereka tidak dapat menyatakan maksud perkumuhan dan organ serta hasil

perkumuhan dengan betul. Selain itu, saya mendapati murid tidak dapat

mengeluarkan maklumat yang telah mereka pelajari dengan baik kerana mereka tidak

memahami isi pelajaran tersebut dengan baik. Oleh sebab itu, walaupun saya

mengajukan soalan aras pengetahuan seperti maksud perkumuhan mereka masih

tidak dapat menjawab soalan tersebut dengan betul.

Sekiranya murid tidak menguasai konsep proses hidup manusia seperti

perkumuhan dan penyahtinjaan, murid akan mengalami masalah untuk menguasai

konsep tersebut pada tahun 5 dan 6 kerana topik ini mempunyai kesinambungan

dengan topik yang akan dipelajari pada tahun berikutnya dan apabila mereka ingin

menyambung pengajian di sekolah menengah dan pusat pengajian tinggi.

Kajian saya ini bertujuan untuk meningkatkan kefahaman murid dalam tajuk

proses perkumuhan manusia dengan menggunakan peta pengurusan grafik yang

dikenali sebagai kaedah ‘Poket Mini’. Kumpulan sasaran bagi kajian ini ialah 2

orang murid Tahun 4 Innovation.

5

Page 6: Kajian Tindakan 2015 SKBU2

MERANCANG

Saya telah merancang kaedah penggunaan ‘Poket Mini’ kepada murid tahun empat

bagi membantu mereka memahami topik Perkumuhan Manusia dengan mudah. Saya

telah merancang satu sesi pengajaran dan pembelajaran yang lengkap berdasarkan

model konstruktivisme iaitu lima fasa Needham untuk mengaplikasikan kaedah

penggunaan ‘Poket Mini’. Justeru, fasa Needham yang telah dipilih bagi

mengaplikasikan kaedah tersebut adalah pada fasa penstrukturan semula idea. Di

samping itu, instrumen kajian yang akan digunakan bagi mengumpul data tentang

penggunaan ‘Poket Mini’ adalah ujian dan temu bual.

Saya telah memilih warna yang panas bagi gabungan kad tersebut kerana ia

mampu mengaktifkan otak atau minda manusia yang melihatnya. Jadi, sekiranya

guru menggunakan bahan bantu mengajar yang berwarna , murid mampu memahami

sesuatu maklumat dengan mudah kerana daya ingatan mereka mampu menyimpan

maklumat dalam tempoh masa yang lebih lama. Justeru, pembelajaran akan menjadi

mudah kerana murid dapat melakukan pemikiran secara aktif dengan penggunaan

warna pada kad. Saiz setiap kad juga dipotong dengan saiz yang sederhana kecil

supaya murid boleh mengurus kad tersebut dengan mudah dan baik.

6

Page 7: Kajian Tindakan 2015 SKBU2

BERTINDAK

Pada fasa penstrukturan semula idea, saya telah menerangkan terlebih dahulu

tentang penggunaan ‘Poket Mini’ kepada murid. Murid telah diberikan teks

berkenaan maklumat berkaitan dengan proses perkumuhan manusia. Murid diminta

untuk mengeluarkan isi-isi penting yang terdapat dalam teks tersebut mengikut kad

yang telah diberikan iaitu maksud perkumuhan, organ dan hasil perkumuhan serta

kata kunci perkumuhan.

Setiap murid diberikan satu set ‘Poket Mini’. Ini bertujuan untuk

menyediakan peluang yang lebih besar kepada murid untuk melibatkan diri secara

aktif dalam proses pdp. Proses pencarian maklumat dijalankan di dalam kumpulan

secara perbincangan bagi menerapkan sikap kerjasama dan tolong menolong semasa

memahami maklumat tersebut. Jadi, kefahaman murid dapat dibina secara

berperingkat apabila mereka menjalankan perbincangan dalam kumpulan dengan

memindahkan maklumat yang difahami oleh mereka ke dalam ‘Poket Mini’ tersebut.

Setelah itu, guru akan meminta wakil kumpulan untuk membentangkan

maklumat yang mereka pindahkan ke dalam ‘Poket Mini’. Guru bersoal jawab

dengan murid bagi menguji kefahaman murid tentang topik tersebut. Dengan itu,

kefahaman murid dapat dibina apabila mereka memahami

maklumat yang ditulis oleh mereka pada ‘Poket Mini’ dengan

menjawab soalan lisan yang diutarakan oleh guru.

Setelah murid menggunakan ‘Poket Mini’ dalam sesi pengajaran dan

pembelajaran, saya telah menjalankan ujian bagi menguji kefahaman mereka

terhadap topik tersebut. Item soalan yang dibina adalah berdasarkan subtopik yang

mereka pelajari iaitu maksud perkumuhan, organ dan hasil perkumuhan serta

kepentingan perkumuhan. Ketika murid menggunakan ‘Poket Mini’ tersebut, saya

7

Page 8: Kajian Tindakan 2015 SKBU2

dapati murid berasa teruja kerana diberikan gabungan kad yang terdiri daripada

pelbagai warna.

Setelah mengumpul data-data daripada tindakan yang dilaksanakan,

penggunaan ‘Poket Mini’ telah memberikan kesan yang positif kepada murid. Murid

dapat menjawab soalan dengan baik apabila sesi temu bual dijalankan. Keputusan

ujian yang dijalankan juga menunjukkan terdapat peningkatan daripada ujian yang

dijalankan sebelum intervensi. Penggunaan ‘Poket Mini’ dapat membantu murid

meningkatkan kefahaman mereka dalam tajuk perkumuhan manusia.

8

Rajah 2 Kesalahan murid menjawab cara perkumuhan melalui peparu

Page 9: Kajian Tindakan 2015 SKBU2

PEMERHATIAN

Hasil dapatan kajian ini telah menunjukkan peningkatan peratusan gred Ujian bagi

kumpulan sasaran selepas menggunakan ‘Poket Mini’ . Peningkatan gred Ujian ini

juga membuktikan bahawa murid telah berjaya memahami topik Perkumuhan selepas

menggunakan ‘Poket Mini’ kerana murid dapat menjawab soalan dalam ujian

tersebut. Subtopik yang diuji ialah maksud perkumuhan, organ dan hasil

perkumuhan serta kepentingan perkumuhan kepada manusia. Hal ini menunjukkan

penggunaan peta konsep berkesan dalam meningkatkan pencapaian pelajar.

Oleh itu, penggunaan ‘Poket Mini’ mempunyai kekuatan untuk membantu

murid memahami konsep Perkumuhan. Hal ini disebabkan kekuatan ‘Poket Mini’

yang menggunakan konsep seperti peta minda dan memberi peluang kepada murid

untuk mengeluarkan maklumat atau fakta penting yang perlu diketahui oleh mereka

di atas ‘Poket Mini’ tersebut. Kemahiran membuat nota melalui peta minda adalah

salah satu cara belajar yang cekap.

Penggunaan ‘Poket Mini’ yang berkonsepkan peta minda dalam pengajaran

dan pembelajaran Sains memberi kesan positif dalam membantu meningkatkan

pencapaian murid. Kesan positif penggunaan “Poket Mini” juga dapat dilihat hasil

dapatan temu bual bersama tiga orang murid. Hasil analisis deskriptif temu bual guru

bersama murid menunjukkan penggunaan “Poket Mini” telah membantu murid untuk

meningkatkan kefahaman mereka dalam topik “Perkumuhan Manusia” kerana

mereka dapat menjawab soalan kefahaman yang diberikan secara lisan seperti

menyatakan maksud perkumuhan dan kepentingan perkumuhan kepada manusia.

9

Page 10: Kajian Tindakan 2015 SKBU2

Selain itu, persepsi murid terhadap penggunaan “Poket Mini” adalah positif

kerana terdapat beberapa gabungan kad yang pelbagai warna dan terdapat pecahan

subtopik bagi memudahkan murid untuk mengulangkaji semula bahan tersebut.

Dalam tempoh pelaksanaan kajian tindakan ini, murid telah memberikan

kerjasama yang sepenuhnya kepada saya. Mereka sentiasa mendengar arahan saya

dan memberi perhatian ketika sesi penerangan diberikan dalam proses pengajaran

dan pembelajaran. Sikap murid yang baik juga menyebabkan sesi intervensi berjalan

dengan mudah dan lancar. Oleh itu, saya juga mudah untuk mengawal aktiviti

pengarajan dan pembelajaran kerana kumpulan sasaran saya melibatkan keseluruhan

murid di dalam kelas tersebut.

Setelah memilih kaedah yang ingin digunakan , saya telah mengaplikasikan

kaedah tersebut dalam sesi pengajaran dan pembelajaran. ‘Poket Mini’ ini telah

membantu murid untuk memahami tajuk perkumuhan dengan baik setelah kaedah

tersebut diperkenalkan. Semua murid terlibat secara langsung ketika kaedah tersebut

dijalankan. Mereka telah menjalankan aktiviti dengan membina ‘Poket Mini’

tersebut dengan cara mencantumkan kad-kad berwarna menggunakan tali hijau.

Murid juga diminta untuk berbincang di dalam kumpulan masing-masing bagi

menentukan maklumat atau fakta yang mereka perlu pelajari ke dalam ‘Poket Mini’

tersebut.

Berdasarkan kajian yang saya jalankan, saya telah menggunakan ‘Poket

Mini’ dalam satu topik pengajaran sahaja iaitu topik “Perkumuhan Manusia” bagi

tahun 4. Oleh itu, penambahbaikan yang boleh dijalankan ialah guru boleh

menggunakan ‘Poket Mini’ dalam sesi pengajaran dan pembelajaran topik lain yang

melibatkan fakta atau konsep Sains yang banyak dan memerlukan murid

menggunakan aras kefahaman mereka bagi menguasai topik tersebut.

10

Page 11: Kajian Tindakan 2015 SKBU2

11