jurnal reflektif minggu 1 (praktikum fasa2)

Upload: ct-norzaidah

Post on 29-Feb-2016

203 views

Category:

Documents


3 download

DESCRIPTION

IPGKTB

TRANSCRIPT

JURNAL REFLEKTIF MINGGU 1(27 JULAI 31 JULAI 2015)

Saya berasa sungguh bersyukur kerana saya berjaya melalui minggu pertama praktikum. Minggu pertama di SK Batu Kawan, banyak perkara yang kami dapatkan dan pelajari mengenai SK Batu Kawan. Pada hari pertama, kami telah melaporkan diri di pejabat sekolah, kemudian mengikuti perhimpunan mingguan. Sekolah ini sangat mementingkan nilai murni. Buktinya ketika perhimpunan mingguan, salah seorang gurunya telah bercerita mengenai nilai hormat-menghormati. Penerimaan baik yang diberikan oleh sekolah juga menjadikan saya dan rakan-rakan yang lain rasa dihargai. Selepas perhimpunan, saya telah menghadiri taklimat bersama pihak pentadbiran iaitu guru besar, guru penolong kanan kurikulum, guru penolong kanan kokurikulum dan guru hal ehwal murid. Guru Besar SK Batu Kawan iaitu En. Mohd Hasli Bin Mat Hasan berharap saya dan rakan-rakan yang lain dapat menimba pengalaman di SK Batu Kawan. Selain itu, beliau juga mengingatkan supaya tidak membawa cerita yang tidak baik mengenai SK Batu Kawan. Taklimat yang seterusnya pula diberikan oleh En. Mohd Shukri Bin Awang Yahya selaku Guru Penolong Kanan Kurikulum. Beliau memberitahu supaya kami membina hubungan yang baik dengan komuniti sekolah. Seterusnya pula taklimat mengenai hal ehwal murid oleh Pn. Norlia Binti Mohd Shahari. Puan Norlia telah mengingatkan kami supaya tidak mengenakan denda yang boleh mencederakan murid. En. Mohamad Azmi Bin Abu Bakar selaku Guru Penolong Kanan Kokurikulum pula menceritakan mengenai perkara-perkara yang perlu kami lakukan sepanjang praktikum serta mengenai bidang kokurikulum. Harapan mereka semua ialah kami dapat belajar banyak perkara baru di sini. Sepanjang seminggu di sekolah ini, saya mendapati budaya pembelajaran di sekolah ini agak baik. Kebanyakan murid-muridnya tidaklah terlalu nakal. Setiap darjah di sini mempunyai empat kelas. Setiap kelas mempunyai tahap pembelajaran yang berbeza. Dari segi komuniti sekolah pula, guru-guru di SK Batu Kawan sangat komited dengan kerjaya dan merupakan komuniti guru yang mesra. Walaupun baru seminggu di sekolah ini, namun kami merasakan kehadiran kami sangat diterima. Kami berharap dapat menjalinkan hubungan yang sangat mesra dengan guru-guru. Sepanjang minggu ini, saya telah mengambil peluang untuk mengenali guru-guru dan melihat persekitaran sekolah. Dai segi infrastruktur sekolah, sekolah ini merupakan antara sekolah yang baru dibina. Oleh itu, bangunan masih elok. Namun begitu, bilangan murid yang ramai telah menyebabkan setiap kelas mempunyai purata 35 hingga ke 37 orang setiap kelas. Dari segi kemudahan yang lain, sekolah ini agak lengkap.Seterusnya, melihat kepada budaya pembelajaran di sekolah ini pula, murid-murid mempunyai latar belakang yang berbeza. Terdapat sesetengah murid yang berasal dari keluarga yang sederhana dan ada juga yang kaya. Kebanyakan murid di sini merupakan anak pekerja kilang, pensyarah dan guru. Oleh itu, pendidikan awal yang diterima mereka juga sudah tentu berbeza. Selanjutnya, tinjauan saya pula mengenai subjek yang bakal saya ajari iaitu Sejarah dan Pendidikan Jasmani. Hampir separuh murid tidak meminati subjek Sejarah kerana menganggap subjek Sejarah membosankan kerana hanya mengingat fakta dan membaca cerita. Oleh itu, pandangan murid mengenai subjek Sejarah menjadi satu cabaran buat saya. Berbanding kepada subjek Pendidikan Jasmani, murid sangat meminati subjek Pendidikan Jasmani. Oleh itu, dari segi minat murid saya mungkin tidak menghadapi sebarang masalah, namun dari segi kawalan murid saya perlulah lebih mempelajarinya. Kesimpulannya, minggu pertama di SK Batu Kawan berjalan dengan lancar dan baik. Saya berharap minggu-minggu yang seterusnya juga begitu. Semoga urusan praktikum kali ini dipermudahkan.