jurnal al jahiz.doc

30
Metode al Jahiz ( C Amr bin Bahr) Dalam Penulisan al-Hayawan: Satu Tinjauan Ringkas. Zamri Arifin Abdullah Hassan Abstrak Makalah ini bertujuan meneliti secara ringkas metode al Jahiz ( C Amr bin Bahr) dalam penulisan al Hayawan. Kajian meliputi latarbelakang dan riwayat hidup beliau pada zaman kerajaan Abbasiyyah. Penulis mengutarakan beberapa pendapat mengenai tarikh kelahiran, pendidikan, ketokohan dan sumbangan beliau dalam bidang sastera dan genre penulisan khususnya. Perbincangan juga tertumpu mengenai al Hayawan, antara karya beliau yang paling terkenal, mengandungi tujuh jilid yang ditulis lebih bercorak sains–samaran (Quasi–saintifik). Penulis cuba mengenengahkan beberapa pendekatan yang digunakan oleh al Jahiz dalam penulisan karya ini dari pelbagai sudut bahasa dan gayabahasa. Antara yang menarik adalah penggunaan metode al Istitrad, satu–satunya metode tersendiri yang ada pada penulisan beliau yang menjadikannya antara penulis handalan dalam sejarah kesusasteraan Arab. Kajian sepintas lalu ini diharap dapat membuka laluan kepada kajian yang lebih mendalam dan empirikal dalam bidang kesusasteraan Arab khususnya dalam bidang penulisan. Pengenalan Kerajaan Abbasiyyah (132 – 656 H/656 – 1258 M) merupakan Khilafah Islamiyyah yang ketiga selepas kewujudan Khulafa’

Upload: zaihassirazainuddin

Post on 09-Feb-2016

52 views

Category:

Documents


9 download

TRANSCRIPT

Page 1: Jurnal al Jahiz.doc

Metode al Jahiz (CAmr bin Bahr) Dalam Penulisan

al-Hayawan: Satu Tinjauan Ringkas.

Zamri Arifin

Abdullah Hassan

Abstrak

Makalah ini bertujuan meneliti secara ringkas metode al Jahiz (CAmr bin

Bahr) dalam penulisan al Hayawan. Kajian meliputi latarbelakang dan

riwayat hidup beliau pada zaman kerajaan Abbasiyyah. Penulis mengutarakan

beberapa pendapat mengenai tarikh kelahiran, pendidikan, ketokohan dan

sumbangan beliau dalam bidang sastera dan genre penulisan khususnya.

Perbincangan juga tertumpu mengenai al Hayawan, antara karya beliau yang

paling terkenal, mengandungi tujuh jilid yang ditulis lebih bercorak sains–

samaran (Quasi–saintifik). Penulis cuba mengenengahkan beberapa

pendekatan yang digunakan oleh al Jahiz dalam penulisan karya ini dari

pelbagai sudut bahasa dan gayabahasa. Antara yang menarik adalah

penggunaan metode al Istitrad, satu–satunya metode tersendiri yang ada pada

penulisan beliau yang menjadikannya antara penulis handalan dalam sejarah

kesusasteraan Arab. Kajian sepintas lalu ini diharap dapat membuka laluan

kepada kajian yang lebih mendalam dan empirikal dalam bidang

kesusasteraan Arab khususnya dalam bidang penulisan.

Pengenalan

Kerajaan Abbasiyyah (132 – 656 H/656 – 1258 M) merupakan Khilafah Islamiyyah

yang ketiga selepas kewujudan Khulafa’ al Rashidin (11 – 40 H/660 – 749 M) dan

Khilafah Umayyah (40 – 132 H/660 – 749 M) (Ismail Bakar, 1997). Kerajaan ini

diperintah oleh 37 orang khalifah yang dimulai dengan Abu al CAbbas al Saffah dan

diakhiri oleh khalifah Abu CAbdullah al MustaCsim (Muir, 1898). Al Siba’i (1953)

telah membahagikan pemerintahan kerajaan ini kepada empat tahap;

1). Zaman Keemasan yang bermula dari tahun 132 H/749 M hingga tahun 232

H/846 M.

Page 2: Jurnal al Jahiz.doc

2). Peringkat kekuasaan pengaruh Turki dari tahun 232 H hingga terdirinya

kerajaan bani Buwayh pada tahun 334 H.

3). Peringkat kekuasaan bani Buwayh dari tahun 334 H hingga bermulanya

penguasaan keturunan Saljuq dari Turki pada tahun 447 H.

4). Peringkat penguasaan bani Saljuq pada tahun 429 H hingga

kejatuhan kota Baghdad akibat serangan orang – orang Tartar pada

tahun 656 H (al Siba’i, 1953).

Zaman pemerintahan kerajaan Abbasiyyah memperlihat pelbagai perubahan

dan perkembangan dalam segala bidang yang mencakupi politik, ekonomi, sosial,

pemikiran, ilmu pengetahuan dan peradaban. Namun begitu, perubahan dari segi

peradaban dan keintelektualan lebih memainkan peranan dalam sejarah kerajaan

Abbasiyyah. Sesetengah pengkaji menganggap bahawa zaman ini merupakan zaman

keemasan (al Casr al dhahabi) di dalam sejarah tamadun Islam.

Kegiatan penulisan merupakan antara aktiviti keilmuan yang berkembang pesat

pada zaman Abbasiyyah. Penulisan sebenarnya telah bermula sejak munculnya agama

Islam, namun ia berada pada tahap sederhana. Penulisan boleh dibahagikan kepada dua

bahagian iaitu penulisan kreatif dan penulisan bukan kreatif (non–kreatif) atau

penulisan yang bercirikan ilmiah.

Penulisan kreatif ialah penulisan yang dilahirkan melalui gambaran–gambaran

bahasa yang indah, perkataan yang terpilih, gayabahasa yang menarik dan

mempesonakan serta menambat hati pembaca untuk menghayati perasaan serta

pengalaman yang dialami oleh penulis sama ada suka, duka, bangga dan simpati. Ia

bertujuan memberi pendedahan kepada nilai – nilai murni seperti pengajaran, nasihat,

ingatan dan sebagainya.

Penulisan non–kreatif pula merujuk kepada penulisan bercorak ilmiah dan

mengandungi unsur keilmuan yang ditulis menggunakan gayabahasa biasa dan tidak

terpengaruh dengan unsur–unsur imaginasi dan bahasa yang berbunga–bunga

(Muhammad Nabih, 1973). Bagi setiap bahagian penulisan, terdapat tokoh–tokoh

tertentu yang mempeloporinya seperti CAbd al Hamid al Katib (m. 132 H), tokoh

2

Page 3: Jurnal al Jahiz.doc

penulis kreatif pada akhir pemerintahan kerajaan Umayyah. Beliau menggunakan

teknik, gayabahasa yang indah dan menarik untuk mengalih perhatian pembaca. Beliau

dianggap sebagai pengasas kepada pelbagai prinsip dan kaedah penulisan kreatif (Ibn

Khallikan, 1968).

Al Siba’i dalam pembahagiannya mengenai peringkat pemerintahan kerajaan

Abbasiyyah telah menetapkan bagi setiap peringkat tokoh–tokoh penulis yang

menonjol dan mempelopori bidang penulisan. Tokoh penulis di peringkat pertama

ialah CAbdullah Ibn al MuqaffaC (m. 145 H). CAmr Ibn Bahr al Jahiz (m. 255 H), tokoh

penulis pada peringkat kedua, Abu al Fadl Muhammad Ibn al CAmid (m. 360 H) pada

peringkat ketiga dan Abu Muhammad al Qasim Ibn Hariri (m. 516 H) pada peringkat

keempat (Al Siba’i, 1953).

Riwayat Hidup al Jahiz

Nama, Kunyah dan Gelaran

Al Jahiz atau nama sebenarnya ialah CAmr bin Bahr bin Mahbub bin Fazarah al Kinani

al Laythi (Ibn Khallikan, 1968). Menurut Yaqut al Hamawi (1936), nama beliau ialah CAmr bin Bahr bin Mahbub bin Fazarah, mawla kepada Abu al Qalammas CAmr bin

QalC al Kinani al Fuqaymi. Tiada maklumat tentang latarbelakang kedua ibubapanya

kecuali pendapat Hutayt (1987) yang mendakwa bapa al Jahiz, Bahr bin Mahbub

meninggal dunia sewaktu beliau masih kecil. Beliau dikenali dengan beberapa gelaran

seperti Abu CUthman, al Jahiz dan al Hadaqi (The Encyclopaedia of Islam, 1965). Al

Jahiz merupakan gelaran yang paling terkenal sekali kerana ia membawa maksud

“yang tersembul biji matanya” sesuai dengan perwatakan al Jahiz yang dikatakan

tidak berapa elok terutama matanya yang agak terjojol keluar. Gelaran al Jahiz (

جحوظا , ) diambil dari kata kerja ( الجاحظ yang bererti “terkeluar, besar atau ( جحظ

tersembul biji matanya” manakala kalimah ( الجاحظ ) merupakan kata pelaku

bermaksud “yang tersembul biji matanya” (Butrus al Bustani, 1987). Selain itu, al

Jahiz juga digelar al Basri kerana dinisbahkan kepada tempat lahirnya di Basrah

(CUmar Rida Kahhalah, 1957). Gelaran al MuCtazili pula diperolehi kerana al Jahiz

merupakan pendukung utama fahaman MuCtazilah. Beliau mempunyai pandangan

yang tersendiri di dalam cabang MuCtazilah yang dinamakan al Jahiziyyah (Al Zirekli,

1969).

3

Page 4: Jurnal al Jahiz.doc

Kelahiran dan Keluarga al Jahiz

Para pengkaji berselisih pendapat mengenai tarikh lahir al Jahiz yang sebenarnya.

Menurut al Zirekli (1969), al Jahiz dilahirkan pada tahun 163 H/255 M. Pellat (1969)

berpendapat beliau lahir pada sekitar tahun 160 H/776–777 M, iaitu zaman

kegemilangan kota Basrah. Namun Pellat sendiri mengakui maklumat yang sedia ada

terlalu kabur dan banyak percanggahannya (Pellat, 1969).

Yaqut al Hamawi (1936) dalam MuCjam al udaba’ menceritakan bahawa al

Jahiz mendakwa beliau berusia setahun lebih tua daripada al Hassan bin Hani’ atau

Abu Nuwwas (m. 195 H) kerana beliau lahir pada awal tahun 150 H manakala Abu

Nuwwas pula dilahirkan pada akhir tahun 150 H. Brockelmann (1968), seorang lagi

sarjana barat bersependapat dengan al Hamawi. Pendapat lain diutarakan oleh Shawqi

Dayf (1965) mengatakan bahawa al Jahiz dilahirkan pada tahun 159 H. walaupun

terdapat pelbagai pendapat mengenai tarikh lahir beliau, namun hampir semua

pengkaji bersependapat tentang tempat lahir al Jahiz iaitu di Basrah (Muhammad CAbd

al MunCim Khafaji, 1973).

Percanggahan pendapat juga berlaku mengenai keturunan al Jahiz. Secara

umumnya pendapat ini dapat dibahagikan kepada dua asas utama. Pendapat pertama

mengatakan bahawa al Jahiz berasal dari keturunan Arab tulen dari bani Kinanah (Al

Hamawi, 1936). Pendapat kedua mendakwa al Jahiz berasal dari keturunan bukan Arab

tulen juga dikemukakan oleh al Hamawi (1936) dengan memetik kata–kata Yamut al

MuzarraC (anak saudara al Jahiz dari sebelah ibu) yang meriwayatkan bahawa datuk al

Jahiz, iaitu Fazarah seorang kulit hitam yang bekerja sebagai penjaga unta kepada Abu

al Qalammas CAmr bin QalC al Kinani al Fuqaymi.

Kehidupan al Jahiz

Abu CUthman CAmr bin Bahr al Jahiz dilahirkan pada tahun 150 H di kota Basrah, kira

– kira 420 km dari kota Baghdad. Beliau menghabiskan sepanjang hayatnya di sini

kecuali beberapa tahun beliau keluar merantau ke negara lain seperti Dimashq,

4

Page 5: Jurnal al Jahiz.doc

Antokiyyah dan Samarra’. Tiada sebarang maklumat bahawa al Jahiz pernah

berkunjung ke Mekah menunaikan haji (CUmar Farrukh, 1975).

Al Jahiz merupakan seorang tokoh penulis, sasterawan dan ahli teologi yang

terkenal pada zaman Abbasiyyah. Kota Basrah pada masa tersebut terkenal sebagai

tempat lahir dan berkembangnya pelbagai ilmu dan kebudayaan. Di sini juga

tumbuhnya ilmu nahw dan munculnya tokoh–tokoh bahasa serta berkembangnya

bidang kesusasteraaan dan ilmu pengetahuan. Al Jahiz sebelum muncul sebagai tokoh

penulis terkenal telah melalui pelbagai proses pendidikan dan pembelajaran dengan

pelbagai ilmuan terkenal sama ada di Basrah atau di luarnya.

Pendidikan awal al Jahiz dapat dikesan di Kuttab, iaitu sebuah tempat

permulaan kanak–kanak belajar di dalam sistem pendidikan Islam tradisional dan

biasanya di sini mereka diajar membaca al Qur’an, membaca, menulis dan menghafal

puisi–puisi Arab (Al Jahiz, t.th). Beliau turut berkunjung ke masjid–masjid di Basrah

untuk menyertai pelbagai majlis ilmu dan halaqah serta mengikuti syarahan dan

ceramah para ulama’ bersama–sama golongan al Masjidiyyun (Pellat, 1969). Al Jahiz

rajin membaca kerana beliau begitu berminat dengan buku dan ilmu pengetahuan.

Beliau sering mengunjungi kedai–kedai buku sehingga kadang–kadang terpaksa

menyewa dan bermalam di dalamnya semata–mata ingin membaca buku yang

tersimpan di situ (InCam al Jundi, 1967).

Selain itu, al Jahiz juga sering mendampingi para ilmuan dan sasterawan

terkenal untuk mempelajari segala ilmu berkaitan bahasa dan puisi Arab. Antara yang

banyak memberi sumbangan serta meninggalkan pengaruh yang besar dalam dirinya

ialah Abu CUbaydah (m. 210 H), al AsmaCi (m. 216 H) dan Abu Zayd al Ansari (m.

214 H). Mereka merupakan ahli filologi dan sarjana Arab yang bertanggungjawab

meletakkan asas–asas pembelajaran kepada al Jahiz. Beliau juga mempelajari nahw di

bawah Abu al Hasan al Akhfash (m. 221 H), al Hadith dengan Abu Yusuf al Qadi

(m.182 h) dan ilmu kalam (teologi) daripada Thumamah bin Ashras (m. 213 H) dan

Ibrahim bin Sayyar al Nazzam (m. 221 H) (Pellat, 1969). Khafaji (1973) telah

memperincikan senarai guru al Jahiz ketika di Basrah dan Kufah dalam pelbagai

disiplin ilmu.

5

Page 6: Jurnal al Jahiz.doc

Kehidupan al Jahiz mencapai kemuncaknya pada tahun 180 H, ketika beliau

berusia 30 tahun. Peringkat ini dianggap sebagai peringkat kemasyhuran dan

kegemilangan beliau sebagai tokoh penulis dan mengetuai majlis–majlis ilmu dan

kesusasteraan sebagai guru. Antara muridnya yang terkenal ialah Abu Bakr CAbdullah

bin Abi Dawud al Sijistani (m. 316 H), Muhammad bin CAbdillah bin Abi al Dalhab,

DaCamah bin al Jahm, Abu SaCid al Hasan bin CAli al CAdwi, Ibn Shabbah (m. 262 H),

Abu Hatim al Sijistani (m. 255 H) dan lain–lain lagi (Khafaji, 1973). Peringkat ini juga

menyaksikan perhubungan erat beliau dengan khalifah Abbasiyyah. Khalifah al

Ma’mun (198–218 H) telah melantik beliau sebagai ketua jurutulis di Diwan al rasa’il

(Jabatan surat–menyurat) (Pellat, 1969). Khalifah al Mutawakkil (2322–247 H) pernah

menawarkan al Jahiz mengajar anak–anaknya, tetapi membatalkannya apabila melihat

perawakan al Jahiz yang agak hodoh. Namun khalifah mengurniakannya wang

sebanyak 10,000 dinar sebagai saguhati (Ibn Khallikan, 1968).

Al Jahiz pada peringkat akhirnya banyak menghabiskan masa di rumahnya di

Basrah. Ketika itu beliau berumur 97 tahun dan ditimpa penyakit lumpuh separuh

badan. Seorang murid, al Mubarrad (m. 285 H) telah menziarahi al Jahiz lalu beliau

berkata;

“Sebelah kiri badanku lumpuh, jika dipotong dengan gergaji sekalipun tidak

terasa sakitnya manakala sebelah kananku pula sejuk kaku (penyakit

rheumatisme) yang jika lalat terbang dekat pun sudah terasa sakitnya” (Ibn

Khallikan, 1968).

Al Jahiz juga menghidapi penyakit batu karang yang menyebabkannya sukar hendak

membuang air kecil (Al Hamawi, 1936). Walaupun ditimpa pelbagai penyakit, al Jahiz

tetap tabah menjalani kehidupan dan terus menyumbangkan tenaga dan buah

fikirannya dalam kesusasteraan dan penulisan. Ini terbukti melalui penghasilan al

Hayawan yang dikarangnya ketika beliau bergelut dengan penyakit itu (Al Jahiz, t.th).

Setelah menderita selama beberapa tahun menghidap lumpuh dan beberapa

penyakit lain, al Jahiz menghembuskan nafasnya yang terakhir pada bulan Muharram,

tahun 255 H (Disember 868–Januari 869 M) (The Encyclopaedia of Islam, 1965).

6

Page 7: Jurnal al Jahiz.doc

Pendapat lain mengatakan beliau wafat di Baghdad dan dikebumikan di tanah

perkuburan Khayzuran (Al Hashimi, 1967). Pellat (1969) mendakwa al Jahiz mati

kerana dihempap timbunan buku yang jatuh dari rak ketika beliau cuba mengambilnya.

Karya al Jahiz

Pemergian al Jahiz merupakan satu kerugian besar dalam kesusasteraan Arab,

khususnya dalam bidang penulisan. Namun peninggalan hasil karya dan tulisan beliau

untuk tatapan generasi selepasnya sedikit sebanyak mengubat kesedihan yang dirasai.

Para pengkaji berbeza pendapat tentang jumlah sebenar karya al Jahiz. Dodge (1970)

yang menterjemahkan Fihris Ibn Nadim mendakwa karya beliau sebanyak 175 buah.

Pellat (1969) mengatakan karya al Jahiz sebanyak 231 buah. Pendapat lain mengatakan

karya al Jahiz berjumlah hampir 200 buah (The Encyclopaedia of Islam, 1965). Secara

umumnya, karya al Jahiz dapat dibahagikan kepada tiga bahagian utama;

1- Hasil tulisan dalam bentuk risalah–risalah pendek dan rencana–rencana

yang menyentuh pelbagai persoalan.

2- Karya–karya yang agak panjang termasuk cerita–cerita dan kisah–kisah

lucu.

3- Karya–karya yang lebih serius dan kajian terperinci yang kadang–kadang

diselitkan dengan unsur jenaka.

Brockelmann (1968) telah mengklasifikasikan karya al Jahiz kepada unsur teologi

(ilmu kalam), teologi–politik, sejarah, antropologi, etika–etika umum, haiwan, bahasa,

geografi, antologi, hiburan, perdebatan, tumbuhan, permainan dan sejarah

kesusasteraan. Pellat (1969) pula mendatangkan tiga bahagian utama dalam karya al

Jahiz;

1- karya–karya berunsur semi–politik dan semi–teologi yang bertujuan untuk

meluaskan doktrin–doktrin MuCtazilah, mempertahankan kerajaan

Abbasiyyah dan masyarakat Arab.

2- karya kesusasteraan al Jahiz yang tersendiri. Ini termasuk karya beliau yang

berunsur saintifik (Quasi–saintifik).

3- Karya kesusasteraan tradisional (gambaran manusia dan masyarakat). Ia

menyentuh aspek akhlak, sifat peribadi, perasaan manusia dan kumpulan

masyarakat.

Al Hamawi (1936) menyenaraikan sebanyak 128 buah karya al Jahiz dalam MuCjam al

udaba’;

7

Page 8: Jurnal al Jahiz.doc

Al Hayawan, al Nisa’ (al farq fi ma bayna al zakar wa al untha), al NaCl, al

Ibil, al Bayan wa al tabyin, al Nabi wa al mutanabbi, al MaCrifah, Jawabat

kitab al maCrifah, Masa’il kitab al maCrifah, al Radd Cala ashab al ilham,

Nazm al Qur’an, Masa’il al Qur’an, Fadilah al MuCtazilah, al Radd Cala al

mushabbihah, al Imamah Cala madhhab al ShiCah, Hikayah qawl asnaf al

Zaydiyyah, al CUthmaniyyah, al Akhbar wa kayfa tasihhu, al Radd Cala al

nasara, CIsam al murid, al Radd Cala al CUthmaniyyah, Imamah MuCawiyyah,

Imamah bani al CAbbas, al Fityan, al Quwwad, al Lusus, Dhikr ma bayna al

Zaydiyyah wa al Rafidah, Siyaghah al kalam, al Mukhatabah fi al tawhid,

Wujub al imamah, al Asnam, al Wukala’ wa al muwakkilin, al Sharib wa al

mashrub, Iftikhar al shita’ wa al sayf, al MuCallimin, al Jawari, Nawadir al

husn, al Bukhala’, al Fakhr ma bayna CAbd Shams wa makhzum, al CUrjan wa

al bursan, Fakhr al Qahtaniyyah wa al CAdnaniyyah, al TarbiC wa al tadwir, al

Tufayliyyin, Akhlaq al muluk, al Futya, Manaqib jund al khilafah wa fada’il al

atrak, al Hasid wa al mahsud, al Radd Cala al Yahud, al Surha wa al hujna’,

al Sudan wa al bidan, al MaCad wa al maCash, al Nisa’, al Taswiyah bayna al

Carab wa al Cajam, al Sultan wa akhlaq ahlihi, al WaCid, al Buldan, al Akhbar,

al Dilalah Cala ‘anna al imamah fard, al IstitaCah wa khalq al afCal, al

Muqayyinin wa al ghina’ wa al sunCah, al Hadaya manhul, al Ikhwan, al Radd

Cala man alhada fi kitab Allah, Ayy al Qur’an, al Nashi wa al mutalashi dan

banyak lagi. Sementara karya-karya beliau yang berbentuk manuskrip pula

ialah Akhlaq al muluk, Tanbih al muluk dan al CArrafah wa al zajr wa al

firasah (Mahmud Mustafa, 1937).

Al Hayawan

8

Page 9: Jurnal al Jahiz.doc

Al Hayawan adalah antara karya terkenal al Jahiz dalam penulisannya selain al Bayan

wa al tabyin. Ia mengandungi tujuh jilid dan ditulis semasa beliau ditimpa penyakit

lumpuh. Ini beliau nyatakan sendiri di dalam jilid empat;

“Kebetulan pelbagai hal telah mengiringi penulisan buku ini yang menghalang

kemampuanku untuk melakukannya. Pertama adalah penyakitku yang teruk,

kedua ialah kurangnya bantuan dan pertolongan dan ketiga pula panjangnya

perbahasan di dalam buku ini” (Al Jahiz, t.th.)

Pellat (1969) mendakwa buku ini tidak dapat disiapkan sepenuhnya oleh al Jahiz

kerana beliau meninggal dunia sebelum sempat menyudahkannya. Pendapat ini ditolak

berdasarkan riwayat al Hamawi (1936) yang mengatakan al Jahiz telah menghadiahkan

buku ini kepada Muhammad bin CAbd al Malik al Zayyat (m. 233 H) dan mendapat

hadiah wang sebanyak 5,000 dinar. Ini bermakna buku ini telah siap sepenuhnya, jika

tidak masakan pula al Jahiz menghadiahkannya kepada al Zayyat.

Al Hayawan membahaskan segala aspek yang berkaitan haiwan secara ilmiah

dan terperinci. Beliau menyatakan segala macam sifat dan tabiat pelbagai jenis haiwan

yang diperolehi dari pelbagai sumber. Selain itu, al Jahiz memuatkan pelbagai kisah

yang berlaku dalam masyarakat Arab khasnya dengan diselang–selikan petikan puisi

Arab dan cerita lucu untuk mengekalkan minat pembaca supaya terus mengikuti tajuk

perbahasan dalam buku tersebut. Al Jundi (1967) mengatakan al Hayawan adalah

buku yang bercirikan ilmiah, menyentuh pengkajian tentang pelbagai jenis haiwan dari

segi fizikal, tabiat semulajadi, makanan, pembiakan dan sebagainya. Di dalamnya juga

terdapat pelbagai cerita menarik, petikan ayat al Qur’an dan al Hadith, kata–kata

hikmat, prosa dan puisi Arab yang berkaitan tentang haiwan. Al Jahiz banyak

melakukan pelompatan, penyimpangan dan perpindahan dari sesuatu tajuk kepada

tajuk yang lain secara tiba–tiba yang kadangkala tiada hubungan langsung dengan

tajuk yang mula–mula sekali disentuh.

Jabur (1979) mengatakan bahawa al Hayawan adalah tinggalan warisan Arab

yang terbesar dan terindah dalam pusaka kesusasteraan Arab. Ia merupakan petunjuk

luas yang mengandungi pelbagai kebudayaan pada zaman Abbasiyyah. Di dalamnya

terdapat banyak maklumat dan pengetahuan tentang perkara–perkara tabii, falsafah,

9

Page 10: Jurnal al Jahiz.doc

perdebatan pelbagai aliran agama, maklumat geografi, sifat manusia dan faedah

perubatan. Terdapat juga bahagian–bahagian tertentu yang memuatkan pelbagai aspek

sastera seperti puisi, bidalan, kata–kata hikmat dan cerita lucu.

Pellat (1969) berpendapat buku ini merupakan sebuah antologi (bunga rampai)

yang sepatutnya memusatkan perbincangan tentang sejumlah haiwan, tetapi

sebenarnya meliputi terlalu banyak cakupan aspek yang menjadikannya benar–benar

sebuah ensiklopedia. Dalam tulisan lain pula, Pellat (1990) mengatakan bahawa buku

ini bukanlah sebuah antologi tentang haiwan semata–mata kerana ia kerapkali

menyimpang dan berpindah secara tiba–tiba kepada persoalan tajuk lain seperti

teologi, metafizik, sosiologi dan lain–lain. Pembaca boleh menemui banyak teori yang

belum pasti dapat diakui kesahihannya tentang perkembangan dan pembiakan pelbagai

spesis haiwan, kesan cuaca dan psikologi haiwan yang hanya dapat diketahui pada

abad ke–19 (Abbasid belles – lettres, 1990).

Objektif dan Sumber Penulisan al Hayawan

Al Jahiz mempunyai tujuan tertentu ketika menulis al Hayawan. Antara yang

terpenting ialah beliau ingin memberitahu kepada orang ramai bahawa setiap sesuatu

yang ada di muka bumi ini membuktikan kewujudan, keagungan dan kebijaksanaan

Allah S.W.T. (CAfifi, 1971). Al Jahiz menggunakan haiwan sebagai model utama

untuk membuktikan hujah beliau akan kewujudan dan kebijaksanaan Allah. Banyak

kenyataan yang dijumpai dalam al Hayawan yang menunjukkan tujuan utama beliau

ini.

Al Jahiz juga ingin menyebarkan ilmu pengetahuan tentang haiwan kepada

pembaca dan masyarakat sekeliling. Oleh itu, beliau menyentuh secara terperinci

tentang pelbagai jenis haiwan agar maklumat–maklumat baru dapat dimanfaatkan oleh

pembaca. Setiap isi kandungan al Hayawan memberi faedah yang besar kepada

pembaca dalam meluaskan pengetahuan mereka. Ini kerana ianya dikarang sedemikian

rupa untuk memberitahu orang ramai bahawa ilmu adalah penting berbanding perkara–

perkara lain. Dengan ilmu juga manusia dapat mengenal Tuhan dan hakikat sebenar

kejadian manusia sendiri. CUmar Farrukh (1975) berpendapat tujuan al Jahiz

mengumpulkan pelbagai bahan dan cerita di dalam buku ini bukanlah untuk

10

Page 11: Jurnal al Jahiz.doc

menyebarkan ilmu pengetahuan, tetapi untuk menjadikan pembacanya cinta kepada

ilmu.

Al Jahiz merujuk pelbagai sumber ketika menulis al Hayawan. Bahan rujukan

ini terdiri daripada sumber tempatan (Arab), asing, ilmiah, sastera dan agama. Beliau

mencampuradukkan pelbagai sumber ini di dalam bukunya dan menghuraikannya

dengan gayabahasa yang menarik. Ringkasnya sumber al Hayawan adalah seperti

berikut;

1- Al Qur’an al Karim.

2- Al Hadith al Nabawi.

3- Puisi–puisi Arab.

4- Buku–buku asing.

5- Cerita–cerita masyarakat sekeliling.

6- Kajian dan pemerhatian individu.

Ulasan Para Pengkaji Terhadap al Hayawan

Al Hayawan merupakan karya al Jahiz yang terkenal dalam genre penulisan

pada zaman Abbasiyyah. Buku ini bukan sahaja dirujuk di institusi–institusi

pengajian tinggi, bahkan menjadi panduan utama penulis–penulis yang

sezaman dan selepas beliau. Abu Hayyan al Tawhidi (m. 414 H) misalnya telah

mengambil buku ini sebagai rujukan utama beliau ketika menulis bukunya

yang bertajuk al Basa’ir wa al dakha’ir (Abu Hayyan al Tawhidi, t.th.).

CAbd al Salam Harun, penyunting al Hayawan berpendapat bahawa

seseorang itu tidak akan dapat menyingkap pelbagai keistimewaan karya ini

melainkan setelah mengkaji dan menelitinya dengan lama di setiap aspeknya.

Ini kerana tajuk buku ini dianggap mengelirukan, seolah–olah ianya khusus

kepada perbincangan tentang haiwan secara saintifik, akan tetapi sebenarnya

buku ini adalah satu petunjuk ilmu pengetahuan dan maklumat yang luas serta

gambaran nyata tentang kehidupan dan kebudayaan pada zaman Abbasiyyah.

Jabur CAbd al Nur (1979) pula bersependapat dengan CAbd al Salam

Harun dalam ulasannya tentang kandungan al Hayawan. Mishal CAsi (1974)

11

Page 12: Jurnal al Jahiz.doc

mengatakan bahawa al Jahiz sendiri tidak bermaksud mengkhususkan

bahagian–bahagian tertentu yang membincangkan persoalan al Bayan, al

Balaghah dan kritikan sastera di dalam al Hayawan, tetapi gayabahasa tajuk–

tajuk yang disentuh oleh al Jahiz di dalam bukunya, secara tidak langsung

membincangkan aspek–aspek tersebut. Kadang–kadang beliau berhenti

sebentar untuk cuba menyingkap petunjuk dan bukti dari ayat -ayat al Qur’an

dan mengeluarkan contoh–contoh Majaz (Kiasan), IstiCarah (Metafora) dan

Tashbih (Penyerupaan) daripadanya. Begitu juga yang beliau lakukan terhadap

rangkap–rangkap puisi yang didatangkannya. Di sini jelaslah bahawa al Jahiz

seorang yang pakar dalam bidang bahasa dan balaghah khususnya aspek al

Bayan (Kejelasan makna) dan al BadiC (Hiasan lafaz atau makna) walaupun

beliau tidak menyebutnya dalam istilah teknikalnya.

Al Hayawan juga mendapat perhatian daripada sarjana Barat. Pellat

(1969) mengatakan bahawa al Hayawan adalah karya al Jahiz yang

termasyhur. Beliau membincangkan persoalan tentang haiwan dengan

mendatangkan ayat–ayat al Qur’an, al Hadith dan pelbagai cerita yang

berkaitan dengannya. Pada masa yang sama juga, al Jahiz mengambil

kesempatan menyentuh pelbagai tajuk lain dengan menggunakan kaedah

penyimpangan dan pelompatan tajuk di dalam penulisannya.

Pellat mendakwa bahawa al Hayawan adalah buku berkaitan zoologi,

berdasarkan pengaruh Aristotle yang meresap ke dalam diri al Jahiz yang

berminat dengan struktur, tabiat dan kelakuan pelbagai jenis haiwan. Selain itu,

ia juga berunsur teologi kerana al Jahiz sentiasa ingin membuktikan bahawa

setiap kejadian makhluk mempunyai tujuan dan fungsinya yang tersendiri dan

juga sebagai hujah akan kewujudan serta kebijaksanaan Pencipta iaitu Allah

S.W.T. Inilah tema utama al Jahiz yang sentiasa diulanginya dari masa ke

semasa dalam al Hayawan.

Demikianlah beberapa ulasan yang dikemukakan oleh para pengkaji

Timur dan Barat terhadap al Hayawan. Secara keseluruhannya, mereka

mengakui bahawa al Hayawan merupakan karya al Jahiz yang unik dan

12

Page 13: Jurnal al Jahiz.doc

berlainan daripada hasil karya penulis lain. Beliau telah mengasaskan gaya

penulisan baru dalam bidang sastera dan dunia penulisan umumnya.

Namun terdapat kalangan pengkritik yang kurang senang dengan gaya

penulisan al Jahiz kerana menganggapnya sebagai satu kelemahan dan

kecacatan di dalam buku ini. Muhammad Mahdi al Basir (1970) contohnya

tidak gemar cara al Jahiz yang banyak melakukan perpindahan tajuk. Beliau

juga mengkritik al Jahiz kerana suka meleret–leret dan mengulang–ulang idea

yang sama dan kadang–kadang membosankan pembaca. Walau bagaimanapun,

kritikan ini tidaklah merendahkan mutu karya beliau kerana mungkin cara ini

sengaja dicetuskan oleh al Jahiz untuk menarik para pembaca mengikuti hasil

tulisannya serta menghiburkan mereka dengan pelbagai persoalan lucu dan

serius.

Metode Penulisan al Hayawan

Al Jahiz menggunakan beberapa kaedah ketika menulis al Hayawan. Beliau membuat

pendalilan tentang sesuatu subjek berdasarkan al Qur’an, al Hadith, puisi–puisi Arab,

pelbagai cerita masyarakat dan pemerhatian sendiri. Metode al Istitrad pula begitu

ketara sekali di sepanjang pembentangan tajuk–tajuk berkenaan haiwan dan tajuk–

tajuk lain. Penyelitan kisah–kisah yang berunsur jenaka dilakukan pada setiap kali

perbincangan mengenai persoalan yang serius dan berat supaya para pembaca tidak

merasa tertekan dengan huraian–huraian beliau berkaitan persoalan tersebut.

Selain itu, aspek gayabahasa dan metode persembahan juga mempengaruhi

penulisan al Hayawan dan inilah yang menjadikan buku ini begitu istimewa di

kalangan pengkaji–pengkaji bahasa dan kesusasteraan Arab. Al Jahiz kerap

menggunakan kata yang sama erti atau sinonim. Al Jahiz menguasai bahasa Arab yang

kaya dengan perbendaharaan kata dengan begitu baik sekali berdasarkan

pembacaannya yang luas dan pengalamannya dengan masyarakat sekeliling. Beliau

mempelbagaikan perkataan yang sama ertinya untuk memberi kefahaman kepada

pembaca tentang makna sesuatu perkataan dan juga untuk menunjukkan ketinggian

ilmu dan pengetahuannya di dalam bidang bahasa Arab. Penggunaan kata sinonim

dikatakan membantu al Jahiz melahirkan gayabahasa yang mantap dan jelas di dalam

13

Page 14: Jurnal al Jahiz.doc

hasil tulisannya. Contoh penggunaan sinonim dapat dipetik dari al Hayawan (Al Jahiz,

t.th.);

والصكاك والسجالت والشروط العهود لبطلت الخطوط "لوال جوار وكل وعقد عهد وكل أمان وكل إنفاق وكل إقطاع وكل

وجلف"Dalam contoh di atas, kata ,العهود, الشروط, السجالت, الصكاك, إقطاع

عقد, جوارعهد, إنفاق, أمان, dan جلف memberi pengertian yang sama

iaitu surat–surat dan perjanjian.

Salah satu pendekatan yang paling menarik dikemukakan oleh al Jahiz

di dalam penulisannya ialah metode al Istitrad (Hutayt, 1987). Kata ‘al

Istitrad’ berasal dari istilah bahasa Arab yang diambil dari kata kerja ( طردا

يطرد – طرد – طردا – ) iaitu ( ،عني اذهب قال و نحاه ساق )

yang membawa erti ‘menghalau, mengusir, menyingkirkan, memecat atau

mengatakan ‘Pergi dari sini!’. Al Istitrad, menurut istilah dan pendapat tokoh–

tokoh Balaghah pula ialah;

مقصود غير هو و أخر كالم منه يلزم وجه على الكالم سوق"

"بالعرض به أتي بل بالذاتmaksudnya: ‘memindahkan pembicaraan dengan cara menetapkan percakapan

lain, bukan dengan maksudnya sendiri tetapi ianya didatangkan secara

kebetulan’ (Al Bustani, 1987).

Al Istitrad atau ‘Digression’, dengan makna yang lebih tepat lagi

adalah seperti yang dinyatakan oleh Majdi Wahbah (1974);

بالموضKKوع تتصل ال مKKادة إدخال فى يتخلص الكالم تجميل من "نوع إثKKارة أو االسKKتعطاف وظيفتها تكKKون قد و مباشر غKKير اتصKKاال إال

على ينطKKKKKوى قد اإلسKKKKKتطراد و المعارضة حجج تنفيذ أو الغضب

14

Page 15: Jurnal al Jahiz.doc

أو الوطنية أو الكبريKKاء إثKKارة أو المKKدح أو والسخرية النقد أو اإلتهام يخفف أن أو المسKKتمعين اهتمKKام يزيد أن يستطيع أخر موضوع أيقلقهم" من

Maksudnya: ‘Al Istitrad ialah satu cara memperindahkan percakapan dengan

memasukkan satu tajuk yang tiada kaitan dengan tajuk tersebut melainkan

hubungan secara tidak langsung. Kadangkala ia bertujuan meminta belas

kasihan, membangkitkan kemarahan atau mematahkan hujah–hujah lawan. Al

Istitrad juga merangkumi tuduhan, kritikan, ejekan, pujian, membangkitkan

kesombongan dan semangat kebangsaan atau apa sahaja subjek lain yang

dapat menambah perhatian para pendengar dan meringankan resah–gelisah

mereka’.

Oleh itu, metode al Istitrad seperti yang terdapat di dalam kandungan

buku al Hayawan ialah ‘perpindahan dari satu persoalan kepada persoalan

yang lain tanpa menyelesaikan perbincangan mengenai persoalan yang

pertama. Selepas itu beliau akan kembali semula kepada persoalan pertama

tadi’. Perpindahan atau perlompatan tajuk ini kadang–kadang diselangselikan

dengan petikan ayat–ayat al Qur’an, al Hadith, puisi, cerita–cerita pelik dan

menarik, kisah–kisah serius dan lucu serta pepatah–pepatah Arab. Metode al

Istitrad yang digunakan oleh al Jahiz di dalam al Hayawan dapat didasarkan

kepada dua tujuan terpenting;

Pertama: Al Jahiz mempunyai terlalu banyak idea dan maklumat yang ingin

diutarakan kepada khalayak pembaca hinggakan setiap kali beliau

membincangkan sesuatu persoalan, beliau akan mengaitkannya dengan setiap

maklumat yang berhubung dengan persoalan tersebut. Beliau akan cuba

mengeluarkan sebanyak mana maklumat yang tersimpan di fikiran hasil

pengalaman dan pembacaan beliau sebelum itu. Ini kerana al Jahiz cuba

menghidangkan seberapa banyak maklumat dan pengetahuan kepada para

pembaca supaya mereka dapat memanfaatkannya dan menyedarkan mereka

15

Page 16: Jurnal al Jahiz.doc

bahawa setiap makhluk terutamanya haiwan dijadikan atas tujuan dan

hikmahnya yang tersendiri.

Kedua: Al Jahiz sengaja menggunakan kaedah penulisan sebegini untuk menarik

perhatian dan menghiburkan pembaca. Ia juga bertujuan untuk menyegarkan tenaga

dan akal fikiran mereka semula setelah penat mengikuti pelbagai persoalan yang sukar

dan serius. Ini kerana perbincangan yang panjang lebar tentang sesuatu subjek boleh

membosankan mereka dari meneruskan pembacaan. Justeru itu, al Jahiz menyelitkan

di pertengahan setiap perbincangan dengan petikan puisi yang bermutu, kisah – kisah

aneh dan lucu supaya para pembaca merasa segar dan terhibur, seterusnya

mengembalikan minat dan semangat mereka untuk meneruskan pembacaan sehingga

tamat. Metode ini dapat dikesan melalui penelitian dan kajian terhadap hasil karyanya

kerana al Jahiz tidak pernah menjelaskan dengan terperinci segala metode yang

digunakan di dalam penulisannya.

Walaupun metode ini dikatakan agak menyulitkan para pembaca, namun jelas

membuktikan bahawa al Jahiz mempunyai terlalu banyak idea dan maklumat yang

hendak disalurkan kepada segenap lapisan masyarakat pembaca. Adakalanya beliau

menyelitkan petikan ayat–ayat al Qur’an, al Hadith, puisi, bidalan, dan pelbagai cerita

menarik serta lucu ketika melakukan perpindahan tajuk perbincangan. Ini tidak lain,

semata–mata bertujuan untuk menghiburkan pembaca dan mengelakkan mereka dari

merasa bosan dan letih ketika mengikuti persoalan–persoalan yang berat dan serius. Al

Jahiz pernah berkata;

“Aku menyulamkan buku ini dan membahagikannya kepada beberapa

bahagian yang dipenuhi dengan pelbagai cerita dan puisi supaya

pembaca dapat mengikutinya dari satu bahagian kepada bahagian lain

dan dari satu bentuk kepada bentuk lain. Ini kerana aku dapati bahawa

pendengaran seseorang itu akan cepat merasa bosan terhadap suara

penyanyi atau nyanyian yang terlalu lama. Cara ini lebih baik kerana

tujuan kita di sini adalah untuk mendapatkan faedah yang lebih baik”

(Al Jahiz, t.th).

16

Page 17: Jurnal al Jahiz.doc

Selain itu, al Jahiz juga menggunakan unsur jenaka di dalam penulisannya.

Kebanyakan karya beliau didapati tidak terlepas daripada unsur ini. Buku al Bukhala’

karangan beliau merupakan antara buku jenaka yang paling terkenal dalam bidang

penulisan kesusasteraan Arab pada zaman Abbasiyyah. Beliau menyelangi

perbincangan berkenaan sesuatu tajuk dengan cerita–cerita lucu dan menarik untuk

mengembalikan kecergasan fizikal dan minda pembaca setelah menatapi pelbagai

maklumat dan perbahasan yang serius (Al Jahiz, t.th.). Antara kisah lucu yang

dihidangkan oleh al Jahiz seperti yang terdapat di dalam buku al Hayawan;

“Haitham bin CAdi menceritakan: ‘Terdapat seorang lelaki bernama

Kalb (Anjing) yang mempunyai seorang anak lelaki. Anaknya itu

sedang bermain di atas jalan, lalu disapa oleh seorang lelaki lain :

‘Kamu ini anak siapa?’ Lalu dia pun menjawab: ‘Aku anak kepada Wo!

Wo! Wo! ( وو وو وو .(.Al Jahiz, t.th)”( ابن

Penutup

Secara umumnya, al Jahiz menggunakan beberapa pendekatan biasa yang digunakan

oleh penulis–penulis lain pada zaman Abbasiyyah dalam penulisan beliau. Dari sudut

penghujahan, beliau menggunakan dalil–dalil al Qur’an dan al Hadith untuk

menyokong dan membuktikan sesuatu idea atau pendapat beliau sendiri mahupun

orang lain. Namun begitu, pendalilan beliau berdasarkan puisi Arab dan cerita–cerita

masyarakat dilihat lebih banyak memenuhi kandungan buku ini sehingga ia dianggap

seperti sebuah buku cerita yang berunsur ilmiah. Satu–satunya pendekatan saintifik

yang dilakukan al Jahiz adalah melalui pengalaman pemerhatian dan kajian beliau

sendiri, suatu kaedah yang paling ampuh dan berkesan dalam mengesahkan sesuatu

pendapat. Penggunaan kaedah ini telah menghasilkan pelbagai teori baru berkaitan

haiwan mahupun bidang lain yang tiada sebelum itu.

Dilihat dari sudut penulisan, al Jahiz berjaya mengasaskan satu kaedah

penulisan yang tidak pernah dilakukan oleh mana–mana penulis lain yang sebelum dan

yang sezaman dengan beliau. Kaedah tersebut dinamakan sebagai metode al Istitrad,

iaitu perpindahan dari satu tajuk kepada tajuk lain tanpa menyelesaikan perbincangan

tajuk yang pertama. Selain itu, beliau juga menggunakan unsur jenaka melalui cerita–

17

Page 18: Jurnal al Jahiz.doc

cerita lucu dan menarik yang dapat menghiburkan pembaca dan menghilangkan

kebosanan mereka mengikuti huraian yang panjang lebar.

Gayabahasa yang digunakan al Jahiz di sepanjang buku ini adalah bebas,

kemas dan bersahaja. Beliau banyak menggunakan perkataan yang sama erti (Sinonim)

atau ayat pendek dan ringkas yang kadangkala mempunyai persamaan rima di akhirnya

Ia dinamakan sebagai uslub al Muzdawaj dan al SajC. Selain itu, pendekatan beliau

yang suka mengulangi sesuatu tajuk dan meleret–leret, dianggap menyulitkan pembaca

mengikuti sesuatu perbahasan, di samping penyusunan tajuk–tajuknya yang bertaburan

di sana–sini dan bercampur–aduk dengan tajuk lain yang tiada kaitan dengannya.

Walaupun begitu, apa yang jelas di sini, segala pendekatan yang digunakan

oleh al Jahiz dalam penulisan al Hayawan bukanlah diambil dari penulis–penulis lain.

Beliau menggunakan kaedahnya yang unik ketika menghasilkan karya ini. Oleh itu,

wajarlah al Jahiz dan al Hayawan mendapat pengiktirafan tinggi berdasarkan

sumbangan kedua–duanya terhadap kegiatan penulisan dan kesusasteraan Arab.

Bibliografi

Abbasid belles – lettres. 1990. Ashtiany, J., Johnstone, T.M., Latham, J.D.,Serjeant, R.B., Smith, G.R. (pnyt.). New York: Cambridge University Press.

CAbd al-Nur, Jabur. 1979. MuCjam al-adabi. Beyrut: Dar al-CIlm li al-Malayin.

CAfifi, Muhammad al-Sadiq. 1971. Al Madaris al-adabiyyah: madrasah Ibn al MuqaffaC wa madrasah al-Jahiz. Qaherah: Dar al-Fikr.

CAsi, Mishal. 1974. Mafahim al-jamaliyyah wa al-naqd fi adab al-Jahiz. Beyrut: Dar Al-CIlm li al-Malayin.

Al-Basir, Muhammad Mahdi. 1970. Fi al-adab al-Carabi. Cet. 3. Jil. 3. t.tp: MatbaCah al-NuCman.

Al-Bayumi, al-Siba’i. 1953. Tarikh al-adab al-Carabi. Jil. 3. Qaherah: MatbaCah Lujnah al-Bayan al-CArabi.

Brockelmann, C.. 1968. Tarikh al-adab al-Carabi. Terj. al-Najjar, CAbd al-Halim. Cet. 2. Jil. 3. Misr: Dar al-MaCarif.

Al-Bustani, Butrus. 1987. Muhit al-muhit : qamus mutawwal li al-lughah al-Carabiyyah. Beyrut: Maktabah Lubnan Sahah Riyad al-Sulh.

18

Page 19: Jurnal al Jahiz.doc

Dayf, Shawqi. 1965. Al-Fann wa madhahibuh fi al-nathr al-Carabi. Cet 5. Misr: Dar al-MaCarif.

Dodge, B. (pnyt. & ptrj.). 1970. The Fihrist of al-Nadim: a tenth–century survey of Muslim culture. Jil. 1. New York: Columbia University Press.

The Encyclopaedia of Islam. 1965. Lewis, B., Pellat, C., Schacht, J. (pnyt.). Jil. 2. Leiden: E.J. Brill.

Farrukh, CUmar. 1975. Tarikh al-adab al-Carabi : al-aCsur al-Cabbasiyyah. Cet. 2. Jil. 2. Beyrut: Dar al-CIlm li al-Malayin.

Al-Hamawi, Yaqut bin CAbdullah al-Rumi. 1936. MuCjam al-udaba’. Jil. 16. Beyrut: Dar al-Mustashriqin.

Al-Hashimi, Ahmad. 1967. Jawahir al-adab fi adabiyyah wa insha’ lughah al-CArab. Jil. 2. Misr: al-Maktabah al-Tijariyyah al-Kubra.

Hijab, Muhammad Nabih. 1972. Rawa’iC al-adab fi Cusur al-Carabiyyah al-zahirah. Jil. 1. Misr: Dar al-MaCarif.

Hutayt, Kazim. 1987. AClam wa ruwwad fi al-adab al-Carabi. Beyrut: Dar al-Kitab al-Lubnani.

Ibn Khallikan, Abu al-CAbbas Shams al-Din Ahmad bin Muhammad bin Abu Bakr. t.th.. Wafayat al-aCyan wa anba’ abna’ al-zaman. CAbbas, Ihsan (pnyt.). 1968. Jil. 3. Beyrut: Dar al-Thaqafah.

Ismail Bakar. 1977. Sejarah gerakan Abbasiyyah. Bangi: Penerbit UKM.

Al-Jahiz, CAmr bin Bahr. t.th.. Kitab al-Hayawan. Harun, CAbd al-Salam Muhammad (pnyt.). 1965. Jil. 1 – 7. Misr: Maktabah Mustafa al-Babi al-Halabi wa Awladih.

Al-Jundi, InCam. 1967. Dirasah fi al-adab al-Carabi. Cet. 2. Beyrut: Dar al-Andalus.

Kahhalah, CUmar Rida. MuCjam al-muallifin: tarajim musannifi al-kutub al-Carabiyyah. Jil. 7. Beyrut: Dar Ihya’ al-Turath al-Carabi.

Khafaji, Muhammad CAbd al-MunCim. 1973. Abu CUthman al-Jahiz. Beyrut: Dar al-Kitab al-Lubnani.

Muir, W.. 1898. The Caliphate: it’s rise, decline and fall. Cet. 3. London: Smith Elder & Co.

Mustafa, Mahmud. 1937. Al Adab al-Carabi wa tarikhuh fi al-Casr al-Cabbasi. Cet. 2. Jil. 2. Qaherah: MatbaCah Mustafa al-Babi al-Halabi.

19

Page 20: Jurnal al Jahiz.doc

Pellat, C.. 1969. The Life and works of al-Jahiz. Hawke, D.M. (ptrj.). London: Routledge and Kegan Paul.

Al-Tawhidi, Abu Hayyan. t.th.. Al-Basa’ir wa al-dakha’ir. Al-Kaylani, Ibrahim (pnyt.). Dimashq: Maktabah Atlas wa MatbaCah al-Insha’.

Wahbah, Majdi. 1974. A Dictionary of literary terms @ MuCjam mustalahat al-adab. Beyrut: Maktabah Lubnan.

Al-Zirekli, Khayr al-Din. 1969. Al-AClam: qamus tarajim al-ashhur al-rijal wa al-nisa’ min al-CArab wa al-mutaCarrabin wa al-mustashriqin. Cet. 3. Jil. 5. t.tp.:t.pt..

20