ict dan kelestarian penggunaannya dalam pengajaran dan pembelajaran geografi di sekolah joseph wan...

42
Seminar Pendidikan Sejarah dan Geografi 2013 (UMS, 29 – 30 Ogos 2013) ICT DAN KELESTARIAN PENGGUNAANNYA DALAM PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN GEOGRAFI DI SEKOLAH Joseph Anjuman & Wan Rozali Bin Wan Hussin ([email protected]) BAHAGIAN GEOGRAFI Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh Universiti Sains Malaysia Pulau Pinang ABSTRAK ICT (Teknologi Maklumat dan Komunikasi) dan penggunaannya dalam proses pengajaran dan pembelajaran geografi kini semakin mendapat sambutan dalam kalangan pendidik bagi mewujudkan persekitaran pembelajaran realistik maya yang interaktif dan menyeronokkan. Ini disebabkan ICT boleh membantu pelajar dalam pembinaan daya kreativiti dan inovasi di samping dapat memupuk kecekapan penggunaan teknologi dalam mengakses maklumat daripada pelbagai sumber yang sejajar dengan perkembangan global berasaskan e - pembelajaran dan k-ekonomi. Antara penggunaan pendekatan ICT dalam proses pengajaran pembelajaran geografi terdiri daripada pembelajaran tutorial, penerokaan, aplikasi dan komunikasi. Penggunaan ICT dalam proses pengajaran pembelajaran berlaku bukan hanya setakat di dalam bilik darjah semata-mata, tetapi juga merentasi di luar bilik darjah sehingga ke peringkat global. Transformasi maklumat boleh dilakukan dari satu hala menjadi dua hala atau lebih. Dengan ini suasana pengajaran pembelajaran menjadi lebih menarik melalui penggunaan interaktiviti elemen ICT seperti teks, audio, video, grafik dan animasi yang melibatkan sensori manusia. Sehingga kini pelajar tidak digalakkan menghafal fakta geografi tetapi amat digalakkan untuk meningkatkan tahap kemahiran befikir dan berkomunikasi bagi menyelesaikan masalah dan seterusnya membuat keputusan. Dengan ini sebagai menyahut anjakan paradigma dalam perkembangan pendidikan geografi masa kini, kelestarian penggunaan ICT secara terancang, bersesuaian dan berfikrah adalah amat diperlukan untuk meningkatkan kecekapan proses dan keberkesanan pengajaran pembelajaran geografi di sekolah. Untuk ini guru dan pengamal geografi perlu memainkan

Upload: sanitaamansa

Post on 25-Oct-2015

71 views

Category:

Documents


0 download

TRANSCRIPT

Seminar Pendidikan Sejarah dan Geografi 2013 (UMS, 29 – 30 Ogos 2013)

ICT DAN KELESTARIAN PENGGUNAANNYA DALAM PENGAJARAN DANPEMBELAJARAN GEOGRAFI DI SEKOLAH

Joseph Anjuman &Wan Rozali Bin Wan Hussin

([email protected])

BAHAGIAN GEOGRAFIPusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh

Universiti Sains MalaysiaPulau Pinang

ABSTRAK

ICT (Teknologi Maklumat dan Komunikasi) dan penggunaannya dalam proses pengajaran dan pembelajaran geografi kini semakin mendapat sambutan dalam kalangan pendidik bagi mewujudkan persekitaran pembelajaran realistik maya yang interaktif dan menyeronokkan. Ini disebabkan ICT boleh membantu pelajar dalam pembinaan daya kreativiti dan inovasi di samping dapat memupuk kecekapan penggunaan teknologi dalam mengakses maklumat daripada pelbagai sumber yang sejajar dengan perkembangan global berasaskan e -pembelajaran dan k-ekonomi. Antara penggunaan pendekatan ICT dalam proses pengajaran pembelajaran geografi terdiri daripada pembelajaran tutorial, penerokaan, aplikasi dan komunikasi. Penggunaan ICT dalam proses pengajaran pembelajaran berlaku bukan hanya setakat di dalam bilik darjah semata-mata, tetapi juga merentasi di luar bilik darjah sehingga ke peringkat global. Transformasi maklumat boleh dilakukan dari satu hala menjadi dua hala atau lebih. Dengan ini suasana pengajaran pembelajaran menjadi lebih menarik melalui penggunaan interaktiviti elemen ICT seperti teks, audio, video, grafik dan animasi yang melibatkan sensori manusia. Sehingga kini pelajar tidak digalakkan menghafal fakta geografi tetapi amat digalakkan untuk meningkatkan tahap kemahiran befikir dan berkomunikasi bagi menyelesaikan masalah dan seterusnya membuat keputusan. Dengan ini sebagai menyahut anjakan paradigma dalam perkembangan pendidikan geografi masa kini, kelestarian penggunaan ICT secara terancang, bersesuaian dan berfikrah adalah amat diperlukan untuk meningkatkan kecekapan proses dan keberkesanan pengajaran pembelajaran geografi di sekolah. Untuk ini guru dan pengamal geografi perlu memainkan peranan masing-masing dalam melengkapi diri dengan pelbagai kemahiran dan pengetahuan termasuk pedagogi dan kemahiran memilih perisian ICT demi meningkatkan kualiti pengajaran pembelajaran geografi di sekolah.

Kata kunci: ICT, pengajaran dan pembelajaran, kelestarian, sekolah.

55

PENDAHULUAN

Dalam perkembangan semasa melalui perubahan peralatan teknologi terkini, sebahagian

besar masyarakat tidak dapat lari daripada penggunaan kecanggihan dan kecekapan

teknologi maklumat dan komunikasi (ICT). Fenomena ini berlaku disebabkan penduduk

di atas muka bumi ini mengalami pelbagai perubahan dan kemajuan bermula dari era

pertanian hingga ke era perindustrian dan seterusnya memasuki era ICT. Anjakan

paradigma ini menyebabkan keperluan terhadap perubahan sistem pendidikan negara

tidak dapat dielakkan bagi memenuhi matlamat masyarakat bermaklumat sejajar dengan

arus pembangunan semasa. Dengan ini sudah tiba masanya kemahiran penggunaan ICT

dalam proses pengajaran dan pembelajaran termasuk Geografi perlu diberi penekanan

dan keutamaan. Lebih-lebih lagi dengan perkembangan kurikulum Geografi terkini yang

memerlukan kemahiran pengaplikasian dan pemikiran yang tinggi, ia amat memerlukan

kelestarian penggunaannya dalam pengajaran dan pembelajaran Geografi yang

melibatkan pemikiran secara kritis dan kreatif melalui gabungan pembelajaran

konstruktivisme, kontektual dan kajian kerja lapangan.

KONSEP DAN DEFINISI TEKNOLOGI DAN ICT

Terdapat beberapa istilah dan konsep penting yang mempunyai hubungan yang rapat

dengan pengertian ICT (Teknologi Maklumat Dan Komunikasi) yang diberikan tumpuan

di dalam perbincangan ini. Antara yang menjadi fokus utama termasuk istilah dan konsep

teknologi dan teknologi pendidikan. Mengikut 'Technology-Report of the project 2061,

Phase I Technology Panel". American Association for Advancement of Science (1989)

mengatakan bahawa "Technology is the application of knowledge, tool and skills to solve

practical problems and extend human capabilities". Ternyata pendapat ini adalah selari

dengan kehendak semasa yang menganggapkan bahawa teknologi itu merupakan alat

yang boleh digunakan melalui kemahiran dan kepakaran pengetahuan yang ada bagi

menyelesaikan masalah yang dihadapi di samping dapat memberikan kemudahan dan

keselesaan melalui penciptaan pelbagai jenis peralatan untuk memenuhi keperluan

pengguna. Daripada kepentingan peranan teknologi yang amat luas ini bukan sahaja

mampu memperkembangkan keupayaan rutin pengurusan seharian, tetapi juga dapat

56

melakukan pengawalan dan semakan terhadap kualiti dan kecekapan serta keberkesanan

sesuatu tugasan termasuk proses pengajaran dan pembelajaran geografi.

Sehubungan ini terdapat satu lagi istilah penting yang mempunyai kaitan dengan ICT

iaitu teknologi pendidikan. Teknologi Pendidikan merupakan bidang pangajian yang

melibatkan perkembangan, penggunaan peralatan teknologi pendidikan, penilaian sistem,

teknik dan bantuan teknikal dalam proses pembelajaran manusia. Teknologi Pendidikan

juga secara khususnya merupakan aplikasi penggunaan peralatan teknologi pendidikan

untuk meningkatkan keberkesanan dan kecekapan pengajaran dan pembelajaran. Untuk

mencapai tahap keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran, penggunaan sistem

teknologi pendidikan biasanya melibatkan lima komponen utama yang dikenali dengan

`Lima M’ (5M). Antaranya termasuk:-

1. Machine (mesin ) 2. Materials (bahan-bahan ) 3. Media (media ) 4. Men (orang ) 5. Method ( kaedah )

Kelima-lima komponen utama di atas adalah saling berkaitan dan saling bantu membantu

di antara satu sama lain bagi memenuhi objektif di sepanjang proses pengajaran dan

pembelajaran. Machine (Mesin) merupakan peralatan teknologi pendidikan yang

membantu dalam menyampaikan mesej dan maklumat kepada pengguna. Materials

(bahan-bahan) pula merupakan maklumat dan sumber ilmu yang ingin disampaikan oleh

pengajar melalui mesin yakni peralatan teknologi pendidikan. Media pula berperanan

sebagai perantara dalam menyampaikan maklumat kepada pelajar. Begitu juga men

(orang) yakni manusia yang terdiri daripada tenaga pengajar dan pelajar yang

melangsungkan proses pengajaran dan pembelajaran. Akhirnya method (kaedah)

merupakan cara pengajaran yang digunakan oleh pengajar untuk menyampaikan

maklumat dan pengajaran kepada pelajar melalui interaksi perubahan konsep dan teknik-

teknik pengajaran yang bersesuaian.

57

Definisi dan Konsep ICT

Daripada kedua-dua konsep utama di atas dapat disesuaikan dengan pengertian ICT

(Information and Comunication Technology) terjemahan Teknologi Maklumat dan

Komunikasi yang merupakan suatu sistem komunikasi dan perolehan data dan maklumat

melalui peralatan teknologi secara interaktif daripada skala yang sekecil-kecilnya kepada

skala yang sebesar-besarnya di peringkat global. Secara ringkasnya pemahaman maksud

ICT dapat ditunjukkan di dalam Rajah 1 di bawah.

TEKNOLOGI

Penggunaan peralatan teknologi melalui pelbagai sistem terpilih bersesuaian dengan matlamat dan keperluan pengguna

Rajah 1: Pertalian Konsep ICT

MAKLUMAT KOMUNIKASI

Proses penghantaran danPerolehanpenerimaan data danmaklumat danmaklumatdata

Pada keseluruhannya, ICT dapat dirumuskan sebagai suatu sistem yang kompleks dan

menyeluruh dengan melibatkan pelbagai rangkaian di peringkat global dan mengalami

proses perkembangan yang dinamik selaras dengan penciptaan teknologi terkini.

Kepantasan dan penjimatan waktu dapat dibezakan berdasarkan penciptaan teknologi

sezaman yang dipertingkatkan kemajuan teknologinya dari semasa ke semasa.

Proses perkembangan ICT ternyata telah sekian lama mendapat perhatian sejak tahun

1950-an lagi dan dipertingkatkan dari semasa ke semasa sehinggalah dapat digunakan di

dalam dunia pendidikan seperti yang dapat kita nikmati pada hari ini. Proses

pembangunan ICT ini secara ringkasnya dapat digariskan sebagaimana berikut.

Era Sebelum Mikrokomputer

58

1950 - Penggunaan pertama pengajaran berkomputer "Computerized Flight Simulator" digunakan untuk melatih juruterbang di MIT.

1959 - Kali pertama komputer digunakan di sekolah IBM 650

1966 - IBM menawarkan system 1500 "Dedicated Instructional Mainframe"

1967- Computer Curriculum Corporation menawarkan sistem pengajaran berdasarkan mini komputer pertama (DECPDP/!) Mitre Corporation menawarkan sistem TICCIT.

1970- Control Data Corporation (CDC) menawarkan PLATO Instructional Delivery System

Era Mikrokomputer

1977 - Pertama kali mikrokomputer memasuki ke dalam sistem persekolahan

1980 - Seymour Papert menulis 'Mindstorms'. Bermulanya perkembangan Logo. 1980-an - Minnesota Educational Computing Consortium (MECC) menawarkan perisian

mikro komputer; penerbitan bahan-bahan pendidikan dan memulakan pembangunan dan pemasaran perisian kursus. Perkembangan perisian kursus diutamakan melalui MicroSIFT, EPIE dan lain-lain.

1990-an - Penggunaan Integrated Learning System (ILS) dan sistem rangkaian lain yang turut meningkatkan penggunaan multimedia.

Era Internet

1994 - Penggunaan internet mula berkembang luas. Pengajaran dan pembelajaran berbantu komputer mula dipertingkatkan.

1995 - Jaringan Pendidikan diadakan

1999 - Kurikulum Teknologi Maklumat diberi penekanan

2000 - Sistem 'Virtual Reality' dan persekitaran 'virtual' lain diberi penekanan. Pelbagai sistem ciptaan baru dibangunkan seterusnya sehingga ke saat ini.

Kini penggunaan ICT di dalam pengajaran dan pembelajaran di sekolah semakin

diperhebatkan. Guru-guru didedahkan dengan pelbagai kursus, manakala sekolah pula

59

disediakan pelbagai kelengkapan e-pembelajaran di samping peningkatan prasarana

kemudahan rangkaian untuk mencapai matlamat prestasi pembelajaran seperti yang telah

ditetapkan.

POTENSI KELESTARIAN PENGGUNAAN ICT TERHADAP PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN DI SEKOLAH

ICT adalah lebih daripada alat pengajaran. Potensi kelestariannya adalah menonjol di

dalam meningkatkan kualiti dan minat pelajar terhadap pengajaran dan pembelajaran.

Potensinya juga adalah menonjol di dalam membantu guru menjalankan tugas seharian

sama ada di dalam bilik darjah atau di luar bilik darjah termasuk hal-hal berkaitan

pengurusan, latihan berterusan dan pembangunan sahsiah Di samping itu, ICT juga

berpotensi untuk mengembangkan keupayaan dan kreativiti pelajar semasa melalui

proses pembelajaran mereka. Malahan ICT secara keseluruhannya memberi fokus

terhadap kreativiti dan kognitif pelajar dalam memupuk keupayaan dan kebolehan

perolehan maklumat, handling, pengawalan dan pengukuran.

Dengan ini untuk kelestarian penggunaan ICT, ia perlu dilakukan secara berfikrah,

terancang dan bersesuaian dengan keperluan pembelajaran bagi meningkatkan kecekapan

proses dan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran. Ternyata terdapat banyak

perbezaan dalam perolehan hasil jika dibandingkan dengan cara pembelajaran tradisional

seperti yang digambarkan di dalam Jadual 1 berikut.

Jadual 1: Perbezaan Persekitaran Pembelajaran

Persekitaran Pembelajaran Tradisional Persekitaran Pembelajaran Baru ICT)Berpusatkan guru Berpusatkan pelajarStimulasi satu deriaan Stimulasi multideriaanKemajuan satu hala Kemajuan pelbagai halaSatu media MultimediaTugasan secara berasingan Tugasan secara kolaboratifPenyampaian maklumat Perkongsian maklumatPembelajaran pasif Pembelajaran aktif / penjelasan / pertanyaanPembelajaran berasaskan fakta Pemikiran kritis dan pembikinan keputusanTindakan reaktif Tindakan proaktif

60

Konteks terasing dan artifisial Konteks realiti dan autentik

Sumber : Diubahsuai daripada Means, Barbara (ed) 1994. International

Society For Technology Education. Jossey Bass Publishers, San Fransisco.

Daripada Jadual 1 di atas, didapati penggunaan ICT di dalam proses

pengajaran dan pembelajaran banyak membawa manfaat

berbanding dengan cara pembelajaran tradisional yang dapat

dirumuskan seperti berikut.

a. Berupaya meningkatkan kefahaman dan penguasaan pelajar terhadap pelajaran

b. Memberi peluang pembelajaran yang sama kepada semua

pelajar daripada pelbagai latar belakang dan keupayaan

c. Meningkatkan motivasi pelajar

d. Membolehkan pembelajaran secara bersendirian (individualise learning )

e. Membolehkan pelajar mengakses maklumat yang sukar didapati

f. Membolehkan pelajar mengumpul maklumat yang

memerlukan masa yang lama atau terlalu mahal

g. Mewujudkan suasana pembelajaran yang menyeronokkan dan mencabar

h. Membolehkan pelajar mencuba atau melakukan eksperimen

yang sukar, terlalu mahal atau bahaya untuk dilakukan

secara biasa

i. Meningkatkan daya kreativiti dan imaginasi pelajar

j. Memberi peluang kepada pelajar meningkatkan prestasi

kendiri secara berkesan dengan bimbingan yang minimum

k. Meningkatkan kemahiran ICT secara berterusan

Kemanfaatan ICT di dalam proses pengajaran dan pembelajaran

seperti yang dirumuskan di atas dapat memainkan peranan yang

penting dalam mengubah cara penerimaan pengguna khususnya

pelajar dan guru terhadap peralihan paradigma daripada

perkaedahan secara tradisional kepada penggunaan ICT

sepenuhnya.

INTEGRASI PENGGUNAAN ICT DALAM PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN GEOGRAFI DI SEKOLAH

61

Dalam konteks penggunaan ICT di dalam pengajaran dan pembelajaran geografi di

sekolah secara khususnya tidak mempunyai satu kaedah atau cara yang terbaik dan mesti

digunakan. Ini disebabkan kepelbagaian perkaedahan pengajaran adalah lebih baik

daripada hanya tertumpu kepada satu-satu kaedah pengajaran semata-mata. Dalam

hubungan ini pendekatan terbaik ialah cara pemilihan bahan-bahan dan perisian ICT yang

sesuai dengan keperluan pelajar dengan mengharapkan perolehan hasil dalam jangka

masa yang munasabah.

Integrasi penggunaan ICT di dalam pengajaran dan pembelajaran geografi mengikut

konteks perbincangan ini secara umumnya melibatkan dua aspek utama iaitu pertamanya

aspek pengajaran (guru menggunakan ICT) dan keduanya aspek pembelajaran (pelajar

mengguna ICT).

Di dalam aspek pembelajaran, penggunaan ICT dapat dikategorikan kepada:

a. ICT untuk pembelajaran tutorial

b. ICT untuk pembelajaran penerokaan (exploratory)

c. ICT sebagai alat aplikasi

d. ICT sebagai pemudah komunikasi

Manakala di dalam aspek pengajaran pula, ICT digunakan sebagai

a. Alat persembahan

b. Alat demonstrasi

c. Jaringan pendidikan

ICT UNTUK PEMBELAJARAN TUTORIAL

Peralatan ICT yang biasa digunakan untuk pembelajaran tutorial ialah komputer dan

perisian pendidikan sama ada yang disimpan di dalam CD-ROM, cakera keras atau laman

62

Web. Kandungan pembelajarannya terlebih dahulu disusun berdasarkan urutan yang telah

ditetapkan. Antara isi kandungan pembelajaran tutorial yang sering digunakan meliputi:

1. Pembelajaran ekspositari (http://www.pcma.org/toolbox/ccandmore/tool-

glossary.htm) iaitu suasana pembelajaran yang melibatkan guru hanya

menyampaikan maklumat semata-mata kepada pelajar. Pelajar hanya bertindak

secara pasif.

2. Demostrasi sesuatu fenomena yang ditunjukkan dan dikawal urutan. Ini amat

bersesuaian dengan Geografi yang menghendaki kesinambungan bagi

menunjukkan proses kejadian sesuatu fenomena yang sukar diimaginasikan oleh

pelajar

3. Latihan dan latih tubi yang dipersembahkan dan dikawal oleh sistem. Latihan

seumpama ini telahpun dilaksanakan di dalam pembelajaran Geografi Tingkatan

Satu yang menggunakan program excel untuk merekodkan data dan maklumat

serta seterusnya mempersembahkan dalam bentuk jadual dan graf.

Dalam pembelajaran tutorial, program Computer Assisted Instruction (CAI) digunakan

untuk menggambarkan penggunaan komputer di dalam sesuatu pengajaran dan

pembelajaran. Ini diikuti dengan penggunaan sistem Intelligent Computer Assisted

Instruction atau Intelligent Tutoring System. Perubahan ini seiring dengan perkembangan

semasa yang berlaku dalam ciptaan reka bentuk baru yang mewujudkan perisian

pendidikan yang berupaya menyesuaikan maklumat yang ingin disampaikan dengan

kemampuan dan keperluan pelajar.

Apa yang dapat dilihat pada hari ini kebanyakan perisian ICT adalah bercirikan

multimedia. Secara umumnya, setiap perisian pendidikan yang direkacipta mempunyai

komponen-komponennya yang tersendiri yang antaranya termasuk seperti berikut:

( http://www.uwf.edu/coe/tutorial/technolo/coursewa/crsware.htm ) :

a. Mempersembahkan maklumat

63

b. Membimbing

c. Menyediakan/memberi latihan

d. Menilai pencapaian

Kebanyakan perisian pembelajaran tutorial yang terdapat pada hari ini lebih tertumpu

kepada penggunaan model tradisional pengajaran dan pembelajaran. Antaranya model

transmisi yang melibatkan guru sebagai penyampai maklumat manakala pelajar pula

sebagai penerima. Perisian pendidikan seumpama ini lebih mudah diubahsuai dan

diadaptasi oleh guru ( Clack & Sun,1996).

Terdapat banyak kelebihan di dalam penggunaan pendekatan ini. Antara kelebihannya, ia

amat sesuai digunakan di dalam kelas yang mengandungi bilangan pelajar yang ramai

dengan kemampuan yang berbeza. Justeru itu ia dapat membantu pelajar yang lemah

mengikuti pengajaran guru berdasarkan kemampuan kendiri. Dalam proses pengajaran

dan pembelajaran Geografi, guru boleh memberi tumpuan kepada sebahagian pelajar

melaksanakan tugasan-tugasan yang telah ditetapkan, manakala sebahagian yang lain

pula boleh meneruskan menggunakan komputer. Keadaan ini dapat mempertingkatkan

keberkesanan dan kualiti pengajaran dan pembelajaran dengan menggunakan perisian

pendidikan yang berbeza mengikut tahap kemampuan pelajar. Contoh yang baik dalam

penggunaan pembelajaran tutorial ialah cakera padat yang dikeluarkan oleh "Times

Education Series: GCSE Geography". Ia mengandungi sukatan pelajaran yang bermula

daripada tajuk skala dan kemudian diikuti arah kompas serta seterusnya simbol peta, grid

panduan garisan kontur, foto kawasan dan tajuk-tajuk lain yang sehubungan dengannya.

Dalam masa yang sama bagi pembelajaran dalam kalangan pelajar yang lebih cekap

diberikan aktiviti pengayaan dengan memberi peluang melayari laman web yang lebih

mencabar minda pelajar Pelajar-pelajar digalakkan menjawab soalan-soalan atau gerak

kerja yang terdapat di dalam laman web seperti http://members tripod.com/zupie/

geografi/html. bagi meningkatkan kecekapan pembelajaran mereka.

PEMBELAJARAN PENEROKAAN (EXPLORATORY)

64

Penggunaan ICT untuk pembelajaran penerokaan berlaku apabila ICT digunakan sebagai

medium untuk :

1. Mencari dan mengakses maklumat daripada CD-ROM, internet, portal maklumat

dan seumpamanya.

2. Mengalami, mempelajari dan mengkaji sesuatu fenomena secara simulasi

3. Melihat demonstrasi sesuatu kejadian yang urutan babaknya boleh dikawal oleh

pelajar.

Dengan kata lain, pembelajaran penerokaan membolehkan pelajar mengawal dan

menentukan maklumat yang diterima melalui ICT. Pendekatan ini adalah berbeza dengan

pembelajaran tutorial yang hanya melibatkan pelajar sebagai penerima bahan

pembelajaran yang dikawal dan ditentukan oleh sistem.

Penggunaan pendekatan penerokaan adalah serasi dan setara dengan pendekatan

konstrutivisme (http://www.gwu.edu/~tip) dengan melibatkan cara pembelajaran yang

memberi penekanan kepada pemupukan pemikiran kritis dan kreatif, menyediakan

panduan dalam penyelesaian masalah, berkongsi pengalaman pembelajaran yang autentik

dan pemupukan pengetahuan yang luas melalui interaksi sosial.

Sebagai contoh yang baik dalam kalangan pelajar kelas Geografi boleh merujuk kepada

maklumat dan bahan daripada World Facts Book di laman web Central Intelligence

Agency (http://www.cia.gov/cia/publications/factbook/index.html) atau boleh merujuk

kepada ensiklopedia dalam talian seperti Encarta (http://www.encarta.msn.com).

Dalam penggunaan ICT, memang tidak dapat dinafikan bahawa wujudnya masalah

kelambatan capaian. Bagi mengatasi masalah ini, guru boleh meminta bantuan guru pakar

dan mahir komputer dalam membuat penduan (mirror) kandungan laman ke dalam cakera

65

keras tempatan dengan menggunakan perisian pendua web seperti WinHTTrack

(http://www.httrack.com).

Selain mengakses maklumat dan bahan-bahan pembelajaran daripada internet, guru boleh

menggunakan maklumat yang disimpan di dalam CD-ROM seperti ensiklopedia,

pangkalan data dan maklumat lain yang dapat diperoleh di pasaran dan jabatan atau

agensi tertentu. Misalnya maklumat pembentangan dalam bentuk MS power point seperti

ekosistem hutan bakau, terumbu karang, laut ke lautan dan pencemaran marin boleh

dilayari dari Pejabat Perikanan Negeri Pahang yang dilengkapi dangan gambar dan grafik

yang amat menarik dan berfaedah kepada pengguna.

Memang nyata ICT amat sesuai digunakan untuk kaedah pembelajaran penerokaan dalam

pengajaran dan pembelajaran Geografi. Dalam pembelajaran berbentuk inkuiri penemuan

dan pembelajaran berbentuk penyelesaian masalah terhadap kehidupan sebenar,

penggunaan cakera padat (CD) "The Times Education Series-A Level Geography

" adalah sesuai untuk dijadikan bahan rujukan. Antara maklumat dan bahan-bahan

pembelajarannya mengandungi sistem atmosfera, proses pergerakan plat tektonik,

kejadian proses sungai, populasi manusia, ekosistem, persekitaran fizikal, petempatan

dan aktiviti industri serta penggunaan tanah dan petempatan manusia yang amat sesuai

dan berguna kepada pelajar.

Dengan ini, kaedah pembelajaran penerokaan melalui penggunaan ICT dapat memberi

peluang kepada pelajar untuk menentukan haluan dan kamajuan pembelajaran masing-

masing. Melalui kaedah ini para pelajar turut dirangsang untuk melibatkan diri secara

lebih aktif di dalam pembelajaran masing-masing dan secara langsungnya dapat

menghilangkan rasa bosan dan seterusnya menjadi lebih bermotivasi untuk mengetahui

lebih banyak maklumat selanjutnya. Susulan daripada ini pihak guru boleh menerapkan

pelbagai teori pengajaran dan pembelajaran moden seperti kostruktivisme, pembelajaran

masteri, multiple intelligence dan lain-lain yang sesuai dengan keadaan penerimaan

pelajar.

66

Pada keseluruhannya, pendekaran ini dapat mematangkan minda pelajar dalam membuat

perbezaan, pemilihan dan seterusnya mengaplikasikan pengetahuan dan kemahiran

geografi untuk menganalisis, memahami dan menerangkan proses kepentingan geografi

dalam kehidupan seharian mereka.

ICT SEBAGAI ALAT APLIKASI

Dalam proses pengajaran dan pembelajaran, ICT merupakan alat aplikasi yang dapat

membantu pelajar dalam melaksanakan tugasan pembelajaran selain dijadikan sebagai

mekanisma penyaluran maklumat pengajaran dan pembelajaran. Penggunaan perisian

hamparan elektronik untuk memplot graf, editor grafik, Computer Aided Design (CAD)

dan lain-lain merupakan alat aplikasi yang dapat digunakan untuk membantu pelajar

melaksanakan aktiviti pembelajaran.

Penggunaan ICT dalam konteks aplikasi dapat dipraktikkan dalam proses pengajaran dan

pembelajaran Geografi di sekolah. Para pelajar dapat menghasilkan tugasan yang

diberikan melalui proses penyuntingan terus daripada sumber asal dengan melakukan

pengolahan kendiri umpamanya membuat perbezaan skala, mentafsir dan membuat

pembacaan peta atau melakukan perbincangan terhadap satu-satu tajuk yang ditentukan

seperti proses pemendapan sungai , sistem hutan bakau dan lain-lain yang berkaitan.

Secara langsungnya para pelajar dapat menyelami sendiri pengalaman hidup seharian

dalam konteks pengoperasian teori pembelajaran sosio-budaya (socio-cultural learning)

melalui pembelajaran kolaboratif. Pembelajaran Kolaboratif setakat ini telah

menunjukkan kejayaan dalam meningkatkan pencapaian prestasi pelajar berbandingkan

pembelajaran individu atau pembelajaran bersaing (Johnson dan rakan-rakan, 1981)

Terdapat enam langkah utama dalam pengajaran kemahiran kolaboratif iaitu:

1. Pelajar harus tahu keperluan kemahiran

2. Pelajar tahu kemahiran yang dipelajari

3. Pelajar perlukan latihan

67

4. Hubungkait kemahiran dengan aktiviti yang dijalankan

5. Interaksi kumpulan

6. Galakkan pelajar untuk kerap menggunakan kemahiran.

Semasa proses pengajaran, guru menerangkan kemahiran kolaboratif dan menunjukkan

demonstrasi bagaimana dilakukan, manakala proses pembelajaran kolaboratif berjalan,

proses menyiasat, pencarian dan aplikasi berpusat kepada pelajar bukan kepada

penyampaian bahan oleh guru (Smith dan Mc Gregor,1992).

Justeru itu, dengan bantuan aplikasi ICT, pelajar akan dapat memberikan tumpuan

melakukan aktiviti pembelajaran yang autentik. Katakan dalam suatu kajian Geografi

yang dilakukan, pelajar perlu mengkaji perkaitan antara dua pembolehubah. Dalam hal

ini kemungkinan banyak graf perlu diplotkan supaya perkaitan antara dua pembolehubah

ini dapat dilihat. Justeru itu, kemahiran membina graf perlu dikuasai oleh pelajar. Tetapi

dalam keadaan sebegini sepatutnya tumpuan diberikan kepada cara melihat perkaitan di

antara dua pembolehubah itu. Tugas membina graf ini kemungkinan terpesong daripada

perkara yang lebih penting. Oleh itu, perisian aplikasi yang sesuai boleh digunakan untuk

membantu pelajar membina graf-graf yang diperlukan.

Selain itu, pelajar perlu mengkelaskan dan menyisihkan data yang banyak untuk melihat

sesuatu trend daripada data dan maklumat yang dikumpul itu. Dengan itu, penggunaan

ICT merupakan alat yang ideal untuk digunakan dalam tugas yang tidak autentik (aitu

mengkelas dan menyisih data yang banyak), manakala pelajar juga boleh menumpukan

sepenuh perhatian kepada tugas yang autentik (iaitu melihat dan memikirkan tentang

trend yang ada di dalam data terbabit).

Kesimpulannya, kelebihan penggunaan ICT sebagai alat aplikasi dalam proses

pengajaran dan pembelajaran boleh memberikan tumpuan kepada melakukan aktiviti

pembelajaran autentik melalui pengajaran guru yang boleh mengemukakan masalah yang

lebih mencabar minda pelajar. Proses ini akan melahirkan pelajar yang dapat

meningkatkan kecekapan dan ketepatan hasil pembelajaran yang dirancang.

68

ICT SEBAGAI ALAT PEMUDAH KOMUNIKASI

Apakah maksud ICT sebagai alat komunikasi? ICT yang digunakan itu membolehkan

guru dan pelajar dari pelbagai lokasi yang berbeza dapat menghantar, menerima dan

berkongsi pelbagai maklumat dan seterusnya menyampaikan kembali maklumat yang

diperoleh itu kepada orang lain. Pelbagai mod dapat dilakukan dalam ICT komunikasi

seperti teks, grafik, audio, video dan kombinasi secara integrasi daripada pelbagai mod.

Secara amnya terdapat empat teknik yang digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran

melalui ICT komunikasi iaitu :

1. Teknik seorang secara sendirian

2. Teknik seorang dengan seorang yang lain

3. Teknik seorang kepada ramai orang

4. Teknik ramai orang kepada ramai orang yang lain

Salah satu model pembelajaran terkini yang cenderung menggunakan ICT sebagai alat

komunikasi ialah Pembelajaran Kooperatif. Menurut Johnson, Johnson & Holubee

(1990), pembelajaran ini melibatkan lima prinsip asas iaitu :

1. SALING PERGANTUNGAN SECARA POSITIF

Dalam prinsip ini semua ahli kumpulan saling bergantungan di antara satu sama

lain untuk mencapai matlamat yang sama. Ganjaran untuk kumpulan dipengaruhi

oleh ganjaran yang diperoleh oleh ahli kumpulan. Ganjaran merupakan cara

terbaik untuk menggalakkan pergantungan positif ( Slavin, 1990). Ahli kumpulan

saling bergantungan dalam memainkan peranan masing-masing untuk

menyiapkan tugasan yang telah ditetapkan seperti perakaman, penulisan,

pembentangan, pencarian sumber dan bahan serta penilaian yang dilakukan secara

bergilir-gilir. Aktiviti saling bergantungan dalam perolehan sumber juga berlaku

69

untuk perkongsian pengetahuan, maklumat, bahan, sumber dan peralatan bagi

melengkapkan sesuatu tugasan.

2. KEMAHIRAN PEMBELAJARAN KOLABORATIF

Kemahiran seumpama ini adalah sama seperti yang dijelaskan di dalam

prinsip pertama di atas. Rujuk juga di bahagian ICT sebagai alat aplikasi.

3. INTERAKSI SESAMA AHLI KUMPULAN

Pembelajaran berlaku dengan perkongsian idea, kepercayaan dan penulisan

melalui interaksi sesama ahli kumpulan. Proses pembelajaran ini membantu

pelajar menyelesaikan sebarang masalah, membantu mereka menilai keupayaan

kumpulan dan seterusnya berusaha untuk memantapkan keupayaan kumpulan.

4. KEBERTANGGUNGJAWABAN /AKAUNTABILITI INDIVIDU.

Setiap ahli kumpulan memainkan peranan masing-masing dengan memberi

dorongan dan sokongan kepada ahli-ahli yang lain. Walaupun pelajar mengikuti

pembelajaran secara berpasukan, namun ujian yang diduduki adalah bersifat

secara individu. Setiap pelajar mempunyai peluang yang sama untuk berjaya.

Dengan itu, setiap individu pelajar perlu berusaha dengan bersungguh-sungguh

untuk meningkatkan pencapaian masing-masing di samping dapat meningkatkan

pencapaian pasukannya.

5. INTERAKSI SECARA BERSEMUKA

Pelajar perlu berinteraksi secara bersemuka untuk mendapat perkongsian idea,

sumber dan maklumat. Ini bertujuan untuk menjadikan proses pembelajaran akan

menjadi lebih efektif dan aktif. Ahli-ahli kumpulan dapat mempelajari sendiri

dalam menilai perbezaan individu, menganalisis dan memberi komen tentang

bahan-bahan daripada kumpulan lain.

70

Penggunaan komunikasi melalui ICT ini mewujudkan situasi yang memberi kesan

terhadap pembelajaran untuk menarik minat pelajar terhadap Geografi. Proses

pembelajaran seperti membolehkan pelajar bertukar maklumat berkaitan sosio-budaya,

cara hidup dan keadaan geografi setempat membolehkan mereka menganalisis dan

membuat perbandingan pengalaman sesama mereka. Ini seterusnya membolehkan

mereka membuat pelaporan sesuatu projek/kajian/eksperimen dengan memahami dan

seterusnya menerangkan peranan Geografi di dalam kehidupan mereka seharian.

Memang jelas bahawa kelebihan pengajaran dan pembelajaran yang menggunakan ICT

sebagai alat komunikasi akan membolehkan pembelajaran koperatif dan kolaboratif

dilaksanakan seperti yang ditekankan di dalam kurikulum Geografi. Selain itu, ia dapat

meningkatkan penglibatan pelajar dalam proses pembelajaran melalui rakan sebaya yang

bersifat global bersesuaian dengan matlamat dan falsafah pendidikan. Penggunaan

pendekatan ini juga dapat melibatkan pakar di dalam dan di luar negara dalam

memantapkan lagi proses pengajaran dan pembelajaran Geografi di sekolah khususnya di

Malaysia.

PENUTUP

Dalam era dunia berteknologi maklumat dan siber, maklumat dapat diperoleh dengan

mudah dan cepat melalui internet dan laman web. E-pembelajaran adalah salah satu

strategi dan saluran utama untuk mendapatkan maklumat dan seterusnya menggunakan

kaedah tersebut di dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Demikian juga dengan

pengguaan ICT dalam proses pengajaran dan pembelajaran Geografi. Ilmu pengetahuan

yang terdapat di dalam Bidang Geografi pada hari ini turut berkembang pesat mengikut

perubahan arus pembangunan global. Maka dengan itu sudah tiba masanya untuk

pengamal Geografi menggunakan segala kemahiran yang ada dalam bidang teknologi

maklumat untuk diaplikasikan dalam proses pengajaran dan pembelajaran Geografi di

sekolah. Semoga perbincangan secara konsep ini dapat dikongsikan bersama dalam

71

melestarikan kepenggunaan ICT demi keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran

Geografi di sekolah.

Berikut disenaraikan laman web yang boleh membantu dalam mengakses maklumat

untuk dijadikan rujukan dalam proses pengajaran dan pembelajaran Geografi di sekolah:

1. Hakisan Ombak Bentuk muka bumi dan hakisan ombak menyebabkan perubahan pada bentuk muka bumi di pinggir laut dan menghasilkan pandang darat pinggir laut. http://members.tripod.com/inani/hakisomb.htm More Result From : members.tripod.com

2. Nota Ringkas Gunung Berapi dan Gempa Bumi Pergerakan plat-plat juga menyebabkan berlakunya letusan gunung berapi. …. Gempa Bumi Gunung Berapi….. http://www. Geocities.com/tmx21my/Bencana.htm More Result From : www.geocities.com

3. e-Smartschool…Gunung Berapi Bagaimana Gunug Berapi Terbentuk?.. Pada tahapan ini, gunung berapi menyemburkan bermacam gas, debu dan pecahan batuan.http://www. E-smartschool.com.pnu/002/PN0020001.asp More Result From : www.e-smartschool.com

4. Pencemaran Pencemaran Alam Sekitar - merupakan suatu kesan negatif tindakan manusia terhadap alam ini. Pencemaran ini boleh terbahagi kepada empat bahagian. ….. http://www. epelajar.com/alam/pencemaran.htm More Result From: www.epelajar.com

5. Pencemaran Sungai Pencemaran sungai. Bagaimana sungai tercemar? Sebuah sungai dianggap sumber air. Mengukur pencemaran sungai. Bagaimana? Terdapat ….. http://202.190.194.3/Jaring/SG/BM/pencemaran.htm More Result From: 202.190.194.3

6. Pengertian Pencemaran Air Pengertian Pencemaran Air. Dari Perpespektif Hukum. Hendra Setiawan. Pusat pengendalian Pencemaran Air? BAPEDAL. August 2001. …. http://www. bapedal.go.id/airnet/Artikel01.htm

72

More Result From: www.bapedal.go.id

7. Pencemaran Udara …Pencemaran Udara!!! … Dalam laman web ini kita akan membincangkan punca pencemaran udara, langkah mengatasi dan kesan terhadap semua benda hidup. … http://members.tripod.com/~Ittan/ More Result From: members.tripod.com

8 e-SmartSchool …Terjadinya Gerhana Bagaimana Matahari, Bumi dan Bulan bergerak?…. Ketika hal ini terjadi maka inilah disebut dengan Gerhana …. http://www. E-smartschool.com.pnu/0012/PNU0010003.asp More Result From: www.e-smartschool.com

9. Pengenalan Pengenalan: Sistem Suria terdiri daripada :- Matahari; 9 planet dan 68 satelit atau bulannya; objek-objek lain seperti komet dan asteroid. ….. http://nebula.spaceports.com/~abex85/pengenalan.htm. More Result From: nebula.spaceports.com

10. Alam semesta dan keluasannya …. Seterusnya kita ke planet-planet di luar orbit bumi ke planet terbesar dalam sistem suria, Musytari. Cahaya dari …. Http://lhuda.mmu.edu.my/falak/alamsemesta.html ta.html

11. Tahukah Anda? …Ribut ini telah berterusan sejak Musytari dapat dilihat melalui teleskop. Ia mungkin merupakan ribut paling lama bertahan di seluruh Sistem Suria. …. http://uniword1.tripod.com/Spc/Trivia-bmy.html More Result From: uniworld1.tripod.com

12. Subsistence Wet Rice Farming http://www.riceweb.org http://www.asiarice.org

13. Plantation Agriculture http://www.porim. gov.my http://www.porla.gov.my

14. Current Trends in Agriculture http://www.fao.org?WAICENT/FAOINFO/AGRICULT/Default.htm http://www.porim.gov.my http://www.agbios.com

73

15. Global Industrial Shifts http://www.odci.gov/cia/publication/factbook/ch.html http://wwwasiapac.net http://workinfonet.bc.a/Imisi/making/chapter2/TANDG5.HTM

RUJUKAN

1. Means, Barbara.(Ed.), 1994, Technology and Education Reform, Jossey Bass Publishers, San Francisco.

2. Perkins, D. 1992. Smart Schools-Better Thinking and Learning For Every Child. New York: The Free Press.

3. Clack, Jeanne and Sun, Jeff, 1996, Technology Implementation In Warren Country Kentucky Public School : An Evaluation Of Instructional and Administrative System. unpublished

4. ______________ 1977. 'Effects of Multimedia on Education'. Computimes New Straits Times, March 27, 54.

5. Palany, P. 1997. 'A Paradigm Shift in Learning System' dalam New Straits Times, Oktober 21 m.s. 7.

6. Kementerian Pendidikan Malaysia, 2001. Penggunaan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) dalam Pengajaran dan Pembelajaran. Pusat Perkembangan Kurikulum. Kuala Lumpur.

7. Ismail Zain, 2003. "Pelajar Cemerlang: Melangkah Ke Alam Siber " Utusan Publication & Distributors, Kuala Lumpur.

8. Rozinah Jamaludin, 2000. Asas-Asas Multimedia Dalam Pendidikan. Utusan Publication & Distributors, Kuala Lumpur.

9. Johnson, D., Johnson, R., & Holubec,E. 1990. Circles of Learning: Cooperation In the Classroom. Edina, MN: Interction Book Company.

10. Slavin, R.E 1990. Cooperative Learning, Theory, Research and Practice, Englewood Cliffs, N.J : Prentice Hall.

11 Smith, B., Mac Gregor, J. 1992. What is Collaborative Learning? in A Goodsell and Others (eds). Collaborative Learning: A Source Book for Higher

Education. University Park, National Center on Post Secondary Teaching and Learning Assesment

74

12. American Association for Advancement Of Science, 1989. Technology-Report of the Project 2061, Phase 1 Technology Panel, U.S.A.

13. http://www.msc.com.my http://www.uwf.edu/coe/tutorial/technolo/coursewa/crsware.htm http://www.gwu.edu/~tip http://www.pcma.org/toolbox/ccandmore/tool-glosarry.htm

75