hubungan alam melayu-turki-hasrizal abd jamil

Upload: azrulabdullah6911

Post on 29-May-2018

370 views

Category:

Documents


47 download

TRANSCRIPT

  • 8/9/2019 Hubungan Alam Melayu-Turki-Hasrizal Abd Jamil

    1/15

    Hubungan Alam Melayu Turki

    Merentasi Sejarah

    Susunan:Hasrizal Abdul Jamil, B.A. (Hons.) SHARIA Mutah University, Jordan

    Suntingan buku: Islamic Identity And Development: Studies of

    the Islamic Periphery oleh Mehmet Ozay

    PENDAHULUAN

    Menulis kembali sejarah dengan disiplin ilmu yang lebih berjiwa Islam adalah

    tuntutan semasa yang perlu dipenuhi. Seluruh individu manusia akur bahawa

    pengolahan sejarah itu sebenarnya memainkan peranan yang penting di dalam usaha

    menentukan hala tuju sebuah tamadun. Sejarah Malaysia adalah di antara lembaran

    Tarikh yang berhajatkan kepada usaha seperti ini. Setakat ini kita masih belum

    1

  • 8/9/2019 Hubungan Alam Melayu-Turki-Hasrizal Abd Jamil

    2/15

    mampu mengolah sejarah negara kita sehingga ia berpotensi menjadi wadah

    kebangkitan ummah.

    Membahas persoalan bagaimana hubungan Alam Melayu dan Turki itu terbentuk

    adalah salah satu daripada marhalah penting ke arah yang telah disebutkan sebentar

    tadi. Kedua-dua alam ini sebenarnya membentuk satu pertiga dari komuniti umat

    Islam dan sebarang catatan yang membabitkan isu ini mesti diolah dengan disiplin

    akademik yang sihat.

    Penulis semasa di PerpustakaanYildiz, Istanbul

    Di sana terdapat beberapa tulisan yang telah

    menyentuh tajuk ini sama ada secara langsung atau

    pun sebaliknya. Mungkin kita boleh meluangkan

    sedikit masa meneliti tulisan Snouck Hurgronje,

    Anthony Reid, Zaba, Mehmet Ozay dan beberapa

    tulisan lain yang diusahakan oleh pengkaji sejarah

    Malaysia dan Indonesia. Namun begitu, setakat yang

    dilihat tulisan-tulisan berkenaan kurang memberikan

    penekanan terhadap Islam dan peranan yang

    dimainkannya di dalam isu berkenaan.

    Ia lebih menjurus ke arah mencatat perjalanan politik tempatan (berdasarkan ideologi

    penulis itu sendiri) dan ada kalanya bercampur aduk dengan fakta-fakta melampau

    yang diragui kesahihannya.

    Walau bagaimanapun, penulis tidak dapat menjanjikan sesuatu yang baru dan luar

    biasa menerusi artikel ini kerana beberapa masalah. Antaranya seperti yang biasa

    dihadapi oleh mereka yang cuba mengkaji sejarah Daulah Othmaniah, kita terpaksa

    berhadapan dengan sumber-sumber asli berbentu manuskrip, akhbar-akhbar dan

    karangan yang belum disaring antara yang sahih dan sebaliknya. Keduanya, artikel ini

    ditulis jauh dari pusat di mana sumber-sumber asli itu boleh dperolehi. Kebanyakan

    masdar yang berkaitan terdapat di beberapa buah perpustakaan di London,

    Perpustakaan Kongres di Washington dan pusat terdekat yang sempat dilawati

    hanyalah Perpustakaan IRCICA di Istana Yildiz, Istanbul. Banyak cacatan adalah

    berpandukan kepada buku Islamic Identity And Development: Studies of the Islamic

    Periphery oleh Mehmet Ozay (1992, ISBN 0-415-04386-7). Akan tetapi, dengan

    2

  • 8/9/2019 Hubungan Alam Melayu-Turki-Hasrizal Abd Jamil

    3/15

    berpandukan rujukan oleh beliau, penulis cuba mendapatkan sendiri bahan-bahan

    berkenaan bagi memperkembangkan lagi tajuk untuk memberikan penekanan kepada

    aspek-aspek yang kurang disentuh oleh Mehmet Ozay. Oleh yang demikian, penulis

    berharap agar artikel ini dipandang sebagai pengenalan dan kemudiannya

    menggalakkan pembaca mengkaji sendiri secara lebih ilmi dan berakademik.

    TURKI MENGENAL PASTI IDENTITINYA

    Menentukan siapakah yang dimaksudkan dengan bangsa Turki itu bukanlah satu

    perkara yang mudah. Namun begitu secara ringkasnya bolehlah kita catatkan seperti

    berikut:

    Bangsa Turki merujuk kepada sekumpulan kaum Nomad yang menghuni Gunung

    Altai di Utara Mongolia dan dataran Asia Tengah. Mereka bertutur di dalam Bahasa

    Turki yang berasal dari rumpun Bahasa Ural-Altaic yang menjangkau bilangan lebih

    daripada 200 juta orang penutur pada hari ini. Bangsa Turki kini boleh dibahagikan

    kepada dua kumpulan utama iaitu Turki Timur dan Turki Barat1. Turki Timur

    meliputi kaum Turki dan pecahan-pecahannya di China, Asia Tengah, Iran dan

    bangsa Caucas Rusia. Manakala Turki Barat pula terdiri daripada penduduk Republik

    Turki hari ini, di Balkan dan sekumpulan kecil penduduk Cyprus.

    MENYUSUN AGENDA PERBINCANGAN

    Hubungan antara kedua-dua alam ini telah pun bermula semenjak kurun ke 13M. Ia

    terus berlangsung sehinggalah ke era Perang Dunia Pertama dan seterusnyamemainkan peranan yang tersendiri di dalam design politik Malaysia yang akan

    dibincangkan kemudian2. Oleh yang demikian, kita akan membahagikan peringkat

    kelangsungan hubungan ini kepada tiga marhalah utama iaitu hubungan klasik awal,

    era Perang Dunia Pertama dan seterusnya zaman berakhirnya Khilafah Othmaniah

    dan pembentukan Republik Turki oleh Ataturk.

    1

    Czaplika, M.A. (1918), The Turks of Central Asia, Oxford: Clarendon Press.2 Ozay, Mehmet (1992), Islamic Identity And Development, London: Rutledge, m.s. 23.

    3

  • 8/9/2019 Hubungan Alam Melayu-Turki-Hasrizal Abd Jamil

    4/15

    PERINGKAT PERTAMA HUBUNGAN KLASIK AWAL

    Ramai pengkaji sejarah cuba mengemukakan beberapa teori ke arah membuktikan

    bagaimana Islam itu sampai ke Kepulauan Melayu. Di antara teori yang masyhur

    adalah Teori Pedagang Arab yang dikemukakan oleh Snouck Hurgronje. Beliau

    menceritakan bagaimana askar Belanda telah memasuki wilayah Pasai dan

    menjumpai batu nesan bertulis Arab yang terdiri daripada ayat-ayat Al-Quran dan

    nama tokoh cendiakawan dari Sumatera Pasai. Antaranya ialah3:

    i. Nesan Pangeran Abbasiah Abdullah bin Muhammad bin Abd al-Kadir bin

    Abdul Aziz bin al-Mansur Abu Jafar al-Abbasi al-Muntasir Billah - Amiral-Muminin Khalifah Rabbal Alamin mangkat Disember 1407.

    ii. Mangkat 1408, Ibn as-Sultan Zain al-Abidin bin as-Sultan Ahmad bin as-

    Sultan Muhammad bin Salih. Beliau merujuk kepada asal usul kewujudan

    beberapa perkampungan Arab di Indonesia yang membuktikan perkara

    yang sama.

    Namun demikian, teori tersebut tidak mampu memberikan keyakinan yang penuh

    kepada kita apabila persoalan bagaimana Islam itu tiba, siapakah pendakwah itu, dan

    seterusnya bagaimana Islam itu mampu kekal, tersebar dan menjadi darah daging

    masyarakat Kepulauan Melayu khususnya penduduk kawasan persisiran pantai

    dibangkitkan. Selepas penguasaan Portugis di Melaka pada tahun 1511, Kristian

    menemui kegagalan untuk bersaing dengan Islam sedangkan jika kita berpegang

    kepada teori Snouck Hurgronje tadi, sepatutnya Kristian mampu mengambil tempat

    Islam bahkan usaha mereka lebih tersusun dan bertanzim. Apatah lagi, kita meyakini

    bahawa kedatangan Portugis dan Belanda ke Kepulauan Melayu bukanlah semata-

    mata didorong oleh keinginan mereka menguasai pasaran rempah bahkan lebih

    daripada itu melangsungkan misi Kristianisasi dan membawa panji Perang Salib ke

    rantau tersebut4.

    3Hurgronje, Snouck (1994), Kumpulan Karangan Snouck Hurgronje jilid IX, Jakarta: INIS.

    4

    Fatimi, S.Q. (1963), Islam Comes to Malaysia, Singapore: Malaysian Sociological Research Institute,

    m.s. 80-90.

    4

  • 8/9/2019 Hubungan Alam Melayu-Turki-Hasrizal Abd Jamil

    5/15

    Kajian semasa yang dibuat oleh pengkaji barat menyimpulkan bahawa gerakan

    Kristianisasi menemui kegagalan kerana mubaligh mereka menggunakan kekerasan

    dan paksaan sedangkan pendakwah Islam terus beriltizam dengan uslub yang

    berhemah melalui dakwah dan hubungan sosial yang sihat5.

    Gerakan Dakwah Islamiah di Asia Tenggara mencapai kemuncaknya pada kurun ke-

    13M. Pengaruh Islam terus menuju ke Kepulauan Melayu dari Benua Kecil India

    yang pada masa itu berada di bawah pemerintahan Kerajaan Mogul-Turki. Para

    Masyaikh dan ahli sufi menjadi tenaga penggerak utama membentuk tarikat, bergaul

    dengan masyarakat tempatan dan berkahwin campur semata-mata untuk menyebarkan

    Islam sebagai rahmat kepada seluruh alam. Ajaran mereka ini berjaya tampil sebagai

    suatu misi yang menyokong kemajuan, bertoleransi dan seterusnya mempunyai masa

    depan yang cerah dan boleh diharapkan di kalangan rakyat tempatan. Islam juga

    berjaya membebaskan masyarakat tempatan daripada perhambaan dan

    pengexploitasian tenaga manusia yang mana menjadi igauan buruk penduduk

    Kepulauan Melayu pada masa itu.

    Berbalik kepada persoalan utama kita tadi, siapakah sebenarnya yang dimaksudkan

    dengan Masyaikh dan ahli sufi itu tadi? Di sana terdapat beberapa bukti yang

    memahamkan kepada kita tentang penglibatan orang Turki dan seterusnya menjawab

    persoalan itu tadi. Seorang pengkaji sejarah Perancis pada kurun ke-18 telah

    menyebut:

    Thus this religion (i.e. Islam) which has nothing very disgustful in it, establishing

    itself by degrees in sundry places, and because yet more powerful when some Moors

    or Arabians, who were raised to the first employments in the court of Cambaya and

    Guzerat, drew thither a great number of the Asian Turks, called Rumis, some of whom

    made themselves masters of some ports, as Melique Az, who made a considerable

    settlement at Din, where he was long time troublesome to the Portuguese. From the

    continent they passed to the Molucca Island, where they converted their kinds of

    Tidor and Ternate to their religion.6

    5

    Ozay, Mehmet (1992), m.s. 246 Fatimi, S.Q., m.s 81

    5

  • 8/9/2019 Hubungan Alam Melayu-Turki-Hasrizal Abd Jamil

    6/15

    Orang Rumi yang disebutkan di dalam petikan di atas adalah orang Turki Othmani.

    Begitu juga, secara tradisinya, Sultan Othmani dikenali di kalangan penduduk

    Kepulauan Melayu sebagai Raja Rum7. Manakala pada tahun 1511, Melaka telah

    jatuh ke tangan Portugis. Sepanjang kurun ke-16 dan 17, pemerintah Daulah

    Othmaniah telah beberapa kali cuba menghantar bantuan ketenteraan tetapi gagal.

    Kedudukan Acheh sebagai Serambi Mekah dan tumpuan laluan Selat Melaka

    menggantikan Melaka telah membawanya kepada penglibatan yang lebih besar

    dengan kuasa pemerintah di Asia Barat. Sultan Ala ad-Din Riwayat Shah al-Kahar

    (1537-71) telah memulakan langkah secara rasmi memohon bantuan ketenteraan

    daripada Daulah Othmaniah yang pada masa itu berada di bawah pemerintahan Sultan

    Sulaiman al-Kanuni. Hal seumpama ini dapat dibuktikan berdasarkan kepada lambang

    merah Kerajaan Othmaniah yang digunakan oleh Sultan. Begitu juga dengan meriam

    Lada Setjupakyang berfungsi sebagai pertahanan kepada kubu dalaman kerajaan

    Acheh yang diberikan oleh pemerintah Othmaniah melalui Dutanya. Acheh juga

    menawarkan penghormatan tahunan berupa ufti yang biasa diamalkan di dalam politik

    serantau Kepulauan Melayu tetapi ditolak oleh pemerintah Othmaniah memandakan

    kedudukan geografi Acheh yang begitu jauh8.

    Hubungan akrab di antara Acheh dan Daulah Othmaniah telah berperanan

    mempertahankan kemerdekaannya selama lebih 300 tahun. Setiap kali Eropah cuba

    mengancam Acheh, maka hubungan antara kedua belah pihak itu tadi kembali hangat

    dan diperbaharui roh dan semangatnya. Pada tahun 1850, perlindungan Othmani

    kepada Acheh ini telah disahkan semula di dalam dua Ferman yang dikeluarkan oleh

    Sultan Abdul Majid. Akan tetapi ia tidak didedahkan kepada umum sebagaimana

    yang biasa dibuat mengikut disiplin diplomatik kuasa-kuasa Eropah. Perlindungan

    Othmani kepada Acheh ketika berhadapan dengan serangan Belanda terakam di

    dalam 65 catatan di Acheh yang kemudiannya sampai kepada catatan wakil Belanda

    di Istanbul pada tahun 1869. Berita ini mendesak pemerintah Belanda supaya

    7Hurgronje, Snouck (1906), The Achenese (2 Jilid), Leyden: Brill.

    8

    Reid, Anthony (1969), The Contest of North Sumatra, Kuala Lumpur: University of Malaya Press,

    m.s. 3

    6

  • 8/9/2019 Hubungan Alam Melayu-Turki-Hasrizal Abd Jamil

    7/15

    memberikan tumpuan yang lebih serius terhadap segala permasalahan yang timbul

    khususnya yang membabitkan hubungan Acheh Othmani9.

    ...Pada tahun 1850, perlindunganOthmani kepada Acheh ini telah

    disahkan semula di dalam dua

    Ferman yang dikeluarkan oleh

    Sultan Abdul Majid. Akan tetapi ia

    tidak didedahkan kepada umum

    sebagaimana yang biasa dibuat

    mengikut disiplin diplomatik kuasa-

    kuasa Eropah...

    Ekoran daripada itu, pemerintah Acheh telah menghantar wakilnya Abdul Rahman

    az-Zahir ke Istanbul bagi mendapatkan bantuan Khalifah. Peribadi Abdul Rahman

    tercatat di dalam media massa Istanbul pada masa itu yang menyifatkan beliau

    sebagai seorang yang dianugerahkan dengan kecerdikan yang luar biasa dan

    penampilan minda yang mengagumkan10. Beliau telah belayar dari Pulau Pinang ke

    Istanbul bersama Nyak Abas, seorang pengusaha tanaman lada hitam. Bersama

    mereka adalah surat Sultan Mahmud sebagai bukti terhadap keakraban hubungan

    Acheh Istanbul dan mereka tiba di ibu kota Daulah Othmaniah itu pada 27 April

    1873.

    Sepanjang tahun 1869 1873, masalah Acheh menjadi isu utama di dalam polisi luar

    Daulah Othmaniah. Midhat Paa telah menjadikan isu Acheh sebagai modal beliau ke

    arah memperbaiki imejnya yang terjejas ekoran kegagalan beliau melaksanakan tugas

    sebagai Menteri Utama di dalam kabinet Istanbul. Pada tahun 1568, Acheh telah

    melancarkan serangan besar-besaran ke Melaka bersama 20 ribu askar yang mana 400

    9

    Ibid, m.s 65 - 6610 Ibid, m.s. 119

    7

  • 8/9/2019 Hubungan Alam Melayu-Turki-Hasrizal Abd Jamil

    8/15

    daripadanya adalah orang Turki tetapi terpaksa akur kepada kekuatan pertahanan

    Portugis lantas sekali lagi menemui kegagalan11.

    Dalam pada itu, media massa di Istanbul terus memainkan peranan menarik perhatian

    masyarakat tempatan kepada isu Acheh.Basiret, akhbar harian utama di Istanbul pada

    ketika itu menyeru supaya armada Othmani dihantar ke Sumatera12. Walaupun pada

    masa tersebut pelbagai ikhtiar secara diplomatik diusahakan oleh pemerintah

    Othmani, kerajaannya sendiri sudah terlalu lemah untuk menyelamatkan Acheh

    sebagaimana yang dilakukan pada masa-masa sebelumnya.

    Akan tetapi, umat Islam di Indonesia dan di Malaysia terus menaruh harapan agar

    pemerintah Othmani berusaha membebaskan mereka daripada cengkaman pemerintah

    Belanda dan Inggeris. Sultan Pahang juga pernah cuba membuat hubungan dengan

    kerajaan Othmaniah dan tidak setakat itu, terdapat juga beberapa usaha menegakkan

    pemerintahan Islam di Kelantan dan Patani supaya dapat kemudiannya bernaung di

    bawah pemerintahan Daulah Othmaniah. Mungkin kita boleh menilai catatan yang

    dibuat oleh ahli kapal Ertuulyang diutus oleh kerajaan Othmaniah ke Jepun pada

    sekitar tahun 1888-89. Melalui Suez mereka telah singgah di beberapa buah

    pelabuhan seperti Aden, Bombay, Ceylon, Singapura, Saigon dan Hong Kong. Ahli

    kapal tersebut telah naik ke darat untuk bersolat Jumaat dan apa yang mengejutkan

    ialah apabila mereka mendapati nama Sultan Abdul Hamid II disebut di dalam doa

    Khutbah Jumaat13. Raja Selangor pada masa itu juga telah menulis surat untuk

    diserahkan kepada rombongan berkenaan sebagai usaha baginda mendapatkan

    bantuan daripada Khalifah Othmani tetapi tidak berjaya apabila rombingan tersebut

    berlepas lebih awal daripada yang dijadualkan.

    11Wahid, Zainal Abidin (1980), Glimpse of Malaysian History, Kuala Lumpur: DBP, m.s. 38.

    12 Reid, Anthony (1969), Indonesian Diplomacy: a documentary study of Atjehnese foreign policy in

    the reign of Sultan Mahmud 1870-1874, Journal of the Malay Branch of the Royal Asiatic Society

    (JAMBRAS), jilid 42, bahagian 2, m.s. 121

    13

    Landau, Jacob M (1994), The Politics of Pan-Islam: Ideology and Organization, Oxford: Clarendon

    Press, m.s. 43

    8

  • 8/9/2019 Hubungan Alam Melayu-Turki-Hasrizal Abd Jamil

    9/15

    PERINGKAT KEDUA DI AMBANG PERANG DUNIA

    PERTAMA: PAN-ISLAM DI ALAM MELAYU

    Sultan Abdul Hamid II

    Pan-Islam adalah rencana Sultan Abdul

    Hamid II yang membingungkan kuasa

    barat. Snouck Hurgronje menyifatkan

    kegiatan Pan-Islam ini sebagai tindakan

    yang berbahaya tetapi sia-sia14. Walau

    bagaimanapun, impian Sultan Abdul

    Hamid II menyatukan umat Islam di

    bawah panji-panji Khilafah Othmaniah

    ini perlu diulas secara terpeinci kerana ia

    telah membuka lembaran baru kepada

    hubungan alam Melayu-Turki bagi

    marhalah kedua.

    Pan-Islam terus menjadi sebab yang mendorong kepada kebimbangan kuasa kolonial

    Inggeris dan Belanda di Kepulauan Melayu. Sebagaimana yang telah disebutkan tadi,

    Sultan Othmani dihormati secara tradisi di kalangan umat Islam di Kepulauan

    Melayu. Sultan Abdul Hamid II yang menjadi harapan terakhir umat Islam dianggap

    sebagai Gods Shadow On Earth. Baginda memandang bahawa umat Islam tidak

    akan mampu berhadapan dengan Barat kecuali mereka bersatu di bawah bendera

    Khilafah. Lantas baginda telah menghantar ribuan duat ke seluruh dunia di mana

    adanya umat Islam bagi menyampaikan mesej risalah Pan-Islamnya.

    Walau bagaimanapun, gerakan Pan-Islam di Timur Tengah sudah banyak ditulis.

    Akan tetapi kesan dan pengaruh rencana besar ini terhadap umat Islam di Kepulauan

    Melayu masih kurang mendapat tempat di gelanggang penulisan sejarah masyarakat

    kita, atau kurang didedahkan kepada pembacaan umum. Di sana terdapat beberapa

    peristiwa penting yang berlaku di Malaysia dan Indonesia hasil seruan Sultan Abdul

    14 Hurgronje, Snouck (1994), Kumpulan Karangan Snouck Hurgronje jilid IX, Jakarta: INIS, m.s 102.

    9

  • 8/9/2019 Hubungan Alam Melayu-Turki-Hasrizal Abd Jamil

    10/15

    Hamid II tetapi kebanyakannya tersimpan tanpa perhatian... atau disembunyikan atas

    sebab-sebab yang maklum.

    Sebagaimana yang tercatat, Konsul Othmani di Jawa, Sadik Bey cuba

    mempertahankan hak umat Islam yang dizalimi oleh pemerintah Belanda15. Begitu

    juga Duta pemerintah Othmani di Batavia, Muhammad Kamil Bey (1897-99). Beliau

    telah banyak melancarkan gerakan Pan-Islam Sultan Abdul Hamid II di Kepulauan

    Melayu dan sebagai natijah yang sesuai dengan gerakan tersebut, beliau telah diusir

    oleh Belanda kerana mencetuskan kebangkitan umat Islam di rantau berkenaan16.

    Akan tetapi, kegiatannya itu telah berjaya menarik perhatian umum di Istanbul supaya

    menyedari tentang ketidak adilan penjajahan kuasa Kolonial di Asia Tenggara.

    Manakala dari sudut yang lain pula, kegiatannya telah menimbulkan sensitiviti orang

    Melayu terhadap aliran baru pembaharuan dan nasionalisma yang wujud di Timur

    Tengah. Semenjak tahun 1897, akhbar-akhbar Istanbul sepertiIdkam danAl-Malumat,

    Thamarat al-Funun di Beirut dan beberapa akhbar di Mesir mengadakan hubungan

    kewartawanan dengan Batavia dan Singapura. Pelbagai berita disiarkan di akhbar-

    akhbar berkenaan menceritakan tentang kekejaman Inggeris dan Belanda di rantau

    tersebut17.

    Senario ini telah menimbulkan kesan yang nyata kepada pemikiran orang Melayu dan

    kemudiannya mencetuskan marhalah baru di dalam perkembangan ideologi orang

    Melayu dengan terbentuknya dua haluan yang dikenali sebagai Kaum Tua dan Kaum

    Muda18. Sebuah lagi catatan penting ekoran daripada gerakan Pan-Islam Sultan Abdul

    Hamid II adalah tercetusnya Dahagi Singapura pada tahun 1915. Sehingga pada hari

    ini, sebab sebenar yang mencetuskan Dahagi tersebut masih belum didedahkan

    kepada umum kecuali dengan beberapa andaian yang berhasil semenjak beberapa

    tahun yang lalu. Ini berikutan daripada polisi Britain sendiri yang merahsiakan

    perkara tersebut. Dahagi ini sebenarnya bermula ekoran daripada bantahan askar India

    15 Lihat E. Kuran, Pan IslamizmIn Dogusu m.s. 399 (dicatat oleh Mehmet Ozay)

    16 Landau, Jacob M (1994), m.s. 43

    17Ozay, Mehmet (1992) m.s. 26-27

    18

    Roff, William R. (1967), The Origins of Malay Nationalism, Kuala Lumpur: University of Malaya

    Press, fasal ke-3.

    10

  • 8/9/2019 Hubungan Alam Melayu-Turki-Hasrizal Abd Jamil

    11/15

    dan Melayu Muslim daripada dihantar ke Timur Tengah bagi menyertai tentera Arab

    menentang pemerintahan Khilafah Othmaniah semasa Revolusi Arab 1916.

    Cubalah kita renungkan bagaimana kedudukan kita di mata Inggeris. Di manakah

    munasabahnya untuk kita ini dihantar menyertai Revolusi Arab yang sudah mabuk

    Asabiah itu (walaupun kita akur dengan kecacatan yang tidak sedikit di dalam

    pemerintahan Khilafah Othmaniah pada akhir zaman penguasaannya)?19 Kassim Ali

    Mansoor adalah individu penting yang memainkan peranan di sebalik Dahagi

    tersebut.

    Beliau mengetuai gerakan menentang tindakan cabul Inggeris itu dan kemudiannya

    dihukum gantung atas tuduhan memiliki satu salinan surat yang telah dihantar kepada

    anaknya sebagai utusan peribadi kepada Konsul Kehormat Othmani di Rangoon.

    Inggeris sememangnya bimbang terhadap potensi natijah yang bakal dicetuskan oleh

    Dahagi ini sehingga mereka tidak pernah menjelaskan sebab sebenar kepada insiden

    tersebut20.

    PERINGKAT KETIGA KEJATUHAN KHILAFAH DAN

    KEMALISMA

    Daulah Othmaniah adalah benteng terakhir umat Islam. Sultan Abdul Hamid II pada

    era pemerintahannya bersendirian di dalam kabinet berhadapn dengan menteri-

    menteri yang telah kekenyangan dengan teori-teori Barat. Usaha Pan-Islamnya

    seakan-akan dipersendakan oleh kaca mata Eropah dan menganggapnya sebagai

    tindak balas The Sick Man of Europe.

    Daya tarikan yang mendorong kepada timbulnya perhatian alam Melayu kepada Turki

    adalah soal Khilafah. Sultan Othmani umumnya diertikan sebagai simbol kepada

    penyatuan ummah. Pada bacaan politik ketika itu, kuasa dan pengaruh Kerajaan

    Othmaniah terus bertambah. Walaupun keadaan Daulah Othmaniah pada ketika itu

    19

    Harper, R.W.E. dan Miller, Harry (1984) Singapore Mutiny, Singapore: Oxford University Press.20 Ozay, Mehmet (1992) m.s 27

    11

  • 8/9/2019 Hubungan Alam Melayu-Turki-Hasrizal Abd Jamil

    12/15

    tidak memungkinkannya untuk berhadapan dengan kuasa penjajahan yang

    mencengkam masyarakat Muslim di Kepulauan Melayu.

    Selepas lebih 600 tahun memakmurkan tiga benua dengan Islam, Daulah Othmaniah

    akhirnya runtuh oleh pertemuan 1001 sebab yang membawa kepada kemusnahannya.

    Mustafa Kemal Pasha (yang kemudiannya dikenali sebagai Ataturk Bapa Turki)

    telah membubarkan Khilafah secara rasmi di Ankara pada bulan April 1924. Pada

    masa itu, seluruh dunia melahirkan tindak balas yang berbeza antara satu sama lain.

    Di Kepulauan Melayu sendiri, kesan Revolusi Ataturk lahir di dalam pelbagai bentuk

    mengikut bacaan masing-masing.

    Secara umumnya umat Islam di Malaysia melahirkan rasa simpati mereka terhadap

    pembubaran Daulah Othmaniah. Bahkan setiap peristiwa yang berturutan ketika itu

    mendapat perhatian dan simpati umum masyarakat seperti Perang Turki Rusia pada

    tahun 1877, Turki Greece pada tahun 1897, Perang Balkan, Kempen Itali di Libya,

    Perang Dunia Pertama dan sebagainya. Akhbar-akhbar tempatan, buku-buku dan

    makalah tentang Perang Kemerdekaan Turki telah diterbitkan dan dibaca secara

    meluas21. Di antara koleksi manuskrip perpustakaan Dewan Bahasa dan Pustaka

    (DBP), terdapat manuskrip sebanyak 7 keping bertajuk Hikayat Cerita Sultan

    Istanbul Tatkala Berperang Dengan Radja Moskou

    ...Di Kepulauan Melayu

    sendiri, kesan Revolusi Ataturk

    lahir di dalam pelbagai bentuk

    mengikut bacaan masing-

    masing...

    Mustafa Kemal Ataturk

    21

    Zaba (1939) A History of Malay Literature XIV: modern developments, Journal of the Malay

    Branch of The Royal Asiatic Society, December.

    12

  • 8/9/2019 Hubungan Alam Melayu-Turki-Hasrizal Abd Jamil

    13/15

    Kaum Tua di Tanah Melayu menganggap Ataturk sebagai pengkhianat agama. Tetapi

    dari sudut yang lain, pemikiran dan ideologinya telah dimanfaatkan oleh segolongan

    yang lain di Alam Melayu. Ramai pemimpin Malaya dan Indonesia seperti Sukarno

    telah mengkaji gerakan Kemalisma dan dasar reformasi sekularnya lantas

    mencorakkan kegiatan politik mereka berdasarkan corak Mustafa Kemal Ataturk22.

    Sepanjang tahun 1920an dan 30an, beberapa buah buku di Malaya telah diterbitkan

    khusus membicarakan tentang Revolusi Ataturk. Turki dan Mustafa Kemal Ataturk

    menceritakan tentang sejarah gerakan reformasi ini. Turki dan Tamaddunnya pula

    mengkaji gerakan ini secara terpeinci. Terdapat juga buku yang menceritakan dalam

    bentuk biografi khusus tentang Ataturk seperti Kitab Mustafa Kemal. Begitu juga

    dengan akhbar-akhbar dan majalah berkala seperti Idaran Zaman dan Saudara

    yang memberikan laporan secara meluas tentang Revolusi Kemalisma tersebut23.

    Walau bagaimanapun kita membaca kesan ini dengan kaca mata yang berbeza. Agak

    menyedihkan apabila fahaman sekular menutup pertimbangan kebanyakan umat Islam

    ketika itu. Gerakan menentang penjajahan kuasa luar tidak digerakkan secara sihat

    dan apa yang berlaku hanyalah kemusnahan roh Islam di kalangan umat Islam yang

    lupa kepada agamanya.

    Sebagaimana yang telah disebutkan sebentar tadi, Revolusi Ataturk telah

    membungakan semangat nasionalisma di kalangan orang Melayu Turki. Turutan

    daripada itu, pada tahun 1946, pengaruh ini telah mendorong kepada pembentukan

    sebuah parti sekular dan progresif yang bersifat ala-Turki iaitu UMNO di bawah

    kepimpinan Dato Onn yang juga berketurunan Turki24.

    Peranan yang dimainkan oleh kepimpinan Dato Onn di dalam gerakan nasionalisma

    Malaya telah membuka satu lagi lembaran baru kepada hubungan Melayu Turki.

    Seperti yang kita sedia maklum, Sultan-sultan di Tanah Melayu mempunyai

    hubungan yang tersendiri dengan Daulah Othmaniah. Akan tetapi, pertalian yang

    22Milner, A.C (1986), The Impact of the Turkish Revolution on Malaya, Archipel 31, Paris

    23

    Ozay, Mehmet (1992) m.s 2824 Ibid m.s. 28. Lihat juga Milner, A.C. (1986) m.s 124 - 127

    13

  • 8/9/2019 Hubungan Alam Melayu-Turki-Hasrizal Abd Jamil

    14/15

    ditunjukkan olehHouse of Johore lebih menonjol dan meninggalkan kesan hingga ke

    hari ini.

    Pada pertengahan 1860an, Sultan Abu Bakar dalam rangka lawatannya ke Eropah

    telah berkesempatan melawat Khalifah di Istanbul. Sebagai tanda ke atas hubungan

    baik kedua belah pihak, baginda telah dikurniakan dengan seorangLady in Waiting

    bernama Rugayyah Hanum, berketurunan Circassian. Sebaik sahaja tiba di Johor,

    Rugayyah Hanum telah berkahwin dengan Ungku Abdul Majid dan mendapat tiga

    orang cahaya mata. Salah seorang daripadanya adalah Ungku Abdul Hamid, ayah

    kepada Ungku Abdul Aziz, bekas Naib Canselor Universiti Malaya.

    Selepas kematian Ungku Abdul Majid, Rugayyah Hanum telah berkahwin dengan

    Dato Jaafar, seorang orang kebanyakan dan mendapat anak seramai tujuh orang.

    Salah seorang daripadanya ialah Dato Onn yang mengasaskan UMNO dan anaknya

    Tun Hussein merupakan Perdana Menteri Malaysia yang ketiga. Selepas daripada itu,

    Rugayyah Hanum berkahwin pula dengan seorang ahli perniagaan berketurunan Arab

    Yaman bernama Abdullah al-Attas dan mendapat seorang cahaya mata bernama Ali

    al-Attas. Beliau pula mempunyai tiga orang anak lelaki dan salah seorang daripada

    mereka ialah seorang ahli sosiologi yang terkenal bernama Huseein al-Attas dan

    adiknya Naquib al-Attas pula adalah juga seorang tokoh yang terkenal di negara

    kita25.

    KESIMPULAN

    Hubungan Alam Melayu Turki adalah hubungan klasik yang penuh dengan catatan

    penting jika kita membalikkan bacaan kepada kedudukan Malaysia di dalam

    persoalan Khilafah dan pengalaman hidup di dalam pemerintahan Islam. Persepsi

    bahawa seruan ke arah mengembalikan pemerintahan Islam di Alam Melayu sebagai

    sesuatu yang janggal dan asing, mesti diperbetulkan. Kita telah mempunyai siri

    pengalaman yang panjang dan pembinaan masa hadapan tidak boleh mengenepikan

    aspek penting sejarah ini.

    25 Ibid.

    14

  • 8/9/2019 Hubungan Alam Melayu-Turki-Hasrizal Abd Jamil

    15/15

    Di sana masih terdapat banyak riwayat yang penting lagi menarik tetapi tidak

    dicatatkan di sini memandangkan kesahihannya masih belum dapat ditentukan.

    Sebahagiannya berkisar kepada kebangkitan Islam di penjuru-penjuru Tanah Melayu

    semasa pemerintahan Inggeris dan sebahagian yang lain pula menyentuh tindak balas

    masyarakat Timur Tengah khususnya di ibu kota Ummah, Istanbul. Penulis

    mencadangkan agar pembaca dapat bersama mencari sebanyak mungkin cacatan

    berharga tersebut. Semoga pendedahan ini memberikan manfaat kepada kita semua.

    Gambar luar biasa Sultan Abdul Hamid II semasa dimaklumkan tentang

    perlucutan jawatan baginda sebagai Sultan

    I am sure that the

    historians will vindicate

    me, and even if the

    Turkish historians do

    not do so, I am certain

    that some foreign

    historians will do me

    justice Sultan Abdul

    Hamid II at Salonika.

    Hasrizal Abdul Jamil

    Universiti Mutah, Jordan 1996.

    (Artikel ini telah diterbitkan oleh Majalah Suara Kampus Edisi Johor

    [SUKEJ], Kaherah, Jun 1996)

    15