gurauan yang dituntut oleh islam
DESCRIPTION
Gurauan Yang Dituntut Oleh IslamTRANSCRIPT
Gurauan Yang Dituntut Oleh Islam
SELAIN mengumpat, satu daripada bencana yang dilakukan oleh lidah manusia
ialah gurauan. Termasuk dalam istilah gurauan ini ialah kelakar, melawak, olok-
olok dan berjenaka. Abdus Samad Falembani dalam kitab Hidayatus Salikin
menyebut gurauan sebagai 'al-mizah'. Beliau membawa hadis Rasulullah yang
bermaksud; "Jangan engkau bantahi saudaramu dan jangan engkau
perguraukan dia." (Hidayatus Salikin: 170). Menurut Imam al-Ghazali, bergurau
itu ditegah syarak kerana ia membawa kepada banyak tertawa.
Banyak tertawa itu mematikan hati dan boleh 'menanggalkan' hati. Paling
dahsyat, menurut beliau, ia boleh membawa atau mendorong kepada perbuatan
derhaka. Ini berdasarkan hadis Rasulullah yang bermaksud; "Seseorang lelaki
yang berkata dengan suatu perkataan supaya rakannya tertawa maka dia
dijatuhkan ke dalam neraka selama 70 tahun." Imam Ghazali menasihatkan
supaya manusia menjaga lidahnya daripada berkata-kata untuk menimbulkan
gelak ketawa.
Kata-kata gurau senda sebenarnya boleh menghilangkan malu seseorang. Ini
kerana dalam mencari bahan ketawa, manusia sanggup membuat cerita bohong
dan tidak munasabah. Untuk mereka-reka bahan lucu, mereka membuat cerita
yang ganjil dan tidak masuk akal dan kebanyakannya cerita dusta. Inilah
puncanya orang yang membuat kelakar boleh hilang malu. Pada hakikatnya
malu senjata orang beriman. Malu adalah alamat atau tanda orang yang
beriman.
Yang paling mengaibkan, sebahagian daripada kita suka membawa cerita lucah
atau separuh lucah dalam perkataan semata-mata untuk menimbulkan gelak
ketawa orang lain. Rasulullah bersabda bermaksud; "Malu adalah cabang
daripada iman." Dalam sabda lain, baginda menyatakan; "Malu dan iman
seganding. Apabila terangkat salah satu daripadanya maka terangkatlah kedua-
duanya." Dapat difahami daripada hadis ini, jika seseorang itu hilang perasaan
malu daripada dirinya maka hilang jugalah imannya.
Namun begitu, bergurau ala kadar dibolehkan. Bagi sesetengah orang yang tidak
tahan bergurau mungkin menimbulkan persengketaan atau perkelahian. Maka ini
bertentangan dengan kehendak Islam. Firman Allah bermaksud; "Sesungguhnya
orang beriman itu adalah bersaudara maka perbaikilah hubungan antara kedua-
duanya." (al-Hujurat: 11). Justeru, elakkanlah bergurau, bersenda melampaui
batas perasaan atau pemikiran rasional supaya ukhuwah sesama kita tetap
terpelihara.