epm233 saifullah b abdullah e30209130940

36
TUGASAN SEMESTER SEPTEMBER 2014 KOD KURSUS : EPM 233 NAMA KURSUS : MODEL DAN STRATEGI PEDAGOGI PROGRAM : SARJANA MUDA PENDIDIKAN NAMA PELAJAR : SAIFULLAH B. ABDULLAH @ DONALD B. MUREK NO. MATRIK : E30209130940 FASILITATOR AKADEMIK : JOSHUA CASELY PUSAT PEMBELAJARAN : AEU, SIBU JAYA,SIBU

Upload: saifull-murek

Post on 30-Sep-2015

51 views

Category:

Documents


6 download

DESCRIPTION

Khidmat Masyarakat

TRANSCRIPT

TUGASANSEMESTER SEPTEMBER 2014 KOD KURSUS:EPM 233NAMA KURSUS:MODEL DAN STRATEGI PEDAGOGI PROGRAM:SARJANA MUDA PENDIDIKAN

NAMA PELAJAR: SAIFULLAH B. ABDULLAH @ DONALD B. MUREK NO. MATRIK: E30209130940 FASILITATOR AKADEMIK : JOSHUA CASELY PUSAT PEMBELAJARAN : AEU, SIBU JAYA,SIBU

BAHAGIAN ADalam usaha melahirkan generasi yang berwawasan dan menepati matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan, guru hendaklah mewujudkan satu iklim pembelajaran yang kondusif agar sesi pengajaran dan pembelajaran mampu menarik minat murid seterusnya merangsang minda murid untuk belajar. Noriati, Boon dan Sharifah Fakhriah (2009), menyatakan bahawa persekitaran atau alam sekeliling yang mempengaruhi pembelajaran atau perubahan tingkah laku murid murid merangkumi persekitaran fizikal, psikososial dan komuniti pembelajaran. Bagi mewujudkan iklim yang kondusif, seseorang guru hendaklah melaksanakan sesi pengajaran dan pembelajaran menggunakan pendekatan yang sesuai iaitu pengajaran berpusatkan murid.

Pengajaran boleh didefinisikan sebagai proses untuk menyampai dan menyumbang idea-idea serta memudah cara pembinaan ilmu, menentukan standard dan menggalakkan kreativiti, membantu seseorang murid untuk belajar dan mencabar murid ke arah pencapaian potensi yang optimum (Noriati et. al., 2009). Berpusatkan pula seerti dengan bertumpukan atau berfokuskan sesuatu. Murid pula adalah subjek pengajaran iaitu orang yang menerima input daripada seorang guru. Secara keseluruhannya, pengajaran berpusatkan murid bermaksud disiplin yang melibatkan interaksi antara pasukan pelajar yang mengalami pembelajaran kreatif yang akan diaplikasikan dalam situasi sebenar. Melalui pendekatan ini, murid akan lebih aktif dalam bilik darjah manakala guru dapat berinteraksi dengan murid secara berkesan.

Terdapat pelbagai strategi dan kaedah yang sesuai dalam mengaplikasikan pendekatan pengajaran berpusatkan murid bagi memastikan murid-murid melibatkan diri secara aktif. Antaranya ialah kaedah soal jawab, amali atau demonstrasi, permainan dan kaedah inkuiri. Kaedah soal jawab adalah bertujuan untuk merangsang pemikiran. Menyoal merupakan sebahagian daipada setiap interaksi pengajaran dan pembelajaran antara guru dengan murid (Ahmad Mohd Salleh, 2011). Pada pendapat saya, di samping menggalakkan interaksi dan respon antara guru dengan murid, kaedah ini mampu membangkitkan kecergasan dan menggalakkan murid untuk berfikir.

Seterusnya, kaedah amali atau demonstrasi. Kaedah demonstrasi merupakan satu cara menyediakan bahan pelajaran dengan menyediakan secara langsung proses sesuatu yang ingin dipelajari. Dengan itu, murid akan mengalami pengalaman langsung dalam mempelajari sesebuah topik. Kaedah amali pula dapat memberikan peluang kepada para pelajar untuk berinteraksi secara terus dengan isi dan situasi pembelajaran. Kaedah ini juga dikenali dengan kaedah simulasi dan main peranan. Menurut Tompkins (1998), kaedah simulasi dan main peranan menggalakkan pemikiran dan kreativiti, seterusnya membenarkan murid menerima dan berlatih kemahiran bahasa dan perlakuan dalam sesuatu persekitaran yang secara relatif tidak mengancam akhirnya dapat memotivasikan diri serta menggalak penglibatan untuk memastikan proses pembelajaran berlaku.

Bagi kaedah permainan pula, situasi bermain boleh digunakan dalam pengajaran guru di bilik darjah untuk mencapai standard pembelajaran yang ditetapkan. Tambahan pula, permainan merupakan satu keperluan semula jadi bagi setiap kanak-kanak. Kaedah permainan bukan sahaja mampu merangsang minat murid terhadap isi pembelajaran, bahkan mampu memberikan kepuasan dan keseronokan dalam diri murid terhadap iklim pembelajaran. Kanak-kanak akan memperoleh pembelajaran yang paling berkesan sekiranya mereka mempelajari sesuatu sesuai dengan minat, tujuan dan faedah mereka (Musa Daia, 1992).

Seterusnya ialah kaedah inkuiri. Melalui kaedah ini, konsep-konsep yang diperoleh akan lebih tekal, jelas dan berfungsi. Hal ini demikian kerana melalui kaedah inkuiri, pelajar sendiri akan memperoleh pengalaman dan keyakinan terhadap soalan-soalan yang diminati kemudian masing-masing akan memperoleh pengetahuan tentang konsep yang dipelajari. Dengan itu, ilmu yang diperoleh adalah lebih mudah difahami dan diterima oleh murid. Menurut Ahmad Mohd Salleh (2011), guru perlu menyedari bahawa murid memerlukan masa untuk memperoleh kemahiran-kemahiran proses inkuiri. Dalam pada itu, pembelajaran inkuiri dapat membantu merangsang tabiat minda yang baik di samping meningkatkan perkembangan kemahiran dalam diri murid.

Selain itu, kaedah penilaian yang selaras dengan pengajaran berpusatkan murid adalah secara tidak formal dan berterusan. Penilaian adalah sebahagian daripada proses pengajaran dan pembelajaran. Secara pemerhatian, guru boleh menyatakan penilaian dalam bentuk bertulis di dalam ruangan refleksi dalam rancangan pengajaran harian (RPH) masing-masing mengenai tindak balas murid semasa sesi pengajaran dan pembelajaran dilaksanakan. Namun begitu, bagi menilai kefahaman dan keberkesanan pembelajaran, guru-guru boleh melaksanakan kuiz, latih tubi dan penilaian formatif. Penilaian berbentuk ujian bertulis dapat memastikan ketelusan dan keberkesanan pengajaran berpusatkan murid yang diamalkan oleh guru. Melalui penilaian, seorang guru boleh membuat analisis dengan mentafsir hasil pengukuran iaitu nilai kuantitatif seterusnya menentukan pencapaian murid.

Sementelahan itu, terdapat juga isu yang diketengahkan berkaitan dengan pengajaran berpusatkan murid. Isu yang pertama ialah kurangnya konsep kendiri dan kepercayaan dalam diri seseorang guru. Hal ini demikian diutarakan kerana keyakinan dan kepercayaan dalam diri guru menjadi tonggak utama dalam pelaksanaan sesi pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah. Semangat dan kesedaran seseorang guru dalam menyebarkan ilmu pengetahuan amat diperlukan dalam mewujudkan motivasi secara intrinsik dan ekstrinsik murid. Hal ini secara tidak langsung akan mengganggu-gugat dasar kurikulum negara secara holistik sekiranya tidak dapat melahirkan generasi yang cemerlang dari segi jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial sepertimana yang digariskan dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Falsafah Pendidikan Negara.

Isu seterusnya ialah kelemahan guru dalam kaedah pengajaran. Konsep proses pengajaran dan pembelajaran dalam kelas yang berkesan ialah setiap kandungan kurikulum yang disampaikan dan cara penyampaian guru dapat memberi pemahaman kepada murid. Bagi melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran yang berkesan, guru hendaklah mengaplikasikan pendekatan pengajaran berpusatkan murid dengan mempelbagaikan kaedah pengajaran. Kaedah pengajaran pula hendaklah diperkuatkan dengan menggunakan kemahiran dan bahan bantu belajar (BBB) yang dapat menarik minat murid. Pada era globalisasi ini, pihak kerajaan ingin melahirkan semua golongan masyarakat yang mahir dan maju dalam bidang ICT (Information and Communication in Technology) terutamanya dalam bidang pendidikan. Setiap guru hendaklah berpengalaman dan berkemahiran dalam teknologi canggih agar sesi pengajaran dan pembelajaran di sekolah-sekolah tidak lagi berpusatkan guru.

Akhir sekali ialah isu dalam penggunaan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) dalam pengajaran dan pembelajaran. Pada pengamatan saya, Penggunaan ICT dalam pengajaran dan pembelajaran ialah menggunakan ICT secara berfikrah, terancang dan bersesuaian untuk meningkatkan kecekapan dan keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran. Integrasi teknologi dalam pengajaran dan pembelajaran memerlukan guru yang bersedia dan fleksibel dalam menggunakan teknologi sebagai kaedah pengajaran harian bagi mata pelajaran yang diajar. Mempelajari bagaimana menggunakan komputer belum mencukupi untuk membolehkan guru menggabungkan teknologi dalam pengajaran dan pembelajaran. Elemen yang penting dalam mengintegrasi teknologi ialah pemahaman guru terhadap isi pengajaran dan implikasi berhubung dengan teknologi serta komunikasi dan tindak balas daripada murid. Meskipun penggunaan teknologi diterapkan, guru hendaklah tetap mementingkan komunikasi dua hala antara guru dengan murid agar tetap berlangsung dan murid tidak bosan.

Kesimpulannya, pengajaran berpusatkan murid adalah sangat penting bagi mencapai standard serta objektif pembelajaran yang dikehendaki. Matlamat seseorang guru sebelum memulakan pengajaran ialah menyampaikan ilmu seterusnya memastikan ilmu tersebut difahami dan dihayati oleh murid. Selain itu, pengajaran berpusatkan pelajar juga mewujudkan suasana positif yang aktif antara guru, murid dan bahan bantu belajar. Dengan itu, hubungan guru dengan murid akan terjalin secara baik dan optimis. Di samping itu, dengan menggunakan pendekatan pemusatan pelajar, sesi pengajaran dan pembelajaran dapat dilaksanakan dengan lancar dan lebih menyeronokkan. Kaedah yang pelbagai mampu merangsang minat dan menarik murid agar memberi tumpuan kepada pembelajaran di dalam bilik darjah. Justeru itu, kaedah pengajaran berpusatkan murid hendaklah dilaksanakan oleh setiap guru di sekolah tanpa mengira mata pelajaran yang diajar. SENARAI RUJUKAN

Ahmad Mohd Salleh. (2011). Kurikulum, metodologi dan Pedagogi Pendidikan Islam (2nd

Ed.). Selangor. Oxford Fajar Sdn. Bhd.

Musa Daia. (1992). Prinsip Am Pendidikan . Kota Bharu. Pustaka Aman Press Sdn. Bhd.

Noriati A. Rashid, Boon Pong Ying, Sharifah Fakhriah Syed Ahmad. (2009). Murid dan

Alam Belajar.Selangor. Oxford Fajar Sdn Bhd. Tompkins, P. (1998). Role Playing and Simulations. The Internet TESL Journal. 4 (8).

BAHAGIAN B

1.0 Sejauh manakah pengajaran di sekolah anda masih berpusatkan guru?

Secara umumnya, masih terdapat beberapa orang guru yang masih menggunakan kaedah pengajaran berpusatkan guru di sekolah saya. Namun begitu, terdapat juga beberapa orang guru yang menggunakan pendekatan berpusatkan murid dengan baik dan berkesan. Mengikut Model Interaksi Sim yang menitikberatkan interaksi antara guru, murid, objektif pembelajaran, isi kandungan dan alam belajar, corak interaksi boleh berlaku antara dua, tiga, empat atau lima unsur tersebut (Mok Soon Sang, 2013). Namun demikian, masih terdapat segelintir guru yang mengamalkan kaedah interaksi satu hala iaitu kaedah berpusatkan guru. Sepanjang pengalaman saya mengajar, kebanyakan guru yang sudah lama mengajar atau guru-guru lama masih menggunakan pendekatan berpusatkan guru. Hal ini dapat dilihat daripada persediaan yang dilakukan oleh guru-guru sebelum mengajar. Melihat kepada Rancangan Pengajaran Harian yang disediakan secara ala kadar atau secara sambil lewa, dapatlah disimpulkan bahawa persediaan yang dilakukan oleh guru-guru di sekolah saya adalah pada tahap minimum.

Selain itu, kekurangan kemudahan yang terdapat di sekolah juga turut membantutkan persediaan mengajar seseorang guru. Sebagai contohnya, di sekolah saya sendiri kekurangan bahan seperti komputer dan LCD. Lantaran itu, hal ini mengakibatkan kekangan kepada guru untuk menggunakan kemahiran menggunakan multimedia semasa proses PdP seterusnya guru-guru memilih alternatif mudah iaitu sekadar membawa bahan bantu maujud dan buku teks sebagai media pengajaran. Hal ini akan membawa kepada pendekatan berpusatkan guru di mana murid-murid tidak menunjukkan sebarang minat dan memberikan respon yang pasif terhadap pengajaran guru. Sesi pembelajaran yang tidak dipenuhi dengan aktiviti yang pelbagai dan menyeronokkan akan memberikan impak yang negatif dalam diri murid.

Namun demikian, kehadiran guru-guru baru dan pendedahan yang seringkali diberikan kepada guru-guru dalam perkhidmatan melalui pihak Kementerian Pendidikan, sedikit sebanyak membantu dan memberi kesedaran betapa pentingnya pendekatan berpusatkan murid dalam bilik darjah. Saya sendiri dapat melihat beberapa orang guru di sekolah saya bertungkus lumus menyediakan bahan bantu mengajar, termasuklah mencipta lagu-lagu untuk murid dan memuat turun video yang berkaitan dengan mata pelajaran masing-masing. Sehubungan dengan itu, saya dan beberapa orang rakan guru seringkali bertukar-tukar idea dalam usaha membuat kepelbagaian dalam kaedah dan strategi pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah.

Dalam pada itu, terdapat juga guru yang menggunakan komputer riba masing-masing untuk menunjukkan slaid berkaitan tajuk pelajaran kepada murid. Asalnya, penggunaan microsoft power point dalam proses PdP adalah bagus dan sangat digalakkan. Walau bagaimanapun, sekiranya guru-guru sekadar membaca dan membentangkan tajuk berdasarkan slaid yang disediakan, kemungkinan besar murid-murid tetap akan bosan dan lebih teruk lagi, objektif pembelajaran tidak tercapai. Pengajaran tersebut tetap berpusatkan guru kerana pengendalian yang dilakukan oleh guru adalah komunikasi satu hala. Pada pandangan saya, dalam beberapa keadaan, guru-guru sendiri hendaklah bijak mewujudkan suasana positif antara guru dengan murid meskipun tidak menggunakan bahan bantu mengajar yang kompleks dan moden. Menurut Mok Soon Sang (2013), dengan adanya hubungan positif antara guru dengan murid, bilik darjah akan menjadi satu alam belajar yang menarik seterusnya dapat melahirkan murid yang mencintai ilmu melalui budaya belajar ke arah pencapaian prestasi budaya cemerlang.

2.0 Bagaimana anda telah melibatkan murid secara aktif dan menyeronokkan dengan sokongan pelbagai bahan media yang sesuai dalam proses pengajaran dan pembelajaran.Pendidikan merupakan satu elemen penting dalam kehidupan seharian seorang manusia. Manusia asalnya jahil dan tidak mempunyai pengetahuan. Kemudian, dengan kehendak Allah S.W.T., Dia telah memberikan didikan dan pengajaran kepada manusia pertama iaitu Nabi Adam a.s dengan firmanNya, yang bermaksud : Dan Dia telah mengajarkan Nabi Adam, akan segala nama benda dan gunanya, kemudian ditunjukkannya kepada malaikat lalu Dia berfirman: Terangkanlah kepadaKu nama benda ini semuanya jika kamu golongan yang benar. (Surah Al-Baqarah: ayat 31)Dasawarsa ini, sistem pendidikan di Malaysia sedang mengalami perubahan atau transformasi dalam sistem itu sendiri. Perubahan demi perubahan dibuat adalah sebagai langkah penyusunan semula dan penambahbaikan kurikulum sekolah rendah yang sedia ada agar selari dan seiring dengan negara-negara maju yang lain. Kurikulum Standard Sekolah Rendah atau lebih dikenali dengan KSSR mula dilaksanakan di sekolah-sekolah pada tahun 2011 setelah mendapat kelulusan daripada Mesyuarat Jawatankuasa Kurikulum Pusat pada tahun 2009. Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) berteraskan Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Dasar Pendidikan Kebangsaan. Selain itu, dalam Pengajian Bahasa Malaysia, KSSR menekankan bahawa pengajaran di sekolah-sekolah rendah hendaklah berkonsepkan didik hibur bagi memberi peluang kepada murid melakukan aktiviti pengajaran dan pembelajaran secara aktif dan menyeronokkan dengan sokongan pelbagai bahan media yang sesuai. Bagi kelas yang saya sendiri kendalikan, saya berusaha menggunakan semaksimum mungkin media yang sesuai bagi mewujudkan konsep didik hibur dalam sesi pengajaran dan pembelajaran. Antaranya ialah penggunaan bahan maujud seperti daun dan bunga, flash card, komputer riba, video, roda pintar dan lagu kanak-kanak. Selain itu, saya juga menggunakan pelbagai kaedah yang digandingkan dengan media yang digunakan bagi mewujudkan sesi pengajaran dan pembelajaran yang menyeronokkan.

Sebagai contoh, bagi kaedah soal jawab, saya menggunakan roda pintar di mana murid akan dibahagikan kepada kumpulan-kumpulan kecil. Sesi soal jawab ini adalah berbentuk kuiz antara kumpulan. Dalam usaha mewujudkan suasana persaingan sihat dan aktif, markah diberikan manakala bagi kumpulan yang menang akan diberikan hadiah sebagai motivasi dan penghargaan kepada murid-murid. Hadiah ini juga adalah salah satu bentuk peneguhan positif yang saya gunakan di dalam bilik darjah bagi menggalakkan penglibatan murid dalam setiap sesi pengajaran dan pembelajaran yang dijalankan. Tambahan pula, menurut Skinner berdasarkan teknik modifikasi tingkah laku Skinner (seperti yang dinyatakan dalam Mok Soon Sang, 2013), apabila sesuatu gerak balas operan diikut dengan sesuatu peneguhan positif, sebagaimana yang disebut oleh Thorndike sebagai sesuatu yang memuaskan, maka kebarangkalian bagi gerak balas itu berlaku lagi akan bertambah.

Selain itu, terdapat tiga aspek yang perlu dititikberatkan dalam mewujudkan alam belajar yang kondusif, aktif dan menyeronokkan. Pertamanya, aspek fizikal. Murid yang terdedah kepada persekitaran fizikal yang teratur, selamat dan sesuai dengan keperluan murid akan dapat berkembang dengan lebih baik dari segi jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial. Persekitaran fizikal ini termasuklah kemudahan sekolah yang lengkap, iklim sekolah yang kondusif, persekitaran bilik darjah yang bersih dan pengudaraan kelas. Dengan itu, sebelum memulakan sesi pengajaran dan pembelajaran(PdP), saya memastikan persekitaran bilik darjah bersih dan selesa bagi meneruskan sesi PdP.

Kedua, aspek psikososial atau aspek psikologi dan hubungan sosial. Iklim bilik darjah yang sihat mengutamakan hubungan hubungan sesama murid, hubungan guru dengan murid, semangat kerjasama antara komuniti bilik darjah serta mewujudkan suasana selamat bagi murid. Sehubungan dengan itu, saya berusaha mewujudkan komunikasi yang baik antara satu sama lain sepanjang sesi PdP berlangsung. Setelah itu, dengan wujudnya komunikasi yang baik, saya mampu mengawal bilik darjah dengan baik manakala murid akan lebih mudah memberi tindak balas yang aktif dalam bilik darjah. Secara tidak langsung, suasana yang menyeronokkan juga akan wujud semasa kelangsungan sesi PdP.

Ketiga, aspek komuniti pembelajaran. Komuniti pembelajaran merujuk kepada sekecil-kecilnya kelompok manusia yang berkongsi cara hidup yang sama dan sebesar-besarnya kumpulan masyarakat. Menurut Noriati, Boon dan Sharifah (2009), komuniti pembelajaran boleh didefinisikan sebagai sekumpulan manusia yang saling berkongsi matlamat, bertindak secara koperatif dan kolaboratif serta saling membantu dalam proses pembelajaran. Di dalam bilik darjah, saya bertindak sebagai agen sosialis di mana saya menjadi penghubung antara murid. Pada saya, setiap komuniti pembelajaran hendaklah mempunyai sikap toleransi yang tinggi dan dipimpin secara demokratik. Ketiga-tiga aspek ini menjadi medium asas kepada suasanan pembelajaran yang aktif dan menyeronokkan. Hal ini demikian kerana tanpa asas iklim alam belajar yang baik, media yang digunakan pastinya sukar disampaikan berserta matlamat yang disasarkan.

Di samping itu, media yang saya gunakan bagi mewujudkan suasana yang aktif dan menyeronokkan ialah penggunaan muzik dan nyanyian. Menurut Eisner (2003), muzik penting dalam pendidikan kerana sumbangannya kepada kognitif membolehkan seseorang pelajar melahirkan perasaanya. Ini turut dijelaskan oleh Hermann (1991), yang menyatakan bahawa integrasi muzik dengan mata pelajaran lain akan melengkapkan perkembangan otak kiri dan otak kanan. Otak kiri dan kanan manusia menjalankan fungsi yang berbeza. Bahagian otak kiri menguasai perkara seperti bahasa, logik, matematik, sains dan lain-lain aktiviti. Proses menyanyi melibatkan tiga bentuk major pembelajaran: kognitif (pengetahuan), psikomotor (kemahiran), dan afektif (perasaan dan sikap). Bagi kanak-kanak, menyanyi adalah satu aktiviti semulajadi yang boleh dilakukan secara spontan seperti bertutur. Selain itu, Sufian & Osman (2008), juga pernah menjalankan kajian yang bertajuk Penggunaan Muzik Dalam Pengajaran Dan Pembelajaran Di Bilik Darjah. Hasil kajian mereka mendapati penggunaan muzik dalam proses PdP dapat menimbulkan rasa seronok belajar dalam kalangan murid serta dapat mengembangkan kemahiran berfikir murid. Dapatan mereka juga menunjukkan penggunaan muzik berkesan sebagai alat pengurusan bilik darjah di samping sebagai saluran murid untuk melahirkan perasaan. Hakikatnya, penggunaan muzik dalam mata pelajaran merupakan salah satu strategi bagi memastikan PdP di bilik darjah menjadi satu pengalaman yang sukar dilupakan dan secara tidak langsung juga dapat meningkatkan kualiti pengajaran guru.

Seterusnya, saya menggunakan video di mana saya menggunakan komputer riba untuk menunjukkan video yang berkaitan dengan tajuk kepada murid. Pada pandangan saya, penggunaan video juga mampu memberikan hasil yang terbaik kerana pada era globalisasi ini murid lebih suka gurunya membuat tayangan video berbanding memberikan penerangan berjela-jela dalam bilik darjah. Hal ini menunjukkan murid menggemari penggunaan teknologi berbentuk multimedia semasa sesi Pengajaran dan Pembelajaran (PdP). Teknologi mutakhir serta pendekatan pengajaran yang kreatif, inovatif, dinamik serta menghiburkan merupakan medium yang dikatakan mendapat perhatian yang meluas dalam kalangan institusi pendidikan tinggi, menengah ataupun rendah pada masa kini.

Tambahan lagi, menurut Jonassen (1996, seperti yang dinyatakan dalam Kamarul Azmi dan Ab. Halim, 2007), persembahan multimedia lebih attend-getting dan attention-holding kerana multimedia adalah multimode, iaitu rangsangan yang berlaku lebih daripada satu deria pada satu masa. Justeru, saya turut menyediakan sebuah video muzik dan melibatkan pergerakan badan murid dalam usaha membantu murid mengingati, memahami seterusnya mengaplikasi ilmu pengetahuan yang dipelajari di dalam bilik darjah di samping mewujudkan suasana aktif dan menyeronokkan semasa sesi pengajaran dan pembelajaran dilaksanakan.

1.0 Bagaimana penaksiran adalah berkonsepkan didik hibur?Pengajaran berkonsepkan didik hibur merupakan satu pembaharuan yang diperkenalkan kepada murid-murid sebagai alternatif dalam pengajaran Bahasa Melayu di sekolah-sekolah. Hal ini bertujuan supaya sesi pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu menjadi seronok bagi murid-murid. Selain itu, fokus pelaksanaan adalah kepada penguasaan kemahiran asas Bahasa Melayu dalam kalangan murid melalui pendekatan didik hibur dan apresiasi bahasa. Cadangan pelaksanaan penyerapan pendekatan didik hibur dalam pengajaran Bahasa Malaysia bermula apabila keputusan kabinet pada 8 Julai 2009 yang memutuskan bahawa PPSMI dimansuhkan dengan mata pelajaran Sains dan Matematik akan kembali diajar dalam Bahasa Melayu di sekolah kebangsaan, manakala bahasa ibunda di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina dan Tamil menjelang tahun 2012. Keputusan ini dibuat berasaskan pertimbangan objektif berdasarkan kajian empirikal dan saintifik, iaitu penemuan-penemuan atas dasar kajian yang khusus yang telah dilaksanakan.

Sehubungan dengan itu, pihak kerajaan mula melaksanakan transformasi kurikulum Bahasa Melayu di sekolah rendah dan menengah yang mana akan memberi fokus kepada penguasaan asas kemahiran berbahasa dalam kalangan murid melalui pendekatan modular yang bersepadu, seimbang dan holistik merangkumi aspek kemahiran mendengar, bertutur, membaca dan menulis serta penguasaan tatabahasa dan seni bahasa. Di sekolah rendah, kerajaan berhasrat memperkenalkan pendekatan didik hibur dan apresiasi bahasa bagi merealisasikan hasrat transformasi berkenaan. Kaedah pengajaran yang lebih interaktif iaitu berkonsepkan didik hibur agar pengajaran lebih menyeronokkan dan murid lebih aktif semasa sesi pengajaran dan pembelajaran.

Menurut Emma Azlina (2011), didik hibur bemaksud mendidik sambil menghibur. Kamus Dewan (2000) mentakrifkan didik sebagai pelihara, jaga dengan hati-hati dan ajar, manakala hibur bermaksud menyenangkan atau menggirangkan hati. Rumusannya didik hibur merupakan satu pendekatan dalam proses pengajaran dan pembelajaran yang bersifat santai dan berhibur dengan penekanan pelaksanaannya terhadap empat komponen sastera iaitu nyanyian, bercerita, lakonan dan puisi. Lantaran itu, keseronokan murid dalam mempelajari Bahasa Melayu akan dapat direalisasikan secara terancang dan bersistematik. Pelaksanaan konsep didik hibur dalam sesi pengajaran dan pembelajaran bergantung kepada kebolehtadbiran guru dalam bilik darjah, pelaksanaan aktiviti yang menyeronokkan serta tindak balas daripada murid-murid.

Di samping itu, bagi memastikan keberkesanan konsep didik hibur, guru-guru hendaklah mengetahui ciri-ciri pengajaran berkonsepkan didik hibur agar pengajaran tidak terpesong dari matlamat dan objektif pengajaran. Terdapat beberapa ciri didik hibur dalam pengajaran. Pertama, sesi pembelajaran yang menyeronokkan kerana mengandungi unsur kelakar (humor) dan kecindan, permainan dan muzik serta lakonan. Unsur kecindan adalah diwujudkan secara spontan oleh guru agar dapat menarik tumpuan murid terhadap penyampaian guru dalam bilik darjah. Tambahan pula, menurut Noriati, Boon dan Sharifah (2009), guru yang berkeyakinan, riang dan mempunyai ciri-ciri kecindan akan mewujudkan satu suasana yang menggalakkan murid untuk belajar. Dari segi kaedah pengajaran pula, kebiasaannya guru memilih untuk menggunakan kaedah permainan kerana kaedah permainan akan melibatkan semua murid, menyeronokkan dan mampu memberi motivasi kepada murid.

Kedua, mampu mengurangkan tahap kebimbangan dan rasa takut murid terhadap guru. Secara peribadi, saya berpendapat bahawa terdapat perbezaan antara rasa takut terhadap guru dengan hormat kepada guru. Murid-murid mungkin takut dengan guru kerana guru tersebut terlalu garang, manakala perasaan hormat lahir kepada guru yang tegas, penyayang dan menghargai murid. Murid-murid yang bimbang dan takut kepada guru tidak akan memberi respon kepada pengajaran guru, bahkan suasana bilik darjah juga akan menjadi hambar dan tidak menyeronokkan. Konsep didik hibur mewujudkan bilik darjah yang santai dan menyeronokkan komuniti bilik darjah. Dalam pada itu, guru hendaklah memastikan bahawa murid dapat memberi tindak balas yang positif semasa sesi pengajaran dan pembelajaran.

Ketiga, sesi pembelajaran yang penuh dengan pelbagai aktiviti yang menarik dan pelbagai. Melalui aktiviti nyanyian dan lakonan misalnya, murid-murid boleh main peranan dengan menyertai aktiviti tersebut sambil berhibur. Selain itu, arahan guru perlu jelas dan ringkas di samping penggunaan teknologi dan bahan bantu belajar untuk menarik penglibatan murid terhadap pengajaran dan pembelajaran. Mempelbagaikan aktiviti dan kaedah pengajaran merupakan cara terbaik dalam mengaplikasikan konsep didik hibur dalam pengajaran Bahasa Melayu. Di samping itu, guru juga boleh membuat rentasan mata pelajaran lain dengan menggunakan kaedah gabung jalin. Antaranya, guru boleh mengadaptasi aktiviti dari Pendidikan Seni Visual seperti melukis, membuat rekaan dan binaan, mencorak dan sebagainya.

Dalam pada itu, pengajaran berkonsepkan didik hibur dilaksanakan bagi melahirkan insan yang lebih kreatif dan inovatif. Konsep didik hibur hendaklah dilaksanakan secara penyerapan dalam mata pelajaran yang diajar dengan berfokuskan aktiviti yang pelbagai dan menyeronokkan. Penyerapan ialah proses menyerapkan pelbagai bidang ilmu, nilai-nilai murni dan kemahiran bernilai tambah yang dipelajari semasa pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu. Seorang guru mestilah menjadi kreatif dalam usaha merealisasikan konsep didik hibur dalam pengajaran dan pembelajaran. Unsur-unsur didik hibur yang santai dan spontan hendaklah diserap secara kreatif Kamarul Azmi dan Abd Halim (2007) menyatakan bahawa antara ciri utama orang yang kreatif ialah mereka memiliki autonomi intelektual yang tinggi di mana mereka mempunyai pendirian yang tersendiri dengan membuat keputusan berdasarkan peribadi yang tersendiri. Tambahannya, orang yang kreatif adalah orang yang berani membuat keputusan dan sedia bertanggungjawab atas risiko keputusan mereka.

Selain itu, berkonsepkan didik hibur dapat ditaksirkan kepada dua prinsip pembelajaran yang diperkenalkan oleh Ewell (1997, seperti yang dinyatakan dalam Noriati, Boon dan Sharifah, 2009) iaitu penglibatan aktif dan suasana yang menyeronokkan. Setiap murid hendaklah mampu melibatkan diri secara aktif seterusnya mengambil bahagian dalam pengajaran guru. Ilmu pengetahuan yang dipelajari tidak akan terus diterima oleh murid, tetapi murid perlu memproses maklumat, membina pengetahuan seterusnya memahami dan menghayati ilmu yang disampaikan. Sehubungan dengan itu, murid perlu memberi penglibatan aktif dalam bilik darjah terutamanya semasa sesi pengajaran dan pembelajaran berlangsung.Seterusnya, suasana yang menyeronokkan. Menurut Ewell (1997) lagi, maklum balas serta pembelajaran berkesan berlaku sekiranya murid berada dalam persekitaran yang menyeronokkan. Persekitaran yang menyeronokkan ini merujuk kepada interaksi peribadi dan sokongan padu daripada guru secara peribadi. Persekitaran pembelajaran yang menyeronokkan wujud dalam persekitaran emosi bilik darjah yang kondusif dan selesa. Hal ini merangkumi personaliti dan penampilan guru, kawalan kelas, strategi yang digunakan dan perhubungan antara komuniti bilik darjah. Selain itu, suara dan cara komunikasi seseorang guru juga mampu mewujudkan suasana yang selesa dan tenang. Secara tidak langsung, hal ini akan menggalakkan murid untuk berinteraksi secara mesra dengan guru seterusnya mewujudkan suasana yang menyeronokkan dalam alam belajar. 2.0 Pada pendapat anda, apakah isu-isu yang berkaitan dengan pengajaran dan pembelajaran secara aktif dan menyeronokkan?Antara isu yang berkaitan dengan pengajaran dan pembelajaran secara aktif dan menyeronokkan ialah isu kawalan bilik darjah. Seorang guru yang yang efektif perlu bijak mendominasi bilik darjah di samping mewujudkan sesi pengajaran dan pembelajaran yang aktif dan menyeronokkan. Suara guru hendaklah jelas, berintonasi dan tidak tegang agar dapat mewujudkan suasana yang selesa dalam bilik darjah. Hal ini akan menggalakkan murid untuk bersikap mesra dan mudah berinteraksi dengan guru. Aspek kawalan bilik darjah memerlukan gaya kepimpinan yang sesuai. Menurut Noriati, Boon dan Sharifah (2009), gaya kepimpinan yang demokratik mempengaruhi suasana emosi bilik darjah dari segi cara penerimaan pandangan murid, menggalakkan murid menyoal dan memuji mereka dengan baik. Tambahan lagi, kepimpinan ini akan membina satu suasana emosi yang menyenangkan dan menyeronokkan.

Bertitik-tolak pada gaya kepimpinan dalam bilik darjah, isu yang seterusnya ialah isu interaksi dan komunikasi dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Persekitaran yang selesa dan kondusif menyumbang kepada keberkesanan interaksi dan komunikasi antara guru dengan murid. Pembelajaran akan berlaku melalui aktiviti-aktiviti yang melibatkan interaksi, komunikasi dan tindak balas serta kepercayaan yang harmoni. Sebagai contoh, kaedah permainan atau belajar sambil bermain. Kaedah ini menggalakkan perkembangan psikomotor murid dan kognitif murid sekaligus. Galakan dan sokongan yang ditonjolkan melalui interaksi dalam konteks menyeronokkan bertindak sebagai insentif dan motivasi kepada murid.

Menurut Mayer (2004) dalam American Psychologist, pembelajaran aktif merupakan hasil kerja ahli-ahli teori yang mempromosikan pembelajaran penemuan. Beliau juga mencadangkan agar murid harus aktif secara kognitif yakni tahap intelektual. Justeru, isu yang seterusnya ialah tahap keaktifan kognitif murid. Murid yang aktif secara fizikal tidak menjamin tahap keaktifan kognitif murid. Secara langsung, hal ini sedikit sebanyak menyebabkan objektif dan matlamat pembelajaran tidak mencapai standard yang dikehendaki. Lantaran itu, guru hendaklah mengambil kira pembelajaran aktif daripada aspek jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial. Idealisme ini seharusnya diperjuangkan oleh segenap golongan terutamanya golongan pendidik sejajar dengan Falsafah Pendidikan Negara dan Wawasan 2020.

Akhir sekali, isu yang berkaitan dengan pengajaran dan pembelajaran secara aktif dan menyeronokkan ialah isu keperluan kepada kaedah yang betul. Hal ini tidak boleh dipandang enteng dalam sesebuah sistem pembelajaran yang idealistik dan sistematik. Kurikulum dan Standard Pembelajaran yang baik tidak memberi manfaat kepada murid sekiranya tidak digerakkan menggunakan kaedah-kaedah yang betul dan guru-guru yang berketrampilan. Justeru itu, dalam usaha mewujudkan proses pengajaran dan pembelajaran secara aktif dan menyeronokkan yang berkesan, kaedah-kaedah pengajaran perlu ditentukan terlebih dahulu. Perancangan yang sistematik juga mempengaruhi kelancaran dan keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran.

SENARAI RUJUKAN

Al-Quran, Surah Al-Baqarah. Ayat ke-31, m.s 6.

Eisner, E. (2003). The Function Of Music In education. Diakses dari laman web http://www.isme.org/article/view/89/1/26.Emma Azlina Alias. (2011). Nota Didik Hibur. Diakses dari laman web http://emmaazlina.blogspot.com/2011/12/nota-didik-hibur.html. Hermann, N. (1991). The Creative Brain. Journal of Creative Behaviour. 25(4):275- 295.

Kamarul Azmi Jasmi dan Ab. Halim Tamuri (2007). Pendidikan Islam: Kaedah Pengajaran

dan Pembelajaran. Johor. Penerbit UTM Press.Mayer, R. (2004). Should There Be A Three-Strikes Rules Against Pure Discovery Learning? The Case for Guided Methods of Instruction. Dalam American Psychologist 59(1). Hal 14-19.

Mok Soon Sang (2013)..Pendidikan di Malaysia.Subang Jaya,Selangor.Kumpulan Budiman

Musa Daia. (1992). Prinsip Am Pendidikan . Kota Bharu. Pustaka Aman Press Sdn. Bhd.

Noriati A. Rashid, Boon Pong Ying, Sharifah Fakhriah Syed Ahmad. (2009). Murid dan

Alam Belajar.Selangor. Oxford Fajar Sdn Bhd. Sufian Sukhairi & Osman Ali Rawa. (2008). Kajian Penggunaan Muzik Dalam Pengajaran

Dan Pembelajaran Di Bilik Darjah. Jurnal Penyelidikan Pendidikan IPGKTI. 9(4):27-31.

BAHAGIAN C

RANCANGAN PENGAJARAN HARIAN BAHASA MELAYU TAHUN 4

Mata Pelajaran:Bahasa Melayu

Kelas :Tahun 4

Tarikh:14 November 2014

Hari:Jumaat

Masa:0730-0840 (2 masa)

Bilangan Murid:16 orang

Tema:Yang Baik Jadikan Teladan

Tajuk:Monyet Yang Pintar

Hasil PembelajaranFokus Utama

2.1 Bercerita menggunakan kata, frasa, ayat serta sebutan dan intonasi yang baik dan jelas.

Aras 3 i) Mempersembahkan cerita dengan sebutan, intonasi dan penghayatan yang sesuai.

Fokus Sampingan

5.2 Membaca kuat teks prosa dan puisi dengan sebutan dan intonasi yang betul dan lancar serta memahami perkara yang dibaca.

Aras 1 (i) Membaca lancar bahan sastera dan bukan sastera dengan sebutan dan intonasi yang betul.

Objektif Pembelajaran:Pada akhir pengajaran dan pembelajaran ini murid-murid dapat:

1. Membaca lancar bahan sastera dan bukan sastera dengan sebutan, intonasi yang betul, dan gaya penyampaian yang menarik.

2. Mempersembahkan cerita dan menghuraikan sesuatu yang didengar dengan intonasi yang betul dan penghayatan yang sesuai.

3. Menyatakan sekurang - kurangnya 3 watak dan perwatakan dalam karya dengan tepat.

Sistem Bahasa:Tatabahasa: Kata kerja

Pengisian Kurikulum:Kemahiran Benilai TambahKemahiran Berfikir: menilai, mencirikan, menjana idea

Kecerdasan Pelbagai: Verbal linguistik, kecerdasan interpersonal, kecerdasan kinestetik

:Penerapan Ilmu: Pendidikan Islam/Moral

:Penerapan Nilai: Disiplin, kepimpinan, kerjasama, hormat menghormati dan keberanian

Bahan Bantu Belajar:Topeng, teks dialog dan teks cerita (kaedah simulasi dan main peranan), lembaran kerja (penilaian), kad imbasan nama haiwan (set induksi), kotak undi (pembahagian kumpulan), sampul surat (permainan), slaid power point

Pengetahuan Sedia Ada:Murid mengetahui nilai-nilai murni dalam kehidupan seharian contohnya bekerjasama antara satu sama lain.

Strategi dan Langkah Pengajaran

Prosedur/Langkah Standard KandunganStandard pembelajaranCatatan (Penilaian, kaedah dan lain-lain)

Aktiviti GuruAktiviti Murid

Pendahuluan/ Pembukaan

(3 minit)Ucapan salam dan bacaan doa sebelum belajar.

1. Guru memberi salam.1. Murid menjawab salam guru secara beramai-ramai.

2. Ketua kelas mengetuai bacaan doa sebelum belajar.Penerapan Nilai: Disiplin, hormat menghormati dan kepimpinan

Set Induksi

(5 minit)Pengenalan watak-watak binatang.

Monyet

Singa

Kijang

Kambing tua

Arnab1. Guru meminta murid membunyikan sambil menunjukkan sifat perwatakan beberapa jenis binatang.2. Guru mengaitkan perlakuan yang ditunjukkan dengan tajuk pembelajaran.1. Beberapa orang Murid meniru gaya binatang sementara yang lain menyuarakankan bunyi binatang yang ditunjukkan oleh guru di hadapan.2. Murid mendengar dengan tumpuan sepenuhnya kepada penerangan guru.Kaedah: Penerangan, simulasi

Bahan Bantu Belajar: Kad Imbasan.

Langkah 1

(15 minit)Aktiviti Membaca

Petikan teks Monyet Yang Pintar1. Guru mengedarkan teks Monyet Yang Pintar kepada setiap kumpulan.

2. Guru memilih secara rawak daripada setiap kumpulan untuk membaca petikan teks dengan intonasi dan sebutan yang betul.

3. Guru membetulkan kesalahan (jika ada ) serta merta semasa murid membaca teks tersebut.1. Murid mencabut undian nombor kumpulan dari kotak undi.

2. Murid dibahagikan kepada lima kumpulan.

3. Murid-murid yang lain dikehendaki untuk mendengar dan memahami teks yang disampaikan oleh rakan mereka. (Baca dalam hati).

Bahan Bantu Belajar: Petikan teks cerita, kotak undi

Penerapan Nilai:

Disiplin

Kemahiran: Membaca, mendengar dan bertutur.

Langkah 2

(25 minit)Mempersembahkan cerita Monyet yang Pintar dengan sebutan, intonasi dan penghayatan yang sesuai.1. Guru memberikan contoh persembahan cerita dengan menggunakan sebutan, intonasi dan penghayatan yang sesuai.

2. Guru menyerahkan teks dialog kepada setiap kumpulan.

3. Guru memantau dan menjadi fasilitator kepada murid dalam perbincangan kumpulan.

4. Guru memberi tunjuk ajar kepada setiap lakonan yang dipersembahkan.

5. Guru menyerahkan topeng haiwan yang dilakonkan kepada wakil setiap kumpulan.1. Murid dikekalkan dalam kumpulan yang sama.

2. Setiap kumpulan diberikan watak yang berbeza bagi melakonkan cerita Monyet Yang Pintar di hadapan kelas.

3. Murid diberikan teks dialog bagi setiap watak.

4. Murid dikehendaki mengajuk dan menghafaz dialog berdasarkan watak yang diberi.

5. Murid dikehendaki memilih salah seorang daripada mereka untuk melakonkan watak yang telah diberikan.

6. Murid berbincang dalam kumpulan tentang aktiviti lakonan yang akan dijalankan.

7. Murid mempersembahkan lakonan di hadapan kelas dengan sebutan dan intonasi yang betul serta penuh dengan penghayatan.Bahan Bantu Belajar: Teks dialog, topeng haiwan

Kaedah: Simulasi dan main peranan

Penerapan nilai: Kerjasama, keberanian

Kecerdasan Pelbagai: Verbal linguistik, kecerdasan interpersonal, kecerdasan kinestetik

Langkah 3

(15 minit)Watak & Perwatakan:

Singa Ganas, kejam

Monyet Berani

Kijang Penyayang

Kambing tua Baik hati.

Arnab - ingin tahu1. Guru menyediakan sampul surat yang mengandungi watak-watak dalam cerita Monyet Yang Pintar.

2. Guru memberi arahan yang jelas mengenai cara permainan dan mengawal kelas agar sentiasa terkawal.

3. Selesai bermain, guru mengetuai aktiviti sumbang saran mengenai nilai dan pengajaran daripada cerita yang dipelajari.1. Murid masih dikekalkan dalam kumpulan yang sama.

2. Seorang wakil murid dari setiap kumpulan dikehendaki mencabut salah satu watak dan menggayakannya di hadapan kelas tanpa bersuara manakala kumpulan pemerhati akan meneka watak tersebut.

3. Murid memberi respon yang baik terhadap aktiviti sumbang saran, murid menyatakan pendapat masing-masing mengenai cerita tersebut.Bahan Bantu Belajar: Sampul surat

Kaedah: permainan dan sumbang saran

Penutup

(8 minit)Rumusan pembelajaran1. Guru berbincang dengan murid berkaitan dengan isi pelajaran hari ini.

2. Guru memberikan kerja lanjutan kepada murid.1. Seorang wakil murid secara sukarela membuat rumusan secara ringkas mengenai tajuk yang diajar.Bahan Bantu Belajar: Slaid power point dan lembaran kerja.

SENARAI RUJUKAN

Ahmad Mohd Salleh. (2011). Kurikulum, metodologi dan Pedagogi Pendidikan Islam (2nd

Ed.). Selangor. Oxford Fajar Sdn. Bhd.Emma Azlina Alias. (2011). Nota Didik Hibur. Diakses dari laman web http://emmaazlina.blogspot.com/2011/12/nota-didik-hibur.html. Hermann, N. (1991). The Creative Brain. Journal of Creative Behaviour. 25(4):275- 295.

Musa Daia. (1992). Prinsip Am Pendidikan . Kota Bharu. Pustaka Aman Press Sdn. Bhd.

Noriati A. Rashid, Boon Pong Ying, Sharifah Fakhriah Syed Ahmad. (2009). Murid dan

Alam Belajar.Selangor. Oxford Fajar Sdn Bhd. Sufian Sukhairi & Osman Ali Rawa. (2008). Kajian Penggunaan Muzik Dalam Pengajaran

Dan Pembelajaran Di Bilik Darjah. Jurnal Penyelidikan Pendidikan IPGKTI. 9(4):27-31.