PENGALAMAN BERASASKAN SEKOLAH (PBS) DI SEKOLAH KEBANGSAAN TENGKU MAHMUD, BESUT, TERENGGANU.
Pada 18 Ogos 2013 hingga 22 Ogos 2013 yang lalu, saya bersama rakan-
rakan yang lain telah menjalani satu program Pengalaman Berasaskan Sekolah
(PBS) di Sekolah Kebangsaan Tengku Mahmud di Besut, Terengganu. Tujuan
utama saya memilih sekolah itu ialah kerana saya merupakan bekas pelajar di
sekolah itu. Tambahan pula, ini merupakan PBS yang terakhir maka ada baiknya
saya kembali seketika ke sekolah untuk mengimbau kembali nostalgia lama
disamping berjumpa guru-guru yang pernah mengajar saya lapan tahun yang lepas.
Selain itu, sekolah itu juga merupakan satu-satunya sekolah jenis kluster di Besut
dan diantara sekolah gred A di Malaysia, jadi ia memudahkan saya untuk
melaksanakan tugasan disana kerana sistem pentadbirannya berkualiti dan pelajar
di sekolah itu juga kebanyakannya cerdas dari segi IQ. Guru Besar sekolah tersebut
adalah Encik Abdul Rahman bin Sardar yang juga merupakan Guru Besar
Cemerlang.
Saya melaksanakan aktiviti PBS ini bersama-sama dengan tiga lagi rakan
daripada IPG Kampus Dato’ Razali Ismail iaitu Muhammad Khairie bin Jusoh, Mohd
Izzudin bin Md Yasin dan juga Mohd Syukur bin Abdullah. Kedatangan kami ke
sekolah ini tidak lengkap sama sekali tanpa menjalankan sebarang tugasan. Maka,
selepas dibelek-belek kertas tugasan dapatlah kami ketahui bahawa saya dan
rakan-rakan yang lain telah diarahkan untuk membuat beberapa tugasan berkaitan
dengan kajian dan pemerhatian terhadap pengajaran dan pembelajaran bagi mata
pelajaran Pendidikan Islam khususnya dalam bidang al-Quran.
Selain itu, kami juga diminta untuk membuat laporan, merekod dan membuat
refleksi tentang penggunaan oleh Guru Pendidikan Islam di sekolah dalam aspek
penggunaan Sukatan Pelajaran, Huraian Sukatan Pelajaran, Buku teks dan Buku
Panduan Guru Pendidikan Islam.seterusnya, saya dan rakan-rakan yang lain diminta
untuk membuat pemerhatian dan berbincang dengan guru tersebut mengenai cara
penulisan rancangan pengajaran semester dan harian, penyediaan dan penggunaan
Bahan Bantu Mengajar dan juga mengenai strategi dan kaedah mengajar yang
digunakan oleh guru tersebut semasa mengajar di dalam kelas.
Hari Ahad merupakan hari pertama persekolahan. Seperti biasa, saya dan
rakan-rakan tiba di Sekolah Kebangsaan Tengku Mahmud seawal yang mungkin.
Sebagai guru pelatih, kami perlulah menepati waktu agar tidak pula terjebak dengan
isu rasuah waktu. Dengan jiwa yang penuh bersemangat kami melangkah masuk ke
sekolah untuk mencari pengalaman baru di sekolah tersebut. Kami dikehendaki
memperkenalkan diri di hadapan perhimpunan. Murid-murid kelihatan sangat teruja
apabila kami memperkenalkan diri kepada mereka kerana mereka melihat kami
berlima terlalu kemas dan bergaya. Bagi mereka, tidak ada seorang pun di antara
guru mereka mempunyai persamaan dengan kami berlima.
Selepas tamat sesi perhimpunan, kami pergi ke pejabat untuk melaporkan diri
kepada Penolong Kanan Pentadbiran iaitu Encik Wan Rosli Wan Su. Pada mulanya,
kami menyangkakan beliau seorang yang tegas memandangkan mukanya yang
garang. Hal ini sedikit sebanyak membuatkan kami berasa janggal untuk
berkomunikasi. Rupa-rupanya apabila memulakan bicara, beliau seorang yang
peramah dan baik hati, maka benarlah pepatah tak kenal maka tak cinta. Beliau
memberi taklimat ringkas mengenai latar belakang sekolah dan memberi sedikit
sebanyak panduan kepada kami agar aktiviti PBS ini berjalan dengan lancar. Bagi
melancarkan lagi tugasan, kami telah diberi seorang guru pembimbing, iaitu guru
pendidikan Islam sebagai tutor kami.
Tutor kami, Ustazah Hangkikah Jusoh merupakan salah seorang guru
Pendidikan Islam di sekolah tersebut. Berkelulusan Diploma Pendidikan Pengajian
Agama Islam, seorang yang tegas dengan murid-muridnya tetapi baik tutur kata,
lembut bicaranya. Hal yang demikian memudahkan kami untuk berbincang
bersamanya mengenai maklumat yang diminta untuk menyelesaikan tugasan ini.
Pada hari seterusnya pula, kami melaksanakan tugasan kami dengan membuat
pemerhatian terhadap strategi dan kaedah mengajar yang digunakan oleh Ustazah
Hangkikah selama 30 minit. Beliau mengajar tajuk yang berkaitan dengan Asuhan
Tilawah al-Quran iaitu hafazan surah-surah pendek. Melalui pemerhatian tersebut,
kami telah melihat pelbagai kaedah dan strategi yang telah digunakan oleh Ustazah
untuk mengajar tajuk tersebut.
Melalui aktiviti PBS ini juga, saya telah memperoleh banyak pengalaman
antaranya saya telah diarahkan oleh guru tersebut untuk menggantikan kelas.
Dengan pengalaman ini, saya berasa lebih yakin untuk berhadapan dengan murid-
murid apabila sudah menjadi guru yang sah nanti. Dengan ini saya amat bersetuju
bahawa aktiviti PBS ini amat berguna kepada kami untuk digunakan pada masa
hadapan kelak.
Laporan Aktiviti Pengalaman Berasaskan Sekolah (PBS)
Pada 18 hingga 22 Ogos 2013, saya dan rakan-rakan yang lain telah menjalani
aktiviti pengalaman berasaskan sekolah (PBS) di Sekolah Kebangsaan Tengku
Mahmud, Besut. Semasa aktiviti PBS ini dijalankan, kami telah diminta untuk
membuat beberapa laporan aktiviti di sekolah tersebut. Kami dikehendaki membuat
pemerhatian, berbincang dengan guru, mengumpul maklumat, merekod dan
membuat refleksi tentang perkara-perkara berikut:
a) Penggunaan oleh Guru Pendidikan Islam di sekolah dalam aspek
penggunaan Sukatan Pelajaran, Buku Teks dan Buku Panduan Guru
Pendidikan Islam.
b) Penyediaan dan penggunaan Bahan Bantu Mengajar.
c) Strategi dan kaedah mengajar yang digunakan semasa mengajar dalam
kelas.
d) Kemahiran Guru dalam mengawal kelas, menerapkan nilai,
penggabungjalinan dan membuat penilaian P&P
Penggunaan oleh guru Pendidikan Islam di sekolah dalam aspek penggunaan
Sukatan Pelajaran, Buku Teks dan Buku Panduan Guru Pendidikan Islam.
Sepanjang menjalankan tugasan PBS ini, saya kerap diajak oleh tutor untuk
bersama-sama masuk ke kelas bagi mengetahui dengan lebih lanjut mengenai
penggunaan bahan kerana guru juga memerlukan penyediaan yang rapi sebelum
mengajar. Ustazah Hangkikah juga menambah, sukatan pelajaran sangat penting
dalam merangka strategi yang sesuai untuk penulisan rancangan pengajaran harian.
Dari situ, saya dapat lihat penggunaan sukatan pelajaran adalah menyeluruh.
Sukatan pelajaran akan membantu guru, mengenai apakah tajuk yang bakal diajar.
Manakala penggunaan Huraian Sukatan juga tidak boleh dinafikan. Tambah
ustazah lagi, dari sukatan pelajaran tadi, kita perlu merujuk huraian sukatan bagi
menentukan aras-aras pembelajaran yang
sesuai bagi murid. Kesimpulannya penggunaan
Sukatan pelajaran serta Huraian Sukatan
Pelajaran dikalangan guru sangat
menggalakkan.
Selain itu, Buku teks ialah sumber
pembelajaran penting kepada guru dan juga
murid. Di sekolah tersebut, Buku teks digunakan
sebagai sumber sebelum, ketika dan selepas
pengajaran dan pembelajaran. Di antara contoh
penggunaan buku teks disekolah ialah
digunakan sebagai sumber kerja rumah, sumber
kegiatan kokurikulum, sumber penulisan, sumber
kajian tempatan dan sumber peristiwa semasa.
Buku teks boleh dikatakan bahan utama bagi
guru di seklah tersebut ketika mengajar. Buku
teks juga merupakan bahan utama yang wajib
dibawa oleh murid ke sekolah. Penggunaan
buku teks terus relevan walaupun guru
mempunyai pilihan untuk melaksanakan kegiatan di bilik darjah dengan bantuan
peralatan canggih teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).
Buku Panduan Guru juga turut membantu, memudahkan dan juga memberi
panduan yang lengkap kepada guru-guru untuk mengajar sesuatu tajuk. Dengan
adanya Buku Panduan Guru tersebut, guru-guru dapatlah mengetahui tentang setiap
hasil pembelajaran yang perlu dicapai apabila mengajar
sesuatu tajuk. Di dalam buku panduan guru juga
terdapat contoh jawapan bagi soalan-soalan didalam
buku teks serta buku latihan pelajar. Bagi Ustazah
Hangkikah, buku panduan guru sangat membantu beliau
dalam pengurusan masa serta teknik-teknik
pembelajaran kerana buku ini ditulis bagi menolong
guru-guru mengajarkan teknik-teknik berfikir kepada
para pelajar.
Penulisan Rancangan Pengajaran Semester dan Harian.
Penulisan rancangan pengajaran semester dan harian ini amat penting
kepada setiap guru di sekolah. Semasa membuat aktiviti PBS di sekolah, saya
sempat berbincang dan melihat sendiri contoh dan cara-cara untuk membuat
rancangan pengajaran semester dan harian ini melalui bantuan daripada guru
Pendidikan Islam di sekolah itu. Rancangan Pengajaran Semester dan Harian yang
telah disediakan oleh pihak kementerian sedikit sebanyak membantu guru dalam
melancarkan lagi proses pengajaran dan pembelajaran. Rancangan Pengajaran
Semester adalah merupakan suatu rancangan pengajaran yang ditulis mengikut
semester, manakala Rancangan Pengajaran Harian pula merupakan rancangan
pengajaran yang ditulis mengikut hari dan waktu setiap kali ketika hendak mengajar.
Rancangan pengajaran semester dan harian ini pada asasnya merupakan
catatan mengenai perancangan yang berkaitan sesi pengajaran. Bagi guru-guru,
rancangan pengajaran haruslah disiapkan dengan baik dan tersusun sebelum sesi
pengajaran dimulakan. Rancangan pengajaran yang disiapkan dengan sempurna
dapat meningkatkan keberkesanan pengajaran dan dengan sendirinya menjadikan
proses pengajaran berjalan dengan sempurna juga. Selain itu, rancangan
pengajaran yang baik juga dapat mengelak atau mengurangkan berlakunya
kesilapan yang boleh mengganggu proses pengajaran. Pada asalnya rancangan
pelajaran diperlukan dengan tujuan untuk melatih guru merancang semua
kompenan yang patut diwujudkan dalam sesi pengajaran. Selain itu, ia juga melatih
guru berfikir secara mendalam tentang isi, bahan dan langkah-langkah pengajaran
dan kemudian merangka dan menyusunnya secara teratur sebelum pengajaran
sebenar disampaikan.
Dengan adanya rancangan pengajaran semester dan rencangan pengajaran
harian ini, para guru akan dapat mengajar dengan lebih berkesan dan sistematik.
Selain itu, rancangan pengajaran semester ini juga amat membantu kepada para
guru untuk merancang dengan lebih awal tentang pengajaran yang akan dilakukan
nanti.
Penyediaan dan Penggunaan Bahan Bantu Mengajar.
Setelah membuat pemerhatian di sekolah, saya mendapati bahawa
penggunaan bahan bantu mengajar ini amat penting kepada murid-murid.
Penggunaan bahan bantu mengajar ini dapat membantu murid-murid untuk lebih
memahami tentang apa yang akan mereka pelajari.
Ketika berada di Sekolah Kebangsaan Tengku Mahmud ini, saya dapat
melihat sendiri bagaimana alat bahan bantu mengajar ini digunakan oleh guru
Pendidikan Islam ketika sesi pembelajaran dijalankan khususnya dalam subjek al-
Quran. Penggunaan bahan bantu mengajar ini amat berkesan kepada murid-murid
di dalam kelas. Melalui pemerhatian saya, setelah bahan bantu mengajar ini
digunakan, saya mendapati bahawa penglibatan murid-murid lebih aktif berbanding
ketika tiada penggunaan bahan bantu mengajar digunakan. Perkara ini memberi
impak dan kesan yang positif kepada murid-murid untuk lebih memahami sesuatu
pembelajaran itu dengan lebih cepat dan efektif.
Seterusnya, bagi menarik minat murid untuk belajar, para guru mestilah
menyediakan alat bahan bantu mengajar itu dengan lebih menarik dan mengikut
tahap murid tersebut supaya P&P dapat dijalankan dengan lebih seronok dan murid-
murid akan menjadi lebih aktif dan berani untuk melibatkan diri di dalam situasi ini.
Strategi dan kaedah mengajar yang digunakan di dalam kelas
Penentuan strategi pengajaran dan pembelajaran merujuk kepada pemilihan
strategi yang sesuai dengan tujuan untuk memperolehi hasil pencapaian objektif
pengajaran dalam peringkat optimum. Strategi pengajaran dan pembelajaran boleh
ditentukan berdasarkan kaedah dan teknik pengajaran seperti kaedah demonstrasi,
penyoalan, perbincangan dan lain-lain. Di samping itu, kaedah keseluruhan kelas,
kaedah kumpulan dan kaedah individu juga harus diambil kira semasa menentukan
strategi pengajaran dan pembelajaran. Secara am, tujuan menentukan strategi ini
adalah untuk membolehkan murid-murid melibatkan diri sepenuhnya dalam aktiviti
pembelajaran mereka serta menguasai kemahiran dengan berkesan.
Sepanjang melakukan PBS, saya
mendapati kebanyakan guru
pendidikan Islam di Sekolah
Kebangsaan Tengku Mahmud
menggunakan kaedah hafalan.
Contohnya guru membacakan satu
surah pendek iaitu Surah al-Zalzalah
dengan jelas. Kemudian guru meminta
seorang murid mengulang bacaan guru. Manakala murid-murid yang lain pula
diminta mengikut bacaan Surah al-Zalzalah dengan suara yang kuat sambil
melihat buku teks. Semua ini antara tujuannya supaya pelajar dapat
mengingat surah tersebut. Kaedah hafalan merupakan kaedah pembelajaran
yang penting dalam pendidikan Islam. Kaedah ini digunakan dalam
pengajaran al-Quran. Pada peringkat hafalan, guru tidak menghuraikan
maksud disebabkan ketidak mampuan kanak-kanak memahaminya.
Selain itu, antara kaedah yang sering digunakan oleh guru pendidikan Islam
ialah kaedah Tasmi’. Kaedah ini melibatkan penglibatan dua hala iaitu antara guru
dengan pelajar dan lebih sesuai digunakan dalam kemahiran hafazan, namun begitu
kaedah ini juga boleh dipraktikkan dalam kemahiran bacaan Al Quran untuk menguji
bacaan murid yang telah mahir dalam penguasaan membaca Al-Quran. Dalam
kaedah ini, murid akan diminta membaca surah surah yang ditetapkan di hadapan
guru. Jika terdapat kesalahan, guru akan memperbetulkan. Selepas itu, murid boleh
ditanya tentang hukum hukum bacaan atau tajwid dan maksud tanda tanda bacaan
dalam ayat yang dibaca. Kaedah ini boleh dilakukan dengan cara sama ada guru
mendengar dan meneliti bacaan murid, murid membaca secara kumpulan atau
individu secara bergilir gilir atau murid membaca dengan suara yang nyaring. Antara
kekuatan kaedah ini adalah seperti berikut:
(i) Guru dapat memperbetulkan bacaan murid dengan tepat;
(ii) Guru dapat memastikan murid tidak melakukan kesilapan;
(iii) Guru dapat mengenalpasti tahap kebolehan sebenar murid;
(iv) Guru dapat mengesan kelemahan bacaan murid; dan
(v) Guru dapat mendisiplinkan murid dengan baik.
Selain itu juga, Ustazah Hangkikah menggunakan kaedah tikrar. Kaedah
tikrar atau ulangan ini bolehlah kita samakan dengan kaedah latih tubi. Pendekatan
kaedah ini adalah melakukan pembacaan atau mengingat secara berulangkali.
Caranya adalah :
(i) Selepas guru membaca, murid akan mengikut bacaan guru;
(ii) Kemudian, seorang murid membaca dan diikuti oleh murid murid lain lalu
murid murid membaca secara kelas; dan
(iii) Seterusnya, murid membaca beramai ramai mengikut kumpulan,
sementara kumpulan lain mendengar atau seorang sahaja murid membaca,
sementara yang lain mendengar bacaan murid tersebut.
Bagi menjadikan kaedah ini mendatangkan kesan yang lebih baik, ia
hendaklah dilakukan secara berturutan dan berulang kali. Berhubung kaedah tikrar
ini,Saidatina Aisyah r.a meriwayatkan hadis yang bermaksud :
‘Rasulullah s.a.w suka mengulang ulang suatu perkara kepada para sahabat
sehingga mereka mendapat fahaman yang sebenar.’
Persoalan berapa kerapkah proses ulangan ini perlu dilakukan supaya ia
berkesan tetapi tidak membosankan dan membuang masa, Saidatina Aisyah r.a
meriwayatkan sebuah lagi hadis yang bermaksud :
‘Rasulullah s.a.w mengucapkan tiga kali apabila bertutur dengan satu satu
ayat dan kadangkala satu masalah yang diterangkan oleh Rasulullah s.a.w
diulang sebanyak tiga kali agar para pendengar cukup jelas untuk
memahaminya.’
Maksud hadis di atas menyatakan bahawa kesesuaian kaedah ulangan ini
adalah dilakukan sebanyak tiga kali berturut turut pada masa yang sama dan jangan
lupa memperuntukkan rehat satu hingga tiga minit selang di antaranya. Untuk
menjadikan suasana pembelajaran lebih menarik, guru juga memperdengarkan
bacaan ayat ayat Al Quran dari kaset atau bahan bahan media yang lain untuk
didengar oleh murid. Kemudian, apabila murid mengikut bacaan tersebut,rakam
suara murid di dalam kaset. Perdengarkan kembali rakaman tersebut kepada murid
agar mereka dapat mengesan kesilapan kesilapan bacaan mereka sebelum anda
membetulkan kesilapan tersebut.
Antara kekuatan kaedah ini adalah :
(i) Guru dapat mengenalpasti kemahiran yang dikuasai oleh setiap murid;
(ii) Kaedah ini sesuai digunakan untuk aktiviti pemulihan; dan
(iii) Kaedah ini dapat membina keyakinan murid.
Kesimpulannya, guru memainkan peranan yang penting untuk mendidik
pelajar dalam melahirkan seorang insan atau generasi yang berketerampilan, mahir,
berkebolehan, inovasi, kreatif, bertanggungjawab serta bermodal tinggi. Guru
merupakan orang yang memainkan peranan untuk menentukan perkara-perkara
yang akan dipelajari oleh pelajar. Di samping itu, mereka juga mestilah orang yang
berpengetahuan dalam perkara-perkara yang hendak diajar. Oleh itu, guru juga
mestilah dididik terlebih dahulu. Perkara-perkara yang diajar oleh guru mungkin tidak
dapat memenuhi kehendak dan minat pelajar. Ini dapat dilakukan oleh guru dengan
menggunakan kaedah pengajaran yang berkesan.
Kemahiran Guru dalam mengawal kelas, menerapkan nilai, penggabungjalinan
dan membuat penilaian P&P
Sesungguhnya untuk mengawal satu kelas adalah sesuatu yang sukar apatah
lagi apabila melibatkan jumlah murid yang begitu ramai sehinggakan guru tidak
menang tangan hendak melayan kerenah murid satu persatu. Namun, melalui
pemerhatian saya sepanjang PBS ini, Ustazah Hangkikah mempunyai caranya yang
tersendiri dalam mengawal kelas. Suaranya yang lantang dan tegas sudah cukup
menggetarkan jiwa murid-murid untuk diam dan menghayati pelajaran dengan
tenang. Beliau juga menggunakan peneguhan positif apabila sesi pembelajaran
berlaku dengan memberikan hadiah seperti gula-gula kepada mana-mana murid
yang dapat mengikuti kelas dengan tertib. Hal yang demikian menyebabkan kelas
dapat dikawal dan sesi pengajaran dan pembelajaran berjalan dengan lancar dan
sempurna tanpa sebarang masalah.
Kisah-kisah teladan dijadikan contoh dan sebagai selingan seusai sesuatu
topik dibahaskan. Ini menjadikan pembelajaran lebih menarik apabila murid-murid
menunjukkan minat dan tidak kebosanan. Terutamanya dalam bidang al-Quran
apabila guru bercerita mengenai kisah-kisah di dalam al-Quran lebih-lebih lagi
apabila melibatkan surah-surah yang terkandung didalam sukatan pelajaran. Dalam
pada masa yang sama, guru dapat menerapkan nilai melalui kisah-kisah teladan
yang diceritakan semasa proses pengajaran dan pembelajaran ini berlangsung.
Alat bantu mengajar yang digunakan juga sedikit sebanyak mempamerkan
keberkesanan guru dalam kawalan kelas apabila murid-murid dapat memberikan
kerjasama yang sepenuhnya baik kerjasama kepada guru mahu pun sesama
mereka. Aktiviti yang dijalankan juga dapat membentuk keperibadian dan sahsiah
murid-murid apabila mereka belajar untuk hidup dalam suasana berkomuniti.
Kesedaran yang timbul dalam diri murid-murid bahawa hidup berkomuniti ini
umpama suatu badan manusia, salah satu anggotanya terasa sakit maka sakitlah
seluruh anggotanya. Hal yang demikian mewujudkan suasana kerjasama, tolong
menolong, dan saling memerlukan dalam setiap perkara yang dilakukan.
Akhir sekali, guru membuat penilaian proses pengajaran dan pembelajaran
yang berlangsung dengan mengambil kira segala aspek yang melibatkan
keberkesanan dalam proses pengajaran dan pembelajaran tersebut. Ujian bertulis
dan amali praktikal adalah salah satu penilaian yang ringkas seusai sesuatu tajuk itu
tamat. Dengan cara ini, hasil pembelajaran dapat diukur dan guru perlu merekod
dan prestasi murid akan dipantau dari masa ke semasa.