demokrasi berparlimen
TRANSCRIPT
Demokrasi Berparlimen.
Dalam sisitem berparalimen, badan perundangan yang tertinggi kuasanya
ialah parlimen. Negara-negara yang mengamalkan sistem ini ialah Britain,
Jepun, Malaysia, dan India. Parlimen terdiri daripada ahli-ahli yang dipilih dalam
pilihanraya umum, yang selalunya diadakan sekurang-kurangnya lima tahun
sekali. Parlimen (legislature) ialah badan yang mewakili rakyat untuk membuat
undang-undang negara. Tugasnya ialah menggubal undang-undang dan dasar-
dasar melalui kuasa yang diberi kepadanya oleh undi rakyat.
Sistem demokrasi berparlimen terbahagi kepada dua, iaitu dua dewan.
Pertama, dewan yang yang dipilih oleh orang ramai melalui pilihanraya umum
dan yang kedua, dewan yang ahli-ahlinya dilantik oleh ketua negara: atau
institusi-institusi tertentu yang ditugaskan oleh perlembagaan untuk berbuat
sedemikian. Britain, India dan Malaysia adalah contoh negara yang mempunyai
sistem seperti ini. Singapura, Denmark dan Sweden mempunyai hanya satu
dewan yang ahli-ahlinya dipilih secara langsung oleh pengundi.
Parti atau gabungan parti-parti yang mempunyai majority kerusi dalam
parlimen akan membentuk kerajaan. Kerajaan ini yang akan mengemukakan
dasar-dasar dan rang undang-undang untuk perbahasan dan dan keputusan.
Ahli-ahli parlimen biasa, termasuk pembangkakng, boleh juga membentangkan
rang undang-undang tetapi lazimnya ini dilakukan oleh parti yang memerintah.
Rang undang-undang ini diteliti oleh parlimen. Setiap rang undang-undang
melalui tiga tahap – bacaan pertama, di mana rang undang-undang tersebut
diedarkan kepada ahli-ahli parlimen; bacan kedua, di mana perbahsan umum
diadakan; dan bacaan ketiga, di mana rang undang-undang itu dikaji fasal demi
fasal. Selepas diluluskan oleh dewan rakyat, rang undang-undang tersebut akan
dikemukakan di dewan kedua pula, (dipanggil senat, dewan negara dan
sebagainya) iaitu bagi parlimen yang mempunyai dua dewan. Di senat
perbincangan juga diadakan di tiga peringkat bacaan. Selepas diluluskan oleh
senat rang undang-undang itu dikemukakan kepada ketua negara-raja atau
presiden untuk ditandatangani. Selepas ditandatangani dan digazetkan ia
dianggap sebagai rang undang-undang.
Oleh kerana kabinet yang mengemukakan rang undang-undang dan
dasar-dasar, sama ada dalam bidang pendidikan, pertahanan atau
pembangunan ekonomi, maka kabinetlah yang sebenarnya merupakan
penggubal undang-undang. Ahli-ahli kabinet memainkan peranan utama dalam
perdebatan dan perbincangan tentang sesuatau dasar itu. Tetapi menteri-
menteri kabinet bukan sahaja berperanan dalam proses perundangan, mereka
juga mengetuai kementerian-kementerian yang melaksanakan dasar-dasar yang
diluluskan oleh parlimen. Sebagai contoh, menteri pengangkutan bukan sahaja
bertanggungjawab menggubal dasar-dasar pengangkutan, beliau juga yang
menyelia dasar-dasar itu dilaksanakan oleh pegawai-pegawai kerajaan (atau
birokrasi). Menteri-menteri dan birokrasi (pentadbiran) kedua-duanya
bertanggungjawab melaksana. Badan perlaksanaan ini dipanggil eksekutif dan
pentadbiran awam.
Legislature (perundangan) dan ekskutif adalah dua cabang terpenting
dalam sistem pemerintahan demokrasi berparlimen. Walaupun dua badan ini
berbeza daripada segi fungsi dan kedudukan undang-undang, daripada segi lain
pula mereka mempunyai hubungan sangat rapat. Menteri-menteri kabinet
memainkan peranan utama dalam kedua-dua badan ini. Itulah sebabnya apa
yang berlaku dalam sistem demokrasi berparlimen ini selalu digelar sebagai satu
“fusion of power” ataupun satu “percantuman kuasa” Justeru itu juga ada ahli
teori yang mengatakan bahawa sistem demokrasi berparlimen adalah
bertentangan dengan semanagat konsep pengasingan kuasa dalam teori
demokrasi liberal.
Demokrasi berparlimen juga mempunyai institusi yang bertanggungjawab
memastikan bahawa undang-undang dijalankan dengan adil. Ini ialah badan
kehakiman (judiciary). Satu perbezaan yang menarik tentang badan ini di antara
demokrasi berparlimen dan demokrasi berpresiden ialah kehakiman dalam
sistem yang pertama itu kurang kuasanya jika dibandingkan sistem berpresiden.
Badan kehakiman di negara-negara demokrasi berpresiden seperti Amerika
Syarikat lebih bebas dan berkuasa jika dibandingkan di negara-negara
demokrasi berpresiden seperti England, Jerman Barat dan Kanada. Mengikut
teori demokrasi, badan kehakiman adalah bebas daripada kawalan politik.
Hakim-hakim dilantik oleh ketua negara dan bukannya oleh kabinet walaupun
perlantikan oleh ketua negara itu adalah di atas nasihat perdana menteri, iaitu
ketua parti memerintah dan seorang ahli politik. Hakim-hakim tidak boleh
disingkirkan oleh kabinet atau parti yang memerintah. Jawatan hakim dibezakan
daripada jawatan-jawatan kerajaan yang lain. Gaji, kenaikan pangkat dan syarat-
syarat perkhidmatan mereka adalah di bawah jagaan satau Suruhanjaya
Kehakiman yang tersendiri.
Kebebasan kehakiman adalah salah satu daripada kekuatan sistem
demokrasi. Kebebasan ini memastikan bahawa keadilan dapat dilaksanakan
dengan berkecuali dan hakim-hakim dapat menjalankan tugas mereka tanpa
menyebelahi mana-mana pihak. Hakim-hakim bebas untuk mentafsirkan
undang-undang yang diluluskan oleh parlimen mengikut fahaman mereka
tentang keadilan pelaksanaanya. Kebebasan kehakiman ini merupakan ukuran
terpenting dalam menentukan sifat demokratik sesuatu sistem politik itu.