dedikasi guru tingkatkan kualiti pendidikan (esei ptk tk3)

Download Dedikasi Guru Tingkatkan Kualiti Pendidikan (Esei PTK TK3)

If you can't read please download the document

Upload: cikgunikmie

Post on 12-Jun-2015

4.354 views

Category:

Documents


5 download

DESCRIPTION

Esei PTK TK3 Hasil penulisan saya 681010-03-5589

TRANSCRIPT

RINGKASAN

EKSEKUTIF

Agenda Negara merealisasikan Wasasan 2020 melalui Misi Nasional menuntut warga pendidik menggalas tugas dan tanggungjawab yang berat dalam membina modal insan gemilang berminda kelas pertama menerusi kecemerlangan pendidikan, sebagaimana yang digariskan dalam objektif PIPP. Dalam merealisasikan objektif PIPP ini, guru perlu mengamalkan sikap dedikasi yang tinggi dalam semua bidang pendidikan iaitu Kurikulum, Kokurikulum, dan Hal Ehwal Murid (HEM). Tanggungjawab yang berat ini menuntut warga pendidik menanamkan minat dan komitmen yang mendalam serta mengamalkan nilai-nilai murni dan etika kerja yang juga berkelas pertama. Guru juga harus bersedia mengorbankan masa dan tenaga secara berterusan dalam menghasilkan kerja yang berkualiti. Dalam masa yang sama guru juga perlu sentiasa memperkayakan diri dengan kemahiran dan keperibadian yang tinggi, mengamalkan sikap terbuka, mengikuti perkembangan ilmu dan bersedia menerima setiap perubahan yang dibawa oleh arus sains dan teknologi. Pendek kata guru adalah pemimpin dengan keperibadiannya yang terpuji. Guru juga perlu bersedia melakukan anjakan paradigma untuk menyuntik nilai tambah dan menguasai ilmu dalam memantapkan profesionalismenya. Dengan ini guru akan mendahului murid dalam pelbagai aspek pendidikan. Kertas kerja ini menfokus kepada cara bagaimana saya mengamalkan nilai dedikasi dalam melaksanakan tugas sebagai seorang guru bagi meningkatkan kualiti pendidikan dan seterusnya melahirkan modal insan gemilang berminda kelas pertama melalui aktiviti-aktiviti Kurikulum, Kokurikulum dan HEM. Kertas kerja ini juga membincangkan bagaimana saya melakukan anjakan paradigma dan menjadikan diri sebagai role model yang unggul kepada murid-murid dalam merealisasikan objektif PIPP, Misi Nasional dan Wawasan 2020. 1.0 PENGENALAN Malaysia berazam untuk menjadi sebuah negara maju yang teguh, bersatu dan utuh mengikut acuan sendiri menjelang tahun 2020 (Wawasan 2020). Bagi mencapai matlamat tersebut, kerajaan telah merangka satu pelan pelaksanaan yang dinamakan Misi Nasional (MN). MN ini menetapkan pembangunan modal insan berminda kelas pertama sebagai satu daripada teras perdananya. Ini menunjukkan pendidikan merupakan satu elemen utama bagi menjayakan MN ini. Pendidikan berperanan penting dalam membangunkan modal insan berminda kelas pertama. Selaras dengan itu, salah satu agenda penting kerajaan adalah untuk membangunkan satu sistem pendidikan yang berwibawa dan bertaraf dunia yang menumpukan kepada pembangunan modal insan berpengetahuan dan berkemahiran yang mampu bersaing di pasaran kerja global serta bersifat menyeluruh, progresif, bermoral dan beretika tinggi yang dapat mengisi keperluan negara maju menjelang 2020 (Haili, 2008). Bagi menjayakan agenda tersebut, Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) telah menyediakan satu pelan khas yang dinamakan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) 2006-2010. PIPP merupakan satu dokumen perancangan pembangunan pendidikan yang bersepadu, komprehensif dan menyeluruh yang menggariskan fokus, strategi utama dan pelan pelaksanaan untuk menjadikan pendidikan negara relevan dengan keadaan semasa dan masa hadapan. Cabaran membina modal insan berkualiti mengikut agenda PIPP sebahagian besarnya terletak di bahu guru-guru. Untuk mencapai kualiti pendidikan bertaraf dunia yang mampu melahirkan modal insan berminda kelas pertama, negara memerlukan guru-guru yang cemerlang. Guru yang cemerlang mempunyai minat yang penuh terhadap tugasnya, cemerlang akademiknya, teguh pegangan agamanya serta sentiasa mengamalkan nilainilai murni yang terkandung dalam Tonggak Dua Belas yang menjadi teras Etika Kerja Perkhidmatan Awam (EKPA) (Mohd Fuad, 2008a). Penghayatan nilai-nilai murni yang terkandung dalam EKPA oleh warga pendidik akan menjamin mereka melaksanakan tugas tanpa berbelah bahagi serta penuh berdisiplin dan bertanggungjawab mengikut norma, etiket sosial dan budaya masyarakat, demi menjamin segala aktiviti kehidupan dan pengurusan organisasi dapat dijalankan dengan sistematik serta

berkesan tanpa sebarang kesilapan dan penyelewengan, di samping meningkatkan produktiviti dan kualiti perkhidmatan (Mok, 2008). Dedikasi merupakan salah satu daripada nilai murni dalam EKPA yang mesti diamalkan oleh guru. Kertas kerja ini akan menfokuskan kepada nilai dedikasi yang saya amalkan semasa menjalankan tugas bagi meningkatkan kualiti pendidikan. 2.0 2.1 DEFINISI KONSEP Dedikasi

Dedikasi bermaksud rela mengorbankan tenaga pada bila-bila masa, demi menghasilkan kerja yang berkualiti (Mok, 2008) atau pengabdian diri, masa dan tenaga sepenuhnya kepada sesuatu tujuan tertentu (Kamus Dewan, 2005). Dedikasi merupakan satu keperibadian yang mulia dan tinggi martabatnya yang sepatutnya dimiliki oleh setiap insan. 2.2 Kualiti Pendidikan

Kualiti ialah darjah kecemerlangan yang tinggi mutu (Kamus Dewan, 2005). Dato Dr. Hj. Ahamad bin Sipon, Ketua Pengarah KPM dalam Perutusan Hari Guru 2005 menyatakan, "kualiti merupakan sesuatu yang subjektif dan ia merujuk kepada darjah kecemerlangan, mutu atau sifat keunggulan. Dalam membangunkan pendidikan berkualiti dan bertaraf dunia supaya negara kekal kompetitif di persada antarabangsa maka kualiti perlu dibudayakan dalam sistem pendidikan negara secara berterusan dan menyeluruh". Pendidikan ialah perbuatan mendidik (Kamus Dewan, 2005). Pendidikan merupakan satu proses memupuk dan memperkembangkan seluruh potensi manusia iaitu jasmani, emosi, rohani, dan intelek (JERI) (Wan Mohd Zahid, 1993). Oleh itu, kualiti pendidikan boleh didefinisikan sebagai mutu atau keunggulan proses bimbingan secara sedar oleh guru terhadap perkembangan JERI orang yang dididik, yang menghala ke arah mencapai matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK). FPK menjadi indikator kepada kualiti pendidikan yang dicitakan. 3.0 AMALAN DEDIKASI DALAM MENINGKATKAN KUALITI PENDIDIKAN

Meningkatkan kualiti pendidikan menjadi cabaran utama kepada guru-guru. Guru perlu berkeupayaan untuk melahirkan modal insan yang perkasa dari aspek ilmu pengetahuan dan kemahiran dan mampu bersaing di peringkat global. Ini menuntut guru menjadi seorang yang dinamik, proaktif dan sentiasa mempunyai iltizam untuk menjayakan tanggungjawabnya dengan penuh dedikasi dalam semua aktiviti pendidikan seperti bidang kurikulum, kokurikulum, hal ehwal murid (HEM) dan pembinaan sahsiah murni yang sejagat. Bidang kurikulum melalui aktiviti pengajaran dan pembelajaran (P&P) merupakan medium utama dalam menghasilkan pendidikan bermutu. Kualiti pendidikan turut dimantapkan oleh aktiviti kokurikulum. Ia diteguhkan lagi dengan anjakan paradigma para guru serta penglibatan aktif mereka dalam program-program yang dirancangkan di peringkat sekolah, Pejabat Pelajaran Daerah (PPD), Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) atau KPM. Dalam memberikan pendidikan berkualiti secara berterusan kepada murid-murid, para guru yang merupakan medium perantara utama dalam aktiviti-aktiviti pendidikan haruslah sentiasa komited serta berdedikasi dalam menjayakan semua aktiviti pendidikan. Oleh sebab itu, saya sebagai guru turut mengamalkan sikap komited dan nilai dedikasi dalam tugas saya supaya mampu menghasilkan produk yang berkualiti iaitu modal insan yang berminda kelas pertama serta bermentaliti futuristik. 3.1 Bidang Kurikulum

Kurikulum adalah satu program yang mengandungi aktiviti-aktiviti P&P yang disusun oleh guru untuk membolehkan murid-murid mencapai objektif yang ditentukan (Mok,

2008). Pengajaran ialah satu proses mengajar yang melibatkan aktiviti menerang, menyoal, mendengar, menjawab serta menggalakkan sesuatu. Pembelajaran pula dikatakan telah berlaku sekiranya kebolehan murid telah meningkat di antara dua masa yang berlainan. Guru harus menyediakan strategi serta perancangan P&P yang mengintegrasikan ilmu pengetahuan, kemahiran dan nilai dengan teknik-teknik penyampaian tertentu, serta penggunaan bahan dan aktiviti yang boleh mewujudkan iklim P&P yang kondusif, bermakna dan berkesan untuk meningkatkan kecemerlangan dan kualiti pendidikan (Pusat Perkembangan Kurikulum, 1990). Sebagai menyahut seruan PPK tersebut saya mengamalkan pedagogi berkualiti melalui kepelbagaian pendekatan, kaedah mahupun teknik agar proses P&P berjalan dengan lancar, berkesan dan mampu menarik minat murid-murid untuk belajar. Saya sentiasa berusaha sedaya upaya untuk meningkatkan kualiti pendidikan dengan mengorbankan masa dan tenaga dalam membuat perancangan P&P yang rapi dan persediaan yang mencukupi sebelum mengajar serta mengaplikasikan pelbagai Alat Bantu Mengajar (ABM) dan kemudahan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK) dalam pengajaran. Prof. Dr. Mohd Yusof Othman, Pengarah Institut Islam Hadhari, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menyatakan, "dengan membuat persediaan rapi, seseorang guru akan lebih yakin untuk berdepan dengan pelajarnya. (Mohd Fuad Razali, 2008b). Saya juga sentiasa kreatif dalam menarik minat murid-murid untuk belajar dengan turut menyelitkan unsur kecindan dalam pengajaran supaya mereka tidak bosan dan P&P yang kondusif terhasil. Pelbagai kaedah pengajaran berpusatkan pelajar seperti Kajian Luar, Inkuiri-Penemuan, Sumbang Saran, Pembelajaran Masteri dan Konstruktivisme diaplikasikan untuk merangsang perkembangan minda murid ke tahap tertinggi bagi mencapai objektif P&P dan seterusnya membolehkan murid menguasai ilmu yang dipelajari. Dedikasi saya dalam mempelbagaikan kaedah P&P ini memberi ruang kepada murid-murid untuk meningkatkan keupayaan kognitif mereka seperti membuat analisis, sintesis dan penilaian serta melatih murid-murid untuk berdikari, bersikap berani dan membina keyakinan diri dalam menghadapi cabaran baru dalam situasi yang berlainan pada masa hadapan. Sebagai contoh, saya sebagai guru Geografi STPM tanpa gagal telah menganjurkan P&P melalui kaedah Kajian Luar. Terbaru, saya telah menganjurkan kajian luar untuk murid-murid Geografi STPM di Taman Negara Kuala Tahan, Pahang. Melalui kajian luar ini murid-murid didedahkan kepada persekitaran sebenar untuk mengukuhkan kefahaman mereka tentang teori yang telah dipelajari di bilik darjah. Saya memberi sepenuh komitmen untuk menjayakan aktiviti ini dengan memohon kebenaran daripada beberapa agensi kerajaan, membuat tinjauan awal ke lokasi kajian dan menguruskan penginapan serta makan minum murid sepanjang masa kajian diadakan. Kesemua itu dilakukan di luar waktu bekerja serta menggunakan perbelanjaan sendiri. Bagi mengurangkan beban kewangan murid, saya turut berusaha mendapatkan tajaan bagi merealisasikan kajian lapangan itu. Usaha saya ini, selaras dengan pernyataan yang terkandung dalam Kurikulum Baru Sekolah Menengah iaitu guru merupakan penggerak utama yang boleh mendorong murid secara langsung untuk meningkatkan perkembangan intelek. Hasilnya, program ini telah menjadi program prototaip kepada guru-guru lain kerana didapati ianya mampu merangsang serta mengukuhkan kualiti pengetahuan murid-murid. Hasil dedikasi saya ini juga telah memperlihatkan bahawa murid-murid saya lebih memahami konsep-konsep yang dipelajari di dalam bilik darjah dan mereka berjaya mengaplikasikannya ketika menjawab soalan-soalan peperiksaan. Program kajian lapangan seperti ini tidak akan terlaksana serta tidak mencapai matlamat jika saya sebagai guru tidak komited dan tidak bersedia berkorban masa, tenaga dan kewangan dalam merancang dan melaksanakannya. Sebagai guru yang mementingkan kecemerlangan akademik murid, saya sentiasa berusaha mendapatkan informasi tambahan berkaitan subjek yang saya ajar melalui pelbagai sumber untuk menambah baik kualiti pendidikan. Saya turut menggunakan kemudahan TMK untuk menarik minat murid dalam proses P&P. Informasi tambahan yang

saya perolehi daripada internet misalnya akan dicetak, dibuat salinan dan diedarkan kepada murid-murid sebagai rujukan tambahan. Saya turut membina pelbagai ABM seperti peta, carta, graf dan rajah bagi memudahkan murid-murid memahami pengajaran serta membolehkan mereka lebih fokus dalam pembelajaran. Hasilnya, daya kreativiti dan imaginasi murid akan meningkat dan natijahnya terhasil modal insan yang cemerlang seperti yang diharap-harapkan. Saya juga melakukan inisiatif dalam mewujudkan bank soalan dengan mengumpul soalan-soalan ujian, peperiksaan dalaman dan peperiksaan awam untuk dijadikan panduan dalam menyediakan rancangan P&P dengan memberi lebih fokus kepada topiktopik popular dalam peperiksaan. Selain itu, saya sentiasa proaktif dalam menjayakan pelbagai program khas yang kebiasaannya dijalankan di luar waktu persekolahan untuk meningkatkan kecemerlangan murid. Antaranya ialah menjayakan kelas bimbingan tambahan pada waktu malam serta pada setiap cuti pertengahan penggal, melaksanakan Projek Aim All As (Q3A) untuk calon Penilaian Menengah Rendah yang berpotensi mencapai keputusan cemerlang dan membawa murid-murid kelas Pengajian Am ke Parlimen untuk melihat perjalanan perbahasan Dasar-Dasar Negara di Dewan Rakyat dan Dewan Negara. Segala inisiatif, kreativiti dan pengorbanan dari segi masa, tenaga dan kewangan seperti dinyatakan di atas merupakan manifestasi dedikasi dalam melonjakkan kualiti pendidikan anak didik dan sekolah saya. Lonjakan kualiti pendidikan ini terzahir melalui pencapaian cemerlang murid-murid saya dalam peperiksaan. Setiap tahun peratus kelulusan murid di bawah bimbingan saya dalam mata pelajaran Pengajian Am dan Geografi STPM sentiasa melepasi peratus kelulusan peringkat negeri dan kebangsaan. 3.2 Bidang Kokurikulum

Kokurikulum atau kurikulum tambahan melibatkan aktiviti-aktiviti yang dijalankan di luar waktu P&P (Mok, 2008) dan melibatkan penyertaan semua murid dan guru (Surat Pekeliling Iktisas, 2000). Aktiviti kokurikulum diiktiraf sebagai sebahagian daripada proses pendidikan. Oleh itu, ia harus dirancang, diurus dan dilaksanakan secara sistematik, cekap dan efektif seperti proses P&P. Pengorbanan guru dengan menyumbangkan masa dan tenaga dalam melaksanakan aktiviti kokurikulum di luar waktu persekolahan menuntut komitmen dan dedikasi yang tinggi. Hal ini selari dengan saranan Dr. Abdullah Sudin Abdul Rahman, Presiden Himpunan Lepasan Institusi Pengajian Tinggi Malaysia bahawa "guru perlu sentiasa menggunakan masa dan tenaganya dengan cara berkesan sama ada sewaktu di sekolah mahupun selepas waktu persekolahan" (Mohd Fuad, 2008a). Saya turut memainkan peranan yang proaktif dan menyumbang tenaga dalam melaksanakan aktiviti kokurikulum sama ada di peringkat sekolah, daerah atau negeri tanpa mengira waktu, tenaga dan ganjaran. Di peringkat sekolah, saya berperanan sebagai perancang, pembimbing, pengurus dan jurulatih kepada pasukan bola sepak sekolah. Latihan dijalankan sebanyak tiga kali seminggu iaitu pada hari Selasa, Khamis dan Sabtu bermula pada jam 4.30 petang dan berakhir pada jam 6.30 petang. Adakalanya perlawanan persahabatan diadakan pada hari-hari cuti dan hujung minggu untuk mengenal pasti kelemahan dan kekuatan pasukan dalam situasi perlawanan sebenar. Masa yang saya peruntukan untuk menjayakan aktiviti kokurikulum ini adalah melebihi waktu yang ditetapkan oleh KPM supaya aktiviti latihan bola sepak yang saya jalankan dapat menghasilkan impak yang berkesan kepada pasukan. Sepanjang tempoh saya menjadi guru sukan bola sepak, saya telah membantu pasukan sekolah mencapai kejuaraan di peringkat daerah dan negeri. Contohnya pada tahun ini, pasukan bola sepak SMK Tinggi Kajang (SMKTK) telah menjuarai Kejohanan Bola Sepak Peringkat Daerah Hulu Langat dan Kejohanan Peringkat Negeri Selangor bagi kategori umur 15 tahun dan ke bawah. Beberapa murid bimbingan saya terpilih mewakili pasukan Selangor seperti dalam pertandingan Bola

Sepak Juara Sekolah-Sekolah 100 Plus dan pasukan Kebangsaan kategori umur bawah 15 tahun ke Pertandingan Peringkat Negara-Negara Asia Tenggara di Vietnam. Kejayaan ini menjadi penawar yang paling mujarab terhadap pengorbanan, komitmen dan dedikasi yang telah saya berikan serta membawa konotasi bahawa nilai dedikasi yang saya terapkan dalam aktiviti kokurikulum telah menjulang kecemerlangan dan kualiti pendidikan murid-murid saya khasnya yang merangkumi aspek-aspek jasmani dan sahsiah. Semenjak tahun 2005, SMKTK telah mengadakan Temasya Sukan Tahunan (TST) di pusatpusat sukan di luar kawasan sekolah seperti di Stadium UKM dan di Stadium Majlis Perbandaran Kajang. Pemilihan lokasi luar bertujuan untuk memberi peluang kepada murid bertanding di trek olahraga sebenar yang dilengkapi alatan terkini dengan harapan ianya akan dapat meningkatkan kecemerlangan murid dalam bidang sukan. Perancangan TST tersebut dilakukan selama beberapa minggu dan pastinya memerlukan komitmen dan dedikasi yang tinggi daripada para guru. Ini kerana seringkali mesyuarat dan perbincangan dalam merencanakan TST tersebut berlarutan melepasi waktu bekerja dan TST tersebut turut dikelolakan oleh para guru sendiri. Sebagai Ahli Jawatan Kuasa Teknikal TST tersebut, saya sendiri telah menyumbangkan banyak tenaga dan masa dalam merencana dan mengelolakan TST ini. Hasilnya, program ini dijayakan dengan lancar dan telah menarik minat lebih ramai murid untuk turut serta dalam TST berbanding dengan TST yang dijalankan di padang sekolah. Muridmurid turut menunjukkan prestasi cemerlang dalam sukan pada Kejohanan Olahraga Sekolah Daerah Hulu Langat. Lebih membanggakan beberapa orang murid turut terpilih mewakili Daerah Hulu Langat dalam Kejohanan Olahraga antara Sekolah-Sekolah Selangor dan berjaya mewakili Selangor dalam Kejohanan Olahraga antara SekolahSekolah Malaysia. 3.3 Bidang Hal Ehwal Murid (HEM)

Pengurusan HEM merupakan satu bidang yang penting di sekolah. Antara aktiviti yang dikendalikan di bawah HEM adalah (i) memupuk disiplin dalam kalangan murid, (ii) memberi perkhidmatan bimbingan dan kaunseling kepada murid, (iii) meningkatkan pengetahuan, kefahaman dan kemahiran murid supaya dapat mengelakkan diri daripada terjebak dengan dadah, (iv) memastikan kebajikan dan keselamatan murid ketika di sekolah dan semasa menjalankan aktiviti pendidikan yang diluluskan di luar sekolah dan (v) meningkatkan keselamatan dan keceriaan di sekolah supaya kondusif untuk aktiviti pendidikan. Aktiviti HEM yang tidak dikendalikan dengan baik akan mencacat dan menjejaskan perjalanan dan prestasi sekolah. Oleh itu, prinsip dan strategi dalam pengurusan HEM amat mustahak demi mencapai keberkesanan sesuatu program khususnya untuk membina sahsiah pelajar. Sebagai guru, saya turut bertanggungjawab dan sentiasa komited dan berdedikasi untuk membantu pihak pentadbir dalam memainkan peranan sebagai pemaju, pembina, pembantu, perancang, pemudah cara, penyelaras, pengawal, penawar dan kaunselor dalam membantu perkembangan diri murid supaya berfungsi sebagai individu yang seimbang dan harmonis sejajar dengan FPK. Pembentukan disiplin di sekolah dilihat sama pentingnya dengan penyebaran ilmu pengetahuan. Disiplin dibentuk bukan sahaja untuk mengawal murid-murid daripada melakukan sesuatu yang melanggar undang-undang, norma, kebudayaan dan akhlak masyarakat, tetapi juga untuk menanamkan nilai-nilai murni dalam diri mereka. Dalam konteks perkembangan pendidikan, proses P&P tidak boleh berjalan dengan licin dan teratur jika disiplin murid tidak baik (Robiah dan Ahmad Nadri, 1991). Ini kerana pencapaian seseorang murid dalam sesuatu bidang baik kurikulum mahupun kokurikulum bergantung kepada tahap disiplin murid itu sendiri. Oleh itu, badan disiplin sekolah harus bergerak secara aktif, terancang dan sistematik. Sebagai salah seorang AJK Disiplin saya sentiasa berusaha memastikan yang murid-murid di sekolah saya sentiasa berdisplin dan mematuhi segala peraturan sekolah. Contohnya, pada setiap perhimpunan harian saya akan membuat pemeriksaan aspek kekemasan diri

murid. Murid-murid yang tidak berpakaian kemas atau berambut panjang akan dikumpulkan selepas perhimpunan dan diberi amaran supaya memperbetulkan kesalahan mereka. Pada setiap waktu senggang, saya membuat pemeriksaan rambang dari kelas ke kelas untuk mengesan bahan-bahan larangan seperti bahan lucah, rokok atau telefon bimbit yang mungkin dibawa oleh murid ke sekolah. Saya juga membuat rondaan di setiap pelosok sekolah untuk memastikan tiada murid yang ponteng kelas atau melakukan aktiviti tidak sihat seperti merokok, bergaduh dan merosakkan harta benda sekolah. Saya turut bertanggungjawab dalam menganjurkan kem motivasi untuk murid-murid yang bermasalah disiplin. Kem motivasi seperti ini bertujuan untuk memberi kesedaran kepada murid-murid yang bermasalah ini bahawa antara teras utama kejayaan ialah disiplin diri. Pada tahun 2007 contohnya, murid-murid bermasalah disiplin telah mengikuti Program Mendaki Gunung Nuang selama dua hari di Hulu Langat, Selangor. Antara nilai yang dipelajari mereka melalui program tersebut ialah perkara yang sukar sekalipun pasti dapat dicapai dengan kesungguhan, usaha yang gigih tanpa mengenal putus asa dan disiplin diri. Jelas sekali, tanggungjawab mendisiplinkan murid-murid adalah amat mencabar dan memerlukan komitmen serta pengorbanan masa dan tenaga yang berterusan dari saya sebagai guru dan ianya dilakukan dalam usaha saya memastikan yang murid-murid mendapat bimbingan yang sewajarnya sebagai persediaan menghadapi dunia luar yang lebih mencabar pada masa hadapan. Saya turut diberi tanggungjawab oleh pihak pengurusan sekolah untuk membimbing Badan Pengawas sekolah yang peranan utamanya adalah membantu guru mengawasi disiplin murid. Antara tanggungjawab yang perlu dilaksanakan sebagai guru pembimbing Badan Pengawas ialah mengadakan mesyuarat Unit Disiplin untuk memilih Pengawas, menyusun tugas-tugas Pengawas, mengadakan perbincangan dengan pengawas-pengawas dari semasa ke semasa dan merencanakan aktiviti-aktiviti Pengawas. Dalam usaha untuk memupuk ciri-ciri pemimpin yang berwibawa, membentuk semangat berpasukan dan membina jati diri yang tinggi dalam kalangan pengawas sekolah agar menjadi contoh teladan kepada murid lain dan melicinkan lagi perjalanan tugas mereka, saya dengan kerjasama Unit Bimbingan dan Kaunseling telah menganjurkan Kursus Kepimpinan Pengawas pada setiap tahun. Contohnya, Kem Kepimpinan Pengawas 2007 telah diadakan di Sungai Congkak, Hulu Langat dan Kursus Kepimpinan Pengawas 2008 telah diadakan di Kolej PTPTL Shah Alam, Selangor. Dalam kursus ini pengawas didedahkan dengan aktiviti pembentukan sahsiah diri, membina keyakinan diri dan membentuk kerjasama dalam kumpulan seperti yang dikehendaki dalam menguruskan organisasi yang cemerlang. Kursus-kursus yang dijalankan telah dilangsungkan dengan lancar dan berjaya mencapai matlamat. Saya turut memberikan komitmen dan dedikasi yang tinggi terhadap aktiviti-aktiviti HEM yang lain seperti menjadi AJK Pelaksana Hari Anugerah Kecemerlangan Murid dan Hari Anugerah Kecemerlangan Kokurikulum. Saya turut memikul tanggungjawab sebagai AJK Pelaksana Majlis Graduasi Pelajar-Pelajar Tingkatan Enam Atas yang bertujuan memotivasikan murid Tingkatan Enam Atas untuk mencapai kecemerlangan dalam STPM. Adakalanya saya membuat lawatan ke rumah murid-murid yang telah tidak hadir ke sekolah untuk satu jangka waktu yang lama tanpa sebab. Lawatan seperti ini bertujuan untuk mengenal pasti masalah yang dihadapi oleh murid terbabit. Jika perlu, bantuan yang sepatutnya akan diberikan untuk membolehkan murid terbabit bersekolah dan belajar seperti biasa. Rumusannya, tugas mendidik amatlah berat dan penglibatan proaktif saya dalam aktiviti-aktiviti HEM menuntut saya menjadi seorang guru benar-benar komited, amanah, jujur dan sanggup bekerja keras tanpa mengira masa, tenaga dan wang ringgit untuk memastikan segala perancangan pendidikan murid-murid dapat dilaksanakan dengan cekap, berkesan dan berkualiti. Hasil pelaksanaan pelbagai program Unit HEM dapat dilihat dari segi peningkatan tahap disiplin murid melalui pengurangan kes salah laku disiplin dari tahun ke tahun dan tahap moral dan motivasi murid-murid yang tinggi. Nyatanya, program-program yang dirancang berjaya

membentuk sahsiah dan menanam budaya cinta akan sekolah dan ilmu pengetahuan dalam kalangan murid. 3.4 Anjakan Paradigma dalam Ilmu Pengetahuan dan Kemahiran

Paradigma adalah dari perkataan Greek "paradeigma" yang membawa maksud model, bentuk atau contoh. Anjakan paradigma pula merupakan peralihan daripada satu situasi kepada situasi yang baru, biasanya lebih baik (Barker, 1993). Setiap guru perlu sentiasa melakukan anjakan paradigma dari aspek keupayaan, keilmuan, kemahiran dan pengalaman mereka agar dapat memperkembang dan memantapkan potensi serta profesionalisme mereka untuk melahirkan murid-murid berkualiti yang berminda kelas pertama. Guru tidak boleh berpuas hati dan berada di zon yang selesa dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran yang dimilikinya dan tidak harus terikat dengan rutin yang sama saban hari. YAB Perdana Menteri dalam ucapannya sempena Hari Buruh 2006 menyatakan "Rakyat sebagai modal insan perlu terus memperkasakan diri dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran serta membudayakan semangat pendidikan sepanjang hayat. Ini penting agar modal insan negara sentiasa menguasai ilmu pengetahuan dan kemahiran-kemahiran terkini dan ditunjangi pula dengan nilai-nilai murni agar menjadi tenaga kerja yang dinamik dan menghayati budaya kerja berprestasi tinggi" (Utusan Malaysia, 2006). Selaras dengan saranan YAB Perdana Menteri ini, saya sentiasa memperkasakan diri dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran profesionalisme dengan menerima dengan ikhlas apa saja tugasan dan lantikan di peringkat sekolah, daerah dan juga negeri dengan tujuan mempertingkatkan ilmu dan kemahiran saya demi memenuhi tuntutan pendidikan masa kini dan akan datang Anjakan paradigma saya dari aspek keilmuan diterjemahkan melalui komitmen dan dedikasi saya dalam meningkatkan penguasaan ilmu khususnya dalam bidang dan subjek yang diajar secara berterusan melalui pembacaan. Prof. Dr. Mohd Yusof Othman menegaskan bahawa, antara pola-pola utama yang perlu ditanam di dalam diri pelajar dan pendidik ialah budaya membaca selain budaya belajar, dan budaya berfikir". Sebagai guru yang mengajar murid prauniversiti, saya sentiasa perlu peka dengan perkembangan isu-isu semasa. Sehubungan itu saya mengorbankan sebahagian pendapatan untuk membeli bahan-bahan bacaan bercorak ilmiah dan motivasi seperti majalah Dewan Masyarakat, Dewan Kosmik, Ehwal Pendidikan dan Times. Saya turut memperkayakan pengetahuan dengan menonton rencana-rencana yang berkaitan dengan pendidikan. Saya dapat merealisasikannya dengan melanggan saluran televisyen berbayar yang menayangkan rancangan-rancangan berinformasi seperti National Geography, Discovery dan pelbagai lagi rancangan bercorak dokumentari. Saya turut mempunyai akses kepada internet di rumah untuk memudahkan saya mendapatkan rencana-rencana berkaitan pendidikan dari seluruh dunia secara online. Akses internet juga membolehkan saya melayari laman-laman web sekolahsekolah yang berprestij dan cemerlang untuk melihat program pendidikan sekolahsekolah tersebut dan jika sesuai akan dilakukan inovasi dan diaplikasikan kepada murid-murid saya. Saya juga sering berdiskusi dan bertukar-tukar idea dan pendapat tentang pelbagai isu dengan rakan-rakan setugas untuk menambahkan lagi pengetahuan dan keberkesanan dalam proses penyampaian maklumat kepada murid. Perkongsian maklumat dengan murid-murid menjadikan P&P saya lebih menarik dan meninggalkan impak kepada mereka apabila keputusan peperiksaan semakin meningkat. Sebagai guru, saya sendiri tidak jemu belajar dan memperbaiki diri. Ini saya terjemahkan melalui perancangan untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat sarjana menggunakan perbelanjaan sendiri. Saya turut menghadiri bengkel dan kursus seperti "Bengkel Membina Modul P&P Geografi STPM dan Menyediakan Set Soalan Latihan" di Genting Highlands anjuran JPN Selangor dan "Kursus Pemantapan Pengajaran Pengajian Am" anjuran Panitia Pengajian Am Daerah Hulu Langat. Sebagai

usaha dan dedikasi saya untuk menambah ilmu pengetahuan walaupun harus mengorbankan cuti hujung minggu, saya komited menghadiri bengkel dan kursus tersebut dalam usaha memastikan yang saya sentiasa beranjak ke tahap yang lebih baik dan berada jauh di hadapan murid-murid saya dari aspek ilmu pengetahuan dan kemahiran kerana guru adalah "sumber" ilmu kepada murid-murid. Anjakan paradigma dalam bidang kokurikulum sukan saya laksanakan melalui penambahbaikan kemahiran saya dalam aspek kejurulatihan. Contohnya, saya telah mengikut Kursus Asas Kejurulatihan Bola Sepak anjuran Persatuan Bola Sepak Daerah Hulu Langat dan Kursus Asas Jurulatih Olahraga kendalian Majlis Sukan Negara. Tugas saya membimbing pasukan bola sepak sekolah membuatkan saya terpanggil melibatkan diri dengan pasukan bola sepak Persatuan Sukan Kakitangan Perkhidmatan Pendidikan Daerah Hulu Langat dan Negeri Selangor. Pengalaman dan ilmu dalam kejurulatihan sukan bola sepak dan olahraga yang diperolehi mampu menjadi unsur nilai tambah untuk saya melaksanakan tugas yang diamanahkan dengan lebih berkesan dan mampu menjadikan murid-murid saya ahli sukan yang berjaya hingga ke peringkat antarabangsa. Saya turut mempertingkatkan keterampilan saya sebagai guru disiplin dengan menghadiri Kursus Pengurusan Disiplin Murid di Langkawi anjuran PPD Hulu Langat selama seminggu pada Disember 2005. Saya yakin bahawa penambahbaikan ilmu dan kemahiran dalam kalangan warga pendidik akan dapat melonjak kualiti pendidikan ke taraf dunia untuk menjayakan MN dan Wawasan 2020. 3.5 Keperibadian Guru

Ketua Pengarah KPM, Y. Bhg Dato Abdul Shukor Abdullah berkata dalam perutusan Hari Guru 1999 bahawa "guru-guru perlu menyampaikan ilmu pengetahuan secara berkesan, menjadi pembimbing yang dihormati dan memastikan diri masing-masing dapat dijadikan contoh kepada pelajar. Oleh itu pada setiap masa para guru hendaklah menampilkan watak terpuji, berimej, berperibadi mulia dan berwawasan sebagai pendidik unggul" (Hamzah, 2003). Keperibadian guru sendiri mampu menjadi faktor kepada peningkatan kualiti pendidikan kerana seringkali murid menjadikan guru sebagai model mereka. Saya sentiasa mengamalkan nilai-nilai murni dan menjaga sahsiah serta keterampilan diri agar sentiasa dihormati oleh murid selain dapat mengelakkan persepsi negatif daripada murid-murid. Nilai-nilai murni seperti bertanggungjawab, berdisiplin, menepati waktu, ikhlas, cekap, rajin, jujur dan tidak pilih kasih sentiasa menjadi amalan saya selari dengan konsep Kepimpinan Melalui Teladan. Sehubungan dengan itu saya memastikan saya sentiasa masuk ke kelas menepati waktu. Sekiranya saya perlu menghadiri kursus atau urusan rasmi di luar sekolah , saya akan menyediakan tugasan yang perlu diselesaikan oleh murid-murid semasa ketiadaan saya. Langkah ini dapat mengelakkan murid daripada membuang masa semasa ketiadaan guru sebaliknya mereka masih memperoleh manfaat pembelajaran melalui tugasan yang disediakan. Saya juga sentiasa berpakaian kemas dan berkomunikasi dengan penuh hemah dengan murid mahupun dengan guru-guru lain. Saya juga sentiasa menunjukkan rasa hormat dan bertimbang rasa kepada murid-murid. Pendek kata, saya memainkan peranan sebagai mentor dalam mendidik, mendorong, membimbing, membina keyakinan diri serta membentuk akhlak mulia dalam kalangan murid. Saya tidak pernah melepaskan peluang untuk menyertai siri perkembangan staf yang dianjurkan oleh pihak pengurusan sekolah bagi memotivasikan diri agar terus berkhidmat dengan penuh dedikasi dan cemerlang. Menurut Prof. Sidek Baba, "pendidik sentiasa menghubungkan kerjanya untuk mendapat keredhaan Allah. Hasilnya ia menjadi cemerlang dan merasakan kerja mendidik manusia adalah amanah yang perlu dilaksanakan dengan ikhlas dan jujur" (Sidek, 2008).

4.0

PENUTUP

YAB Perdana Menteri Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi menegaskan bahawa, "citacita negara untuk mencapai matlamat Wawasan 2020 memerlukan satu peningkatan tahap produktiviti dan daya saing negara. Kejayaan agenda ini amat bergantung kepada kualiti pendidikan negara (PIPP, 2007). Penegasan YAB Perdana Menteri itu mengukuhkan bahawa hanya pendidikan yang berkualiti mampu menghasilkan modal insan yang berkualiti dan berminda kelas pertama yang akan memacu negara ke arah mencapai matlamat wawasan 2020. Sebagai guru, saya sewajibnya menyintai bidang tugas saya serta memiliki sikap dan kefahaman yang betul mengenai tugas dan tanggungjawab dalam mendidik anak bangsa. Ini adalah kerana saya menggalas tanggungjawab dan peranan yang besar dalam melahirkan modal insan berminda kelas pertama yang mempunyai semangat menguasai ilmu pengetahuan, kemahiran, kompetensi serta mempunyai nilai moral dan sikap positif yang dapat memacu Malaysia mencapai Wawasan 2020. Oleh itu saya perlu komited dan berdedikasi dalam menjalankan tanggungjawab mendidik tersebut. Dedikasi dan komitmen saya dalam meningkatkan kualiti pendidikan baik dalam bidang kurikulum, kokurikulum mahupun sahsiah diri murid-murid terzahir melalui (i) amalan pedagogi berkualiti melalui kepelbagaian pendekatan, kaedah dan teknik dalam P&P, (ii) pengwujudan iklim P&P yang kondusif, (iii) penguasaan pelbagai cabang ilmu dan kemahiran, (iv) kesediaan melakukan anjakan paradigma, (v) sahsiah diri yang boleh dijadikan role model serta (vi) kemahiran menyampai dan berkomunikasi dengan berkesan. Rumusannya, bagi merealisasikan hasrat PIPP (2006-2010) untuk melahirkan modal insan berminda kelas pertama melalui kecemerlangan pendidikan bagi mendokong MN dalam merealisasikan Wawasan 2020, saya wajib menuntut dan mengamalkan ciri-ciri guru cemerlang dan nilai-nilai dedikasi seperti yang telah dikupaskan di atas. Dengan prestasi yang cemerlang serta dedikasi yang tinggi, saya yakin kualiti pendidikan dapat dipertingkatkan dan seterusnya melunaskan matlamat-matlamat murni negara. Seharusnya saya meneladani Nabi Muhammad S.A.W yang tidak menyampaikan ilmu dengan niat untuk mendapat ganjaran, balasan atau ucapan terima kasih sebaliknya Baginda ikhlas kerana Allah dan untuk mendekati diri kepadaNya. Pujangga pula ada berkata bahawa Sebaik-baik manusia ialah orang yang memberi manfaat kepada orang lain 5.0 RUJUKAN 1. Barker, Joel Arthor, 1993. Paradigms : Future. Haper Colline Publishers. Inc. The Business of Discovering the

2. Haili Dolhan, 2008. PIPP Bantu Tingkat Daya Saing, Produktiviti Negara. Majalah Pendidik, Bil. 47, April, m/s:18-19. Widad Publication Sdn. Bhd.. Ampang. 3. Hamzah Mohammed, 2003. Guru Berkesan Dalam Merealisasikan Pendidikan Cemerlang. http://www.angelfire.com/journal2/fakir_zamani/ceramah3.htm. 4. Kamus Dewan Edisi ke Empat, 2005. Dewan Bahasa & Pustaka, K. Lumpur.

5. Mohd. Fuad Razali, 2008a. Sepuluh Peranan untuk jadi Guru Cemerlang. Majalah Pendidik, Bil. 48, Mei, m/s: 8-11. Widad Publication Sdn. Bhd., Ampang. 6. Mohd Fuad Razali, 2008b. Guru Contoh Teladan Budaya Membaca. Majalah Pendidik, Bil. 47, April, m/s: 14-17. Widad Publication Sdn. Bhd., Ampang. 7. Mok Soon Sang, 2008. Kursus Penilaian Tahap Kecekapan: Pengurusan dan Pentadbiran untuk Pegawai Perkhidmatan Pelajaran. Multimedia-es Resources Sdn. Bhd., Puchong.

8. Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) 2006-2010, 2007. Edisi Pelancaran. Kementerian Pelajaran Malaysia, Putrajaya. 9. Rujukan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK), 2004. Kompetensi Khusus. Penerbit Femina, Petaling Jaya. 10. Pusat Perkembangan Kurikulum, 1990. Falsafah Pendidikan Negara. Dewan Bahasa & Pustaka, K. Lumpur. 11. Robiah Sidin dan Ahmad Nadri Mat Daud, 1991. Disiplin dan Pengajaran: Satu Kajian Awal Dalam Disiplin Dalam Pendidikan. Nurin Enterprise, K. Lumpur. 12. Sidek Baba, 2008. Ihsan Dalam Pengajaran & Pembelajaran. Majalah Pendidik, Bil 48, Mei, m/s: 60-61. Widad Publication Sdn. Bhd., Ampang. 13. Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 9/2000. Panduan Keselamatan Diri Pelajar Semasa PJK, Aktiviti Kokurikulum dan Sukan di Dalam/Luar Kawasan Sekolah. Kementerian Pelajaran Malaysia, Putrajaya. 14. Utusan Malaysia, 1 Mei 2006. Perutusan Hari Buruh. K.

15. Wan Mohd Zahid Mohd Noordin, 1993. Wawasan Pendidikan. Nurin Enterprise, Lumpur.