cabaran dalam teknologi maklumat

Upload: swa-ming-jian

Post on 13-Jan-2016

76 views

Category:

Documents


0 download

DESCRIPTION

Cabaran Dalam Teknologi Maklumat

TRANSCRIPT

Cabaran Bahasa Melayu Dalam Kemajuan Teknologi Maklumat

Pada masa ini, bidang teknologi maklumat amat penting. Jadi, Malaysia telah mendapat impak yang besar terutama dari segi penggunaan bahasa teknologi maklumat. Sedia maklum, bahasa teknologi maklumat yang paling dominan di dunia ialah bahasa Inggeris. Keadaan ini sudah tentu memberi kesan kepada penggunaan bahasa Melayu dalam teknologi maklumat. Oleh itu, kita seharusnya mempelajari bahasa teknologi maklumat supaya perbendaharaan kata berkenaan teknologi maklumat dalam bahasa Melayu diperkaya. Jadi, bahasa Inggeris tetap dipelajari kerana ilmunya. Kita haruslah berfikiran positif dan memandang ke hadapan. Semua negara mempelajari bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua selain bahasa ibunda. negara Korea Selatan, dan Jepun merupakan sebuah negara yang maju dalam bidang sains dan teknologi, namun mereka tetap mempertahankan bahasa ibunda dan bahasa Inggeris tetap dipelajari.

Menurut Kamal Shukri Abdullah Sani,[2007;50] bahawa Jepun tidak berganjak daripada menggunakan bahasanya dari peringkat tadika sehinggalah ke peringkat pengajian tinggi dalam semua bidang mata pelajaran. Bahasa Inggeris hanya dipelajari mulai di peringkat menengah dan bukan di peringkat rendah. Peluang mempelajari bahasa lain seperti Jerman, Sepanyol, Portugis, Rusia,Mandarin dan lain-lain turut disediakan sama ada di institusi pendidikan, rancangan televisyen dan lain-lain. Walau bagaimanapun bahasa Jepun tetap diutamakan dan dijunjung tinggi martabat dan maruahnya.

Oleh yang demikian, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) adalah diasaskan oleh perkembangan dan kemajuan yang pesat dalam bidang mikroelektronik sehingga menghasilkan pelbagai kemudahan teknologi maklumat seperti komputer peribadi, telekomunikasi multimedia dan sebagainya. Seterusnya kemunculan Internet telah meluaskan penggunaan ICT dengan jaringan informasi bersepadu sehingga membolehkan diaplikasikan sebagai media komunikasi yang melibatkan teks, bunyi, grafik dan video.

Permasalahan ini secara langsung mempengaruhi dan mencabar kewibawaan dan kedudukan bahasa Melayu di rantau Nusantara ini. Apatah lagi, negara Malaysia yang menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi di negara ini. Adakah kita mampu menghadapi cabaran ini dan menidakkan penggunaan teknologi maklumat dalam arus pembangunan negara. Bagaimana dengan Jepun.? Negara mereka maju dalam teknologi maklumat, namun bahasa ibunda tetap terjaga dan terpelihara. Perkara ini perlu kita renung dan fikir bersama.

Oleh yang demikian, penekanan terhadap ICT pada era globalisasi dan liberalisasi bermakna penggunaan bahasa Inggeris menjadi semakin penting dan tidak dapat dielakkan oleh masyarakat dunia. Era ICT telah menunjukkan bahasa Inggeris mengiringi kelahiran pertama Internet dunia di Amerika Syarikat dan seterusnya diikuti dengan pengeluar perisian dan perkakasan komputer seperti Microsoft, Dell dan Hewlett-Packard yang semuanya diasaskan oleh mereka yang berbahasa Inggeris. Perubahan persekitaran ini menimbulkan persoalan sama ada mampukan bahasa Melayu digunakan di dalam era ICT sebagai bahasa perantaraan alternatif untuk dimanfaatkan oleh masyarakat bahasanya? Mampukah penggiat-penggiat bahasa Melayu menggunakan ICT sebagai alat penyelidikan, perkakasan, perisian dan aplikasi untuk pembangunan bahasa Melayu?

Sebagai satu pandangan umum, masyarakat perlu memperlihatkan sikap terbuka dan kesediaan untuk menghadapi cabaran perkembangan yang pesat dalam ICT dengan pengaruh bahasa asing khususnya bahasa Inggeris. Perlu diakui bahawa bahasa Melayu masih lagi muda atau setahun jagung dari sudut peristilahan sains dan teknologi berbanding dengan bahasa Inggeris. Usaha supaya bahasa Melayu diterima dalam era siber hanya akan terlaksana jika masyarakat bahasanya mempelajari pengalaman dan kejayaan yang telah dicapai oleh bahasa Inggeris. Dengan cara dan langkah ini, kita percaya perkembangan bahasa Melayu akan terus bersemarak seandainya kita bersikap terbuka. Dengan adanya ilmu sains dan teknologi maklumat dalam bahasa Inggeris, kita boleh menterjemahkan ke dalam bahasa ibunda iaitu bahasa Melayu.

Secara langsung, bahasa Melayu dalam sains dan teknologi maklumat akan terus meningkat dan berkembang. Mengikut pendapat Prof. Dr. Hashim Hj. Musa, dalam buku Sosiolinguistik Lanjutan, [ 2009; 61]bahawa penguasaan ilmu, sains dan teknologi yang tinggi, kemahiran dan kepakaran secara meluas dalam kalangan rakyat jelata, merupakan faktor utama dalam pembangunan Sumber Daya Tenaga Manusia sesebuah negara secara menyeluruh, yang menjadi faktor utama pula kepada pembangunan dan kemajuan negara itu. Penyampaian dan pemahaman ilmu pengetahuan, sains, teknologi dan kepakaran serta kemahiran dengan cara yang paling berkesan adalah dengan perantaraan bahasa kebangsaan rakyat jelata itu sendiri.

Oleh yang demikian, walaupun cabaran dalam teknologi maklumat begitu hebat, bahasa Melayu perlu seiring dengan perkembangan teknologi maklumat. Hal ini disebabkan, pelbagai maklumat yang terkandung dalam pelbagai jenis teknologi maklumat yang sedia ada harus terdapat dalam bahasa Melayu ini, benar-benar sesuai dengan hasrat untuk menyejagatkan bahasa Melayu, dan teknologi maklumat itu sendiri merupakan saluran yang cukup penting canggih, cekap dan pantas untuk tujuan tersebut. Oleh itu, bahasa Melayu bukannya perlu bersaing dengan teknologi maklumat, sebaliknya ia patut bersepadunya dengannya. Dengan cara ini, bahasa Melayu mampu mengaplikasikan sumber ilmu itu untuk menjanakan maklumat pelbagai bidang dalam dunia serba teknikal ini.