bincangkan kemahiran interpersonal yang boleh diap

Upload: nurhidayahmostaffa

Post on 10-Jan-2016

17 views

Category:

Documents


0 download

DESCRIPTION

kemahiran interpersonal dalam diri kanak-kanak

TRANSCRIPT

Bincangkan kemahiran interpersonal yang boleh diaplikasikan oleh guru bagi menghasilkan proses pengajaran dan pembelajaran yang berkesan. Pengenalan

Bincangkan kemahiran interpersonal yang boleh diaplikasikan oleh guru bagi menghasilkan proses pengajaran dan pembelajaran yang berkesan. Pengenalan

Kemahiran antara perorangan atau kemahiran interpersonal merujuk kepada algoritma mental dan berkomunikasi yang digunakan semasa komunikasi dan interaksi sosial untuk mencapai kesan atau keputusan tertentu. Konsep asas yang berkaitan dengan komunikasi interpersonal ialah seperti konsep kendiri, sikap, sahsiah, nilai dan matlamat. Ia akan membantu mewujudkan seorang individu yang berkebolehan dan berkeyakinan semasa berinteraksi dengan persekitarannya. Konsep kendiri terbentuk daripada hasil interaksi anda dengan orang lain dan penyesuaian diri anda dengan alam sekitar. Jika penyesuaian anda berjaya konsep kendiri positif akan terhasil manakala jika gagal konsep kendiri yang negatif akan terhasil.

Konsep kendiri boleh ditakrifkan sebagai gambaran atau pandangan tentang rupa, kesihatan, kebolehan, kelemahan dan tingkah laku diri sendiri. Konsep ini telah diperkenalkan oleh William James (Deaux & Wrights, 1988). Beliau telah menyifatkan kendiri sebagai saya atau aku dan aku dilihat dari perspektif yang luas dan meliputi badan, pemikiran, pakaian, tempat tinggal, isteri, anak-anak, kawan-kawan, nenek moyang, reputasi, taraf pendidikan dan perkara-perkara yang berkaitan dengan diri sendiri. Konsep kendiri merupakan identiti diri dan ia mempengaruhi diri dengan persekitaran sosial. Konsep kendiri yang teguh adalah dengan memastikan keseimbangan JERIS (Jasmani, Emosi, Rohani, Intelek dan Sosial).

a) Melalui KomunikasiKemahiran berkomunikasi merupakan kemahiran interpersonal yang paling utama perlu diaplikasikan oleh seseorang guru bagi mewujudkan proses pengajaran dan pembelajaran yang efektif. Menurut Abdullah dan Ainon (2006), seseorang individu itu cenderung dalam memelihara konsep dirinya supaya tidak berubah. Malah, individu tersebut akan mencuba sedaya upaya untuk lebih mengukuhkan konsep diri tersebut. Kedua-dua sarjana ilmu ini turut berpendapat bahawa individu cenderung memelihara konsep dirinya tanpa mengira perihal sama ada konsep dirinya itu positif mahupun negatif. Justeru, dapat disimpulkan bahawa konsep diri memainkan peranan yang amat penting dalam mempengaruhi budaya berkomunikasi secara positif di kalangan insan yang bergelar guru. Dengan erti kata lain, tutur kata dan body-language seseorang guru adalah kritikal dalam membentuk personaliti dan kendiri murid. Pada masa yang sama, komunikasi yang berkesan akan dapat menjalin dan memperbaiki hubungan, bersifat responsif, meningkatkan harga diri melalui penghargaan dan penghormatan, mendapatkan maklumat, meraih kepercayaan, berkongsi pengalaman serta mewujudkan keseronokan.

Walau bagaimanapun, iklim komunikasi juga bergantung kepada faktor emosi kedua-dua belah pihak. Guru yang bekerja dengan rela hati dan menghargai peranannya akan lebih cenderung untuk berkomunikasi secara positif kepada pelajarnya. Sementara emosi murid yang stabil pula akan mendorong mereka untuk berkomunikasi secara positif dengan guru masing-masing. Pendek kata, guru perlu menjadi perintis dalam mewujudkan iklim komunikasi yang positif dan bijak mengatur langkah jika terdapat kecelaruan emosi dan tingkah laku di kalangan murid. Sementara itu, interaksi yang memenuhi keperluan psikologi pula menuntut penggunaan gaya bahasa yang positif, pengiktirafan, teguran, dan dorongan. Sesungguhnya, guru yang bijak berkomunikasi dengan muridnya bukan sahaja berperanan sebagai pendengar yang baik malahan juga adalah di kalangan mereka yang bersedia menerima sebarang idea dan cadangan murid dengan terbuka.

b) Kesan pigmalion, optimistik dan kemahiran memujiBerdasarkan kebenaran teori pigmalion, boleh disimpulkan bahawa ramalan tidak meramalkan masa depan, sebaliknya mencipta masa depan (Syukri, 2006). Persepsi kendiri yang positif daripada ibubapa, rakan-rakan dan guru-guru akan membuatkan mereka memperolehi perasaan penghargaan diri yang tinggi dan mereka akan melibatkan diri secara bersungguh-sungguh dalam aktiviti pembelajaran di alam sekitarnya (Mok Soon Sang, 2004).

Kesan daripada pigmalion dan optimistik ini adalah ia membolehkan pelajar selalu memikirkan perkaraperkara yang dapat membawa mereka ke arah kejayaan yang berterusan. Oleh yang demikian, pemikiran ini dapat memberikan impak yang besar dalam kehidupan pelajar tersebut supaya terus berusaha untuk berjaya. Selain itu, guru juga harus memberi pujian kepada pelajar-pelajarnya kerana dengan inilah guru mampu melihat kelebihan dan kebaikkan orang lain terutama sekali pelajarpelajarnya. Dengan ini, pelajar akan berasa diri mereka dihargai dan ia akan menjadi pendorong kepada mereka. Walaubagaimananpun, guru tidak harus memberikan pujian yang berlebihan kerana ini akan membuatkan pelajar pelajar terbiasa dan tidak berasa istimewa lagi di mata guru mereka.

c) Kemahiran MendengarPunca dalam konflik komunikasi wujud apabila kurangnya kemahiran mendengar dan empati terhadap apa yang didengar. Berapa ramaikah guru yang sanggup bertanya dan mendengar tentang alasan muridnya; mengapa mereka ponteng sekolah, tidak siap kerja rumah, tidak faham apa yang diajar, merokok, membuli dan sebagainya. Suatu cabaran hebat bagi guru adalah mengawal perasaannya untuk memiliki rasa empati yang tinggi dan mendengar pelbagai alasan murid. Oleh itu, guru hendaklah menilai setiap percakapan dan luahan mereka, mengenal pasti sama ada apa yang ucapkan merupakan fakta atau apa yang berbuku di hati mereka. Guru harus bersikap jujur dan menunjukkan sikap menyokong dengan gerak geri mengangguk atau sebagainya, bukannya berdiam diri tanpa ada rasa ingin membaikpulih tingkah laku murid yang sewajarnya. Jika alasan yang diberi murid tidak munasabah, kemukakan soalan-soalan mengapa alasan-alasan tersebut diwujudkan dan buatlah penilaian semula bersama-sama. Mendengar secara aktif memerlukan hubungan mata, isyarat badan bersifat menyokong, maklum balas yang positif, menggunakan gaya bertanya menyokong dan mengelakkan tingkah laku negatif seperti perhatian menghala kepada perkara lain, keresahan atau membenarkan gangguan lain. Mendengar juga boleh dianggap sebagai proses rundingan.

d) Kemahiran BertanyaKemahiran bertanya adalah sangat penting dalam komunikasi. Pelbagai garis panduan kemahiran bertanya telah dikenal pasti oleh Abdullah dan Ainon (2002).Contohnya, pertanyaan terbuka, pertanyaan tertutup, pertanyaan untuk mendapatkan fakta, mengetahui perasaan, memperjelaskan maksud, mengembangkan perbincangan, pertanyaan meminta, pertanyaan berandaian, pertanyaan mengandungi arahan, pertanyaan menguji, pertanyaan sebagai gema, pertanyaan pihak ketiga dan pertanyaan meminta izin. Tetapi, yang menjadi isu adalah pertanyaan yang bertujuan memalukan dan bersifat manipulatif atau cuba mengongkong dan menyekat orang yang kita tanya supaya mengikut arahan kita sepenuhnya. Pertanyaan sebegini akan mengurangkan tahap hubungan kerana ia lebih berbentuk arahan dan pertuduhan.

Menurut Fadzilah dan Ahmad (2007) pula, untuk memahami seseorang melalui soalan, hendaklah mengajukan soalan yang sesuai, maka manusia cenderung mendedahkan dirinya terutama nilai kepercayaan mereka terhadap sesuatu. Oleh itu guru harus pandai membezakan jenis-jenis persoalan yang ingin diajukan dan memperbetulkan niat pertanyaan agar hubungan antara guru dan murid tidak terjejas.

Secara amnya, terdapat dua jenis pertanyaan iaitu pertanyaan terbuka dan pertanyaan tertutup. Pertanyaan terbuka lebih bersifat kepada bukan arahan manakala pertanyaan tertutup lebih bersifat kepada arahan. Pertanyaan terbuka tidak boleh dijawab dengan ya atau tidak. Ia dimulakan dengan perkataan apa, mengapa dan bagaimana. Tujuan kita menggunakan pertanyaan terbuka ialah :

Menarik minat dan perasaan orang itu supaya perbincangan dapat diluaskan dan diteruskan.

Meminta orang itu bercakap lebih banyak berkenaan apa yang dia fikirkan dan rasakan berkenaan topik yang dibincangkan.

Merangsang otak orang itu supaya memikirkan pendapat-pendapatnya dengan lebih jelas lagi.

Menolong orang itu memahami masalahnya sendiri.

Oleh yang demikian, pertanyaan terbuka ialah berniat untuk mendorong orang itu supaya berfikir ke satu arah yang kita mahu, sebaliknya kita menggalakkan dia berfikir mengikut kemahuannya sendiri.

Pertanyaan tertutup pula meminta jawapan yang tepat dan tegas, iaitu ya atau tidak. Pertanyaan tertutup sesuai digunakan untuk tujuan-tujuan berikut :

Mendapatkan fakta dan data.

Apabila kita mahu seseorang itu berfikir sedikit sahaja.

Bertanyakan sama ada orang itu sanggup atau tidak.

Bertanyakan persetujuan dan pendirian orang itu.

Mengawal arah perbincangan supaya menuju matlamat yang sudah ditentukan.

Menekankan aspek-aspek positif.

Isi sesuatu pertanyaan adalah penting. Begitu juga dengan cara bertanya. Antara strategi bertanya yang berkesan ialah :

Pilih waktu yang tepat.

Rancang apa yang hendak ditanya.

Minta izin

Memberikan alasan

Tidak menggunakan pertanyaan yang memalukan.

Tidak menggunakan pertanyaan mengancam.

Tidak menggunakan pertanyaan manipulatif.

Kesimpulannya, adalah penting untuk mengingati bahawa soalan jenis terbuka tidak seharusnya dianggap sebagai satu kemahiran yang baik dan soalan jenis tertutup pula sebagai satu kemahiran yang tidak baik. Kedua-duanya boleh menjadi berkesan bila digunakan dengan cara yang sesuai.

e) PenampilanPenampilan merupakan salah satu elemen yang penting di dalam membina hubungan interpersonal yang baik di antara guru dan murid. Ianya dapat memberi rangsangan yang baik terhadap proses pengajaran dan pembelajaran kerana guru merupakan agen sosialisasi dan role model yang mampu menggambarkan bentuk penampilan yang tepat di mata anak-anak, ibu bapa dan juga masyarakat. Maka di sinilahterletaknya sensitiviti guru dan antara salah satu cabaran yang harus dipikul serta diperhebatkan lagi oleh seseorang guru dari segi penampilan dan perwatakan baru yang harus dibawa. Penampilan bukan sahaja boleh dikaitkan dengan pakaian yang bukan lagimenjadi masalah bagi guru namun penampilan juga harus dinilai melalui prestasi kerja, kemahiran melayan, kebijaksanaan dalam menjawab persoalan yang mencabar, ilmu dan pengucapan.

Dari perspektif menetapkan standard penampilan seseorang guru, ketampanan atau kecantikan, kebersihan diri, tiada bau badan, kekemasan, kerapian rambut, solekan atau cukuran merupakan antara elemen-elemen yang harus dinilai. Selain itu, guru haruslah memperkemaskan gaya berjalan supaya ianya lebih teratur, bersikap mesra dan tidak terburu-buru agar ianya dapat menarik perhatian dan mempersonakan murid-murid beliau. Kadang kala guru perlu meletakkan diri mereka sebagai ikon yang menarik demi meraih tumpuan yang bukan menjadi kesalahan malahan membantu di dalam proses pembinaan hubungan yang mesra antara guru dan murid seterusnya mempermudahkan proses pembelajaran. Penampilan yang sesuai boleh meningkatkan daya pengaruh seorang guru serta memberikan motivasi terhadap murid.

Oleh itu, seseorang guru haruslah mengambil berat tentang penampilan beliau kerana penampilan seseorang guru adalah penting dalam membina hubungan interpersonal di antara guru dan murid. Hubungan interpersonal yang baik dapat melicinkan proses pengajaran dan pembelajaran seterusnya dapat melahirkan murid yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani, intelektual dan sosial seiring dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang menjadi tonggak institusi pendidikan di negara kita.

f) Fungsi KredibilitiUnsur kredibiliti perlu ada dalam diri seseorang guru yang ingin berjaya dalam pembelajaran dan pengajaran bahkan keyakinan diri yang dapat menarik perhatian pelajar. Fungsi-fungsi kredibiliti akan dibincangkan seperti berikut:

Perkara yang pertama untuk menjadi guru di sekolah ialah mempunyai sijil atau ijazah dan kemahiran dalam bidang-bidang tertentu seperti dinyatakan oleh Rahim (2001). Adakah sijil-sijil yang diperolehi oleh seorang guru mencukupi untuk mengajar di sekolah? Guru berperanan untuk mengajar murid berpandukan kepada sukatan pelajaran yang ditentukan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia. Guru juga adalah pembimbing kepada generasi baru untuk membimbing mereka menjadi seorang yang berguna pada masa depan.

Seorang guru yang berkredibiliti perlu memberi nasihat dan bercakap mengenai perkara yang benar dan tidak mengajar perkara yang tidak pasti keesahannya. Hal ini kerana murid-murid akan mempelajari perkara yang dikatakan oleh guru walaupun perkara yang tidak betul. Justeru, guru mestilah berwaspada akan percakapan mereka dan memerlukan ilmu pengetahuan yang luas agar tidak mengajar perkara yang tidak pasti betul atau salah.

Seterusnya, guru haruslah tidak bersikap berat sebelah dan mempunyai daya tarikan tersendiri, lucu, menghiburkan, berfikiran terbuka, penuh dengan idea dan mempunyai pendapat-pendapat yang bernas (Fadzilah dan Ahmad, 2007). Murid akan senang untuk berdepan dengan guru kerana perwatakan guru yang tidak berat sebelah dan disegani akan menarik minat murid untuk belajar dengan guru.

Kemudian, karisma merupakan salah satu unsur yang mempengaruhi seseorang murid terhadap guru. Bentuk fizikal badan yang tinggi dan besar lebih berpengaruh dari tubuh badan yang kecil dan rendah. Perkembangan tubuh badan murid adalah cepat dan kebanyakan kanak-kanak tahun enam sudah sama tinggi dengan ketinggian tubuh badan guru. Mereka memerlukan guru yang lebih tinggi daripada mereka supaya personaliti guru menjadi idola mereka.

Lantas, guru yang tidak mempunyai fizikal yang tinggi haruslah mempersiapkan diri dari kekuatan dalaman seperti membincangkan isu-isu global dengan pengetahuan yang tinggi dan berkepakaran, tidak sekali-sekala mempersoalkan perkara yang remeh, menepati masa dan sentiasa bersedia. Gaya percakapan yang lancar, perkataan yang betul dan tidak campur dengan bahasa lain dan tidak tersekat yang dinyatakan oleh Fadzilah danAhmad (2007). Karisma akan hadir dari kehebatan dalaman seseorang dalam mengawal emosi dan mindanya (Fadzilah dan Ahmad, 2007).

g) Ransangan KreatifMenurut kamus Webters (1994), pemikiran kreatif ialah,The ability to bring something new existence. Definisi ini memperlihatkan kreativiti itu adalah kebolehan mewujudkan sesuatu yang baru. Kreativiti juga melambangkan suatu tingkah laku dan pemikiran manusia yang hebat dan dapat melakukan apa sahaja yang diinginkan malahan dalam keadaan kritikal sekalipun, manusia masih dapat membuktikan kemampuannya menyelesaikan sesuatu masalah serta menggambarkan kemampuan dan kebolehan manusia berkreativiti (Azhar et. al, 2006). Ransangan Kreatif dalam proses pembelajaran boleh dibentuk melalui pelbagai cara.

Peluang Bereksplorasi

Guru amat menyenangi apabila melihat pelajar atau muridnya yang cergas dan punya daya kreatif yang tinggi. Sebagai orang yang lebih dewasa, sewajarnya guru membantu menumbuhkan kreativiti mereka dengan cara memberi ruang kepada mereka bereksplorasi. Suasana di luar bilik darjah banyak mendedahkan murid persekitaran yang boleh diamati, difikirkan dan diperbincangkan (Majalah Nur, 2008). Menurut Sarina dan Yusmini (2007), kaedah pengalaman atau pendedahan kendiri dianggap dapat memberi ruang kepada pelajar bagi meluahkan perasaan, emosi dan pemikiran. Ia juga memudahkan murid memperolehi maklumat. Masa dan pengalaman mereka haruslah selari (Mc Farland, 1965). Oleh itu, kanak-kanak memerlukan waktu panjang dan tidak boleh digesa-gesa untuk melakukan penerokaan. Berikan waktu untuk melihat segala kemungkinan, berpindah dari idea popular kepada idea yang lebih unik dan asli.

Penyelesaian masalah

Penyelesaian masalah secara kreatif, menggalakkan guru menggunakan masalah yang biasa terjadi dalam kehidupan sehari-hari untuk mendengar pertanyaan dan minta penjelasan mengenai sesuatu yang murid lihat. Menurut teori Kohler, penyelesaian masalah sebenarnya memerlukan celik akal. Kohler percaya penyelesaian masalah tidak akan berlaku tanpa rancangan dan pemikiran realistik (Azizi et. al, 2005).

Oleh itu, pemikiran yang realistik melalui penjelasan dan kata-kata murid boleh diambil dan diamati untuk melihat sejauh mana tahap kekreatifan murid menyelesaikan masalah melalui pengalamannya. Terima apa sahaja idea walaupun itu kedengaran luar biasa. Menurut Rogers berkenaan konsep kendiri, penghargaan kepada usaha mereka memberi sedikit motivasi dan sokongan agar mereka mempercayai kemampuan yang dimiliki (Arkes, 1982). Biarkan juga murid memiliki kebebasan dan bertanggungjawab malah bersiap dengan sebab-sebab tindakannya (Majalah Nur, 2008)

Sumber Inspirasi

Kanak-kanak biasanya sukar menjadi kreatif tanpa inspirasi yang konkrit. Justeru itu, menurut Azhar et. Al (2006), pendidik berupaya memupuk dan memperkayakan kebolehan dan bakat kreativiti orang yang dididiknya. Selain daripada itu, murid lebih senang menggambarkan sesuatu secara langsung menurut rasa atau memori mereka. Seperti yang digambarkan oleh Bruner berkenaan factor kesediaan belajar murid adalah dari kemahiran asas, pengalaman, minat dan sikap murid yang dipupuk oleh guru dalam set induksi yang menarik perhatiannya (Mok Soon Sang, 2004). Memori ini akan jadi lebih cemerlang dan mudah dijangkakan melalui persiapan dan provokasi orang dewasa. Oleh itu, perspektif yang berbeza harus diperkenalkan. Budaya, adat, kepercayaan, nilai, norma, institusi dan produk-produk komuniti yang diturunkan dan diwarisi oleh generasi-generasi memberi impak ke atas pemikiran, perasaan dan tingkah laku seseorang itu (Rahil dan Habibah, 2007).

Menekankan Soal Proses

Begitu juga guru yang efektif lebih menekankan soal proses dan bukannya hasil. Menikmati dan berperasaan santai dalam proses kreativiti secara langsung akan timbulnya kepercayaan diri. Penghargaan yang diberikan juga turut membantu menikmati proses tersebut sekali gus mengurangkan tekanan di mana pengurangannya dapat meningkatkan kreativiti (Majalah Nur, 2008).

h) Guru Sebagai Motivator dan KaunselorIsu-isu dan cabaran dalam dunia pendidikan tidak boleh lari dari masalah disiplin yang berpunca daripada kurangnya penerapan nilai murni dalam diri seseorang. Menurut Othman (1995), istilah masalah tingkah laku meliputi tingkah laku yang liar seperti agresif, melawan, bermusuhan, suka bergaduh, memencilkan diri, tidak melibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti sekolah, bertingkah laku secara introvert, sukar menumpukan perhatian, kurang berminat, malas, suka berkhayal, pasif, masalah kurang kemahiran bersosial dan mempunyai konsep kendiri yang negatif, berasa bimbang, mempunyai sifat suka memaksa, prejudis dan mengamalkan tingkah laku yang biasa oleh pada mereka yang tidak matang.

Oleh itu, murid memerlukan motivasi dan sokongan daripada guru-guru sekali gus meletakkan diri mereka sebagai kaunselor untuk setiap pelajar di sekolah begitu juga terhadap masyarakat. Menurut John (1979), kajian Deci (1971) mengemukakan hasil ujikajinya terhadap 24 orang pelajar kolej. Mereka dibahagikan kepada 2 kumpulan yang berasingan tempat untuk menyelesaikan cantuman bentuk yang dinamakan Soma. 12 subjek yang diberi puzzle tersebut akan dijanjikan dengan wang satu dolar jika berjaya menyelesaikannya dalam tempoh masa pilihan iaitu 8 minit atau masa yang bebas. Manakala, 12 subjek lagi tidak menerima apa-apa ganjaran dan dikehendaki juga menyelesaikannya dengan tempoh masa dan pilihan yang sama.

Hasil kajian menunjukkan, subjek yang mendapat bayaran lebih bersungguh-sungguh menyelesaikan puzzle tersebut dalam masa yang ditetapkan berbanding subjek yang tidak menerima bayaran lebih suka menyiapkan puzzle dengan memilih waktu yang bebas. Bukti menunjukkan motivasi intrinsik (dalaman) subjek yang tidak mendapat bayaran adalah kurang. Tetapi, terdapat juga situasi yang sukar untuk ditafsirkan apabila terdapat perubahan yang meningkatkan motivasi dalaman seseorang. Sebagai contoh dalam kajian Deci (1971) juga, terhadap 8 pelajar kolej yang bekerja sambilan sebagai penulis tajuk utama akhbar mingguan. Sebahagian subjek diberi bayaran sebanyak 0.50 sen untuk setiap tajuk utama akhbar dan sebahagian lagi tidak diberi apa-apa bayaran. Apabila pembayaran diberhentikan, subjek yang tidak mendapat bayaran lebih banyak menulis daripada subjek yang mendapat bayaran. Menurut Festinger (1957) yang dinyatakan oleh John (1979), subjek yang tidak mendapat bayaran tersebut berkehendakkan diri mereka dan hasil kerja mereka dinilai. Menurut Bruner (1966) yang dinyatakan oleh Mok Soon Sang (2004), mereka juga mempunyai dorongan untuk mencapai kecekapan

Selain dari itu, sebagai guru yang mampu beranggapan diri mereka sebagai kaunselor perlulah menuntut serba sedikit ilmu atau panduan mengendalikan sesi tolong bantu anak-anak. Menurut Mansur dan Nordinar (2003), terdapat peringkat-peringkat proses kaunseling yang telah dirumuskan dan disimpulkan secara ringkas seperti berikut:

Keseluruhan proses kaunseling mempunyai kekuatan psikologi tersendiri yang boleh memecahkan benteng-benteng permasalahan. Agenda pertama iaitu menerima klien seadanya seterusnya kepada pembinaan hubungan merupakan suatu pendekatan awal untuk memulakan sesi pernyataan masalah.

Seterusnya, di peringkat meneroka masalah sekaligus mencari puncanya memerlukan kemahiran-kemahiran asas dalam mengajukan soalan dan memahami serta empati oleh kaunselor dan ia merupakan suatu usaha ke arah menyelesaian masalah klien dalam menentukan rawatan yang perlu mereka jalani.

Membina matlamat bersama merupakan suatu peringkat yang menunjukkan klien hampir berubah dari segi kepercayaan, keyakinan dan tingkah lakunya bahkan semakin matang dalam perancangan hidupnya. Bantuan kaunselor juga memberi ruang lebih luas untuk klien melihat peluang-peluang kejayaan dengan sikap, minda dan emosi yang bermotivasi.

Di peringkat alternatif-alternatif yang disarankan, klien akan belajar bagaimana membuat keputusan yang sesuai dan terbaik tentang dirinya demi masa hadapan. Segala buruk baik diberi renungan bersama yang mendalam serta penilaian dalam apa sahaja pilihan klien berkenaan alternatif yang disenaraikan.

Strategi dan langkah-langkah yang dikendalikan oleh kaunselor merupakan jenis rawatan yang hendak dipilih bersesuaian dengan masalah klien. Apa sahaja strategi yang dilakukan hendaklah memberi penekanan dalam perubahan tingkah lakunya. Kaunselor juga akan mewujudkan beberapa unsur kritikal jika terdapat risiko yang perlu dihadapi oleh klien dan bagaimana cara mereka mengatasinya.

Penilaian dalam pelan tindakan yang dibina oleh kaunselor dan dilaksanakan oleh klien perlu dibuat dan melihat sejauh mana maklum balas yang diterima sama ada ia berkesan atau pun tidak. Di peringkat terakhir dalam sesi kaunseling ini pengubahsuaian dalam tindakan boleh dilakukan jika keadaan sedemikian memerlukan.

Oleh itu, kesungguhan, usaha dan penguasaan kemahiran kaunseling mengendalikan sesi kaunseling untuk mencapai objektif bergantung kepada kemampuan guru. Melalui pengalaman, latihan, pembacaan dan pendedahan berkenaan kaunseling juga dapat membantu sesebuah kejayaan dalam proses kaunseling.

PenutupSecara keseluruhan, kemahiran interpersonal perlu dikuasai oleh setiap guru bagi memastikan proses pembelajaran dan pengajaran di dalam kelas dapat dilakukan dengan lancar. Setiap guru hendaklah menguasai setiap aspek kemahiran interpersonal seperti kemahiran komunikasi, mendengar, bertanya serta memiliki penampilan yang menarik yang boleh menarik minat pelajar untuk belajar. Oleh itu, adalah menjadi kewajipan para guru untuk menjadi pembimbing dan kaunselor kepada pelajar sebagai salah satu kemahiran interpersonal.