bebanan tugas dan stres dalam profesion keguruan...nota pelajar. selain itu, guru menyediakan soalan...

11

Upload: others

Post on 24-Jun-2021

22 views

Category:

Documents


0 download

TRANSCRIPT

Page 1: Bebanan Tugas dan Stres Dalam Profesion Keguruan...nota pelajar. Selain itu, guru menyediakan soalan latih tubi, soalan ujian bulanan, soalan peperiksaan percubaan dan soalan peperiksaan
Page 2: Bebanan Tugas dan Stres Dalam Profesion Keguruan...nota pelajar. Selain itu, guru menyediakan soalan latih tubi, soalan ujian bulanan, soalan peperiksaan percubaan dan soalan peperiksaan
Page 3: Bebanan Tugas dan Stres Dalam Profesion Keguruan...nota pelajar. Selain itu, guru menyediakan soalan latih tubi, soalan ujian bulanan, soalan peperiksaan percubaan dan soalan peperiksaan

Bebanan Tugas dan Stres Dalam Profesion Keguruan | 1

Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS)

Pendahuluan

Mengikut Kamus Dewan Bahasa Edisi Keempat, guru didefinisikan sebagai orang yang kerjanya

mengajar atau mendidik. Namun, tanggungjawab seorang guru hari ini tidak terbatas hanya kepada

definisi seorang guru, bahkan tugasnya jauh lebih banyak dan mencabar. Peranan guru yang paling

utama ialah melahirkan modal insan yang berkualiti dan berdaya saing seterusnya mampu

menyumbang tenaga dan bakti kepada pembangunan ekonomi, politik dan sosial negara. Ironinya,

guru kini dihimpit oleh pelbagai desakan tugas yang bersifat bukan akademik, secara tidak langsung

memberi tekanan kepada guru.

Realiti dunia pendidikan semasa menyebabkan hampir semua yang bergelar seorang guru perlu

menelan situasi pahit ini. Berbeza dengan 20 atau 30 tahun dahulu iaitu hanya sesetengah guru tertentu

sahaja yang terbeban dengan tugas sebagai pendidik seperti guru mata pelajaran peperiksaan utama,

guru yang menjawat jawatan penting di sekolah, dan guru yang terpaksa bertugas selepas waktu kelas

seperti jurulatih sukan (Azita Rahim, 2012), manakala guru yang tidak terlibat dengan tugasan yang

dinyatakan mempunyai waktu yang lebih fleksibel untuk menyelesaikan tugasan hakiki masing-masing.

Tidak dinafikan tuntutan perkembangan globalisasi pendidikan hari ini mendorong pihak Kerajaan

mewujudkan suatu sistem pendidikan yang mapan bagi melengkapkan setiap murid di negara ini

dengan kemahiran-kemahiran yang diperlukan untuk mendepani cabaran abad ke-21. Hal ini

dimanifestasikan melalui Pelan Pembangunan Pendidikan 2013-2025 yang memfokuskan kepada

pembelajaran abad ke-21 serta idea berkenaan peranan guru sebagai pemudahcara (Norazlin &

Rohaimah, 2019).

Namun begitu, untuk mencapai objektif yang digariskan ini, ada ‘harga’ yang perlu dibayar. Kesannya,

para guru terpaksa memikul bebanan tugasan yang pelbagai, sebahagian besarnya bersifat bukan

akademik yang mendorong kepada faktor stres dalam kalangan guru. Justeru, kertas perspektif ini akan

mengupas mengenai bebanan tugas guru di sekolah khususnya dan perkaitan antara bebanan tugas

ini dengan stres yang berlaku dalam profesion keguruan.

Definisi Tekanan

Kyriacou dan Sutcliffe (1978) mendefinisikan tekanan sebagai suatu pengalaman emosi yang tidak

disukai, kebimbangan, tertekan, kemurungan, kemarahan dan segala sesuatu yang berkaitan aspek

pekerjaan. Sementara itu, Cox (1993) pula berpendapat tekanan yang dihadapi akan menyebabkan

individu tersebut memberi tindak balas mengikut keadaan dan tahap tekanan tersebut. Sekiranya tahap

tekanan adalah tinggi, maka tindak balas individu tersebut juga tinggi dan begitu juga sebaliknya.

Dalam erti kata lain, tekanan merupakan bentuk situasi yang wujud apabila seseorang individu

menganggap permintaan yang diterima tidak mampu dipenuhi disebabkan kekangan sumber sosial,

peribadi dan lain-lain. Hal ini terjadi disebabkan individu tersebut tudak lagi mampu mengawal situasi

ataupun keadaan yang mereka hadapi (Lazarus, 2009). Justeru, berdasarkan definisi tekanan yang

dijelaskan oleh para pengkaji dunia penyelidikan, tekanan dalam profesion keguruan berlaku apabila

guru tidak mampu menyelesaikan tekanan yang dihadapi sehingga tekanan tersebut bertukar menjadi

suatu bentuk permasalahan kesihatan yang menjejaskan kualiti mereka sebagai guru.

Page 4: Bebanan Tugas dan Stres Dalam Profesion Keguruan...nota pelajar. Selain itu, guru menyediakan soalan latih tubi, soalan ujian bulanan, soalan peperiksaan percubaan dan soalan peperiksaan

Bebanan Tugas dan Stres Dalam Profesion Keguruan | 2

Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS)

Realiti Semasa Cabaran Guru

Dengan meningkatnya harapan semua

pihak terhadap kemenjadian murid terutama

pihak Kerajaan dan masyarakat, maka

tugas guru semakin mencabar. Hal ini

demikian kerana untuk melahirkan modal

insan yang berkualiti, murid-murid perlu

diasah dengan nilai kecerdasan intelek (IQ),

kecerdasan emosi (EQ) dan kecerdasan

spiritual (SQ). Namun, tanpa sedar, demand

yang tinggi tersebut telah menyebabkan

para guru terpaksa bekerja di bawah

tekanan. Hal ini dibuktikan melalui kajian

oleh Kesatuan Perkhidmatan Perguruan

Kebangsaan (NUTP) yang mendapati 70

peratus daripada 9,000 guru di seluruh

negara berdepan tekanan kerja disebabkan

faktor bebanan tugas dan kerenah persekitaran tempat kerja.(Umi Kalsom, 2014).

Kajian yang dijalankan oleh Valli dan Buese (2007) mendapati bahawa tugas guru yang semakin

bertambah, dipertingkatkan dan diperluas untuk mengimbangi polisi kerajaan bagi meningkatkan

pencapaian murid, telah mewujudkan suatu persekitaran yang mendorong kepada faktor stres dalam

kalangan guru. Hal ini selari dengan kajian yang dijalankan oleh Huisman (2009) yang menyatakan

guru juga perlu melakukan tugasan perkeranian seperti mengambil kedatangan pelajar, merekodkan

gred pemarkahan pelajar dan menghadiri mesyuarat selain tugasan mengajar tidak boleh

dikesampingkan.

Beban tugas merujuk kepada tugasan yang perlu dilaksanakan oleh guru sama ada berkaitan dengan

pengajaran dan pembelajaran (PdP) ataupun di luar skop PdP dan diukur berdasarkan kekerapan

jumlah waktu yang diperuntukkan untuk menyelesaikannya (Fazura, 2011 & Ibrahim Jari, 2017).

Contohnya seperti membuat rancangan mengajar, menyediakan bahan bantu mengajar,

menghabiskan silibus, mengemaskini jadual kedatangan pelajar, mengendalikan aktiviti kokurikulum,

menggubal soalan peperiksaan, menggantikan guru lain yang tidak hadir dan pelbagai tugasan yang

berkaitan murid dan sekolah. Arzizul dan Norizah (2018) mengelaskan beban tugas guru kepada dua

kategori iaitu beban tugas akademik dan beban tugas bukan akademik.

1. Tugas Akademik

Pengurusan Pengajaran

Skop tugasan ini memerlukan guru untuk menyediakan dan melengkapkan Buku Rekod Mengajar

Harian. Penyediaan buku rekod mengajar ini perlu dilengkapkan sebelum guru memulakan sesi PdP

bersama pelajar. Buku rekod ini merupakan nadi seorang guru dalam melaksanakan tugasan PdP di

sekolah di samping guru juga perlu menyediakan bahan bantu mengajar seperti nota agihan bagi

memudahkan guru membuat penerangan secara lebih jelas untuk memaksimumkan kefahaman murid

terhadap tajuk yang diajar.

Seterusnya, apabila selesai satu-satu sesi PdP, guru dikehendaki membuat refleksi sama ada semua

murid faham dengan jelas atau sebaliknya mengenai tajuk yang diajar. Pada tahap ini pula, guru perlu

peka untuk menilai setiap murid dan melakukan tindakan sewajarnya jika terdapat murid yang tidak

memahami pengajaran di dalam kelas tadi.

Pengurusan Tugasan, Ujian dan Peperiksaan Pelajar

(Sumber: Google)

Page 5: Bebanan Tugas dan Stres Dalam Profesion Keguruan...nota pelajar. Selain itu, guru menyediakan soalan latih tubi, soalan ujian bulanan, soalan peperiksaan percubaan dan soalan peperiksaan

Bebanan Tugas dan Stres Dalam Profesion Keguruan | 3

Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS)

Dalam skop tugasan ini guru menjalankan tugas menyemak dan memeriksa buku latihan dan buku

nota pelajar. Selain itu, guru menyediakan soalan latih tubi, soalan ujian bulanan, soalan peperiksaan

percubaan dan soalan peperiksaan penggal atau semester. Seterusnya guru, bertugas memeriksa

kertas jawapan ujian bulanan pelajar, kertas jawapan peperiksaan percubaan pelajar dan kertas

jawapan peperiksaan penggal atau semester pelajar.

2. Tugas Bukan Akademik

Pengurusan Hal Ehwal Pelajar

Dalam skop tugasan ini guru berperanan memastikan pelajar mematuhi peraturan sekolah, menghadiri

mesyuarat berkaitan masalah disiplin pelajar, dan menangani dan mengendalikan masalah disiplin

pelajar yang berlaku di dalam bilik darjah ataupun di luar bilik darjah.

Pengurusan Pentadbiran Sekolah

Skop tugasan ini memerlukan guru menjalankan tugas-tugas perkeranian seperti mengisi borang,

menaip surat, menyediakan sijil, dan menyediakan minit mesyuarat. Di samping itu juga, guru turut

bertugas menghadiri mesyuarat sama ada mesyuarat bahagian sekolah, daerah, ataupun kebangsaan,

dan guru turut perlu menghadiri kursus-kursus untuk meningkatkan kemahiran dalam melaksanakan

PdP.

Pengurusan Kokurikulum

Melalui skop tugasan ini, kebiasaannya guru berperanan dan bertugas sebagai penasihat bagi badan-

badan dalam unit beruniform, kelab dan persatuan, dan persatuan rumah sukan. Guru ditugaskan untuk

mengawal selia perjalanan unit beruniform, kelab dan persatuan atau persatuan rumah sukan agar

berjalan lancar sepanjang tahun. Selain itu, guru turut memainkan peranan untuk melatih murid yang

menyertai apa-apa pertandingan yang disertai oleh sekolah.

Pengurusan Bilik Darjah

Dalam skop tugasan ini, guru kelas bertanggungjawab untuk menjadikan kelas sebagai sebuah tempat

yang ceria dan kondusif untuk murid belajar. Hal ini dilakukan dengan cara menghias kelas dengan

elemen-elemen warna yang ceria dan indah selain turut memenuhkan dinding kelas dengan info dan

maklumat yang signifikan.

Dapatan daripada laman web Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), menyenaraikan tugasan

seorang Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) atau guru pada gred paling rendah iaitu DG41

sebagai pelaksana menunjukkan tugasan hakiki seorang guru adalah amat pelbagai. Tanggungjawab

dan skop kerja guru mencakupi empat bidang keberhasilan utama iaitu;

a) Pemudahcara Pembelajaran dan Pentaksiran – Menyampaikan kandungan kurikulum di dalam

bilik darjah melalui pelbagai kaedah pedagogi dan aplikasi yang melibatkan murid, dan

mengaplikasikan teknik penilaian berkaitan yang boleh mencerminkan pembelajaran murid

bagi mencapai hasil pembelajaran berkesan.

b) Pembangunan dan Pelaksanaan Kokurikulum – Merekabentuk dan melaksanakan aktiviti

kokurikulum mengikut bidang kepakaran yang boleh menyumbang kepada pembangunan

holistik murid.

c) Penglibatan Dalam Pembelajaran Profesional – Memahami kehendak dan keperluan

pembelajaran dan pembangunan profesionalisme dan membuat aplikasi kepada diri serta

Page 6: Bebanan Tugas dan Stres Dalam Profesion Keguruan...nota pelajar. Selain itu, guru menyediakan soalan latih tubi, soalan ujian bulanan, soalan peperiksaan percubaan dan soalan peperiksaan

Bebanan Tugas dan Stres Dalam Profesion Keguruan | 4

Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS)

rakan sejawat agar meningkatkan pengetahuan dan kemahiran diri serta menyumbang kepada

budaya pembelajaran.

d) Pembentukan Jalinan dan Jaringan Kolaboratif dengan Ibu Bapa, Komuniti di dalam dan luar

Sekolah derta Pengurusan KPM – Menarik penglibatan ibu bapa dan komuniti dalam PdP agar

dapat mengoptimumkan hasil pembelajaran murid.

Keempat-empat bidang keberhasilan utama ini memberi gambaran tentang tugasan guru bukan sahaja

perlu menyampaikan ilmu berdasarkan silibus dalam buku teks, bahkan mencakupi tugasan-tugasan

lain bermatlamatkan pembinaan seorang murid secara holistik dan menyeluruh.

Bebanan Tugas Guru Dan Stres

Isu bebanan tugas guru ini turut berlegar di media massa yang memperlihatkan isu ini bukanlah isu

picisan yang perlu dibiarkan tanpa sebarang perancangan penyelesaian jangka pendek dan jangka

panjang. Sebagai contoh, keratan akhbar Kosmo pada 21 Mei 2017 yang bertajuk “Sistem Pendidikan

Musnah Jika Guru Banyak Tugas” melaporkan Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah bertitah sekiranya

guru dibebani tugas-tugas lain sehingga menyebabkan tugasan hakiki mereka terabai akan

menatijahkan kemusnahan sistem pendidikan negara.

Berita Harian pada 25 September 2015 pula melaporkan isu “Bantah Kaji Semula Beban Tugas Guru”

yang melaporkan para guru terbeban kerana terpaksa menyiapkan kerja-kerja yang tertangguh di

rumah selepas tamat waktu sesi persekolahan. Selain itu juga, guru turut terbeban dengan tugasan

perkeranian seperti memasukkan data-data murid, kehadiran murid, gred ujian dan peperiksaan selain

perlu mengendalikan aktiviti kokurikulum pada hari cuti.

Terbaharu, Berita Harian pada 20 Januari 2020 turut mengetengahkan isu bertajuk “50 Isu Berkaitan

Beban Guru Perlu Perhatian”. Dalam temu bual bersama Presiden NUTP, beliau menyarankan agar

pihak pentadbiran sekolah sentiasa mendengar dan berusaha memahami bebanan tugas yang perlu

dipikul oleh setiap guru di bawah pengawasan pentadbiran sekolah masing-masing. Di samping itu,

beliau juga mencadangkan agar pihak pentadbir memansuhkan kerja-kerja perkeranian yang kurang

signifikan terhadap pencapaian murid.

Beban tugas yang terlampau banyak bukan sahaja memberi kesan terhadap guru dari aspek fizikal

semata-mata, bahkan turut memberi impak terhadap nilai moral, kepuasan kerja dan kualiti hidup. Hal

ini diakui oleh Bridges dan Searle (2011) berdasarkan kajian mereka terhadap hampir 400 responden

terdiri dalam kalangan guru sekolah rendah dan guru besar. Bubb dan Earley (2004) pula melalui

kajiannya menyatakan bahawa antara faktor tekanan dalam kalangan guru berpunca daripada beban

tugas yang terlalu banyak.

Guru yang mengalami tekanan kebiasaannya akan menghadapi kekangan dalam menghasilkan kualiti

kerja terbaik, dedikasi, motivasi, kreativiti, komitmen terhadap tugas, keterampilan dan moral (Sharifah,

Suhaida & Soaib, 2014). Kesemua kekangan ini bakal memberi kesan negatif terhadap fungsi sekolah

dan kemenjadian murid (Azman, 2006). Situasi ini secara tidak langsung merencatkan matlamat Dasar

Pendidikan Negara untuk melahirkan modal insan berkualiti dan berketerampilan.

Menurut Presiden Persatuan Psikiatri Malaysia (MPA), Prof. Dr. Nor Zuraida Zainal dalam Utusan

Online bertarikh 27 Julai 2018 menyatakan bahawa guru merupakan golongan yang paling ramai

dikesan mengalami stres yang berpunca dari bebanan tugas (Suhaili & Faekah, 2020). Kajian oleh

NUTP pada tahun 2014 pula mendapati 70 peratus daripada 9,000 guru di seluruh negara sangat

tertekan ekoran cabaran kerjaya yang diceburi termasuklah cabaran bebanan tugas sebagai pendidik.

Sementara itu, laporan Kosmo pada tahun 2009 pula menyatakan para guru terdedah kepada penyakit

mental yang serius seperti bipolar, kebimbangan melampau dan kemurungan.

Page 7: Bebanan Tugas dan Stres Dalam Profesion Keguruan...nota pelajar. Selain itu, guru menyediakan soalan latih tubi, soalan ujian bulanan, soalan peperiksaan percubaan dan soalan peperiksaan

Bebanan Tugas dan Stres Dalam Profesion Keguruan | 5

Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS)

Laporan ini secara tidak langsung memberi gambaran bahawa profesion keguruan dan stres

merupakan suatu yang sinonim dan tipikal. Sungguhpun pendedahan yang dikeluarkan tidak

mencerminkan bahawa setiap yang bergelar guru menghadapi stres dan kemurungan akibat beban

tugas yang dipikul, namun ia tetap merupakan suatu statistik yang mengundang kerisauan banyak

pihak. Hal ini demikian kerana, profesion keguruan yang disandang oleh guru yang berkualiti

merupakan akar kemenjadian anak bangsa.

Faktor Dorongan Stres Guru

Terdapat beberapa faktor yang mendorong bebanan tugas menyebabkan stres dalam kalangan guru.

Pertama, guru mempunyai masa berkualiti yang kurang untuk diri dan keluarga kerana terpaksa

menyiapkan kerja di rumah selepas tamat waktu persekolahan. Sebagai contoh, guru perlu melakukan

tugasan menanda buku latihan murid, menanda kertas ujian dan peperiksaan, dan menyediakan bahan

bantu mengajar. Tugasan-tugasan ini memakan masa yang panjang menyebabkan guru tidak sempat

menyiapkannya di sekolah. Sedangkan apabila berada di rumah, guru terutama guru wanita tetap perlu

melaksanakan hal ehwal rumah tangga. Apabila berlakunya konflik antara tugasan kerja dan keluarga,

sedikit sebanyak akan menimbulkan ketegangan menyebabkan guru tidak dapat menyediakan waktu

yang berkualiti untuk diri dan keluarga.

Selain tugasan yang bersifat akademik, tugasan perkeranian yang perlu dilakukan secara atas talian

turut menyumbang kepada faktor stres guru. Lebih-lebih lagi bagi guru yang bertugas di kawasan yang

mempunyai capaian internet yang rendah, mereka perlu menunggu waktu malam atau dinihari untuk

menyiapkan tugasan tersebut.

Kedua, dalam usaha menerapkan kemahiran

abad ke-21 dalam sesi PdP yang dilaksanakan, ia

turut menjadi cabaran hebat untuk guru apabila

banyak elemen kemahiran yang perlu

disampaikan kepada murid dalam tempoh PdP

yang singkat. Umum mengetahui setiap murid

berbeza dari segi minat, pengetahuan, motivasi

dan gaya pembelajaran. Justeru, pendekatan

pembelajaran yang perlu digunakan juga harus

berbeza mencakupi kemampuan setiap murid,

sedangkan guru turut berhadapan dengan

kurikulum yang padat dan perlu menyediakan

murid untuk peperiksaan.(Norazlin & Rohaimah,

2019)

Tugasan ini menyebabkan meningkatnya stres dalam kalangan guru. Apatah lagi, dalam kalangan guru

sendiri, setiap guru mempunyai kecenderungan dan kemahiran yang berbeza-beza. Terdapat guru

yang kreatif dalam penyampaian ilmu kepada murid menyebabkan guru tersebut disukai pelajar dan

begitu juga sebaliknya. Dalam pembelajaran abad ke-21, kemahiran mengadaptasikan penggunaan

teknologi amat penting. Kemahiran teknologi ini mungkin mudah bagi sesetengah guru yang masih

baru menyertai profesion keguruan, namun bagi guru-guru bertaraf senior, penggunaan teknologi

mungkin agak merumitkan dan menyumbang kepada faktor stres dalam kalangan guru disebabkan

bebanan tugas.

Ketiga, faktor pihak pentadbir yang kurang adil dalam pembahagian tugas turut mendorong stres dalam

kalangan guru. Dalam satu laporan akhbar Sinar Harian pada 21 Mac 2019, Presiden NUTP

mendedahkan para guru yang rajin di sekolah merupakan antara golongan yang berhadapan dengan

tekanan yang tinggi. Hal ini demikian kerana pengagihan tugas oleh pentadbir adalah berdasarkan

usaha yang ditampilkan oleh pihak guru.

(Sumber: FreeMalaysiaToday)

Page 8: Bebanan Tugas dan Stres Dalam Profesion Keguruan...nota pelajar. Selain itu, guru menyediakan soalan latih tubi, soalan ujian bulanan, soalan peperiksaan percubaan dan soalan peperiksaan

Bebanan Tugas dan Stres Dalam Profesion Keguruan | 6

Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS)

Hal ini mendorong kepada ketidakseimbangan kadar pembahagian tugas di antara guru-guru dalam

setahun, bahkan menyebabkan terdapat sebahagian guru perlu melaksanakan jumlah bebanan kerja

yang lebih tinggi berbanding rakan guru yang lain. Selain itu, guru-guru turut diberikan tugasan

sampingan secara mendadak yang menyumbang kepada faktor meningkatnya beban tugas

guru.(Sahhari, 2006)

Penutup

Stres dalam profesion keguruan amat berkait rapat dengan polisi semasa Kerajaan terhadap sistem

pendidikan negara. Isu stres dalam kalangan guru bukanlah suatu perkara baharu bahkan telah sekian

lama dibincangkan di peringkat nasional oleh sesetengah pihak yang mempunyai kesedaran akan

situasi ini. Ironinya, titik noktah bagi permasalahan ini dilihat masih samar dan tiada kesudahan.

Namun, apa yang lebih membimbangkan, stres kini kelihatan semakin menonjol seolah-olah suatu

epidemik yang sedang menular dalam sesebuah organisasi. Namun, tidak ramai yang menyedarinya

apatah lagi sebahagian besar masyarakat di negara ini masih asing dan tabu dengan perkataan psikiatri

dan mental. Kesan tekanan di tempat kerja menatijahkan pelbagai penyakit seperti kemurungan,

penyakit jantung dan darah tinggi. Apa yang membimbangkan adalah guru yang mengalami tekanan

tidak mengetahui cara terbaik untuk melepaskan tekanan yang dihadapi dan ternyata ia membawa

kepada masalah yang lebih besar dan lebih sukar diselesaikan.

Justeru, tekanan kerja dalam kalangan guru perlu diambil cakna oleh setiap guru dengan melakukan

pencegahan-pencegahan kendiri terlebih dahulu. Sungguhpun begitu, sokongan dan dokongan

daripada orang-orang terdekat dan masyarakat sekeliling seperti pasangan, ibu bapa murid, rakan-

rakan sejawat dan pihak pentadbir bakal memberi kesan positif yang signifikan terhadap tahap tekanan

yang dialami oleh guru.

Page 9: Bebanan Tugas dan Stres Dalam Profesion Keguruan...nota pelajar. Selain itu, guru menyediakan soalan latih tubi, soalan ujian bulanan, soalan peperiksaan percubaan dan soalan peperiksaan

Bebanan Tugas dan Stres Dalam Profesion Keguruan | 7

Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS)

SENARAI RUJUKAN

Arzizul Bin Antin & Dg Norizah Binti Ag Kiflee@Dzulkifli. (April 2018). Pengaruh Beban Tugas dan

Motivasi Terhadap Keefisienan Kerja Guru Sekolah Menengah di Sabah. Malaysian Journal of

Social Sciences and Humanities (MJSSH), Vol. 3(2), 78.

Azita Abdul Rahim. (2012). BEBAN TUGAS GURU SEKOLAH MENENGAH DI DAERAH BATU

PAHAT, JOHOR DARUL TAKZIM. 4.

Azman, Y. (2006). Tekanan Kerja Guru Kemahiran Hidup Bersepadu Di Beberapa Buah Sekolah

Menengah Di Daerah Bentong, Pahang Darul Makmur. Tesis Sarjana Kepengetuaan, Universiti

Malaya

Bubb, S., & Earley, P. (2004). Managing Teacher Workload Work-Life Banlance and Wellbeing (First

Edit.). Paul Chapman Publishing A SAGE Publications Company.

C. Kyriacou & J. Sutcliffe. (1978). Teacher Stress: Prevalence, Sources, And Symptoms. British Journal

Of Educational Psychology, Vol. 48(2), 159.

Cox, T. (1993) Stress Research and Stress Management: Putting Theory to Work

Dokumen Awal Deskripsi Tugas Pegawai Perkhidmatan Pendidikan. (2016). Retrieved from

Kementerian Pendidikan Malaysia: https://www.moe.gov.my/en/dasar/1199-deskripsi-tugas-

pegawai-perkhidmatan-pendidikan-kpm-laluan-pdp-dan-kepimpinan-edisi-2016/file

Fazura Mohd Noor. (2011). Faktor-Faktor Penentu Stres Dalam Kalangan Guru-Guru: Kajian Di

Sekolah Rendah Mubaligh Di Kuala Lumpur. Centre For Graduate Studies, Open University

Malaysia.

Konnie A. Huisman. (2009). Lived Experience Of Stress In Middle School Teachers.

Lazarus, R. S., Opton, E.M. (2009). Psychological Stress and The Coping Process. New York: McGraw-

Hill.

Lebih 50 isu berkaitan beban guru perlu perhatian. (12 Janurai, 2020). Retrieved from Pressreader:

https://www.pressreader.com/malaysia/berita-harian-malaysia/20200112/281956019725849

Linda Valli & Daria Buese. (2007). The Changing Roles of Teachers in an Era of High-Stakes

Accountability. American Educational Research Journal, Vol. 44(3), 520.

Mohd Fitri bin Sahhari. (2006). Tahap Beban Tugas Guru Sekolah Menengah Di Daerah Skudai : Kajian

Kes. Universiti Teknologi Malaysia .

Norazlin Mohd Rusdin dan Siti Rohaimah Ali. (2019). Amalan dan Cabaran Pelaksanaan Pembelajaran

Abad Ke-21. Proceedings of the International Conference on Islamic Civilization and

Technology Management.

Sharifah Shafie, Suhaida Abdul Kadir & Soaib Asimiran. (2014). Beban Tugas Guru Teknikal Sekolah

Menengah: Isu Dan Cadangan. International Seminar On Global Education, 2892.

Sistem Pendidikan Musnah Jika Guru Banyak Tugas. (2017, Mei 21). Retrieved from Pendidik2u:

https://www.pendidik2u.my/sistem-musnah-guru-banyak-tugas/

Sue Bridges and Annette Searle. (November 2011). Changing workloads of primary school teachers: ‘I

seem to live on the. School Leadership and Management, Vol. 31(5), 413-433.

Page 10: Bebanan Tugas dan Stres Dalam Profesion Keguruan...nota pelajar. Selain itu, guru menyediakan soalan latih tubi, soalan ujian bulanan, soalan peperiksaan percubaan dan soalan peperiksaan

Bebanan Tugas dan Stres Dalam Profesion Keguruan | 8

Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS)

Suhaili Mohd Yusoff1 & Tengku Faekah Tengku Ariffin. (2020). Hubungan di Antara Kepimpinan

Kontekstual Pengetua dengan Kesejahteraan Guru di Tempat Kerja: Pengupayaan Guru

Sebagai Mediator. Journal of Advanced Research in Social and Behavioural Sciences, Vol.

19(1), 92.

Ummi Kalsom Binti Zakaria. (2014). Faktor-Faktor Yang Mempengaruhi Tekanan Kerja Dalam

Kalangan Guru Sekolah Menengah Daerah Hulu Terengganu, Terengganu Darul Iman.

Page 11: Bebanan Tugas dan Stres Dalam Profesion Keguruan...nota pelajar. Selain itu, guru menyediakan soalan latih tubi, soalan ujian bulanan, soalan peperiksaan percubaan dan soalan peperiksaan