wakaf: sumbangan yang dipinggirkan waqf: an...
Post on 06-Feb-2018
232 Views
Preview:
TRANSCRIPT
11
e-ISSN: 2289-8042 JURNAL SULTAN ALAUDDIN SULAIMAN SHAH
SPECIAL ISSUE (2017)
Wakaf: Sumbangan Yang Dipinggirkan
Waqf: An Abandoned Philanthropy
Dr Hjh Mas Nooraini Hj Mohiddin1
ABSTRAK
Wakaf merupakan salah satu bentuk sumbangan yang kurang popular jika dibandingkan
dengan sedekah, meskipun kedua-duanya adalah bersifat harus. Sering kali didengar
sumbangan untuk sekolah, sedekah untuk masjid, namun jarang disebut wakaf untuk
tempat perlindungan wanita, sumbangan untuk kemudahan pelajar-pelajar istimewa dan
sebagainya. Memang tidak dapat dinafikan masyarakat Islam khususnya sentiasa
memberikan sumbangan yang menggalakkan lebih-lebih lagi jika ia berkaitan dengan
urusan keagamaan. Kerana dalam semua urusan dunia, Islam (agama) adalah komponen
yang tidak dapat dipisahkan atau diasingkan dalam tatacara kehidupan berbeza dengan
agama-agama lain. Banyak kajian telah menunjukkan kebanyakan masyarakat Islam
masih beranggapan wakaf dalam bentuk tradisional yang hanya membataskan kepada
bidang tertentu sahaja. Sedangkan pada hakikatnya, peranan wakaf dan kepentingannya
adalah sangat luas. Kajian ini akan menggunakan kaedah sekunder dengan merujuk
perbahasan ulama terdahulu dan terkini. Hasil daripada kajian ini mendapati bahawa
kesempitan pemikiran mengenai wakaf telah mengakibatkan keterbatasan sumbangan
yang tidak menyeluruh. Kerana wakaf bukan hanya dimanfaatkan dan dikhususkan
kepada orang Islam sahaja bahkan ia menyeluruh kepada semua masyarakat bukan Islam.
Wakaf yang dulunya mampu menampung keperluan umum dalam semua bidang tidak
dapat dipertahankan dan dikembang luaskan natijah daripada amalan dan pandangan
yang terbatas mengenainya. Dalam erti kata yang lain sumbangan wakaf yang di
praktikkan masa kini hanya fokus kepada keagamaan sahaja namun bidang lain yang
memerlukan sumbangan wakaf masih di pinggirkan.
Kata Kunci: Wakaf, Sumbangan, Masjid, Keagamaan dan tradisional.
ABSTRACT
Waqf is one kind of philanthropy and less popular when compared to sadaqah, although
both philanthropies are not compulsory. Waqf is commonly familiar for schools and
mosques but rarely popular as beneficiary for women’s home protection or beneficiary of
facilities for disabled people. It is undeniable that Muslim society is actively making
contributions especially when it relates to religious affairs. This is due to the fact that
Islam, which is different from other religions, is a component that cannot be separated
from the daily lives of human beings in the world. Many researches show that Muslim
society still understand waqf in its limited sense and assume waqf is only applicable to
certain fields. Waqf in fact, plays a vital role in almost fields. This research will use
secondary method with reference to traditional and contemporary Islamic scholars’
opinions on this topic. The finding shows that the conservative understanding of waqf
perspective leads to limited contribution in certain fields. Waqf does not only give benefits
1 Fakulti Syariah dan Undang-Undang Universiti Islam Sultan Sharif Ali, Brunei Darussalam.
masnooraini.mohiddin@unissa.edu.bn
12
e-ISSN: 2289-8042 JURNAL SULTAN ALAUDDIN SULAIMAN SHAH
SPECIAL ISSUE (2017)
to Muslims but to the entire society including non Muslims. Waqf which was once used to
manage and afford all kinds of needs cannot be maintained and developed as a result of
this limited understanding among Muslims. In other words, waqf which is being practiced
today only focuses on religious field whereas in other fields that need attention is being
abandoned.
Keywords: Waqf, contribution, mosque, religious and traditional.
Pendahuluan
Wakaf memainkan peranan dalam membangun insan kerana dengan mewakafkan harta
yang disayangi untuk kepentingan umum akan mendidik jiwa agar menjadi orang yang
berjaya mengikis sikap bakhil dan kedekut dan menanam sifat pemurah, menghakis sifat
mementingkan diri sendiri, menanam sifat timbang rasa, kasih sayang pada ummah,
memperteguhkan persaudaraan Islam serta menanam sikap menjadikan harta sebagai
jambatan yang akan menyampaikan kepada keredaan Allah SWT (Ramli, 2005). Wakaf
mencerminkan kekuatan iman seseorang dalam mencintai Allah dan umatnya di atas
kepentingan peribadinya, memandangkan orang yang berwakaf telah mengikhlaskan harta
terbaiknya berubah menjadi milik umat keseluruhannya (Syukriyah, 2012).
Wakaf juga dikenali sebagai salah satu sumbangan yang digalakkan dalam Islam.
Walau bagaimanapun ia tidaklah terkenal dan popular seperti sedekah meskipun kedua-
duanya berbentuk harus. Suatu perkara lumrah jika sumbangan untuk sekolah agama,
sedekah untuk masjid, namun jarang sekali sekolah untuk orang istimewa, tempat
perlindungan wanita di jadikan sebagai penerima manfaat wakaf.
Pengertian
Wakaf berasal dari perkataan Arab iaitu nama terbitan daripada kata kerja waqafa yang
bermaksud tidak bergerak, menahan sesuatu (Akramah, 2008:24) atau memenjarakannya
(Al-Sarakhsi, 1406). Dalam perundangan Islam ia bermaksud sesuatu pemberian yang
ditujukan untuk kebajikan dan keagamaan (Ghurabal. 1972). Pengertian ini lebih mirip
kepada takrifan Kamus Dewan (2007) iaitu sesuatu yang diberikan untuk kegunaan orang
ramai (sebagai derma), atau diperuntukan bagi keperluan yang berkaitan dengan agama
Islam.
Manakala Sayin (2010) memberi pengertian wakaf sebagai menahan sesuatu harta
semata-mata kerana Allah Subhanahu Wata’ala demi untuk kepentingan umum tanpa
mengkhususkan kepada umat Islam secara umumnya. Kriteria penting dalam wakaf ialah
menyerahkan aset bagi menghasilkan pendapatan yang kekal. Dan yang lebih penting
hendaklah ia dilakukan bagi tujuan ‘birr’ iaitu kebaikan (Al-Shirazi, n.d).
Sumbangan boleh saja dalam pelbagai bentuk sama ada dalam bentuk material,
tenaga atau masa. Sesuai dengan takrifan Kamus Dewan sebagai sesuatu yang diberikan
sebagai bantuan, sokongan atau pertolongan (Kamus Dewan Edisi Keempat, 2007).
Menurut Yayasan Wakaf Kuwait (2010) wakaf dikenali juga sebagai sumbangan yang
mempunyai matlamat yang sama. Namun ia boleh dibezakan seperti pemberian, sedekah,
pinjaman dan wasiat. Dalam erti kata yang lain wakaf ialah sumbangan yang
mengekalkan asetnya dengan tidak membolehkan ia dijual atau ditukar. Di samping itu ia
juga boleh menghasilkan pendapatan dengan mengikut kehendak pewakaf. Pengertian ini
13
e-ISSN: 2289-8042 JURNAL SULTAN ALAUDDIN SULAIMAN SHAH
SPECIAL ISSUE (2017)
lebih komprehensif dan sesuai dengan situasi semasa tanpa mengabaikan kepentingan
umum, meskipun kepentingan umat Islam merupakan suatu keutamaan.
Sumbangan adalah lebih menyeluruh jika dibandingkan dengan sedekah. Sedekah
merupakan sebahagian daripada sumbangan dan ia lebih fokus kepada keagamaan tetapi
sumbangan kadang-kadang tidak ada kaitan dengan aktiviti keagamaan ( Hj Mohiddin,
2015).
Latar belakang institusi wakaf
Penubuhan institusi wakaf banyak didapati di hampir semua negeri majoritinya masyarakat
Islam, namun ia di kenali dengan pelbagai nama. Masyarakat Muslim yang berpegang
kepada mazhab Maliki yang menetap di Utara dan Barat Afrika menggunakan perkataan
‘hubus’ atau ‘habs’ bagi wakaf, iaitu perkataan yang di gunakan oleh Nabi Muhammad
s.a.w.2 (Cizakca, 1998). Oleh sebab itu di Morocco, kementerian yang menguruskan hal
ehwal wakaf di kenali sebagai Kementerian habas (Zuhaili, 1987). Manakala di Turki pula
di gunakan perkataan ‘vaqf’ merujuk kepada wakaf (McChesney, 1991).
Perkataan wakaf dalam sebutan Melayu membawa salah satu dari dua maksud
bergantung kepada konteks dan kegunaannya. Jika ia digunakan pada sesuatu objek itu
sendiri, ia membawa maksud kerangka bumbung yang terbuka untuk kegunaan awam atau
perabot siar kaki yang digunakan untuk orang ramai berhenti rehat, duduk atau berbaring.
Perabot siar kaki3 atau pavilion ini keseluruhannya diperbuat daripada kayu dengan tiang
minimum empat batang dan mempunyai pelantar kayu yang rendah.
Bagaimanapun jika perkataan wakaf digunakan dengan sesuatu yang lain seperti
harta wakaf atau tanah wakaf atau dalam perkataan diwakafkan, ia membawa maksud
harta atau tanah yang dihadiahkan untuk kegunaan awam atau perbuatan menghadiahkan
harta.
Dalam dunia yang moden ini, wakaf masih digunakan menepati dengan fungsi
asalnya sebagai tempat berlindung dan berehat seketika. Lokasi yang jelas menunjukkan
penggunaan wakaf ialah di sepanjang Lebuh raya Utara Selatan di Malaysia di mana ia
dibina di kebanyakan hentian rehat. Di Kota Bharu, Kelantan, kerajaan negeri telah
mengadaptasikan idea wakaf sebagai perabot siar kaki di bandar pada perhentian bas, tepat
berkumpul dan kedai kecil dalam bentuk binaan tradisional (Mohammad Rasdi, 2007).
Jika di negara Islam ia dikenali sebagai institusi wakaf, namun di negara bukan
Islam ia lebih dikenali sebagai institusi badan amanah (trust), yayasan (Foundation) dan
pertubuhan amal (charity). Walau bagaimana pun kewujudan institusi wakaf yang dikenali
lebih menjurus kepada sentimen keagamaan jika di bandingkan dengan institusi yang
mempunyai matlamat yang sama (Hj Mohiddin, 2016). Charitable trust merupakan istilah
yang paling hampir maksudnya dengan istilah wakaf yang diguna pakai oleh pengamal
undang-undang (Laldin et.al., 2008). Dan pada hakikatnya institusi badan amanah dalam
undang-undang common law yang dikenali hingga sekarang adalah berasal dan di adaptasi
dari institusi wakaf, yang diceduk oleh orang Eropah ketika mereka berada di negara
2 Hadis tentang hal ini secara lengkap adalah; “Umar memperoleh tanah di Khaibar, lalu dia bertanya kepada
Nabi dengan berkata; Wahai Rasulullah, saya telah memperoleh tanah di Khaibar yang nilainya tinggi dan
tidak pernah saya peroleh yang lebih tinggi nilainya dari padanya. Apa yang baginda perintahkan kepada
saya untuk melakukannya? Sabda Rasulullah: “Kalau kamu mahu, tahan sumbernya dan sedekahkan manfaat
atau faedahnya.” Lalu Umar menyedekahkan nya, ia tidak boleh dijual, diberikan, atau dijadikan wariskan.
Umar menyedekahkan kepada fakir miskin, untuk keluarga, untuk memerdekakan budak, untuk orang yang
berperang di jalan Allah, orang musafir dan para tamu. 3 Siar kaki ialah istilah lama yang bermaksud kaki lima atau laluan jalan kaki.
http://prpm.dbp.gov.my/Search.aspx?k=siarkaki.
14
e-ISSN: 2289-8042 JURNAL SULTAN ALAUDDIN SULAIMAN SHAH
SPECIAL ISSUE (2017)
Timur Tengah pada tahun 1219-1220 (Gaudiosi, 1988). Dalam erti kata yang lain, format
institusi pertubuhan amal yang diamalkan pada masa kini adalah terhasil dari kewujudan
institusi wakaf pada masa dulu.
Kepentingan dan kelebihan wakaf
Peranan institusi wakaf ialah mengurangkan bebanan kerajaan dalam membangunkan
negara dan memenuhi keperluan sosial. Ia lebih mudah bagi Kerajaan untuk mengawal
kemerosotan dan meminima kemiskinan jika kesedaran masyarakat mengenai potensi
wakaf ini diperluaskan dan dipertingkatkan (Wan Yon et al., 2008). Wakaf sering
ditujukan bagi pembangunan sosio ekonomi untuk membantu mereka yang memerlukan,
dalam masa yang sama ia juga dikhususkan kepada aspek keagamaan, pendidikan,
persekitaran and perkhidmatan saintifik (Laldin et al., 2008). Mengikut Abdul Karim
(2010) institusi wakaf memainkan peranan yang signifikan dalam memberikan sumbangan
bagi kemajuan masyarakat Muslim di Sinagpura, meskipun ia tidak mampu untuk
menyediakan kewangan bagi keseluruhan ekonomi masyarakat minoriti Muslim di negara
sekular.
Sejak zaman dahulu lagi masyarakat Islam hanya menyumbang kepada membina
masjid, surau dan sekolah agama tetapi mereka tidak terdedah dengan kefahaman
bersedekah dan beramal jariah kepada pembangunan jenis wakaf yang lain. Justeru
kebanyakan tanah wakaf tidak dapat dibangunkan dan masyarakat Islam tidak dapat
manfaat dari kegiatan wakaf (Mohd. Salleh & Muhammad, 2008). Fenomena ini telah
menyebabkan masyarakat Islam tidak dapat memanfaatkan harta wakaf yang masih
banyak belum dibangunkan, walaupun pada hakikatnya mereka mampu melakukannya
(Bahari, 2012).
Ini berdasarkan kepada sistem pengurusan Islam, di mana masjid merupakan
institusi wakaf. Di mana masjid dan wakaf tidak dapat dipisahkan. Masjid dibangunkan
oleh Kerajaan atau diwakafkan oleh individu tertentu kepada institusi kerajaan untuk
diurus dan ditadbir (Hasan, 2008). Masjid merupakan pilihan utama bagi masyarakat Islam
untuk berwakaf (Hassan and Shahid, 2010; Hj Mohiddin, 2015. Hussain, 1999, Jamil,
2007). Ini diperkukuhkan lagi dengan kenyataan Nagata (2002) yang mana kebanyakan
sumbangan wakaf di Malaysia dan Indonesia terdiri dari tanah untuk kegunaan masjid,
sekolah dan perkuburan. Kenyataan yang sama di per akui oleh Abd Karim (2010) di mana
tujuan utama wakaf di Singapura ialah untuk pembangunan dan kelestarian masjid. Wakaf
dalam bentuk khusus kepada masjid dan surau sememangnya mempunyai faedah yang
besar bagi tujuan menarik masyarakat Islam berjemaah memakmurkan masjid di samping
berusaha untuk meningkatkan sifat takwa agar kecintaan terhadap nikmat dunia dapat
dikurangkan (Osman, 2002).
Walau pun pada realitinya, semua jenis harta yang mampu menghasilkan
pendapatan atau memberikan manfaat boleh dijadikan wakaf seperti tanah pertanian,
tempat kediaman, pusat pengagihan makanan, bilik air dan sebagainya (Siddqi, 1991).
Wakaf untuk kegiatan umum berpotensi tinggi untuk membangunkan kehidupan ekonomi
umat Islam. Bahkan wakaf satu-satunya saluran yang pernah dirintis oleh Rasulullah
dalam usaha memajukan ekonomi dan kerajaan Islam (Osman, 2002). Di tambah lagi
dengan fungsi wakaf yang mampu mengambil alih status zakat dalam memenuhi keperluan
dan kehendak penerimanya seperti orang yang fakir miskin (Hodgson, 1974).
15
e-ISSN: 2289-8042 JURNAL SULTAN ALAUDDIN SULAIMAN SHAH
SPECIAL ISSUE (2017)
Penerima Manfaat Sumbangan wakaf
Hasil dari wakaf boleh dimanfaatkan dalam semua bidang yang mempunyai pelbagai
fungsi. Secara umumnya, hasil dari wakaf selalunya disalurkan atau dibelanjakan bagi
tujuan masjid. Kemudian diikuti oleh pendidikan, sementara orang miskin yang
memerlukan, merupakan jumlah ketiga terbesar dalam senarai penerima manfaat wakaf
(Hassan and Shahid, 2010).
Banyak kajian telah menyatakan bahawa pewakaf lebih berminat untuk
mendermakan harta mereka bagi kegunaan keagamaan terutama sekali dalam bentuk
masjid. Perasaan lebih dekat kepada Allah dan merasa lebih patuh kepada ajaran Nya yang
mendorong ke arah membangunkan masjid melalui wakaf tersebut (Mahamood, 2006). Ini
terbukti dengan banyaknya pembinaan masjid wakaf di seluruh negara Islam seperti di
Kaherah, Istanbul, Bagdad, Tunisia, Hijaz (Kahf, 2011) dan termasuklah di negara Asean.
Sebagai contoh Masjid Sultan Hassanal Bolkiah di Filipina, Masjid Bencoolen di
Singapura dan Masjid Mukim Wakaf Baharu di Kelantan, Malaysia.
Sejarah juga membuktikan bahawa wakaf bukan hanya ditujukan untuk keagamaan
sahaja bahkan bagi tujuan lain untuk memenuhi keperluan ummah seperti pendidikan yang
tidak kurang pentingnya. Institusi wakaf merupakan sumber yang diguna pakai untuk
memenuhi keperluan pendidikan bagi masyarakat Muslim di seluruh negara Islam. Bahkan
kewangan wakaf juga digunakan bagi membiayai dana perpustakaan, buku, tenaga
pengajar, membantu pelajar yang tidak mampu dan termasuklah juga membiayai kos
perbelanjaan tenaga pengajar dalam membuat penyelidikan. Terdapat banyak institusi
pendidikan yang bergantung sumbernya dari wakaf di hampir keseluruhan negara Islam.
Pengajian bukan hanya tertumpu pada pengajian Islam bahkan menyeluruh bidang
pengajian sains, perubatan, undang-undang dan ilmu kimia. Salah satu institusi pengajian
Tinggi yang bersandarkan kepada wakaf yang terkenal dan masih bertahan hingga
sekarang ialah Universiti al-Azhar, di Mesir (Sulaiman and Abd Manaf, 2009; Sa’ati, n.d.).
Universiti al-Azhar ditubuhkan pada tahun 975H merupakan sebuah universiti yang
tertua dan paling berjaya yang diwujudkan melalui sumbangan wakaf. Kos perbelanjaan
bagi universiti ini ditaja sepenuhnya dari hasil wakaf bagi tujuan memberikan pendidikan
percuma kepada masyarakat yang datang dari seluruh dunia. Pada tahun 1986 sahaja,
institusi wakaf sahaja memperuntukkan sebanyak EGP147, 324, 3004 bagi kegunaan
universiti itu termasuklah pembinaan bangunan yang mengandungi 55 fakulti dengan 6154
tenaga pengajar meliputi 849 profesor, 819 penolong profesor, 1517, pensyarah dan 1456
tutor (Kuran, 2011).
Model wakaf pendidikan yang terbaik pada masa kini ialah Pondok Moden
Darussalam Gontor yang terletak di Ponorogo, Indonesia. Pada asalnya pondok ini dimiliki
oleh seorang kiyai sebagai pemilik tunggal namun telah di wakafkan oleh warisnya pada
tahun 1958 dan di kendalikan oleh Badan Wakaf. Pondok pesantren ini telah melahirkan
ramai ulama dan tokoh-tokoh masyarakat. Sistem pengajiannya telah diiktiraf oleh
beberapa institusi luar negera seperti Universiti al-Azhar, Mesir, Universiti of Punjab
Lahore, Pakistan, Universiti Damascus, Syria, Universiti Antarabangsa Islam, Islamabad
dan Kerajaan Arab Saudi. Pada peringkat awalnya sistem pendidikan hanya menumpukan
kepada aspek keagamaan sahaja. Walau bagaimanapun sejajar dengan perubahan nama
kepada ‘Moden’, sistem pendidikan baru mula diperkenalkan. Berlandaskan konsep
berdikari melalui pembangunan harta wakaf dan urus tadbir yang telus dan jujur, serta
mempelbagaikan bentuk perniagaan telah berjaya mengeluarkan alumni yang terbukti dari
4 16,588,614.53 USD
16
e-ISSN: 2289-8042 JURNAL SULTAN ALAUDDIN SULAIMAN SHAH
SPECIAL ISSUE (2017)
segi kemampuan intelektual dalam masyarakat Indonesia khususnya dan umat Islam
Nusantara amnya (Mat Rani & Ibrahim, 2008).
Dalam bidang perubatan, Hospital Mansuri di Kaherah yang dibina pada tahun
1248 merupakan hospital terbesar dalam ketamadunan Islam yang menyediakan 8,000
katil. Kos rawatan bagi seluruh pesakit itu tidak terkecuali orang kaya, dibiayai
sepenuhnya oleh wakaf dan hasil pendapatan yang diperoleh oleh wakaf sahaja ialah
berjumlah 1 juta dirham (Nagamia, 2003:24, 2007).
Institusi wakaf dalam konteks sekarang perlu diperluaskan terutama dalam
mendirikan hospital wakaf yang memberi perkhidmatan percuma atau perkhidmatan yang
rendah kosnya sebagaimana yang dilakukan oleh badan-badan non- Muslim menubuhkan
hospital dan pusat- pusat dialisis (Wan Yon et.al.,2008). Seperti mana yang dilaksanakan
oleh Johor Corporation dengan penubuhan Wakaf Hospital an-Nur pada tahun 2007 (Jcorp
Annual Report, 2007). Menghulurkan sumbangan kepada orang miskin yang memerlukan,
merupakan keutamaan dalam misi wakaf yang diperakui oleh syarak. Kerana ini berlaku
jika pewakaf tidak menyatakan siapa yang berhak menerima manfaat wakaf, maka
keutamaan akan diberikan kepada golongan ini.
Kepelbagaian wakaf pada zaman dahulu membuktikan peranan besar institusi
wakaf dalam semua bidang. Ini diperakui sendiri oleh Ibnu Batutah iaitu seorang
pengembara Islam yang melawat Damascus pada tahun 726H. Beliau menyaksikan
kedermawanan masyarakat Muslim pada masa itu dalam membelanjakan harta mereka.
Pelbagai jenis wakaf yang ditawarkan seperti wakaf untuk menunaikan haji, wakaf untuk
perkahwinan, pendidikan, perlindungan, makanan, pakaian, menaik taraf infrastruktur
seperti jalan raya dan banyak lagi yang disediakan untuk mereka yang memerlukan oleh
individu yang dermawan. Wakaf juga digunakan untuk menjaga dan memberikan rawatan
kepada binatang sehingga terbinanya klinik haiwan. (Ibn Batutah, 1929).
Rumusan
Memang tidak dinafikan keterbukaan masyarakat dalam menyumbang untuk wakaf adalah
semakin meningkat. Namun pengkhususan hanya difokuskan untuk pelbagai aktiviti yang
menyangkut keagamaan sedangkan banyak ruang dan aspek lain yang memerlukan
perhatian. Jika pun ada sumbangan yang diberikan bagi aktiviti lain akan tetapi, untuk
menjadikannya sebagai aset yang berkekalan manfaatnya adalah minimum.
Wakaf dianggap sebagai alternatif yang tepat untuk melepaskan kebergantungan
masyarakat terhadap kerajaan dan sebagai pemangkin ekonomi, lebih-lebih lagi dalam
keadaan kemerosotan ekonomi sekarang. Pelbagai prasarana atau kemudahan yang
diperlukan oleh masyarakat umum terutama sekali yang diusahakan oleh Pertubuhan
Bukan Kerajaan yang memerlukan sumbangan wakaf. Seperti Persatuan Kanak-Kanak
Down Syndrome, Persatuan Autisme dan Persatuan Orang Kurang Upaya. Ini
memandangkan pertubuhan ini hanya mengharapkan sumbangan dari orang ramai dan
kurangnya mendapatkan sokongan dari agensi-agensi tertentu. Peningkatan kanak-kanak
yang mengalami masalah kesihatan pada masa kini, memberikan petanda bahawa
golongan sebegini perlu diberikan perhatian. Prasarana dan kemudahan yang bersesuaian
perlu disediakan bagi keselesaan dan pembangunan insaniah golongan yang istimewa.
Walau bagaimanapun, ia bergantung pada kejayaan pengurusan serta pengembangan aset
wakaf. Kerana jika pengurusan wakaf tidak ditadbir secara efektif dan efisien, serta tidak
mendatangkan pulangan yang maksimum, bagaimana halnya untuk melebar luaskan
sumbangan dalam bidang yang menyeluruh. Sudah tentu perkara tersebut terlalu sukar
untuk dilaksanakan.
17
e-ISSN: 2289-8042 JURNAL SULTAN ALAUDDIN SULAIMAN SHAH
SPECIAL ISSUE (2017)
Syarak tidak menghalang untuk mencipta konsep baru mengenai wakaf bagi tujuan
merangka sistem yang boleh dilaksanakan ibadat wakaf secara lebih berkesan asalkan
matlamat dan tujuan wakaf dapat dipenuhi sebagaimana asalnya iaitu mengumpul dana
dan sumber kukuh yang berterusan bagi melaksanakan tanggungjawab sosial untuk
kebajikan golongan terpinggir di dalam masyarakat atau lain-lain kebajikan yang
dibenarkan syarak. Ia terbukti berkesan dalam usaha mengurangkan kebergantungan
masyarakat kepada dana pemerintah sekali gus menjimatkan wang Kerajaan (Wan Yon
et.al.,2008).
Penutup
Penerimaan masyarakat mengenai pelbagai sumbangan adalah sangat positif, lebih-lebih
lagi bila menyentuh keagamaan. Banyak kajian menyatakan keagamaan seperti masjid,
kubur dan sekolah agama sememangnya menjadi satu keutamaan dan pilihan pertama bagi
pewakaf. Kerana dalam semua urusan dunia, Islam (agama) adalah komponen yang tidak
dapat dipisahkan atau diasingkan dalam tatacara kehidupan berbeza dengan agama lain.
Wakaf salah satu bentuk sumbangan yang kurang popular di bandingkan dengan
sedekah, meski pun kedua-duanya berbentuk harus. Namun, sejarah telah melakarkan
bahawa wakaf merupakan sebuah institusi yang memberikan sumbangan yang besar
terhadap pembangunan ekonomi bahkan ia menggantikan kedudukan Kerajaan dalam
menyediakan pelbagai kemudahan dan prasarana dengan meluaskan penerima manfaat
wakaf dalam apa jua bentuk. Perspektif masyarakat Islam tentang wakaf pada masa kini
telah membataskan penyaluran penerima wakaf hanya pada aspek tertentu sahaja.
Natijahnya, kesempitan pemikiran mengenai wakaf telah mengakibatkan
keterbatasan sumbangan yang tidak menyeluruh. Kerana wakaf bukan hanya dimanfaatkan
dan dikhususkan kepada orang Islam sahaja bahkan ia menyeluruh kepada semua
masyarakat bukan Islam. Wakaf yang dulunya mampu menampung keperluan umum
dalam semua bidang tidak dapat dipertahankan dan dikembang luaskan hasil daripada
amalan dan pandangan yang terbatas mengenainya. Penerimaan manfaat wakaf seharusnya
di kembangkan dalam usaha sama meningkatkan pembangunan insaniah di kalangan
masyarakat Islam khususnya dan masyarakat non-Muslim umumnya.
Bibliografi
Akramah, Said Sabri. (2008). Al-Waqf Al-Islami baina Al-Nazariyat wa Al-Tatbiq. Jordan:
Dar Al-Nafais.
Al-Sarakhsi, Mohammad b. Ahmad b. Abi Sahal. (1993). Al-Mabsut. Beirut: Dar Al-
Ma’rifat.
Bahari, Zakaria (2012). Pemerkasaan Instrumen Wakaf Dalam Pembangunan Ekonomi.
International Conference On Religiosity in Development, Medan. USM: Pusat Kajian
Pengurusan Pembangunan Islam.
Ghurabal, Muhammad Shafiq (1972). Al-Mausu’ah al-Arabiyah al-Muyassarah. Kaherah:
Dar al-Shu’ub.
Haji Mohiddin, Hjh Mas Nooraini (2015) Waqf Devepoment in Malaysia and Singapore:
A Comparative Study. Tesis Phd Durham University, United Kingdom.
Hassan, Bahrom (2008) Menjana Sumber Kewangan Masjid Pemangkin Pembangunan
Ekonomi Ummah, dalam Mohd Ismail, Mustari dan Kamarul Azmi, Jasmi (ed.),
Penerbit Universiti Teknologi Malaysia, hlm 82.
18
e-ISSN: 2289-8042 JURNAL SULTAN ALAUDDIN SULAIMAN SHAH
SPECIAL ISSUE (2017)
Hassan, Abul. and Shahid, M. A. (2010). Management And Development Of The Awqaf
Assets. Seven International Conference-The Tawhidi Epistemology: Zakat and Waqf
Economy (pp. 309–328). Bangi: Institute Of Islam Hadhari, UKM.
Hussain, J. (1999). Islamic Law And Society An Introduction. Sydney: The Federation
Press.
Ibn Battuta. (1929). Travel in Asia and Africa 1325-1354. London: George Routledge &
Sons Ltd
Jcorp Annuar Report (2007).
Kuran, T. (2001). The provision of public goods under Islamic law: origins, impact, and
limitations of the waqf system. Law society review, 35(4), 841–897. Retrieved from
http://www.jstor.org/stable/3185418.
Kahf, M. (2011). Waqf and its Sociopolitical Aspects. In S. M. Kahf, Monzer and
Mahamood (Ed.), Essential Readings in Contemporary Waqf Issues (pp. 15–58).
Kuala Lumpur: CERT Publisher Sdn Bhd.
Kuwait Awqaf Public Foundation. (2010). Al-Amanah al-'Ammah li al-Awqaf. Retrieved
January 11, 2011, from http://www.awqaf.org.kw/
Arabic/Aboutendowment/Fiqhofwaqf/pages/default.aspx.
Laldin, Mohamad Akram. and Mahmud, Mek Wok. and Sawari, M. F. (2008). Maqasid
Syariah Dlm Pelaksanaan Waqaf. Jurnal Pengurusan Jawhar, 2(2), 1–24.
Mahamood, Siti Mashitoh. (2006). Waqf in Malaysia Legal and Administrative
Perspectives. Kuala Lumpur: University of Malaya Press.
Mat Rani, Mohd Afandi. Ibrahim, Mohd Takiyuddin. (2008). Waqaf Pendidikan :
Pengalaman di Pondok Moden Darussalam Gontor Pnonrogo Indonesia. Dlm B.
Sayin (Ed.), Isu-Isu Semasa Mengenai Waqaf (pp. 203–220). Selangor: Pusat
Penerbitan Universiti (UPENA).
Mohd. Salleh, Sohaimi & Muhammad, Syarqawi (2008). Wakaf Development in
Malaysia: Issues and Challenges. Jurnal Pengurusan Jawhar, 2(1).Kuala Lumpur:
JAWHAR.
Mohammad Rasdi, Mohammad Tajuddin (2007). Wakaf Bukti Islam Bertamadun. Utusan
Malaysia. 12 July 2007.
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0712&pub=Utusan_Malaysi
a&sec=Bicara_Agama&pg=ba_03.htm#ixzz4LhN5ywbc
Nagamia, H. (2007). Charity in Islam. KHAASBAAT, Publication for Indian Americans in
Flourida. Retrieved March 5, 2014, from
http://www.khaasbaat.com/jun2007/faith.htm.
Osman, Sabran (2002) Pengurusan Harta Wakaf. Universiti Teknologi Malaysia, Skudai.
Wan Yon, Wan Ariffin. and Abdul Latif, Mohd Syahiran. and Bahrom, H. (2008).
Mekanisme Wakaf: Gagasan Awal Terhadap Pembangunan dan Pembiayaan Pusat
Penyelidikan dan Perkembangan Islam Borneo. Jurnal Pengurusan Jawhar, 2(2), 63–
86.
Ramli, Abdul Halim (2005). Islam Hadhdari: Pengukuhan Institusi Baitulmal dan Waqaf
di Malaysia. UPENA UITM.
Sa’ati, Y. M. (n.d.). Kitab al-Waqf wa Bunyatu. Al-Maktabah al-Arabiyah.
Sayin, Baharuddin (2010). Konsep Waqaf Dalam Islam. Dalam Waqaf Konsep dan
Aplikasi, edt. Bahrom,Hasan. Shah Alam: Universiti Teknologi Mara.hlm 1-22.
Siddiqi, M. N. (1991). The Role of Voluntary Sector in Islam. In M. Ariff (Ed.), The
Islamic Voluntary Sector in Southeast Asia (pp. 6–30). Singapore: Institute of
Southeast Asian Studies.
19
e-ISSN: 2289-8042 JURNAL SULTAN ALAUDDIN SULAIMAN SHAH
SPECIAL ISSUE (2017)
Sulaiman, Norsiah. and Abd Manaf, F. (2009). Peranan Harta Wakaf dlm Bidang
Pembangunan Dan Pendidikan Ummah: Fokus Dlm Bidang Perubatan. Jurnal
Pengurusan Jawhar, 3(1), 1–30.
Syukriyah, Kiky (2012). Paper Wakaf Di Singapura Fixed.
https://www.scribd.com/doc/95040481/Paper-Wakaf-Di-Singapura-Fixed.
Zuhaili, Wahbah (1987). Al-Wasaya wa Al-Waqf fi al-Fiqh al-Islami. Damascus: Dar al-
Fikr.
_____________(2007). Kamus Dewan Edisi Keempat. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka, Kementerian Pendidikan Malaysia.
top related