keluarga dan kekeluargaan dalam konteks islam
Post on 10-Jul-2016
246 Views
Preview:
DESCRIPTION
TRANSCRIPT
JCEA2302 KELUARGA DAN KEKELUARGAAN
MELAYU
Keluarga dan kekeluargaan dalam konteks Islam:
Penekanan terhadap hak, tanggungjawab dan akhlak.
PENSYARAH : Prof. Yaacob Bin Harun
MUHAMMAD ‘IZZUL IZHAM BIN MOHAMMAD NORDIN
JEC130007
Keluarga dan kekeluargaan dalam konteks Islam: Penekanan terhadap hak, tanggungjawab
dan akhlak.
KONSEP KEKELUARGAAN ISLAM
Kepentingan pembentukan keluarga
Kekeluargaan (kinship) pada asasnya ialah rangkaian perhubungan antara kaum keluarga (kin) –
kinship is the network among kin.Kekeluargaan adalah struktur utama dalam masyarakat.
Pemahaman tentang kekeluargaan penting bagi memahami struktur dan organisasi masyarakat
pada keseluruhan. Ibn Khaldun (732-808H) menyifatkan manusia sebagai makhluk
bernasyarakat, berakal, berseni, berkebudayaan, berekonomi, berpolitik dan sebagainya. Tiada
seorang manusia mampu hidup bersendirian dan memenuhi keperluan psikologi dan fizikal
tanpa perlu berinteraksi dengan orang lain. Lantaran itu pembentukan institusi pemerintahan
adalah salah satu cara bagi memenuhi keperluan-keperluan tersebut di samping menyusun
peraturan-peraturan dalam interaksi akan menjadi sukar dan mencetuskan pelbagai konflik.
Menurut Islam pula keluarga adalah sebuah institusi yang amat penting kerana keluarga
merupakan sebuah kesatuan masyarakat kecil yang menjadi asas dalam pembentukan
masyarakat yang lebih kompleks. Kepentingan institusi ini amat jelas apabila dalam agama
Islam itu sendiri sudah diatur undang-undang atau hukum yang mengatur tentang Munakahat
(perkahwinan). Keluarga mempunyai peranan yang penting dalam membentuk individu yang
baik kerana dari peribadi akan membentuk keluarga yang baik, dari keluarga yang baik akan
lahir masyarakat yang baik pula. Masyarakat yang baik di sini sudah tentu memberi pengertian
sebagai masyarakat yang berdisiplin serta bermoral sehingga dengan demikian akan
terbentuklah sebuah negara yang cemerlang dan diredhai oleh Allah swt. Pembentukan
keluarga juga memiliki peranan penting sebagai:
a) Melestarikan keturunan atau generasi manusia kerana sikap tidak ambil tahu terhadap
pembentukan sebuah institusi keluarga akan memberi impak kepada kehancuran sebuah
masyarakat.
b) Memelihara akhlak, tata susila, dan kemuliaan seorang manusia melalui ikatan
perkahwinan.
c) Mencapai kebahagiaan, keharmonian, kebaikan, kasih sayang sesama manusia, kepuasan
rohani serta jasmani.
d) Membentuk umat yang kuat dan mantap kerana individu yang kukuh dan kuat dibentuk
oleh sebuah keluarga (kin)
e) Memupuk semangat pengorbanan, tolong-menolong, semangat kerjasama dalam jiwa
setiap anggota keluarga.
Pembentukan Keluarga
Islam telah menetapkan perkahwinan sebagai asas dalam pembentukan sebuah keluarga.
Ikatan perkahwinan merupakan sesuatu perkara yang amat penting ke arah sesuatu yang lebih
baik. Tujuan perkahwinan adalah untuk memperoleh rahmat dan redha Allah swt, memelihara
kehormatan diri, mencapai kegembiraan hati, ketenangan batin, memelihara kesucian diri dan
keturunan, mengikut sunnah Rasulullah s.a.w mendapatkan zuriat dan berdakwah sebagai cara
untuk mengungkapkan cinta dan kasih sayang antara sepasang manusia.
Pernikahan dalam Islam
Sesungguhnya Islam telah memberikan tuntunan kepada pengikutnya yang akan memasuki
alam pernikahan, lengkap dengan cara atau aturan-aturan Allah s.w.t. Namun dalam
masyarakat kita, hal ini tidak diambil perhatian sedalam-dalamnya.
Dalam masalah pernikahan sesungguhnya Islam telah mengatur sedemikian rupa. Dari
permulaan bagaimana untuk mencari pasangan hidup hingga mewujudkan sebuah pernikahan.
Walaupun sederhana tetapi penuh baraqah dan tetap mempersonakan. Islam juga menuntut
setiap dari mereka yang berkahwin melaksanakan peranan masing-masing selepas berkahwin.
Mengetahui calon Suami atau Isteri
Pasangan yang ingin menikah perlu mengetahui calon suami atau isteri yang akan dinikahi
terlebih dahulu.
a. Melihat calon isteri terlebih dahulu
b. Mengetahui dan mengenali calon isteri tentang aspek keperibadian, keturunan, akhlak,
agama dan kekayaannya. Rasulullah saw bersabda: “Wanita yang dikahwini itu dilihat dari
empat perkara, iaitu karena harta,keturunan,kecantikan dan agamanya. Tetapi pilihlah yang
beragama agar selamat dirimu.” (HR. Bukhari dan Muslim).
Dalam hadis lain Rasulullah bersabda: “Dunia adalah perhiasan,dan sebaik-baik perhiasan itu
ialah wanita Shalihah.” (HR. Muslim).
Meminta pendapat dari ahli keluarga yang lain.
Bagi seorang lelaki sebelum ia memutuskan untuk menyunting seorang wanita untuk dijadikan
teman hidup, seharusnya mengenali calon isteri melalui sahabat atau saudara mara wanita
tersebut. Mereka sepatutnya orang yang tahu tentang hal ehwal wanita yang akan dilamar oleh
lelaki tersebut, agar ia dapat memberikan pertimbangan dengan jujur dan adil. Begitu pula bagi
wanita yang akan dilamar oleh seorang lelaki, sebaiknya ia minta pertimbangan dari kaum
kerabat dekatnya yang baik agamanya.
Selepas mendapat pertimbangan dalam memilih pasangan hidup. Individu yang ingin berkahwin
digalakkan untuk solat sunat istikharah. Umat Islam disuruh mengerjakan solat sunat Istikharah
bagi menyelesaikan jalan buntu atau untuk membuat suatu pilihan atau keputusan dalam
segala urusan kehidupan. Terdapat beberapa hadis Rasulullah SAW yang menggalakkan solat
Istikharah. Di antaranya;
Rasulullah SAW bersabda: “Di antara kebahagiaan anak Adam ialah Solat Istikharah (minta
pilih) daripada Allah Taala dalam segala urusannya dan di antaranya kecelakaan anak Adam
ialah meninggalkan solat Istikharah daripada Allah pada segala urusannya.”
la boleh dikerjakan dua rakaat atau sehingga dua belas rakaat (enam salam). Waktunya siang
atau malam. Sebaik-baiknya dikerjakan pada waktu sebelum tidur malam. Insya-Allah Tuhan
akan menggerakkan hati anda dan memberi petunjuk untuk membuat sesuatu keputusan atau
penentuan yang betul.
Khitbah (Peminangan) pula dilaksanakan sekiranya seseorang itu telah yakin bahawa pilihan
yang dilakukan adalah yang terbaik. Fungsi peminangan ini adalah sebagai tanda bahawa lelaki
ingin mengahwini seorang wanita. Wanita tersebut boleh menerima atau menolak pinangan
seorang lelaki. Peminangan bertujuan memberi peluang kepada lelaki untuk melihat bakal isteri
yang akan dikahwini tetapi bukan bermakna mereka boleh keluar bersama seperti orang yang
sudah berkahwin.
Seterusnya, akad nikah merupakan proses pengikatan antara lelaki dan perempuan selepas
bertunang. Akad nikah (dari bahasa Arab 'aqd = (عقد atau ijab qabul merupakan ikrar
pernikahan. Yang di maksud dengan akad nikah ialah ijab daripada pihak wali perempuan atau
wakilnya dan qabul dari pihak calon suami atau wakilnya. Akad nikah merupakan syarat wajib
dalam proses atau upacara perkahwinan menurut Islam. Akad nikah boleh dijalankan oleh wali
atau diwakilkan kepada seorang jurunikah.
Selepas selesai proses akad nikah barulah pasangan lelaki dan perempuan layak digelar suami
isteri dan boleh menjalankan hubungan yang sah. Kebiasaannya selepas akad nikah akan
diadakan majlis walimatul urus (kenduri kahwin). Fungsi walimatul urus ini bertujuan untuk
memperkenalkan pasangan yang baru berkahwin kepada kaum kerabat agar tidak mewujudkan
salah sangka dalam kaum kerabat malah kepada masyarakat sendiri.
Hukum-Hukum Perkawinan
Islam sebenarnya menganjurkan umatnya agar melangsungkan perkahwinan. Namun
hukumnya boleh berubah menjadi wajib, sunat, makruh dan haram.
1. Harus, ini adalah hukum asal dari sebuah perkahwinan
2. Wajib (az-zawaj al-wajib), bagi yang mampu dan tidak dapat menahan hawa nafsunya dan
dikuatiri akan terjerumus ke dalam lembah dosa melalui perbuatan Zina.
3. Sunat (az-zawaj al-mustahab), bagi mereka yang mampu, mampu menahan hawa nafsu
serta berkeinginan untuk menikah.
4. Makruh(az-zawaj al-makruh), bagi yang tidak berkemampuan memberikan nafkah,
sehingga membebankan isteri dan keluarga.
5. Haram (az-zawaj al-harom), bagi yang tidak mampu, tidak bertanggung jawab dan
menikah akan mewujudkan masalah pada isteri serta keluarganya.
Pembentukan keluarga amat penting maka setiap apa yang dilakukan seharusnya bertepatan
dengan syariat dalam Islam. Perkara yang menjadi fokus dalam esei ini ialah ha, tanggungjawab
dana akhlak.
Hak dan Tanggung Jawab
Dalam menjalani kehidupan sebagai sebuah keluarga, setiap ahli mempunyai hak dan
tanggungjawab masing-masing yang perlu dipenuhi. Ini untuk menjamin keharmonian hidup
berumah tangga. Keluarga yang baik terbentuk apabila setiap ahli keluarga menjalankan tugas
masing-masing dan memahami setiap kepentingan keluarga itu sendiri.
Tanggungjawab Suami terhadap Isteri:
Memberi nafkah zahir dan batin. Keperluan menyediakan nafkah zahir memberi maksud
menyediakan keperluan makanan dan pakaian kepada isteri serta menyediakan tempat tinggal.
Memimpin dan mendidik isteri. Suami sewajarnya mendidik isteri sehingga mencapai tahap
boleh menjauhkan ahli keluarganya dari seksaan api neraka. Memberi layanan yang baik pada
Isteri
Tanggungjawab isteri terhadap suami:Mentaati dan mematuhi suami. Memberikan layanan
yang baik kepada suami. Menjaga kehormatan diri dan harta suaminya.
Tanggungjawab bersama suami isteri :
Mendalami Ilmu fardu ‘ain Tolong menolong dalam hal kebajikan dan meninggalkan
kemungkaran. Memupuk cinta dan kasih sayang. Mempererat hubungan antara keluarga suami
dengan isteri. Saling memaafkan jika melakukan kesilapan dan kesalahan. Bertawakal kepada
Allah swt dalam mencapai keluarga bahagia. Pembentukan Akhlak di dalam Keluarga ke arah
yang lebih baik.
Tujuan pembinaan Akhlak
Melihat dari segi tujuan akhir dilaksanakannya ibadah adalah pembinaan Taqwa. Bertaqwa
mengandung erti melaksanakan segala perintah agama dan meninggalkan segala larangan
agama. Ini bererti menajuhi segala perbuatan-perbuatan jahat dan melakukan perbuatan-
perbuatan baik (Akhlaqul Karimah). Perintah Allah swt senantiasa ditunjukkan kepada
perbuatan-perbuatan baik dan larangan-larangan untuk berbuat jahat atau maksiat
( Akhlaqul Madzmumah). Orang yang bertakwa bererti orang yang berakhlak mulia, berbuat
baik dan berbudi luhur.
Akhlak Sebagai Anak
Anak yang dilahirkan oleh ibunya dalam keadaan fitrah bererti anak tersebut lahir dalam
keadaan sudah beragama Islam. Orang tualah yang menjadikan anaknya itu Muslim, yahudi,
nasrani mahupun majussi. Di sinilah letak kewajiban orang tua terhadap putera-puterinya
dalam mendidik serta mengajari akhlak terhadap sesama manusia.
Al-Ghazali menggunakan istilah anak-anak dengan beberapa sebutan seperti ini;
- As- Shobiy’ (kanak-kanak)
- Al-Muta’allim (pelajar)
- Thalibul ‘Ilmi (penuntut ilmu pengetahuan)
Masa anak-anak adalah masa yang paling indah. Anak-anak diibaratkan sebagai kain putih yang
perlu dicorakkan. Jika cantik coraknya baiklah jadinya tetapi jika rosak coraknya maka rosaklah
ia. Pancaran kebahagiaan yang muncul dari mata mereka adalah gambaran masa depan. Dunia
anak-anak sebenarnya tidak kurang pentingnya dengan dunia orang dewasa. Namun kemajuan
sesuatu bangsa sangat bergantung pada perhatian meraka terhadapa semua aspek kehidupan
anak-anak. Perubahan tradisi budaya yang berkait rapat dengan anak harus dimulai dari rumah
seorang ayah dan ibu harus mampu mendidik anaknya menjadi anak yang soleh. Anak bukanlah
beban hidup kerana pada dasarnya sejak lahir setiap anak merupakan anugerah yang memberi
rezeki serta wajib dipelihara dan disyukuri.
Warisan budaya yang tidak memberikan dorongan terhadap perkembangan anak masih
menjerat sebagian besar warga masyarakat. Masih banyak orang yang beranggapan anak
adalah produk sampingan kehidupan. Maka mengutamakan kepentingan dan hak-hak anak
bukanlah suatu dosa. Anak jika dididik dengan baik jelas berakhlak baik. Akan tetapi jika
dibiarkan berkembang sesuai tempat tinggal tanpa adanya bimbingan maka akan terpesong
akhlaknya.
Imam Al-Ghazali memberikan pandangan bahawa sesungguhnya seseorang itu diciptakan Allah
mempunyai kelebihan dan kelemahannya. Imam Al-Ghazali mengemukakan cara mendidik anak
dengan memberi contoh seperti latihan,kebiasaan,nasihat, dan anjuran sebagai alat pendidikan
dalam rangka membina keperibadian anak-anak sesuai dengan ajaran agama Islam.
Apabila anak-anak itu dibiasakan dengan perkara yang baik maka ia akan tumbuh di atas
kebaikan tadi. Sebaliknya jika anak sejak kecil sudah dibiasakan dengan perkara yang buruk
saja tanpa dibimbing akhlaknya, maka anak itu akan celaka dan punah akhlaknya.
Tindak lanjut dan didikan akhlak pada anak-anak harus dikembangkan adalah seperti
kesopanan dan kesederhanaan makan, pakaian, tidur, berbicara dan tingkah laku.
Maka dari itu yang wajib dihindarkan dari perbuatan tercela adalah sebagai berikut:
1. Jangan suka bersumpah
2. Jangan suka meminta-minta
3. Jangan suka membanggakan diri
4. Jangan berbuat sesuatu dengan cara sembunyi-sembunyi
5. Jangan suka berbohong
6. Jangan suka mencuri
7. Jangan suka memfitnah
8. Jangan suka mencela dan menghina orang lain
9. Jangan menceritakan keburukan orang lain
Maka pembinaan akhlak terhadap anak menuju Akhlaqul Karimah adalah dengan menanamkan
nilai-nilai keagamaan sehingga terwujudlah sikap mental anak dan keperibadian yang selari
dengan ajaran agama.
Akhlak kepada Ayah, Ibu dan Orang Tua
Setelah bertaqwa kepada Allah swt, seorang anak itu wajib berbakti kepada kedua orang
tuanya. Orang tua telah bersusah payah memelihara,mengasuh,mendidik, sehingga menjadi
orang yang berguna dan berbahagia. Oleh karena itu seorang anak wajib mentaatinya,
menghormatinya, menjunjung tinggi titahnya, mencintai mereka dengan ikhlas, berbuat baik
kepada mereka, terlebih jika kedua orang tua kita sudah memasuki usia lanjut (Lansia),
janganlah kita berbicara keras dan kasar terhadap mereka.
Allah Swt berfirman: “Dan Tuhan mu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah
selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik pada ibu bapa mu dengan sebaik-baiknya. Jika
salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai berumur lanjut dalam
pemeliharaanmu, maka janganlah sekali-kali kamu mengatakan kepada keduanya perkataan
“ah” dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang
mulia. Dan rendahkanlah dirimu terhadap mereka berdua dengan penuh kesayangan dan
ucapkan: “ Wahai Tuhanku, kasihilah mereka keduanya, sebagaimana mereka berdua telah
mendidik aku di waktu kecil “. (QS.Al-Israa’ : 23-24)
Di dunia ini tidak seorang pun dapat menyamai kedudukan orang tua. Tidak ada satu usaha dan
pembalasan yang dapat menyamai jasa kedua orang tua kepada buah hatinya. Perbuatan yang
harus dilakukan seorang anak terhadap kedua orang tua menurut Al-quran adalah sebagai
berikut;
1. Berbakti kepada orang tua
2. Mendoakan kedua orang tua
3. Taat terhadap segala yang diperintahkan dan meninggalkan segala yang dilarang oleh
mereka. Sepanjang perintah dan larangan itu tidak bertentangan dengan ajaran dan kedah
agama.
4. Menghormatinya, merendahkan diri kepadanya, berkata yang halus dan yang baik-baik
supaya tidak menyinggung dan menyakiti hati mereka, tidak membentak dan tidak bersuara
melebihi suaranya. Tidak berjalan di depannya, tidak memanggilnya dengan sebutan nama,
tetapi panggilah dengan sebutan ayah atau ibu.
5. Memberikan penghidupan,pakaian,mengobati jika sakit dan menyelamatkannya dari
sesuatu yang dapat membahayakannya.
6. Menyayangi dan mencintai kedua orang tua.
Akhlak atau Tanggung Jawab Orang Tua Kepada Anaknya
1. Senantiasa mendoakan anak-anaknya agar menjadi anak yang soleh dan solehah
2. Mengazankan anak laki-laki dan mengqamatkan anak perempuannya ketika ia lahir
3. Member nama yang baik kepada sang anak
4. Memberikan asi kepada anak sampai ia berusia dua tahun
5. Menyediakan makanan,pakaian,tempat tinggal yang layak
6. Mendidik dan membina anak anaknya agar menjadi soleh dan beriman
7. Memberinya pendidikan
8. Memberikan kasih sayang dan bersikap adil terhadap anak
9. Menguruskan perkahwinan mereka apabila telah sampai masa untuk menikah
Kerana pentingnya berakhlak kepada orang tua, Satiri mengatakan “berbuat baiklah kamu
terhadap Ibu Bapa mu, nescaya anak-anak mu akan berbuat baik terhadap mu, nescaya isteri
mu akan memberikan kasih dan sayang kepada mu.” Jika kedua orang tua telah meninggal,
seorang anak tetap memiliki tanggung jawab kepada kedua orang tuanya tersebut, iaitu dengan
cara:
a. Jika orang tua meninggalkan hutang piutang segerakan untuk dibayar
b. Jika meninggalkan wasiat segera penuhi wasiatnya sepanjang tidak bertentangan dengan
Al-qur’an dan as sunah
c. Sambung kembali hubungan silaturahim dengan sahabat keluarga dan kerabat dekatnya.
d. Senantiasa mendoakannya agar terlepas dari seksaan kubur dan seksa neraka
PERANAN SUAMI dan BAPA
Islam telah menetapkan bahawa seorang lelaki merupakan insan terpenting dalam sesebuah
keluarga. Lelaki, suami dan bapa memikul tugas yang sangat berat sebagai khalifah di bumi
Allah. Hal ini kerana mereka merupakan ketua keluarga di dalam sesebuah institusi
kekeluargaan. Sebagai seorang suami atau ketua, mereka berhak untuk menentukan perjalanan
institusi keluarga di bawah pimpinannya. Namun begitu, sebagai seorang isteri yang taat dan
solehah, mereka tidak boleh mengamalkan sifat lepas tangan kerana setiap individu memiliki
tugas dan tanggungjawab masing-masing dalam menentukan kelancaran dan kejayaan rumah
tangga tersebut. Sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:
“Setiap kamu adalah penjaga dan setiap kamu bertanggungjawab atas rakyat yang berada di
bawah jagaannya. Para lelaki (suami), adalah penjaga kepada ahli keluarganya dan
bertanggungjawab atas rakyat bawahannya. Perempuan (isteri) adalah penjaga di dalam rumah
suaminya dan bertanggungjawab atas rakyatnya. Maka setiap kamu adalah penjaga dan setiap
kamu bertanggungjawab terhadap rakyat masing-masing. ” (H. R. Bukhari dan Muslim)
Antara tanggungjawab terbesar seorang suami dan bapa ialah beliau perlu menyelamatkan diri
dan ahli keluarganya daripada kemurkaan Allah S.W.T. Suami dan bapa haruslah memastikan
perjalanan rumah tangga yang diketuainya berada di landasan Islam yang betul dan tidak
menyimpang daripada ajaran Islam yang sebenar. Beliau juga harus memastikan bahawa rakyat
bawahannya sentiasa taat dan patuh kepada perintah Allah dan syariat Islam.
Allah s.w.t. telah berfirman yang bermaksud: “Wahai orang- orang yang beriman! Peliharalah
dirimu dan keluargamu daripada api neraka yang bahan bakarnya terdiri daripada manusia dan
batu. (Surah al-Tahrim : 6)
Selain daripada tugas terbesar di atas, suami dan bapa juga mempunyai tanggungjawab yang
lain dalam memastikan perjalanan rumah tangga di bawah pimpinannya berjalan dengan lancar
dan dalam keadaan baik. Suami dan bapa perlu memahami bahawa keluarga merupakan
amanah yang diberi oleh Allah yang wajib dipimpin dengan sebaik-baiknya. Selain itu, suami
dan bapa perlu mencurahkan kasih sayang kepada setiap ahli keluarga tanpa mempunyai sikap
pilih kasih sama ada terhadap anak-anak mahupun isteri-isteri (jika beristeri lebih daripada
satu). Di samping itu, suami dan bapa perlu menunjukkan perasaan belas kasihan dan dan
kesediaan untuk berkorban demi kebahagiaan keluarga serta memberikan pendidikan Islam
yang sempurna kepada isteri dan anak-anak. Seorang suami dan bapa juga perlu melindungi
setiap ahli keluarganya daripada sebarang kecelakaan. Seorang suami dan bapa perlu
menyediakan keperluan asasi kepada keluarganya iaitu tempat tinggal, pakaian dan makanan
yang mengikut kemampuannya. Suami yang bertanggungjawab perlu berlaku adil dan bergaul
baik dengan ahli-ahli keluarganya. Suami dan bapa juga perlu menyelesaikan segala
permasalahan yang berkaitan dengan rumah tangga, jiran tetangga dan rakan-rakan dengan
baik dan bijaksana. Suami dan bapa yang baik akan menghormati hak-hak isteri-isteri dan anak-
anak. Dan juga menyelesaikan mahar kepada isterinya jika masih lagi belum menyelesaikannya.
PERANAN ISTERI dan IBU
Selain suami dan bapa, isteri dan ibu juga mempunyai tanggungjawab yang tersendiri. Antara
tanggungjawab terbesar bagi seorang isteri dan ibu ialah memastikan perjalanan rumah tangga
yang dibina bersama suami berjalan dengan lancar dalam keadaan yang sempurna dan diredhai
oleh Allah s.w.t.
Mendapat isteri yang solehah merupakan kenikmatan dan kemewahan hidup yang paling
bernilai di dalam rumah tangga. Sebaliknya, jika mendapat isteri yang tidak solehah merupakan
bebanan sepanjang hidup dan akan mempengaruhi susur galur keluarga sehingga ke anak cucu.
Sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: “Dunia ini adalah kenikmatan hidup,
sebaik-baik kenikmatan hidup ialah isteri yang solehah. ” (H. R. Muslim)
Sabda Rasulullah s.a.w yang telah diriwayatkan oleh Ibnu Hibban yang bermaksud:“Empat
perkara yang membawa kebahagiaan ialah isteri yang baik, rumah yang luas, jiran yang baik dan
kenderaan yang selesa. . . ”
Sabda Rasulullah s.a.w yang telah diriwayatkan oleh al-Dailani pula bermaksud: “Empat perkara
yang membahagiakan seseorang iaitu isteri yang solehah, anak-anak yang terdidik, sahabat
yang baik dan rezeki yang ada di negeri sendiri. ”
Antara tanggungjawab sebagai seorang isteri dan ibu yang solehah ialah wajib bersikap “al-
Mawaddah” dan “al-Rahmah” sebagaimana yang diwajibkan ke atas seorang suami dan bapa.
Seorang isteri dan ibu juga harus patuh dan taat kepada perintah suami selagi mana perintah
tersebut tidak bertentangan dengan perintah Allah dan RasulNya, serta syariat Islam. Isteri yang
solehah perlu pandai menjaga kehormatan diri, suami dan keluarganya serta menjaga harta
benda dan rahsia rumah tangga dengan kemas. Selain daripada itu, seorang isteri hendaklah
sentiasa berhias untuk suami agar sentiasa kelihatan kemas dan menarik serta menjaga
kebersihan, kesihatan, dan kebajikan anak-anak supaya sentiasa teratur dan sempurna. Di
samping itu, seorang isteri dan ibu yang solehah tidak boleh meninggalkan rumah tanpa izin
daripada suaminya, melainkan di dalam keadaan yang darurat. Demikianlah merupakan
sebahagian tanggungjawab isteri-isteri dan ibu-ibu yang solehah dalam rumah tangga dalam
memastikan keluarga mereka merupakan institusi kekeluargaan yang bahagia dan di redhai
oleh Allah s.w.t.
PERANAN ANAK-ANAK YANG SOLEH DAN SOLEHAH TERHADAP IBU BAPA
Dalam mewujudkan sebuah institusi kekeluargaan yang bahagia, aman dan makmur, Islam telah
menggariskan beberapa panduan untuk diikuti oleh anak-anak. Antara tanggungjawab anak-
anak terhadap ibu bapa mereka ialah taat atas segala arahan mereka selagi mana ia tidak
bercanggah dengan perintah Allah s.w.t dan RasulNya serta syariat Islam. Selain itu, sebagai
anak-anak yang soleh dan solehah, adalah menjadi tanggungjawab untuk menjaga dan
memelihara harta dan maruah serta diri kedua ibu bapa apabila mereka telah tua. Menjaga
makan dan minum mereka dan juga menyediakan tempat tinggal yang selesa untuk mereka.
Anak-anak yang soleh dan solehah juga wajib mendoakan kedua ibu bapa mereka tidak kira
semasa kedua ibu bapa masih hidup ataupun telah meninggal dunia. Demikianlah yang telah
diperintahkan oleh Allah s.w.t di dalam al-Quran yang bermaksud :
“Dan Tuhanmu telah perintahkan supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya
semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa jika salah seorang
daripadanya atau kedua-dua sekali sampai ke umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka
janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan “ah”
dan janganlah engkau menengking, menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka
perkataan yang mulia (yang bersopan satun). Dan hendaklah engkau merendahkan diri
kepadanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka dengan
berkata) : Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah
mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa aku masih kecil. ” (Surah al-
Isra' : 23-24)
Demikianlah gambaran serba ringkas mengenai institusi kekeluargaan yang telah digariskan
oleh Syariat Islam. Ia merupakan manifestasi keagungan dan kekuasaan Allah yang telah
menciptakan al-Din untuk hamba-hambanya. Ini dapat diketahui melalui firmanNya di dalam al-
Quran yang bermaksud : “Di antara tanda-tanda kebesaran dan kekuasaan Allah S.W.T, Dia
menciptakan untuk kamu pasangan hidup dari jenis kamu, supaya kamu bersenang-senang
dengannya. Dan mengurniakan kamu perasaan kasih sayang dan mengasihani antara kamu,
yang demikian menjadi bukti bagi kaum yang mahu berfikir. ” (Surah al-Rum : 21)
Dalam islam keluarga merupakan satu institusi yang indah dan sempurna. Keluarga merupakan
asas terbentuknya sesebuah masyarakat. Keluarga yang baik membentuk masyarakat yang
cemerlang bertepatan untuk membina negara yang mempunyai minda kelas pertama.
Sekiranya konsep keluarga Islam menjadi tunjang dalam setiap kelurga sudah pasti
kesempurnaan mampu diperoleh di negara kita.
Refleksi
Dalam dunia yang semakin moden terutamanya di Malaysia penekanan terhadap pembentukan
keluarga ini semakin lemah. Anak – anak terbiar tanpa pengawasan sehingga berlakunya gejala
sosial yang tidak sihat, keluarga berpecah – belah dan juga membawa kepada isu masyarakat.
Perkara ini dilihat berpunca daripada penekanan terhadap hak, tanggungjawab dan akhlak
yang lemah. Pemahaman terhadap hak setiap orang dalam sesebuah keluarga perlu diberi
penekanan agar setiap orang dalam keluarga tahu apa hak bagi seorang isteri, suami dan anak –
anak. Tanggungjawab membawa kepada kefahaman terhadap fungsi setiap orang dalam
sesebuah keluarga. Manakala akhlak ialah keperibadian yang ada pada seseorang.
Ketiga – tiga perkara ini sememangnya penting kerana pemahaman terhadap perkara tersebut
akan mempengaruhi sesebuah keluarga. Oleh demikian, Islam amat menitik beratkan perkara
tersebut agar sebuah keluarga yang baik akan terbentuk selaras dengan wujudnya masyarakat
yang baik.
Perkara ini juga perlu ditekankan dalam kursus perkahwinan kerana perkahwinan bukan hanya
terletak kepada kepentingan perhubungan suami isteri dan juga mengelak daripada berlakunya
penceraian tetapi hak dan tanggung jawab dalam sesebuah rumah tangga itu perlu
diperjelaskan agar setiap bakal suami isteri tahu apa peranan masing-masing dan juga
bagaimana membentuk ahli keluarga yang bakal terbentuk ke arah yang lebih baik dan
menepati syariat Islam. Seterusnya mampu mewujudkan ahli masyarakat yang mempunyai
minda kelas pertama. Kepentingan institusi kekeluargaan tidak boleh dipertikaikan atas sebab
bentuk sesebuah negara itu berdasarkan keluarga. Keluarga yang baik memberi impak
terhasilnya masyarakat yang baik atau sebaliknya.
Konklusinya, jika keluarga mampu dimantapkan dengan asas yang penting maka kita akan
mampu membina negara yang seimbang ke arah pemodenan yang seimbang secara
menyeluruh.
Bibliografi
http://www.islam.gov.my/en/rujukan-modul-pra-perkahwinan
Paizah Ismail(2003)Kekeluargaan Islam Menurut Al Quran dan Al Sunah, Penerbit Universiti Malaya
Mustafa hj. Daud. Tamadun Islam Edisi Maktab Perguruan.Utusan Publication Sdn. Bhd. Kuala Lumpur 2000. hal. 19
Hj Ahmad Fauzi Hj. Morad. Ahmad Tarmizi Talib. Tamadun Islam. UPM. Serdang 1997. hal. 5
Azhar Hj. Morad. Azharudin Mohd Dali dll. Titas 1. Fajar Bakti Sdn. Bhd. 2000. hal. 6.
Dr Yusuf al-Qardawi. Tamadun Islam Alternatif Masa Depan.Maktabah al-Qardhawi. Selangor. 1999. hal. 34.
top related