aisyahbuhari-task 3 komunikasi efektif

13
KURSUS LMCK1331 KOMUNIKASI EFEKTIF TAJUK REFLEKSI PROGRAM PEMBANGUNAN JATI DIRI BERSAMA PENGHUNI SEKOLAH TUNAS BAKTI SUNGAI LEREH, MELAKA PENSYARAH DR. AZLIN NORHAINI BINTI MANSOR DISEDIAKAN OLEH SITI AISYAH BINTI BUHARI NO MATRIK A 151285

Upload: aisyahbuhari-buhari

Post on 19-Jul-2015

65 views

Category:

Documents


8 download

TRANSCRIPT

KURSUS

LMCK1331 KOMUNIKASI EFEKTIF

TAJUK

REFLEKSI PROGRAM PEMBANGUNAN JATI DIRI

BERSAMA PENGHUNI SEKOLAH TUNAS BAKTI

SUNGAI LEREH, MELAKA

PENSYARAH

DR. AZLIN NORHAINI BINTI MANSOR

DISEDIAKAN OLEH

SITI AISYAH BINTI BUHARI

NO MATRIK

A 151285

Tujuan Laporan :

Tujuan saya menyediakan laporan ini adalah sebagai memenuhi tuntutan kursus LMCK1331

Komunikasi Efektif yang diselia oleh Dr. Azlin Norhaini Binti Mansor.

Refleksi Program Pembangunan Jati Diri “Luangkan Masa Selami Jiwa” Bersama

Penghuni Sekolah Tunas Bakti, Sungai Lereh Melaka

Bercakap mengenai pengalaman, sejujurnya terlalu banyak pengalaman yang dikutip oleh

saya sebelum, semasa dan selepas melaksanakan Program Pembangunan Jati Diri “Luangkan

Masa Selami Jiwa” bersama penghuni Sekolah Tunas Bakti, Sungai Lereh Melaka. Baik

pengalaman bersama warga Pendidik mahupun bersama para penghuni sekolah ini, semuanya

pengalaman yang indah-indah belaka dan tidak mungkin dapat saya buang daripada kotak

ingatan.

Sebelum Program :

Pada program kali ini, saya ditugaskan di bahagian Tugas-tugas Khas (TTK). Walaupun

segelintir pihak memandang ringan akan tugas di bahagian ini, namun bagi saya ianya bukan

suatu bidang tugas yang mudah dan boleh dipandang ringan kerana saya perlu bergerak secara

berseorangan. Antara tugas yang perlu saya lakukan di bahagian ini ialah saya perlu memastikan

setiap bahagian ahli jawatan kuasa mendapat peralatan yang mencukupi mengikut keperluan agar

aktiviti yang dirancang berjalan dengan lancar seperti dalam tentatif program. Sebagai contoh,

saya perlu berjumpa dengan setiap ketua bahagian ahli jawatan kuasa untuk bertanya mengenai

peralatan yang diperlukan oleh mereka pada hari program. Namun, apa yang manisnya di

bahagian ini ialah saya berpeluang keluar membeli-belah barang keperluan di gudang barangan

yang berdekatan bersama senior yang terlibat di bahagian cenderamata iaitu saudari Nurul

Hazirah Binti Ramli. Satu perkara baru yang saya belajar disini ialah cara untuk membeli-belah

mengikut bajet kecil yang diberi. Sejujurnya agak susah bagi saya seorang yang agak boros

ketika berbelanja dan tidak berpengalaman dalam menyediakan barang untuk keperluan

program.

Semasa Program:

Pengalaman saya yang seterusnya ialah semasa berada di Sekolah Tunas Bakti Sungai

Lereh, Melaka. Sebenarnya, sayu hati saya untuk menceritakan kembali pengalaman yang saya

rasai bersama adik-adik penghuni sekolah ini. Walaupun program tersebut telah beberapa

minggu berlalu namun, perasaan kasih dan rindu kepada para penghuni di sana masih tetap

mencengkam jiwa. Di sini saya mengenal erti kasih sayang yang sebenar. Sambutan mesra

mereka terhadap kedatangan saya dan rakan-rakan warga Pendidik dapat menggambarkan

dengan jelas perasaan rindu yang ditanggung kepada keluarga masing-masing. Kami disapa

dengan penuh mesra, tangan kami digenggam erat dan langkah kami dituruti ke mana sahaja

seperti tidak sanggup untuk melepaskan kami walau sesaat. Apa yang dapat saya lihat pada

situasi ini ialah perasaan seorang anak yang merindui ciuman hangat ibunya, perasaan seorang

anak yang begitu merindui dakapan erat bapanya, perasaan seorang anak yang begitu merindui

adik-beradiknya dan perasaan seorang anak yang begitu menyesal di atas segala perilakunya

yang lalu. Semangat adik-adik penghuni di sekolah ini lebih kuat berbanding semangat saya dan

rakan-rakan Pendidik. Jika kami dengan mudahnya mengalirkan air mata ketika mendengar

luahan isi hati mereka, mereka masih lagi mampu tersenyum manis bagi menutup rasa gundah di

hati masing-masing. Pada pandangan saya, mereka mempunyai kesabaran yang cukup

menakjubkan. Walaupun ada sesetengah masyarakat yang memandang serong kepada mereka,

mereka masih mempunyai iltizam untuk berjaya seperti remaja lain pada masa hadapan.

Program pertama dimulakan dengan taklimat daripada wakil Sekolah Tunas Bakti Sungai

Lereh, Melaka. Kami diterangkan secara ringkas mengenai peraturan-peraturan yang perlu kami

patuhi sepanjang berada di sini. Alhamdulillah, kami dikhabarkan bahawa akan ada seorang

petugas daripada sekolah ini yang akan mengambil gambar kami beraktiviti bersama adik-adik

penghuni sekolah ini sepanjang program ini dijalankan. Seterusnya program ini dirasmikan oleh

Dr Mohd Aderi bin Che Noh selaku Ketua Hal Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat Fakulti

Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia sambil diiringi oleh Datin Fauziah Hj. Mohd

Ramly iaitu Yang Dipertua Persatuan Siswazah Wanita Malaysia dan Siti Nur’Aqilah binti Saidi

selaku pengarah program ini. Sebagai maklumat tambahan, kami tidak dibenarkan untuk

mengambil sebarang gambar sepanjang program dijalankan. Jika didapati ada diantara kami yang

masih tetap berdegil mengambil gambar secara sembunyi, pasti individu tersebut akan didakwa

di mahkamah. Hal ini demikian kerana adik-adik penghuni disini dilindungi di bawah Seksyen

61(1) Akta Kanak-Kanak 2001.

Program pertama diteruskan dengan menyanyikan lagu tema beserta membuat gaya lagu

Hambamu. Paling tidak disangka ialah bahagian ini mendapat sambutan daripada adik-adik

penghuni sekolah ini. Mereka bersemangat menyanyikan dan menggayakan lagu tersebut.

Aktiviti untuk program ini dibahagikan kepada tiga slot. Aktiviti pertama untuk program ini

bermula sekitar pukul 10.00 pagi iaitu aktiviti pembahagian kumpulan yang dikenali sebagai slot

1 iaitu aktiviti Latihan Dalam Kumpulan 1 iaitu ‘Di Sini, Takkan Terhenti’. Setiap peserta yang

terlibat dibahagikan kepada 10 kumpulan. Setiap kumpulan mempunyai 14 orang ahli yang

terdiri daripada 10 orang adik-adik penghuni sekolah ini dan disertai dengan sekurang-kurangnya

4 orang warga Pendidik yang bertindak sebagai fasilitator. Kumpulan-kumpulan yang dibentuk

diminta untuk memilih nama ahli kumpulan masing-masing berdasarkan nama tokoh wanita.

Pengalaman yang dapat saya kutip semasa aktiviti ini berlangsung ialah semangat berkumpulan

yang erat di antara satu sama lain. Bermacam-macam nama tokoh wanita yang disebut oleh adik-

adik penghuni disini. Antaranya ialah Dato Siti Nurhaliza, Queen Elizabeth, Datin Seri Saloma,

Sumaiyyah, Fatimah Az-Zahra, Dato Nicole Anne David dan beberapa lagi nama tokoh wanita

yang terkenal. Disini saya dapat belajar satu perkara iaitu walaupun mereka dikawal ketat di

sekolah ini, namun pengetahuan am mereka berkenaan tokoh-tokoh wanita setanding dengan kita

yang hidup bebas di luar. Mereka mempunyai alasan tersendiri memilih tokoh-tokoh tersebut.

Antara alasannya ialah ingin mengikut jejak langkah tokoh-tokoh tersebut mengharumkan nama

keluarga dan negara. Begitu besar impian mereka semua.

Aktiviti untuk slot ke 2 bagi program Latihan Dalam Kumpulan 2 ialah ‘Corporate

Games’. Corporate Game dibahagikan kepada 2 aktiviti kecil iaitu Bulatan Ukhwah dan Musang

Berjanggut. Bulatan Ukhwah merupakan aktiviti yang memerlukan setiap daripada ahli

kumpulan tidak termasuk fasilitator untuk berdiri di atas kertas mahjong yang telah dilipat.

Kertas mahjong tersebut akan dikoyak satu-persatu mengikut lipatan pada setiap 30 saat.

Semangat berkumpulan yang kuat dalam kalangan mereka menjadikan mereka tidak putus asa

dan berusaha sedaya upaya untuk tetap sama-sama bertahan di atas kertas mahjong sehingga ke

akhir akhir aktiviti. Pelbagai strategi menarik yang mereka gunakan. Adakalanya disebalik

kepanasan dan kepenatan yang ditanggung, masih ada senyuman yang terukir dibibir adik-adik

sekolah ini. Sementara itu, aktiviti Musang Berjanggut pula dijalankan 30 minit selepas aktiviti

pertama slot ke 2. Ilham untuk menganjurkan permainan ini diperoleh oleh Ketua Program (KP)

menerusi filem melayu klasik Musang Berjanggut hasil karya Tan Sri P. Ramlee. Adik-adik

penghuni sekolah ini diminta untuk mengasingkan enam jenis bahan tambahan dalam masakan

dengan dibantu oleh barisan fasilitator kumpulan. Antara bahan tersebut ialah biji sawi, lada

hitam dan jintan manis. Disini saya dan rakan-rakan pendidik yang lain selaku fasilitator

kumpulan perlu memainkan peranan yang besar. Kami perlu sentiasa memberi sokongan moral

kepada adik-adik penghuni disini supaya mereka terus bermotivasi untuk mengasingkan herba-

herba tersebut di samping dapat menyampaikan mesej sebenar di sebalik permainan tersebut.

Program diteruskan dengan aktiviti untuk slot ke 3 iaitu Dam Ilmu. Dam ilmu dimainkan

seperti dam ular. Tetapi terdapat perbezaan di antara kedua-duanya iaitu dam ilmu memerlukan

setiap pemain untuk menjawab soalan yang dibahagikan kepada 6 bahagian jika ingin melangkah

ke hadapan. Sesungguhnya, melalui aktiviti yang dijalankan pada kali ini terdapat begitu banyak

ilmu pengetahuan dan pengalaman yang berjaya saya dan adik-adik penghuni sekolah ini

perolehi dan ianya amat berguna untuk kami pada masa hadapan kelak. Contohnya, kami

menyedari bahawa ilmu itu penting untuk bergerak maju ke hadapan. Di samping itu, penciptaan

permainan Dam Ilmu yang diilhamkan daripada dam ular ini dapat saya aplikasikan ilmu

tersebut jika berjaya bergelar seorang guru kelak. Ilmunya ialah tugas utama sebagai seorang

pengajar atau guru adalah untuk memudahkan pembelajaran para pelajar. Untuk memenuhi tugas

ini, pengajar atau guru bukan sahaja harus dapat menyediakan suasana pembelajaran yang

menarik dan harmonis, tetapi guru juga perlu kreatif dan berinovasi dalam menciptakan

pengajaran yang berkesan dengan menginovasikan teknik pengajaran. Ini bermakna guru perlu

mewujudkan suasana pembelajaran yang dapat meransangkan minat pelajar di samping sentiasa

memikirkan kebajikan dan keperluan pelajari.

Pengalaman lain yang dapat saya kutip di sini ialah saya diberi peluang oleh Allah untuk

bertemu dengan sepasang kembar yang masing-masing berumur 15 tahun. Pada mulanya saya

agak terkejut apabila mengetahui kedua-duaya adalah pasangan kembar. Tidak terduga oleh

pemikiran saya bahawa akan ada dua orang adik-beradik sekali gus yang masuk ke sekolah ini.

Sudah setahun mereka menetap disini. Hal ini bermakna masih ada baki 3 tahun lagi untuk

mereka keluar dari sekolah ini sebagai insan yang baru. Banyak perkara yang dikongsi oleh

pasangan kembar yang berasal dari Teluk Intan, Perak ini kepada saya. Salah satu daripadanya

ialah kerinduan mereka kepada kakak di kampung. Ayat mereka yang saya ingat ialah “Kak

Aisyah ni macam kakak kitaorang di kampung”. Ayat ini dituturkan oleh mereka berdua dalam

keadaan yang sebak. Ketika itu, saya rasa bersyukur kerana masih berkesempatan untuk

menghubungi adik-adik saya di kampung tanpa sebarangan halangan seperti mereka yang terikat

dengan peraturan sekolah.

Detik-detik perpisahan terakhir ketika sesi perasmian penutupan program oleh Dr Mohd

Aderi bin Che Noh selaku Ketua Hal Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat Fakulti

Pendidikan, UKM merangkap Penyelia Luar Program ini sangat menyentuh hati. Adik-adik

penghuni sekolah ini seperti sukar untuk melepaskan saya dan rakan-rakan pulang ke Universiti

Kebangsaan Malaysia.

Selepas Program:

Pada tanggal 27 November 2014 saya dan rakan-rakan Pendidik mengadakan sesi

postmortem program. Pada hari tersebut setiap ketua bahagian diminta untuk membentangkan

laporan aktiviti setiap bahagian aktiviti masing-masing. Disini kami bersama-sama cuba mencari

kekuatan dan kelemahan program agar dapat dijadikan panduan dan iktibar pada program akan

datang. Akhir sekali, saya berasa amat seronok dan bagi saya pengalaman mengurus dan

menyertai Program Pembangunan Jati Diri “Luangkan Masa Selami Jiwa” Bersama Penghuni

Sekolah Tunas Bakti, Sungai Lereh, Melaka merupakan satu pengalaman yang amat sukar untuk

saya perolehi.

Kekuatan & Kelemahan Aktiviti Tersebut :

Kekuatan Aktiviti Tersebut :

Pada pandangan saya, Program Pembangunan Jati Diri “Luangkan Masa Selami Jiwa” Bersama

Penghuni Sekolah Tunas Bakti, Sungai Lereh Melaka telah memenuhi kesemua objektif program

ini iaitu :

1. Program ini dirangka untuk membina membentuk akhlak dan jati diri yang positif serta

menanam sifat kasih sayang dan sifat tolong-menolong didalam diri setiap insan yang

berguna pada masa akan datang.

Hal ini dapat dilihat dengan jelas hubungan mesra antara warga Pendidik dengan para

penghuni sekolah ini. Sifat kasih-sayang dan tolong menolong pula wujud semasa

melakukan aktiviti-aktiviti program.

2. Memberi semangat kepada remaja dan wanita dalam menjalani kehidupan dengan lebih

bermakna serta membuktikan kepada mereka bahawa masyarakat masih lagi boleh

menerima mereka.

Ada beberapa orang daripada penghuni sekolah ini yang mempunyai keyakinan diri

yang rendah untuk berhadapan dengan masyarakat. Situasi ini wujud disebabkan

kurangnya nilai motivasi dalam diri mereka. Alhamdulillah, setelah diberi kata-kata

semangat dan cuba untuk membawa mereka berfikir secara lebih rasional mengenai

keterbukaan masyarakat pada hari ini, mereka sudah mula berkeyakinan dan

bersemangat untuk berubah serta berhadapan dengan masyarakat.

3. Menginsafi diri dan menjadi pedoman serta iktibar hidup agar tidak tersilap langkah di

dalam meniti ranjau kehidupan.

Program ini sedikit-sebanyak telah mengajar saya dan rakan-rakan Pendidik untuk

sentiasa berwaspada dalam kehidupan. Pelbagai kemungkinan boleh berlaku jika kita

tidak berwaspada. Pepatah Melayu ada menyatakan, “terlajak perahu boleh berundur,

terlajak perbuatan buruk padahnya.

4. Meningkatkan kerjasama dan sikap tolong menolong di antara satu sama lain dalam proses

pelaksanaan program kemasyarakatan dalam kalangan pelajar seterusnya memperkukuhkan

jalinan ikatan silaturrahim.

Sejujurnya, saya dapat merasai kerjasama yang erat di antara warga Pendidik

sehingga ke hari ini. Kerjasama tersebut wujud hasil perjumpaan kami yang kerap

sebelum, semasa dan selepas program.

Kelemahan Aktiviti Tersebut :

Pada pandangan saya, walaupun Program Pembangunan Jati Diri “Luangkan Masa Selami Jiwa”

Bersama Penghuni Sekolah Tunas Bakti, Sungai Lereh, Melaka berjaya memenuhi kesemua

objektif yang ditetapkan, namun masih terdapat beberapa kelemahan yang berjaya dikesan dalam

program ini. Kelemahan-kelemahan tersebut adalah seperti yang berikut :

1. Masa program yang terlalu singkat iaitu hanya sehari.

Saya mendapat komentar daripada adik-adik penghuni sekolah ini bahawa masa

program selama 12 jam iaitu daripada pukul 7.00 pagi hingga 7.00 malam adalah

terlalu singkat. Adik-adik ini berpendapat bahawa mereka tidak puas untuk bersama-

sama kami semua. Pada pandangan saya, jika masa program ditambah, tentunya lebih

banyak pengisian yang bermanfaat dapat diraih oleh kedua-dua pihak.

2. Bilangan fasilitator yang terlalu ramai

Seperti yang diketahui, bilangan peserta program dari Sekolah Tunas Bakti, Sungai

Lereh, Melaka ialah seramai 100. Manakala, bilangan fasilitator daripada kalangan

warga Pendidik ialah seramai 50 orang. Keadaan ini sedikit sebanyak menyebabkan

lambakan fasilitator ketika program dijalankan. Sebaiknya, bilangan fasilitator

dikurangkan dan bilangan peserta program dari sekolah ini ditambah supaya lebih

ramai adik-adik peserta dari sekolah ini dapat melibatkan diri dalam program ini.

3. Aktiviti yang Agak Bosan

Antara aktiviti yang dilihat bosan oleh saya ialah Dam Ilmu. Tidak dapat dinafikan

bahawa objektif aktiviti Dam Ilmu ini baik dan bermanfaat untuk semua tetapi

permainan ini hanya melibatkan adik-adik penghuni terpilih untuk bermain sahaja.

Bagi mereka yang tidak terpilih untuk bermain, hanya melihat dan memberi sokongan

dari jauh. Kebosanan akan wujud di sini kerana tidak timbul penglibatan dengan

aktiviti. Masa yang diambil untuk menyelesaikan permainan ini juga lama. Sebagai

akibat program ini dihentikan begitu sahaja tanpa ada pemenang. Seharusnya

permainan yang direka perlu melibatkan kesemua peserta program agar wujud

suasana kegembiraan dan keakraban.

Lain-lain Kelemahan

a) Hadiah Kurang Menarik

b) Tentatif Program yang Berubah-ubah telah menimbulkan kesulitan kepada setiap

ketua bahagian menjalankan tugas terutamanya di bahagian protokol.

c) Terlalu Banyak Masa Terbuang di Makan

d) Program kurang dipromosikan kepada mahasiswa-mahasiswi Fakulti Pendidikan,

UKM oleh bahagian yang bertanggungjawab.

Cara Pengalaman Tersebut Telah Meningkatkan Kemahiran Komunikasi Saya :

Setiap pengalaman memberikan impak yang berbeza-beza terhadap kemahiran komunikasi saya.

Pengalaman tersebut telah meningkatkan kemahiran komunikasi saya dengan beberapa cara.

Cara-caranya adalah seperti berikut :

1. Pengalaman berkomunikasi dengan pihak pengurusan Sekolah Tunas Bakti, Sungai

Lereh, Melaka. Pengalaman ini akan membiasakan saya untuk berkomunikasi dengan

pihak pengurusan sekolah di samping mengetahui beberapa ragam yang akan wujud jika

berlaku komunikasi yang tidak efektif.

2. Pengalaman berkomunikasi dengan Dr Mohd Aderi bin Che Noh selaku Ketua Hal

Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat Fakulti Pendidikan, UKM. Sedikit-

sebanyak saya dapat mempelajari beberapa cara yang betul untuk berkomunikasi dengan

para pensyarah. Hal ini demikian kerana kaedah berkomunikasi dengan setiap orang

adalah tidak sama.

3. Pengalaman berkomunikasi dengan Datin Fauziah Hj. Mohd Ramly selaku Yang

Dipertua Persatuan Siswazah Wanita Malaysia. Tidak pernah terlintas di fikiran saya

berpeluang untuk berkomunikasi dengan insan hebat dan selamba seperti beliau.

Alhamdulillah, pengalaman bersembang bersama beliau menjadikan saya lebih berani

untuk berkomunikasi dengan orang yang seangkatan dengannya.

4. Pengalaman berkomunikasi dengan adik-adik penghuni Sekolah Tunas Bakti,

Sungai Lereh, Melaka. Adik-adik penghuni di sekolah ini ibarat anak didik yang bakal

saya dan rakan-rakan Pendidik ajar jika berkesempatan bergelar seorang guru suatu hari

nanti. Di sini saya cuba untuk mempraktikkan komunikasi yang berkesan supaya adik-

adik tersebut faham akan setiap mesej yang ingin disampaikan di samping dapat

berinteraksi dengan adik-adik penghuni sekolah ini secara lebih dekat lagi. Saya dapat

belajar satu perkara, untuk memastikan komunikasi saya dengan adik-adik ini berkesan,

saya perlu berkomunikasi dengan mereka menggunakan teknik psikologi.

5. Pengalaman berkomunikasi dengan rakan-rakan Pendidik yang terlibat dengan

Program. Pengalaman ini meningkatkan komunikasi saya untuk berhubung dengan

rakan-rakan pendidik. Sebelum ini, saya tidak mempunyai keyakinan untuk

berkomunikasi dengan mereka, tetapi apabila terlibat dalam program ini serta selepas

susah senang bersama, saya sudah boleh tampil yakin untuk bercakap dan memberi

pandangan kepada mereka.

Rumusan & Kesimpulan :

Sebagai kesimpulan, saya berasa amat seronok dan bagi saya pengalaman mengurus dan

menyertai Program Pembangunan Jati Diri “Luangkan Masa Selami Jiwa” Bersama Penghuni

Sekolah Tunas Bakti, Sungai Lereh, Melaka merupakan satu pengalaman yang amat sukar untuk

saya perolehi. Insyaallah, segala kekuatan program ini akan diteruskan manakala, segala

kelemahan program akan diperbaiki agar menjadi lebih baik dan berkesan.

Luahan Rasa Hati Saya

Bismillahirahnirahhim....

Assalamualaikum & Salam Sayang untuk Kalian....

Adik-adikku sayang penghuni STB...,

Disini akak kenal erti kasih dan sayang,

Jelas terpancar diwajah kalian yang akak sayang,

Sampai akak terbayang-bayang.

Adik-adikku sayang penghuni STB...,

Gelak tawa kalian menjadi igauan,

Di atas bumi di bawah awan,

Sehingga hati menjadi rawan.

Adik-adikku sayang penghuni STB...,

Tangisan syahdu tak dapat akak hindari,

Mengenangkan nasib kalian dinihari,

Ingatlah kalian tidak sendiri.

Adik-adikku sayang penghuni STB...,

Kenangan hari ini takkan akak lupa,

Akan akak kenang sampai bila-bila,

Menjadi memori terindah di dalam jiwa.

Adik-adikku sayang penghuni STB...,

Jika masih ada yang memandang hina,

Ingatlah masih ada yang sudi membawa kalian ke arah cahaya,

Menjadi peneman di setiap ketika.

Adik-adikku sayang penghuni STB...,

Jika hari ini kalian rasakan sudah tiada harapan,

Yakinlah dengan janji Tuhan,

Justeru hidup kalian mesti diteruskan.

Salam sayang daripada akak...

P/S : Jangan pernah lupa untuk bersyukur dengan nikmat kehidupan yang Allah beri. Jangan jadi

orang yang menghina, tapi jadilah orang yang membina.

#SayaSayangAwakSemua #PenghuniSekolahTunasBaktiSungaiLerehMelakaRare

#SemogaBerjayaMenjadiInsan #IamKedahan #IamZabarian

Sekian, terima kasih =)