21171336 psk tujuan penggunaan sumber pengajaran dan pembelajaran sid

28
BAB 1 : PENGENALAN Sumber bahan pengajaran dan pembelajaran ialah apa-apa sahaja alat atau bahan yang berperanan dan bertugas untuk membantu guru-guru supaya dapat menyampaikan isi pelajaran supaya pelajar dapat memperolehi pengetahuan, kemahiran, sikap dan nilai berdasarkan objektif kurikulum. Alat-alat atau bahan-bahan ini dapat membantu guru dengan menyokong penyampaian pelajaran. Terdapat beberapa jenis sumber atau alat yang boleh membantu dalam pengajaran guru. Jenis-jenis alat tersebut ialah bahan bercetak,bahan teknologi maklumat dan bahan maujud. Semua sumber P&P yang digunakan ini mempunyai beberapa tujuan selain daripada menyampaikan isi pelajaran sahaja. Antara tujuan tersebut ialah untuk merangsang deria rangsangan murid-murid, kefahaman dan interpretasi maklumat kepada murid-murid, pengekalan minat dan tumpuan melalui pelbagai media, peningkatan daya ingatan, kemahiran berfikir, peningkatan motivasi, peningkatan kreativiti, keseronokan dalam pembelajaran, kemahiran interpersonal dan intrapersonal dan akhir sekali kemahiran psikomotor. Guru-guru perlu tahu menggunakan sumber ini mengikut kesesuian murid-murid dari segi tajuk,objektif, dan isi pelajaran. Selain itu aspek tahap kebolehan dan perkembangan kognitif pelajar juga harus diambil perhatian oleh guru. Sumber pengajaran yang digunakan juga harus menepati keperluan murid iaitu dari segi mutunya iaitu sesuai dengan mesej, tahan lasak serta tidak mudah rosak. Penghasilan sumber ini harus dapat menarik minat dan perhatian pelajar. Ini adalah bertujuan supaya dapat merangsang dan memotivasikan pelajar untuk memberi lebih perhatian kepada proses pengajaran tersebut sekaligus menjadikan proses pembelajaran menjadi lebih efektif serta berkesan. 1

Upload: suaisatu

Post on 24-Nov-2015

162 views

Category:

Documents


12 download

TRANSCRIPT

BAB 1 :PENGENALAN

Sumber bahan pengajaran dan pembelajaran ialah apa-apa sahaja alat atau bahan yang berperanan dan bertugas untuk membantu guru-guru supaya dapat menyampaikan isi pelajaran supaya pelajar dapat memperolehi pengetahuan, kemahiran, sikap dan nilai berdasarkan objektif kurikulum. Alat-alat atau bahan-bahan ini dapat membantu guru dengan menyokong penyampaian pelajaran. Terdapat beberapa jenis sumber atau alat yang boleh membantu dalam pengajaran guru. Jenis-jenis alat tersebut ialah bahan bercetak,bahan teknologi maklumat dan bahan maujud.

Semua sumber P&P yang digunakan ini mempunyai beberapa tujuan selain daripada menyampaikan isi pelajaran sahaja. Antara tujuan tersebut ialah untuk merangsang deria rangsangan murid-murid, kefahaman dan interpretasi maklumat kepada murid-murid, pengekalan minat dan tumpuan melalui pelbagai media, peningkatan daya ingatan, kemahiran berfikir, peningkatan motivasi, peningkatan kreativiti, keseronokan dalam pembelajaran, kemahiran interpersonal dan intrapersonal dan akhir sekali kemahiran psikomotor.

Guru-guru perlu tahu menggunakan sumber ini mengikut kesesuian murid-murid dari segi tajuk,objektif, dan isi pelajaran. Selain itu aspek tahap kebolehan dan perkembangan kognitif pelajar juga harus diambil perhatian oleh guru. Sumber pengajaran yang digunakan juga harus menepati keperluan murid iaitu dari segi mutunya iaitu sesuai dengan mesej, tahan lasak serta tidak mudah rosak. Penghasilan sumber ini harus dapat menarik minat dan perhatian pelajar. Ini adalah bertujuan supaya dapat merangsang dan memotivasikan pelajar untuk memberi lebih perhatian kepada proses pengajaran tersebut sekaligus menjadikan proses pembelajaran menjadi lebih efektif serta berkesan.

JENIS-JENIS SUMBER

1.1 JENIS-JENIS SUMBER

Terdapat beberapa jenis sumber atau alat bantu pengajaran dan pembelajaran yang boleh digunakan untuk membantu guru dalam proses pembelajaran. Dalam tugasan ini jenis-jenis sumber pengajaran dan pembelajaran yang terlibat ialah bahan bercetak, bahan teknologi maklumat dan bahan maujud. Semua jenis-jenis bahan ini mempunyai ciri-ciri yang berbeza tetapi akan mencapai hasil yang sama iaitu untuk memastikan murid-murid memahami isi-isi pelajaran serta mencapai objektif pembelajaran.Melalui sumber-sumber yang sedia ada mahupun yang direkacipta mengikut kreativiti sendiri, guru perlu peka dalam memilih sumber P&P yang hendak digunakan dalam proses pembelajaran. Terdapat banyak sumber-sumber yang boleh digunakan oleh guru-guru yang mengajar. Antara bahan-bahan yang boleh digunakan ialah buku teks, buku rujukan, buku latihan dan lampiran nota. Kebanyakan sumber ini biasa digunakan oleh guru-guru di sekolah. Untuk memberi kelainan atau penambahan yang lebih menarik kepada proses P&P, guru boleh menggunakan alat audio visual contohnya LCD, peta, komputer, gambar rajah dan televisyen. Menerusi penggunaan bahan-bahan ini, murid-murid akan lebih tertarik untuk melihat serta mendengar apa yang hendak disampaikan oleh guru dan secara tidak langsung murid dapat memberikan tumpuan dengan sepenuhnya kepada guru. Dengan cara ini juga, objektif yang hendak dicapai akan menjadi lebih mudah untuk dilaksanakan dan hasilnya akan lebih memuaskan serta memberi manfaat kepada kedua belah pihak iaitu murid-murid dan guru itu sendiri.

1.2 BAHAN BERCETAK

Bahan bercetak boleh didefinisikan sebagai bahan yangmempunyai tulisan dan wujud secara fizikal. Bahan ini boleh disentuh dan boleh dibaca secara terus. Ciri penting pada bahan bercetak ialah ianya mestilah dihasilkan melalui cetakan dan bukan hasil daripada tulisan tangan mana-mana individu. Bahan bercetak meliputi buku, majalah, jurnal, ensiklopedia, surat khabar, kad katalog, kamus, buku teks dan sebagainya yang dihasilkan secara bercetak. Bahan bercetak seperti ini banyak disimpan di pusat sumber atau di perpustakaan ataupun di arkib. Semuanya dihasilkan oleh penulis-penulis atau pereka-pereka yang mahir dan terkenal di bidang masing-masing. Sumber pengajaran dan pembelajaran ini telah digunakan secara meluas oleh guru-guru di sekolah sejak beberapa lama kerana kelebihan yang terdapat pada bahan ini. Bahan ini murah dan senang didapati di mana-mana. Selain itu ia adalah bahan yang kekal dan mudah dirujuk pada bila-bila masa. Kelebihannya yang lain ialah ia mudah alih dan mudah diakses yang menyebabkan ia menjadi sumber pengajaran dan pembelajaran yang terkenal dan selalu digunakan.Namun begitu terdapat beberapa kelemahan yang ada pada bahan bercetak ini. Kebiasaaannya bahan bercetak selalu didapati dalam bentuk buku yang tebal contohnya buku teks. Jadi ia sukar untuk dibawa kerana berat. Ia juga tidak boleh disunting dan akan menjadi masalah apabila berlakunya peredaran zaman di mana isi kandungan buku tersebut menjadi ketinggalan dan tidak terkini. Ini kerana buku-buku selalunya perlu disunting terlebih dahulu kemudian dicetak seterusnya diedar di mana ia mengambil masa yang agak lama untuk mengikut peredaran zaman.

1.3 BAHAN TEKNOLOGI MAKLUMAT

Bahan teknologi maklumat merupakan sumber pengajaran dan pembelajaran yang semestinya mendapat perhatian daripada murid-murid. Teknologi Maklumat (Information Technology) ataupun IT adalah teknologi dunia yang terkini dan dapat memberi banyak manfaat jika digunakan secara betul. Penggunaan sumber ini perlulah dikendalikan oleh guru yang berkemahiran kerana pengguanaan IT secara terancang dan bersesuaian dapat meningkatkan kecekapan proses dan keberkesanan P&P itu.Bagi guru yang menggunakan sumber P&P ini, mereka boleh menggunakan portal pendidikan, internet dan intranet, rangkaian LAN dan akhir sekali ialah multimedia. Komputer adalah alat atau bahan utama yang perlu digunakan oleh guru untuk menyampaikan isi pelajaran dalam proses P&P. Pada masa kini guru-guru sudah mempunyai kemudahan kerana terdapat perisian-perisian yang percuma disediakan oleh kerajaan di mana isi perisian tersebut bertepatan dengan sukatan pelajaran yang sedia ada. Banyak kelebihan bahan ini di mana jika ia digunakan secara betul jadi guru perlu selalu memantau pergerakan murid-murid semasa proses P&P sedang berlangsung. Kelebihan bahan ini ialah murid-murid cepat mudah faham kerana mereka akan tertarik dengan grafik yang ada pada bahan ini di mana secara tidak langsung telah menarik perhatian mereka. Selain itu murid-murid mudah untuk mengulangkaji apa yang telah dipelajari dan guru juga mudah untuk membuat suntingan sekiranya guru mendapati terdapat perubahan yang perlu dibuat. Secara keseluruhannya penggunaan bahan teknologi maklumat ini adalah banyak kelebihannya berbanding kelemahan yang ada dan dengan bimbingan daripada guru. Walaubagaimanapun tidak dinafikan kelemahan yang mungkin timbul tetapi ia akan dapat diatasi dengan mudah sekiranya pengisian yang menarik daripada guru dihasilkan.1.4BAHAN MAUJUD

Sumber pengajaran dan pembelajaran bahan maujud adalah merupakan bahan konkrit atau bahan sebenar yang boleh disentuh dan dipegang. Bahan maujud ini juga adalah nyata yang ada di lingkungan alam, baik digunakan dalam keadaan hidup ataupun yang sudah diawetkan. Contoh bahan maujud bukan sahaja tergolong dalam sumber P&P sahaja malah kota atau bangunan yang kekal serta alam persekitaran juga boleh dikatakan sebagai bahan maujud. Manakala dari segi sumber P&P pula bahan-bahan yang mungkin terlibat ialah alat komputer, OHP, alat tulis dan perkakas sains.Bahan maujud terbahagi pula kepada 3 jenis iaitu realia asli, realia awet dan spesimen. Realia asli terbahagi kepada dua iaitu bahan yang hidup dan bahan bukan hidup. Bahan yang pertama ialah bahan hidup yang sebenar dalam dunia realiti dan masih hidup contohnya cacing tanah. Manakala bahan bukan hidup pula ialah seperti jentera ataupun bangunan. Realia awet pula mestilah berasal daripada benda hidup yang kemudiannya diawet dan disimpan di dalam bendalir kimia. Jenis bahan maujud yang ketiga ialah spesimen. Spesimen ialah sample atau contoh hidupan yang dapat mewakili kumpulan hidup-hidupan tertentu yang mempunyai sifat-sifat atau ciri-ciri yang lazimnya terdapat pada kumpulan hidup tersebut. Kebiasaanya spesimen selalu didapati dalam bentuk bahan awetan. Contoh bahan hidup yang boleh dijadikan spesimen ialah daun-daun. Aplikasi penggunaan bahan maujud boleh menggunakan situasi, gambaran atau kenyataan sebenar. Murid akan didedahkan dengan pengalaman sebenar di mana melibatkan pengalaman sedia ada mereka dan juga merangsang penggunaan deria penglihatan, pendengaran, rasa, sentuhan dan bauan murid-murid.

BAB 2 :

TUJUAN PENGGUNAAN SUMBER PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN

2.1RANGSANGAN

Dalam tubuh manusia terdapat beberapa jenis deria yang bertindak untuk mengesan rangsangan daripada persekitaran. Antara deria rangsangan yang terlibat ialah deria penglihatan , pendengaran, sentuhan, bauan dan rasa. Kelima-lima deria rasa ini perlulah dipupuk penggunaannya kepada murid-murid melalui aktiviti atau proses pembelajaran dalam Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan. Sumber pengajaran dan pembelajaran yang digunakan bertujuan untuk melatih murid-murid supaya dapat menggunakan kelima-lima deria yang sedia ada ini. Dalam menggunakan sumber atau bahan bantu pengajaran, semua deria ini dapat dilatih contohnya bagi deria penglihatan dan pendengaran, sumber pengajaran dan pembelajaran yang boleh digunakan dari aspek Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan ialah dengan menggunakan tayangan video. Berdasarkan huraian sukatan pelajaran Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan tahun 4, tema Kenali Budaya Malaysia, guru boleh menunjukkan tayangan video tentang negeri-negeri di Malaysia untuk merangsang deria penglihatan dan pendengaran murid-murid. Murid-murid dengan secara tidak langsung akan tertarik dan berminat untuk melihat dan mendengar apa yang ditayangkan dalam video yang disediakan.

Dalam tema yang sama iaitu Kenali Budaya Malaysia, deria sentuhan dapat dilatih penggunaannya melalui cara guru menggunakan bahan maujud contohnya baju-baju tradisional. Manakala dari segi bauan dan rasa pula, guru boleh membawa makanan yang beraneka jenis mengikut asal kaum-kaum yang ada di Malaysia. Contoh bagi kaum Melayu, terdapat kuih-muih seperti cucur keria, cekodok dan lain-lain. Bagi kaum india terdapat kuih maruku dan bagi kaum cina pula guru boleh membawa kuih bulan. Semua makanan ini akan merangsang deria bau dan rangsangan deria rasa pula akan menyusul selepas guru bahagikan semua makanan tersebut antara mereka.

2.2KEFAHAMAN DAN INTERPRETASI MAKLUMAT

Tujuan kedua penggunaan sumber P&P pula ialah untuk meningkatkan kefahaman murid-murid dalam sesuatu pembelajaran. Tidak dinafikan walaupun tanpa penggunaan sumber P&P dalam sesuatu proses pembelajaran, murid-murid masih boleh memahami mesej yang ingin disampaikan oleh guru. Tetapi dengan pengguanaan sumber P&P yang sesuai, kefahaman murid-murid akan dapat ditingkatkan dengan lebih cepat berbanding tanpa menggunakan sebarang sumber P&P. Ini kerana, murid-murid atau kanak-kanak khususnya lebih cenderung dan mudah terangsang apabila melihat dan mendengar sesuatu yang berkaitan dengan alam persekitaran mereka.

Menurut teori kognitif yang disokong oleh Atkinson, McClelland dan Bruner, kejayaan dan kegagalan seseorang individu adalah bergantung kepada kefahaman terhadap sesuatu institusi dan keperibadiannya. Ini bermakna penggunaan sumber P&P juga adalah penting di mana kefahaman seseorang itu bergantung kepada sesuatu intstitusi tersebut. Dalam hal ini, sumber P&P akan bertindak sebagai institusi yang bertanggungjawab untuk mencapai kefahaman murid-murid.

Di samping kefahaman yang diterima oleh murid-murid, mereka boleh melakukan interpretasi maklumat di mana mereka akan bertukar-tukar maklumat yang diperolehi sesama mereka. Dengan kata lain setelah murid-murid memahami sesuatu pelajaran, mereka boleh mengadakan perbincangan untuk menjawab sebarang persoalan yang mungkin timbul dalam diri masing-masing. Jadi dengan cara ini juga dapat meningkatkan lagi kefahaman mereka di dalam sesuatu subjek itu. Di samping itu murid-murid akan dapat mengukuhkan lagi kefahaman di mana mungkin terdapat maklumat yang tidak sampai kepada mereka semasa proses pembelajaran berlangsung, mereka akan mendapat penambahan maklumat tersebut daripada rakan-rakan diskusi mereka.2.3PENGEKALAN MINAT DAN TUMPUAN MELALUI PELBAGAI MEDIA

Menurut Teori Kecerdasan Pelbagai oleh Howard Gardner, setiap individu mempunyai 8 jenis kecerdasan dan kesemua jenis kecerdasan itu boleh digunakan untuk murid-murid belajar menyesuaikan diri dengan pelbagai jenis sumber P&P yang ada. Tujuan seterusnya penggunaan sumber P&P ialah untuk mengekalkan minat murid-murid terhadap sesuatu subjek dan juga untuk menarik tumpuan mereka melalui pelbagai jenis sumber P&P.

Minat murid-murid terhadap sesuatu subjek itu terutamanya bagi subjek Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan boleh dipupuk sekiranya guru mengaplikasikan cara pengunaan sumber P&P dengan betul. Guru perlu tahu kunci untuk menarik minat semua murid-murid. Dengan cara mempelbagaikan penggunaan sumber P&P juga dapat membantu dalam hal ini. Tumpuan murid-murid dalam proses P&P juga adalah penting dan untuk mencapai objektif ini guru perlu memainkan peranan dengan mengadakan komunikasi dua hala bagi menjadikan murid lebih aktif dari segi penglibatan semasa dalam kelas.

Contohnya bagi tema Hidup Bersama Di Sekolah dan Masyarakat, dalam subjek Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan Tahun 5, guru boleh menyediakan sumber P&P yang menarik di kelas untuk tujuan pembelajaran. Selain itu untuk menambahkan lagi minat murid-murid guru juga boleh membawa murid-murid untuk menyertai aktiviti kejiranan atau khidmat masyarakat seperti rumah terbuka, gotong-royong, sukaneka, riadah di kawasan setempat. Dari situ akan timbul suasana yang berlainan dalam proses P&P di samping murid-murid akan didedahkan dengan cara hidup bermasyarakat yang positif. Setelah minat mereka disemai dalam semua aktiviti yang diadakan, guru bertanggungjawab untuk mengekalkan minat mereka itu dengan sentiasa memaklumkan mereka dengan perkembangan aktiviti khidmat mereka kepada masyarakat di mana akan timbul perasaan mereka dihargai atas usaha yang telah dilakukan.2.4PENINGKATAN DAYA INGATAN

Melalui pengetahuan sedia ada pada murid-murid, penggunaan sumber P&P dapat meningkatkan lagi daya ingatan mereka terhadap sesuatu perkara yang terdapat dalam subjek ini. Daya ingatan murid-murid boleh ditingkatkan dengan guru memberikan maklumat baru melalui penggunaan sumber P&P yang sesuai. Penambahan sebarang maklumat yang baru akan menyebabkan peningkatan daya ingatan mereka kepada sesuatu perkara. Perkara ini boleh dibuktikan melalui teori konstruktivisme yang disokong oleh Von Glassefel, Piaget dan Vygotsky di mana mereka menyatakan Ilmu pengetahuan terbina hasil penglibatan aktif individu yang menghubungkait maklumat baru dengan pengalaman sedia ada.

Oleh itu guru yang mengajar seharusnya peka kepada keperluan murid-murid dengan mengetahui tentang latar belakang atau maklumat yang perlu. Guru perlu menggunakan sumber P&P dengan sebaik mungkin di mana selari dengan pengetahuan dan minat murid-murid.

Dalam Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan, contoh penggunaan sumber P&P yang sesuai yang boleh diambil bagi tema Sayangi Keluarga ialah guru menggunakan surat khabar iaitu bahan bercetak dan menceritakan tentang organisasi kekeluargaan di mana sudah sedia ada dalam pengetahuan murid-murid. Kemudian guru mendedahkan isu kepincangan dalam sesebuah keluarga di mana ia merupakan maklumat baru kepada murid-murid. Kemudian perbincangan dilakukan dan di sini main peranan boleh diaplikasikan di mana murid-murid diminta untuk main peranan sebagai anggota keluarga yang bermasalah dan seterusnya mengatasi konflik tersebut. Murid-murid akan mengaitkan pengetahuan sedia ada mereka untuk menyelesaikan masalah itu dan secara tidak langsung peningkatan daya ingatan murid-murid tentang tanggungjawab mereka dalam hubungan kekeluargaan akan berlaku. 2.5KEMAHIRAN BERFIKIR

Kemahiran berfikir adalah sesuatu yang amat penting bagi murid-murid. Ini kerana kemahiran ini sangat diperlukan untuk murid-murid melakukan analisis, mencari maklumat, banding beza, pengkelasan, menjana idea, membuat inferens serta mengumpul maklumat dan banyak lagi perkara yang lain semasa penglibatan mereka dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Semasa proses P&P dijalankan, penggunaan sumber P&P dapat membantu murid-murid untuk menajamkan lagi kemahiran berfikir mereka. Ini kerana terdapat sumber P&P yang memerlukan murid-murid untuk membuat analisis dan seterusnya melakukan pengkelasan di mana semua ini memerlukan kemahiran berfikir yang baik.

Contoh penggunaan sumber P&P yang memerlukan kemahiran berfikir daripada murid-murid ialah dengan penggunaan bahan teknologi maklumat di mana bagi tema Malaysia Negaraku, guru menggunakan paparan tentang organisasi menteri-menteri dalam kabinet kerajaan Malaysia. Kemudian murid-murid akan diminta untuk mengenal pasti semua peranan dan tanggungjawab menteri-menteri yang dipaparkan. Kemahiran berfikir ini memerlukan murid-murid menjalankan proses pengkelasan di mana mereka perlu mengetahui tentang peranan setiap menteri-menteri dan menyusunnya semula mengikut pangkat yang tertinggi sehingga ke bawah sehingga membentuk sebuah carta organisasi.

Guru yang cemerlang tidak bergantung sepenuhnya kepada sumber P&P. Jadi untuk memberikan murid-murid kesan pembelajaran yang maksima, guru boleh membuat penilaian dengan mengadakan soal jawab untuk menguji sejauh mana kefahaman dan daya ingatan murid-murid tentang apa yang telah dipelajari. Secara tidak langsung guru dapat mengetahui sama ada objektif kelas pada hari itu telah tercapai ataupun tidak.2.6PENINGKATAN MOTIVASI

Di dalam setiap kelas yang diadakan murid-murid perlu untuk memusatkan perhatian mereka kepada apa yang diajar oleh guru. Tetapi untuk mengekalkan perhatian sepenuhnya adalah susah untuk dilakukan oleh murid-murid. Ini adalah disebabkan oleh keinginan murid-murid untuk menghadiri suatu proses pembelajaran itu yang semakin pudar. Jadi motivasi adalah perkara yang diperlukan untuk mengekalkan perhatian murid-murid terhadap pelajaran. Terdapat beberapa sebab yang mungkin menyebabkan murid-murid kurang keinginan untuk belajar. Mungkin kerana kaedah pembelajaran yang digunakan adalah sama dan murid-murid menjadi bosan atau mungkin juga kaedah pembelajaran yang digunakan adalah tidak kreatif dan tidak dapat menarik perhatian mereka.

Jadi langkah penyelesaiannya ialah dengan menggunakan sumber P&P yang sesuai dengan tahap IQ murid-murid dan disertakan dengan pengelolaan oleh guru secara kreatif supaya murid-murid mempunyai motivasi sama ada melalui cara ekstrinsik mahupun instrinsik. Pengelolaan yang baik oleh guru terbukti dapat memberikan motivasi kepada murid-murid. Melalui tema terakhir dalam Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan tahun 6 iaitu Sedia Hadapi Cabaran, guru boleh menaikkan motivasi melalui aktiviti P&P dengan cara memberi kata-kata semangat kepada mereka. Penggunaan sumber P&P yang boleh digunakan ialah bahan bercetak di mana murid-murid sendiri yang menghasilkan bahan tersebut. Contoh bahan bercetak yang boleh dihasilkan ialah buku panduan bertemakan Gaya Hidup Sihat. Dengan cara ini murid-murid bukan sahaja mendapat pengetahuan serta maklumat yang perlu tentang isu-isu gejala sosial di negara kita, malah mereka akan lebih sedar dan akan berusaha untuk menjauhi gejala tersebut. Mereka akan mendapat motivasi untuk terus meneladani contoh yang baik di mana ia akan sedikit sebanyak dapat mempengaruhi rakan-rakan mereka yang lain.2.7PENINGKATAN KREATIVITI

Meningkatkan daya kreativiti murid-murid adalah merupakan salah satu tujuan penggunaan sumber P&P di sekolah. Ini kerana kreativiti merupakan salah satu kemahiran halus yang boleh digilap untuk menjadikan murid-murid lebih berfikir ke arah mencipta perkara baru yang lebih bernas serta menarik. Proses pembelajaran yang memerlukan daya kreativiti daripada murid-murid perlulah diadakan bagi melatih daya kreativiti mereka yang sedia ada.

Terdapat pelbagai aktiviti yang boleh dianjurkan oleh guru di mana aktiviti tersebut boleh menguji sejauh mana daya kreativiti yang ada pada murid-murid. Selain itu guru juga boleh meningkatkan lagi daya kreativiti murid-murid dengan menggunakan sumber P&P yang sesuai. Contoh yang boleh diberikan ialah dalam tema Malaysia Negaraku di mana bahan yang boleh digunakan ialah bahan maujud. Konsep penggabungjalinan juga boleh diaplikasikan oleh guru di mana dengan masih menggunakan tema yang sama, guru boleh menggunakan bahan teknologi maklumat, contohnya tayangan video untuk memberi pendedahan kepada murid-murid tentang kelebihan dan keunikan tanah tumpah darah mereka sendiri.

Di sini dengan secara tidak langsung murid-murid akan menerima input yang baru dan idea-idea baru akan mula timbul dalam kotak fikiran mereka hasil daripada pendedahan yang diterima. Kemudian melalui penggunaan bahan maujud guru boleh menguji daya kreativi murid-murid dengan mengadakan aktiviti melukis poster. Daya kreativiti murid-murid boleh dikesan melalui idea-idea yang dicurahkan ke atas kertas lukisan mereka. Guru juga dari masa ke semasa perlu juga memantau aktiviti murid-murid bagi melihat perkembangan mereka dan memberi sedikit tunjuk ajar untuk perkara-perkara yang perlu.

2.8KESERONOKAN DALAM PEMBELAJARAN

Setiap murid-murid merupakan kanak-kanak yang tidak akan lengkap tanpa melakukan perkara yang boleh mendatangkan keseronokan kepada diri mereka. Ini adalah merupakan keperluan asas bagi setiap kanak-kanak yang normal. Jadi guru perlu mengambil berat tentang hal ini dan untuk proses pembelajaran yang berkesan guru perlu mendapat perhatian daripada murid-murid terlebih dahulu.

Keseronokan dalam pembelajaran boleh dicipta oleh guru untuk mengekalkan perhatian murid-murid supaya mereka mendapat isi pelajaran yang hendak disampaikan. Menurut sukatan pelajaran dalam Pendididikan Sivik dan Kewarganegaraaan, berdasarkan tema Kenali Budaya Malaysia, guru boleh mengubahsuai cara penyampaian pembelajaran dengan menggunakan bahan maujud. Permainan perlulah direkacipta bagi menimbulkan suasana yang seronok di dalam kelas kerana murid-murid mudah terangsang dengan aktiviti permainan. Contoh yang boleh diberi ialah permainan dart. Akan terdapat satu papan dart berbentuk bulatan di mana terdapat skor bagi pemain yang membaling panah dart tersebut. Setiap bulatan mempunyai skor yang tertentu dan jika murid-murid memanah mengenai mana-mana skor, murid tersebut perlu menjawab soalan yang terdapat di sebalik skor yang diperolehinya. Markah akan dikira berdasarkan skor yang diperolehi hanya jika jawapan yang diberi adalah betul.

Permainan ini adalah pengubahsuaian yang dilakukan untuk disesuaikan dengan proses pembelajaran di mana dapat menyampaikan isi pelajaran yang berkaitan tema yang dipilih. Soalan-soalan yang dipilih untuk diletakkan di sebalik skor perlulah menepati aras yang telah dipilih dan bersesuaian dengan tahap murid-murid. Permainan ini boleh dikatakan sebagai kuiz tetapi dalam cara yang berbeza yang lebih menarik perhatian murid-murid.2.9KEMAHIRAN INTERPERSONAL DAN INTRAPERSONAL

Kemahiran interpersonal menurut pencetus Teori Kecerdasan Pelbagai iaitu Howard Gardner ialah kebolehan memahami perasaan, motivasi, tabiat serta hasrat orang lain dan kebolehan bertindak secara berkesan kepada orang lain. Kemahiran ini memerlukan seseorang individu itu mampu berkomunikasi dengan baik di kalangan masyarakat yang berada di persekitaran. Dalam konteks ini murid-murid mampu berkomunikasi dengan baik sesama murid dan murid mampu juga berkomunikasi dengan baik kepada guru.Kemahiran intrapersonal pula didefinisikan oleh Howard Gardner sebagai kebolehan memahami diri sendiri dari segi kekuatan, kelemahan , hasrat dan kehendak. Kebolehan menangani perasaan, mengawal kemarahan dan kesedihan diri serta kebolehan membantu diri lebih berdisplin , beradab dan bersopan. Kemahiran ini lebih memberikan tumpuan dari segi dalaman diri individu tersebut. Dalam konteks pembelajaran, murid-murid mempunyai kebolehan untuk menangani sebarang masalah peribadi mereka serta dapat menumpukan perhatian sepenuhnya terhadap pembelajaran.Sumber P&P mempunyai pelbagai jenis di mana tidak dinafikan mampu menerapkan nilai-nilai murni serta dapat melatih kemahiran interpersonal dan intrapersonal murid-murid. Gerak kerja kumpulan adalah contoh aktiviti yang dapat mengasah kedua-dua kemahiran interpersonal dan kemahiran intrapersonal murid-murid. Contoh yang boleh diberikan ialah aktiviti melukis poster di mana ia melibatkan bahan maujud. Aktiviti seperti ini memerlukan kerjasama daripada murid-murid dan secara umumnya guru boleh melatih kemahiran interpersonal manakala kemahiran intrapersonal pula dapat dilatih dengan melihat sejauh mana penglibatan seseorang murid itu dalam aktiviti yang diadakan.

2.10KEMAHIRAN PSIKOMOTORKemahiran psikomotor merupakan kemahiran pergerakan di mana memerlukan murid-murid menggunakan semua anggota badan mereka untuk melakukan kerja. Terdapat banyak jenis pergerakan psikomotor tetapi adalah bergantung kepada guru untuk melatih mana-mana kemahiran psikomotor kepada murid-murid dengan menggunakan sumber P&P.Contoh yang boleh diambil dalam Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan, ialah daripada tema Hidup Bersama Di Sekolah Dan Masyarakat di mana aktiviti yang boleh dijalankan ialah aktiviti gotong-royong samada di sekolah ataupun di kawasan setempat. Di samping murid-murid menaburkan khidmat mereka, mereka dapat juga menjaga kesihatan mereka dengan melakukan aktiviti yang melibatkan otot badan dan otot karvadiaskular. Aktiviti-aktiviti lain yang boleh menjadi pilihan untuk dilaksanakan ialah sukaneka, riadah dan rumah terbuka.Aktiviti di dalam kelas juga boleh diadakan untuk melatih kemahiran psikomotor murid-murid. Melalui tema Kenali Budaya Malaysia, guru boelh mengadakan aktiviti seni tari mengikut budaya kaum di Malaysia. Seni tari melibatkan banyak pergerakan yang unik dan secara tidak langsung kemahiran psikomotor dapat dilatih. Di sini penggabungjalinan juga dapat dilakukan dengan menggabungkan seni muzik semasa aktiviti seni tari dijalankan. Guru perlu memantau aktiviti murid-murid dan banyak memberi tunjuk ajar kepada mereka tentang perkara-perkara baru yang masih lagi asing bagi murid-murid. Aktiviti ini memerlukan latihan yang kerap untuk memastikan murid-murid dapat mencapai objektif pembelajaran serta menepati tujuan penggunaan sumber P&P yag telah digunakan.

3.5 DAPATAN KAJIAN

Dari kajian yang telah dijalankan disekolah selama seminggu pada 17 hingga 21 Ogos 2009. Kumpulan kami terdiri daripada 6 orang iaitu Rafidah binti Shapei, Muhd. Mursyid bin Zulkefli, Mohd. Amir bin Udin, Devishree a/p Velayutham, Suhail bin Shaharudin dan Akmal Hafeez bin Ayob telah menjalankan kajian di beberapa buah sekolah yang berasingan. Setakat ini terdapat 5 buah sekolah yang berlainan yang menjadi tempat kajian kumpulan kami di tiga buah negeri yang berlainan. Antaranya ialah negeri Pulau Pinang, negeri Kelantan dan negeri Selangor. Berikut adalah hasil dapatan kajian yang telah dapat kumpulan kami kumpul dapat kumpul tentang kajian kepenggunaan sumber atau bahan pengajaran di antara sekolah-sekolah yang telah kami jalankan kajian.3.5.1Sekolah Kebangsaan Bukit GambirDi sekolah ini, terdapat tiga orang guru Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan yang telah ditemu bual mengenai penggunaan sumber pengajaran di sekolah untuk mata pelajaran Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan. Di sekolah berkenaan, guru-guru digalakkan untuk menggunakan bahan bantu mengajar semasa pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah. Disamping itu, daripada temu bual yang telah dijalankan ke atas guru-guru di sekolah itu guru-guru tidak berminat menggunakan sumber pengajaran jenis teknologi maklumat. Hal ini kerana, terdapat beberapa kekangan yang guru-guru hadapi apabila ingin menggunakannya semasa sesi pengajaran dan pembelajaran. Antara yang dinyatakan adalah kekangan masa yang amat ketara kerana untuk menggunakan sumber bahan teknologi maklumat melibatkan penggunaan computer riba dan LCD. Yang menjadi masalah kepada guru-guru ialah untuk memasang dan menggunakan LCD tersebut yang akan mengambil masa yang lama terutama bagi guru-guru yang tidak cekap menggunakan peralatan teknologi seperti itu.3.5.2. Sekolah Kebangsaan Bukit GelugorSekolah kedua yang telah kami jalankan kajian ialah di Sekolah Kebangsaan Bukit Gelugor, Gelugor, Pulau Pinang. Sekolah ini merupakan antara sekolah yang lama ditubuhkan sejak zaman pemerintahan British lagi. Kemudian, sekolah ini ditukarkan daripada sekolah Inggeris kepada sekolah kebangsaan. Di sekolah ini, terdapat 3 orang guru yang dipertanggungjawabkan untuk mengajar mata pelajaran Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan. Sebagaimana yang telah kita sedia maklum, sumber pengajaran amat penting dalam proses pembelajaran murid-murid. Dan di sekolah ini sumber pengajaran yang kerap kali digunakan adalah jenis yang bercetak.Oleh itu, guru-guru di sekolah ini amat mementingkan tentang penggunaan sumber pengajaran kerana ianya memudahkan penerangan guru-guru dan ianya juga senang untuk difahami oleh murid-murid semasa guru mengajar. Mengikut temu ramah yang telah kami lakukan berikutan kajian kepenggunaan sumber pengajaran di sekolah tersebut, guru-guru terbabit memberikan respon yang baik dan memberi kerjasama yang sepenuhnya kepada kami. Dan perkara yang penting yang kami dapat hasil temu ramah dengan guru-guru daripada temu ramah kami sepanjang kajian ialah penggunaan sumber pengajaran penting dalam apa juga mata pelajaran seperti yang telah dinyatakan seperti di atas. Akan tetapi, penggunaan sumber pengajaran tersebut perlulah mengikut kesesuaian topik dan tahap murid-murid dalam proses penghasilan bahan bantu mengajar yang juga dikira sebagai nasihat oleh guru-guru tersebut kepada kami bakal-bakal guru masa hadapan.

3.5.3 Sekolah Kebangsaan Sungai Gelugor

Sekolah Kebangsaan Sungai Gelugor merupakan sekolah rendah kebangsaan yang tertua di Malaysia. Sekolah ini terletak berhadapan dengan padang besar Universiti Sains Malaysia. Oleh itu, sekolah ini menjadi sekolah contoh di negeri Pulau Pinang dan mendapat kelebihan dari pelbagai aspek oleh Jabatan Pendidikan Negeri. Kami amat berbesar hati kerana berpeluang membuat kajian lapangan di salah sebuah sekolah yang elit di negeri ini. Sekolah ini sangat mementingkan akademik murid-muridnya selain kokurikulum. Di sekolah ini terdapat banyak pencapaian akademik yang cemerlang yang dapat kami lihat.Oleh itu, sangat mudah apabila kajian yang kami laksanakan ini berkenaan sumber pengajaran yang digunakan di sekolah tersebut kerana sekolah tersebut sangat lengkap dengan berbagai-bagai kemudahan pengajaran. Dan dari temu bual yang kami jalankan kepada guru-guru, penggunaan sumber pengajaran amat dititik beratkan di sekolah tersebut. Selain itu, guru-guru Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan sekolah tersebut lebih menekankan sumber pengajaran teknologi maklumat kerana ianya lebih menarik dan murid-murid menyukainya. Oleh itu, guru Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan akan mengadakan kelasnya di makmal komputer di mana guru tersebut sama ada menggunakan perisian untuk pengajaran atau menyediakan sendiri bahan bantu mengajarnya.

3.6 RUMUSAN

Setelah menjalankan kajian selama 5 hari sewaktu program Pengalaman Berasaskan Sekolah (PBS), rumusan atau kesimpulan yang boleh dinyatakan di sini ialah sumber pengajaran dan pembelajaran (P&P) yang digunakan oleh semua guru Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan di sekolah-sekolah yang terlibat adalah berbeza-beza mengikut kemampuan belanjawan sekolah tersebut dan juga kemudahan infrastruktur seperti makmal komputer dan bilik atau pusat sumber yang di lengkapi dengan bahan dan sumber pengajaran. Terdapat sekolah yang sedia membeli sumber pengajaran dan pembelajaran yang dijual di pasaran dan ada juga sekolah yang tidak mampu membeli dan sekadar menggunakan sumber pengajaran dan pembelajaran yang sedia ada serta yang dihasilkan oleh guru berkenaan. Namun begitu guru-guru yang terlibat dalam kajian yang kumpulan kami adakan, mengambil sikap positif dengan mencari inisiatif sendiri untuk memastikan objektif pembelajaran tercapai dengan menggunakan sumber bahan pengajaran. Perkara ini secara tidak langsung telah mengajar kami untuk tidak terlalu bergantung kepada sumber pengajaran dan pembelajaran untuk menjalankan sesuatu kelas. Sumber pengajaran yang digunakan adalah bertujuan untuk menolong guru-guru supaya mencapai objektif pembelajaran dengan lebih cepat dan memudahkan pemahaman murid-murid dengan isi penyampaian semasa proses pembelajaran berlangsung di dalam bilik darjah juga untuk menolong guru mengawal kelas dengan mudah apabila perhatian mereka ditarik dengan keunikan sumber bahan pengajaran apabila guru menggunakannya. Selain itu kami juga sedar bahawa untuk menjadi seorang guru yang cemerlang dan berdedikasi, kita perlu menjadi lebih kreatif kerana murid-murid mudah menjadi bosan dengan kaedah pengajaran yang sama dan mereka akan mula hilang tumpuan dan mengakibatkan objektif pembelajaran yang telah ditetapkan tidak akan tercapai.Akhir sekali, kami bersepakat merumuskan bahawa penggunaan sumber dan bahan pengajaran adalah penting dan amat dititik beratkan oleh mana-mana sekolah berikutan dengan respon yang diterima semasa dan sepanjang kajian kes dijalankan. Cuma penggunaan bahan dan sumber pengajaran tersebut berbeza mengikut kemampuan sekolah dan guru yang mengajar. Kemampuan sekolah yang dimaksudkan di sini adalah kemudahan yang telah disediakan oleh sekolah tersebut sama ada dalam bentuk infrastruktur ataupun jumlah belanjawan PCG mengikut subjek, dan guru yang mengajar pula dirujuk kepada guru yang mengajar sama ada mahu menggunakan atau tidak sumber bahan pengajaran semasa mengajar dan jenis apa yang dirasakan sesuai dengan tajuk pengajaran yang ingin diajar oleh guru tersebut kepada murid-muridnya setelah dirasakan ianya sesuai kepada tahap murid-muridnya.

3.7 REFLEKSIHasil daripada pemerhatian saya bersama rakan-rakan yang terlibat semasa program Pengalaman Berasaskan Sekolah (PBS) selama lima hari bermula dari 17 Ogos hingga 21 Ogos 2009 bertempat di Sekolah Kebangsaan Bukit Gambir, saya mendapati penggunaan sumber Pengajaran dan Pembelajaran di dalam kelas adalah kebanyakannya hanya berpandukan buku teks sahaja di mana setiap kelas yang saya hadiri dan membuat pemerhatian, guru berperanan sebagai sumber rujukan untuk menghurai dan memastikan murid-murid memahami apa yang ingin disampaikan.Saya tidak menafikan bahawa penggunaan sumber P&P bahan bercetak buku teks juga dapat memastikan pembelajaran dapat dijalankan dengan lancar namun kemudahan sumber-sumber P&P yang lain di mana berperanan untuk membantu guru memastikan murid-murid lebih seronok untuk belajar, lebih menumpukan perhatian, lebih cepat untuk memahami isi kandungan pelajaran dan lain-lain lagi adalah jarang digunakan dan itu adalah satu kerugian.Walaupun begitu saya tertarik dengan cara guru-guru di kelas Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan mengendalikan kelas supaya murid-murid memberi sepenuh perhatian kepada apa yang disampaikan oleh guru. Apa yang saya [elajari ialah ketegasan merupakan suatu kemahiran yang perlu dipelajari kerana ia dapat menjamin pengawalan kelas yang maksimum. Murid-murid akan sentiasa mematuhi peraturan serta arahan yang dikeluarkan oleh guru. Objektif pembelajaran kelas yang ditetapkan oleh guru tersebut sewaktu hari pemerhatian kami dapat dicapai dengan mudah kerana kerjasama yang diberikan oleh murid-,murid. Walaupun terdapat kelemahan dari segi penggunaan sumber P&P, guru tersebut harus dipuji kerana kebolehannya mengendalikan kelas tanpa sebarang masalah dan pada masa yang sama dapat mencapai objektif pembelajaran yang sepatutnya.

BIBLIOGRAFI

Teori Pembelajaran: http://www.teachers.ash.org.au/teachereduc/indexTE.html Teori Behaviourisme: http://129.7.160.115/inst5931/Behaviorism.html Unsur Konstruktivisme: http://www.usask.ca/education/coursework/802papers/Skaalid/index.html http://www.sedl.org/scimath/compass/v01n03/welcome.html http://www.cudenver.edu/~mryder/itc/constructivism.html Reka bentuk Model Pengajaran: http://www.cudenver.edu/~mryder/itc/idmodels.html http://www.usask.ca/education/coursework/802papers/mergel/brenda.htm http://www.cudenver.edu/~lsherry/courses/IDdoclab.html Faktor yang mempengaruhi penggunaan komputer dalam P&P di sekolah: http://www.usask.ca/education/coursework/802papers/krysa/ron.htm http://www.newhorizons.org/tech_irlkahn.html http://mohdruzzi.blogspot.com/2008/08/strategi-pengajaran-dan-pembelajaran.html

LAMPIRAN

BAHAN BERCETAK

HANDOUTBUKU TEKS

SURAT KHABARMAJALAH

BAHAN TEKNOLOGI MAKLUMAT

KOMPUTERTAYANGAN VIDEO

ALAT KOMUNIKASIINTERNET

BAHAN MAUJUD

MAKANANPERMAINANKERTAS MAHJONGLUKISAN14