2 prinsip abm
DESCRIPTION
prinsip abm yang boleh dijadikan rujukan serta panduan semasa melaksanakan aktiviti pnp bahasa melayu.TRANSCRIPT
PRINSIP MENGOLAH BAHAN PENGAJARAN
Proses mengolah bahan bermaksud membuat adaptasi, perubahan, dengan membaik
pulihkan isi dan keadaan bahan pengajaran sebelum bahan tersebut digunakan. Melalui
proses ini, aspek-aspek yang kurang difahami akan diperjelaskan, perkara-perkara yang
kurang penting akan digugurkan atau dibuangkan dan sekiranya terdapat hal-hal yang tidak
lengkap akan ditambahkan. Kesemua ini bertujuan menjadikan bahan-bahan tersebut lebih
sempurna sifatnya, sesuai serta bertepatan dengan keperluan pelajar dan pengajaran yang
dirancang. Proses ini memerlukan guru-guru untuk memberikan perhatian terhadap
beberapa perkara berikut:
a. Inspirasi dan kreativiti
Bahan-bahan yang digunakan boleh memberikan galakan kepada pelajar untuk
mencetuskan idea-idea yang kreatif dan bernas.
b. Menjadikan dialog bersifat komunikatif
Sekiranya bahan yang digunakan mengandungi dialog, guru perlulah menjadikan dialog
tersebut bersifat komunikatif iaitu penggunaan bahasa yang betul dan membolehkan pelajar
berinteraksi sesama sendiri, di samping menguasai kecekapan berbahasa.
c. Menjadikan aktiviti pembelajaran relevan dan berguna
Bahan-bahan pengajaran perlu disesuaikan supaya berkaitan dengan objektif pembelajaran,
berfaedah dan dapat diaplikasikan oleh pelajar apabila pelajar menguasainya.
d. Memberikan contoh yang praktikal
Bahan-bahan pengajaran sebaik-baiknya mengandungi contoh-contoh yang praktikal yang
boleh mempercepatkan kefahaman pelajar, di samping mereka dapat menyesuaikannya
dengan situasi sebenar.
e. Memenuhi keperluan pelajar
Bahan-bahan pengajaran yang digunakan sebaik-baiknya dapat memenuhi keperluan para
pelajar sama ada dari segi luaran (contohnya: dapat membantu pelajar dalam kerjaya
mereka kelak) dan dari segi psikologi (contohnya: minat, kebolehan mental, umur,
kecenderungan dan sebagainya).
PRINSIP PEMBINAAN BAHAN PENGAJARAN
Peringkat seterusnya ialah peringkat pembinaan bahan-bahan pengajaran. Setelah guru
selesai memilih dan mengolah bahan-bahan pengajaran yang hendak digunakan, guru perlu
memberikan penekanan terhadap beberapa aspek yang berkaitan dengan pembinaan
bahan-bahan pengajaran. Antaranya adalah seperti berikut:
a. Bentuk dan fungsi
Apa dia bentuk-bentuk bahasa? Bentuk-bentuk bahasa merujuk kepada fonologi,
tatabahasa, perbendaharaan kata dan wacana. Manakala fungsi pula merujuk kepada
proses menyampaikan maksud. Oleh yang demikian, bahan-bahan pengajaran perlulah
dipilih daripada bentuk-bentuk bahasa kerana ia dapat menyatakan maksud dan fungsi.
Tanpa bentuk-bentuk komunikasi, verbal tidak akan berlaku. Aspek-aspek ini perlu diberi
perhatian untuk membolehkan pelajar mengenal dan menggunakan bahasa dengan betul.
b. Ketepatan
Ketepatan di sini merujuk kepada ketepatan bahasa yang digunakan, terutama sekali yang
berhubung dengan fungsi dan konteks sosial. Apabila kita menggunakan bahasa, kita harus
dapat menerapkan situasi sosial dan kita harus dapat menyesuaikan bahasa yang
digunakan dengan situasi ketika itu.
c. Kepelbagaian
Kepelbagaian dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa bertujuan untuk mendedahkan
pelajar kepada beberapa variasi bahasa yang digunakan secara meluas dalam masyarakat.
Pengetahuan pelajar terhadap variasi-variasi bahasa membolehkan pelajar memilih variasi
yang bersesuai dengan konteks dan situasi yang tertentu.
d. Kemahiran bahasa
Aspek ini melibatkan kemahiran pada aras penerimaan iaitu kemahiran mendengar dan
membaca dan kemahiran pada aras pelahiran iaitu kemahiran menulis dan bertutur.
Keempat-empat kemahiran ini perlu dilihat sebagai setiap bahagian yang berhubungan dan
bukan terpisah-pisah sifatnya. Oleh yang demikian, kesemua kemahiran ini perlu
digabungjalinkan untuk mewujudkan satu strategi pembelajaran yang lebih berkesan.
e. Standardisasi dan simplikasi
Proses ini dilakukan untuk membolehkan guru mewujudkan bahan-bahan pengajaran yang
dapat memenuhi keperluan para pelajar. Dalam proses ini bahan-bahan disunting, diubah
suai selaras dengan kebolehan para pelajar. Melalui prinsip ini bahan akan disesuaikan
berdasarkan perbezaan umur dan jantina, kawasan, pendidikan dan social dan sebagainya.
f. Penerapan nilai dan Pengetahuan
Satu unsur penting yang perlu diterapkan dalam pendidikan hari ini ialah penerapan nilai
dalam semua mata pelajaran. Strategi ini dapat menambah pengetahuan baru dan member
kesedaran serta kefahaman tentang tanggungjawab dan sumbangan pengetahuan yang
dipelajari terhadap diri, masyarakat dan negara. Seorang guru tidak sepatutnya mewujudkan
unsur-unsur yang bertentangan dengan kesejahteraan rakyat dan semangat perpaduan
dalam sebarang bahan pengajaran yang digunakan.