tinjauan tentang penggunaan bahasa melayu dalam buku teks

17
1 Jurnal Penyelidikan IPG KBL, Jilid 12, 2015 TINJAUAN TENTANG PENGGUNAAN BAHASA MELAYU DALAM BUKU TEKS GEOGRAFI TINGKATAN SATU Wong Shia Ho IPG Kampus Batu Lintang, Kuching [email protected] Abstrak Penggunaan bahasa yang betul dalam buku teks amatlah penting kerana buku teks merupakan bahan rujukan setiap pelajar. Dalam usaha untuk meningkatkan tahap penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan pelajar, maka konsep Bahasa Melayu Merentas Kurikulum (BMMK) telah diperkenalkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia pada tahun 1988. Dengan ini, selain mata pelajaran bahasa Melayu, mata pelajaran lain yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar juga menjadi saluran penting bagi memastikan matlamat BMMK tercapai. Kesediaan buku teks untuk mencapai matlamat BMMK sudah tentu dilihat dari segi bahasa yang digunakan. Oleh hal demikian, satu tinjauan terhadap buku teks Geografi Tingkatan satu (2002) dilakukan untuk melihat penggunaan bahasa Melayu dalam buku tersebut. Kajian ini hanya memberikan perhatian kepada aspek ejaan dan tatabahasa. Hasil kajian mendapati bahawa tahap penggunaan bahasa dalam buku tersebut masih perlu dipertingkatkan kerana terdapat pelbagai jenis kesalahan bahasa. Bagi kesalahan tersebut, kajian ini akan memberikan penjelasan berdasarkan Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga oleh Nik Safiah Karim, Farid M. Onn, Hashim Musa dan Abdul Hamid Mahmood (2008), Daftar kata Bahasa Melayu (2008), dan pendapat linguis yang lain agar tindakan sewajarnya dapat diambil bagi memastikan matlamat BMMK dapat direalisasikan sepenuhnya. Kata Kunci: penggunaan bahasa Melayu, buku teks Geografi Tingkatan 1

Upload: leduong

Post on 09-Dec-2016

233 views

Category:

Documents


4 download

TRANSCRIPT

Page 1: Tinjauan Tentang Penggunaan Bahasa Melayu dalam Buku Teks

1

Jurnal Penyelidikan IPG KBL, Jilid 12, 2015

TINJAUAN TENTANG PENGGUNAAN BAHASA MELAYU DALAM BUKU TEKS GEOGRAFI TINGKATAN SATU

Wong Shia Ho

IPG Kampus Batu Lintang, Kuching [email protected]

Abstrak

Penggunaan bahasa yang betul dalam buku teks amatlah penting kerana buku teks merupakan bahan rujukan setiap pelajar. Dalam usaha untuk meningkatkan tahap penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan pelajar, maka konsep Bahasa Melayu Merentas Kurikulum (BMMK) telah diperkenalkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia pada tahun 1988. Dengan ini, selain mata pelajaran bahasa Melayu, mata pelajaran lain yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar juga menjadi saluran penting bagi memastikan matlamat BMMK tercapai. Kesediaan buku teks untuk mencapai matlamat BMMK sudah tentu dilihat dari segi bahasa yang digunakan. Oleh hal demikian, satu tinjauan terhadap buku teks Geografi Tingkatan satu (2002) dilakukan untuk melihat penggunaan bahasa Melayu dalam buku tersebut. Kajian ini hanya memberikan perhatian kepada aspek ejaan dan tatabahasa. Hasil kajian mendapati bahawa tahap penggunaan bahasa dalam buku tersebut masih perlu dipertingkatkan kerana terdapat pelbagai jenis kesalahan bahasa. Bagi kesalahan tersebut, kajian ini akan memberikan penjelasan berdasarkan Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga oleh Nik Safiah Karim, Farid M. Onn, Hashim Musa dan Abdul Hamid Mahmood (2008), Daftar kata Bahasa Melayu (2008), dan pendapat linguis yang lain agar tindakan sewajarnya dapat diambil bagi memastikan matlamat BMMK dapat direalisasikan sepenuhnya. Kata Kunci: penggunaan bahasa Melayu, buku teks Geografi Tingkatan 1

Page 2: Tinjauan Tentang Penggunaan Bahasa Melayu dalam Buku Teks

2

Jurnal Penyelidikan IPG KBL, Jilid 12, 2015

Abstract

Proper language usage in textbooks is important because textbooks are reference materials to every student. In order to improve the level of the Malay language among students, the concept of Malay Language Across the Curriculum (Bahasa Melayu Merentas Kurikulum) (BMMK) was introduced by the Ministry of Education in 1988. Accordingly, other than Malay subjects, other subjects that use Malay as the medium of instruction also become an important channel to ensure the goals are achieved through BMMK. Availability of textbooks to achieve BMMK is certainly evident in the language used. Therefore in this case, a review of Form one Geography textbook was carried out to see the use of Malay language in the book. This study gives attention to the aspects of spelling and grammar. The study found that the level of language used in the book still needs to be improved because there are different types of language errors. For such errors, this study will give an explanation according to Tatabahasa Dewan (3rd edition) by Nik Safiah Karim, Farid M. Onn, Hashim Musa and Abdul Hamid Mahmood (2008), Daftar Kata Bahasa Melayu (2008) and the other opinion linguists so that appropriate actions can be taken to ensure that the goals of BMMK can be fully realised. Keywords: Malay Language usage, Form 1 Geography textbook

Pengenalan

Selaras dengan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan

bahasa kebangsaan di negara ini (dalam konteks kajian ini, “bahasa Melayu” juga bermaksud “bahasa Malaysia’). Pelbagai usaha telah dilakukan khususnya melalui sistem pendidikan agar setiap pelajar atau rakyat Malaysia berupaya menggunakan bahasa ini pada tahap yang paling baik. Maka, “Bahasa Merentas Kurikulum (BMMK)” diperkenalkan pada tahun 1988. Walaupun konsep BMMK ini telah diperkenalkan hampir 27 tahun, matlamat BMMK ini masih dianggap penting oleh kerajaan kerana konsep ini turut ditekankan melalui Dasar “Memartabatkan Bahasa Malaysia Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) yang dilaksanakan secara berperingkat-peringkat mulai tahun 2010. Hal ini jelas dinyatakan dalam “perkara 2.1.5: Penggunaan Bahasa Malaysia Standard Merentas Kurikulum – penggunaan sistem bahasa yang betul dalam mata pelajaran lain akan menyokong pengajaran dan pembelajaran bahasa Malaysia. Penggunaan dialek tempatan atau bahasa pasar mesti dipatuhi agar tidak menjelaskan standard dan mutu bahasa Melayu itu sendiri” (Unit

Page 3: Tinjauan Tentang Penggunaan Bahasa Melayu dalam Buku Teks

3

Jurnal Penyelidikan IPG KBL, Jilid 12, 2015

Komunikasi Korporat, t. t). Menurut Abdul Razak Ismail dan Ishak Ramly (1991), BMMK bermaksud mata pelajaran bahasa Malaysia diajarkan supaya pelajar menguasai pengetahuan, keterampilan dan pemupukan sikap yang diperoleh melalui mata pelajaran sains, geografi, matematik, sejarah, dan pendidikan Islam atau moral yang diajarkan melalui bahasa Malaysia.

Menurut Abdul Razak Ismail dan Ishak Ramly (1991), dua matlamat

utama BMMK ialah: (a) Meningkatkan penguasaan bahasa sebagai satu mata pelajaran dan

bahasa sebagai pengantar kandungan mata pelajaran lain. (b) Penggunaan bahasa yang berkesan sebagai meningkatkan dan

melibatkan proses pemelajaran kandungan mata pelajaran yang mencakupi ilmu pengetahuan dan kemahiran supaya lebih senang dikuasai oleh pelajar-pelajar.

Memandangkan BMMK menitikberatkan penggunaan bahasa baku dalam penyampaian ilmu pengetahuan. Maka, amatlah bertepatan jika Wan Mohd. Zahid Noordin (1991) menyatakan bahawa bahan-bahan daripada akhbar, majalah dan buku-buku ilmu pengetahuan, malah buku teks pun perlu diawasi supaya bahasa yang digunakan tepat, gramatis dan sesuai dengan larasnya. Pendek kata, penggunaan bahasa yang tepat, gramatis dan sesuai dengan larasnya yang dimaksudkan oleh beliau sebenarnya merujuk kepada penggunaan bahasa yang mengikut rumus bahasa yang betul yakni bahasa yang baku atau standard. Menurut Awang Sariyan (2006), kata “standard” merupakan sinonim bagi kata “baku”. Bahasa baku meliputi seluruh sistem bahasa iaitu sistem ejaan, peristilahan, kosa kata, tatabahasa, sebutan dan laras bahasa. Pernyataan Masalah

Kajian tentang kesalahan bahasa terhadap pelajar pelbagai peringkat pengajian telah banyak dilakukan oleh penyelidik bahasa sebelum ini. Kesalahan bahasa yang dilakukan oleh pelajar selalunya dikaitkan dengan faktor-faktor seperti pengaruh bahasa ibunda, jantina, tempat tinggal, dan sebagainya. Jarang sekali kita dapat melihat perbincangan tentang perkaitan tahap penguasaaan bahasa dengan bahan bacaan khususnya buku teks sedangkan perkara ini pernah disebut oleh Wan Mohd Zahid Mohd. Noordin (1991) bahawa wujudnya bahan-bahan seperti buku teks, buku-buku ilmu pengetahuan dan bahan-bahan media massa yang menggunakan bahasa bahasa Melayu yang kurang bermutu dari segi ejaan, tatabahasa, serta tidak ada keselarasan dalam penggunaan istilah. Menurut Wan Mohd Zahid Wan Mohd Noordin (1991) lagi, penggunaan bahasa

Page 4: Tinjauan Tentang Penggunaan Bahasa Melayu dalam Buku Teks

4

Jurnal Penyelidikan IPG KBL, Jilid 12, 2015

Melayu yang kurang bermutu ini memberikan kesan terhadap pengajaran dan pembelajaran dalam sistem pendidikan kita.

Penekanan yang diberikan kepada mutu bahasa dalam buku teks inilah mendorong kajian ini dilakukan untuk melihat fenomena penggunaan bahasa Melayu dalam mata pelajaran geografi dalam usaha untuk mencapai matlamat BMMK. Hasil laporan kajian mengenai penggunaan bahasa Melayu ini diharapkan dapat mengisi kelompangan dalam penyelidikan mengenai penggunaan bahasa Melayu dalam buku teks geografi.

Objektif Kajian

Secara umumnya, kajian ini untuk meninjau penggunaan bahasa Melayu dalam buku teks Geografi Tingkatan Satu. Secara khususnya, objektif kajian ialah:

1. Mengenal pasti kesalahan bahasa yang terdapat dalam buku teks

tersebut berdasarkan dua buah buku pegangan di sekolah di samping pendapat linguis yang lain.

2. Mencadangkan penggunaan bahasa yang baku daripada kesalahan yang ditemukan dalam buku teks tersebut berdasarkan dua buku pegangan di sekolah di samping pendapat linguis yang lain.

Kepentingan Kajian

Hasil kajian dapat dijadikan rujukan apabila pengemaskinian dilakukan oleh pihak berkenaan terhadap buku teks tersebut. Cadangan penggunaan rumus tatabahasa yang betul dalam kajian ini dapat mempertingkatkan penguasaan tatabahasa dalam kalangan pengguna bahasa khususnya penulis buku teks dan pelajar sekolah.

Tinjauan Literatur

Apabila membincangkan penggunaan bahasa dalam kalangan pelajar, Abdul Hamid Mahmood (2002) menyenaraikan banyak faktor yang menyebabkan ketidakcekapan berbahasa Malaysia baku dalam kalangan pelajar. Salah satu faktor yang jarang diperkatakan oleh pengkaji bahasa ialah faktor buku teks. Menurut Abdul Hamid Mahmood (2002), sebagai akibat daripada kekurangan ahli bahasa yang berkelayakan, maka terdapat beberapa buah buku teks yang diluluskan mempunyai mutu bahasa yang belum cukup baik. Pelajar-pelajar terpengaruh dan terikut-ikut dengan aliran bahasa Melayu dalam teks-teks tersebut.

Page 5: Tinjauan Tentang Penggunaan Bahasa Melayu dalam Buku Teks

5

Jurnal Penyelidikan IPG KBL, Jilid 12, 2015

Gambaran tentang mutu bahasa dalam buku teks juga dinyatakan oleh Wan Mohd Zahid Mohd. Noordin (1991) bahawa wujudnya bahan-bahan seperti buku teks, buku-buku ilmu pengetahuan dan bahan-bahan media massa yang menggunakan bahasa Melayu yang kurang bermutu dari segi ejaan, tatabahasa, serta tidak ada keselarasan dalam penggunaan istilah ini memberikan kesan terhadap pengajaran dan pembelajaran dalam sistem pendidikan kita.

Raminah Sabran dan Nuwairi Khaza’ai (1991) pula telah melakukan tinjauan terhadap buku teks Bahasa Malaysia dari segi kandungan secara keseluruhan, unsur penggabungjalinan dan penyerapan, kegiatan dan latihan (termasuk teknik penyoalan). Kajian tersebut tidak membincangkan tatabahasa kerana menurut Raminah Sabran dan Nuwairi Khaza’ai (1991), penulis buku-buku teks yang dipilih dalam kajian mereka ialah tokoh-tokoh yang berpengalaman dan berwibawa dalam bidang tatabahasa dan memang amat dikenal umum.

Kaedah Kajian

Kajian ini dijalankan secara kualitatif deskriptif dengan mendedahkan

fenomena penggunaan bahasa dalam Buku Teks Geografi Tingkatan 1: Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah yang ditulis oleh Rape`ah Ahamed, Khalijah Maimon, Aziah Ismail, dan Foo Ho Loke, terbitan Arus Intelek Sdn Bhd, Kuala Lumpur pada tahun 2002. Buku teks ini berjumlah 208 muka surat. Tinjauan dilakukan terhadap semua bentuk tulisan dalam buku tersebut termasuklah tulisan pada rajah dan soalan latihan. Kajian ini memberikan tumpuan kepada kesalahan ejaan dan tatabahasa. Setiap kesalahan ejaan dan tatabahasa direkodkan untuk dianalisis. Bagi kesalahan tersebut, ulasan akan diberikan dengan mengambil kira konteks ayat yang digunakan. Penelitian terhadap penggunaan bahasa dalam buku teks tersebut dilakukan berdasarkan Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga dan Daftar Kata Bahasa Melayu kerana kedua-dua buah buah buku ini merupakan buku pegangan dalam pengajaran dan pembelajaran (Pusat Perkembangan Kurikulum, 2003). Oleh sebab itu, penggunaan bahasa dalam buku teks di sekolah juga haruslah seiring dengan saranan kedua-dua buah buku tersebut. Hal ini bermakna, kajian ini lebih bersifat preskriptif kerana menurut Zaharani Ahmad (2008), pendekatan preskriptif menekankan keseragaman dengan menegaskan bahawa hanya wujud satu rumus bahasa sahaja, dan bentuk-bentuk yang mematuhi rumus tersebut dianggap salah dan tidak gramatis. Dalam perbincangan dapatan kajian, pandangan linguis lain juga dikemukakan sebagai penambahan kepada penjelasan yang diberikan.Kajian ini juga tidak menolak pandangan golongan yang mengamalkan deskriptif kerana sikap ini turut diamalkan oleh kedua-dua buku tersebut. Hal ini selaras dengan pendapat Nik Safiah Karim, Farid M. Onn, Hashim Musa dan Abdul Hamid Mahmood (2008),

Page 6: Tinjauan Tentang Penggunaan Bahasa Melayu dalam Buku Teks

6

Jurnal Penyelidikan IPG KBL, Jilid 12, 2015

bahawa “apabila berhadapan dengan dilema (percanggahan) ini, kami mengambil jalan tengah, iaitu sedapat mungkin mengamalkan falsafah deskriptif, namun begitu, bagi struktur yang benar-benar menimbulkan kekeliruan atau kerumitan, kami berpegang pada konsep preskriptif” (p. xiv). Bagi meningkatkan kebolehpercayaan kajian sebagaimana yang dikatakan oleh Chua (2006) bahawa kaedah-kaedah pengumpulan data kualitatif memerlukan triangulasi, maka kajian ini melakukan triangulasi individu dengan melibatkan rakan sekerja (pensyarah kanan akademik bahasa Melayu) untuk membuat penelitian terhadap data yang dikumpul dan dapatan serta perbincangan kajian.

.

Dapatan dan Perbincangan

Dalam membincangkan dapatan kajian ini, beberapa perkara yang ingin diberikan penjelasan di sini ialah penggunaan simbol (*) sebelum sesuatu perkataan/frasa/ayat yang berhuruf condong bermaksud “bentuk yang tidak gramatis” pada perkataan/frasa/ayat tersebut. Singkatan “m.s.” dan “nombor” di dalam kurungan bermaksud “muka surat” dalam sumber data (buku teks yang dikaji) bagi frasa atau ayat yang dibincangkan. Sebagai contoh “(m.s. 15)” bermaksud “muka surat 15 dalam teks asal”. Hasil kajian mendapati bahawa terdapat pelbagai aspek penggunaan bahasa yang tidak gramatis dalam buku teks tersebut: 1. Kesalahan Ejaan

1.1 Kesalahan Ejaan Kata Terbitan Menurut Nik Safiah Karim (2007), imbuhan tidak boleh berdiri

sendiri, sebaliknya hanya hadir bersama dengan kata dasar. Oleh itu, jika imbuhan dieja terpisah daripada kata dasar, atau digandingkan dengan sempang, itu merupakan kesalahan. Antara yang selalu menimbulkan kesulitan ialah bentuk-bentuk juru-, pra-, maha-, eka-, pro- dan anti-. Antara kesalahan yang dapat dikesan dalam buku teks tersebut ialah *juru ukur (m.s. 18), *sosio-ekonomi (m.s. 115), *eko pelancongan (m.s. 161) yang masing-masing sepatutnya dieja bercantum sebagai juruukur, sosioekonomi, ekopelancongan.

1.2 Ejaan Kata Pinjaman

Mengikut Daftar Kata Bahasa Melayu (2008), ejaan *“igloo” (m.s. 111) adalah tidak tepat dan sepatutnya dieja sebagai “iglu”. Kamus Dewan (2005) pula hanya mengemukakan kata “iglu” sebagai membawa maksud “rumah orang Eskimo”.

Page 7: Tinjauan Tentang Penggunaan Bahasa Melayu dalam Buku Teks

7

Jurnal Penyelidikan IPG KBL, Jilid 12, 2015

2. Kesalahan Morfologi 2.1 Penggunaan Kata Pemeri

Menurut Nik Safiah Karim et al. (2008), kata pemeri (ialah, adalah) ialah unsur yang menjadi pemeri hal atau perangkai antara subjek dengan frasa-frasa utama dalam predikat. Kata pemeri “ialah” menunjukkan persamaan dan hadir di hadapan frasa nama, manakala “adalah” yang menunjukkan huraian dan hadir di hadapan frasa adjektif dan frasa sendi nama. Menurut Nik Safiah Karim (2007); Lee dan Raja Masittah Raja Ariffin (2007), kata pemeri tidak boleh digunakan di hadapan frasa kerja atau kata kerja. Kesalahan penggunaan kata pemeri ini dapat dikesan pada ayat-ayat berikut:

a. Pelan susunan meja dalam Rajah 1.2 *adalah (sepatutnya:

gugurkan “adalah”) mengikut susunan lajur dan baris (m.s. 3).

b. Langkah ini *ialah (sepatutnya: adalah) untuk memastikan hasil hutan dapat dikekalkan (m.s. 174).

c. Tanjung dan teluk juga *adalah (sepatutnya: ialah) bentuk muka bumi yang terdapat di pinggir laut (m.s. 50).

2.2 Kesalahan Penggunaan Kata Bantu

Menurut Nik Safiah Karim et al. (2008), kata bantu ragam (termasuk “boleh” dan “dapat”) ialah bentuk kata yang menyatakan atau menerangkan ragam perasaan yang berkaitan dengan perbuatan yang dilakukan. Menurut Awang Sariyan (2006); Abdul Ghalib Yunus (2000); Nathesan (2010), “boleh” lebih tepat digunakan dalam hubungan dengan “keizinan”. Kata “dapat” pula lebih sesuai digunakan dalam hubungan dengan “keupayaan atau kemampuan”. Kesalahan ini dapat dikesan pada ayat berikut: a. Kegiatan pertanian pindah juga *boleh (sepatutnya: dapat)

menyebabkan kehilangan kesuburan tanih (m.s. 79) Hujan asid *boleh (sepatutnya: dapat) memusnahkan tumbuh-tumbuhan, tanaman, merosakkan binaan….(m. s. 121)

2.3 Kesalahan Penggunaan Kata Sendi Nama “Di”

Menurut Nik Safiah Karim et al. (2008), kata sendi nama “di” tidak boleh digunakan di hadapan kata nama atau frasa yang menerangkan waktu, masa, atau zaman. Penggunaan “di” pada ayat berikut adalah tidak tepat kerana “musim bunga, musim panas dan kering, dan musim luruh” bukan “tempat”.

Page 8: Tinjauan Tentang Penggunaan Bahasa Melayu dalam Buku Teks

8

Jurnal Penyelidikan IPG KBL, Jilid 12, 2015

a. …untuk menghalang kehilangan air akibat perpeluhan *di (sepatutnya: pada) musim panas dan kering (m.s. 151)

b. Beruang Brown Grizzly memakan tumbuh-tumbuhan *di musim bunga dan ikan salmon *di (sepatutnya: pada) musim luruh dan musim panas.

2.4 Kesalahan Penggunaan Kata Sendi Nama ‘Dalam’

Kata sendi nama “dalam” digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama yang membawa pengertian lingkungan yang tidak mempunyai ruang atau jarak seperti perkara, peristiwa, hal, urusan, bahasa, bidang, masyarakat dan sebagainya (Bahagian Pengembangan Bahasa Sektor Awam, 2006). Sepatutnya ayat berikut menggunakan kata arah “dalam” dengan kata sendi nama “di” sebelumnya. a. Siberia terletak *dalam (sepatutnya: di dalam) kawasan iklim

sejuk sederhana kebenuan atau kawasan iklim jenis Siberia (m.s. 108).

b. Mereka tinggal *dalam (sepatutnya: di dalam) khemah yang dikenali sebagai “Chum” tanpa kemudahan yang lengkap (m.s. 109).

2.5 Kesalahan Penggunaan “Antara” dan “Di Antara”

Kata “antara” dapat berfungsi sebagai kata sendi nama dan kata arah. Kata sendi nama ialah perkataan yang digunakan di hadapan frasa nama untuk menghasilkan frasa sendi nama. Kata arah pula ialah kata yang menunjukkan arah atau kedudukan. Kata arah seperti “atas”, “bawah”, “dalam”, “antara” dan sebagainya biasanya digunakan dalam frasa sendi nama, yakni mengikuti kata sendi nama. Hanya kata sendi nama “di” dan “ke” sahaja dapat membentuk frasa sendi nama dengan kata arah. Contoh: Kata sendi nama - …antara sektor awam Kata sendi nama arah-…di antara Johor Bahru dengan Kuala Lumpur.

Kata arah “antara” hanya dapat berganding dengan kata

sendi nama “di” dan “ke” dalam pembentukan frasa sendi nama, “di antara”, yang menunjukkan tempat (Bahagian Pengembangan Bahasa Sektor Awam, 2006).

a. Jarak *antara (sepatutnya: di antara) rumah mereka *dan

(sepatutnya: dengan) sekolah…(m.s. 20). b. *Di antara (sepatutnya: Antara) *penyakit-penyakit

(sepatutnya: penyakit) yang *boleh (sepatutnya: dapat)

Page 9: Tinjauan Tentang Penggunaan Bahasa Melayu dalam Buku Teks

9

Jurnal Penyelidikan IPG KBL, Jilid 12, 2015

diubati ialah kencing manis, kembung perut, kurap dan lain-lain (m.s. 160).

2.6 Kesalahan Penggunaan “Di Atas” dengan “Atas” Menurut Nik Safiah Karim et al. (2008), kata arah ialah

sejumlah perkataan yang hadir sebelum frasa nama dan lazimnya sesudah kata sendi nama untuk menunjukkan hal atau jurusan. Antara contoh kata arah yang sering digunakan dalam bahasa Melayu ialah “atas, antara, bawah, tepi, belakang, tengah, dalam, luar, sisi, penjuru, sudut, segi, selatan, samping, timur, barat, hadapan, utara, dan sebagainya”. Kamus Dewan (2005) memberikan penjelasan bahawa “di atas” merujuk 1. pada bahagian atas, di sebelah atas (bukan di bawah); 2. Lebih tinggi daripada. “Ke atas” pula bermaksud 1. Ke bahagian (tingkat, tempat dan sebagainya) atas, ke sebelah atas; 2. (dan) lebih (daripada sesuatu paras, jumlah, dan sebagainya), dan tinggi daripada itu. “Atas” juga membawa maksud” mengenai, tentang, akan, berkaitan dengan, terhadap”. Oleh itu, penggunaan “di atas” dan “ke atas” adalah tidak tepat berdasarkan konteks ayat.

a. Lukiskan pelan sekolah anda *di atas (sepatutnya: pada) kad

manila dan tandakan kedudukan blok-blok bangunan (m.s. 11)

b. Saya dan kumpulan saya telah membuat pemerhatian *ke atas (sepatutnya: terhadap) kawasan paya bakau di sini (m.s. 201)

2.7 Kesalahan Kata Sendi Nama “Oleh Kerana”

Menurut Nik Safiah Karim et al. (2008), penggunaan “oleh” yang diikuti dengan “kerana” dalam ungkapan “oleh kerana” untuk menunjukkan hubungan yang membawa maksud sebab merupakan penggunaan yang salah. Sepatutnya bentuk yang betul ialah “oleh sebab”. Ini disebabkan “oleh” merupakan kata sendi nama yang mesti diikuti oleh kata nama atau frasa nama, sedangkan “kerana” bukan kata nama tetapi kata hubung pancangan keterangan. Kesalahan ini berlaku pada ayat berikut:

a. *Oleh kerana (sepatutnya: Oleh sebab) bumi berbentuk sfera

dan berputar dari barat ke timur, maka…(m.s. 85) 2.8 Kesalahan Kata sendi nama “Dari”

Menurut Nik Safiah Karim et al. (2008), kata sendi nama “dari” digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama yang menyatakan arah, tempat, atau waktu. Ciri ini membezakannya daripada kata sendi nama “daripada” yang hanya digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama yang menyatakan punca

Page 10: Tinjauan Tentang Penggunaan Bahasa Melayu dalam Buku Teks

10

Jurnal Penyelidikan IPG KBL, Jilid 12, 2015

bagi manusia, haiwan atau benda, asal kejadian dan sumber, atau unsur perbandingan atau perbezaan. Penggunaan “dari” pada ayat berikut adalah tidak tepat kerana “fenomena cuaca” bukan “arah, tempat, atau waktu”.

a. … Malaysia bebas *dari (sepatutnya: daripada) fenomena

cuaca yang melampau…(m.s. 104) b. *Dari (sepatutnya: Daripada) graf tersebut, buat satu tafsiran

mengenai keadaan suhu di Tanah Tinggi Cameron dan Kota Kinabalu (m.s. 93)

2.9 Kesalahan Penggunaan Kata Ganti Nama Diri Orang

Nik Safiah Karim et al. (2008) menjelaskan bahawa ‘dia’ dan ‘ia’ ialah kata ganti nama diri orang ketiga. Penggunaan ‘ia’ untuk bukan manusia adalah salah. Oleh sebab itu, penggunaan “ia” untuk merujuk “baja organik” adalah tidak tepat pada ayat berikut.

a. Baja organik ialah baja daripada najis haiwan dan bahan

reputan tumbuh-tumbuhan. *Ia (sepatutnya: Baja tersebut) tidak mengandungi sebarang bahan kimia dan tidak menjejaskan alam sekitar (m.s. 80)

b. Beruang Brown Grizzly memakan tumbuh-tumbuhan *di (sepatutnya: pada) musim bunga dan ikan salmon *di (sepatutnya: pada) musim luruh dan musim panas, *Ia (sepatutnya: Beruang Brown Grizzly) tidur (hibernasi) pada musim sejuk.

2.10 Kesalahan Kata Sendi Nama “Pada” Menurut Nik Safiah Karim et al. (2008), kata sendi nama “pada” digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama untuk menunjukkan keterangan waktu dan tempat, dan digunakan dalam ungkapan ada + pada (manusia dan haiwan) dalam beberapa situasi tertentu. Penggunaan “pada” untuk berpasangan dengan “hingga” dilihat sebagai penggunaan bahasa yang tidak gramatis. Hal ini kerana menurut Nik Safiah Karim et al. (2008); Ismail Dahaman (2002), kata sendi “hingga” digunakan dengan kata sendi “dari” menunjukkan maksud “had” atau “perhinggaan” dari segi “lamanya” atau “tempoh”. a. *Pada (sepatutnya: Dari) bulan Mac hingga Mei, negara-

negara di hemisfera selatan mengalami…(m.s. 89).

2.11 Kesalahan Penggunaan Kata Nafi Menurut Nik Safiah Karim (2008), kata nafi “bukan” menjadi

unsur nafi frasa nama dan frasa sendi nama.

Page 11: Tinjauan Tentang Penggunaan Bahasa Melayu dalam Buku Teks

11

Jurnal Penyelidikan IPG KBL, Jilid 12, 2015

a. *Tidak (sepatutnya: Bukan) semua maklumat sesuai dipersembahkan dalam bentuk graf bar mudah.

2.12 Kesalahan Kata Ganda

Terdapat sebilangan kata dalam bahasa Melayu seperti “antara”, “barisan”, “daftar”, “deretan”, “gabungan”, “gugusan”, “jemaah”, “mesyuarat”, “pelbagai”, “perhimpunan” dan “senarai” yang bermakna “kumpulan” atau “banyak”, iaitu yang melibatkan orang, benda, unsur, perkara dan sebagainya yang lebih daripada satu. Oleh itu, kita tidak perlu menggandakan perkataan yang mengikutnya (Bahagian Pengembangan Bahasa Sektor Awam, 2006).

a. Kebanyakan *bandar-bandar (sepatutnya: bandar) utama…

(m.s. 49) b. Antara *pulau-pulau (sepatutnya: pulau) yang terkenal…

(m.s. 65)

2.13 Kesalahan Penggunaan Kata Hubung “Dan” Kata sendi nama “antara” dan frasa sendi nama “di antara”

boleh membentuk frasa sendi nama berpasangan. Kata yang menjadi pasangan ialah kata sendi nama “dengan” bukan kata hubung “dan” (Bahagian Pengembangan Bahasa Sektor Awam, 2006).

a. Bandingkan kepentingan sungai antara negara Malaysia

*dan (sepatutnya: dengan) Thailand (m.s. 77).

2.14 Kesalahan Kata Tanya dalam Ayat Penyata (Bukan Ayat Tanya)

Menurut Nik Safiah Karim et al. (2008), kata tanya ialah perkataan yang digunakan untuk menanyakan sesuatu atau menyoalkan sesuatu. Menurut Nathesan (2010), penggunaan kata tanya dalam ayat penyata memang tidak menepati peraturan dalam bahasa Melayu. Hal ini selaras dengan pendapat Lee dan Raja Masittah Raja Ariffin (2007) bahawa kata tanya berfungsi untuk membentuk ayat tanya. Kata-kata tersebut tidak seharusnya digunakan untuk membina ayat penyata. Oleh itu, ayat-ayat tersebut tidak gramatis. a. Nyatakan dua sebab *mengapa (sepatutnya: tidak perlu

“mengapa”) Angin Monsun Barat Daya kurang membawa hujan…(m.s. 104)

b. Kita akan mengkaji *bagaimana (sepatutnya: cara) penduduk di kawasan iklim yang berlainan mengamalkan cara hidup yang berbeza (m.s. 106).

Page 12: Tinjauan Tentang Penggunaan Bahasa Melayu dalam Buku Teks

12

Jurnal Penyelidikan IPG KBL, Jilid 12, 2015

2.15 Kesalahan Pengimbuhan Antara kesalahan pengimbuhan yang dinyatakan oleh Awang

Sariyan (2006) dapat dikesan dalam buku teks kajian ialah kesalahan (i) dan (ii). Selain itu, terdapat kesalahan pengimbuhan lain seperti yang ditunjukkan pada (iii), dan (iv) di bawah:

(i) Pengabaian Terhadap Penggunaan Imbuhan MeN- pada

Kata Kerja Aktif Transitif Menurut Nik Safiah Karim et al (2008), awalan “meN-”

ialah awalan yang membentuk kata kerja aktif, sama ada transitif atau tak transitif. Hal ini selaras dengan pendapat Awang Sariyan (2006) yang menyatakan bahawa struktur ayat aktif dengan kata kerja transitif mestilah berawalan “meN-”. Sebagai tambahan, Lee dan Raja Masittah Raja Ariffin (2007), pula menyatakan bahawa semua kata kerja aktif transitif menerima imbulan awalan “meN-” dengan atau tanpa akhiran “-kan” atau “–i”, kecuali kata “makan” dan “minum”.

a. Kita dapat *kaitkan (sepatutnya: mengaitkan)

eksperimen ini dengan pembentukan sistem gunung lipat (m.s. 47).

b. Kita dapat *lihat (sepatutnya: melihat) kebanyakan sungai di Semenanjung Malaysia mengalir dari Banjaran Titiwangsa ke arah Laut China Selatan…(m.s. 52)

(ii) Pengguguran Akhiran “-kan” daripada Kata Kerja yang

Diikuti oleh Satu Kata Kerja Lain yang Setara Lee dan Raja Masittah Raja Ariffin (2007), akhiran “-an”

dan “-i” pada kata kerja terbitan yang berurutan dalam sesuatu ayat tidak boleh digugurkan dengan andaian bahawa imbuhan pada kata kerja terakhir itu sudah merangkumi semua kata kerja yang mendahuluinya. Menurut Awang Sariyan (2006), pengguguran akhiran “-an” daripada kata kerja yang diikuti oleh satu kata kerja lain yang setara dianggap sebagai kesalahan yang berimbuhan dengan imbuhan bahasa.

a. Anda akan dapat *menyata (sepatutnya: menyatakan)

dan menjelaskan ciri tumbuh-tumbuhan semula jadi…(m.s. 146).

Page 13: Tinjauan Tentang Penggunaan Bahasa Melayu dalam Buku Teks

13

Jurnal Penyelidikan IPG KBL, Jilid 12, 2015

Perkataan “menyata” dan “menjelaskan” adalah setara. Oleh itu, akhiran “kan” pada perkataan “menyata” tidak boleh digugurkan.

(iii) Kesalahan Penggunaan Imbuhan “Memper-…-i” untuk

Kata Sendi Nama “Oleh” Menurut Nik Safiah Karim et al. (2008), awalan

“memper-”, apabila bergabung dengan kata dasar daripada kata tugas untuk membentuk kata kerja, membawa makna mendapat sesuatu. Jadi, penggunaan “memper-…-i” untuk kata sendi nama “oleh” adalah tidak betul.

a. Hidupan liar *memperolehi (sepatutnya: memperoleh)

sumber makanan seperti buah-buahan…(m.s. 163).

(iv) Kesalahan Penggunaan awalan meN- apabila diimbuhkan dengan kata dasar (satu suku kata)

Menurut Nik Safiah Karim et al. (2008), awalan “meng-” menjadi “menge“ apabila diimbuhkan pada kata dasar yang bersuku kata satu, baik perkataan Melayu mahupun kata pinjaman. Oleh itu, kata terbitan *menghadkan (m.s. 121) adalah tidak betul kerana kata dasar “had” merupakan satu suku kata dan sepatutnya menerima awalan “menge-” supaya menjadi “mengehadkan”.

3. Kesalahan Sintaksis

3.1 Kesalahan Struktur Frasa Kerja Tak Transitif Menurut Nik Safiah Karim et al. (2008), frasa sendi nama

sebagai pelengkap yang hadir selepas kata kerja tak transitif mendukung makna “tempat” sebagai unsur-unsur yang melengkapkan kata kerja tan transitif. Menurut Abdul Ghalib Yunus (2000), rumus frasa kerja tak transitif, kata kerja tak transitif hendaklah diikuti oleh pelengkap yang terdiri daripada kata sendi nama atau kata keterangan, kata nama atau kata adjektif.

a. Kepentingan Tasik Tonle Sap di kampuchea *berbanding

(sepatutnya: berbanding dengan) Tasik Kenyir di Malaysia (m.s. 72)

b. Penggunaan racun dan baja kimia *berkaitan (sepatutnya: berkaitan dengan) amalan pertanian mengancam kesihatan manusia…(m.s. 84)

Page 14: Tinjauan Tentang Penggunaan Bahasa Melayu dalam Buku Teks

14

Jurnal Penyelidikan IPG KBL, Jilid 12, 2015

3.2 Kesalahan Struktur Frasa Kerja Transitif Salah satu kesalahan yang sering dilakukan oleh pengguna

bahasa ialah pembentukan struktur frasa kerja transitif. Menurut Asraf (1992), frasa kerja transitif ialah frasa kerja yang terdiri daripada kata kerja transitif dengan frasa nama sebagai objek kepada kata kerja transitif itu. Menurut beliau, ada satu peraturan tentang frasa kerja transitif ini yang mesti dipatuhi, iaitu kedudukan antara kata kerja transitif dengan frasa nama yang menjadi objek tidak boleh disisipkan dengan kata-kata lain. Pernyataan tersebut selaras dengan pendapat Nik Safiah Karim (2007) yang menyatakan bahawa kata kerja transitif mesti diikuti oleh objek.

a. ..tempat penginapan dan pengangkutan yang baik telah

*menggalakkan lagi (sepatutnya: gugurkan “lagi”) kedatangan para pengunjung ke sini (m.s. 61).

b. Anda telah *mempelajari tentang (sepatutnya: gugurkan

“tentang”) ciri-ciri cuaca dan iklim di negara kita (m.s. 116). c. Lapisan ozon menyerap dan *membalikkan semula

(sepatutnya: gugurkan “semula” dan diletakkan di antara perkataan “berbahaya” dengan “ke angkasa) sinaran ultraungu yang berbahaya ke angkasa (m.s. 122). Oleh itu, ayat “c” akan menjadi gramatis jika ditulis seperti ayat berikut: Lapisan ozon menyerap dan membalikkan sinaran ultraungu yang berbahaya semula ke angkasa.

3.3 Kesalahan Frasa kerja Tak Transitif

Menurut Nik Safiah Karim et al. (2008), ada kata kerja tak transitif tertentu yang mesti diikuti oleh pelengkap kata nama. Ada dua kumpulan kata kerja tak transitif yang memerlukn pelengkap demikian. Pertama, kata kerja yang berimbuhan “ber-..-kan”. Kedua ialah kata kerja tak transitif ‘menjadi’ dan “ada”.

a. Soalan 1 berdasarkan *kepada (sepatutnya: gugurkan

“kepada”) rajah 1 (m.s. 6) b. Arah mata angin ditentukan dengan berpandukan *kepada

(sepatutnya: gugurkan “kepada”) matahari pada waktu siang dan bintang pada waktu malam (m.s. 10)

3.4 Struktur Ayat Songsang

Menurut Nik Safiah Karim et al. (2008), dalam susunan biasa kata tanya menduduki unsur predikat seperti “Harga barang ini berapa?”. Ayat yang ditunjukkan dalam ayat “a” dan “b” di atas lazimnya mengalami proses pendepanan. Dalam bentuk bahasa

Page 15: Tinjauan Tentang Penggunaan Bahasa Melayu dalam Buku Teks

15

Jurnal Penyelidikan IPG KBL, Jilid 12, 2015

tulisan, ayat “a” dan ayat “b” di bawah perlu menerima partikel “–kah” pada unsur yang dikedepankan.

a. *Bagaimana (sepatutnya: Bagaimanakah) penduduk di

kawasan Gurun Thar mendapat bekalan air pada musim kemarau? (m.s. 115)

b. *Mengapa (sepatutnya: Mengapakah) penduduk Eskimo di

Greenland berpindah-randah mengikut musim? (m.s. 115) 4. Kelewahan

Menurut Zaidi Ismail (2008), kata “kemudahan” yang digabungkan dengan kata “infrastruktur” sepatutnya digugurkan sahaja kerana dalam kata “infrastruktur” sudah ada maksud “kemudahan”. Sekiranya kata “kemudahan” ingin dikekalkan, kata “infrastruktur” perlu digantikan dengan kata “asas”, dan disebut “kemudahan asas”. Hal ini kerana “kemudahan asas” dan “infrastruktur” sememangnya bersinonim dan tidak sepatutnya digunakan secara serentak.

a. Kemudahan infrastruktur seperti tempat penginapan… (m.s. 61)

Kesimpulan Apabila membincangkan kesalahan penggunaan bahasa,

sememangnya akan wujud percanggahan pendapat. Hal ini kerana wujudnya dua golongan yang mempunyai perspektif yang berbeza terhadap tatabahasa, iaitu golongan yang bersikap preskriptif dan golongan yang mengamalkan pendekatan deskriptif. Walau bagaimanapun, dalam konteks pendidikan khususnya yang berkaitan pengajaran dan pembelajaran di sekolah. Satu panduan penggunaan bahasa yang betul amat diperlukan. Oleh sebab itu, buku-buku pegangan yang disyorkan oleh kementerian pelajaran harus dimanfaatkan dengan sepenuhnya kerana menurut Nik Safiah Karim et al. (2008), konsep tatabahasa rujukan atau pegangan ialah suatu hasil yang dapat memberikan panduan dan menjadi asas rujukan penuturnya.

Daripada analisis yang dibuat, dapat dikesan bahawa terdapat beberapa kesalahan ejaan, morfologi dan sintaksis dalam buku teks yang dikaji. Malahan, penggunaan bahasa secara lewah juga terdapat dalam buku teks tersebut. Selaras dengan objektif kajian, cadangan tentang penggunaan bahasa yang lebih baku atau gramatis turut dikemukakan. Bagi memperlihatkan kekerapan setiap kesalahan bahasa tersebut, maka dicadangkan satu kajian secara analisis kandungan. Dengan ini, barulah gambaran keseluruhan tahap penggunaan bahasa Melayu ini dapat dikemukakan untuk diketahui oleh pihak berkenaan.

Page 16: Tinjauan Tentang Penggunaan Bahasa Melayu dalam Buku Teks

16

Jurnal Penyelidikan IPG KBL, Jilid 12, 2015

Memandangkan kajian penggunaan bahasa Melayu ini hanyalah bersifat tinjauan deskriptif dan memberikan fokus kepada buku teks geografi tingkatan satu sahaja, tumpuan kajian pula hanyalah kepada aspek ejaan, morfologi dan sintaksis. Oleh itu, tidak ada generalisasi dibuat berdasarkan dapatan kajian ini. Sebaliknya, kajian ini bermatlamat untuk meningkatkan mutu bahasa Melayu dalam buku teks mata pelajaran lain. Oleh itu, cadangan yang dikemukakan berhubung dengan penggunaan bahasa Melayu baku dalam kajian ini diharapkan dapat menarik perhatian pihak berkenaan. Setidak-tidaknya, pelajar-pelajar harus disedarkan tentang kesalahan tersebut apabila guru menggunakan buku teks tersebut. Pada masa yang sama, guru yang mengajarkan mata pelajaran tersebut haruslah membetulkan kesalahan bahasa yang ditemukan di hadapan murid. Dengan ini, barulah tahap penguasaan bahasa yang betul dalam kalangan pelajar dapat ditingkatkan sekali gus menghampiri matlamat BMMK dan MBMMBI. Nota. Versi awal artikel ini telah dibentangkan dalam International Conference on Language Studies 2014, Centre for Language Studies, Universiti Malaysia Sarawak pada 27-28 Oktober 2014.

Rujukan

Abdul Ghalib Yunus (2000). Kesalahan bahasa dalam soalan peperiksaan.

Jurnal Dewan Bahasa, 44(4), 468-483. Abdul Hamid Mahmood. (2002). Guru dan bahasa Melayu. Kuala Lumpur:

Media Printext (M) Sdn. Bhd. Abdul Razak Ismail & Ishak Ramly. (1991). Suatu tinjauan terhadap

perancangan dan pelaksanaan bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar di sekolah. Dlm. Abdul Hamid Mahmood & Asiah Idris (pnys.). Tinjauan Pelaksanaan Dasar Bahasa dalam sistem pendidikan Negara di peringkat sekolah, hlm. 27-44. Kuala Lumpur: Persatuan Linguistik Malaysia/Dewan Bahasa dan Pustaka.

Awang Sariyan. (2006). Warna dan suasana perancangan bahasa Melayu di Malaysia (edisi kedua). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Chua, Y. P. (2006). Kaedah dan Statistik Penyelidikan: Kaedah Penyelidikan Buku 1. Kuala Lumpur: MacGraw-Hill (Malaysia) Sdn. Bhd.

Daftar Kata Bahasa Melayu (2008) Edisi Kedua. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Bahagian Pengembangan Bahasa Sektor Awam (2006). Koleksi pedoman bahasa Bil.1 (2006). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka

Kamus Dewan. (2005). Edisi Keempat. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Kamus Linguistik (1997). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Bahagian Perkembangan Kurikulum. (2003). Kurikulum bersepadu sekolah

rendah: Sukatan pelajaran bahasa Melayu. Kuala Lumpur: Kementerian Pelajaran Malaysia.

Page 17: Tinjauan Tentang Penggunaan Bahasa Melayu dalam Buku Teks

17

Jurnal Penyelidikan IPG KBL, Jilid 12, 2015

Unit Komunikasi Korporat (t.t). Memartabatkan Bahasa Malaysia Memperkukuh bahasa Inggeris. Putrajaya: Kementerian Pelajaran Malaysia. Diakses daripada http://www.moe.gov.my/v/mbmmbi-view? id=1438&page%3D1%26keyword%3D%26

Lee, L. F., & Raja Masittah Raja Ariffin (2007). Petunjuk bahasa. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Nathesan, S. (2010). Beberapa persoalan penggunaan bahasa Melayu dan penyelesaiannya (edisi kedua). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Nik Safiah Karim, Farid M. Onn, Hashim Musa & Abdul Hamid Mahmood. (2008). Tatabahasa Dewan (edisi ketiga). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Rahimah Sabran & Nuwairi Khaza’ai. (1991). Tinjauan terhadap buku teks bahasa Malaysia KBSM-Tingkatan 1, 2, dan 3. Dlm. Abdul Hamid Mahmood & Asiah Idris (pnys.). Tinjauan Pelaksanaan Dasar Bahasa dalam sistem pendidikan Negara di peringkat sekolah, hlm. 45-66. Kuala Lumpur: Persatuan Linguistik Malaysia/Dewan Bahasa dan Pustaka.

Wan Mohd. Zahid Mohd. Noordin. (1991). Bahasa Malaysia Merentas Kurikulum: Tinjauan terhadap penggunaan bahasa Malaysia sebagai pengantar mata pelajaran KBSM. Dlm. Abdul Hamid Mahmood & Asiah Idris (pnys.). Tinjauan Pelaksanaan Dasar Bahasa dalam sistem pendidikan Negara di peringkat sekolah, hlm. 67-80. Kuala Lumpur: Persatuan Linguistik Malaysia/Dewan Bahasa dan Pustaka.

Zaharani Ahmad. (2008). Data Korpus dan Nahu Praktis. Dlm. Zaharani Ahmad (pnyt.). Aspek nahu praktis bahasa Melayu, hlm. 15-20. Bangi: UKM.