teknik syarahan

Upload: cik-uniey

Post on 18-Jul-2015

1.883 views

Category:

Documents


10 download

TRANSCRIPT

TEKNIK SYARAHAN

1.0 PENGENALAN

Pada umumnya, apabila sesuatu pendekatan telah dipilih oleh guru dalam proses pengajaran dan pembelajaran, teknik-teknik juga diperlukan untuk mengukuhkan lagi pendekatan yang dipilih oleh guru tersebut. Pelbagai pendekatan yang boleh dijadikan panduan oleh guru dan guru hanya perlu memilih satu pendekatan sahaja. Namun, teknik yang hendak digunakan oleh guru boleh melebihi daripada satu. Antara teknik yang boleh digunakan dalam proses pengajaran dan pembelajaran ialah teknik bercerita, teknik latih tubi, teknik bersyarah, teknik main peranan, teknik menghafaz, teknik simulasi dan sebagainya. Teknik yang digunakan dalam pendekatan komunikatif ialah teknik syarahan. Teknik didefinisikan sebagai pengendalian suatu organisasi yang benar-benar berlaku di dalam bilik darjah. Teknik merupakan satu cara pengendalian yang digunakan untuk mencapai sesuatu objektif yang segera. Selain itu, teknik juga merupakan satu alat yang digunakan oleh guru bahasa bagi menyampaikan bahan-bahan pengajaran bahasa yang telah dipilih untuk pelajar-pelajarnya. (Pengajian Melayu 3, 1997, hal. 132). Kepelbagaian memilih teknik dalam proses pengajaran dan pembelajaran adalah bertujuan untuk menarik minat para pelajar. Sebenarnya, guru harus bijak dalam merancang sesuatu pengajaran. Hal ini demikian kerana, para pelajar akan lebih tertarik serta membangkitkan rasa ingin tahu para pelajar dengan pengajaran guru yang berkesan. Oleh itu, untuk mencapai objektif pengajaran yang berkesan guru seharusnya bijak memilih teknik- teknik pengajaran yang ada. Guru juga mestilah peka terhadap umur, kecerdasan, kebolehan dan minat para pelajar sebelum memilih teknik yang ingin digunakan di dalam bilik darjah. Contohnya, menurut kajian ahli psikologi iaitu Jean Piaget, dalam perkembangan kognitif kanak-kanak yang berumur enam hingga sebelas tahun, teknik pengajaran yang sesuai digunakan oleh guru untuk menyampaikan sesuatu pengajaran ialah teknik bercerita, permainan dan sebagainya.

1

2.0 DEFINISI TEKNIK SYARAHAN Teknik syarahan adalah salah satu teknik pengajaran yang boleh digunakan oleh guru-guru di sekolah. Teknik syarahan bermaksud seseorang guru yang mempunyai ilmu pengetahuan memberi pengajaran kepada murid secara syarahan. Guru diibaratkan memenuhi tong yang kosong, yang mana guru dianggap individu yang mengetahui segala-galanya dan pelajar tidak mengetahui apa-apa. Teknik ini juga dipanggil sebagai teknik kuliah. Biasanya, teknik ini kerap kali digunakan di institusi-institusi pengajian tinggi. Teknik ini adalah berpusat kepada guru dan pelajar hanya

bertindak sebagai pasif, tidak bergiat cergas dalam aktiviti-aktiviti yang dirancang oleh guru. Teknik ini melibatkan pengajaran prinsip-prinsip serta fakta-fakta oleh guru secara lisan dan hanya berlaku dalam komunikasi satu hala kerana hanya guru yang bertindak memberi syarahan di dalam bilik darjah. Interaksi satu hala boleh menyebabkan pelajar tidak dapat melibatkan diri dalam pengajaran bilik darjah. Hal sedemikian, menyebabkan pelajar mudah bosan dengan pengajaran yang disampaikan oleh guru. 3.0 CIRI-CIRI TEKNIK SYARAHAN Penggunaan bahasa yang sesuai dan betul penting dalam teknik syarahan ini agar proses pengajaran dan pembelajaran dapat berjalan dengan lancar dan berkesan. Ketika menyampaikan pengajaran yang menggunakan teknik syarahan, aspek penting yang perlu diberi perhatian ialah dari segi intonansi dan juga sebutan yang betul, dan pemilihan kosa kata yang betul dan sesuai mengikut konteks serta situasi. Penggunaan bahasa yang tidak sesuai dan tidak jelas akan menyebabkan berlakunya ketidakfahaman kepada para pelajar. Tahap penguasaan bahasa yang baik akan membolehkan guru melahirkan apa yang sebenarnya mahu disampaikannya kepada para pelajarnya. Bahasa sebenarnya mempunyai gaya yang tersendiri. Gaya ialah cara kita memilih dan menyusun kata-kata dalam ayat. Gaya juga adalah berbeza antara individu dan berbeza mengikut suasana, situasi dan sebagainya. Pemilihan perkataan yang ringkas dan pendek akan menjadi lebih jelas dan lebih segera difahami oleh pelajar berbanding menggunakan perkataan yang lebih panjang dan sukar.

2

Ciri yang kedua dalam teknik syarahan ialah nada suara yang sesuai. Guru perlu mengelakkan daripada menggunakan nada kemarahan, nada bengis atau nada yang meninggi yang menunjukkan perasaan marah. Penggunaan nada sebegini terkeluar daripada kesantunan bahasa. Begitu juga dengan nada mengejek atau menghina pelajar akan membuatkan pelajar kurang bermotivasi untuk meneruskan pembelajaran. Guru hendaklah cuba mengawal lidah supaya tidak menggunakan nadanada sebegini. Sebagai guru, mereka hendaklah menggunakan nada kelembutan supaya dapat menyenangkan hati pelajar. Suara merupakan alat utama kepada guru dalam menyampaikan mesej yang bercorak ilmu pengetahuan. Suara guru diibaratkan sebagai sebuah kereta. Namun, baik mahupun buruk enjinnya, ia tetap akan sampai tetapi kelicinan perjalanan ke destinasinya adalah berbeza. Oleh hal yang demikian, sangat penting untuk guru memperbaiki kualiti suara. Guru hendaklah menggunakan kepelbagaian nada suara supaya dapat mengekalkan minat dan menarik perhatian pelajar. Hal ini untuk

mengelakkan suara guru menjadi seperti suara robot ataupun bercakap dengan nada yang sama. Malahan, guru juga hendaklah mencari perkataan-perkataan yang menjadi kata kunci dan meninggikan suara apabila menyebut perkataan-perkataan tersebut. Selain itu, guru juga hendaklah memberi soalan-soalan yang mencabar pemikiran pelajar supaya dapat meningkatkan pembelajaran murid dan seterusnya dapat mewujudkan suasana

pembelajaran yang lebih berkesan. Namun soalan tersebut juga hendaklah disesuaikan dengan peringkat umur dan tahap kebolehan seseorang pelajar tersebut. Soalan-soalan yang diajukan oleh guru kepada pelajar ini secara tidak langsung sebenarnya akan membuatkan pelajar terlibat secara aktif dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran dalam kelas. 4.0 TIGA FASA DALAM TEKNIK SYARAHAN Syarahan atau kuliah bukannya satu ucapan formal. Syarahan atau kuliah lebih mengutamakan kepentingan interaksi antara pengajar dengan pelajar. Antara cadangan atau panduan dalam membuat persediaan dan penyampaian syarahan yang berkesan terbahagi kepada tiga fasa iaitu pengenalan, pengisian kuliah (isi kandungan) dan penutup. Fasa yang pertama iaitu, pengenalan merupakan3

permulaan suatu syarahan atau kuliah. Guru harus memulakan sesi pengajaran dengan pengenalan yang boleh menarik minat atau perhatian pelajar agar pelajar dapat memberi sepenuh perhatian terhadap pengajaran yang akan disampaikan oleh guru. Misalnya guru menimbulkan satu persoalan yang akan dijawab oleh pelajar pada akhir kuliah. Contohnya guru akan menyoal sama ada pelajar mengetahui apa yang dikatakan dengan kata nama dan adakah pelajar tahu apa itu kata nama?. Jika pelajar memahami, maka pembelajaran yang dijalankan akan lebih berkesan. Fasa kedua ialah pengisian kuliah yang meliputi isi kandungan syarahan atau kuliah. Guru tidak boleh memberi syarahan atau kuliah sahaja dalam bentuk pengisian sepenuhnya. Hal ini akan menyebabkan pelajar berasa cepat bosan dengan penerangan yang disampaikan oleh guru. Oleh itu guru perlulah memberi sedikit fleksibiliti atau kelonggaran dalam pengisian bilik darjah yang disampaikan supaya ada ruang untuk pelajar bertanya atau memberi komen. Apabila pelajar mengemukakan soalan proses pengajaran dan pembelajaran akan lebih menarik dan berlaku pembelajaran secara dua hala. Guru haruslah menentukan key points yang ingin dihuraikan semasa sesi kuliah agar memudahkan pelajar memahami tentang sesuatu tajuk yang diajar. Selain itu, guru haruslah menyusun bahan pengisian kuliah dalam urutan yang logikal. Terdapat beberapa cadangan skima penyusunan isi kandungan kuliah iaitu, sebab-akibat, berasaskan topik, masalah penyelesaian dan sebagainya. Selain itu, guru haruslah menyediakan beberapa contoh untuk menjelaskan dan menekankan isi-isi penting. Hal ini memudahkan pelajar untuk mengingat dan memahaminya. Tambahan pula guru haruslah memberi peluang kepada pelajar untuk mengemukakan pertanyaan sekiranya tidak memahami pelajaran yang telah disampaikan oleh guru. Fasa yang terakhir ialah penutup. Pada fasa ini guru akan menamatkan sesi pengajaran dengan menjawab soalan-soalan yang dikemukakan pada awal kuliah. Selain itu, guru boleh menamatkan sesi pengajaran dengan cadangan-cadangan seperti merumuskan sesi pengajaran secara ringkas dan memberi serba sedikit topik yang akan dibincangkan pada sesi pengajaran yang akan datang. Disamping itu, guru mengaitkan semula bahan kulian ke sesi yang lepas atau yang akan datang.4

5.0 KEBAIKAN TEKNIK SYARAHAN Kebaikan merupakan kelebihan yang terdapat dalam penggunaan sesuatu teknik. Terdapat beberapa kebaikan apabila guru menggunakan teknik syarahan di dalam bilik darjah mahupun di dalam bilik kuliah. Hal ini kerana teknik syarahan dapat digunakan oleh guru atau pensyarah di sekolah dan institut pengajian tinggi. Jika teknik syarahan ini digunakan penggunaan saiz bilik kuliah atau kelas yang tidak terhad membolehkan kaedah ini dijalankan dengan lebih berkesan. Hal ini kerana saiz bilik kuliah tidak bergantung kepada kaedah syarahan. Walaupun begitu, bagi memberi keselesaan kepada pelajar dan guru, bilangan pelajar perlu bersesuaian dengan ruang kuliah atau kelas yang digunakan. Perkara ini akan mempengaruhi proses pembelajaran dan pengajaran. Kebaikan kedua ialah kaedah syarahan dapat memberi impak yang positif terhadap penyampaian seseorang guru. Penyampaian maklumat boleh dilakukan dalam masa yang singkat dan jelas. Selain itu, guru dapat memperkenalkan topik-topik baru dengan mudah kepada pelajar. Melalui teknik ini guru dapat menyampaikan idea yang hendak diajar kepada pelajar secara terus. Selain itu juga guru boleh menetapkan objektif pengajaran dan pembelajaran yang hendak diajar sebelum memulakan kelas. Setelah memastikan objektif-objektif tersebut, barulah guru boleh menyampaikan proses pengajaran dan pengajaran secara berkesan. Penyediaan objektif semestilah berdasarkan isi atau kandungan mata pelajaran yang terkandung dalam sukatan mata pelajaran tersebut. Jumlah objektif tertakluk kepada kelas yang diajar, bagi kelas yang mempunyai pencapaian pelajarnya yang baik, bilangan objektif pengajaran mungkin lebih daripada kelas yang agak lemah

pencapaian pelajarnya. Selain itu juga, melalui teknik syarahan ini guru dapat mengawal masa pengajaran. Sekiranya masa lebih daripada mencukupi, guru boleh menambahkan contoh-contoh atau mengulangi semula isi-isi penting. Contohnya jika masa pengajaran habis awal, guru boleh menguji tahap kefahaman pelajar dengan member kuiz atau sebagainya. Selain itu juga jika terdapat ketidakfahaman daripada pelajar guru boleh memberi penjelasan secara berulang kali. Pelajar juga boleh menggunakan keseluruhan pancaindera mereka terhadap pembelajaran dengan melihat apa yang ditunjukkan oleh5

guru, mendengar segala yang diperkatakan dan membuat cacatan atau menyalin nota. Namun jika kesuntukkan masa, guru boleh mempercepatkan pengajaran dengan mengurangkan contoh-contoh yang hendak diajar. Oleh itu, teknik ini sesuai digunakan oleh guru di sekolah supaya dapat menghabiskan sukatan pelajaran mengikut perancangan yang telah ditetapkan. Kebaikan seterusnya ialah guru dapat mengetahui pemahaman pelajar tentang topik yang diajar. Hal ini kerana, apabila guru memberi penerangan pelajar perlu memberi sepenuh perhatian terhadap pengajaran yang telah berlangsung. Guru dapat mengetahui tahap kefahaman pelajar melalui sesi soal jawab di akhir kuliah. Hal ini bermakna, guru akan bertanyakan beberapa soalan kepada para pelajar dan jika pelajar dapat menjawab soalan tersebut pengajaran yang berlangsung adalah berkesan dan jika pelajar tidak dapat menjawab guru perlu memberi penerangan atau merumuskan tentang topik yang diajar supaya pelajar dapat mengetahui serba sedikit topik yang diterangkan oleh guru tersebut. Secara amnya, teknik syarahan ini mempunyai banyak kebaikan daripada keburukan. Namun, untuk memastikan teknik ini berjalan dengan lancar dan berkesan, guru perlulah memainkan peranan yang penting semasa menjalankan proses pengajaran dan pembelajaran. Hal ini demikian, kerana teknik syarahan lebih bergantung kepada guru itu sendiri dalam mengaplikasikan teknik ini dalam bilik darjah supaya pelajar dapat memahami isi pengajaran dengan lebih teliti. 6.0 KELEMAHAN TEKNIK SYARAHAN Syarahan pada umumnya melibatkan perancangan dan penyampaian sesuatu pengajaran dan pembelajaran (P&P) di dalam kelas. Teknik syarahan mengutamakan kepentingan interaksi dua hala antara guru dengan pelajar. Namun demikian, usaha untuk melaksanakan aktiviti pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas sesetengah pelajar akan menjadi pasif. Selain itu juga pelajar akan menjadi malas untuk berusaha dalam mencari ilmu dan maklumat berkaitan. Hal ini kerana, melalui teknik syarahan guru akan menyediakan semua bahan yang hendak digunakan dalam proses pengajaran dan pembelajaran dan pelajar hanya menerima secara pasif. Melalui teknik syarahan ini pelajar lebih banyak mendengar berbanding bertutur.6

Selain itu, kelemahan dalam teknik syarahan ini menggalakkan komunikasi secara sehala. Hal ini berlaku kerana dalam aktiviti pengajaran yang menggunakan teknik ini, guru yang akan mempersembahkan sesuatu tajuk. Seterusnya tajuk tersebut akan diterangkan secara keseluruhan oleh guru semasa di dalam kelas. Keadaan inilah yang dinamakan sebagai komunikasi secara sehala. Hal ini akan menyebabkan pelajar tidak dapat mengembangkan idea mereka di dalam kelas. Selain itu juga, sesetengah pelajar tidak akan terlibat secara langsung dalam memberi idea atau pendapat berkenaan tajuk yang bincangkan oleh guru dalam proses pengajaran. Disamping itu juga, teknik ini memerlukan guru atau tenaga pengajar mempunyai ilmu dan kemahiran yang tinggi dari segi penyampaian. Hal ini penting bagi menarik minat pelajar untuk mendengar dan memahami mesej yang hendak disampaikan. Jika penyampaian kurang berkesan, pelajar akan mudah berasa jemu dan bosan untuk mendengar ilmu yang hendak disampaikan. Oleh itu, secara tidak langsung pembelajaran yang berlaku tidak akan berkesan ke atas pelajar. Hal ini juga boleh melahirkan pelajar yang kurang berminat terhadap pembelajaran akibat proses pengajaran yang disampaikan oleh guru kurang menarik perhatian pelajar terhadap pelajaran. Kesimpulannya, walaupun terdapat beberapa kebaikan dalam teknik syarahan ini, namun perlu diingatkan bahawa jika guru sering menggunakan teknik ini sahaja ia akan melahirkan pelajar yang pasif di dalam bilik darjah. Oleh itu guru perlu menggunakan pelbagai teknik dalam proses pengajaran supaya proses pengajaran dan pembelajaran yang berlaku lebih berkesan. 7.0 PENUTUP Kesimpulanya, teknik syarahan yang lebih kepada berpusatkan guru. Hal ini kerana, teknik ini memerlukan kepakaran guru daripada segi ilmu pengetahuan dan kemahiran menerang. Dalam hal ini, guru akan lebih banyak memberi penerangan. Manakala, pelajar lebih banyak mendengar. Teknik ini dilihat sebagai kurang berkesan kerana menggalakkan para pelajar kurang aktif di dalam kelas dan pelajar akan menjadi malas berusaha kerana semuanya sudah diterangkan oleh guru. Oleh itu, sebagai guru mereka harus mengaplikasikan teknik ini dengan menggunakan pelbagai alternatif seperti apabila tamat sesi pengajaran guru hendaklah menguji kefahaman pelajar dengan7

mengemukakan soalan. Malah, guru juga boleh menggunakan teknik ini dengan subjek yang sesuai dan diselang selikan dengan teknik yang lain supaya proses pengajaran dan pembelajaran akan lebih berkesan. Hal ini penting, supaya pelajar dapat memahami dan mengaplikasikan ilmu pengetahuan yang disampaikan oleh guru dalam kehidupan sebenar. Sekolah diibaratkan sebagai tempat bermulanya proses pembentukkan masyarakat. Oleh itu, semuanya bermula semasa proses pengajaran dan pembelajaran berlangsung di dalam kelas.

8