status sekolah agama rakyat sar dalam sistem pendidikan kebangsaan satu cadangan model penyelesaian

Upload: sharif01

Post on 04-Mar-2016

33 views

Category:

Documents


0 download

DESCRIPTION

sekolah agama rakyat

TRANSCRIPT

  • 1Status Sekolah Agama Rakyat (SAR) Dalam Sistem Pendidikan Kebangsaan: Satu Cadangan Model Penyelesaian

    Azizi Umar & Supyan Hussin Universiti Kebangsaan Malaysia

    1.0 Pengenalan

    Kertas kerja ini secara ringkas akan membincangkan tentang empat perkara utama mengenai sejarah penginstitusian SAR, amalan pengurusan sebelum ini, pembaikan model sedia ada termasuk satu model mekanisme penyelesaian kepada masalah kedudukan SAR (sekolah agama rakyat) di Malaysia. Sebelum model tersebut dikemukakan, adalah lebih baik kita meneliti status pengurusan organisasi dan penyelarasan SAR dari sudut sejarah, model yang sedia ada, masalah yang dihadapi, dan cadangan model yang pernah dicadangkan sebelum ini. Perkara tersebut perlu dibincangkan terlebih dahulu agar penulis dapat memberikan kefahaman kepada peserta tentang kesinambungan dan proses-proses yang telah berlaku dan mempunyai hubungan kait yang sangat rapat antara satu sama lain.

    Sepertimana yang diketahui, umumnya SAR merupakan sebuah institusi pendidikan Islam yang ditubuhkan oleh pihak Jemaah Pengurusan Sekolah atau masyarakat tempatan dengan kerjasama daripada pihak berkuasa agama negeri samada pihak kerajaan mahupun Majlis Agama Islam negeri sebagai sebuah badan berkanun. Kewujudannya bukanlah baru kerana ia bukan sahaja berlaku di Malaysia malah di negara umat Islam yang lain (Hassan Langgulung 1997). Cuma pengurusan dan pengorganisasian bagi SAR berbeza antara negara dengan negara Islam yang lain. Umumnya, SAR juga disebut institusi pendidikan Islam yang dikenali sebagai madrasah iaitu satu perubahan system pengajiannya yang bertukar daripada bukan formal kepada formal atau dari sistem umumi kepada nizami (Abdullah Ishak 1995).

    SAR bolehlah dikatakan institusi terawal orang Melayu sebelum Inggeris memperkenalkan sistem pendidikan Barat. Sekolah Inggeris tidak mendapat sambutan daripada orang-orang Melayu sehingga Inggeris terpaksa memperkenalkan Sekolah Melayu. Melihat kejayaan paradigma dan sekolah moden bagi orang-orang Melayu, Inggeris mula mengiktiraf Sekolah Al-Quran sebagai saingan kepada sistem pondok (Mansor Sanusi 1956). Sekolah Melayu asal bagi orang-orang Melayu ialah pondok yang sempat berubah kepada sistem sekolah hasil usaha gerakan Islah pada peringkat awal kaum muda di Tanah Melayu (Abdullah Ishak 1995) Sekolah Al-Quran yang mirip SRA hari ini lama-kelamaan menjadi sekolah Melayu.

    2.0 Sejarah pembangunan dan penginstitusiannya Dalam Arus Pendidikan Perdana

    2.1 Undang-undang Bantuan Kewangan

    Usaha membangunkan SAR di Malaysia telah bermula sejak awal kemerdekaan lagi. Usaha tersebut bertujuan untuk memastikan hal ehwal yang berkaitan dengan agama Islam perlu dibangunkan dan dimajukan sesuai dengan penerimaan masyarakat terhadap agama Islam sebagai agama rasmi Negara. Tinggal lagi, bagaimana untuk mencari mekanisme yang sesuai dalam membangunkan SAR. Langkah pertama yang menjadi titik sejarah permulaan pembangunannya

    1 Prosiding ini telah dibentangkan dalam Seminar Kebangsaan Pendidikan Negara Kali ke-4 anjuran Fakulti

    Pendidikan UKM pada 3 hingga 4 Ogos 2010 bertempat di ESSET, Bangi.

  • ialah apabila kerajaan persekutuan bersetuju untuk menimbang dan memberikan bantuan kewangan SAR. Langkah ini adalah hasil daripada Laporan Jawatankuasa Menimbang Bantuan Kewangan Kepada Sekolah-sekolah Agama Islam Bukan Kerajaan yang dipengerusikan oleh Encik Abdul Rahman Talib, Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kerajaan Tempatan pada masa itu (1956).

    Langkah di atas telah diperkukuhkan dengan mewujudkan undang-undang bantuan kewangan dalam Akta Pelajaran 1961 (Pindaan 1963) agar SAR dibenarkan dalam perundangan awam. Bantuan tersebut dimulakan sejak tahun 1959 dan Kementerian Pelajaran telah mengambil inisiatif melantik seorang pegawai, En. Salleh Othman, pegawai pertama dalam sejarah pegawai-pegawai persekutuan untuk menguruskan bantuan tersebut (JPA 1977). Satu unit perhubungan sekolah yang khusus menjaga Sekolah Agama Rakyat di bawah bahagian Sekolah telah diwujudkan. Dalam seksyen 3 (1) dan (2) Akta Pelajaran 1961 dinyatakan dengan jelas undang-undang berkenaan dengan bantuan kewangan tersebut seperti berikut;

    (1) Subject to such conditions and limitations as the Minister thinks fit, financial assistance by way of grant may be given out of moneys provided by Parliament to any Muslim institution which is not maintained by the Minister under the Education Act, 1961, or by the government of a State and which either is school within the meaning of that Act or is only not such a school because the teaching there is of a purely religious character or for a purely religious purpose.

    (2) Sub-section (1) shall be deemed have had effect in relation to finacaial assinstance given before the passing of this Act.

    Berasaskan sejarah tersebut, penulis berpandangan penginstitusian hal ehwal Islam ke dalam sistem kebangsaan bermula dengan bidang pendidikan sebelum bidang-bidang lain seperti haji, fatwa, zakat, wakaf dan lain-lain lagi. Namun hari ini kita melihat perkembangannya, bidang pendidikan masih lagi terkebelakang dan terumbang-ambing dalam mencari status jaminan dan perlindungannya di dalam akta atau seumpamanya. Kita juga melihat bagaimana bidang ekonomi dengan Akta Bank Islam, urusan haji dengan Akta Tabung Haji telah jauh ke hadapan berbanding dengan urusan pendidikan. Ini tidak termasuk penyelarasan pengurusan dalam bidang kehakiman syarie dengan wujudnya Jabatan Kehakiman Syariah (JKSM) dan urusan berkaitan wakaf, zakat dengan tertubuhnya JAWHAR. Perkembangan yang baik dalam institusi-institusi yang disebutkan tidak sedikit pun memberi kesan kepada usaha untuk menyelaraskan sekolah-sekolah agama di peringkat persekutuan.

    Walau bagaimanapun, kita tidak menafikan sudah terdapat usaha terbaru yang menuju ke arah tersebut seperti penyelarasan enakmen negeri (1987), penyeragaman sijil tertinggi agama menjadi Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) (Memorandum Perjanjian 1999) dan pengiktirafannya dalam skim perkhidmatan awam (Pekeliling Perkhidmatan Awam 2008). Namun, melihat kepada tempoh perkembangannya, ia sudah berdepan dengan pelbagai kekangan yang telah merugikan pelajar-pelajar dan sekolah. Penyeragaman STAM memang benar memberikan kebaikan dari satu sudut tetapi dari sudut yang lain pula khususnya jaminan kualiti mengikut keperluan agama dan tujuan pendidikan masih terus dipersoalkan sehingga belum ditemui jalan noktahnya.

    Berbalik kepada perbincangan mengenai sejarah bantuan yang disebutkan sebelum ini, bantuan yang diberikan tersebut sejak kemerdekaan juga dikenali sebagai bantuan per kapita yang telah diberhentikan sejak tahun 2002 akibat krisis keganasan antarabangsa 11 September 2001 (Rosnani 2004). Bantuan ini sebenarnya bukanlah bantuan per kapita dalam erti kata yang sebenar (Azizi Umar & Supyan Hussin 2009). Menurut buku panduan yang disediakan oleh Kementerian Kewangan dan Kementerian Pelajaran, bantuan per kapita ialah bantuan yang diberikan berasaskan mata pelajaran dan bukan mata pelajaran dengan kadar yang telah ditetapkan

  • mengikut kadar semasa. Bantuan per kapita yang diberikan kepada SAR ialah bantuan per kepala yang diberikan berasaskan bilangan pelajar di sekolah tersebut dengan kadar yang telah ditentukan (Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan, KPM 1996).

    Undang-undang bantuan kewangan tersebut terus diperkukuhkan apabila penggubalan Akta Pendidikan yang baru pada tahun 1995 yang dikenali Akta Pendidikan 1996. Dalam seksyen 52 akta tersebut ada menyebut;

    Tertakluk kepada apa-apa syarat dan batasan yang difikirkan oleh Menteri patut dikenakan, bantuan kewangan secara sumbangan boleh diberikan daripada wang yang diperuntukkan oleh Parlimen kepada sesuatu institusi pendidikan Islam, yang tidak disenggarakan oleh Menteri di bawah Ata ini atau oleh Kerajaan sesuatu Negeri dan sama ada yang merupakan suatu institusi pendidikan mengikut pengertian Akta ini atau bukan institusi pendidikan sedemikian, hanya kerana pengajaran di institusi itu adalah terbatas kepada pengajaran agama Islam semata-mata.

    2.2 Proses Penginstitusian Lain

    Kertas ini tidak membincangkan tentang bantuan kewangan secara terperinci kerana ia memerlukan kertas kerja lain yang membincangkan hal tersebut secara khusus. Bantuan kewangan yang disebutkan dalam perbincangan awal ini bertujuan untuk melihat perkara-perkara asas dalam memberhentikan bantuan kepada SAR ialah bertitik tolak daripada sumber kewangan. Dari sumber kewangan tersebutlah lahirlah langkah baru yang lebih mantap dan dilaksanakan kemudiannya untuk memperkukuhkan SAR di seluruh negara. Usaha untuk membangunkan SAR bukanlah usaha eksklusif kerajaan persekutuan tetapi ia adalah hasil daripada desakan masyarakat, ahli pendidikan dan ahli politik termasuklah pemilik SAR sendiri. Ia dilihat sebagai tindakan pro-aktif apabila terdapat pelajar lepasan SAR yang berada di dalam kepegawaian dan individu penting dalam penggubalan polisi.

    Antara langkah seterusnya yang telah diusahakan ialah seperti berikut;

    1. Pengambilalihan Sekolah Menengah Agama Rakyat (SMAR) Sebagai Sekolah Bantuan Penuh Kerajaan berdasarkan Akta Pelajaran 1961 pada tahun 1977 (Laporan Bahagian Pelajaran Agama 1978)

    2. Penubuhan Lembaga Penasihat Penyelarasan Pelajaran dan Pendidikan Agama Islam pada tahun 1983 (LEPAI)

    3. Penyelarasan Enakmen Pengawalan Sekolah-sekolah Agama Islam 1987 4. Penyeragaman sijil tertinggi agama sebagai Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) mulai

    1998 (Laporan Tahunan JAKIM 2000) 5. Pendaftaran SAR Sebagai Sekolah Bantuan Kerajaan berdasarkan Akta Pendidikan 1996

    mulai 2005 (Kertas Makluman KPM 2005)

    3.0 Amalan Pengurusan Sebelum Ini

    Penulis membahagikan amalan pengurusan sebelum ini kepada dua iaitu amalan pengurusan yang bermodelkan pengurusan negeri dan amalan pengurusan yang bermodelkan Kementerian Pelajaran. Dari sejarahnya, terdapat dua pihak yang menguruskan SAR di peringkat organisasi persekutuan iaitu bermula dengan Kementerian Pelajaran mulai pada tahun 1959, kemudian bertukar kepada JAKIM pada tahun 1983 dan kecenderungan untuk mengubah pendekatan pengurusan kepada Kementerian Pelajaran kembali semula mulai pada tahun 2005. Di

  • tengah-tengah kedua-dua amalan pengurusan di atas terdapat juga usaha untuk menyepadukannya melalui penyelarasan secara bertolak ansur dan ia dilaksanakan dengan hikmah dan bijaksana. Namun dalam keghairahan menyelaraskan pentadbiran SMAR di seluruh negara tersebut, masih wujud suasana yang tidak kondusif dan kecurigaan pihak-pihak yang terlibat, bertitik tolak daripada konflik pentafsiran perlembagaan terhadap pembahagian kuasa yang telah ditetapkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

    SAR dari segi sejarahnya sudah lama berada di bawah kuasa negeri bukan kuasa persekutuan. Manakala Kementerian Pelajaran pula mendakwa SAR merupakan sebahagian daripada institusi pendidikan yang menjadi tanggungjawabnya. Ini dapat dilihat peranan dan usaha pemberian bantuan kewangan telah dimulakan sejak awal kemerdekaan lagi. Pada asasnya, kementerian juga tidak boleh melepaskan tanggungjawab ini atas sebab di luar bidang kuasanya kerana di dalam institusi pendidikan terdapat aspek kewangan dan kurikulum kebangsaan (Abdul Aziz Bari 2005). Namun desakan pelbagai pihak sama ada di dalam kerajaan mahupun di luar kerajaan agar memberikan bantuan kepada SAR daripada terus mati.

    Kertas ini seterusnya membahagikan sejarah model pengurusan SAR kepada empat iaitu pengurusan SAR melalui kerajaan negeri, pengurusan SAR secara terus, pengurusan SAR melalui LEPAI dan pengurusan SAR secara terus melalui persefahaman. Pembahagian model ini digambarkan dalam Rajah 1.

    Rajah 1: Model Organisasi Pertama 1959 (Model Perhubungan)

    MAJLIS RAJA-RAJA

    KABINET

    KEMENTERIAN

    PELAJARAN

    MALAYSIA

    NEGERI

    SEKOLAH

    AGAMA

    RAKYAT

    JABATAN

    PELAJARAN

    NEGERI

    SULTAN/RAJA

  • Model ini merupakan model pertama iaitu model pengurusan melalui negeri di mana ia bermula sejak awal kemerdekaan seperti mana yang diterangkan di awal kertas kerja ini. Model ini penulis namakan sebagai model perhubungan kerana Kementerian Pelajaran telah mewujudkan seorang pegawai perhubungan sekolah khusus untuk menguruskan saluran kewangan kepada SAR hasil daripada cadangan Laporan Jawatankuasa Menimbang Bantuan Kewangan (1956). Ia merupakan langkah pertama pemberian bantuan kewangan kepada SAR dan mewujudkan undang-undang bantuan kewangan kepada SAR. Langkah pemberian bantuan ini diberikan melalui usaha mewujudkan satu unit perhubungan sekolah agama di bawah bahagian sekolah, Kementerian Pelajaran (KPM 1970). Bantuan ini disalurkan kepada pihak berkuasa agama negeri sebelum diserahkan kepada SAR di seluruh negara.

    Oleh sebab bantuan ini hanyalah bersifat bantuan kewangan, ia tidak memerlukan kepada prosedur yang rigid untuk memantau segala perbelanjaan tersebut seperti mana yang ditetapkan dalam Akta Prosedur Kewangan 1957. Bantuan sumbangan ini sama lah bantuan yang diberikan kepada orang miskin dan tidak perlu untuk kerajaan memantau ke mana wang itu digunakan oleh orang miskin tersebut. Ini adalah kerana sumbangan yang diberikan tersebut untuk membantu kesusahan yang dialami. Bagaimanapun kerajaan ada menyediakan syarat-syarat ke atas SAR yang boleh menerima bantuan tersebut.

    Rajah 2: Model Organisasi 1977 (Model Pengambilalihan)

    Model Pengurusan Kedua, seperti dalam Rajah 2, penulis menamakannya sebagai model pengambilalihan kerana usaha pengambilalihan telah dilaksanakan bermodelkan pengambilalihan Kolej Islam Malaya pada tahun 1965 (Laporan Tahunan UKM Ke-2 1972). Model ini terus bertujuan untuk memperkukuhkan bantuan kewangan sebelum dalam bentuk pengambilalihan dengan

    MAJLIS RAJA-RAJA

    KABINET

    KEMENTERIAN

    PELAJARAN

    MALAYSIA

    JAKIM

    NEGERI

    SEKOLAH

    AGAMA

    RAKYAT

    JABATAN

    PELAJARAN

    NEGERI

  • menjadikan SAR sebagai Sekolah Bantuan Penuh Kerajaan. Ia bermula pada tahun 1977 serentak dengan arahan kabinet yang bersetuju untuk mengambil alih beberapa buah SAR di negeri-negeri yang bersedia untuk menyerahkan sekolah-sekolah mereka (Azizi Umar 2001). Model ini menghadapi masalah besar apabila wujud konflik antara kerajaan negeri dengan kerajaan persekutuan di mana kerajaan persekutuan mula dilihat mencampuri urusan negeri kerana mentadbir dan mengurus SAR secara terus tanpa persetujuan negeri (Hamid Othman 2010).

    Antara kelemahan model ini ialah tiadanya wujudnya sempadan kuasa yang jelas antara negeri dengan persekutuan dalam mentadbir sekolah agama. Akibat daripada perselisihan tersebut kerajaan persekutuan telah menubuhkan terus sekolah agama tanpa melalui proses pengambilalihan. Lebih menyedihkan lagi dalam model ini ialah apabila kurikulum Diniah yang menjadi identiti SAR telah hilang kerana ia sudah tidak menjadi keutamaan lagi termasuklah ke atas SAR yang telah diambil alih. Model yang berteraskan pengurusan pusat telah menimbulkan kecurigaan dan kebimbangan kepada pihak berkuasa agama negeri dan SAR dalam meneruskan kesinambungan SAR yang bermodelkan identiti kurikulum Diniah. Persepsi negatif tersebut telah memberikan kesan sampai ke hari ini termasuklah sekiranya terdapat sebarang usaha untuk menginstitusikan SAR dalam arus pendidikan perdana (Azizi Umar & Supyan Hussin 2008).

    Bagaimanapun, model ini telah mencetuskan perkembangan baru dalam sistem pendidikan kebangsaan apabila kurikulum agama telah diiktiraf sebagai kurikulum kebangsaan dengan kadar 30% daripada keseluruhan kurikulum kebangsaan hari ini (Hamid Othman 2010). Ia telah memecahkan sempadan kekangan kurikulum mata pelajaran yang hanya mampu mendapat pengiktirafan sebanyak 10% sebelum ini. Walaupun usaha pengurusan bermodelkan pengurusan secara terus dilihat dengan pandangan negatif tetapi dari sudut yang lain, ia telah berjaya merungkaikan kekusutan persepsi yang ada pada mata pelajaran SAR sejak awal kemerdekaan lagi.

    Kelemahan yang ada dalam model kedua telah diakui oleh beberapa pihak bahawa ia tidak boleh menyelesaikan masalah SAR dengan lebih baik. Satu cadangan besar telah dipersetujui iaitu penubuhan Lembaga Penasihat Penyelarasan Pelajaran dan Pendidikan Agama Islam (LEPAI) pada tahun 1983 sebagai organisasi baru untuk menghidupkan semula usaha pengurusan dan penambahbaikan ke atas SAR. Model ini penulis nama sebagai model penyelarasan kerana telah menubuhkan satu lembaga baru yang berperanan dalam penyelarasan seperti mana gambar rajah di bawah.

    Cadangan ini boleh dianggap satu model baru, iaitu Model Pengurusan Ketiga, seperti dalam Rajah 3, yang mengambil pendekatan sederhana dengan menyelaraskan semua sistem pelajaran dan pendidikan agama Islam khususnya kurikulum di SAR. Hasil daripada model ini, ia telah berjaya mengemukakan dua natijah yang besar iaitu penyelarasan Enakmen Negeri mulai 1987 dan penyeragaman Sijil Tertinggi Agama mulai 1999. Kejayaan yang penulis sifatkan sangat besar ini adalah hasil daripada pendekatan model yang berbentuk penyelarasan tidak banyak menimbulkan konflik dan sensitiviti pihak berkuasa agama negeri dan SAR.

  • Rajah 3: Model Organisasi 1983 (Model Penyelarasan)

    Penulis tidak menafikan usaha-usaha tersebut juga berdepan dengan kesulitan dan kesukaran, namun ia boleh diatasi dengan baik dan bijaksana. Bagaimanapun, model ini juga berdepan dengan kelemahan kerana ia masih dianggap lemah dan lembab dalam mengambil tindakan susulan (Mahmood Zuhdi 2009). Melihat kepada sejarah penubuhannya selama lebih 25 tahun, tidak banyak pembaharuan-pembaharuan yang dilakukan ke atas SAR sesuai dengan umurnya. Ini adalah kerana status LEPAI jika dilihat kepada peraturan penubuhannya hanyalah bersifat penasihat sahaja dan organisasi ini tidak mempunyai sebarang kuasa eksekutif untuk membuat sebarang arahan.

    Satu cadangan untuk menjadikan SAR sebagai sekolah bantuan kerajaan telah lama diputuskan dan ia telah diserahkan kepada LEPAI pada peringkat awal. Usaha ini sebenarnya telah lama diusahakan oleh LEPAI, namun persoalan yang berbangkit ialah bentuk mekanisme yang sesuai dan boleh diterima pakai oleh semua pihak yang terlibat. Model Pengurusan melalui JAKIM adalah berasaskan kepada penyelarasan yang tidak mengusik peranan kuasa eksekutif yang pada negeri. Itulah penyelesaian terbaik yang difikirkan oleh JAKIM dan LEPAI. Pada masa yang sama, kedua-dua organisasi ini memerlukan kemampuan dan pengukuhan organisasinya terlebih dahulu

    MAJLIS RAJA-RAJA

    JABATAN PERDANA

    MENTERI

    KEMENTERIAN

    PENDIDIKAN

    MALAYSIA

    LEPAI

    JAKIM Urus setia LEPAI

    NEGERI

    JK Penyelaras

    (JK3P)

    SEKOLAH

    AGAMA

    RAKYAT

    KABINET

  • bagi menguruskan gerak kerja yang besar ini. Sebaliknya, usaha yang murni tersebut diberikan tanggapan negatif seperti lemah, lambat dan tidak cekap dalam menguruskannya. Berasaskan situasi tersebut, penulis percaya konflik kepercayaan dan kecurigaan yang pada mulanya hanya berkisar antara negeri dan persekutuan telah merebak masuk ke dalam sesama organisasi persekutuan. Keadaan ini sebenarnya tidak baik untuk kemajuan SAR pada masa depan.

    Hasil keazaman politik di bawah pentadbiran mantan Perdana Menteri ke-5, Tun Abdullah Ahmad Badawi dengan pegawai-pegawai yang terlibat telah memunculkan satu penyelesaian yang baru melalui Laporan Jawatankuasa Khas Tan Sri Murad iaitu menghidupkan semula cadangan mendaftar SAR sebagai Sekolah Bantuan Kerajaan seperti mana yang pernah dicadangkan sebelum ini. Cadangan ini pada dasarnya seolah-olah kembali semula kepada model yang hampir sama dengan model yang kedua sebelum ini iaitu model pengurusan melalui pengurusan kementerian pelajaran secara terus.

    Rajah 4: Model Organisasi 2005 (Model Persefahaman)

    MAJLIS RAJA-RAJA

    JABATAN PERDANA

    MENTERI

    KEMENTERIAN

    PENDIDIKAN

    MALAYSIA

    LEPAI

    JAKIM Urus setia LEPAI

    NEGERI

    JK Penyelaras

    (JK3P)

    SEKOLAH

    AGAMA

    RAKYAT

    KABINET

    JABATAN

    PENDIDIKAN

    NEGERI

    LEMBAGA

    PENASIHAT

    (Persefahaman)

    PEJABAT PENDIDIKAN

    DAERAH

  • Model Pengurusan Keempat seperti dalam Rajah 4 ialah model persefahaman iaitu usaha kementerian pelajaran yang telah membuat satu memorandum persefahaman dengan kerajaan negeri. Model ini mempunyai sedikit persamaan dengan model yang kedua seperti yang dibincangkan sebelum ini. Model ini diuruskan melalui persefahaman antara negeri dan persekutuan secara terus. Sebelum ini persefahaman sebenar telah wujud tetapi ia melalui orang tengah yang dilihat tidak menimbulkan kontroversi. Persefahaman yang dimaksudkan ini ialah usaha penyelarasan yang masih lagi diteruskan khususnya bagi negeri-negeri dan SAR yang menolak persefahaman yang dicadangkan. Orang tengah yang dimaksudkan ialah LEPAI dan JAKIM yang memainkan peranan tersebut sejak awal penubuhannya lagi. Peranan JAKIM dalam usaha penyelarasan bukan baru kerana sejarah penubuhannya sendiri berasaskan kepada penyatuan dan penyelarasan antara negeri-negeri.

    Model pengurusan di atas masih lagi baru iaitu bermula pada tahun 2005 hasil daripada cadangan dalam Laporan Tan Sri Murad yang mencadangkan SAR perlu didaftarkan sebagai Sekolah Bantuan Kerajaan mengikut Akta Pendidikan 1996. Urusetia kepada proses pendaftaran ini ialah Kementerian Pelajaran melalui Bahagian Pendidikan Islam dan bahagian-bahagian lain yang berkaitan. Oleh sebab model ini masih baru dan sedang dilaksanakan, sukar bagi penulis menentukan kelemahan dan kebaikannya.

    Bagaimanapun, berdasarkan pengalaman, pembacaan dan pemerhatian penulis, terdapat juga beberapa kelemahan model ini. Pertama sekali, ia tetap akan mengulangi konflik sepertimana yang berlaku dalam penggunaan model yang sama sebelum ini. Ia juga banyak bergantung pada persefahaman antara pihak berkuasa agama negeri dengan kerajaan persekutuan. Dalam hal ini, penulis percaya sekiranya kerajaan persekutuan memberikan kuasa autoriti kepada Bahagian Pendidikan Islam menentukan polisi-polisi baru ke SMAR hari ini, ia banyak akan lebih mudah kerana BPI boleh mengambil alih tempat LEPAI dan JAKIM sebelum ini yang mempunyai kecenderungan menggunakan model ketiga.

    Sekiranya kuasa autoriti tersebut tidak ada dan masih kekal di bahagian-bahagian lain sama ada dalam Kementerian Pelajaran mahupun kementerian-kementerian yang lain, usaha tersebut tidak jauh daripada ramalan penulis sendiri iaitu persefahaman yang dibina akan terus dicurigai dan penyelesaian dalam mengatasi masalah SAR terus berlanjutan dan tiada noktah yang boleh menyelesaikan masalah.

    4.0 Pembaikan Model Pengurusan

    Selain daripada model-model pengurusan organisasi di atas yang telah diterima pakai dan dilaksanakan, terdapat beberapa model yang pernah disebutkan sebelum ini tetapi tidak dapat dilaksanakan kerana beberapa kekangan. Di bawah ditunjukkan contoh satu contoh model tersebut sebagaimana dalam Rajah 5.

  • Rajah 5: Model Organisasi 1995 (Model Penyelarasan MAMPU)

    Model agensi pusat ini merupakan model yang pernah dicadangkan oleh MAMPU pada tahun 1995 dalam satu kongres Pendidikan Islam di Johor Bharu. Model ini mencadangkan supaya urusan penyelarasan SAR di uruskan oleh satu unit di bawah Jabatan Perdana Menteri dengan memainkan peranan penyelarasan antara LEPAI, JAKIM dan Kementerian Pelajaran sebelum ini. LEPAI tetap kekal dengan organisasinya, begitu juga dengan Kementerian Pelajaran. Kedua-dua organisasi ini hendaklah sama-sama berperanan ke atas SAR.

    Bagaimanapun, model ini mempunyai beberapa kelemahan seperti meletakkan LEPAI setaraf dengan Kementerian Pelajaran sedangkan LEPAI adalah sebuah badan penasihat yang ditubuhkan oleh Majlis Raja-raja bukan sebuah organisasi yang mempunyai kuasa eksekutif jauh sekali mempunyai pegawai-pegawai yang ramai berbanding dengan kementerian pelajaran. Model ini juga telah menekankan perlunya ada Jawatankuasa Penyelaras antara kedua-dua organisasi tersebut sedangkan LEPAI sendiri sudah lama memainkan peranan itu.

    Satu lagi kelemahannya ialah meletakkan LEPAI di bawah agensi Pusat sedangkan keanggotaan LEPAI ialah melalui pelantikan YDP Agung sedangkan pelantikan pegawai di agensi Pusat ialah Perdana Menteri. Keadaan ini akan berlaku silang-fungsi dalam organisasi kerana telah meletakkan organisasi bukan pada tempatnya. Berkemungkinan menyedari kelemahan yang telah disebutkan tadi, model mekanisme ini tidak boleh dilaksanakan.

    AGENSI PUSAT

    LEPAI KEMENTERIAN

    PELAJARAN

    JABATAN

    PELAJARAN

    NEGERI

    SEKOLAH

    AGAMA

    RAKYAT

    Jawatankuasa

    Penyelaras Peringkat

    Kebangsaan

    Jawatankuasa

    Penyelaras

    Peringkat Negeri NEGERI

  • Idea perbadanan awam atau usaha untuk mewujud sebuah badan berkanun pernah dicadangkan sebelum ini di akhir 1990-an. Cadangan perbadanan ini bermaksud menaik taraf LEPAI sebagai sebuah badan berkanun yang mempunyai kuasa autoriti berbanding kuasa penasihat sebelum ini. Idea ini disebutkan sekali lagi oleh mantan Pengerusi LEPAI yang pertama iaitu Tun Zahir Ismail dalam ucapan semasa merasmikan Mesyuarat LEPAI kali Ke-26 pada tahun 2000. Bagaimanapun cadangan ini lebih tertumpu kepada usaha mengumpul dana dan menyalurkan bantuan-bantuan kepada sekolah-sekolah tersebut.

    Terdapat juga pandangan yang tidak bersetuju dengan cadangan ini. Antara sebab penolakan cadangan tersebut ialah kebimbangan hilang pematuhan kepada kuasa-kuasa yang ada sama ada kuasa negeri atau pun kuasa persekutuan. Ini adalah kerana dengan mewujudkan sebuah badan berkanun, ia telah memberikan kuasa tersebut kepada lembaga baru yang mungkin akan berbeza dengan kehendak kuasa yang sedia ada. Selain itu, tuntutan dan desakan ini juga boleh memberikan kesan tidak baik dan persaingan antara kaum dalam mendapatkan hak kebebasan tersebut selain mendapatkan sumber kewangan yang kukuh.

    Tambahan pula, terdapat pandangan yang melihat masalah persekolahan agama tidak perlu kepada perubahan secara besar-besaran sebaliknya perubahan boleh dibuat melalui penambahbaikan secara sedikit demi sedikit dan usaha yang dilakukan hendaklah berhikmah dan mengurangkan kontroversi. Pada pandangan penulis sendiri, bagaimanakah sebuah perbadanan perlu ditubuhkan sedangkan ia hanya menguruskan sebuah organisasi penyelarasan sahaja? mengapa pula perlunya sebuah perbadanan bagi organisasi yang tidak ada sebuah sekolah pun untuk ditadbir? Tambahan pula, sekolah adalah milik negeri, biarlah negeri yang mewujudkan perbadanan tersebut kerana itu lebih tepat dan sesuai dengan peranannya.

    Selain itu, pandangan daripada tokoh akademik yang juga Timbalan Pengerusi LEPAI, Mahmood Zuhdi melihat kebimbangan yang bakal berlaku kepada masa depan perbadanan nanti. Ini adalah kerana perbadanan pada asasnya untuk mencari keuntungan selain daripada memberikan perkhidmatan. Kecenderungan ini boleh membawa kepada unsur-unsur kapitalisme dalam sistem pengurusan moden hari ini mungkin sukar untuk dielakkan. Apakah perkhidmatan pendidikan mampu memberikan keuntungan kepada sebuah perbadanan yang ditubuhkan sedangkan mana-mana kerajaan di dunia hari ini telah meletakkan pendidikan sebagai pelaburan utama dalam pembangunannya?

    Model Organisasi 1995 (Model Penyelarasan MAMPU) sebenarnya ingin mengambil contoh Tabung Haji yang sudah membuktikan kejayaannya. Penulis percaya pengurusan Tabung Haji jauh berbeza dengan pengurusan penyelarasan kuasa negeri dan sekolah. Ini adalah kerana Tabung Haji merupakan sejenis perkhidmatan yang wajib bagi setiap umat Islam dan mempunyai tabungan wang yang banyak. Keuntungan dalam memberikan perkhidmatan samalah seperti memberikan perkhidmatan pelancongan seperti mana khidmat pelancongan yang lain. Bezanya ialah pelancongan ke Kota Suci wajib dan pelancongan ke tempat-tempat lain adalah trend dan keperluan masyarakat sahaja. Ini bermakna jika ramai umat Islam mampu melaksanakannya ibadat haji tersebut, bermakna potensi pengukuhan ekonomi lebih kukuh dan berdaya saing.

    Selain daripada bentuk perbadanan dan agensi pusat di atas, terdapat pengkaji sebelum ini yang mencadangkan mewujudkan sebuah yayasan (Sabri Said 1983). Yayasan yang dicadangkan ialah Yayasan Pendidikan dan Pelajaran Islam Malaysia melalui pembentukan jawatankuasa khas. Bagaimanapun, cadangan ini telah dilaksanakan melalui penubuhan LEPAI pada tahun 1983. Mengenai jawatankuasa khas pula, ia telah dibentuk dalam organisasi LEPAI yang berjalan sehingga ke hari ini. Yayasan adalah sebuah badan tersendiri yang mempunyai kuasa-kuasa tertentu manakala jawatankuasa hanyalah bersifat adhoc dan bergantung pada keperluan.

  • Mohadis Yasin (2005) dalam kajiannya mengenai masalah pengurusan hal ehwal Islam JAKIM khususnya dalam aspek pendidikan dan sekolah agama, beliau mencadangkan penggubalan akta pendidikan Islam yang baru. Penulis pada asasnya amat bersetuju dengan idea ini tetapi ia perlu diperincikan dengan lebih detail kerana beliau dalam kajiannya tidak dijelaskan bagaimana dan apakah keperluan akta tersebut. Penulis memahami cadangan tersebut dicadangkan berasaskan kepada tiadanya sumber kuasa daripada perundangan persekutuan. Perlu disebutkan di sini bahawa keperluan kepada akta tersebut hanyalah untuk menjelaskan sempadan kuasa eksekutif kerajaan persekutuan sahaja. Kuasa asal eksekutif kerajaan negeri ke atas SAR tetap tidak berubah kerana ia sudah termaktub dalam Perlembagaan. Penulis menghuraikan cadangan ini dalam model cadangan penulis sendiri di akhir kertas kerja ini.

    5.0 Cadangan Model Penyelarasan Kerjasama

    Cadangan ini sebenarnya adalah hasil daripada gabungan model-model di atas sama ada yang telah dilaksanakan mahupun yang belum dilaksanakan. Model ini menunjukkan kecenderungan menggunakan Model Agensi Pusat yang telah disebutkan. Ia telah diubahsuai, disusun semula dan distruktur dalam penstrukturan yang lebih tersusun dan sempurna. Bagi menjelaskan cadangan model ini penulis gambarkan dalam rajah di bawah;

    Penulis telah menamakan model ini sebagai Model Penyelarasan Kerjasama. Model ini adalah manifestasi daripada model asal penulis iaitu Model Penyelarasan Kerjasama Bertanggungjawab (MPKB). Dalam rajah di bawah, model ini bertujuan memberikan kuasa autoriti kepada Bahagian Pendidikan Islam dengan penggabungan dua Lembaga Penasihat yang sedia ada iaitu LEPAI dan Lembaga Penasihat Memorandum Persefahaman Pendaftaran SABK. Fungsi LEPAI tetap kekal tetapi telah distrukturkan semula dengan mengagihkan ke dalam organisasi lain mengikut bidang kuasa dan kesesuaian fungsi serta peranan masing-masing. Bahkan penubuhan Majlis Kebangsaan Penyelarasan Institusi Pendidikan Islam (MKP-IPI) adalah bertujuan memperkasakan LEPAI daripada bertaraf penasihat kepada satu badan yang mempunyai kuasa eksekutif. MPK-IPI merupakan satu badan yang menghimpunkan kuasa-kuasa eksekutif antara negeri dengan persekutuan. Organisasi persekutuan yang terlibat ialah menteri-menteri yang memegang kementerian yang berkaitan dengan pengurusan dan pentadbiran SAR sahaja. Manakala kuasa eksekutif negeri memadai dengan disertai oleh exco pendidikan atau agama sahaja bagi mewakili Menteri Besar. Ia digambarkan dengan mudah sepertimana dalam Rajah 6.

    Satu Agensi Pusat perlu diwujudkan dengan nama Unit Penyelarasan Institusi Pendidikan Islam (UP-IPI) dan diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri. Struktur pentadbirannya sama lah dengan struktur agensi pusat yang lain. Bagaimanapun, prosedur pendetailan tentang bentuk struktur, pendekatan, garis panduan tambahan perlu dibincangkan dalam kertas yang lain. Sebuah jawatankuasa penyelaras IPI peringkat kebangsaan perlu dibentuk bagi menyelaraskan segala keputusan yang dibuat dalam MKP-IPI untuk dilaksanakan oleh organisasi persekutuan yang berkaitan dan organisasi di peringkat negeri. Penulis menggambarkan model dan struktur organisasi dalam gambar rajah yang dilampirkan di belakang kertas kerja ini (sila rujuk Lampiran A).

  • Rajah 6: Model Penyelarasan Kerjasama

    Bagi memperkukuhkan MKP-IPI dan agensi pusat tersebut, satu akta baru perlu digubal bagi menjamin perlindungan ke atas sekolah-sekolah agama apabila ditadbir oleh persekutuan. Penggubalan undang-udang tersebut bertujuan menyatukan dan menyelaraskan bidang kuasa yang ada dalam enakmen negeri, akta pendidikan dan akta-akta lain yang berkaitan. Akta ini boleh

    AGENSI PUSAT

    NEGERI KEMENTERIAN

    PELAJARAN

    JABATAN

    PELAJARAN

    NEGERI

    PEJABAT

    PELAJARAN

    DAERAH

    SEKOLAH

    AGAMA

    RAKYAT

    Jawatankuasa

    Penyelaras Peringkat

    Kebangsaan

    Jawatankuasa

    Penyelaras

    Peringkat Negeri

  • dinamakan sebagai Akta Penyelarasan Institusi Pendidikan Islam 2010. Akta ini akan membahagikan bidang kuasa negeri dengan persekutuan mengikut kuasa yang telah ditetapkan dalam Perlembagaan. Kerajaan Persekutuan mempunyai kuasa ke atas sumber manusia, sumber kewangan, pembangunan. Manakala kerajaan negeri berkuasa ke atas tanah, pentadbiran dan pelaksanaan kurikulum Diniah. Pendetailan dalam pembahagian kuasa-kuasa tersebut juga perlu diperincikan lagi bagi mengelakkan perselisihan sempadan kuasa.

    Keutamaan penyelarasan dalam model ini juga perlu mengutamakan penyelarasan yang bertujuan untuk menyusun atur kepelbagaian institusi pendidikan Islam bermula pada peringkat negeri dan sekolah terlebih dahulu. Desentralisasi mesti menjadi panduan penyelarasan tersebut selain daripada usaha untuk memperkukuhkan Jemaah Pengurusan Sekolah. Banyak lagi perkara-perkara yang penulis tidak diperincikan di sini kerana ruang dan masa yang terbatas dalam perbincangan kertas kerja ini. Kertas kerja ini telah membentangkan idea dan mengemukakan model penyelesaian SAR secara umum untuk dikongsi bersama.

    Ia bermaksud semua pihak sama ada kerajaan negeri atau kerajaan persekutuan perlu bekerjasama dan mengambil tanggungjawab berasaskan bidang kuasa masing-masing. MPKB adalah gabungan daripada model-model yang sedia ada yang mencakupi aspek struktur birokrasi, penyelesaian konflik, perubahan organisasi dan ciri-ciri yang perlu pada sekumpulan pegawai dalam organisasi tersebut.

    6.0 Penutup

    Usaha untuk membantu dan membangunkan SAR bukanlah baru kerana ia sudah lama diperkatakan oleh pelbagai lapisan dan peringkat masyarakat. Namun sehingga hari ini tiada penyelesaian terbaik untuk mengatasinya termasuklah tiada kajian yang menjurus ke arah menyelongkar permasalahan sebenar yang dihadapi oleh SAR. Penulis telah menghabiskan wang, tenaga, masa dan idea yang banyak dalam memberikan fokus kepada pelbagai cadangan mengatasi. Penulis juga percaya pengorbanan yang sama telah dibuat mengikut kemampuan dan bidang kepakaran masing-masing sebelum ini untuk mengatasinya.

    Sebagai pengkaji dalam bidang ini, penulis sangat mengharapkan semua pihak yang terlibat dan cinta kepada pembangunan pendidikan Islam agar melihat permasalahan yang dihadapi oleh SAR selama ini dari pelbagai perspektif termasuk perspektif yang bukan daripada kelompok pendidikan Islam. Ini adalah kerana dengan memahami perspektif yang pelbagai ia membuka jambatan dan laluan yang lebih luas ke arah penyelesaian yang lebih konkrit dan lebih baik daripada hari ini. Jika tidak, setiap cadangan penyelesaian yang baru hanya boleh mengatasi masalah SAR dalam waktu yang tidak lama. Selepas tamat waktu tersebut, permasalahan akan berulang kembali seperti mana berulangnya masalah SAR hari ini seperti mana sebelum ini. Masalah SAR bukanlah masalah baru kerana ia sudah dibincangkan sejak sebelum dan awal kemerdekaan lagi. Tinggal lagi ke manakah kita mahu letakkan titik noktah kepada penghujung penyelesaiannya?

  • Lampiran A

    CADANGAN STRUKTUR ORGANISASI PENYELARASAN KERJASAMA

    SEKOLAH-SEKOLAH AGAMA ISLAM

    MAJLIS

    PENGAJIAN &

    KURIKULUM

    JABATAN PERDANA

    MENTERI

    Jawatankuasa Penyelaras IPI

    Peringkat Kebangsaan

    (JK3PK)

    Sekolah Agama

    Negeri

    Sekolah

    Agama Rakyat

    KERAJAAN

    NEGERI

    Jawatankuasa Penyelaras IPI

    Peringkat Negeri

    (JK3PN)

    AGENSI PUSAT

    Unit Penyelarasan

    Institusi Pendidikan Islam

    (UP-IPI)

    Majlis Kebangsaan Penyelarasan

    Institusi Pendidikan Islam

    (MKP-IPI)

    MAJLIS RAJA-RAJA

  • SENARAI RUJUKAN

    Abdul Aziz Bari. 2005. Islam dan Perlembagaan Malaysia. Petaling Jaya : Intel Multimedia & Publications. Abdul Hamid Othman (Mantan Menteri Agama, Timbalan Pengerusi LEPAI, Mantan Ketua Pengarah JAKIM dan mantan Pengarah Bahagian Pelajaran Agama KPM). Temu bual. 26 April 2010. Abdullah Ishak. 1995. Pendidikan Islam dan Pengaruhnya di Malaysia. Kuala Lumpur : DBP Ahmad Atory Hussin. 1996. Pengurusan Organisasi. Kuala Lumpur : Utusan Publication Sdn. Bhd. Al-Azhari Mahy al-Din Dr. 1979. Al-Idarat min Wijhat al-Nazar Munazzamah. Kaherah : Dar al-Fikr Al-Arabi Ali Mohammad Jubran Saleh. 2002. Education Administration: An Islamic Perspective. Kuala Lumpur: A.S. Noordeen Azizi Umar & Supyan Hussin. 2007 Kekangan Kurikulum Diniah Dalam Dasar Pendidikan Kebangsaan Pasca Kemerdekaan dalam Mazlan Ibrahim & Kamaruddin, Islam Pasca Kemerdekaan, Jabatan Usuluddin dan Falsafah, FPI UKM, Bangi 2007. Halaman 25-40. ISBN 978-983-195-344-0 Azizi Umar & Supyan Hussin. 2007 Sekolah Agama Rakyat : Kedudukan dan Konfliknya Dalam Dasar Pendidikan Kebangsaan Seminar Kebangsaan Isu-isu Pendidikan Negara Kali ke- 3 di Bangi. 13 -14 Februari 2007. Halaman 153-162 Azizi Umar & Supyan Hussin. 2008. Peranan Kerajaan Negeri dan Pusat Ke Atas Sekolah Agama Rakyat : Satu Kajian Masalah Pengurusan Bersama Terhadap Pemilkan Kuasa Dalam Jurnal Pengurusan dan Kepimpinan Pendidikan. Institut Aminuddin Baki (IAB), Kementerian Pelajaran Malaysia. Jilid 18 Bil. 02. Disember 2008. Halaman 19-40 ISSN 1511-4147 Azizi Umar & Supyan Hussin. 2009 Peranan Negeri Dalam Memperkukuhkan Sistem Madarasah di Malaysia : Kajian Ke Atas Pelaksanaan Sekolah Agama Rakyat (SAR) Sebagai Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK). The Seventh World Congress Muslim Education anjuran Kolej Antarabangsa Universiti Islam Selangor (KUIS) dan The Islamic Academic Cambridge, UK pada 21-23 Disember 2009 Bahagian Pembangunan Pendidikan Islam. Laporan Tahunan JAKIM. 2000. Bahagian Pendidikan Islam dan Moral, Buku Taklimat Bahagian Pendidikan Islam kepada YB. Datuk Abdullah Haji Ahmad Badawi, Menteri Pelajaran. 23 Ogos 1984. Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Islam dan Moral, Buku Laporan Kajian Status SMAR. Disember 1996. Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan KPM, Satu Cadangan Untuk : Menjadikan Sekolah Menengah Agama Rakyat (SMAR) Sebagai Sekolah Bantuan Kementerian Pendidikan Malaysia Dalam Usaha Untuk Mewujud Dan Meningkatkan Kesepaduan Sistem Pendidikan Negara. Januari 1997.

  • Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan, 1997. Buku Laporan Tahunan 1997, Federation of Malaya, Act of Paliament, Education ( Amendment ) Act, 1963, No. 32 of 1963. Gareth R. Jones. 2007. Organizational Theory. Design and Change. New Jersey : Pearson Hassan Langgulung . 1997. Asas-asas Pendidikan Islam. Kuala Lumpur : DBP Hoy, W.K. dan Miskel. 1991. Educational Administration Theory : Research And Practice. New York : Ibrahim Abu Sin, Ahmad Dr. 1984. Al-Idarat fi al-Islam. Jamhuriah Abidin : Maktabah Wahbah Jaafar Muhammad. 1999. Kelakuan Organisasi. Kuala Lumpur : Leeds Publication Lembaga Penyelidikan Undang-undang. Akta Pendidikan 1996 (Akta 550) & Peraturan-peraturan Terpilih : hingga 25 Mei 2005. Lembaga Penyelidikan Undang-undang. Perlembagaan Persekutuan (pindaan sehingga 15 Januari 2007) . Kuala Lumpur : Internasional Law Book Services, 2007. Mesyuarat Majlis Penasihat Hal Ehwal Pelajaran Agama Islam Yang Pertama, Hari Ini Dalam Sejarah. Kuala Lumpur : Arkib Negara, 1981. Mahmood Zuhdi Abdul Majid (Timbalan Pengerusi LEPAI, Ahli LEPAI sejak 1983). Temu bual. 14 Disember 2009. Mary Jo Hatch.1997. Organization Theory : Modern, Symbolic and Postmodern Perspectives. New York : Oxford University Press Muhammad Al-Buraey. 1990. Management & Administration In Islam. Saudi Arabia : King fahd University of Petroleum & Minerals Perjanjian Persefahaman Akademik Dan Kebudayaan Antara Kementerian Pendidikan Malaysia Dengan Al-Azhar Al-Syarif Republik Arab Mesir pada 18 November 1999 Prence Hall Report Of The Committee To Consider Financial Aids To Non Government Islamic Religious Schools. 1956. Robiah Sidin. 2003. Teori Pentadbiran Pendidikan. Bangi : UKM Rosnani Hashim. 2004. Educational Dualism In Malaysia : Implications For Theory and Ptactice. Kuala Lumpur : The Others Press

    Sabri Haji Said. 1983. Madrasah Al-Ulum Al-Syariah Perak 1937-1977: Satu Kajian Pendidikan Islam. Kuala Lumpur : DBP

    Yusuf Ismail. 1991. Mengurus Secara Islam : Model dan Prinsip-prinsip Pengurusan Islam bagi Individu Dan Organisasi. Kuala Lumpur : A.S. Noordeen