statistik utama tenaga buruh di malaysia, februari 2021

9
EMBARGO: Hanya boleh diterbit atau disebarkan mulai pada jam 1200, Khamis, 8 April 2021 JABATAN PERANGKAAN MALAYSIA SIARAN AKHBAR STATISTIK UTAMA TENAGA BURUH DI MALAYSIA, FEBRUARI 2021

Upload: others

Post on 15-Nov-2021

2 views

Category:

Documents


0 download

TRANSCRIPT

Page 1: Statistik Utama Tenaga Buruh di Malaysia, Februari 2021

EMBARGO: Hanya boleh diterbit atau disebarkan mulai pada jam 1200, Khamis, 8 April 2021 

JABATAN PERANGKAAN MALAYSIA  

SIARAN AKHBAR

STATISTIK UTAMA TENAGA BURUH DI MALAYSIA, FEBRUARI 2021

 

Page 2: Statistik Utama Tenaga Buruh di Malaysia, Februari 2021

 

PENEMUAN UTAMA  

Februari 2021 menyaksikan bilangan penduduk bekerja meningkat 0.2 peratus atau bersamaan 33.3 ribu orang kepada 15.27 juta orang (Januari 2021 : 15.24 juta orang). Nisbah guna tenaga kepada penduduk yang menunjukkan kemampuan ekonomi untuk mewujudkan guna tenaga kekal pada 65.2 peratus pada Februari 2021. Mengikut sektor ekonomi, perbandingan bulan ke bulan, bilangan penduduk bekerja dalam sektor Perkhidmatan kekal dalam trend meningkat terutamanya dalam aktiviti Perdagangan borong & runcit; Pendidikan dan Kesihatan kemanusiaan & kerja sosial. Penduduk bekerja dalam sektor Pembuatan dan Pembinaan terus mencatatkan pertumbuhan positif manakala sektor Pertanian dan Perlombongan & Pengkuarian merekodkan pengurangan dalam bilangan penduduk bekerja.Kategori pekerja  yang merangkumi komposisi terbesar guna tenaga iaitu sebanyak  77.7 peratus meningkat 0.2 peratus (+24.0 ribu orang) kepada 11.87 juta orang (Januari 2021: 11.85 juta orang). Begitu juga dengan penduduk bekerja sendiri yang meliputi  15.9 peratus, bertambah kepada 2.43 juta orang pada Februari 2021 (Januari 2021: 2.39 juta orang).Kadar pengangguran jatuh 0.1 mata peratus kepada 4.8 peratus pada Februari 2021 berbanding bulan Januari 2021. Bilangan penggangur berkurang sebanyak 0.6 peratus atau 5.0 ribu orang kepada 777.5 ribu orang (Januari 2021: 782.5 ribu orang).Pada bulan tersebut, bilangan tenaga buruh meningkat 0.2 atau 28.4 ribu orang kepada 16.05 juta orang (Januari 2021: 16.02 juta orang). Kadar penyertaan tenaga buruh (KPTB) pada bulan tersebut kekal pada 68.5 peratus.

Page 3: Statistik Utama Tenaga Buruh di Malaysia, Februari 2021

Penduduk di luar tenaga buruh pada Februari 2021 mencatatkan pertambahan sebanyak 5.2 ribu orang kepada 7.37 juta orang berbanding bulan sebelumnya. Komposisi terbesar luar tenaga buruh adalah disebabkan oleh kerja rumah/ tanggungjawab keluarga dengan sumbangan sebanyak 44.5 peratus atau 3.28 juta orang dan diikuti oleh bersekolah /latihan dengan 42.0 peratus atau 3.09 juta orang.Walaupun pelanjutan PKP dan sekatan perjalanan antara negeri yang berterusan, situasi negara beransur pulih sejak awal Mac 2021 di mana enam buah negeri telah memasuki fasa PKP Pemulihan (PKPP) sementara itu, empat buah negeri lagi telah beralih ke PKP Bersyarat (PKPB). Sektor pendidikan pra-rendah dan rendah mula dibuka semula secara berperingkat yang memberi manfaat kepada aktiviti berkaitan sekolah terutamanya perkhidmatan bas sekolah, kantin sekolah serta kedai alat tulis dan buku. Secara keseluruhannya, dengan pemulihan ekonomi yang berterusan dan kesan positif kepada prestasi pasaran buruh, dijangkakan permintaan buruh akan terus berkembang secara marginal dan penawaran buruh akan kekal kompetitif.

 

TENAGA BURUH MENINGKAT SEDIKIT PADA FEBRUARI SELARI DENGAN PETUNJUK EKONOMI YANG SEMAKIN BAIK

Prospek ekonomi Malaysia diramalkan optimis sejajar dengan pelaksanaan program vaksinasi  COVID-19. Siaran terkini Indeks Pelopor bagi Januari 2021 mencatatkan peningkatan tahun ke tahun sebanyak 8.2 peratus. Oleh itu, pasaran buruh terus menunjukkan pemulihan dengan petunjuk ekonomi yang semakin baik.  Walaupun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah dilanjutkan sehingga 18 Februari 2021 di semua negeri kecuali Sarawak, tiga aktiviti perniagaan dibenarkan untuk beroperasi iaitu pasar malam, kedai gunting rambut dan kedai cuci kereta dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat. Pada 10 Februari 2021, lebih banyak sektor peruncitan dibenarkan beroperasi termasuk kedai pakaian, fesyen & aksesori, kedai kasut serta peralatan dan perkhidmatan fotografi untuk memastikan kemampanan ekonomi terutamanya dalam kalangan perniagaan kecil. Seterusnya, lebih banyak aktiviti sukan dan kecergasan dibenarkan beroperasi termasuk aktiviti gim, golf, sukan permotoran, tenis dan badminton. Selain itu, program vaksinasi fasa pertama yang bermula pada 24 Februari 2021 memberi sedikit kelegaan kepada perniagaan dan komuniti. Februari 2021 juga menyaksikan Tahun Baru Cina disambut secara sederhana dengan pematuhan SOP di mana hanya 15 ahli keluarga terdekat yang tinggal di daerah yang sama dibenarkan berkumpul bagi tradisi makan malam. Melihat kepada kedudukan tenaga buruh pada Februari 2021, ianya bertambah baik sedikit berbanding bulan sebelumnya dengan bilangan penduduk bekerja terus meningkat manakala bilangan penganggur menurun selepas merekodkan peningkatan empat bulan berturut-turut sejak Oktober 2020. Pertambahan penduduk bekerja dalam tempoh itu dilihat sebahagian besarnya dalam aktiviti Kesihatan kemanusiaan & kerja sosial serta Perdagangan borong & runcit. Perbandingan tahun ke tahun, peningkatan tenaga buruh disebabkan oleh peningkatan bilangan penganggur manakala bilangan penduduk bekerja kekal dalam trend menurun.  Selain itu, petunjuk ekonomi jangka pendek pada Februari 2021 menunjukkan eksport dan import  masing-masing mencatatkan penurunan sebanyak 2.3 peratus dan 4.5 peratus. Sebaliknya, lebihan dagangan meningkat sebanyak 7.6 peratus berbanding bulan sebelumnya.  Laporan Tenaga Buruh bagi Februari 2021 memperihalkan kedudukan penawaran tenaga buruh yang memasuki bulan kedua belas pelbagai fasa PKP. Laporan ini menghuraikan perubahan bulan ke bulan untuk mengkaji kesan langsung PKP dalam membendung penyebaran COVID-19. Pengguna dinasihatkan untuk menafsirkan statistik bulanan dengan berhati-hati memandangkan ianya tidak dibuat pelarasan musim. Di samping itu, perubahan tahunan dari bulan yang sama pada tahun sebelumnya juga dilaporkan.

 

Penduduk bekerja meningkat 0.2 peratus kepada 15.27 juta orang 

Februari 2021 menyaksikan bilangan penduduk bekerja meningkat 0.2 peratus atau bersamaan 33.3 ribu orang kepada 15.27 juta orang (Januari 2021: 15.24 juta orang). Sementara itu, tahun ke tahun, bilangan penduduk bekerja terus berkurangan sejak April 2020 dengan mencatatkan penurunan 0.5 peratus atau bersamaan 73.9 ribu orang (Februari 2020: 15.34 juta orang).  Mengikut sektor ekonomi, perbandingan bulan ke bulan, bilangan penduduk bekerja dalam sektor Perkhidmatan kekal dalam trend meningkat terutamanya dalam aktiviti Perdagangan borong & runcit; Pendidikan dan Kesihatan kemanusiaan & kerja sosial. Manakala, guna tenaga dalam industri berkaitan pelancongan kekal dalam trend menurun susulan  langkah mengekang  penularan  wabak  COVID-19  yang masih  berterusan. Penduduk bekerja dalam sektor Pembuatan dan Pembinaan terus mencatatkan pertumbuhan positif manakala sektor Pertanian dan Perlombongan & Pengkuarian merekodkan pengurangan dalam bilangan penduduk bekerja.

Page 4: Statistik Utama Tenaga Buruh di Malaysia, Februari 2021

Nisbah guna tenaga kepada penduduk yang menunjukkan kemampuan ekonomi untuk mewujudkan guna tenaga kekal pada 65.2 peratus pada Februari 2021. Namun, perbandingan tahun ke tahun, nisbah ini berkurang sebanyak 1.2 mata peratus berbanding 66.4 peratus (Februari 2020). [Carta 1]

Carta 1: Penduduk bekerja dan nisbah guna tenaga kepada penduduk, Januari 2018 - Februari 2021 

Kategori pekerja  yang merangkumi komposisi terbesar guna tenaga iaitu sebanyak 77.7 peratus meningkat 0.2 peratus (+24.0 ribu orang) kepada 11.87 juta orang (Januari 2021: 11.85 juta orang). Begitu juga dengan penduduk bekerja sendiri yang meliputi 15.9 peratus, bertambah kepada  2.43 juta orang pada Februari 2021 (Januari 2021: 2.39 juta orang).  Kumpulan ini sebahagian besarnya terdiri daripada penerima gaji harian yang bekerja sebagai pengusaha perniagaan kecil seperti peruncit kecil; penjaja; penjual di pasar dan gerai serta pekebun kecil. Peningkatan dalam penduduk bekerja sendiri ini mungkin sebahagiannya adalah disebabkan oleh inisiatif yang disediakan oleh kerajaan untuk membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PKS) iaitu Geran Khas PRIHATIN 2.0 (GKP 2.0). Sehingga 5 Februari 2021, sejumlah RM155 juta telah dikreditkan kepada kira-kira 52,000 PKS4.  [Carta 2] 

 

Carta 2: Penduduk bekerja mengikut taraf pekerjaan, Januari dan Februari 2021 

Berbanding bulan sebelumnya, bilangan penduduk bekerja yang tidak bekerja buat sementara waktu pada Februari 2021 berkurang kepada 150.8 ribu orang (Januari 2021: 158.9 ribu orang). Pada bulan tersebut, kebanyakan aktiviti perniagaan dibenarkan untuk beroperasi semula termasuk pasar malam, nurseri dan kedai bunga, kedai kraftangan, kedai antik, kedai karpet, kedai peralatan sukan, kedai kosmetk dan kedai aksesori kenderaan. Tambahan lagi, bermula 18 Februari 2021, semua restoran dibenarkan untuk menerima pelanggan lebih dari dua orang semeja5.  Sementara itu bagi perbandingan tahun ke tahun, bilangan penduduk bekerja yang tidak bekerja buat sementara waktu meningkat sebanyak 81.2 ribu orang (116.6%) berbanding 69.6 ribu orang pada Februari 2021. Golongan ini, yang berkemungkinan besar tidak dapat bekerja tidak dikategorikan sebagai penganggur kerana mereka mempunyai pekerjaan untuk dikembalikan.  

 

Kadar pengangguran jatuh kepada 4.8 peratus pada Februari 2021 

Kadar pengangguran jatuh 0.1 mata peratus kepada 4.8 peratus pada Februari 2021 berbanding bulan Januari 2021. Bilangan penggangur berkurang sebanyak 0.6 peratus atau 5.0 ribu orang kepada  777.5 ribu orang (Januari 2021: 782.5 ribu orang).   Sementara itu, perbandingan dengan bulan yang sama tahun sebelumnya, kadar pengangguran meningkat 1.5 mata peratus daripada 3.3 peratus pada Februari 2020. Bilangan penganggur mencatatkan peningkatan sebanyak 252.3 ribu orang (Februari 2020: 525.2 ribu orang). [Carta 3] 

Page 5: Statistik Utama Tenaga Buruh di Malaysia, Februari 2021

Carta 3: Penganggur dan kadar pengangguran, 1982 - 2019 dan Januari 2020 - Februari 2021

Pada bulan tersebut, penganggur aktif yang ditakrifkan sebagai mereka yang bersedia untuk bekerja dan aktif mencari pekerjaan, berkurang sebanyak 9.8 ribu orang (1.5%) kepada 647.4 ribu orang (Januari 2021: 657.2 ribu orang). Mereka yang menganggur kurang daripada tiga bulan menyumbang 50.6 peratus daripada jumlah penggangur aktif. Sementara itu, 11.3 peratus penganggur aktif berada dalam pengangguran jangka panjang6 iaitu bagi tempoh lebih dari setahun. [Carta 4]  Pada Februari 2021, bilangan penganggur tidak aktif atau kumpulan pasif yang percaya tiada pekerjaan yang tersedia, meningkat sebanyak 3.8 peratus kepada 130.1 ribu orang (Januari 2021: 125.3 ribu orang). 

Carta 4: Kategori penganggur dan tempoh menganggur, Januari 2021 dan Februari 2021 

Kadar pengangguran belia bagi umur 15 hingga 24 tahun meningkat pada Februari 2021 sebanyak 0.4 mata peratus kepada 13.9 peratus berbanding Januari 2021. Bilangan belia yang menganggur meningkat sebanyak 52.4 ribu orang kepada 347.6 ribu orang berbanding bulan sebelumnya (Januari 2021: 295.3 ribu orang). Sebaliknya, kadar pengangguran belia bagi umur 15 hingga 30 tahun kekal pada 9.2 peratus. [Carta 5]

Carta 5: Kadar pengangguran mengikut kumpulan umur terpilih, 1982 - 2019 dan Januari 2020 - Februari 2021  

 

KPTB kekal pada 68.5 peratus  

Pada bulan tersebut, bilangan tenaga buruh meningkat 0.2 atau 28.4 ribu orang kepada 16.05 juta orang (Januari 2021: 16.02 juta orang). Kadar penyertaan tenaga buruh (KPTB) pada bulan tersebut kekal pada 68.5 peratus.  Perbandingan tahun ke tahun, bilangan tenaga buruh meningkat sebanyak 178.4 ribu orang (Februari 2020: 15.87 juta orang) manakala LFPR menurun sebanyak 0.2 mata peratus (Februari 2020: 68.7%) [Carta 6]

Page 6: Statistik Utama Tenaga Buruh di Malaysia, Februari 2021

Carta 6: Tenaga buruh dan KPTB, 1982 - 2019 dan Januari 2020 - Februari 2021

 

KPTB lelaki meningkat 0.1 mata peratus kepada 81.0 peratus manakala KPTB perempuan turun sebanyak 0.1 mata peratus kepada 55.1 peratus. Tenaga buruh lelaki meningkat 0.3 peratus atau  25.7 ribu orang kepada 9.82 juta orang (Januari 2021: 9.80 juta orang). Dalam masa yang sama, tenaga buruh perempuan meningkat sebanyak 2.7 ribu orang kepada 6.23 juta orang berbanding Januari 2021. Perbandingan tahun ke tahun, KPTB lelaki mencatatkan peningkatan 0.2 mata peratus manakala KPTB perempuan jatuh sebanyak 0.6 mata peratus. [Carta 7]

 

Carta 7: Tenaga buruh dan KPTB mengikut jantina, 1982 - 2019 dan Januari 2020 - Februari 2021

 

 

Komposisi terbesar luar tenaga buruh adalah disebabkan kerja rumah/ tanggungjawab keluarga 

Penduduk di luar tenaga buruh pada Februari 2021 mencatatkan pertambahan sebanyak 5.2 ribu orang kepada 7.37 juta orang berbanding bulan sebelumnya. Begitu juga, penduduk di luar tenaga meningkat 2.0 peratus (+147.3 ribu orang) tahun ke tahun. Komposisi terbesar luar tenaga buruh adalah disebabkan oleh kerja rumah/ tanggungjawab keluarga dengan sumbangan sebanyak  44.5 peratus atau 3.28 juta orang dan diikuti oleh bersekolah /latihan dengan 42.0 peratus atau  3.09 juta orang. [Carta 8]

Carta 8: Peratus sumbangan penduduk luar tenaga buruh mengikut sebab tidak mencari pekerjaan,  Januari dan Februari 2021 

 

INISIATIF KERAJAAN   Program Subsidi Upah (PSU) 1.0, telah memanfaatkan seramai 322,177 majikan dan 2.64 juta pekerja berdaftar sehingga tarikh tutup pendaftaran program tersebut pada 30 September 2020. Sehingga  26 Februari 2021, sejumlah RM12.77 bilion telah diagihkan melalui program ini. Dalam pada masa yang sama, bagi Program Subsidi Upah (PSU) 2.0, sebanyak RM808.31 juta telah diagihkan kepada  66,591 majikan bagi membantu mengekalkan operasi dan pekerjaan kepada seramai 554,876 pekerja. Di samping itu, terdapat 131,568 pekerja yang mendapat pekerjaan melalui Program Insentif Pengambilan Pekerja dan Bantuan

Page 7: Statistik Utama Tenaga Buruh di Malaysia, Februari 2021

Latihan dimana industri Pembuatan dan Perdagangan borong & runcit merupakan industri utama dalam mengambil pekerja. Seramai 7,536 perantis dan 494 Orang Kelainan Upaya (OKU) turut berjaya mendapatkan pekerjaan melalui program ini. Seterusnya, seramai 136,927 individu telah diluluskan untuk menyertai program yang disediakan melalui Program Kemahiran dan Peningkatan Kemahiran yang ditawarkan oleh pelbagai kementerian dan agensi dengan tujuan untuk meningkatkan kapasiti dan keupayaan untuk bekerja.  Bagi Pembiayaan PKS PENJANA, sejumlah 6,973 permohonan PKS telah diluluskan dengan nilai pinjaman sebanyak RM1.32 bilion dalam memperkasakan perniagaan PKS. Di bawah Pembiayaan Pelancongan PENJANA terdapat sebanyak 579 permohonan dengan 282 permohonan pembiayaan telah diluluskan berjumlah RM57.1 juta. Di samping itu, melalui Pembiayaan Kredit Mikro PENJANA di bawah Bank Simpanan Nasional (BSN), sejumlah 11,708 PKS Mikro telah mendapat manfaat dengan nilai agihan sebanyak RM391.9 juta. Dalam pada itu, bagi membantu PKS Bumiputera yang terkesan akibat pandemik, sejumlah RM182.8 juta dana telah diagihkan kepada 671 PKS melalui Pembiayaan Bantuan Bumiputera (BRF).  Tambahan pula, untuk terus menyokong perniagaan melalui dana Pinjaman Mudah PKS, terdapat seramai 24,628 PKS telah dibantu yang melibatkan sejumlah RM11.63 bilion. Nilai ini merangkumi Special Relief Facility (SRF), Automation & Digitalisation Facility (ADF), All-Economic Sector Facility (AES) dan Agrofood Facility (AF). Bagi menyokong Industri Pertanian dan Makanan pula, di bawah Pembiayaan Kredit Mikro Agrobank, sejumlah RM85.1 juta telah disalurkan kepada 7,723 PKS Mikro Pertanian. Seterusnya, untuk menyokong PKS dan Syarikat Peringkat Pertengahan (MTC), sebanyak 8,584 perniagaan telah mendapat manfaat melalui geran dan pinjaman bagi langganan perkhidmatan pendigitalan yang melibatkan RM38.7 juta di bawah inisiatif sokongan Penggunaan Teknikal dan Digital. 

Oleh itu, melalui pelbagai inisiatif kerajaan dan sokongan yang berterusan, pasaran buruh mungkin dapat mengekalkan momentum pemulihannya dan seterusnya akan mendorong pasaran buruh untuk berada di landasan yang betul dan mampan. 

MENUJU KE HADAPAN  

Walaupun pelanjutan PKP dan sekatan perjalanan antara negeri yang berterusan, situasi negara beransur pulih sejak awal Mac 2021 dimana enam buah negeri telah memasuki fasa PKP Pemulihan (PKPP) iaitu Melaka, Pahang, Terengganu, Sabah, W.P. Putrajaya dan W.P. Labuan. Sementara itu, empat buah negeri lagi telah beralih ke PKP Bersyarat (PKPB) iaitu Selangor, W.P. Kuala Lumpur, Johor dan Pulau Pinang. Sektor pendidikan pra-sekolah dan sekolah rendah mula dibuka semula secara berperingkat yang memberi manfaat kepada aktiviti berkaitan sekolah terutamanya perkhidmatan bas sekolah, kantin sekolah serta kedai alat tulis dan buku.  Susulan itu, dengan pembukaan semula lebih banyak aktiviti ekonomi sejak Februari 2021 akan mendorong lebih banyak permintaan dalam ekonomi dan seterusnya akan menyuntik impak positif terhadap pasaran buruh. Selaras dengan ini, akan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kerana lebih ramai tenaga kerja diperlukan untuk menyokong operasi perniagaan.  Selain itu, bermula 10 Mac 2021 aktiviti pelancongan domestik dibenarkan di dalam negeri zon hijau namun masih tertakluk kepada pelaksanaan sekatan tertentu. Aktiviti perjalanan antara negeri PKPP perlu menggunakan khidmat agensi pelancongan berdaftar serta mendapatkan kelulusan polis sebelum memulakan perjalanan. Usaha-usaha ini bertujuan untuk membantu memulihkan aktiviti-aktiviti berkaitan pelancongan domestik.  Tambahan lagi, pada 17 Mac 2021, kerajaan telah melancarkan pakej rangsangan baharu iaitu Program Strategik Memperkasakan Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA). Inisiatif bernilai RM20.0 bilion ini ditumpukan untuk memulihkan dan memperkasakan ekonomi berdasarkan lima matlamat utama yang merangkumi kawalan penularan wabak COVID 19; mempercepatkan pemulihan ekonomi; mengukuhkan daya saing negara; melaksanakan agenda kemasukan serantau dan komuniti; dan untuk mengubah ekonomi. Antara inisiatif yang boleh membantu pemulihan pasaran buruh adalah Geran Khas PRIHATIN  3.0 sebanyak RM1,000 kepada perniagaan mikro dan PKS serta RM700 juta Subsidi Upah 3.0 yang disasarkan kepada 400,000 pekerja dan 37,000 majikan. Selain itu, pakej PEMERKASA juga menumpukan untuk memulihkan pelancongan domestik dengan melanjutkan pengecualian cukai pelancongan dan cukai perkhidmatan bagi penginapan hotel. Bagi menyokong aliran tunai, syarikat dalam industri berkaitan pelancongan turut dibenarkan untuk menangguhkan pembayaran cukai pendapatan bulanan bagi tempoh April sehingga Disember 2021.  Secara keseluruhannya, dengan pemulihan ekonomi yang berterusan dan kesan positif terhadap penambahbaikan pasaran buruh, dijangka permintaan buruh akan terus berkembang secara marginal dan penawaran buruh akan kekal kompetitif.  

NOTA TEKNIKAL

Maklumat ini diperoleh daripada  Survei Tenaga Buruh (STB) yang dilaksanakan untuk mengumpul maklumat berkaitan struktur dan taburan tenaga buruh, guna tenaga dan pengangguran.

Konsep dan definisi yang digunakan dalam STB adalah mengikut piawaian yang ditetapkan oleh badan antarabangsa iaituInternational Labour Organizations (ILO) melalui “Manual on Concepts and Methods: Surveys of Economically Active Population, Employment, Unemployment and Underemployment” yang diguna pakai oleh semua negara.

Page 8: Statistik Utama Tenaga Buruh di Malaysia, Februari 2021

STB meliputi kedua-dua kawasan bandar dan luar bandar bagi negeri-negeri di Malaysia melalui kaedah temu ramah dengan responden.

Populasi penyiasatan meliputi penduduk yang tinggal di tempat kediaman persendirian dan tidak termasuk mereka yang tinggal di institusi-institusi seperti hotel, asrama, hospital, penjara, rumah tumpangan dan pekerja yang tinggal di rumah kongsi.

Survei merangkumi penduduk yang aktif dan tidak aktif dalam ekonomi. Bagi mengukur penduduk yang aktif dalam ekonomi, STB menggunakan had umur 15 hingga 64 tahun. Penduduk yang aktif dalam ekonomi terdiri daripada mereka yang bekerja dan menganggur, manakala mereka yang tidak aktif dikelaskan sebagai berada di luar tenaga buruh.

STB menggunakan pendekatan taraf sebenar di mana seseorang itu dikelaskan berasaskan kegiatannya dalam tenaga buruh semasa minggu rujukan.

Tenaga buruh merujuk kepada mereka yang berumur 15 hingga 64 tahun (dalam tahun genap pada hari lahir terakhir) semasa minggu rujukan, sama ada bekerja atau menganggur;

Bekerja merujuk kepada semua orang yang bekerja sekurang-kurangnya sejam semasa minggu rujukan untuk mendapatkan upah, keuntungan atau keuntungan keluarga (sebagai majikan, pekerja, bekerja sendiri atau pekerja keluarga tanpa gaji). Juga dianggap sebagai bekerja ialah mereka yang tidak bekerja semasa minggu rujukan disebabkan sakit, kecederaan, cuaca buruk, bercuti, pertelingkahan buruh dan sebab-sebab sosial atau keagamaan tetapi mempunyai pekerjaan, ladang, perusahaan atau perusahaan keluarga lain untuk kembali bekerja. Termasuk juga mereka yang tidak bekerja buat sementara waktu tetapi bergaji dan pasti akan dipanggil bekerja semula.

Menganggur

Penganggur merujuk kepada mereka yang tidak mempunyai pekerjaan tetapi berminat untuk bekerja. Terdapat dua kumpulan penganggur iaitu penganggur aktif dan penganggur tidak aktif.

Luar Tenaga Buruh

Penduduk yang tidak dikelaskan sebagai bekerja atau menganggur sebagaimana yang dinyatakan di atas, dikategorikan sebagai luar tenaga buruh. Termasuk dalam kategori ini ialah suri rumah, pelajar (termasuk mereka yang akan melanjutkan pelajaran), mereka yang telah bersara atau tidak berkeupayaan dan mereka yang tidak berminat untuk mencari pekerjaan.

Kadar Penyertaan Tenaga Buruh

Aktiviti ekonomi penduduk pada keseluruhannya bergantung kepada ciri-ciri demografi sesuatu populasi. Dengan itu, pecahan mereka yang aktif secara ekonomi berbeza di antara kumpulan-kumpulan kecil penduduk tersebut. Perbezaan ini diukur dengan kadar aktiviti tertentu yang dikenali sebagai kadar penyertaan tenaga buruh.  Kadar penyertaan tenaga buruh ditakrifkan sebagai perkadaran penduduk dalam tenaga buruh kepada jumlah penduduk dalam umur bekerja (15 hingga 64 tahun) yang dipersembahkan dalam bentuk peratus.

Kadar pengangguran ialah perkadaran penduduk yang menganggur (tidak bekerja) kepada jumlah penduduk di dalam tenaga buruh. Kadar ini mengukur peratus penduduk di dalam tenaga buruh yang tidak bekerja.

Pelarasan musim

Data siri masa ekonomi Malaysia telah terjejas oleh perayaan-perayaan utama agama seperti Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baru Cina dan Deepavali. Perayaan utama di negara ini biasanya dikaitkan dengan aktiviti agama dan tarikh perayaan ditentukan oleh kalendar agama masing-masing. Tarikh cuti ini tidak sejajar dengan kalendar Gregorian. Oleh itu, tarikh tersebut cenderung untuk bergerak di sepanjang kalendar Gregorian dan memberikan kesan bermusim kepada data siri masa ekonomi.

Cuti yang tidak tetap ini memberi impak besar terhadap data siri masa, oleh itu, langkah perlu diambil dalam melaksanakan proses pelarasan musim bagi mengelakkan kekeliruan dalam data pelarasan musim dan anggaran trend. Tambahan pula, kehadiran kesan percutian yang tidak tetap boleh menimbulkan kerumitan dalam pentafsiran data.

Pelarasan musim adalah satu proses menghapuskan kesan anggaran variasi bermusim biasa daripada siri asal supaya kesan pengaruh-pengaruh lain pada siri ini mungkin lebih jelas dapat dikenal pasti.

Pelarasan musim boleh dilaksanakan dengan pelbagai kaedah dan keputusan mungkin berbeza mengikut prosedur yang diguna pakai. Pendekatan yang digunakan untuk pelarasan bermusim di Malaysia adalah  Seasonal Adjustment for Malaysia (SEAM).

Page 9: Statistik Utama Tenaga Buruh di Malaysia, Februari 2021

SEAM adalah satu prosedur untuk menyingkirkan kesan cuti bergerak bagi data terpilih dalam siri masa ekonomi Malaysia dengan memperkenalkan beberapa langkah yang boleh digunakan untuk mengatasi kekurangan dalam prosedur pelarasan bermusim yang sedia ada. Untuk menggunakan prosedur SEAM, program X-ARIMA daripada Statistical Analysis Software (SAS)telah digunakan.

Kadar yang diselaraskan ini akan dikemas kini semula apabila siri masa tahun berkenaan lengkap 12 bulan.

 

Penanda aras penduduk

Penduduk mengikut ciri-ciri kumpulan umur, jantina, etnik dan negeri digunakan sebagai penanda aras dalam penyediaan statistik tenaga buruh.

Mulai siaran bulanan Perangkaan Utama Tenaga Buruh, Malaysia, Januari 2016, statistik utama tenaga buruh dianggarkan menggunakan anggaran penduduk semasa berbanding siri sebelumnya yang menggunakan unjuran penduduk yang berasaskan Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2010. Pengasasan ini bertujuan untuk mendapatkan statistik tenaga buruh yang lebih konsisten dengan struktur penduduk semasa.

 

Penerbitan penuh Laporan Tenaga Buruh, Februari 2021 boleh dimuat turun melalui Portal eStatistik. Muat Turun Percuma

Untuk maklumat lanjut sila rujuk ke portal Jabatan: www.dosm.gov.my

 

Dikeluarkan Oleh:

DATO' SRI DR. MOHD UZIR MAHIDINKETUA PERANGKAWAAN MALAYSIAJABATAN PERANGKAAN MALAYSIA

8 April 2021 

 

Pegawai dihubungi:

Mohd Yusrizal bin Ab. Razak Pegawai Perhubungan AwamBahagian Perangkaan Komunikasi Strategik dan AntarabangsaJabatan Perangkaan MalaysiaTel : +603-8885 7942Faks : +603-8888 9248E-mel : [email protected]