sistem panggilan bahasa melayu dalam filem …

29
1 SISTEM PANGGILAN BAHASA MELAYU DALAM FILEM MAHAKARYA SENIMAN AGUNG P. RAMLEE Ritah Yahaya Muhamad Hakimi Abd Rani PENGENALAN Hubungan manusia dalam jaringan komunikasi tidak dapat tidak, dijalinkan oleh sistem panggilan yang merujuk kepada perkataan tertentu yang digunakan oleh seseorang kepada seseorang individu dalam komunikasi mereka. Individu yang akan diajak berbicara sering sahaja akan disapa dan dipanggil dengan kata nama selain daripada nama peribadi milikan individu itu. Sistem panggilan berperanan sebagai penghubung langsung antara pihak yang menyapa dengan pihak yang disapa. Bentuk sapaan menjadi unsur wacana yang penting dalam pelbagai komunikasi manusia dan perlu digunakan dengan tepat menurut sistem yang diterima oleh masyarakat atau oleh pihak yang diberikan wibawa menentukannya. Bahasa sapaan dikenali juga dengan nama bahasa panggilan atau panggilan hormat. Ia merupakan sebahagian daripada aspek kesantunan berbahasa. Bahasa sapaan terdapat dalam semua masyarakat, baik masyarakat itu terdiri daripada etnik minoriti (kelompok orang Asli misalnya) mahupun etnik majoriti di sesebuah negara. Walaupun terdapat perbezaan bentuk bahasa sapaan antara satu kelompok etnik dengan satu kelompok etnik lain, namun konsep asasnya tetap sama. Bahasa sapaan yang digunakan mesti menggambarkan kesantunan. Menurut Sumalee Nimmanupap (1994) walaupun bahasa dicipta sewenang- wenang (arbitrari), namun bentuk sapaan atau panggilan yang digunakan tidak

Upload: others

Post on 01-Oct-2021

20 views

Category:

Documents


0 download

TRANSCRIPT

Page 1: SISTEM PANGGILAN BAHASA MELAYU DALAM FILEM …

1

SISTEM PANGGILAN BAHASA MELAYU DALAM FILEM MAHAKARYA SENIMAN AGUNG P. RAMLEE

Ritah Yahaya Muhamad Hakimi Abd Rani

PENGENALAN

Hubungan manusia dalam jaringan komunikasi tidak dapat tidak, dijalinkan oleh sistem

panggilan yang merujuk kepada perkataan tertentu yang digunakan oleh seseorang

kepada seseorang individu dalam komunikasi mereka. Individu yang akan diajak

berbicara sering sahaja akan disapa dan dipanggil dengan kata nama selain daripada

nama peribadi milikan individu itu. Sistem panggilan berperanan sebagai penghubung

langsung antara pihak yang menyapa dengan pihak yang disapa. Bentuk sapaan

menjadi unsur wacana yang penting dalam pelbagai komunikasi manusia dan perlu

digunakan dengan tepat menurut sistem yang diterima oleh masyarakat atau oleh pihak

yang diberikan wibawa menentukannya. Bahasa sapaan dikenali juga dengan nama

bahasa panggilan atau panggilan hormat. Ia merupakan sebahagian daripada aspek

kesantunan berbahasa. Bahasa sapaan terdapat dalam semua masyarakat, baik

masyarakat itu terdiri daripada etnik minoriti (kelompok orang Asli misalnya) mahupun

etnik majoriti di sesebuah negara. Walaupun terdapat perbezaan bentuk bahasa

sapaan antara satu kelompok etnik dengan satu kelompok etnik lain, namun konsep

asasnya tetap sama. Bahasa sapaan yang digunakan mesti menggambarkan

kesantunan.

Menurut Sumalee Nimmanupap (1994) walaupun bahasa dicipta sewenang-

wenang (arbitrari), namun bentuk sapaan atau panggilan yang digunakan tidak

Page 2: SISTEM PANGGILAN BAHASA MELAYU DALAM FILEM …

2

sewenang-wenang. Penggunaan kata sapaan adalah bergantung pada ikatan dan

hubungan sosial penutur dengan pendengar. Bahasa sapaan atau panggilan adalah

merujuk pada perkataan tertentu yang digunakan oleh seseorang kepada seseorang

individu dalam komunikasi mereka.

Amat Juhari Moin (1985) yang mengkaji sistem panggilan (bahasa sapaan)

dalam bahasa Melayu mendapati sistem panggilannya lebih halus dan kompleks. Beliau

mendapati sistem panggilan masyarakat Melayu membezakan golongan, pangkat dan

keturunan orang yang disapa.

Menurut Nassury Ibrahim (2008), kepentingan bahasa sapaan dapat difahami

apabila kita menganalisis dan menghayati bahasa itu sendiri. Dalam bahasa Melayu

misalnya, terdapat kalimat yang berbunyi, bahasa jiwa bangsa dan bahasa

menunjukkan bangsa. Kedua-dua kalimat itu menunjukkan kepentingan dan kesan

penggunaan bahasa terhadap bangsa. Dikatakan bahawa melalui bahasa kita dapat

mengenali jiwa (akal budi) seseorang, dan melalui bahasa juga kita dapat mengenali

bangsa seseorang. Dalam bahasa Inggeris, ganti nama I dan you digunakan untuk

golongan atasan, golongan bawahan dan golongan yang setaraf dengan penutur.

Kedua, penggunaan kata ganti nama yang betul dapat membina personaliti dan

kesopanan diri seseorang. Penutur dianggap tahu berbahasa (menggunakan bahasa

yang betul) dan tahu adat (sopan) ketika bergaul. Orang yang tahu berbahasa dan tahu

adat dianggap sebagai orang yang sopan dan berbudi pekerti mulia. Masyarakat

Melayu memandang tinggi orang yang sopan dan berbudi pekerti mulia.

Ketiga, penggunaan bahasa sapaan dapat mencerminkan serta-merta tentang

kehalusan budi bahasa, tingkah laku, perasaan dan niat seseorang. Orang yang berada

Page 3: SISTEM PANGGILAN BAHASA MELAYU DALAM FILEM …

3

dalam perasaan marah misalnya, akan menggunakan ragam bahasa kasar dan biadap,

dan menggunakan kata ganti diri tidak hormat. Misalnya, menggunakan kata ganti diri

aku atau awak pada tempat kata ganti diri saya atau tuan.

Keempat, berkaitan dengan kepentingan ketiga, bahasa sapaan dapat

menunjukkan rasa hormat penutur kepada tetamu atau orang yang diperkatakan, dan

status sosialnya.

SKOP KAJIAN

Cakupan kajian ini menyorot penggunaan sistem panggilan dalam bahasa Melayu yang

dirakamkan menerusi naskhah filem Seniman Agung Tan Sri P. Ramlee supaya dapat

dideskripsikan dan difahami tentang penonjolan laras kesantunan dan kehalusan budi

masyarakat Melayu yang digambarkan oleh seniman agung itu. Justifikasi kepentingan

bahasa sapaan sebagai satu unsur wacana yang penting dalam komunikasi manusia

seperti yang diperincikan oleh Awang Sariyan (2012), digariskan oleh Amat Juhari

Moain (1989) dan dikupas oleh Nassury Ibrahim (2008) terjelma dalam garapan kedua-

dua buah filem Allahyarham Tan Sri P. Ramlee yang dipilih untuk dijadikan data kajian,

iaitu Antara Dua Darjat (1960) dan Do Re Mi (1966).

Seperti mana yang telah diperhalusi oleh pakar kajian sosiolinguistik mengenai

sistem panggilan bahasa Melayu dalam kerangka yang lebih luas, penyampaian data

kajian ini akan hanya menjurus kepada bentuk sapaan yang berikut:

Kata ganti nama – kata yang menggantikan nama khas yang digunakan kepada

manusia dan bukan manusia (termasuk ganti nama tunjuk).

Page 4: SISTEM PANGGILAN BAHASA MELAYU DALAM FILEM …

4

Kata panggilan – kata yang menggantikan nama yang digunakan kepada

manusia dengan penentuan gender, rujukan dan status.

Data kajian ialah dialog-dialog terpilih daripada dua buah filem lakonan Seniman

Agung (dua genre komedi dan dua genre drama) yang akan disusun dalam jadual

pendeskripsian sebelum disusun atur sebagai data pendokumentasian ciri leksikal, ciri

sintaksis, penyingkatan, alih-mengalih kod, penggunaan bahasa asing, dialek, dan

kreativiti berbahasa. Hal ini selaras dengan pendekatan sosiolinguistik yang bersifat

kualitatif.

Sosiolinguistik ialah cabang linguistik yang berkaitan aspek sosial dalam bahasa.

Kamus Dewan Edisi Keempat (2007) mendefinisikan sosiolinguistik sebagai kajian

bahasa dalam hubungannya dengan struktur dan sikap masyarakat. Kamus

Sosiolinguistik terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (2003) pula mentakrifkan

sosiolinguistik sebagai cabang ilmu linguistik yang mengkaji hubungan antara bahasa

dengan masyarakat. Manakala, Howard Jackson dalam buku Key Terms in Linguistics

(2007) menjelaskan sosiolinguistik merujuk kepada kajian yang meneliti cara bahasa

berubah-ubah mengikut konteks sosial bahasa yang digunakan.

Bidang sosiolinguistik muncul sebagai satu bidang yang tersendiri sekitar tahun

1960-an, khususnya di Amerika Syarikat dan mula mendapat perhatian dalam kalangan

ahli bahasa di Malaysia sekitar tahun 1980-an. Menurut Nathesan dalam “Istilah

Pinjaman” dalam Dewan Bahasa, Mei 2019, kata “sosiolinguistik” merupakan kata

pinjaman daripada kata Inggeris, sociolinguistic yang kemudian diterima masuk dalam

bahasa Melayu sekitar tahun 1980-an dengan penyesuaian ejaan. Menurut beliau, kata

sosiolinguistik pertama kali dicatatkan sebagai satu entri dalam Kamus Dewan pada

Page 5: SISTEM PANGGILAN BAHASA MELAYU DALAM FILEM …

5

tahun 1994 dengan maksud kajian tentang bahasa dalam hubungannya dengan

struktur dan sikap masyarakat.

OBJEKTIF KAJIAN

1. Untuk mengenal pasti bentuk penggunaan kata panggilan/kata sapaan dan kata

ganti diri dalam bahasa Melayu sama ada bagi tujuan penghormatan,

pengiktirafan dan penentuan identiti secara khusus yang dipengaruhi oleh faktor

sosial dan budaya.

2. Untuk mengenal pasti aspek deiksis orang, yang merujuk orang dalam peristiwa

berbahasa dan deiksis sosial yang merujuk ungkapan tau gelaran yang

digunakan untuk membezakan ciri sosial antara pembicara dengan lawan bicara.

3. Untuk mengenal pasti aspek kesantunan berbahasa dan eufemisme dalam

bahasa Melayu sama ada bagi tujuan penghormatan, pengiktirafan ataupun

penentuan identiti secara khusus yang dipengaruhi oleh faktor sosial dan

budaya.

4. Untuk mengenal pasti faktor yang mempengaruhi penggunaan pola kata

panggilan/kata sapaan dan kata ganti nama yang dipengaruhi oleh faktor sosial

dan budaya.

METODOLOGI

Proses pengumpulan maklumat dilakukan melalui penontonan empat buah filem klasik

yang juga mahakarya Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, antaranya termasuklah Antara

Dua Darjat (1960) dan Do Re Mi (1966) yang merupakan filem terbitan pascamerdeka.

Page 6: SISTEM PANGGILAN BAHASA MELAYU DALAM FILEM …

6

Kamus Dewan Edisi Keempat (KD4) mendefinisikan “klasik” sebagai 1. sesuatu

yang mempunyai sifat-sifat yang lama atau yang tidak dipakai lagi; 2. mempunyai nilai

yang tinggi atau taraf (kedudukan) yang diakui. Sementara, “mahakarya” menurut

definisi KD4 sebagai karya agung yang dihasilkan oleh pujangga (ahli falsafah, dan lain-

lain) pada sesuatu zaman, karya terbaik yang gemilang atau karya yang dicipta

daripada daya intelek dan daya kreativiti yg tinggi.

Data berkaitan kata panggilan/kata sapaan dan kata ganti nama yang diperoleh

melalui penontonan filem, dicatatkan secara terus. Data yang diperoleh dianalisis

mengikut pola penggunaannya berdasarkan Nik Safiah Karim (1985), iaitu pola BH

(bahasa hormat/bahasa halus) dan BK (bahasa kasar). Data yang dianalisis

dibahagikan kepada tiga kategori, iaitu gelaran sosial (warisan), kata panggilan

kekeluargaan berdasarkan pertalian perkahwinan dan kata panggilan atau gelaran

warisan/sosial dalam masyarakat. Kata panggilan dan kata ganti diri yang

menggunakan bahasa asing, dialek dan pengalihan kod turut dikaji.

KAJIAN PUSTAKA

Salbia Hassan dan Dayang Sariah Abang Suhai dalam “Kata Sapaan dan Panggilan

dalam Masyarakat Melanau: Satu kajian Preliminari” (2007) menyatakan bahawa Nik

Safiah Karim (1985) mengkaji kata ganti diri dan bentuk panggilan dalam bahasa

Melayu yang mempunyai hubungan salingan/timbal balik (reciprocal) antara bentuk kata

panggilan dengan kata ganti diri.

Kajian Nik Safiah hanya menyentuh kata ganti yang digunakan oleh orang

biasa sahaja. Kajian beliau turut membezakan penggunaan kata ganti dalam

Page 7: SISTEM PANGGILAN BAHASA MELAYU DALAM FILEM …

7

bahasa Melayu kepada bentuk bahasa halus atau hormat (BH), bentuk tidak hormat

atau kasar (BK), bentuk baku, dan bentuk dialek.

Kajian yang dijalankan oleh Amat Juhari Moain (1989) bertujuan untuk melihat

peraturan sistem panggilan dan sistem sapaan dalam masyarakat berbahasa Melayu

di Malaysia dan di Brunei Darussalam. Beliau menganalisis sistem panggilan dan

sistem sapaan berdasarkan peraturan sosiolinguistik yang dikemukakan oleh Ervin-

Tripp, iaitu peraturan alternasi, peraturan perurutan dan peraturan kajian bersama.

Kajian yang dijalankan oleh Bambang Kaswanti Purwo (1984) menjelaskan

bahawa sebuah kata dikatakan bersifat deiksis apabila rerujuknya (referent) berpindah-

pindah atau berganti-ganti, tergantung pada siapa yang menjadi si pembicara dan

bergantung pada saat dan tempat dituturkannya kata itu. Deiksis dirumuskan sebagai

kata frasa, atau ungkapan yang rujukannya berpindah-pindah bergantung pada orang

yang menjadi pembicara dan lawan bicara dalam pembicaraan dan penggunaan

perkataan yang berbeza, tetapi mempunyai maksud yang sama bergantung pada

perbezaan ciri sosial yang melambangkan eufemisme (bahasa halus/kesantunan

bahasa). Sebagai contohnya, deiksis sosial berkaitan kata mati, antaranya termasuklah

“mati”, “meninggal dunia”, “wafat”, “mangkat”, dan sebagainya untuk menyatakan

keadaan meninggal dunia.

Berdasarkan Model Ketidaksantunan Culpeper (1996) ketidaksantunan

didefinisikan sebagai strategi yang dirancang. Ketidaksantunan boleh mengancam air

muka hingga boleh menimbulkan konflik dalam sesuatu perlakuan komunikasi. Dalam

Model Ketidaksantunan, beliau telah menggariskan beberapa elemen yang boleh

menyebabkan perlakuan pertuturan tersebut menjadi tidak santun. Elemen tersebut

Page 8: SISTEM PANGGILAN BAHASA MELAYU DALAM FILEM …

8

antaranya termasuklah (1) perlakuan penutur dalam komunikasi yang jelas bertujuan

menyerang air muka pendengar; (2) pendengar merasakan ujaran penutur menyerang

air mukanya dan; (3) kombinasi (1) dan (2). Berdasarkan kepada ketiga-tiga elemen ini,

boleh dikatakan ketidaksantunan adalah satu perlakuan atau pertuturan bersifat negatif

yang boleh melanggar norma sosial positif dalam satu konteks komunikasi.

DAPATAN KAJIAN

Berdasarkan penontonan terhadap kedua-dua buah filem mahakarya P. Ramlee

(sebuah filem genre komedi dan sebuah filem genre drama) ini, sistem panggilan

bahasa Melayu yang merangkumi kata sapaan dan kata ganti nama diri yang

mengandungi ciri sintaksis, ciri leksikal, penyingkatan, alih-mengalih kod, penggunaan

dialek, dan kreativiti berbahasa sama ada dalam komunikasi rasmi ataupun komunikasi

tidak rasmi diperlihatkan dengan kreatif. Hal ini dijelaskan melalui analisis seperti yang

berikut:

1. Analisis kata panggilan/gelaran sosial (warisan) dan kata ganti diri yang

menggunakan bahasa halus (hormat) dan singkatan.

Sistem panggilan dalam dialog filem Antara Dua Darjat menggunakan kata ganti

diri (hormat) yang diperlihatkan melalui Dialog 1 (lihat Jadual 1).

Berdasarkan kajian, filem Antara Dua Darjat menggunakan kata panggilan

(hormat/santun), bahasa istana, kata ganti diri gelaran sosial, dan singkatan

yang diperlihatkan melalui Dialog 1, Dialog 2, Dialog 3, dan Dialog 4 (lihat

Jadual 1).

Page 9: SISTEM PANGGILAN BAHASA MELAYU DALAM FILEM …

9

DIALOG 1

Babak Ungku Mukri memanggil Ghazali untuk membaiki piano di rumahnya.

Tengku Mukri : Ada apa tu dinda?

Tengku Zaleha : Tukang baik piano, kanda.

(isteri Tengku Mukri)

DIALOG 2

Babak Tengku Mukri dan ayahnya datang ke Anggerik Villa, kediaman keluarga

Tengku Zaleha.

Ayah Tengku Mukri : Anakanda Tengku Zaleha...

Tengku Zaleha : Oh, Ungku Ayah.

Tengku Zaleha : Apa khabar Ungku Ayah?

Ayah Tengku Mukri : Khabar baik.

DIALOG 3

Babak Ungku Ayah berbual-bual dengan Tengku Zaleha di Anggerik Villa.

Ayah Tengku Mukri : Anakanda Tengku Zaleha, Ungku

Ayah datang ke mari ialah kerana

hendak menetapkan hari perkahwinan

anakanda dengan Tengku Mukri.

Tengku Zaleha : Ungku Ayah, bukanlah patik nak

menolak perkahwinan ini. Tetapi

tunggulah ayahanda patik sembuh dari

Page 10: SISTEM PANGGILAN BAHASA MELAYU DALAM FILEM …

10

gering. Di sana nanti Ungku Ayah

boleh berunding.

DIALOG 4

Babak Tengku Zaleha bersama-sama ibunya di dapur.

Tengku Zaleha : Bonda, ayahanda ke mana bonda?

Mak Yang : Ayahanda kamu ke Singapura.

Tengku Zaleha : Bonda, bonda, bolehkah anakanda keluar

sekejap?

Mak Yang : Kamu hendak ke mana lagi Leha?

Jadual 1 kata panggilan (hormat/santun), bahasa istana, kata ganti diri gelaran sosial,

dan singkatan dalam filem Antara Dua Darjat.

FILEM KATA PANGGILAN

GELARAN SOSIAL

BENTUK BAHASA

KATA GANTI DIRI

SINGKATAN BAHASA

Antara Dua

Darjat

Yang mulia adinda

Bahasa hormat/

halus(BH)

Bahasa Melayu (bahasa istana).

dinda Bahasa hormat/halus

(BH)

dinda (awak)

dinda (adinda)

Bahasa Melayu (bahasa istana).

kanda Bahasa hormat/halus

(BH)

kanda (awak)

kanda (kekanda)

Bahasa Melayu (bahasa istana).

anakanda Bahasa hormat/halus

(BH)

Bahasa Melayu (bahasa istana).

Page 11: SISTEM PANGGILAN BAHASA MELAYU DALAM FILEM …

11

Ungku ayah (merujuk

pakcik golongan marhaen)

Bahasa hormat/halus

(BH)

Bahasa Melayu (bahasa istana).

patik Bahasa hormat/halus

(BH

patik (saya) Bahasa Melayu (bahasa istana).

bonda Bahasa hormat/halus

(BH

bonda (awak)

bonda (ibunda)

Bahasa Melayu

anakanda Bahasa hormat/halus

(BH

anakanda (saya)

Bahasa Melayu

Dalam filem Do Re Mi pula ciri sintaksis, ciri leksikal, penyingkatan, alih-

mengalih kod, penggunaan bahasa asing, dialek, dan kreativiti berbahasa ditemui.

Berdasarkan kajian, filem Do Re Mi menggunakan kata panggilan (hormat/santun), kata

ganti diri penggunaan bahasa asing, dialek dan singkatan yang diperlihatkan melalui

Dialog 5, iaitu babak Minah, iaitu isteri Do dan pengutip hutang (lihat Jadual 2).

DIALOG 5

Cheti : Adei, Mr. Do! Lu rumah punya dalam tada ka?

(Do menyuruh Minah melihat orang yang

memanggilnya).

Minah : Oh... apek, aya, pakcik...

Cheti : Aci...

Minah : Aya... saya punya laki ada hutangkah, aya?

Cheti : Ada aci. Itu pasai sekarang saya mari, aci.

Page 12: SISTEM PANGGILAN BAHASA MELAYU DALAM FILEM …

12

Jadual 2 Penggunaan kata panggilan (hormat) dan penggunaan bahasa asing dan

dialek dalam filem Do Re Mi.

FILEM KATA PANGGILAN (HORMAT)

LARAS BAHASA

KATA GANTI DIRI

BAHASA DIALEK

Do Re Mi

Mr. Bahasa hormat/halus

(BH)

Lu (awak) Bahasa Inggeris (Mr.) Bahasa Cina (dialek – lu)

lu (dialek Hokkien)

apek Bahasa hormat

/halus(BH)

Bahasa Cina KD4 -Panggilan kepada lelaki (agak tua) berbangsa Cina.

apek (dialek Hokkien)

aya Bahasa hormat/halus

(BH)

Bahasa Tamil KD4 - bapa, ayah (panggilan kepada lelaki India yang tua).

pakcik Bahasa hormat/halus

(BH)

Bahasa Melayu KD4 - a) bapa saudara yang termuda; b) panggilan kepada orang yang separuh umur;

Page 13: SISTEM PANGGILAN BAHASA MELAYU DALAM FILEM …

13

Aci Bahasa Tamil KD4 -(bahasa Tamil) kakak (biasanya sebagai panggilan kepada perempuan India yang lebih tua).

Berdasarkan kajian, filem Do Re Mi menggunakan kata panggilan

(hormat/santun), kata ganti diri penggunaan bahasa asing, pengalihan kod, dan

singkatan yang diperlihatkan melalui Dialog 6, iaitu babak antara Mi dengan jirannya,

Milah; Dialog 7, iaitu babak Mi meminta bantuan kewangan daripada Milah; Dialog 8,

iaitu babak Re meminta wang daripada Milah, dan Dialog 9, iaitu babak Do meminta

wang daripada Milah (lihat Jadual 2).

DIALOG 6

Babak Mi dan jirannya, Milah di rumah masing-masing.

Mi : Bapak you ada di rumah?

Milah : Tak adalah. Dia dah pergi jalan. Hmm... menyampah! You!

Mi : Hari ni nak dua tau.

Milah : Apa dua?

Mi : Eleh, macam tak tahu pula. Nak dua ringgit. Nak buat tambang cari

kerja lah ling.

Milah : Alah, ling. Tak malu minta duit kat orang perempuan. Nah...

Mi : Tata ling!

Page 14: SISTEM PANGGILAN BAHASA MELAYU DALAM FILEM …

14

DIALOG 7

Babak Mi meminta bantuan kewangan daripada Milah di rumahnya.

Milah : Siapa?

Mi : Darling you.

Milah : Apa?

Mi : Bapak you ada di rumah?

Milah : Tak adalah.

Mi : I nak masuk sekejap boleh tak?

Milah : Hmm... Masuklah.

DIALOG 8

Babak Re dengan Milah:

Milah : Siapa tu?

Re : You punya darling punya brother- in- law.

(Milah membuka pintu rumah).

Milah : Haa... kenapa?

DIALOG 9

Babak Do dengan Milah:

Milah : Siapa?

Do : Mark of Zorro.

Page 15: SISTEM PANGGILAN BAHASA MELAYU DALAM FILEM …

15

(MILAH MEMBUKA PINTU RUMAH).

Do : Mademoiselle, bolehkah ana masuk ke dalam untuk

bercengkerama?

Milah : Silakan Mark of Zorro.

Jadual 2 Penggunaan kata panggilan (hormat/santun), kata ganti diri penggunaan

bahasa asing, dan singkatan dalam filem Do, Re Mi.

FILEM KATA PANGGILAN

BENTUK BAHASA

KATA GANTI DIRI

SINGKATAN BAHASA

Do Re Mi Bahasa hormat/

halus(BH)

you (awak) Bahasa Inggeris

darling Bahasa hormat/

halus(BH)

ling (awak) ling - darling (sayang)

Bahasa Inggeris

ling Bahasa hormat/

halus(BH)

ling (awak) ling - darling (sayang)

Bahasa Inggeris

brother- in- law Bahasa hormat/

halus(BH)

Bahasa Inggeris

mademoiselle

(wanita bujang atau Cik (bahasa

Melayu)).

Bahasa hormat/

halus(BH)

Bahasa Perancis

ana Bahasa hormat/

halus(BH)

ana (saya) Bahasa Arab

Page 16: SISTEM PANGGILAN BAHASA MELAYU DALAM FILEM …

16

2. Analisis kata panggilan kekeluargaan (pertalian perkahwinan)

Menurut Jariah Mohd Jan (2006), kategori kekeluargaan asas merangkumi

perkaitan persaudaraan yang mempunyai hubungan darah yang ditafsirkan

sebagai saudara darah daging. Hubungan saudara darah daging, antaranya

termasuklah hubungan suami–isteri, adik-beradik, ibu dan bapa kepada ibu dan

bapa ego, dan mengunjur ke atas.

Berdasarkan kajian, filem Do Re Mi menggunakan kata panggilan

(hormat/santun), kata panggilan kekeluargaan (pertalian perkahwinan), kata

ganti diri penggunaan bahasa asing, dan singkatan diperlihatkan melalui Dialog

10, iaitu dialog watak Re dan isterinya (lihat Jadual 3).

DIALOG 10

Babak Re dan isterinya di rumah.

Re : Ling, ling! Ling nak balik pukul berapa?

Isteri : Tak tentu. Mungkin aku tak balik malam ni.

Re : Tak balik?

Isteri : Tidak!

Re : Habis, I nak tidur dengan siapa?

Isteri : Kau tidurlah dengan Si Cemong tu...

Page 17: SISTEM PANGGILAN BAHASA MELAYU DALAM FILEM …

17

Jadual 3 Penggunaan kata panggilan kekeluargaan (pertalian perkahwinan),

singkatan, kata ganti diri, dan penggunaan bahasa asing dalam filem Do Re Mi.

FILEM KATA

PANGGILAN

KELUARGA –

IKATAN

PERKAHWINA

N)

BENTUK

BAHASA

KATA

GANTI DIRI

SINGKATA

N

BAHASA

Do Re Mi ling Bahasa

hormat/

halus(BH)

ling (awak) ling -

darling

(sayang)

Bahasa

Inggeris

I Bahasa

hormat/halus

(BH)

I (saya) Bahasa

Inggeris

3. Analisis kata panggilan dan gelaran yang menggunakan bahasa

kasar/kurang sopan

Page 18: SISTEM PANGGILAN BAHASA MELAYU DALAM FILEM …

18

Kamus Dewan Keempat mendefinisikan bahasa kasar sebagai bahasa yang

tidak sopan atau tidak manis dituturkan. Bahasa kasar merujuk bahasa yang

digunakan apabila berhubung dengan teman-teman karib dan setaraf, dalam

suasana yang sangat tidak formal. Biasanya dalam suasana yang bersifat

peribadi.

Berdasarkan kajian, filem Antara Dua Darjat memaparkan penggunaan

kata panggilan/gelaran bahasa kasar (BK) /kurang sopan), yang diperlihatkan

melalui Dialog 11, Dialog 12, Dialog 13, dan Dialog 14 dan dalam filem Do, Re

Mi melalui Dialog 15, Dialog 16, Dialog 17, dan Dialog 18 (lihat Jadual 4).

DIALOG 11

Babak Sudin, Wak dan Muna di Anggrek Villa.

Wak : Muna, marilah Wak tolong lapkan Muna, Hahaha.

Muna, I lap you, you lap me? You kiss me. Hehehe.

Muna : Wak, wak, jangan buang situ, Muna baru bersih tadi.

Wak : Baiklah, Muna punya pasal, mana-mana pun boleh la.

Sudin : Celaka punya Wak Karto ni. Habis basah aku.

DIALOG 12

Babak Tengku Karim, Tengku Zaleha dan Yang Chik di hotel.

Tengku Zaleha : Ghazali

Tengku Karim : Kalau kamu sebutkan lagi nama si keparat itu, aku

bunuh kau.

Page 19: SISTEM PANGGILAN BAHASA MELAYU DALAM FILEM …

19

DIALOG 13

Babak Tengku Karim, Tengku Zaleha dan Yang Chik di hotel.

Tengku Zaleha : Ghazali

Tengku Karim : Kalau kamu sebutkan lagi nama si keparat itu, aku

bunuh kau.

Yang Chik : Kau jangan buat sebarangan dengan anak patik.

Jikalau kau tak suka, patik dengan Tengku Zaleha

boleh keluar sekarang juga.

Tengku Hassan : Diam kau, perempuan kabaret.

DIALOG 14

Babak Tengku Mukri dan Tengku Aziz di rumah.

Tengku Mukri : Habis. Dengan siapa?

Tengku Aziz : Dengan pemuda biasa.

Tengku Mukri : Pemuda biasa? Siapa namanya?

Tengku Aziz : Ghazali.

Tengku Mukri : Ghazali? Ghazali yang mana?

Tengku Aziz : Ghazali. Pemuda yang membaik piano semalam.

Tengku Mukri : Tengku Aziz, jikalau isteriku mencintai manusia yang

sama darjat dengan aku, aku rela menceraikannya.

Tetapi, jikalau dengan manusia durjana yang

hendak darjat seperti itulah, jauh panggang dari api.

Page 20: SISTEM PANGGILAN BAHASA MELAYU DALAM FILEM …

20

DIALOG 15

Babak Re dan isterinya di rumah.

Re : Nah

Isteri : Hei, kau gila! Kau nak bakar rumah ni ea. Kau ingat ni

rumah bapak kau ni!

DIALOG 16

Babak Re dan isterinya di rumah.

Isteri : Padan muka kau. Aku minta mancis.

Re : Man ke mat?

Isteri : Mancis, mancis bodoh!

DIALOG 17

Babak Do, Re, Mi dan ayah Milah di rumah.

Ayah Milah : Kenapa kau bersiul-siul ni? Nak mengorat anak aku?

Mi : Tak ada pak cik. Saya main burung.

Ayah Milah : Muka tengok macam jebon punya. Aik! Tiga jebon.

Kau ingat baik-baik. Jangan main-main gila sini ea,

aku pelengkung kepala kau.

Page 21: SISTEM PANGGILAN BAHASA MELAYU DALAM FILEM …

21

DIALOG 18

Babak Do, Re, Mi di rumah.

Do : Otak aku mahal. Perlukan modal.

Mi : Berapa banyak modal yang kau nak?

Do : Banyak, tak boleh tercari.

Re : Banyak tu banyak cakaplah, supaya orang tahu,

supaya boleh diusahakan.

Do : 10 ringgit.

Mi : Kalau 10 ringgit, sekali siut aku boleh dapat. Aku

punya jam pun kalau aku hantar pajak gadai, sudah

tentu ada seringgit setengah.

Re : Jangan jadi bongok la, dia nak 10 ringgit, kau ada

seringgit setengah, lapan setengah lagi mana mahu

cari?

Jadual 4 Penggunaan kata panggilan/gelaran bahasa kasar (BK) /kurang sopan) dalam

filem Antara Dua Darjat.

FILEM KATA PANGGILAN

BENTUK BAHASA BAHASA

Antara Dua

Darjat

celaka Bahasa kasar (BK) Bahasa Melayu

keparat Bahasa kasar (BK) Bahasa Melayu

Page 22: SISTEM PANGGILAN BAHASA MELAYU DALAM FILEM …

22

kabaret Bahasa kasar (BK) Bahasa Perancis

durjana Bahasa kasar (BK) Bahasa Melayu

Do, Re Mi bapak kau Bahasa kasar (BK) Bahasa Melayu

bodoh Bahasa kasar (BK) Bahasa Melayu

jebon Bahasa kasar (BK) Bahasa Melayu/dialek

Kedah

bongok Bahasa kasar (BK) Bahasa Melayu

RUMUSAN

Hasil penontonan dan analisis empat buah filem klasik mahakarya Tan Sri P. Ramlee,

genre genre drama, iaitu Antara Dua Darjat (1960) dan genre komedi, Do Re Mi (1966,

dapat dirumuskan beberapa konsep penting bahasa sapaan. Pertama, perkataan yang

digunakan sebagai ganti nama diri seseorang atau kata-kata yang digunakan sebagai

merujuk maklumat asal yang dimaksudkan. Kedua, perkataan yang digunakan itu

menggambarkan kesantunan penutur. Bentuk perkataan yang digunakan juga

bergantung pada faktor hubungan sosial penutur dengan pendengar.

Sistem sapaan dalam dua buah filem klasik mahakarya Tan Sri P. Ramlee

(genre komedi dan genre drama) adalah berdasarkan status sosioekonomi seseorang,

antaranya termasuklah umur, jantina, pangkat, latar pekerjaan, dan pendidikan individu.

Hal ini dibuktikan melalui kata panggilan hormat yang menggunakan bahasa halus yang

terkandung kesantunan dan eufemisme yang digunakan oleh penutur dalam

komunikasi sosial sebagai tanda hormat dan adab berbahasa.

Page 23: SISTEM PANGGILAN BAHASA MELAYU DALAM FILEM …

23

Bahasa halus atau bahasa hormat (BH) dan bahasa kasar (BK) ditentukan

berdasarkan bentuk perhubungan dan bentuk komunikasi antara penutur dengan

individu yang disapa. Penggunaan BH antara penutur dengan individu dipengaruhi oleh

beberapa faktor, antaranya termasuklah sikap saling menghormati, keinginan untuk

mengeratkan perhubungan, dan menjaga adab berkomunikasi, yang tidak

mengetepikan aspek kesantunan dan budi bahasa dalam masyarakat, khususnya

masyarakat Melayu.

Sementara, penggunaan bahasa kasar (BK) antara penutur dengan individu

bertujuan untuk membangga diri, memaki hamun, memfitnah, memprovokasi,

mengejek, melecehkan orang lain, yang menggambarkan citra dan peribadi yang

negatif. Penggunaan BK yang mengetepikan aspek kesantunan dan budi bahasa

biasanya dipengaruhi oleh latar sosial, iaitu latar pendidikan, budaya dan ekonomi

individu. Penggunaan bahas kasar dalam dialog filem Tan Sri P. Ramlee adalah

bersesuaian dengan adegan dan realiti penggunaannya.

Seniman Agung Tan Sri P. Ramlee merupakan seorang genius yang

merakamkan bahasa dalam hubungannya dengan struktur dan sikap Melayu

masyarakat pascamerdeka mengikut latar masa, genre filem dan budaya masyakat

Melayu yang memperlihatkan kesantunan bahasa dan eufemisme sebagai lambang

akal budi Melayu yang tinggi.

Beliau memperlihatkan kebijaksanaan melalui penggunaan bahasa yang berseni

dan berestetika dengan kreatif melalui dialog watak dalam dua buah filem klasik

mahakarya beliau itu. Walaupun skrip filem Antara Dua Darjat dan tidak ditulis oleh P.

Ramlee, tetapi dalam menghasilkan karya sama ada filem, lagu ataupun lirik lagu yang

Page 24: SISTEM PANGGILAN BAHASA MELAYU DALAM FILEM …

24

mempunyai nilai seni yang tinggi dan bermutu, P. Ramlee tidak membiarkan dirinya

bergerak berseorangan.

Sikap dan budaya kerja seni P. Ramlee yang sentiasa terbuka dan mengalu-

alukan idea dan kreativiti rakan-rakan beliau yang lain, antaranya A.R. Tompel, Omar

Rojik, S. Sudarmaji, Yusnor Ef, dan lain-lain ternyata berjaya mengangkat karya seni

beliau sebagai mahakarya Melayu yang terus diminati oleh semua lapisan masyarakat

sama ada di dalam negara ataupun di luar negara hingga kini.

RUJUKAN

Amat Juhari Moain, 1985. Sistem Panggilan dalam Bahasa Melayu: Satu Analisis

Sosiolinguistik. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Asmah Haji Omar, 2007. Kesantunan Bahasa dalam Pengurusan Pentadbiran dan

Media. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Awang Sariyan, 2007. Santun Berbahasa. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Culpeper, J. (1996). “Towards an Anatomy of Impoliteness” dlm. Journal of Pragmatics.

25(3), 349 –367.

Ervin-Tripp, S.M. 1974. “Sociolinguistics” dlm. Blount, Ben G. (ed.). Language, Culture

and Society. U.S.A.: Wintrop Publisher, Inc.

Jackson Howard, 2007. Key Terms in Linguistics (2007) New York: Continuum.

Kamus Dewan Edisi Keempat. 2007. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Kamus Sosiolinguistik. 2003. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Page 25: SISTEM PANGGILAN BAHASA MELAYU DALAM FILEM …

25

Maya Khemlani dan Rohani Mohd Yusof, 2000. Sistem Panggilan dalam Masyarakat

Majmuk di Malaysia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Nassury Ibrahim. 2008. “Bahasa Sapaan: Kata Ganti Diri dalam Konteks Budaya

Melayu”. Makalah Program Bahasa, Sastera dan Budaya, Faculty of Liberal Arts, Prince

of Songkla University. Hat Yai: Prince of Songkla University, 2008.

Nafisah Abd Hamid. 2015. “ Kesantunan Bahasa – Penggunaan Sistem Sapaan dan

Eufemisme dalam Komunikasi dlm. Perkongsian Profesional bgi Guru-Guru Permulaan.

Singapura: Pusat Bahasa Melayu Singapura, Kementerian Pendidikan Singapura.

Nathesan, S., 2019. “Istilah Pinjaman”. Dewan Bahasa, 5, 2019, 48 –52 .

Nik Safiah Karim, 1985. Beberapa Persoalan Sosiolinguistik Bahasa Melayu. Kuala

Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Nor Hashimah Jalaluddin, Et.Al, 2005. Sistem Panggilan dalam Bahasa Melayu: Suatu

Dokumentasi. Kuala Lumpur. Dewan Bahasa Dan Pustaka.

Purwo, Bambang Kaswanti. 1984. Deiksis dalam Bahasa Indonesia. Jakarta: Balai

Pustaka.

Salbia Hassan dan Dayang Sariah Abang Suhai, 2007. “Kata Sapaan dan Panggilan

dalam Masyarakat Melanau: Satu kajian Preliminari”. Kuching: Universiti Malaysia

Sarawak.

Sumalee Nimmanupap, 1994. Sistem Panggilan dalam Bahasa Melayu dan Bahasa

Thai: Suatu Analisis Sosiolinguistik. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Page 26: SISTEM PANGGILAN BAHASA MELAYU DALAM FILEM …

26

BIODATA

RITAH YAHAYA merupakan Munsyi Dewan dan Perancang Bahasa di Bahagian

Majalah, DBP, Malaysia. Berkelulusan Sarjana Komunikasi Korporat dan Diploma

Terjemahan. Beliau berkhidmat selama 26 tahun di ibu pejabat, DBP Cawangan Sabah

dan DBP Wilayah Utara. Merupakan penolong editor Tunas Cipta dan editor Dewan

Bahasa (2006). Dari 2018 hingga kini, beliau editor Dewan Bahasa.

MUHAMAD HAKIMI ABD RANI merupakan penolong perancang bahasa di Bahagian

Majalah. Beliau berkelulusan Sarjana Muda Komunikasi (Penyiaran) dan Sarjana Sains

Sosial dari Universiti Sains Malaysia. Beliau pernah menjadi Penolong Editor Tunas

Cipta. Kini, beliau Penolong Editor Dewan Budaya.

Page 27: SISTEM PANGGILAN BAHASA MELAYU DALAM FILEM …

27

LAMPIRAN

Filem (Genre: Drama)

Tajuk : Antara Dua Darjat

Terbitan : Malay Film Productions

Tahun terbit : 1960

Arahan : P. Ramlee, S. Sudarmaji (pembantu pengarah)

Skrip : Omar Rojik

Pelakon : P. Ramlee, Saadiah, S. Kadarisman, S. Shamsuddin, dan

lain-lain.

Tempoh : 90 minit

Bahasa : Bahasa Melayu

Sinopsis

Kisah percintaan sepasang kekasih yang terhalang kerana perbezaan darjat.

Percintaan antara Tengku Zaleha (Saadiah) daripada golongan bangsawan dengan

Ghazali (P. Ramlee) seorang ahli muzik daripada golongan marhaen. Perbezaan darjat

telah mencetuskan konflik berdarah, tekanan jiwa, pertelingkahan keluarga hipokrasi

dan pembunuhan jiwa. Setelah puas menghadapi pelbagai pahit getir dalam percintaan

mereka yang terhalang itu, akhirnya cinta Tengku Zaleha dan Ghazali bertaut juga.

Filem (Genre: Komedi)

Tajuk : Do Re Mi

Page 28: SISTEM PANGGILAN BAHASA MELAYU DALAM FILEM …

28

Terbitan : Merdeka Filem Setudio

Tahun terbit : 1966

Arahan : P. Ramlee

Skrip : P. Ramlee dan A. R. Tompel

Pelakon : P. Ramlee, A.R. Tompel, Ibrahim Din, Wan Chik Daud,

dan lain-lain.

Tempoh : 106 minit

Bahasa : Bahasa Melayu

Sinopsis

Do Re Mi mengisahkan tiga orang sahabat, iaitu Masdur atau Do (Tan Sri P. Ramlee),

Amore atau Re (A. R. Tompel) dan Minami atau Mi (Ibrahim Din) yang berdepan

dengan konflik hidup untuk mencari pekerjaan. Do dan Re, dua orang duda bergelut

dengan survival untuk meneruskan kehidupan setelah kegagalan rumah tangga

masing-masing. Sementara Mi, seorang bujang turut berdepan dengan masalah

mencari pekerjaan.

Do, seorang yang tidak mempedulikan hal rumah tangga dan banyak berhutang,

telah menipu mertuanya untuk mendapatkan wang. Do dan isterinya kemudian berpisah

akibat tidak sehaluan. Do mengembara ke kota untuk memulakan hidup baharu. Re

yang merupakan seorang pengurus rumah tangga mempunyai seorang isteri yang

bekerja di kelab malam. Akibat kecuaian Re yang menyebabkan wang isterinya dicuri,

dia dihalau keluar dari rumah dan membawa diri untuk mencari kerja di kota. Mi,

seorang bujang yang meminati gadis yang tinggal depan rumahnya, iaitu Milah (Wan

Page 29: SISTEM PANGGILAN BAHASA MELAYU DALAM FILEM …

29

Chik Daud), sering bertuah kerana gadis tersebut sudi meminjamkan wang kepadanya

yang tidak bekerja. Ketika Mi keluar mencari pekerjaan, dia telah menolong mengejar

pencuri yang merampas beg tangan seorang wanita. Do dan Re yang sedang mencari

kerja di pejabat buruh mendengar jeritan wanita tersebut, lalu mengejar Mi yang sedang

berlari, kerana menyangkanya pencuri. Semenjak itu, mereka bertiga berkawan baik

dan terpaksa melalui pelbagai cabaran mengharungi liku-liku kehidupan. Berlaku

pelbagai peristiwa lucu dalam usaha mereka mencari ikhtiar hidup demi sesuap nasi.