perkembangan sosiopolitik malaysia yang merupakan kesan dari pengaruh british

41
1 SKSP 1033 EVOLUSI POLITIK MALAYSIA SOALAN : SOALAN 5: SUSURGALURKAN PERKEMBANGAN SOSIOPOLITIK MALAYSIA YANG MERUPAKAN KESAN DARI PENGARUH BRITISH PENSYARAH : DR. JAMAIE BIN HAJI HAMIL NAMA : SHAH MOHD AKMAL BIN ABDUL HALIM (A149306) TUTORIAL : SELASA (12.00-1.00 PETANG)

Upload: shah-akmal

Post on 09-Nov-2015

30 views

Category:

Documents


2 download

DESCRIPTION

Dilarang copy paste

TRANSCRIPT

2

SKSP 1033EVOLUSI POLITIK MALAYSIA

SOALAN :SOALAN 5: SUSURGALURKAN PERKEMBANGAN SOSIOPOLITIK MALAYSIA YANG MERUPAKAN KESAN DARI PENGARUH BRITISHPENSYARAH :DR. JAMAIE BIN HAJI HAMILNAMA :SHAH MOHD AKMAL BIN ABDUL HALIM (A149306)TUTORIAL :SELASA (12.00-1.00 PETANG)

1.0 ETIMOLOGI DAN EPISTEMOLOGI KOLONIALISMEDalam konteks etimologi kata, kolonialisme berasal daripada bahasa Roman iaitu colonia yang membawa maksud farm atau pertempatan dan merujuk kepada orang Roman yang mendiami kawasan lain tetapi tetap mengekalkan kewarganegaraannya. Dalam aspek umum pula, kolonialisme membawa maksud satu petempatan oleh sekumpulan orang di sebuah kawasan lain dan membentuk sebuah komuniti yang tertakluk kepada, atau berhubungan dengan negara asal mereka. Komuniti tersebut turut terdiri daripada penduduk asal serta keturunan mereka dan pendatang selagi hubungan terhadap negara asal dikekalkan atau dengan perkataan singkat serta mudah iaitu penaklukan dan penguasaan terhadap tanah orang lain dan barangannya (Mohamad Saleeh Rahamad, 2014, 28 29). Dalam konteks etimologi juga, kolonialisme tidak membawa maksud penjajahan tetapi hanya melibatkan konotasi negatif yang berlaku akibat interaksi yang tidak seimbang antara pendatang baru dengan penduduk asal (Ratna 2008, 20).Dalam konteks epistemologi pula, terdapat pelbagai pendifinisian yang dibuat oleh para sarjana dalam memperjelaskan pengertian makna kolonialisme. Kolonialisme sering kali disamakan dengan imperialisme dan pelbagai sarjana yang memberi tafsiran mengenai kolonialisme tidak kurang juga yang memberi pendifinisian dalam konteks perbezaan bagi menunjukkan perbezaan antara kolonialisme dan imperialisme. Oleh itu, lihat pendifinisian yang diberikan oleh Nadel dan Curtis yang membawa makna cukup luas:Bagi sebahagian orang, kolonialisme bermaksud imperialisme seperti yang dilihat daripada kaca mata penting penjajah ; malahan, semua kolonialisme difahamkan sebagai perkembangan imperialisme, tetapi bukan semua perkembangan imperialisme bererti kolonialisme, dan ini tidak dapat dinafikan. Tetapi, kolonialisme kini secara amnya digunakan sebagai seerti dengan penindasan, penghinaan atau eksploitasi orang-orang peribumi (Cheah Boon Kheng & A. Talib Ahmad 1990, 13)Tarikfan turut diberikan oleh Syed Hussein Alatas mengenai kolonialisme dalam konteks perbezaan antara kolonialisme dan imperialisme:Kolonialisme dan imperialisme disamakan maksudnya kecuali satu perbezaan bahawa imperialisme ialah penguasaan wilayah-wilayah asing yang luas oleh satu negara sedangkan kolonialisme boleh dirujuk kepada penguasaan terhadap sesebuah negara sahaja (Mohamad Saleeh Rahamad, 2014, 28)Selain itu, turut dipetik adalah daripada Graham Evans dan Jeffrey Newham sebagai berikut:Colonialism it involves the settlement of foreign territories, the maintance of rule over subordinate population and the separation of the ruling from the subject population (Evans & Jeffrey 1998, 79)Menurut ahli sejarah Jerman Jrgen Osterhammel, beliau mendifinisikan kolonialisme seperti berikut: As a relationship between two collectives in which all important decisions concerning the life of the colonised are made by a culturally different/alien minority of colonisers unwilling to adapt to local customs. External interests (be the economic, political or ideological) are the main criteria in such decision. Usually, ideological issues such as the alleged cultural superiority of the colonisers echo in the nature of the relationship... (Leonard 2006, 355) Satu takrifan semasa yang berwibawa dikemukakan oleh Edward W. Said dalam bentuk perbandingan antara imperialisme dan kolonialisme:as the practice, the theory, and the attitudes of a dominating metropolitan center ruling a distant territory and colonialism, almost always a consequence of imperialism (Ostler 2004, 2)Takrifan yang lebih sesuai dalam konteks Tanah Melayu boleh dilihat pentakrifan yang dibuat oleh Cheah Boon Kheng & Abu Talib Ahmad:Kolonialisme atau penjajahan biasanya bererti satu keadaan buruk bagi jajahan, atau eksploitasi jajahan oleh negara imperialis itu(Cheah Boon Kheng & A. Talib Ahmad 1990, 13)Sebagai menggulung segala yang telah dirungkaikan di atas oleh para sarjana mengenai definisi kolonialisme, maka boleh dilihat bahawa pendifinisian yang dibuat oleh para sarjana tidak lari atau tetap berfokuskan terhadap penguasaan, dominasi serta kawalan. Maka secara jelasnya imperialisme dan kolonialisme adalah dua perkara yang berbeza. Sebagaimana pendifinisian yang dibuat oleh Nadel dan Curtis dan Syed Hussein Alatas jelas menunjukkan perbezaan yang melibatkan kedua-dua medium penjajahan ini. Oleh itu, boleh disimpulkan bahawa kolonialisme adalah penguasaan, dominasi, serta kawalan oleh kuasa asing terhadap sesebuah negara dalam konteks politik, ekonomi dan latar sosial masyarakat. Sebagaimana pendifinisian yang dibuat oleh Cheah Boon Kheng, Abu Talib Ahmad, Nadel dan Curtis ada menyebut mengenai eksploitasi dan apabila dipadankan dengan keadaan Tanah Melayu ketika penjajahan British, jelas bahawa British melakukan pelbagai eksploitasi dalam konteks Politik, Ekonomi dan Sosial masyarakat Tanah Melayu pada ketika itu. Tidak perlu lihat jauh, lihat sahaja eksploitasi hasil bumi seperti bijih timah yang berlaku secara berleluasa. Maka hal ini boleh diklasifikasikan sebagai penindasan secara umumnya dan secara khususnya pula adalah penindasan dalam konteks ekonomi. Lanjutan daripada huraian yang telah dinyatakan di atas, penguasaan kuasa asing sememangnya menjadi subjek utama dalam mengerakkan kolonialisme sebagaimana yang dinyatakan oleh Jrgen Osterhammel bahawa segala keputusan penting dilakukan oleh kumpulan minoriti penjajah yang lebih mengutamakan kepentingan luaran seperti ekonomi, politik dan ideologi. Jika dilihat pendifinisian yang dibuat oleh Jrgen Osterhammel ini maka secara jelasnya menunjukkan bahawa berlangsungnya ciri-ciri penindasan kerana segala keputusan dibuat oleh British yang sedia maklum bukan berasal dari Tanah Melayu. Bukti penindasan lain adalah dari segi keputusan yang dibuat ke atas Tanah Melayu yang merangkap tiga kepentingan yang dinyatakan oleh Jrgen Osterhammel iaitu ekonomi, politik dan ideologi. Maka ianya jelas sebagai satu bentuk penindasan ke atas masyarakat peribumi Tanah Melayu. Kolonialisme terjadi bukanlah tanpa objektif yang disasarkan tetapi ianya dilangsungkan berteraskan beberapa perkara yang menjadi dorongan ataupun pemangkin untuk menjayakan kolonialisme. Antara faktor umum yang menyebabkan kolonialisme berlaku adalah disebabkan satu teori Darwin yang menjadi perangsang untuk negara-negara barat untuk menjajah: Darwinian ideas, too, while they seemed to show that every word of Genesis need not be taken as simple fact, at the same time convinced many people that the blacker a skin looked, the nearer it was to sin and savagery: ape or angel, is how Disraeli interpreted the alternatives of human origin, and it seemed only common sense that a negro was more a gorilla than a Gabriel (Saleeh Rahamad, 2014, 30)

Teori Darwin ini membicarakan mengenai perjuangan manusia teragung sebagai haiwan yang boleh membunuh dan memangsakan haiwan lain atas sifat semula jadinya untuk melangsungkan hidup serta membiak. Seorang Darwinist juga digalakkan bersaing antara manusia biarpun perlu melalui proses perperangan serta pembunuhan kejam kerana hanya spesis manusia yang terkuat sahaja wajar mendapat tempat dalam dunia persaingan ini. Teori ini lahir ketika penjajahan giat berlangsung lantas diambil kesempatan oleh orang Eropah untuk mengabsahkan tindakan kolonialisme serta imperialisme mereka. Maka orang British khususnya bertambah yakin bahawa mereka bangsa teragung dan berhak menguasai bangsa kulit bewarna atas anggapan bahawa semakin gelap sesebuah kaum, semakin dekat mereka dengan spesis beruk (Mohamad Saleeh Rahamad, 2014, 30 ; Azmi Arifin 2008, 20). Secara tidak langsung, teori Darwin ini menjadi pemangkin untuk sesebuah negara Eropah melaksanakan kolonialisme mereka ke atas negara-negara yang diinginkan. Lantas, berlakunya tindakan-tindakan kolonial dan semakin berleluasa tanpa adanya batasan serta halangan akibat kemunculan teori ini.Dalam konteks kedatangan British ke Tanah Melayu, terdapat beberapa faktor yang menyebabkan kehadiran mereka. Antara faktor kedatangan mereka adalah disebabkan dasar semangat nasionalisme sempit yang berkembang pesat di Britain pada abad ke 19. Mereka dihantar ke Tanah Melayu dengan membawa persepsi yang sudah ditanam sejak awal iaitu British adalah bangsa termaju manakala penduduk Tanah Melayu adalah bangsa yang mundur, hidup secara liar, kejam dan ganas. Atas dasar ini, kedatangan mereka ke Tanah Melayu bertujuan untuk mendapatkan bukti tentang kemunduran tersebut dan menggunakan alasan ini untuk campur tangan yang lebih meluas di Tanah Melayu. Dengan berteraskan konsep ini maka terjadilah kolonialisme di Tanah Melayu (Azmi Arifin 2008, 23).2.0 PENGARUH TIMUR TENGAH Kebangkitan perkembangan sosiopolitik Melayu telah tumbuh sejak awal abad ke-20 di mana mereka yang menuntut di Timur Tengah sama ada dari Mekah atau pun di Al-Azhar memberi cetusan idea kepada Sosiopolitik Melayu memandangkan ramai pelajar Melayu di Universiti Al-Azhar Mesir terpengaruh terhadap gerakan reformis Islam pimpinan Muhammad Abduh (Cheah Boon Kheng 2003, 10 ; Jamaie 2005, 38). Selain Muhammad Abduh, Jamalluddin al-Afghani turut bersama-sama Muhammad Abduh dalam mengerakkan fahaman baru dalam agama islam di Universiti Al-Azhar. Kedua-dua tokoh ini menolak sebarang unsur khurafat serta menentang sikap umat islam yang bertaqlid membuta tuli sehingga mengenepikan langsung peranan akal (Abdullah Hassan 1982, 3). Gerakan reformis ini pada awalnya bukanlah dilangsungkan atas dasar politik sebaliknya gerakan ini berkisar tentang keperluan islam dalam konteks modenisasi yang menekankan soal keperluan islam dalam dunia moden berkaitan dengan sains, matematik dan teknologi barat (Jamaie 2005, 38). Maka dengan ini, fahaman ini telah merangsang pemikiran ulama-ulama seperti Syeikh Ahmad Khatib al-Minangkabui, Syed Tahir Jalaluddin dan intelektual negeri selat seperti Sayid Syeikh Ahmad al-Hadi, Haji Abbas Taha dan Syeikh Muhammad Salim al-Kalali, seorang saudagar Arab dari Aceh (Ahmat Adam 2013, 35). Individu yang berperanan menyebarkan fahaman ini di Nusantara ialah Sheikh Tahir Jalalluddin dan Syed Sheikh al-Hadi yang melalui akhbar al-Imam sekembalinya mereka dari Mesir (Abdullah Hassan 1982, 3). Maka, dengan ini wujudlah golongan kaum muda di Tanah Melayu yang memperjuangkan fahaman yang dibawa dari Timur Tengah hasil daripada pengaruh yang dibawa oleh Muhammad Abduh. Namun, perjuangan Kaum Muda ini turut ditentang oleh Kaum Tua yang merupakan golongan agamawan sedia ada di Tanah Melayu.2.1 Kaum Muda Kaum muda merupakan gelaran yang diberikan kepada golongan pemuda yang baru pulang dari mendapatkan pendidikan formal Islam di Timur Tengah dan terpengaruh dengan perjuangan Ikhwanul Muslimin yang menetang imperialis barat. Selain itu, kaum muda lahir di Tanah Melayu bukan hanya disebabkan terpengaruh oleh perjuangan dari Timur Tengah tetapi juga turut disebabkan oleh pengaruh perjuangan India dan Indonesia (Ishak Saat 2014, 25). Mereka muncul sebagai golongan intelektual yang bercita-cita tinggi dalam memperbaiki keadaan sosiapolitik melayu khasnya aspek daya pemikiran di mana mereka menginginkan daya pemikiran tinggi dengan percaturan moden, pembaharuan pendidikan yang lebih mencabar dan beraneka serta membela agama Islam daripada pengaruh barat lantas melindungi daya suntikan kepada muslimin di Tanah Melayu. Kaum Muda juga turut berperanan dalam memperjuangkan untuk menentang penindasan yang dilakukan oleh Britsh ke atas masyarakat Melayu pada ketika itu (Ishak Saat 2014, 25 ; Jamaie 2005, 38 39). Justeru, kaum muda juga dikatakan sebagai satu gerakan islah yang berusaha dalam memperjuangkan pembaharuan sosial dan ekonomi dalam masyarakat Melayu (Abdullah Hassan 1982, 5 ; Roff 1975, 98).Gerakan kaum muda tidak hanya berfokuskan terhadap kepentingan agama sahaja tetapi juga turut membawa idea-idea untuk perubahan sosial. Hal ini dapat dilihat menerusi Rencana Pengarang akhbar al-Imam yang ditulis oleh Shaykh Mohd. Salim Al-Kalali mengenai tujuan mereka:to remind those who are forgetful, arouse those who sleep, guide those who stray, and give a voice to those who speak wisdom (Abdullah Hassan 1982, 5).Kaum muda turut bertindak lebih agresif dalam melaksanakan perubahan dalam memberi kesedaran serta pendidikan kepada masyarakat Melayu melalui akhbar dan madrasah. Tindakan tersebut ditegaskan oleh Muhammad Redzuan Othman sebagai:Disebabkan Kaum Muda dinafikan peluang menyebarkan pemikiran mereka melalui institusi agama yang rasmi, aktivis gerakan ini menyebarkan pemikiran mereka dengan membuka madrasah dan menerbitkan akhbar (Ishak Saat 2014, 26 27)Maka dengan ini, jelas bahawa medium yang digunakan oleh Kaum Muda dalam menyedarkan masyarakat Melayu adalah melalui akhbar dan juga madrasah. Oleh itu, Kaum Muda berperanan dalam membangunkan madrasah-madrasah moden bagi mengantikan institusi pondok (Ishak Saat 2014, 27). Antara media cetak yang wujud pada ketika itu ialah Warta Malaya, Al-Ikhwan, Saudara, Majlis, Utusan Melayu, Warta Kinta, Neraca dan Lembaga Melayu. Manakala dari Mesir pula wujud majalah seperti Seruan Islam/Seruan Al-Azhar dan Pilihan Timur yang diusahakan oleh pelajar-pelajar Melayu dan Indonesia di bawah persatuan Al-Jamiiah Al-Khairiah. Melalui medium cetakan ini, hal-hal politik dan kebangsaan dapat dibicarakan dengan lebih bebas lagi. Malah, melalui penerbitan al-Imam juga dapat menandakan bahawa berlangsungnya transformasi kewartawanan di Tanah Melayu, dari perkara biasa beralih kepada isu-isu penting dan masalah yang dihadapi penduduk Tanah Melayu (Adibah Sulaiman 2011, 8 ; Arena Wati & Wan 1969, 235 ; Jamaie 2005, 40 41 ).2.2 Kaum TuaKaum Tua secara umumnya bersifat essentialism, yang merujuk kepada golongan ulama tradisional yang enggan menerima ijtihad baharu daripada ulama progresif lulusan Timur Tengah (Saleeh Rahamad, 2014, 96). Dalam konteks penilaian yang dibuat oleh Kaum Muda, ternyata Kaum Tua lebih mementingkan hal keagamaan yang konvensional dan ortodoks di mana mereka mengetepikan hal-hal keduniaan walhal ianya turut dituntut oleh Islam (Jamaie 2005, 39). Realitinya, Kaum Tua ini merupakan satu golongan yang ingin mengekalkan terus ajaran-ajaran Islam yang diwarisi sejak dahulu lagi lantas mendakwa bahawa mereka adalah pengikut setia mazhab Shafie dan tidak mahu langsung terikat atau menerima ajaran-ajaran dari mazhab lain (Abdullah Hassan 1982, 3 5). Buktinya dapat dilihat dalam satu perdebatan antara Kaum Muda dan Kaum Tua di Padang Indonesia (15 Julai 1919) mengenai isu pemakaian baju yang dibangkitkan oleh Kaum Tua yang memperlihatkan penolakkan sepenuhnya oleh mereka terhadap pemakaian ala-barat kerana mempunyai percanggahan dalam hukum Islam (Kaptein 2009, 184 185). Maka secara jelasnya dapat dilihat bahawa Kaum Tua begitu sukar menerima arus permodenan walhal dalam konteks pemakaian lelaki moden (kemeja,tie, dsb.) seperti orang Eropah tidak menjadi kesalahan di dalam islam. Dengan ini juga boleh dinilai bahawa Kaum Tua tidak boleh menerima perubahan atau modenisasi sebaliknya hanya ingin kekal dengan konsep tradisional mereka. 2.3 Konflik antara Kaum Tua dan Kaum MudaAsas pertentangan antara Kaum Muda dan Kaum Tua adalah disebabkan soal menentukan kebenaran dalam agama. Dalam hal ini, Kaum Muda menolak penerimaan secara membuta tuli atau taklid dalam agama manakala Kaum Tua pula mengatakan bahawa segala apa yang diputuskan ulama dan segala yang ditulis di dalam kitab perlu diterima sahaja dengan alasan ulama terdahulu menulis dengan berhati-hati serta memahami apa yang ditulisnya (Saleeh Rahamad, 2014, 96 97). Menurut Kaum Muda lagi, taklid yang diamalkan Kaum Tua di mana hanya bergantung kepada pendapat dan tafsiran ulama terdahulu untuk menyusun undang-undang Islam akan menyebabkan terabainya autoriti dari sumber ilahi (Adibah Sulaiman 2011, 9). Kaum Muda turut mengatakan bahawa adalah wajib dipercayai di dalam perkara agama itu ialah al-Quran dan hadis-hadis Nabi Muhammad s.a.w. kerana tiada seorang pun yang masum daripada kesalahan (Roff 1975, 98). Maka Kaum Muda mengecam cara pemikiran Kaum Tua dan hal ini telah menyaksikan polemik yang berpanjangan antara kedua pihak yang mana satu pihak berusaha mempertahankan strategi klasik manakala satu pihak lagi cuba menyusun pendekatan baharu (Jamaie 2005, 39). Di samping itu, pembaharuan serta pandangan Kaum Muda telah menimbulkan pelbagai persepsi serta reaksi negatif dalam kalangan rakyat yang terikut-ikut dengan cara ulama tradisional. Kaum Muda turut dituduh oleh Kaum Tua sebagai murtad kerana membawa perkara yang bidaah ke dalam tradisi islam (Ishak Saat 2014, 27 ; Jamaie 2005, 39). Hal ini disusuli dengan pelbagai percanggahan pendapat antara Kaum Muda dan Kaum Tua salah satunya adalah mengenai isu talkin dan keperluan membaca niat dalam berwudhuk. Selain itu, Kaum Muda juga turut memperjuangkan dalam memperbetulkan perspektif masyarakat Melayu mengenai faedah yang diterima melalui wang yang disimpan di pejabat pos dan syarikat-syarikat kerjasama tidak dipandang sebagai riba (Roff 1975, 99).2.4 Kemunculan Kaum Muda dalam PolitikKemunculan Kaum Muda dalam politik ini mula kelihatan hanya dalam tahun-tahun 1920an walaupun implikasi-implikasi politik sudah jelas terdapat di dalam cita-cita pembaharuan sebelumnya. Jika melihat akhbar-akbhar yang dihasilkan oleh Kaum Muda ternyata kemuculan akhbar ini di Malaya menyuntik satu semangat politik baharu di mana penulisan mereka berkisar tiga konsep utama iaitu Pan-Islamisma, Pan-Malaynisma dan Nasionalisme anti Kolonial. Dalam tahun 1906, Sayyid Sheikh juga ada menulis mengenai soal pemerintahan kolonial (Roff 1975, 109). Maka hal ini jelas menunjukkan bahawa Kaum Muda sememangnya tidak bersetuju terhadap pemerintahan kolonial. Menerusi akhbar-akhbar yang dihasilkan oleh Kaum Muda juga, jelas menunjukkan bahawa mereka menyebarkan semangat nasionalisme dan membina sikap politik Melayu (Saleeh Rahamad 2014, 98). Oleh itu, hal ini jelas menunjukkan bahawa Kaum Muda bukan sahaja berperanan dalam memperjuangkan islam tetapi juga terlibat sama dalam hal-hal berkaitan politik di Tanah Melayu. Tanpa Kaum Muda, kesedaran nasionalisme di Tanah Melayu mungkin tidak akan wujud secara drastik dan perkembangan sosiopolitik Melayu juga berkemungkinan akan perlahan.3.0 PENGARUH PENDIDIKAN INGGERIS MAKTAB MELAYU KUALA KANGSAR (MMKK)Selain golongan yang mendapat pendidikan dalam jurusan agama dan melahirkan reformis agama, terdapat juga golongan yang mendapat pendidikan Melayu dan Inggeris di Tanah Melayu (Jamaie 2005, 41). Dalam konteks pendidikan Inggeris, antara institusi Inggeris yang terkenal pada zaman kolonial ialah Maktab Melayu Kuala Kangsar (MMKK). MMKK ditubuhkan pada 1905 atas cadangan daripada R.J Wilkinson selaku pegawai jajahan pada ketika itu. Maktab ini dibina di atas Tanah Seluas 1.2 hektar dan mengambil masa selama 4 tahun pembinaannya. Penubuhan maktab ini adalah bertujuan untuk melahirkan anak-anak Melayu bagi memasuki sesetengah bidang perkhidmatan kerajaan. Di MMKK anak-anak aristokrat diberikan keistimewaan dengan dibantu oleh kolonial untuk menjaga status dan imej elit Melayu. Pendidikan Inggeris diterapkan adalah dengan bertujuan untuk mengasingkan mereka daripada ikatan solidariti di samping ingin menjadikan Melayu yang berjiwa Inggeris. Namun, British tidak berjaya kerana graduan daripada maktab ini sendiri menentang British apabila mereka menamatkan pengajian. Maka wujudnya pertubuhan-pertubuhan politik yang menentang British yang terdiri daripada graduan Maktab ini (Jamaie 2005, 43 ; Ooi Keat Gin 2004, 826 ; Roff 1975, 125 127 ; Saleeh Rahamad 2014, 94 95 ; www.wikipedia.org).4.0 PENGARUH PENDIDIKAN MELAYUMerujuk kepada pendidikan Melayu pula, pelopor golongan ini kebanyakannya mendapat pendidikan dari aliran Melayu dari Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI). Antara tokoh yang lahir daripada pendidikan Melayu ialah Ibrahim Yaacob dan Ishak Hj. Mohammad (Faidz, Jamaie, Rizal & Rodzi 2011, 203). Nama-nama besar lain yang turut tercatat dalam sejarah MPSI juga seperti Pendeta Zaba, Harun Aminurrashid, Abdul Rahim Kajai, Abdul Ghafar Baba dan ramai lagi yang lahir daripada kemasyhuran MPSI (Azam, Hajjah Zainab, Che, Zahuri & Syed 2006, 1 2). Oleh itu, hal ini telah membuktikan bahawa pendidikan Melayu menerusi MPSI telah memberikan kesedaran-kesedaran politik di Tanah Melayu dengan lahirnya individu-individu berpengaruh dalam politik seperti Ibrahim Yaacob.Pada dasarnya, Maktab Perguruan Sultan Idris/ Maktab Latihan Sultan Idris ditubuhkan pada 1922 yang mengambil masa selama tiga tahun proses pembinaannya dan namanya diberi sempena menghormati Sultan Perak iaitu Sultan Idris Ibni Raja Iskandar. Tenaga pengajar MPSI pada awal penubuhannya terdiri daripada empat orang Eropah (guru besar, dua orang guru umum dan seorang mengajar dalam ilmu tanam-tanaman), sembilan orang Melayu dan seorang dari Filipina (Roff 1975, 181). Kewujudan MPSI banyak memberi impak dalam konteks pemikiran Melayu terhadap perjuangan menuntut kemerdekaan daripada pihak British. Dalam konteks ini, British beranggapan bahawa guru-guru Melayu juga merupakan saluran penyebaran nilai serta idea Inggeris kepada masyarakat Melayu tetapi di MPSI jugalah kesusasteraan Melayu mendapat nafasnya apabila guru-guru yang terdedah pada kesusasteraan dari Indonesia bertindak sebagai perantara dan katalis kepada gerakan nasionalisme melalui sastera (Saleeh Rahamad 2014, 95). MPSI juga berperanan dalam melahirkan ramai tokoh politik dan pertubuhan politik radikal di Tanah Melayu (Ishak Saad 2014, 23). Maka dengan adanya MPSI lahirlah individu-individu yang berpengaruh dalam Politik Tanah Melayu seperti Ibrahim Yaakob. Lantas, individu-individu yang berpengaruh ini bertanggungjawab dalam mewujudkan pertubuhan politik seperti Kesatuan Melayu Muda (KMM) yang ingin memperjuangkan Kemerdekaan Malaya dalam Linkungan Indonesia Raya (Arena Wati & Wan 1969, 234). Oleh itu, kesinambungan antara pendidikan Melayu sememangnya jelas kelihatan dalam konteks politik Tanah Melayu apabila terbentuknya KMM akibat pengaruh daripada MPSI dan diikuti pula dengan pembentukan PKMM susulan daripada KMM. 4.1 Kesatuan Melayu Muda (KMM)Kesatuan Melayu Muda (KMM) merupakan wadah sosiopolitik pertama yang muncul di Tanah Melayu sebelum tercetusnya Perang dunia Kedua. Kewujudan KMM adalah susulan daripada perjuangan Ikatan pemuda Pelajar yang ditubuhkan pada tahun 1929 oleh IbrahimYaacob di Maktab Perguruan Sultan Idris, Tanjung Malim, Perak (Faidz, Jamaie, Rizal & Rodzi 2011, 204). Kesatuan Melayu Muda (KMM) juga lahir ekoran penubuhan Ikatan Pemuda Pelajar dan Ikatan Semenanjung Borneo yang dibentuk di MPSI serta bergiat aktif (Ishak Saat 2014, 22). Persatuan ini dipimpin oleh Ibrahim Yaacob, Hassan Manan, A. Karim Rasyid, Isa Muhammad serta rakan-rakan mereka (Ibrahim Yaacob 1957, 24).Dalam aspek tujuan serta objektif penubuhan KMM pula, terdapat beberapa sumber yang mendedahkan tujuan pertubuhan ini: Menjelang tahun 1937, era perjuangan menentang British mula mencakupi bidang politik. Tunjang perjuangan ialah menuntut kemerdekaan Tanah Melayu. Beberapa persatuan ditubuhkan antaranya ialah Kesatuan Melayu Malaya (KMM) (Berita Harian 2007, 5)Penubuhan KMM juga bertujuan untuk mendapatkan kemerdekaan secara bersama dengan Indonesia yakni dalam konteks Indonesia Raya (Arena Wati & Wan 1969, 234). Hal ini dapat dibuktikan menerusi kajian oleh al-marhum Rustam A. Sani yang menyatakan:yang konsekuen dengan perjuangan oleh nasionalisme aliran kiri Melayu ialah cita-cita menentang penjajahan dan merealisasikan perwujudan Melayu Raya. Bagi Nasionalis kiri Melayu itu, Melayu Raya itu adalah sama dengan Indonesia Raya yang diperjuangkan oleh nasionalis Indonesia seperti Muhammad Yamin (Ahmat Adam 2013, 58)Oleh itu, jelas bahawa tujuan utama KMM diwujudkan adalah untuk memikul perjuangan dalam menuntut kemerdekaan Tanah Melayu daripada British. Perjuangan KMM lebih menekankan aspek kemerdekaan memandangkan kesedaran mereka terhadap penindasan yang dilakukan oleh British yang disedarkan menerusi pendidikan Melayu di mana majoriti individu berpengaruh dalam KMM merupakan bekas pelajar MPSI.4.2 Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM)Parti Kebangsaan Melayu Malaya atau PKMM merupakan parti politik pertama Malaya yang ditubuhkan pada 17 Oktober 1945 selepas Jepun menyerah kalah pada Ogos 1945. PKMM juga lahir dari ruang Jabatan Karang Mengarang dan Pentadbiran Suara Rakyat (Berita Minggu Jun 1971, 17). Terdahulu, ketika pengharaman KMM oleh pihak Jepun dan British wujud Kesatuan Rakyat Indonesia Semenanjung (KRIS) dan disebabkan kegagalan KRIS maka satu pertubuhan baru yang merangkap parti politik ditubuhkan yang diberi nama sebagai Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) (Arena Wati & Wan 1969, 235 ; Ibrahim Yaacob 1957, 40). PKMM pada awal penubuhanya diketuai oleh Mokhtaruddin Lasso serta dibantu Dr. Burhanuddin Helmy dan Ahmad Boestamam (Ishak Saat 2010, 71 ; Jamaie 2005, 44). Mokhtaruddin merupakan warganegara Indonesia dan orang kanan dalam Parti Komunis Indonesia (PKI). Beliau hadir di Tanah Melayu dengan bertujuan mempengaruhi sosiopolitik Melayu dengan unsur-unsur komunisme (Jamaie 2005, 44).PKMM bukanlah ditubuhkan tanpa peranan atau tujuan sebaliknya penubuhan PKMM ini penuh dengan tujuan dan cita-cita yang mahu dicapai oleh barisan pemimpin-pemimpin PKMM. Sebahagian besar orang kuat PKMM juga merupakan muka sama yang membarisi kepimpinan KMM pada suatu ketika dahulu. Maka, PKMM ditubuhkan dengan berteraskan beberapa tujuan yang ingin dicapai. Antara matlamat penubuhan PKMM adalah untuk mencapai kemerdekaan secara penuh atau dalam istilah angka kemerdekaan 100% (Berita Minggu Julai 1971, 12). PKMM telah menggariskan sebuah perjuangan untuk menuntut kemerdekaan sepenuhnya dan berusaha mengusir penjajah British dari Tanah Melayu. Matlamat ini termaktub di dalam Rang Undang-undang 1946 PKMM yang diluluskan pada kongres pertama di Ipoh pada 30 November hingga 3 Disember 1945. Dalam Rang Undang-undang itu juga tercatat dengan jelas TUJUAN: Kemerdekaan Bangsa dan Tanah Air. Setiap kali bertemu dengan para pendukung PKMM, laungan merdeka dilafazkan dengan garang sambil menggenggam lima jari dengan kuat dan diangkat hingga ke dada. Laungan merdeka sambil menggenggam lima jari membawa pengertian berikut:1. Merdeka berpolitik. Apabila kita merdeka maka apa yang kita mahu ialah politik negara kita bebas mengikut acuan yang kita suka.2. Merdeka ekonomi. Kita mahu ekonomi negara kita merdeka dari tekanan pihak luar negeri atau penjajah kapitalis.3. Merdeka beragama. Kita mahu negara kita bebas melaksanakan hukum dan undang-undang Islam sepenuhnya tanpa dikongkong oleh penjajah.4. Merdeka sosial. Pergaulan hidup tidak terbatas kepada satu-satu kaum sahaja atau kasta yang sangat berbahaya itu.5. Merdeka kebudayaan. Tiap-tiap bangsa di dalam dunia ini ada kebudayaan masing-masing. Kita mahu bebas memilih kebudayaan yangberfaedah dan tidak bertentangan dengan agama serta bebas pula membuang kebudayaan yang menyesatkan orang Islam. (Ishak Saat 2010, 72 73)Maka hal ini jelas menunjukkan bahawa PKMM ditubuhkan dengan bertujuan untuk memerdekakan Tanah Melayu. Dalam konteks ini, apa yang mereka inginkan kesemuanya berkait rapat soal kebebasan. Dari segi tujuan perjuangan mereka lagi, jelas memperlihatkan bahawa PKMM mementingkan hak-hak orang Melayu agar bebas dari kongkongan penjajah. Apa yang dimahukan oleh PKMM adalah kebebasan untuk hidup dibumi sendiri. Dalam masa yang sama, PKMM juga lebih cenderung untuk membaiki taraf hidup orang Melayu dalam konteks politik, ekonomi dan masyarakat di mana mereka menekankan aspek kebebasan dalam semua perkara.Maka dapat disimpulkan bahawa PKMM banyak memberi impak dalam perkembangan sosiopolitik Tanah Melayu pada ketika itu. PKMM yang berasal daripada KMM dan ahli-ahlinya yang mempunyai latar pendidikan Melayu telah menjadi penggerak kepada sosiopolitik era baru yang memperlihatkan pelbagai bentuk pembaharuan dibuat. Sebagai contoh, PKMM cuba menonjolkan kuasa rakyat sebagai struktur dasar dalam pemikiran politik partinya. Oleh itu, PKMM telah mengambil langkah salah iaitu dengan menyokong Malayan Union yang ditentang oleh orang Melayu (Jamaie 2005, 44).

5.0 IDEA KESATUAN MALAYA (MALAYAN UNION)Malayan Union secara rasmi digubal pada tahun 1943 dan telah diluluskan pada Mei 1944. Malayan Union telah diisytiharkan perlaksanaannya pada 1 April 1946 sebaik sahaja British Military Administration (BMA) dibubarkan (Zulhilmi Paidi & Rohani Abdul Ghani 2003, 72). Kerajaan Interim ini dibubarkan pada 1 Mac 1946 dan digantikan oleh Malayan Union (Abdul Rahman 2014, 90). Dalam pada itu, G.P. Means ada menyebut:Thus the 1946 proposals for the Malayan Union Constitusion were based on the implicit assumption that the left wing Chinese and western-educated non-Malay elites would be the dominant forces in Malayan politics for many years (Alias Mohamed 1982, 8 9) Berdasarkan pernyataan G. P. Means ini, British beranggapan bahawa sayap kiri Elit bukan Melayu yang berpendidikan barat dan Cina akan menjadi golongan yang dominan dalam Politik Tanah Melayu. Cadangan Perlembagaan Malayan Union juga dibuat berdasarkan andaian ini. Dalam aspek lain, Malayan Union ditubuhkan bertujuan untuk mengubah status-status negeri Tanah Melayu yang berstatus dilindungi kepada tanah jajahan British yang jelas berbeza. Menerusi Malayan Union, British mampu untuk berkuasa secara penuh di samping menghapuskan kedaulatan Raja-Raja Melayu yang kuasa undang-undang dan juga hubungan luar akan diambil alih oleh Gabenor (Abdul Rahman 2014, 90). Maka hal ini akan menyebabkan British terus berkuasa di Tanah Melayu lantas mengehadkann kuasa dan kedudukan Raja-Raja Melayu. Begitu juga dengan pemberian kerakyatan kepada kaum pendatang dengan mudah (Sivamurugan Pandian 2006, 20). Atas dasar tidak puas hati terhadap Malayan Union serta timbulnya kesedaran ke atas implikasi yang bakal diterima oleh penduduk peribumi maka wujud penentangan oleh penduduk Tanah Melayu. Penentangan dibuat adalah kerana Malayan Union dengan mudahnya memberi kerakyatan secara Jus Soli kepada warga asing selain Malayan Union turut merampas kuasa politik bangsa Melayu serta kuasa Raja-Raja Melayu terpaksa diserahkan kepada Raja-Raja Inggeris (Chamil 2004, 34). Oleh hal yang demikian, Raja-Raja Melayu turut bertindak untuk tidak menyokong Malayan Union setelah terpedaya dengan tipu helah untuk menandatangani perjanjian. Buktinya dapat dilihat apabila Raja-raja Melayu telah mengambil tindakan untuk memboikot majlis pertabalan Gabenor Malayan Union, Sir Edward Gent pada 1 April 1946 setelah didesak oleh rakyat (The Malaya Tribune April 1946, 4). Maka, susulan kewujudan Malayan Union wujudlah pertubuhan yang berperanan dalam menyuntik semangat nasionalisme dalam kalangan penduduk Tanah Melayu sekali gus bersatu untuk menentang Malayan Union. Dengan ini, bermulalah gerakan kedua nasionalisme di Tanah Melayu. 6.0 KEWUJUDAN NASIONALISME MELAYU Semangat nasionalisme dalam kalangan penduduk Tanah Melayu semakin meningkat setelah British mewujudkan gagasan Malayan Union pada 10 Oktober 1945. Hal ini telah memperlihatkan bahawa buat pertama kalinya, kesemua pemimpin gerakan nasionalisme Melayu telah mengenepikan sengketa dan perbezaan ideologi masing-masing untuk bersatu menentang Malayan Union (Faidz, Jamaie, Rizal & Rodzi 2011, 206). Hal ini terbukti apabila ramai golongan ulama menyertai UMNO, dan ketika Hizbul Muslimin pimpinan Abu Bakar Bakir diharamkan British pada tahun 1948 maka ramai juga kumpulan ulama menganggotai UMNO (Mohd Noor Yazid 2008, 289 290).Dalam konteks ini, individu yang menjadi aktor penting dalam pencetus gerakan nasionalisme untuk menentang Malayan Union ialah Dato Onn Jaafar. Dato Onn yang merupakan seorang elit bangsawan Melayu Johor bersama rakannya seperti Hamzah Abdullah dan Haji Wahab Tok muda telah berbincang untuk mengadakan kongres di Melaka. Tetapi, kongres berkenaan sebaliknya diadakan di Kelab Sulaiman Kampung Baru, Kuala Lumpur (Jamaie 2005, 45 ; Utusan Online 2006, ). Maka, Kongres Melayu Seluruh Tanah Melayu (Pan-Malayan Malay Congress) ini telah diadakan pada 11 Mac 1946 dan telah berjaya mengumpulkan 41 pertubuhan Melayu dari seluruh Malaya yang bertujuan untuk memboikot majlis rasmi perlantikan gabenor Malayan Union. Kongres ini dipengerusikan oleh Dato Onn (Abdul Rahman Abdul Aziz, 90 ; Aminjaya 2013, 84 ; Rizal Yaakop 2014, 6). Di dalam kongres ini, Dato Onn sempat meningkatkan semangat pemimpin-pemimpin Melayu dengan ucapan beliau:Bersatulah sebagaimana belum pernah kita bersatu dahulu dan berusahalah sebagaimana belum pernah kita berusaha. Tunjukkanlah bahawa kita sebenar-benarnya keturunan datuk nenek kita yang menghadap merbahaya dengan bersatu hati... (Utusan Online 2006)Di dalam kongres ini juga telah memperlihatkan tiga usul telah diluluskan:1. Menubuhkan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu;2. Membantah pertubuhan Malayan Union; dan3. Mengadakan Derma Pelajaran Kebangsaan Melayu sahaja.Hal ini secara tidak langsung telah melahirkan United Malay National Organisation (UMNO) yang memperlihatkan Dato Onn dilantik sebagai yang Dipertua UMNO pertama (Jamaie 2005, 49 ; www.wikipedia.org 2014). Senario ini telah membawa evolusi baru dalam budaya politik Melayu. UMNO ditubuhkan pada 11 Mei 1946 hasil daripada satu kongres se-Malaya yang diadakan di Kuala Lumpur dengan disertai oleh 41 persatuan Melayu termaksud wataniah (Faidz, Jamaie, Rizal & Rodzi 2011, 206).UMNO telah mengadakan beberapa siri rundingan dengan pihak Inggeris. Dalam semua siri perbincangan Dato Onn tetap bertegas untuk menolak Malayan Union dan beliau berpendirian bahawa setiap undang-undang Tanah Melayu harus diluluskan oleh Federal Council Tanah Melayu sahaja (Jamaie 2005, 49). Tentangan demi tentangan dibuat dan akhirnya Penentangan orang-orang Melayu ini telah berjaya menggagalkan penubuhan Malayan Union dan menggantikannya dengan Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1948. Dengan ini, kekuatan dan kedudukan bangsa Melayu jauh lebih baik daripada apa yang terkandung dalam RancanganMalayan Union.Maka, hal ini jelas menunjukkan bahawa UMNO memainkan peranan penting dalam penggerak nasionlisme Tanah Melayu dalam menentang Malayan Union. Kemuafakatan serta kerjasama masyarakat Melayu telah memberikan hasil yang cukup memberangsangkan. Keputusan bijak yang dibuat untuk menggabungkan seluruh pertubuhan di Tanah Melayu juga merupakan langkah kanan bagi mewujudkan suatu semangat besar dalam kalangan jiwa masyarakat Melayu untuk menggagalkan Malayan Union yang jelas memberikan banyak keburukan kepada masyarakat Melayu khasnya. Penglibatan secara kolektif pertubuhan Melayu juga sebenarnya telah membolehkan gerakan ini berjaya membangkitkan semangat nasionalisme dalam kalangan orang Melayu sehingga British terpaksa membatalkan hasrat pembentukan Malayan Union. 7.0 KESIMPULANMenyingkap dari tahun ke tahun, pelbagai perjuangan yang berlaku dalam sosiopolitik Melayu berkaitan dengan British. Dari zaman munculnya golongan yang mendapat pendidikan Timur Tengah, Pendidikan Melayu dan Inggeris sehinggalah penubuhan pertubuhan-pertubuhan politik semuanya susulan daripada kemunculan British di Tanah melayu. Segala perjuangan dan gerakan adalah berpunca daripada British. Jika ketiadaan British di Tanah Melayu, berkemungkinan besar landskap sosiopolitik Melayu berbeza daripada hari ini. British sememangya memberikan pengaruh yang cukup besar dalam sosiopolitik Melayu bahkan sehingga ke hari ini Malaysia masih mengekalkan serba-serbi peninggalan British seperti Perlembagaan Persekutuan. Melalui penilaian positif, kemasukkan British secara tidak langsung memberikan pelbagai pengajaran dan juga pengalaman supaya perkara ini tidak berulang di masa hadapan. Selain itu, kemasukkan British juga telah menyumbang sedikit sebanyak pengalaman mereka dalam konteks pemerintahan negara yang membolehkan orang Melayu mempelajari daripada mereka lantas mengaplikasikan ke atas negara dalam konteks pemerintahan sendiri oleh orang peribumi. Walaupun dasar-dasarnya dilihat lebih mementingkan keperluan kolonial, tetapi sedikit sebanyak orang Melayu dapat mempelajari daripada mereka terutamanya dalam hal-hal berkaitan politik.Maka secara keseluruhanya, jelas bahawa British amat berpengaruh dalam perkembangan sosiopolitik Tanah Melayu. Tanpa adanya British, saya yakin dan percaya bahawa sosiopolitik Malaysia akan berlainan daripada hari ini. Perjuangan-perjuangan menentang British secara tidak langsung memberikan pelbagai idea sekaligus dapat memperkembangkan sosiopolitik Tanah Melayu. RUJUKAN Abdullah bin Hassan. 1982. Haji Ahmad Amin, 1905-1971: Tokoh Kaum Muda Jasin. Dlm. Cheah Boon Kheng (pnyt.). Tokoh-Tokoh Tempatan (Kumpulan Esei Sejarah Malaysia oleh Pelajar-Pelajar USM) & Dokumen-Dokumen dalam Sejarah Malaysia. hlm. 3-18. Pulau Pinang: Universiti Sains Malaysia.Abdul Rahman Abdul Aziz. 2014. Isu-Isu Ketahanan Nasional Malaysia. Kuala Lumpur: Institut Terjemahan dan Buku Malaysia Berhad.Adibah Sulaiman. 2011. Malay Society of the Late 19th and Early 20th Century: Blind Imitation vs Independent Reasoning. Middle-East Journal of Scientific Research 7(7): 7-13.Ahmad Boestamam. 1971. Tuntutan PKMM: Malaya Merdeka Sa-ratu Peratus. Berita Minggu, 25 Julai: 12.Ahmad Boestamam. 1971. Parti Kebangsaan Melayu Malaya lahir di-ruang Jabatan Pengarang Suara Rayat. Berita Minggu, 27 Jun: 17.Ahmad Boestamam. 1972. Dr. Burhanuddin: Putera Setia Melayu Raya. Kuala Lumpur: Pustaka Kejora.Ahmat Adam. 2013. Melayu, Nasionalisme, Radikal dan Pembinaan Bangsa. Kuala Lumpur: Universiti Malaya.Alias Mohamed. 1982. Wasiat Nasionalisme Melayu. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd. Aminjaya. 2013. Masa: Merubah Hidup Kita. Kuala Lumpur: Institut Terjemahan & Buku Malaysia Berhad. Anon. 2007. Penjajahan British dan Perjuangan Kemerdekaan. Berita Harian, 15 Ogos: 5.Anon. 1946. Malays and Rulers Demonstrate Against Union Plan. The Malaya Tribune, 2 April: 4.Azam, Hajjah Zainab, Che, Zahuri & Syed. 2006. JHEPA: Ke Arah Pembangunan Modal Insan. Latihan Ilmiah, Universiti Pendidikan Sultan Idris.Azmi Arifin. 2008. Imperialisme Eropah dan Warisan Pemikiran tentang Nasionalisme Melayu. Dlm. Abdul Rahman Haji Ismail, Azmi Arifin & Nazarudin Zainun (pnyt.). Nasionalisme dan Revolusi di Malaysia dan Indonesia: Pengamatan Sejarah, hlm. 16-46. Pulau Pinang: Universiti Sains Malaysia.Chamil Wariya. 2004. Abdullah Ahmad Badawi: Perjalanan PM ke-5. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd.Cheah Boon Kheng & Abu Talib Ahmad. 1990. Kolonialisme di Malaysia dan Negara-Negara Lain. Petaling Jaya: Fajar Bakti.Cheah Boon Kheng. 2003. Red Star Over Malaya: Resistance & Social Conflict During and After The Japanese Occupation, 1941-1946. Singapore: NUS Publishing.Fauziah Arof. 2006. Kongres Melayu pertama di Kelab Sultan Sulaiman. Utusan Online, 11 Mei http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0511&pub=utusan_malaysia&sec=laporan_khas&pg=lk_03.htm&arc=hive [2 Dec 2014]. Ibrahim Yaacob. 1957. Malaya Merdeka. Jakarta: Kesatuan Malaya Merdeka Bhg. Penerangan.Ishak Saat .2010. Peranan Politik Akhbar Suara Rakyat 194548. Jurnal Kemanusiaan 17 (2010): 65-89.Ishak Saat. 2014. Radikalisme Melayu Perak 1945 1970. Pulau Pinang: Universiti Sains Malaysia.Jamaie Hj. Hamil. 2005. UMNO dalam Politik dan Perniagaan Melayu. Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia.Kaptein, N. J. G. 2009. Southeast Asian Debates and Middle Eastern Inspiration: Europe Dress in Minangkabau at the Beggining of The 20th Century. Dlm. Eric Tagliacozzo (pnyt.) Southeast Asia and the Middle East: Islam, Movement, and the Lounge Dure, hlm. 176-196).Leonard T. M. 2006. Encyclopedia of The Developing World Volume 1. New York: Routledge Taylor & Francis Group.Mohamad Saleeh Rahamad. 2014. Oksidentalisme Dalam Sastera Melayu: Sebelum Merdeka hingga Era Mahathir Mohamad. Kuala Lumpur: Institut Terjemahan dan Buku Malaysia Berhad.Mohd Faidz Mohd Zain ; Jamaie Hj. Hamil ; Mohd Rizal Mohd Yaakob & Mohamad Rodzi Abd Razak. 2011. Pengaruh Nasionalisme Melayu Mewarnai Budaya Politik Melayu Dalam Umno. Jurnal Melayu (7): 193-216.Ooi Keat Gin. 2004. Southeast Asia: A Historical Encyclopedia from Angkor Wat to East Timor. California: ABC-CLIO.Ostler, J. 2004. The Plains Sioux and U.S Colonialism from Lewis and Clark to Wounded Knee. New York: Cambridge University Press.S. Pandian. 2006. Abdullah Ahmad Badawi: Jalan ke Puncak. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd.Rizal Yaakop. 2014. Kontrak Sosial Pelembagaan Persekutuan 1957 Pengikat Jati Diri Bangsa Malaysia Merdeka. Kuala Lumpur: Institut Terjemahan dan Buku Malaysia Berhad.Roff, W. R. 1975. Nasionalisme Melayu. Ahmad Boestamam, terj. Kuala Lumpur: Universiti Malaya.Wan Shamsudin & Arena Wati. 1969. Sejarah Tanah Melayu dan Sekitar-nya. Kuala Lumpur: Pustaka Antara.Zulhilmi Paidi & Rohani Abdul Ghani. 2003. Pendidikan Negara Bangsa. Bentong: PTS Publications & Distributors Sdn. Bhd.Wikipedia. 2014. Kolej Melayu Kuala Kangsar. http://ms.wikipedia.org/wiki/Kolej_Melayu_Kuala_Kangsar [27 Nov 2014].