peristiwa 13 mei
DESCRIPTION
Peristiwa 13 Meihubungan etniksejarahmalaysiaTRANSCRIPT
Peristiwa 13 Mei
Peristiwa 13 Mei pada tahun 1969 ialah rusuhan kaum yang berlaku dan kemuncak masalah
perpaduan di Malaysia. Tragedi ini yang mengakibatkan kehilangan nyawa serta harta benda dan
mempunyai kaitan yang rapat dengan “Pilihan Raya Umum 1969” merupakan satu titik hitam dalam
sejarah negara Malaysia.
Latar belakang
Isu perkauman dalam pilihan raya 1969
Isu-isu perkauman yang menyentuh emosi dan sentimen menjadi tema utama sepanjang kempen
pilihanraya yang telah menaikkan semangat kaum-kaum di Malaysia. Semasa kempen Pilihan Raya
1969, calon-calon pilihan raya serta ahli-ahli politik terutamanya daripada parti pembangkang, telah
membangkitkan soal-soal sensitif berkaitan dengan Bahasa Kebangsaan (Bahasa Melayu),
kedudukan istimewa orang Melayu sebagai (Bumiputera) dan hak kerakyatan orang bukan Melayu.
Hal ini telah menimbulkan perasaan perkauman dan syak wasangka.
Parti Perikatan yang dianggotai oleh (UMNO-MCA-MIC) telah mengalami kekalahan yang teruk
dalam Pilihan Raya 1969. Jumlah kerusi yang dimenanginya dalam Dewan Rakyat (Parlimen) telah
menurun daripada 89 kerusi pada tahun 1964 kepada 66 kerusi pada tahun 1969. Parti Perikatan
telah kehilangan majoriti dua-pertiga dalam Dewan Rakyat.
Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan Parti Progresif
Rakyat (PPP) menang 25 buah kerusi dalam Dewan Rakyat manakala PAS menang 12 kerusi.
Sebab terjadinya Peristiwa 13 Mei 1969 adalah perarakan kemenangan pihak pembangkang.
Penyokong-penyokong Parti Gerakan telah mengutuk dan menghina orang-orang Melayu semasa
mengadakan perarakan di jalan-jalan raya di sekitar Kuala Lumpur.
Pembangkang meraikan kemenangan
Peristiwa ini berlaku berikutan pengumuman keputusan Pilihanraya Umum pada 10 Mei 1969.
Dr. Tan Chee Khoon dari parti Gerakan telah menang besar di kawasan Batu, Selangor. Beliau minta
kebenaran polis untuk berarak meraikan kemenangan parti tersebut di Selangor yang menyaksikan
50:50 di Selangor. Perarakan tersebut menyebabkan kesesakan jalan raya di sekitar Kuala Lumpur.
Perarakan hingga ke Jalan Campbell dan Jalan Hale dan menuju ke Kampung Baru. Sedangkan di
Kampung Baru, diduduki lebih 30,000 orang Melayu yang menjadi kubu UMNO, berasa terancam
dengan kemenangan pihak pembangkang. Di sini letaknya rumah Menteri Besar Selangor ketika itu,
Dato’ Harun Idris.
Dikatakan kaum Cina yang menang telah berarak dengan mengikat penyapu kepada kenderaan
mereka sebagai lambang kemenangan mereka menyapu bersih kerusi sambil melaungkan slogan.
Ada pula pendapat yang mengatakan penyapu tersebut sebagai lambang mereka akan menyapu
(‘menyingkir’) orang-orang Melayu ke laut. Dalam masyarakat Melayu, penyapu mempunyai
konotasi yang negatif (sial). Ada yang mencaci dan meludah dari atas lori ke arah orang Melayu di
tepi-tepi jalan.
Perarakan kematian Cina
Akibat daripada rusuhan maut tersebut, kesesakan jalanraya turut berlaku.
Di Jinjang, Kepong, kematian seorang Cina akibat sakit tua diarak sepanjang jalan dengan kebenaran
polis. Namun perarakan kematian bertukar menjadi perarakan kemenangan pilihan raya dengan
menghina Melayu.
Pada hari Selasa 13 Mei, Yeoh Tech Chye selaku Presiden Gerakan memohon maaf di atas
ketelanjuran ahli-ahlinya melakukan kebiadapan semasa perarakan. Yeoh menang besar di kawasan
Bukit Bintang, Kuala Lumpur. Tapi permohonan maaf sudah terlambat.
Rumah Menteri Besar Selangor
UMNO telah mengadakan perarakan balas pada pagi 13 Mei 1969 yang mengakibatkan terjadinya
peristiwa ini. Hal ini adalah kerana perasaan emosi yang tinggi dan kurangnya kawalan dari kedua-
dua pihak. Perarakan ini tidak dirancang.
Orang Melayu berkumpul di rumah Menteri Besar Selangor di Jalan Raja Muda Abdul Aziz di
Kampung Baru, Kuala Lumpur. Dato’ Harun Idris selaku Menteri Besar Selangor ketika itu cuba
mententeramkan keadaan. Rupa-rupanya, mereka yang berkumpul telah membawa senjata pedang
dan parang panjang dan hanya menunggu isyarat lampu hijau dari Dato’ Harun Idris untuk
mengamuk. [petikan diperlukan]
Ketika berkumpul, cerita-cerita tentang kebiadapan ahli parti Gerakan tersebar dan meluap-luap.
Jam 3.00 petang datang berita kejadian pembunuhan orang Melayu di Setapak, hanya dua kilometer
dari rumah Menteri Besar Selangor.
4.00 petang dua penunggang motosikal Cina yang melalui Jalan Kampung Baru telah dipancung.
Sebuah van membawa rokok dibakar dan pemandunya dibunuh. Pemuda-pemuda Cina yang
dikatakan dari PKM dan kongsi-kongsi gelap telah bertindak balas. Mereka membunuh orang-orang
Melayu di sekitar Kuala Lumpur. Rupa-rupanya orang Cina dan pemuda Cina ini lengkap dengan
pelbagai senjata besi, tombak dan lembing berparang di hujung seperti dalam filem lama Cina.
Rusuhan besar terjadi. Perintah darurat dikeluarkan, semua orang tidak dibenarkan keluar dari
rumah. Pasukan polis berkawal di sekitar Kuala Lumpur. Tentera dari Rejimen Renjer lebih awal
dikerahkan menjaga keselamatan sekitar Kuala Lumpur.
Rejimen Renjer
Pasukan FRU di keluarkan dari Kampung Baru dan askar dari Rejimen Renjer ambil alih. Malangnya
pasukan ini terdiri dari orang-orang Melayu, Iban, Cina, India, Sikh, Gurkha dan lain-lain turut
menembak orang-orang Melayu dan ini menyebabkan kemarahan orang Melayu semakin meluap-
luap. Menurut laporan, ketua pasukan Rejimen Renjer dikatakan berbangsa Cina.
Pemuda-pemuda Melayu yang mempertahankan Kampung Baru dan yang lain-lain mengamuk
merasakan diri mereka terkepung antara orang Cina dengan askar Rejimen Renjer. Beberapa das
turut ditujukan ke arah rumah Menteri Besar Selangor.
Askar Melayu
Akhirnya Regimen Renjer dikeluarkan dan digantikan dengan Askar Melayu. Beberapa bangunan
rumah kedai di sekitar Kampung Baru, Jalan Tuanku Abdul Rahman masih terus terbakar.
Pentadbiran diambil-alih oleh Askar Melayu. Malangnya beberapa askar Askar Melayu turut masuk
ke kedai-kedai emas Cina dan mengambil harta benda di sana. Ada yang berkata askar tersebut
berpakaian preman.
Ramai orang Cina dibunuh dan dicampakkan ke dalam lombong bijih timah. Konon ada rakaman
televisyen, beberapa pemuda Cina ditangkap, dibariskan di tepi lombong dan dibunuh.
Bagaimanapun, sehingga sekarang, tiada bukti yang diedarkan mengenai rakaman ini.
Panggung Odeon
Pemuda-pemuda Cina dari kongsi-kongsi gelap telah bertindak mengepung Panggung Odeon, di
Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur. Beberapa iklan disiarkan dalam bahasa Cina di skrin
pawagam menyuruh penonton dari kalangan Cina keluar dari panggung. Penonton Melayu di
panggung tersebut ramai yang mati. Ini termasuklah dua orang Askar Melayu yang tinggal di Sungai
Ramal, Kajang.
Seorang polis bernama Rahim yang tinggal di Kuala Lumpur yang turut menonton wayang di Odeon
terkena tetakan di kepala dan berpura-pura mati. Beliau masih hidup hingga sekarang. Akibat
daripada tindakan sebegini, orang-orang Melayu mulai bertindak balas, dan dikatakan kepala orang
Cina yang dibunuh diletakkan di atas pagar .
Abdul Rafai Alias bersama rakan-rakannya dari Semenyih yang datang ke Kuala Lumpur turut
terperangkap dan terkejut dengan rusuhan kaum yang tidak disangka-sangka pada 13 Mei itu. Beliau
turut melangkah-langkah mayat mereka yang telah terbunuh di atas jalan.
Khabar angin mengatakan Tentera Sabil dari Sungai Manik hendak datang ke Kampung Baru tetapi
tersekat. Begitu juga dengan Tentera Selempang Merah dari Muar dan Batu Pahat tersekat dan
disekat oleh polis di Balai Polis Kajang dan Cheras.
Ada 4 kiai di sekitar Kampung Baru mengedarkan air jampi dan tangkal penebat, iaitu ilmu kebal
dengan harga yang agak mahal. Sesiapa yang memakainya menjadi kebal dan boleh terbang. Apa
yang pasti, Askar Melayu juga telah menyelamatkan orang Melayu di Kampung Baru ketika itu.
Mungkin juga ramai yang pernah mendengar kisah parang terbang yang terbang dan memenggal
kepala orang Cina.
Namun rusuhan kaum tidak terjadi di Kelantan, Terengganu dan Pahang. Di Perak, Kedah, Pulau
Pinang serta Perlis tidak ada sebarang pergaduhan. Negeri Johor dan Negeri Sembilan juga tidak
terjadi apa-apa. Cuma ada sedikit kekecohan di Melaka. Di Betong ada tembakan dilepaskan oleh
PKM.
Ada yang menyifatkan bahawa pergaduhan ini sebenarnya adalah pergaduhan “politik” dan
bukannya perkauman. Kerana sebelum itu masyarakat Melayu dan Cina boleh hidup dalam keadaan
yang harmoni. Seperti dinyatakan pergaduhan tidak belaku di negeri Melayu seperti Kelantan,
Pahang dan Kedah. Jika ia merupakan isu perkauman, pastinya hari ini tiada lagi orang Cina di negeri-
negeri tersebut kerana habis dibunuh.
Kesimpulannya, pergaduhan ini bukanlah rusuhan perkauman, kerana ia hanya terjadi selepas
pilihanraya (perbezaan politik) dan hanya melibatkan orang-orang Melayu dan Cina di Kuala Lumpur
sahaja.
Angka korban
Angka rasmi menunjukkan 196 mati, 439 cedera, 39 hilang dan 9,143 ditahan. 211 kenderaan
musnah. Tapi ramai telah menganggar ramai lagi dibunuh. Sebuah thesis PhD. daripada Universiti
California, Berkeley menganggar seramai 2,000 orang hilang nyawa dalam peristiwa 13 Mei. [1]
Di mana Tunku
Ketika itu (13 Mei 1969), Tunku Abdul Rahman baru pulang dari Alor Star meraikan kemenangan
beliau di sana.
6.45 petang Encik Mansor selaku Ketua Polis Trafik Kuala Lumpur memaklumkan kejadian
pembunuhan kepada Tunku Abdul Rahman. Darurat diisytiharkan pada jam 7.00 malam 13 Mei
1969. Ada khabar angin mengatakan Tunku sedang bermain mahjung. Dalam tulisannya, Tunku
menafikan hal tersebut.
Mageran
Negara diisytiharkan darurat pada malam 16 Mei 1969 di seluruh negara dan Mageran dibentuk di
bawah pentadbiran Tun Abdul Razak. Parlimen dibubarkan.
Peristiwa 13 Mei 1969 menyebabkan Tunku Abdul Rahman dipersalahkan oleh orang Melayu dan
Malaysia secara keseluruhannya. Berikutan itu Tunku meletakkan jawatan pada tahun 1970. Buku
“Dilema Melayu” (“Malay Dilemma“) oleh Tun Dr Mahathir telah diharamkan. Dikatakan Tun Dr
Mahathir memburuk-burukkan Tunku Abdul Rahman.
Keadaan akhirnya dapat dikawal dan beberapa keputusan telah diambil bagi mencari jalan
penyelesaian termasuklah penubuhan beberapa badan seperti Majlis Perundingan Negara, Dasar
Ekonomi Baru dan Rukun Negara telah diciptakan.
Ternyata langkah Tunku Abdul Rahman penyingkiran Singapura dari Malaysia tidak menyelesaikan
masalah perkauman. Peristiwa 13 Mei 1969 merupakan kemuncak kemarahan lama orang Melayu
kerana mereka miskin di tanah air mereka sendiri.
Tahun 1969 pilihan raya diadakan semula dan memberi kemenangan 2/3 semula kepada kerajaan
yang memerintah. Barisan Nasional dibentuk. Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dibentuk bagi
mengurangkan pengundi Cina dalam Dewan Undangan Negeri Selangor. Beberapa ahli politik yang
dianggap berbahaya telah ditahan melalui Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Persempadanan
pilihan raya yang lebih bijaksana dan seimbang telah dilaksanakan. Sistem demokrasi, pilihan raya
dan agihan kek ekonomi (hak-hak keistimewaan bumiputera) mendapat tafsiran semula.
Nota
↑ Hwang, In-Won (2003). Personalized Politics: The Malaysian State under Mahathir, m.s. 88.
Institut Pengajian Asia Tenggara. ISBN 981-230-185-2.