perbintangan di malayonesia* - inspemeinspem.upm.edu.my/sstm2017/img/perbintangan...

18
Perbintangan di Malayonesia* Nurul Fatini Jaafar Program Pascasiswazah Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh Universiti Sains Malaysia [email protected] Abstrak Bangsa Malayonesia tersebar jauh di rantau Asia, mendiami kawasan daratan dan kepulauan yang dikelilingi Laut Hindi dan Laut Pasifik. Cari gali arkeologi menemukan bukti saintifik kewujudan tamadun ini sejak sebelum Masihi. Antara ilmu tertua yang terlestari hingga ke hari ini ialah ilmu bintang atau lebih dikenali sebagai astronomi. Makalah ini memuatkan koleksi istilah-istilah bintang sekitar Malaysia, Indonesia dan Filipina. Selain aspek bahasa yang membuktikan bangsa Malayonesia hidup serumpun, istilah perbintangan dan warisan cerita rakyat yang sama juga membuktikan wujud saling hubungan antara etnik di Malayonesia. Penelitian sebegini perlu dipustakakan dan akan diperluaskan lagi ke dalam aspek penanggalan dan kearifan tempatan. *Makalah ini dibentangkan dalam Seminar Sains & Teknologi Malayonesia 21 Januari 2017 anjuran Akademi Sains Islam Malaysia (ASASI) dan Institut Penyelidikan Matematik (INSPEM), UPM. 1. Pengenalan Tamadun Malayonesia Istilah Malayonesia seperti yang diperkenalkan Zain (2015) merujuk kepada sebuah rumpun bangsa berbahasa Austronesia yang mencakupi dari Taiwan di utara, hingga New Zealand di selatan, Madagaskar di barat hingga Pulau Easter di timur yang muncul sejak abad pertama Masihi. Sub-kumpulan besar Austronesia ini menurut kajian ahli paleontologi- bahasa bernama Blust (1984) terdiri daripada dua kumpulan lagi di bawahnya iaitu Formosa di Taiwan dan selainnya ialah Melayu-Polinesia. Melayu-Polinesia dipecahkan pula kepada Melayu-Polinesia Barat (suku di Filipina dan Indonesia Barat, orang Palau dan Chamorro, Cham dan Malagasy) dan Melayu-Polinesia Timur Tengah. Melayu-Polinesia Timur Tengah kemudiannya dibahagikan lagi kepada dua sub-kumpulan iaitu Melayu-Polinesia Tengah (Kep. Nusa Tenggara serta Maluku Selatan dan Tengah bermula dari orang Bima di Sumbawa Timur, termasuklah Kep. Aru di Timur dan Kep. Sula di Barat Laut) dan Melayu- Polinesia Timur. Akhir sekali, sub kepada Melayu-Polinesia Timur dipecahkan kepada Halmahera Selatan dan New Guinea Barat (Halmahera dan pantai utara New Guinea sehingga Sungai Mamberamo dan Kep. Raja Ampat) serta Oseania (Melanesia, Micronesia dan Polinesia). Analisis projek genom National Geographic (2017) menunjukkan bahawa orang Malaga mempunyai 14 peratus DNA yang bergabung dengan wilayah Asia Tenggara dan Oseania, manakala Vanuatu (tenggara Kep. Solomon) 87 peratus, orang Kinh (Vietnam) 83 peratus, Papua New Guinea 77 peratus, Indonesia 74 peratus, dan penduduk di Pulau Bougainville (utara Kep. Solomon) 72 peratus. Orang Filipina memiliki 53 peratus DNA Asia Tenggara/Oseania manakala 36 peratus DNA orang Filipina ialah dari China dan Taiwan.

Upload: dinhdung

Post on 01-Feb-2018

282 views

Category:

Documents


6 download

TRANSCRIPT

Page 1: Perbintangan di Malayonesia* - INSPEMeinspem.upm.edu.my/sstm2017/img/Perbintangan Malayonesia.pdf · Sub-kumpulan besar Austronesia ini menurut ... bahawa kemunculan tamadun Melayu

Perbintangan di Malayonesia*

Nurul Fatini Jaafar

Program Pascasiswazah

Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh

Universiti Sains Malaysia

[email protected]

Abstrak

Bangsa Malayonesia tersebar jauh di rantau Asia, mendiami kawasan daratan dan

kepulauan yang dikelilingi Laut Hindi dan Laut Pasifik. Cari gali arkeologi menemukan bukti

saintifik kewujudan tamadun ini sejak sebelum Masihi. Antara ilmu tertua yang terlestari

hingga ke hari ini ialah ilmu bintang atau lebih dikenali sebagai astronomi. Makalah ini

memuatkan koleksi istilah-istilah bintang sekitar Malaysia, Indonesia dan Filipina. Selain

aspek bahasa yang membuktikan bangsa Malayonesia hidup serumpun, istilah perbintangan

dan warisan cerita rakyat yang sama juga membuktikan wujud saling hubungan antara etnik

di Malayonesia. Penelitian sebegini perlu dipustakakan dan akan diperluaskan lagi ke dalam

aspek penanggalan dan kearifan tempatan.

*Makalah ini dibentangkan dalam Seminar Sains & Teknologi Malayonesia 21 Januari 2017 anjuran Akademi Sains Islam

Malaysia (ASASI) dan Institut Penyelidikan Matematik (INSPEM), UPM.

1. Pengenalan Tamadun Malayonesia

Istilah Malayonesia seperti yang diperkenalkan Zain (2015) merujuk kepada sebuah rumpun

bangsa berbahasa Austronesia yang mencakupi dari Taiwan di utara, hingga New Zealand

di selatan, Madagaskar di barat hingga Pulau Easter di timur yang muncul sejak abad

pertama Masihi. Sub-kumpulan besar Austronesia ini menurut kajian ahli paleontologi-

bahasa bernama Blust (1984) terdiri daripada dua kumpulan lagi di bawahnya iaitu Formosa

di Taiwan dan selainnya ialah Melayu-Polinesia. Melayu-Polinesia dipecahkan pula kepada

Melayu-Polinesia Barat (suku di Filipina dan Indonesia Barat, orang Palau dan Chamorro,

Cham dan Malagasy) dan Melayu-Polinesia Timur Tengah. Melayu-Polinesia Timur Tengah

kemudiannya dibahagikan lagi kepada dua sub-kumpulan iaitu Melayu-Polinesia Tengah

(Kep. Nusa Tenggara serta Maluku Selatan dan Tengah bermula dari orang Bima di

Sumbawa Timur, termasuklah Kep. Aru di Timur dan Kep. Sula di Barat Laut) dan Melayu-

Polinesia Timur. Akhir sekali, sub kepada Melayu-Polinesia Timur dipecahkan kepada

Halmahera Selatan dan New Guinea Barat (Halmahera dan pantai utara New Guinea

sehingga Sungai Mamberamo dan Kep. Raja Ampat) serta Oseania (Melanesia, Micronesia

dan Polinesia).

Analisis projek genom National Geographic (2017) menunjukkan bahawa orang Malaga

mempunyai 14 peratus DNA yang bergabung dengan wilayah Asia Tenggara dan Oseania,

manakala Vanuatu (tenggara Kep. Solomon) 87 peratus, orang Kinh (Vietnam) 83 peratus,

Papua New Guinea 77 peratus, Indonesia 74 peratus, dan penduduk di Pulau Bougainville

(utara Kep. Solomon) 72 peratus. Orang Filipina memiliki 53 peratus DNA Asia

Tenggara/Oseania manakala 36 peratus DNA orang Filipina ialah dari China dan Taiwan.

Page 2: Perbintangan di Malayonesia* - INSPEMeinspem.upm.edu.my/sstm2017/img/Perbintangan Malayonesia.pdf · Sub-kumpulan besar Austronesia ini menurut ... bahawa kemunculan tamadun Melayu

Menurut Elson (2008), istilah Malayunesia ialah lanjutan cadangan perkataan ‘Indunesia’

ciptaan George Samuel Windsor Earl pada 1850. Beliau merupakan seorang pengembara

dan pemerhati sosial Inggeris yang berhasrat menamakan rantau suku kaum Polinesia yang

mendiami Kepulauan Hindi. Abdullah (1998) yang merujuk kepada karya-karya karangan

Sheikh Ahmad al-Fathani pula menyatakan bahawa peradaban dan ketamadunan Melayu

telah diperkenalkan kepada dunia sejak 1882 Masihi menggunakan kalimah ‘al-

Malayuwiyah’ yakni kesatuan kepada semua bangsa Melayu. Menurut Syeikh al-Fathani,

lokasi dunia Melayu itu diapit oleh India dan China, dan alam Melayu itu kebanyakannya

adalah pepulau seperti Sumatera, Jawa, Bali, Kalimantan, Timor dan lain-lain.

Jumpaan daripada kerja penggalian oleh ahli kaji purba di Sungai Batu membuktikan

bahawa kemunculan tamadun Melayu ialah sejak sebelum Masihi lagi. Pentarikhan

kronometrik terhadap sisa arang di tapak peleburan besi bertarikh 535 SM (Saidin, 2016)

menjadikannya bukti arkeologi peradaban tertua di rantau ini berbanding tapak peleburan

besi di Ban Don Phlong yang wujud pada kurun ke-3 Sebelum Masihi (Nitta, 2016). Ciri-ciri

fizikal di Kedah Tua hasil penelitian arkeologi dan kesusasteraan juga dilihat menepati lebih

separuh daripada kesemua ciri yang perlu dimiliki oleh sebuah bandar mengikut klasifikasi

Childe (1950) seperti berpopulasi padat, petugas sepenuh masa dalam sektor seperti

pembuatan, perhubungan, pegawai dan keagamaan, tumpuan untuk meraih kekayaan,

strata masyarakat, wujud aktiviti perdagangan dengan kawasan yang jauh serta pencapaian

dalam sains dan teknologi.

2. Perkembangan Ilmu Bintang

Perbintangan di Alam Melayu ialah ilmu tentang objek-objek samawi yang muncul dalam

arena Malayonesia baik dalam bentuk catatan pada prasasti, ukiran pada artifak dan candi,

rekod tulisan pada manuskrip atau pun amali kepada pengetahuan perbintangan yang

membentuk sistem penanggalan. Astronomi purba di Asia Tenggara dipengaruhi oleh Hidhu

dan Buddha (Kelley & Milone, 2011) berdasarkan pemerhatian terhadap artifak dan

monumen pada kerajaan-kerajaan utama seperti Funan, Sailendra dan Majapahit. Setelah

itu, apabila muncul interaksi Islam terhadap Nusantara, pengaruh astronomi Islam mula

mekar dalam pemerintahan seperti pada Kesultanan Kedah dan Banjar. Namun begitu, ada

juga masyarakat Malayonesia yang mengamalkan kepercayaan langit berasaskan mitos

warisan nenek-moyang seperti orang Toradja di Sulawesi, Dayak di Kalimantan dan suku-

suku etnik di Filipina.

Ilmu bintang di Alam Melayu selalu disabitkan dengan hanya pengetahuan tentang rasi

zodiak untuk kegunaan meramal masa depan, ilmu ketika, pengasih, perubatan dan firasat

(Zainal, 2007). Sedangkan Kadir (2008) dalam membincangkan tentang bidang kepakaran

para sarjana Melayu mencatatkan wujudnya bidang kepakaran ‘horasastra’ yakni bidang

pengetahuan astrologi dan astronomi dalam kerajaan Campa manakala sarjana Jawa Kuno

pula memiliki pengetahuan tinggi dalam bidang ‘wariga’ yakni almanak. Berlabuhnya Islam

seawal kurun ke-8 Masihi berserta pengukuhan kefahaman Islam yang berkembang biak

dalam masyarakat di Pasai kemudian Melaka pada kurun ke-13 dan 14 Masihi turut

mengembangkan bidang astronomi untuk peribadatan dan mengesakan Allah yang

dinamakan ilmu falak dan ilmu hai’ah. Namun begitu, ilmu nujum juga ikut sama tersebar

kepada masyarakat. Ilmu bintang tradisi yang menjadi warisan nenek-moyang kemudiannya

mengalami interaksi sosial hasil Islamisasi, menyebabkan lahirnya pengetahuan yang

Page 3: Perbintangan di Malayonesia* - INSPEMeinspem.upm.edu.my/sstm2017/img/Perbintangan Malayonesia.pdf · Sub-kumpulan besar Austronesia ini menurut ... bahawa kemunculan tamadun Melayu

bercampur aduk antara ilmu falak/hai’ah dengan ilmu nujum seperti ilmu Bintang Tujuh dan

ilmu Bintang Dua Belas (pengaruh Yunani-Hindu-Islam) (Zainal, 2015). Kitab Bintang Dua

Belas dan Tajul Muluk merupakan kitab yang amat digemari oleh rakyat marhaen. Manakala

pengetahuan baru tentang falak untuk peribadatan yang memerlukan kemahiran matematik

seperti menentukan arah kiblat, waktu solat, menghitung masa berlakunya gerhana,

menyusun takwim Hijri dan menggunakan alat ukur rubu’ mujayyab lazimnya untuk

kegunaan para guru dan murid di pondok-pondok (Zainal, 2016).

3. Bintang dalam Etnik Malayonesia

Acapkali pernyataan yang keluar daripada sarjana tempatan baik dalam media cetak

mahupun elektronik menggambarkan Melayu sebagai bangsa yang memiliki ilmu astronomi

yang tinggi kerana kehebatan mereka mencari haluan merempuh samudera nan luas.

Sememangnya Melayu terkenal dengan jiwa dan jati diri seorang pelaut kerana tanah airnya

yang bersifat kepulauan, dan lautlah antara sumber utama untuk bergantung hidup bagi

masyarakat pesisir. Namun begitu, apa yang dikesalkan ialah amat kurang tindakan

kesedaran daripada penyelidik khususnya di Malaysia yang mahu memahami dan

mendalami apa yang disifatkan oleh ketinggian ilmu astronomi itu, selain hanya memetik

kembali rekod sedia ada tanpa wujud olahan apatah lagi justifikasi rasional di sebalik setiap

perkara/benda. Sikap sebegini hanya akan terus memendamkan ilmu bangsa Malayonesia,

menyebabkan usaha untuk mengangkat bahasa dan bangsa Melayu sebagai tamadun ilmu

menjadi kesedaran yang sekadar hangat-hangat tahi ayam, usahanya ibarat melepaskan

batok di tangga sahaja.

Suatu hal yang menarik tentang perbintangan di Alam Melayu ialah istilah ‘bintang’ itu

sendiri digunakan secara meluas walaupun ejaan dan sebutannya adalah berbeza, dan ini

disokong dengan pernyataan Zain (2013) tentang masyarakat Proto-Austronesia. Makalah

ini adalah sebagai menyahut dan menyambut saranan Shaharir, Alinor, Baharrudin dan lain-

lain penyelidik sains Malayonesia untuk merekod, menganalisis dan memakalahkan ilmu

astronomi dalam konteks tempatan. Kawasan rantau Nusantara yang terkandung dalam

makalah ini merangkumi kaum Melayu dan Negrito di Utara dan Pantai Timur Semenanjung

Malaysia, Baduy/Kenekes dan Sunda di Jawa Barat, orang Jawa di Jawa Tengah, orang

Sasak di Lombok, Banjar, Dayak Meratus, Dayak Iban dan Dayak Maloh di Kalimantan,

Bugis di Sulawesi dan suku Biak di Papua. Amat mengagumkan kerana di Filipina, usaha

merekod istilah perbintangan telah lama dilaksanakan oleh para sarjana antropologi meliputi

hampir sebahagian besar etnik di Luzon, Visayas dan juga Mindanao.

Pengumpulan maklumat untuk perbintangan di Perak dan Kedah adalah berdasarkan

gabungan pendekatan kualitatif melibatkan wawancara informan dan pemerhatian ikut serta

di lapangan, termasuk juga analisis data sekunder dari buku, artikel, risalah dan makalah

akademik. Manakala penelitian terhadap etnik-etnik lain adalah bersandarkan data sekunder

kerana sumber kewangan yang terhad untuk melaksanakan kerja lapangan. Makalah ini

merupakan kembangan kepada kajian Zain (2013) yang mengkelaskan nama-nama jasad

samawi dalam panggilan etnik tempatan, berserta lakaran buruj/bentuk berbintang

(asterism) berserta cerita rakyat/mitos/lagenda. Makalah seterusnya yang akan menjadi

kesinambungan kerja ini akan berfokus pula kepada almanak persawahan dan kelautan

yang berpandukan penanggalan bintang. Pengkaji yang berhasrat menyambung dan

memurnikan tulisan ini diharap dapat melengkapkan maksud bagi setiap istilah bintang

Page 4: Perbintangan di Malayonesia* - INSPEMeinspem.upm.edu.my/sstm2017/img/Perbintangan Malayonesia.pdf · Sub-kumpulan besar Austronesia ini menurut ... bahawa kemunculan tamadun Melayu

berserta lakaran sebenar posisi dan gambaran objek. Penulisan tentang ilmu bintang

Oseania yang lebih kaya dengan istilah dan fungsi juga boleh dilaksanakan.

4. Pengkelasan Jasad Samawi

Masyarakat hari ini yang majoritinya pernah terlibat langsung dengan subjek sains ketika

sekolah rendah berdepan kecelaruan dalam mengenal buruj. Buku teks dan para guru

memberikan istilah Melayu kepada buruj Yunani yang bernama Orion (the hunter) sebagai

Belantik (si pemburu), manakala asterism Big/Small Dipper pada Ursa Major/Minor (beruang

besar/kecil) digelar buruj Biduk (pencedok). Hal ini pastinya menghasilkan gambaran imej

buruj di langit yang salah sementelahan maksud Belantik dan Biduk ditafsir sahaja secara

terus daripada zodiak sang Eropah. Terang-terangan, Kamus Dewan(KD) mendefiniskan

belantik sebagai sejenis perkakas untuk menangkap binatang yang biasanya dibuat

daripada tali dan pembidas yang menyebabkan binatang yang tersentuh tali akan terkena

tombak, peluru atau jerat, manakala biduk sebagai sejenis perahu yang digunakan untuk

menangkap ikan atau untuk memunggah barang-barang di sungai. Namun penulis buku

masih menggunakan rupa si pemburu dan gayung, sementelahan buruj Pari dilukis rupa

layang-layang, dan buruj Scorpius hanya dimelayukan sahaja namanya menjadi Skorpio.

Amat dikesali kerana tiada yang menegur hal ini sejak sekian lama, mungkin tiada pihak

juga yang mengetahui apakah rupa asal belantik, biduk dan pari itu jika mahu dipetakan di

langit.

Pengaruh kebudayaan astronomi India sememangnya masih meninggalkan kesan di Pulau

Jawa khususnya di Bali dan Tengger. Masyarakat tradisional masih mengekalkan tradisi

Jawa Kuno yakni menggunakan bejana zodiak yang dihiasi dengan 12 rasi. 12 rasi inilah

yang berpengaruh daripada kebudayaan India. Bejana dibuat daripada gangsa untuk diisi

dengan air suci. Bekas bejana berusia sekitar kurun ke-14 dan ke-15 Masihi ialah warisan

masyarakat Jawa Kuno sejak era Majapahit (Otomo, 2015). Jadual 1 ialah gambar rasi yang

terdapat pada bejana berserta perbandingan nama dan lambang rasi dalam tradisi Jawa

Kuno dan Yunani.

Jadual 1. Rasi Jawa Kuno pada Bejana Zodiak.

Gambar rasi Jawa Kuno Yunani

Nama Lambang Nama Lambang

Meşa

Kambing

berjanggut

Aries

Biri-biri jantan

Wŗşabha

Lembu jantan

Taurus

Lembu jantan

Mithuna

Belangkas

Gemini

Kembar lelaki

Page 5: Perbintangan di Malayonesia* - INSPEMeinspem.upm.edu.my/sstm2017/img/Perbintangan Malayonesia.pdf · Sub-kumpulan besar Austronesia ini menurut ... bahawa kemunculan tamadun Melayu

Karkata

Ketam

Cancer

Ketam

Siŋha

Singa

Leo

Singa

Kanyā

Gadis

Virgo

Gadis berambut

mayang

mengurai

Tulā

Dacing

Libra

Dacing

Mrccika

Kala jengking

Scorpio

Kala jengking

Dhanus

Busur dan anak

panah

Sagittarius

Dewa berbadan

manusia,

berkaki kuda

Makara

Udang

Capricorn

Dewa berbadan

kambing,

berekor ikan

Kumbha

Guci bertutup

Aquarius

Penuang jag air

Mina

Ikan gajah mina

Pisces

Dua ekor ikan

Selain 12 rasi zodiak, pengaruh astronomi India yang amat bertahan lama dan meluas

digunakan ialah istilah ‘ketika’. Zain (2013), Zainal (2015) dan Jaafar (2016, 2015) masing-

masing ada mengupas tentang asal-usul perkataan ‘ketika’, penggunaan ‘hari dan saat’

sebagai ketika yang baik serta kegunaan Bintang Ketika dalam almanak persawahan di

Kedah. Harnes (1999) menghuraikan bahawa Krittika (juga disebut Kārtikā) ialah nakşatra

(tempat persinggahan bulan) ketiga dalam astrologi Hindu (Jyotişa). Tuhan perang agama

Hindu bernama Kartikeya/Murugan/Skanda/Subramaniyam. Kartikeya dijaga oleh enam

orang Matrikas iaitu adik-beradik perempuan. Merujuk kepada Jadual 2, orang Melayu di

Kedah (termasuk Perlis, Pulau Pinang dan utara Perak), orang Jawa, orang Sunda, dan

Banjar (Meratus mempelajarinya dari Banjar) merujuk gugus bintang terbuka Pleiades

dengan nama yang sama (atau hampir sama).

Pengetahuan bangsa Melayu tentang langit adalah mengkagumkan. Jika diteliti pada Jadual

2, masyarakat Malayonesia yang mendiami sekitar Malaysia, Indonesia dan Filipina sahaja

Page 6: Perbintangan di Malayonesia* - INSPEMeinspem.upm.edu.my/sstm2017/img/Perbintangan Malayonesia.pdf · Sub-kumpulan besar Austronesia ini menurut ... bahawa kemunculan tamadun Melayu

telah mempunyai rekod terhadap 40 daripada 88 buruj yang ditetapkan oleh Kesatuan

Astronomi Antarabangsa (IAU). Selain buruj, pengetahuan mereka termasuk jugalah planet,

galaksi satelit, nebula, gugus bintang, komet, meteor, halo dan juga gerhana. Senarai pada

Jadual 2 ini merupakan senarai nama bintang yang berjaya dikumpulkan setakat masa ini

hasil daripada wawancara lapangan dan telaah pustaka terhadap tulisan Salleh (1981),

Saad (1986), Schlegel (1987), Ammarell (1988), Ammarell (1999), Ambrosio (2005),

Ammarell & Tsing (2015), Otomo (2015), Hidayat (2015), Gunawan (2015a, 2015b), Hakim

& Pramudya (2015) dan Iskandar & An’amillah (2015).

Jadual 2. Senarai nama jasad samawi mengikut etnik di Malayonesia

Nama jasad

(merujuk IAU)

Nama tempatan Suku/Tempat Gambar

buruj/

asterism

Pleiades (M45) Bintang Ketika,

Bintang Tujuh,

Bintang Puyuh

Melayu Kedah

Krttika,

Kartika,

Ketika,

Bintang Tujuh,

Lintang Wuluh,

Guru Desa

Jawa

Bentang Kereti Sunda

Bintang Rowot Sasak

Karantika Banjar

Meratus

Bintang Balunus Maloh

Bintang Banyak Iban

Worong-Porongngé,

Bintoéng Pitu

Bugis

Gendaw Gubiyan Subanen

Lepo,

Maboo

Mranao

Katanidin Agta Casiguran/Palanan

Kufukufu

(kerumunan lalat)

Tiruray/Teduray G.4

Langaw Maguindanao

Madakel Maranaw

Manapuru Palawan

Mapolon,

Rosaryo,

Supot ni Hudas

Tagalog

Marapuro Kanlurang Samar

Maroprop Ilokano

Molopolo Bisaya

Molopolo Bukidnon

Molopolo Hiligaynon

Mopo Jama Mapun

Moroporo Bikolano

Mulupulu Arumanen Manobo

Page 7: Perbintangan di Malayonesia* - INSPEMeinspem.upm.edu.my/sstm2017/img/Perbintangan Malayonesia.pdf · Sub-kumpulan besar Austronesia ini menurut ... bahawa kemunculan tamadun Melayu

Mupu Sama

Mupu o Pupu Tawi-tawi

Murupuru Antique

Murupuru Tagbanua

Penikapan Manobo

Poyopoyo Mandaya

Salibubu Kankanaey

Salifuto Khinaang Fontok

San Appon Ibaloi

Taurus (V-shape) Ra’ang Bayi

(rahang babi)

Meratus G.2

Bakà (tulang rahang) Tiruray/Teduray G.4

Hyades Basung Tawi-tawi

Sangat at Bjak Palawan

Sulabobo Ibaloi

Laská,

Liwliu,

Pinadánga

Kankanaey

Orion Belantik (jerat) Melayu Kedah

Weluku, Waluku (bajak) Jawa G.5

Kidang (rusa) Kenekes/Baduy

Baur Bilah (jerat) Meratus G.2

Bintang Talu Maloh

Bintang Sawakoi Biak

Bintoéng Rakkalaé (bajak) Bugis

Pajjékoé (bajak) Makassar

Atlung Maria Kapampangan

Balatic Magahat

Bilaan

Balatik Bagobo G.1

Maguindanao

Antique

Bayatik Mandaya

Balbalays Mayawyaw Ifugao

Batik Jama Mapun

Sama

Belatik Manobo

Farrais Khinaang Fontok

Gaganayan Lokano/Igorot

Gendaw belatik Subanen

Balatik,

Lubang

Bikol

Magbangal Bukidnon

Mbangal Maranao

Seretar (tersusun) Tiruray/Teduray G.4

Balatik,

Tatlong Maria

Tagalog

Trismariiya Itbayater

Orion’s Belt Lintang Waluku Jawa

Bintang Orang Mati Banjar

Page 8: Perbintangan di Malayonesia* - INSPEMeinspem.upm.edu.my/sstm2017/img/Perbintangan Malayonesia.pdf · Sub-kumpulan besar Austronesia ini menurut ... bahawa kemunculan tamadun Melayu

Bintang Tiga Dayak

Tanra Tellué (tanda tiga) Bugis

Binnabais Kankanaey

Binawagan Magsasawad Palawan

Bodays Ibaloi

Batik Tawi-tawi

Trismariiya Itbayat

Crux Pari Melayu Kedah

Gubug Penceng

(Salib Selatan)

Jawa

Bintang Layang-layang Banjar

Bentang Langlayangan Sunda

Bintang Pai

(ikan pari)

Sasak

Bintoéng Bola Képpang

(rumah tak siap)

Bugis G.7

Buntal Tawi-tawi

Palawan

Tinankukurus A’ aleket,

Tinankukurus A’rakux

Itbayat

Centaurus Tataran at Tampulung

α, β Centauri Wulanjar Ngirim

(wanita pengirim makanan)

Jawa

Bintoéng Balué

(balu)

Bugis G.7

α Centauri Anakdatu Tawi-tawi

β Centauri Sahapang

Coalsack nebula Banyak-angrem

(angsa mengeram)

Jawa

Bembé’é (kambing) Bugis G.7

Scorpius Romangwandi (naga) Biak

Bintoéng Bale Mangngiweng

(ikan yu); selatan Scorpius

Bugis G.9

Bintoéng Lambarué

(ikan pari); utara Scorpius

G.9

Salokah Tawi-tawi

Njug + wasaj Palawan

Tachong Ibaloi

Small Dipper Biduk (perahu) Melayu Kedah

Bintoéng Kappala’é (kapal) Bugis

Tado Ibaloi

Narachid Itbayat

Big Dipper Bintoéng Kappala’é (kapal) Bugis

Bubu Tawi-tawi

Balbala’ys Mayawyaw Ifugao

Narachid Itbayat

Ursa Major Gubang ni Asak Palawan

Balangay o Kinamálig Kankanaey

Farrangay Khinaang Fontoc

Biduk Maguindanao

α, β Ursa Majoris Bintoéng Balu Mandara’ Bugis

Page 9: Perbintangan di Malayonesia* - INSPEMeinspem.upm.edu.my/sstm2017/img/Perbintangan Malayonesia.pdf · Sub-kumpulan besar Austronesia ini menurut ... bahawa kemunculan tamadun Melayu

Polaris Bintang Utara Melayu Kedah

Mamahi Uttara Tawi-tawi

Bituin Utala Maguindanao

Aquila Singkad Tiruray/Teduray

Paliyama Tawi-tawi

Sagab Palawan

Lepu Manobo

Dalomampao Maranao

Altair Bintoéng Timoro’ Bugis

Delphinus Kenogon Tiruray/Teduray

Tarung Palawan

Sipát Kankanaey

Bau Manobo

Anak o Karani Maranao

Canis Major,

Canis Minor

Fegeferafad Tiruray/Teduray

Manok Maranao

Canis Major Binawagan Magakas Palawan

Koro Ibaloi

Givang Manobo

Sirius Bintang Tangkong Peredah Iban

Agiwa’na Mayawyaw Ifugao

Procyon Merara Manobo

Lyra Sangkap-sangkap Tawi-tawi

Bulalaw Palawan

Pangal Ibaloi

Hercules Paqajung Ja Palawan

Grus Soka Punggul Tawi-tawi

Gemini Duruj Palawan

Perseus Magipag,

Salangan

Auriga Inaq + Alad Ja

α Canum

Venaticorum

Salanaqan Ja

Corona Borealis Lakut at sanglaj

Nahiki’hig,

Ni’pngot

Mayawyaw Ifugao

Coma Berenices Kinallaúb Kankanaey

Ophiucus Pungur Palawan

Serpens Sawa

Pegasus Taktampinak ni Asak

Libra Taktampinak at Magkapuqun

Cassiopea Batakagan Ibaloi

Leo Balikongkong

Auriga Mauwa Balaya

Bootes Wadwadan

Sagittarius Tákang,

Tikém

Kankanaey

Andromeda + Pisces

+ Triangulum +

Aries

Tudóng

Page 10: Perbintangan di Malayonesia* - INSPEMeinspem.upm.edu.my/sstm2017/img/Perbintangan Malayonesia.pdf · Sub-kumpulan besar Austronesia ini menurut ... bahawa kemunculan tamadun Melayu

Sagitta Laya

Magellanic clouds Tanra Bajoé (tanda Bajau) Bugis G.8

Milky Way Bima Sakti

(pahlawan gagah berani dalam

lagenda Ramayana)

G.8

Fireball meteor Teleh Brojo Jawa

Binténg Kapui Jahai

Meteor Lintang Tiban,

Bintang Jatuh

Jawa

Comet Lintang Kemukus

Denai (buruan) Si Ayuh Meratus

Bintoéng Nagaé (naga) Bugis

Naga Tawi-tawi

Aggiwánas Kankanaey

Lalan na Langaw Maguindanao

Venus Bintang Kejora,

Bintang Timur

Melayu Kedah

Bintang Babi Pantai Timur S.M

Wari-warié (-, pagi),

Bintoéng Bawi

(babi; lewat petang)

Bugis

Lakag o Maga

(or Jupiter)

Tawi-tawi

Mamawas

(or Jupiter)

Ibaloi

Batakágan Kankanaey

Palpa’llo,

Pawit

Mayawyaw Ifugao

Kalani Maguindanao

Jupiter Tunggal Bahangi

(or Venus)

Ibaloi

Saturn Anak Datuq

(or Jupiter)

Palawan

Lunar halo Mbulan Kalangan Jawa

Galogn Jahai

* buruj/asterism milik etnik tidak mewakili keseluruhan bintang dalam buruj yang telah digazet IAU

5. Cerita Rakyat Malayonesia bertemakan Perbintangan

Dalam mencari jawapan kepada penggunaan istilah ‘Belantik’ untuk merujuk kepada buruj

Orion di Kedah, dua petunjuk telah diperoleh. Pertama, semasa pelaksanaan kerja etnografi

lapangan melibatkan jerat binatang di Hutan Simpan Diraja Belum, Grik bersama suku

Negrito Jahai, dan kedua ialah pada nama sebuah kampung di Sik yang dinamakan

Belantek. Walaupun tiada seorang informan yang tahu letak duduk buruj Belantik di langit,

mereka bersetuju bahawa adanya pengetahuan tentang bintang Belantik pada masa dahulu.

Berdasarkan catatan Ammarell & Tsing (2015), orang Banjar di Kalimantan juga tidak lagi

mengetahui kedudukan ‘perangkap haiwan’ di langit. Mereka berasa malu berkongsi kisah

tentang perangkap ini kerana menceritakan kehidupan mereka pada masa lalu. Adalah

Page 11: Perbintangan di Malayonesia* - INSPEMeinspem.upm.edu.my/sstm2017/img/Perbintangan Malayonesia.pdf · Sub-kumpulan besar Austronesia ini menurut ... bahawa kemunculan tamadun Melayu

diyakini bahawa perkara yang sama berlaku di Kedah. Pengislaman masyarakat

meninggalkan amalan memburu babi sekaligus kaedah jerat digantikan dengan aktiviti

berburu secara menembak menyebabkan pengetahuan tentang belantik semakin luput

dalam ingatan mereka. Kini Belantik lebih dominan digunakan sebagai penunjuk arah kiblat

untuk kegunaan ibadat seperti solat dan arah hadap jenazah.

Berdasarkan kisah Meratus yang tinggal hampir dengan masyarakat Banjar di Kalimantan,

moyang kepada orang Banjar bernama Bambang Basiwara telah memasang jerat untuk

menyula babi kerana telah memakan bintang ke-7 Karantika. Ada juga versi yang

menamakan Si Ayuh yakni moyang orang Meratus yang membunuh babi tersebut. Denai

perburuan Si Ayuh ialah lengan galaksi Bima Sakti yang kelihatan di langit. Sebagai

peringatan amaran, Si Ayuh meletakkan Ra’ang Bayi dan Baur Bilah di langit sebagaimana

orang-orang Meratus menggantung rahang babi sebagai trofi perburuan mereka di dinding

rumah. Kisah orang Tiruray di Mindanao juga berkisar tentang babi. Menurut Schlegel

(1987), pada pinggang Seretar tersemat sebilah pisau yang disarung dalam jalinan rotan.

Seretar telah membunuh babi liar, dan tulang rahang babi yang mereput dipanggil Bakà,

dikerumuni oleh lalat - Kufukufu.

Gambar 1. Lakaran Balatik di Filipina seperti muka hadapan buku karya Ambrosio bertajuk

Balatik Etnoastronomiya – Kalangitan sa Kabihasnang Pilipino.

Gambar 2. Baur Bilah dan Ra’ang Bayi dalam perbintangan Dayak Meratus di Kalimantan Selatan.

(Ammarell & Tsing, 2015)

Page 12: Perbintangan di Malayonesia* - INSPEMeinspem.upm.edu.my/sstm2017/img/Perbintangan Malayonesia.pdf · Sub-kumpulan besar Austronesia ini menurut ... bahawa kemunculan tamadun Melayu

Gambar 3. Hiasan tulang rahang bawah seekor babi jantan liar.

Kredit: https://www.etsy.com/nz/listing/204376484/circular-pig-tusks-in-lower-pig-jaw-from

Gambar 4. Pemburu bernama Seretar dalam masyarakat Tiruray yang dibayangkan sebagai seorang

lelaki berbadan tegap dengan lengan kiri dan kanan yang sasa bersama pisau yang terselit di

pinggang. Kufukufu di atas sekali mengerumuni Bakà. Lakaran semula berdasarkan Schlegel, 1987.

Di Jawa, kumpulan bintang yang sama seperti Belantik disebut Waluku yang bermaksud

pembajak. Kenampakan bintang ini di kaki langit selepas muncul Bintang Kartika

menandakan musim menanam padi sudah bermula. Hal ini akan diterangkan lebih lanjut

dalam makalah seterusnya tentang almanak persawahan. Ammarell & Tsing (2015) telah

merujuk kepada catatan van den Bosch tentang kedudukan pembajak. Posisi Waluku yang

menghadap ke tanah menandakan permulaan kerja di sawah manakala bajak yang selesai

digunakan disimpan dalam posisi terbalik, menandakan padi sudah boleh mula ditanam.

Bintang bajak yang sama juga tercatat dalam perbintangan Maluku dipanggil Pajjékoé

manakala Bugis merujuknya sebagai Bintoéng Rakkalaé (Ammarell, 1999).

Page 13: Perbintangan di Malayonesia* - INSPEMeinspem.upm.edu.my/sstm2017/img/Perbintangan Malayonesia.pdf · Sub-kumpulan besar Austronesia ini menurut ... bahawa kemunculan tamadun Melayu

Gambar 5. Waluku dalam keadaan mula (kiri) dan selesai (kanan) kerja (Ammarell & Tsing, 2015).

Gambar 6. Waluku yang dipasang bersama kerbau untuk menggembur tanah sawah

apabila musim hujan bermula. Kredit: http://wirajhana-eka.blogspot.my/2007/10/negara-dimana-buddha-dibesarkan.html

Masyarakat Kanekes/Baduy yang tinggal di pedalaman Banten Selatan mengerjakan padi

huma selain menjadi pemburu-peramu. Kumpulan sub-etnik Sunda ini juga merujuk kepada

kumpulan bintang yang sama untuk mula berladang, tetapi dipanggil Bintang Kidang (Hakim

& Pramudya, 2015). Menurut Hidayat (2015), banyak rusa (kidang) kelihatan berkeliaran di

hutan sekitar desa Kanekes pada masa Bintang Kidang berada di langit. Selain digunakan

sebagai penanda waktu, kumpulan bintang ini turut menjadi penunjuk arah pelayaran bagi

etnik Bugis. Masyarakat Melayu yang sarat dengan kebudayaan dan fahaman terhadap

sekitaran mereka mencorakkan kepelbagaian rupa buruj yang boleh dibandingkan dengan

rajah buruj Orion dan Taurus dalam tamadun Yunani (Gambar 6).

Persamaan antara Melayu Kedah dan orang Sasak ialah dalam mengecam buruj Crux

sebagai seekor ikan pari (Iskandar & An’amillah, 2015). Orang Banjar dan Sunda

membayangkannya sebagai layang-layang manakala Jawa menyebutnya Gubug Penceng

Page 14: Perbintangan di Malayonesia* - INSPEMeinspem.upm.edu.my/sstm2017/img/Perbintangan Malayonesia.pdf · Sub-kumpulan besar Austronesia ini menurut ... bahawa kemunculan tamadun Melayu

Gambar 6. Buruj Orion (kiri) dan Taurus (kanan) sebagai perbandingan.

yakni Salib Selatan (Ammarell & Tsing, 2015, Otomo, 2015, Hidayat, 2015). Dua butir

bintang di sebelah timur Gubug Penceng ialah sepasang mata berkilau milik seorang wanita

Wulanjar Ngirim. Wanita muda ini menyediakan makanan untuk kekasihnya yang berada di

Gubug Penceng. Bagi komuniti Bugis, dua butir bintang ialah Bintoéng Balué milik seorang

janda rupawan. Crux bagi orang Bugis ialah Bintoéng Bola Képpang yang bermaksud rumah

yang tidak siap. Dikatakan, kecantikan rupa paras balu tadi mengganggu konsentrasi tukang

rumah menyebabkan kesilapan berulang kaki berlaku dan akhirnya rumah pun terbengkalai

(Ammarell, 1999). Seterusnya, antara dua butir bintang (α dan β Centauri) dan buruj Crux

terletaknya nebula gelap seperti gumpalan awan hitam. Orang Jawa memanggilnya Banyak-

angrem (Hidayat, 2015) manakala Bugis membayangkannya seperti Bembé’é (Ammarell,

1999). Banyak-angrem membawa maksud musim angsa mengeram manakala Bembé’é

ialah seekor kambing yang kadangkala tidak kelihatan di langit kerana masuk berlindung ke

dalam rumah kerana musim hujan.

Gambar 7. Bintoéng Balué (A), Bintoéng Bola Képpang (B) dan Bembé’é (C) dalam budaya Bugis.

(Lakaran semula berdasarkan Ammarell, 1998)

Page 15: Perbintangan di Malayonesia* - INSPEMeinspem.upm.edu.my/sstm2017/img/Perbintangan Malayonesia.pdf · Sub-kumpulan besar Austronesia ini menurut ... bahawa kemunculan tamadun Melayu

Gambar 8. Lengan galaksi Bima Sakti (Milky Way) ibarat seekor naga atau denai berburu.

Bugis memanggil Megallanic Clouds di bawah kubah Bima Sakti ini sebagai Tanra Bajoé

(Ammarell, 1999), terapung-apung ibarat kelompok Bajau yang hidup nomad di laut Kredit: https://hiveminer.com/Tags/coalsack/Interesting

Gambar 9. Ikan pari (Lambarué) (B) telah mencuri sebutir bintang (Antares dalam buruj Scorpius di

sebelah kanan) daripada Pleiades (Bintoéng Pitu) untuk diletakkan pada pangkal ekornya menjadi

bintang yang paling cerah. Bagi mengelakkan Bintoéng Pitu mengesyaki perbuatannya,

Bintoéng Lambarué hanya akan terbit setelah Bintoéng Pitu tenggelam (Ammarell, 1999).

Sebab itulah hanya kelihatan enam sahaja bintang pada Pleiades jika dicerap dengan mata kasar.

Dilukis semula berdasarkan Ammarell, 1999.

6. Landskap Samawi

Jika diperhatikan pada perbezaan istilah perbintangan antara suku Malayonesia, landskap

hidup masyarakat ialah faktor utama yang mencorakkan imaginasi dan penamaan mereka

terhadap jasad-jasad di langit. Unsur petempatan dan pekerjaan mempengaruhi adaptasi

B

A B C

Page 16: Perbintangan di Malayonesia* - INSPEMeinspem.upm.edu.my/sstm2017/img/Perbintangan Malayonesia.pdf · Sub-kumpulan besar Austronesia ini menurut ... bahawa kemunculan tamadun Melayu

masyarakat, contohnya, masyarakat Bugis yang tinggal di Sulawesi menyara hidup dengan

menjadi nelayan dan berdagang antara pulau. Kebergantungan mereka pada laut, langit,

cuaca dan musim dijelmakan dalam sistem pengetahuan tempatan yang membentuk suatu

rujukan peta langit untuk menandakan waktu. Senggat-senggat waktu yang menjadi

pedoman untuk melaksanakan sesuatu aktiviti inilah yang kemudinnya dikembangkan

sehinggalah wujud sistem penanggalan dalam bentuk almanak.

Tugas untuk merekodkan sesuatu pengetahuan dalam masyarakat seperti ilmu bintang

bukan mengambil masa yang singkat untuk memperoleh jawapan. Metod etnografi yang

mengkehendakkan penyelidik tinggal bersama komuniti yang menjadi fokus kajian,

memerhatikan latar belakang hidup mereka seharian serta bergaul bersama untuk

mempelajari kefahaman mereka tentang alam dan hidup amat diperlukan. Sebagai contoh,

kelompok Tiruray di Mindanao merupakan kaum pemburu-peramu yang menanam padi

huma setiap tahun sekitar hujung suku pertama. Mereka bergantung kepada bintang di

langit untuk memberitahu masa yang sesuai bagi memulakan kerja di ladang. Lagenda etnik

Tiruray yang melibatkan Lagey Lingkuwos – ketua kepada enam orang pengikutnya iaitu

Kufukufu, Baká, Seretar, Keluguy/Fegaferafad, Singkad dan Kenogon ialah enam buruj

utama yang dirujuk masyarakat ini setiap kali masuknya musim untuk berhuma. Lagenda ini

terkandung dalam kepercayaan mereka tentang suatu tempat di alam lain yang bernama

Tulus.

Cerita rakyat, petua dan pantang-larang yang memayungi kesemua etnik tradisional

mengandungi maksud yang mendalam, walaupun kedengaran seperti rekaan dan menjadi

bahan gelak mereka yang tidak mengetahui dan memahami maknanya. Pesawah di negeri

Kedah sendiri mempunyai koleksi petua tentang alam yang berkait dengan banjir, petunjuk

musim akan datang dan nasihat tentang kesihatan (akan dimuatkan dalam makalah lain)

yang relevan untuk diamalkan, malah boleh dijadikan suatu bidang kajian baru bagi

membina hipotesis, pemerhatian dan inferens tentang pengaruh tindakan manusia dan

ancamannya terhadap ekologi dan kelestarian hidupan.

7. Kesimpulan

Kesatuan bangsa Malayonesia walaupun terpisah oleh lautan nan luas tetap masih

berhubung dan saling terkait, contohnya penggunaan istilah Belantik, Ketika dan Biduk

(perahu/kapal). Dengan memahami dan menghayati kebudayaan luar, kita dapat mengisi

dan menyelesaikan lompang ilmu dan budaya yang sudah hilang dalam masyarakat kita

sendiri. Penyertaan lebih ramai individu yang berminat dengan kajian etnografi budaya amat

dialu-alukan. Janganlah memandang pada tempoh kajian yang lama dan kritik pada bidang

sains sosial yang disifatkan tiada nilai emperikal dan polulariti. Jangan juga dilihat pada

belanja peruntukan yang besar untuk kerja lapangan kerana menyelamatkan jati diri bangsa

yang diancam dari setiap sisi saban hari ini jauh lebih mahal harganya daripada hadiah

sebuah penganugerahan dana. Sudah tiba masanya juga planetarium-planetarium dan

penggiat seni negara kita menayangkan kisah-kisah ketinggian nilai sains dan teknologi

dalam budaya Melayu, daripada hanya membeli lesen tayangan kisah asing yang sangat

tinggi harganya; dan yang paling utama perlu diperbetulkan fakta dalam buku teks sekolah

rendah kerana inilah yang mencorakkan setiap jiwa dan minda cerminan leluhur kita.

Page 17: Perbintangan di Malayonesia* - INSPEMeinspem.upm.edu.my/sstm2017/img/Perbintangan Malayonesia.pdf · Sub-kumpulan besar Austronesia ini menurut ... bahawa kemunculan tamadun Melayu

Rujukan

Abdullah, H.W.M.S. (1998). Hadiqatul Azhar war Rayahin: Asas Teori Takmilah Sastera

Melayu Islam Jilid 1. Kuala Lumpur: Khazanah Fathaniyah.

Ambrosio, D. L. (2005). Balatik: Katutubong Bituin ng mga Pilipino. Philippine Social

Sciences Review, 57(1), ms. 1-28.

Ammarell, G. (1988). Bugis Navigation. New Haven, Connecticut: Yale Uniersity Southeast

Asia Studies.

Ammarell, G. (1988). Sky Calendars of the Indo-Malay Archipelago: Regional Diversity/Local

Knowledge. Indonesia, (45), 85-104.

Ammarell, G., & Tsing L. (2015). Cultural Production of Skylore in Indonesia. In C. L. N.

Ruggles (Ed.), Handbook of Archaeoastronomy and Ethnoastronomy. (ms. 2207-

2214). New York: Springer.

Blust, R. (1984). The Austronesian Homeland: A Linguistic Perspective. Asian

Perspectives, 26(1), 45-67.

Childe, V. G. (1950). The Urban Revolution. Town Planning Review, 21, pp. 3-17.

Elson, R. E. (2008). The Idea of Indonesia: A History. United Kingdom: Cambridge

University Press.

Gunawan E. H. ((2015a, 30 Mei). Peran Benda Langit sebagai Penanda Waktu dalam

Kearifan Lokal Budaya Jawa: Planet, Gugus Bintang dan Galaksi. Dlm. Himpunan

Abstrak. Kertas kerja dibentangkan pada Seminar Astronomi dalam Budaya

Nusantara, Universitas Ahmad Dahlan (ms. 25). Yogyakarta: Pusat Studi Astronomi,

Lembaga Penelitian dan Pengembangan UAD.

Gunawan E. H. ((2015b, 30 Mei). Perspektif Budaya Jawa dalam Memandang Benda Langit

sebagai Pertanda Malapetaka. Dlm. Himpunan Abstrak. Kertas kerja dibentangkan

pada Seminar Astronomi dalam Budaya Nusantara, Universitas Ahmad Dahlan (ms.

26). Yogyakarta: Pusat Studi Astronomi, Lembaga Penelitian dan Pengembangan

UAD.

Hakim, L. & Pramudya, Y. (2015, 30 Mei). Astronomi dalam Budaya Suku Sasak dan

Penggunaannya sebagai Panduan Aktifitas Petani dan Nelayan. Dlm. Himpunan

Abstrak. Kertas kerja dibentangkan pada Seminar Astronomi dalam Budaya

Nusantara, Universitas Ahmad Dahlan (ms. 12). Yogyakarta: Pusat Studi Astronomi,

Lembaga Penelitian dan Pengembangan UAD.

Harnes, D. M. (1999). The Nakshatras: The Lunar Mansions of Vedic Astrology. Twin Lakes

WI: Lotus Press.

Hidayat, B. (2015, 30 Mei). Perbintangan di Nusantara, Astronomi di Indonesia. Kertas kerja

dibentangkan pada Seminar Astronomi dalam Budaya Nusantara, Universitas

Ahmad Dahlan. Yogyakarta: Pusat Studi Astronomi, Lembaga Penelitian dan

Pengembangan UAD.

Iskandar, J., & An’amillah, A. (2015, 30 Mei). Peran Posisi Bintang Kidang dalam

Pemeliharaan Varietas Padi Ladang oleh Masyarakat Baduy Banten Selatan. Dlm.

Himpunan Abstrak. Kertas kerja dibentangkan pada Seminar Astronomi dalam

Budaya Nusantara, Universitas Ahmad Dahlan (ms. 16). Yogyakarta: Pusat Studi

Astronomi, Lembaga Penelitian dan Pengembangan UAD.

Jaafar N. F. (2016, 26-27 Nov.). Pengaruh Astronomi India Terhadap Pengetahuan Piama

Kedah. Kertas kerja dibentangkan pada Seminar Falsafah Sains Tabi’e, Kajang.

Jaafar, N. F., Yahaya, F. H., & Yew Chong H. Y. (2015, 30 Mei). Piama, Agricultural and

Fisheries Calendar of Northern Peninsular Malaysia. Dlm. Himpunan Abstrak. Kertas

Page 18: Perbintangan di Malayonesia* - INSPEMeinspem.upm.edu.my/sstm2017/img/Perbintangan Malayonesia.pdf · Sub-kumpulan besar Austronesia ini menurut ... bahawa kemunculan tamadun Melayu

kerja dibentangkan pada Seminar Astronomi dalam Budaya Nusantara, Universitas

Ahmad Dahlan (ms. 8). Yogyakarta: Pusat Studi Astronomi, Lembaga Penelitian dan

Pengembangan UAD.

Kadir M. A. A. (2008, 13 Mac). Menggali Kepengetahuan Rumpun Melayu Pra-Islam. Kertas

kerja dibentangkan pada Public Intellectuals Forum (PIF), Shah Village Hotel,

Petaling Jaya.

Kelley D. H., & Milone E. F. (2011). Exploring Ancient Skies: A Survey of Ancient and

Cultural Astronomy (Ed. 2). New York: Springer.

National Geographic. (2017, Januari 10). Reference Populations – Geno 2.0 Next

Generation. Daripada https://genographic.nationalgeographic.com/reference-

populations-next-gen/

Nitta, E. (2016, 21-22 Mei). Iron-smelting Sites and Activities in Prehistoric Southeast Asia –

A Special Reference to Thailand. Dlm. Extended Abstract Book. Kertas kerja

dibentangkan pada Kedah Tua International Conference, Park Avenue Hotel (ms. 37-

39). Pulau Pinang: Pusat Penyelidikan Arkeologi Global USM.

Otomo, B. B. (2015, 30 Mei). Pengetahuan Astronomi Sebagaimana Diwujudkan dalam

Hasil Budaya Benda dan Tak Benda. Kertas kerja dibentangkan pada Seminar

Astronomi dalam Budaya Nusantara, Universitas Ahmad Dahlan. Yogyakarta: Pusat

Studi Astronomi, Lembaga Penelitian dan Pengembangan UAD.

Saad, H. M. N. H. (1986). Adat Persawahan di Negeri Kedah. Intisari Kebudayaan

Melayu Kedah, ms. 38-57.

Saidin, M. (2016, 21-22 Mei). Kedah Tua Kingdom: New Evidence from Sungai Batu

Complex. Dlm. Extended Abstract Book. Kertas kerja dibentangkan pada Kedah Tua

International Conference, Park Avenue Hotel (ms. 5). Pulau Pinang: Pusat

Penyelidikan Arkeologi Global USM.

Salleh, I. H. (1981, 28 Nov. – 1 Dis.). Bulan Piama. Dlm. Intisari Kebudayaan Negeri Kedah.

Kertas kerja dibentangkan pada Konvensyen Sejarah Negeri Kedah, Wisma Negeri

Alor Setar (ms. 94-98). Alor Setar: Majlis Kebudayaan Negeri Kedah.

Schlegel, S. (1987). The Traditional Tiruray Zodiac: The Celestial Calendar of A Philippine

Swidden And Foraging People. Philippine Quarterly Of Culture And Society, 15(1/2),

ms. 12-26.

Zain, S. M. (2013, 30 Mei). Muncul-Lesapnya Konsep dan Istilah Asli Sains dan Matematik

dalam Bahasa Melayu Sebelum Abad Kedua Puluh Masihi. Kertas kerja

dibentangkan pada Wacana ke-3 Siri Wacana Keterlestaraian Ilmu Malayonesia.

Zain, S. M. (2015). Pendahuluan. Dlm. S. M. Zain (Ed.), Unsur Etnosains Malayonesia

dalam Bahasa Melayu Sejak Abad Ke-5 Masihi. (ms. xix-xlix). Kuala Lumpur:

Dewan Bahasa dan Pustaka.

Zainal B. (2007, 13-15 Mac). Kesan Pengamalan Ilmu Falak dalam Konteks Agama, Sosial

dan Budaya di Alam Melayu. Kertas kerja dibentangkan pada Prosiding International

Conference on Social Sciences and Humanities. UKM.

Zainal B. (2015). Bintang Tujuh dan Bintang Dua Belas dalam Pengetahuan Tabii

Malayonesia. Dlm. S. M. Zain (Ed.), Unsur Etnosains Malayonesia dalam Bahasa

Melayu Sejak Abad Ke-5 Masihi. (ms. 560-584). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan

Pustaka.

Zainal B. (2015). Pentahkikan Naskhah Falak Alam Melayu. Selangor: Jabatan Mufti Negeri

Selangor.