peranan awak2, pemain muzik

Upload: rassirock

Post on 10-Jan-2016

106 views

Category:

Documents


1 download

DESCRIPTION

dikir barat

TRANSCRIPT

PERANAN AWAK-AWAK DALAM KUMPULAN DIKIR BARATAwak-awak adalah kumpulan orang berdikir dalam sesebuah persembahan dikir barat. Kebiasaannya awak-awak ini terdiri daripada golongan muda-mudi yang berumur belasan tahun. Namun demikian, secara praktiknya, golongan orang dewasa kebiasaannya lebih ramai menjadi awak-awak. Gelaran awak-awak ini diambil bersempena daripada nama kumpulan nelayan yang turun ke laut dalam sebuah perahu di bawah jagaan seorang ketua yang dipanggil Jeragan. Keadaan ini disesuaikan dengan peranan awak-awak dalam persembahan dikir barat yang di bawah jagaan ketua mereka, Juara. Kebiasaannya seramai 15 hingga 30 orang awak-awak yang mengiringi persembahan dikir barat dengan diketuai oleh seorang juara dan tukang karut. Namun demikian, tidak menjadi masalah sekiranya bilangan ahli kumpulan awak-awak berkurang atau berlebihan. Perkara paling penting yang perlu dimiliki dalam setiap kumpulan dikir barat adalah semangat dan kesungguhan yang dipamerkan oleh kumpulan awak-awak semasa mengadakan persembahan. Semakin bersemangat kumpulan awak-awak menepuk tangan dan menyanyi, semakin tinggi peluang sesebuah kumpulan dikir barat untuk memenangi pertandingan di samping penilaian terhadap juara, tukang karut dan pemuzik dikir barat. Peranan awak-awak sangat penting dalam sesebuah kumpulan dikir barat yang mengadakan persembahan. Persembahan dikir barat tidak akan berjaya sekiranya ketiadaan awak-awak yang mengiringi persembahan dikir barat memandangkan awak-awak sangat sinonim dan penting dalam kumpulan dikir barat. Kumpulan awak-awak akan menyanyi mengikut nyanyian tukang karut atau juara sambil bertepuk tangan dengan gaya yang pelbagai mengikut kreativiti dan rentak lagu yang dinyanyikan. Tugas awak-awak adalah mengikut dan mengulangi beramai-ramai pantun-pantun tertentu yang didendangkan oleh juara dan tukang karut. Kombinasi suara awak-awak yang nyaring dan kuat merupakan salah satu daripada elemen yang akan menentukan kejayaan sesuatu kumpulan dikir barat terutamanya dalam pertandingan dikir barat. Kumpulan awak-awak perlu peka dengan setiap bait yang dinyanyikan oleh juara dan tukang karut bagi memastikan mereka dapat mengulangi dan menyanyi bait lirik dengan sekata dan bersesuaian dengan alunan muzik yang didendangkan oleh kumpulan muzik dikir barat. Awak-awak memainkan peranan penting dalam persembahan dikir barat dengan menyanyikan korus yang disampaikan secara unison iaitu harmoni. Korus yang berbentuk seperti pantun bertujuan untuk berbalas-balas pantun dengan penyanyi. Semasa mengadakan persembahan awak-awak duduk di atas lantai dalam bulatan berhadapan diantara satu sama lain. Sambil menyanyi mereka menggerakkan lengan, tangan dan bahagian atas anggota badan seolah-olah menari mengikut irama muzik diselang-seli dengan tepukan dan teriakan yang kuat pada bit-bit yang tertentu. Mereka akan menyanyi dan menari dalam keadaan duduk mengikut irama yang didendangkan oleh dua teraju utama iaitu juara dan tukang karut. Latihan diperlukan bagi memastikan keseragaman dari segi tepukan dan gaya pergerakan yang dilakukan dalam sesebuah lagu yang didendangkan oleh sesebuah kumpulan dikir barat. Terdapat dua cara atur duduk kumpulan awak-awak yang mengadakan persembahan. Secara tradisionalnya persembahan diadakan di atas pentas di kawasan lapang,yang mana mereka akan duduk bersila membentuk satu bulatan dengan beberapa lapisan yang padu. Juara dan tukang karut akan berada di luar bulatan tersebut manakala kumpulan pemuzik berada pada kedudukan khas di belakang kumpulan awak-awak. Penonton atau khalayak pula duduk mengelilingi pentas tersebut bagi membolehkan mereka menonton persembahan dikir barat secara lebih dekat.

Rajah 1. Susun atur kumpulan awak-awak dikir barat secara bulatan

Cara atur duduk kumpulan awak-awak yang kedua pula adalah melibatkan persembahan dalam dewan yang pentasnya dibina secara menghadap kepada para penonton. Kumpulan awak-awak akan duduk secara memanjang dalam beberapa barisan lurus menghadap kepada penonton. Kedudukan secara barisan memanjang ini kebiasaannya dilakukan semasa pertandingan dikir barat bagi memudahkan pihak juri menilai persembahan sesebuah kumpulan dikir barat dengan baik. Di samping itu, pergerakan kumpulan awak-awak semasa menepuk tangan dan menggayakan tarian juga dapat dilakukan dengan selesa. Perkara ini adalah disebabkan susun atur kedudukan awak-awak sebegini memberi ruang yang selesa bagi awak-awak mempersembahkan gaya tarian atau pergerakan tangan yang mengiringi persembahan dikir barat.

Rajah 2. Susun atur kumpulan awak-awak dikir barat secara barisan memanjang

PERANAN PEMAIN MUZIK DALAM KUMPULAN DIKIR BARAT

Pemain muzik turut memainkan peranan penting dalam setiap persembahan dikir barat yang dianjurkan. Hal ini kerana muzik akan melengkapkan lagi persembahan dikir barat yang mana sekiranya muzik tidak dimainkan, dikir barat akan menjadi hambar dan membosankan. Setiap kumpulan dikir barat kebiasaannya mempunyai pemain muzik mereka sendiri yang terdiri daripada individu yang mahir dalam memainkan alat muzik tertentu seperti rebana ibu, rebana anak, kompang, gong, canang dan marakas. Pemain muzik perlu memiliki kemahiran asas bagi alat muzik yang mereka mainkan bagi memastikan bunyi yang dihasilkan tidak sumbang yang boleh menjejaskan persembahan dikir barat.

Kebanyakan pemain muzik memulakan karier mereka dengan menjadi awak-awak dalam kumpulan dikir barat. Mereka kemudiannya cuba mengembangkan bakat dalam bidang seni dikir barat menjadi sebagai pemain muzik, juara atau tukang karut. Kumpulan pemain muzik adalah terdiri daripada individu yang mempunyai bakat dalam memainkan alat muzik. Berdasarkan dapatan kajian yang dijalankan, adalah didapati bahawa ramai pemain muzik dikir barat mewarisi bakat dalam memainkan alat muzik daripada bapa atau datuk mereka. Hal ini dapat dinyatakan apabila terdapat pemain alat muzik yang turut membawa anak mereka ke tempat berdikir. Keadaan ini secara tidak langsung dapat menimbulkan minat dalam diri anak-anak pemain alat muzik untuk meneruskan perjuangan bidang seni dikir barat daripada bapa mereka.

Pemain muzik memainkan peranan utama dalam memainkan muzik latar bagi setiap lagu yang dipersembahkan oleh juara atau tukang karut dengan diiringi oleh kumpulan awak-awak. Muzik merupakan salah satu elemen penting dalam persembahan dikir barat yang mana sekiranya muzik tidak dimainkan, nescaya persembahan dikir barat tidak akan berjaya. Kepentingan pemain muzik adalah dalam menyediakan bunyian daripada alat muzik bagi mewujudkan irama dan melodi yang menjadi panduan kepada juara dan tukang karut untuk membuat persembahan dengan lebih teratur dari segi nada dan intonasi nyanyian. Seandainya muzik tidak dimainkan, nyanyian oleh juara dan tukang karut akan menjadi hambar kerana hanya diiringi oleh tepukan dan nyanyian latar oleh kumpulan awak-awak sahaja.

Selain itu, pemain muzik juga berperanan dalam menentukan kerancakkan persembahan dikir barat. Hal ini dapat dinyatakan apabila persembahan dikir barat akan menjadi lebih meriah apabila kumpulan pemain muzik memainkan muzik dengan bersemangat. Apabila muzik menjadi rancak, kumpulan awak-awak akan lebih lantang dan bersungguh-sungguh dalam menyanyikan bait-bait lirik yang diikuti daripada juara dan tukang karut. Keyakinan dalam diri juara dan tukang karut juga akan bertambah dalam menyanyikan lagu dikir dan persembahan dikir karut apabila mendengar alunan muzik, tepukan dan nyanyian latar yang bersemangat. Keadaan akan menjadi sebaliknya apabila pemain muzik memainkan muzik dengan perlahan dan tidak bersungguh-sungguh. Keadaan ini akan menyebabkan persembahan dikir akan menjadi hambar dan tidak berjaya menarik tumpuan daripada kalangan penonton yang hadir menyaksikan persembahan dikir barat. Lebih memburukkan keadaan apabila muzik yang dimainkan adalah sumbang dan tidak seragam dalam irama dan melodi sesebuah lagu yang dipersembahkan. Kesannya, para penonton tidak dapat menghayati seni dikir barat dengan baik dan boleh menjejaskan nama baik kumpulan dikir barat itu sendiri. REFLEKSI

Ahmad Rasis Bin Zukafli

Alhamdulillah, bersyukur kehadrat Illahi kerana dengan limpah dan kurnia-Nya dapat saya siapkan hasil tugasan projek bagi kursus Kokurikulum Persatuan (WAJ3113) dengan jayanya. Sepanjang tempoh melaksanakan tugasan projek ini, pelbagai pengalaman telah saya lalui dalam memastikan hasilnya adalah berkualiti dan mematuhi rubrik pemarkahan tugasan projek.

Semasa melaksanakan kerja kursus ini, saya telah mendapat banyak pengalaman berharga. Antaranya adalah saya telah belajar perkara baharu yang berkaitan dengan bidang seni dikir barat yang sangat terkenal di negeri Kelantan Darul Naim.sebelum ini, saya hanya mendengar lagu-lagu dikir barat di corong radio sahaja tanpa mengetahui dengan lebih lanjut perkara yang berkaitan dengan seni dikir barat seperti latar belakang dikir barat dan tokoh-tokoh yang terbabit dalam bidang seni ini. Sejujurnya peluang yang diberikan semasa menemu bual tokoh dikir barat iaitu Tuan Kob Raja Saring dan Mat Glamour sememangnya memberikan banyak manfaat kepada diri saya sendiri kerana saya dapat mempelajari banyak perkara baru berkaitan dengan bidang seni ini. Saya juga dapat melihat sendiri kehidupan sebenar pendikir yang kebanyakannya adalah merupakan golongan sederhana yang menjadikan persembahan dikir barat sebagai punca rezeki selain daripada minat mereka terhadap seni dikir barat.

Tugasan ini telah dilaksanakan secara berkumpulan yang terdiri daripada saya sendiri, Amri, Muni Aida, Norasmad dan Shuhadah. Kami telah membahagikan tugas kerja kursus secara adil meliputi sesi temubual, rakaman video dan gambar serta mengumpul maklumat berkaitan dikir barat. Namun demikian, setiap ahli kumpulan diberikan tajuk masing-masing untuk mengarang hasil dapatan kajian. Walaupun kami mendapat bahagian masing-masing, namun kami tetap berbincang bersama-sama dan saling membantu sekiranya terdapat sebarang kesulitan. Melalui pelaksanaan tugasan ini, saya dapat merapatkan lagi hubungan persahabatan yang mana mereka sentiasa membantu saya untuk memastikan hasilnya nanti adalah berkualiti. Kumpulan kami juga merujuk pensyarah pembimbing iaitu Encik Sulizi Bin Che Awang bagi menambahkan lagi isi kandungan dan memastikan hasil dapatan kajian tidak terpesong daripada kehendak soalan.

Masalah yang saya hadapi sepanjang pelaksanaan tugasan ini adalah untuk mendapatkan maklumat berkaitan dengan bidang seni dikir barat dalam laman internet. Hal ini memberi sedikit kesulitan kepada saya memandangkan saya perlu menjelaskan tentang dapatan kajian tersebut di dalam penulisan secara terperinci di samping merujuk maklumat yang diperolehi semasa sesi temu bual dengan tokoh pendikir barat.. Bagi mengatasi masalah ini, saya merujuk rakan daripada kumpulan lain dan merujuk buku rujukan berkaitan bidang seni ini di Pusat Sumber Zaba, Institut Pendidikan Guru Kampus Sultan Mizan. Walau pun maklumat yang diperolehi di sana tidak seberapa, namun sekurang-kurang terdapat isi-isi penting yang boleh dimuatkan dalam penulisan hasil laporan dan persembahan multimedia power-point.

Pada ruang ini juga saya ingin mengajukan cadangan penambahbaikan yang mana pada pendapat saya, pihak pensyarah yang terlibat boleh merancang program berbentuk forum dengan menjemput beberapa tokoh pendikir barat yang tersohor sebagai panel ke institut. Perkara ini adalah untuk mendedahkan guru-guru pelatih tentang bidang seni dikir barat yang pada hari ini semakin dilupakan oleh generasi muda. Forum ini juga antara lainnya adalah untuk memberi pengetahuan yang bermanfaat kepada guru pelatih kerana setiap bakal guru perlu melengkapkan diri dengan pelbagai kemahiran dan tidak terhad kepada bidang pendidikan di dalam bilik darjah semata-mata. Sebagai contoh, apabila guru mengetahui perkara asas dalam dikir barat, mereka akan dapat mengajar murid-murid tentang cara berdikir yang betul dan melatih murid-murid untuk menyertai pertandingan dikir barat. Akhir kata, saya mengharapkan agar hasil tugasan kerja kursus ini menepati kriteria-kriteria yang digariskan dalam rubrik pemarkahan kerja kursus.