penda hulu an

23
1.0 PENDAHULUAN Rencana merupakan salah satu bentuk penulisan yang berteraskan fakta- fakta dan bukti- bukti yang kukuh dalam mengembangkan sesuatu isi oleh pengarang ataupun penulis. Terdapat pelbagai bentuk rencana yang dihasilkan seperti rencana yang berkaitan dengan isu semasa, ekonomi, kesihatan, sukan, pendidikan dan sebagainya. Dalam penulisan rencana, penggabungan idea perlu diserlahkan. Menurut Sulaiman, Abdullah & Ra,in ( 2006), seorang penulis rencana perlu mencernakan dalam fikiran sejumlah fakta yang diperolehi kemudian memilih fakta yang paling menarik untuk tatapan pembaca. Selain itu, seorang penulis rencana juga perlu sentiasa berwaspada dengan memastikan hubungan antara fakta tersebut dengan maklumat lain sentiasa wujud. Namun begitu, rencana yang dihasilkan kebiasaanya menggunakan pelbagai teknik dan kaedah yang terbaik supaya penulisan rencana menjadi lebih menarik dan tersusun. Oleh hal yang demikian, saya telah memilih tiga buah rencana yang dihasilkan oleh pengarang yang sama untuk melakukan analisis mengenainya bagi memenuhi tuntutan tugasan individu ini. Pengarang yang telah saya pilih ialah Pahrol Mohamad Juoi. Antara sebab yang mendorong saya memilih beliau adalah kerana beliau merupakan penulis tetap tentang rencana yang berkaitan dengan isu di dalam ruangan yang disediakan oleh Majalah Solusi. Tiga rencana yang dihasilkan oleh beliau ialah Apa Itu Bahagia?, Sabar itu Indah dan juga Bagaimana Membentuk Akhlak?. Ketiga- tiga 1

Upload: sabri-khalizasabarifayuim

Post on 31-Jul-2015

1.395 views

Category:

Documents


5 download

TRANSCRIPT

Page 1: Penda Hulu An

1.0 PENDAHULUAN

Rencana merupakan salah satu bentuk penulisan yang berteraskan fakta- fakta dan bukti- bukti

yang kukuh dalam mengembangkan sesuatu isi oleh pengarang ataupun penulis. Terdapat

pelbagai bentuk rencana yang dihasilkan seperti rencana yang berkaitan dengan isu semasa,

ekonomi, kesihatan, sukan, pendidikan dan sebagainya. Dalam penulisan rencana, penggabungan

idea perlu diserlahkan. Menurut Sulaiman, Abdullah & Ra,in ( 2006), seorang penulis rencana

perlu mencernakan dalam fikiran sejumlah fakta yang diperolehi kemudian memilih fakta yang

paling menarik untuk tatapan pembaca. Selain itu, seorang penulis rencana juga perlu sentiasa

berwaspada dengan memastikan hubungan antara fakta tersebut dengan maklumat lain sentiasa

wujud.

Namun begitu, rencana yang dihasilkan kebiasaanya menggunakan pelbagai teknik dan

kaedah yang terbaik supaya penulisan rencana menjadi lebih menarik dan tersusun. Oleh hal

yang demikian, saya telah memilih tiga buah rencana yang dihasilkan oleh pengarang yang sama

untuk melakukan analisis mengenainya bagi memenuhi tuntutan tugasan individu ini. Pengarang

yang telah saya pilih ialah Pahrol Mohamad Juoi. Antara sebab yang mendorong saya memilih

beliau adalah kerana beliau merupakan penulis tetap tentang rencana yang berkaitan dengan isu

di dalam ruangan yang disediakan oleh Majalah Solusi. Tiga rencana yang dihasilkan oleh beliau

ialah Apa Itu Bahagia?, Sabar itu Indah dan juga Bagaimana Membentuk Akhlak?. Ketiga- tiga

rencana ini merupakan hasil nukilan Pahrol Mohamd Juoi dan menjadi bahan kajian saya dalam

proses menganalisis rencana.

Sekadar maklumat tambahan, Saudara Mohamad Juoi merupakan seorang penulis buku,

kolumnis majalah, pencipta lirik, dan skrip, serta pengacara tv dan jurulatih berkelulusan UiTm,

Shah Alam. Beliau berpengalaman mengendalikan program latihan dan motivasi untuk lebih 50

badan kerajaan dan swasta. Kini beliau bertugas sebagai Pengurus Besar dan Pengarah

Penyelidikan di Fitrah Perkasa Sdn. Bhd. Bukunya Tentang Cinta mendapat sambutan yang

menggalakkan dalam kalangan remaja terutamanya pelajar pusat pengajian tinggi.

1

Page 2: Penda Hulu An

2.0 PANDUAN DAN TEKNIK YANG AKAN DIGUNAKAN DI DALAM ANALISIS

RENCANA

Terdapat pelbagai teknik yang akan digunakan untuk menganalisis tiga rencana yang dihasilkan

oleh Saudara Pahrol Mohamad Juoi. Antara teknik yang akan dianalisis ialah strategi

pemerengganan dan gaya bahasa yang digunakan oleh penulis ataupun lebih dikenali sebagai

stilitik di samping menyentuh serba sedikit pendekatan dalam penulisan yang digunakan oleh

penulis .

Hasil daripada analisis rencana ini, saya mendapati terdapatnya strategi pemerengganan

yang telah digunakan oleh pengarang iaitu Pahrol Mohamad Juoi dalam memperkukuhkan lagi

bentuk penyampaian penulisannya. Perenggan merupakan satu unit wacana yang membangunkan

idea tunggal. Ia terdiri daripada satu kumpulan ayat yang berkait rapat antara satu sama lain dari

segi makna dan tatabahasa (Scott, 1991).

Rencana yang dihasilkan oleh Pahrol Mohamad Juoi juga turut menggunakan pendekatan

stilistik ini. Stilistik merupakan salah satu ranting dalam ilmu retorika. Tanpa stilistik sesuatu

teks akan kelihatan kaku, sterotaip dan mendatar. Menurut Hasuria, Noriah & Radiah (2009),

kajian yang meneliti gaya bahasa pengarang dikenali sebagai stilistik. Dalam konteks yang lain,

terdapat dua strategi dalam teori stilistik yang akan dikaji iaitu aspek skema dan majaz. Menurut

Corbett & Connors (1999), skema dapat dibahagikan kepada lima kategori iaitu skema seimbang,

skema, hiperbaton, skema perulangan, skema pengguguran dan skema ragaman. Manakala majaz

pula adalah bentuk gaya bahasa yang melibtakan ungkapan bahasa, pepatah dan yang seumpama

dengannya (Umar Junus, 1989).

Pendekatan dalam penulisan pula merupakan salah satu teknik yang digunakan oleh

penulis untuk menghasilkan penulisan yang paling baik. Menurut Sulaiman et. al (2006),

penulisan merupakan cara meneroka bahan iaitu cara untuk mengetahui perkara sebenar yang

berlaku dalam sesebuah peristiwa atau kejadian. Terdapat pelbagai pendekatan retorika yang

boleh diaplikasikan mengikut bentuk penulisan, motif penulis dan khalayak pembacanya.

Pendekatan ini boleh dibahagikan kepada enam jenis iaitu pemerian, pemujukan, pelaporan,

penghujahan, pendedahan dan penceritaan (Hasuria & Rokiah, 2009).

2

Page 3: Penda Hulu An

3.0 HASIL ANALISIS

3.1 ANALISIS RENCANA PERTAMA (APA ITU BAHAGIA)

Sebelum menganalisis rencana ini, saya telah memilih beberapa teknik penulisan yang biasa

digunakan oleh penulis. Antara teknik yang ditekankan di dalam menganalisis rencana ini ialah

strategi pemerengganan dan pendekatan di dalam penulisan di samping mengkaji gaya bahasa

yang digunakan oleh penulis ataupun lebih dikenali sebagai stilistik.

STRATEGI PEMERENGGANAN

Teknik Soalan- Jawapan

Penulis menggunakan teknik soalan jawapan di dalam penghasilan rencananya ini mungkin

kerana tajuk rencana yang ditulisnya sendiri berbentuk soalan. Hal ini sedikit sebanyak turut

mempengaruhi penulisannya. Ciri- ciri penanda bagi teknik ini ialah tanda soal (?). Berdasarkan

teknik ini pengarang akan memulakan penulisannya dengan memberikan satu bentuk persoalaan

kepada pembaca. Teknik ini dapat diperhatikan melalui petikan rencana di bawah:

Apa buktinya mereka hilang bahagia? [soalan] Tidak payah kita berhujah menggunakan al-

Quran dan hadis, melalui paparan media massa sahaja sudah cukup menjadi bukti betapa tidak

bahagianya mereka yang memiliki segala- galanya itu [jawapan]

Persoalan yang diberikan ini sebenarnya bertujuan untuk menarik perhatian pembaca di

samping cuba mengajak pembaca berfikir mencari jawapan tentang soalan yang telah diajukan

oleh penulis

Teknik Soalan Tanpa Jawapan

Teknik ini juga merupakan salah satu strategi pemerengganan yang telah diaplikasikan oleh

penulis di dalam penghasilan rencananya. Menurut Hasuria, Haslina & Aniswal (2009), teknik

soalan tanpa jawapan ini digunakan bagi memastikan pembaca merasakan diri mereka sendiri

mesti mencari jawapannya. Penggunaan teknik ini dapat diperhatikan di dalam contoh petikan di

bawah:

3

Page 4: Penda Hulu An

Mari kita lihat persoalan ini dengan lebih dekat. Apakah benar ujian hidup menghilangkan rasa

bahagia dalam kehidupan ini. Apakah sakit, usia tua, cercaan manusia kemiskinan, kegagalan ,

kekalahan dan lain- lain ujian hidup menjadi sebab hilangnya bahagia?.

Berdasarkan petikan dia atas kita dapat mengelaskannya sebagai teknik soalan tanpa

jawapan kerana jawapannya sudah diketahui. Hal ini demikian kerana, sudah semestinya ujian

hidup akan menghilangkan rasa bahagia dalam hidup. Oleh hal yang demikian, jelaslah di sini

bahawa teknik ini merupakan teknik soalan tanpa jawapan kerana penulis sendiri sedar pembaca

sudah pun mengetahui jawapannya berdasarkan soalan yang telah diutarakan oleh beliau.

Teknik Jawapan Soalan

Berdasarkan teknik yang digunakan ini penulis akan memberikan jawapan kepada pembaca

tentang sesuatu isu dan turut memberikan soalan kepada pembaca mengenai isu yang

dibincangkan. Teknik ini dapat dilihat berdasarkan petikan rencana di bawah:

Atas keyakinan itu manusia berhempas- pulas dan sanggup melakukan apa sahaja untuk

memiliki harta, kuasa dan lain-lain lagi. Kita tidak bahaskan mereka yang miskin, hodoh, tidak

popular dan bodoh, lalu mereka gagal merasakan bahagia [jawapan]. Tetapi mari kita tinjau

apakah hidup para hartawan, rupawan, bangsawan, kenamaan dan cendekiawan itu bahagia?

[soalan].

Berdasarkan contoh di atas, saya mendapati penulis cuba memberikan jawapan bahawa

manusia akan melakukan apa sahaja untuk bahagia. Manakala berdasarkan jawapan itu penulis

cuba memberikan soalan kepada pembaca adakah mereka yang berjaya mendapatkan apa yang

mereka inginkan setelah gigih berusaha itu mencapai kebahagian dalam hidup.

Teknik Percontohan

Penulis turut menggunakan teknik percontohan ini untuk memperkemaskan lagi hasil

penulisannya. Menurut Jeniri Amir (2005), percontohan dalam penulisan akan membantu

menghidupkan dan menjelaskan maksud penulisan. Teknik percontohan ini dapat dilihat

berdasarkan contoh di bawah:

4

Page 5: Penda Hulu An

Mereka yang rupawan, tidak boleh mengelakkan diri daripada cercaan. Madonna, Paris Hilton

(sekadar menyebut beberapa nama) pernah dikutuk akibat kelakuan buruk masing- masing.

Lady Diana yang memiliki semua pakej kelebihan wanita idaman akhirnya mati dalam keadaan

yang tragis dan menyedihkan sekali.

Berdasarkan petikan di atas penulis cuba memberikan contoh artis dan selebriti yang

mempunyai kelebihan dalam hidup tetapi sentiasa berhadapan dengan masalah seperti cercaan

dan kutukan.

Teknik Analogi

Menurut Wibowo (2011), analogi adalah simpulan yang ditarik dengan cara membandingkan

suatu fakta khusus dengan fakta khusus lain yang mirip dan relevan. Kaedah analogi

membandingkan topik utama dengan dengan topik lain yang hampir sama (Keraf, 1984). Teknik

ini dapat dilihat berdasarkan contoh petikan rencana di bawah:

“ Air limau itu umpama ujian hidup, manakala tangan yang luka ialah hati yang sakit . Hati

yang sakit ialah hati yang dipenuhi oleh sifat- sifat mazmumah seperti takbur, hasad dengki dan

seterusnya”.

Teknik ini digunakan bertujuan untuk memberikan kelainan kepada penulisan supaya

tidak statik kepada fakta yang tersurat semata- mata. Penulis cuba mengolah teknik ini bagi

memberikan kefahaman yang lebih mudah kepada pembaca tentang isu yang cuba disampaikan

melalui penulisannya.

Teknik Falsafah

Perkataan falsafah berasal daripada istilah Yunani philo (cinta) dan sophos (hikmah,

kebijaksanaan), yang bermakna cinta pada kebijaksanaan (love of wisdom), atau pada kebenaran

dan keutamaan ( Abdul Rahman, 2005). Falsafah juga merupakan induk segala ilmu pengetahuan

(Shaharom & Suriati, 2004). Penulis di dalam rencana ini turut menggunakan teknik falsafah

dalam menggarap penulisannya. Teknik falsafah yang telah digunakan oleh penulis adalah

seperti berikut:

5

Page 6: Penda Hulu An

Kaya hati bermaksud hati yang tenang, lapang dan berasa cukup dengan apa yang dimiliki –

bersyukur dengan apa yang ada, sabar dengan apa yang tiada.

Penulis menggunakan teknik falsafah kerana beliau mahu mempelbagaikan teknik

penulisannya supaya lebih menarik untuk dipersembahkan kepada pembaca.

STILISTIK

Majaz Pertentangan Hiperbola

Memang tidak dapat dinafikan lagi, terdapatnya gaya bahasa hiperbola yang telah digunakan

oleh pengarang di dalam penulisan rencana pertama ini. Menurut Lim (2004), hiperbola ialah

cara memberikan gambaran yang berlebih- lebihan kepada sesuatu. Penggunaan gaya bahasa

hiperbola ini dapat dilihat berdasarkan petikan rencana di bawah:

Elizabeth Taylor pula sedang membilang usia yang kian meragut kecantikan dan potongan

badannya.

Melalui petikan ini kita dapat melihat penulis cuba melebih- lebihkan apa yang

sebenarnya dimaksudkan. Hal ini dapat dilihat pada ayat meragut kecantikan yang mana

perkataan meragut itu digunakan sebagai unsur yang berlebihan untuk menerangkan kecantikan

seseorang wanita yang semakin berkurangan.

Skema Seimbang Paralelisme

Menurut Keraf (1984) paralelisme adalah gaya bahasa yang berusaha mencapai kesejajaran

dalam pemakaian kata- kata atau frasa-frasa yang menduduki fungsi yang sama dalam bentuk

gramatikal yang sama. Penulis turut menggunakan gaya bahasa paralelisme dalam penghasilan

karyanya ini. Skema paralelisme yang digunakan oleh penulis adalah seperti petikan rencana di

bawah:

Hati yang sakit ialah hati yang dipenuhi oleh sifat- sifat mazmumah seperti takbur, hasad

dengki, marah, kecewa, putus asa, dendam, takut, cinta dunia, gila puji, tamak dan lain- lain

lagi.

6

Page 7: Penda Hulu An

Berdasarkan contoh petikan di atas semua sifat- sifat manusia yang dinyatakan berada

dalam frasa- frasa yang sama struktur dan klausa yang berhubungan iaitu berada di dalam pola

sifat- sifat mazmumah.

PENDEKATAN DALAM PENULISAN

Retorika Penghujahan.

Berdasarkan analisis yang telah dilakukan penulis banyak menggunakan retorika penghujahan di

dalam penulisan rencana yang pertama ini. Retorik ini biasanya digunakan untuk mempengaruhi

pembaca dengan mengemukakan bukti dan fakta yang kukuh (Hasuria & Rokiah, 2009). Penulis

banyak menggunakan bukti dan alasan yang kukuh untuk meyakinkan pembaca, yang

melibatkan pemujukan rasional atau intelek. Contoh retorika yang telah terdapat di dalam

rencana ini dapat diperhatikan melalui petikan rencana di bawah:

Realitinya sudah menjadi “ rules of life” (sunnatullah), manusia yang tidak mendapat semua

yang diinginkan. Tidak ada sseorang manusia pun yang dapat mengelakkan diri daripada

sesuatu yang tidak disenanginya. Hidup merupakan satu ujian yang menimpa semua manusia,

tidak kira kedudukan, harta, dan kelulusannya. Firman Allah yang bermaksud:

“ Dijadikan mati dan hidup adalah untuk menguji menguji manusia siapakah yang terbaik

amalannya.” ( Surah al- Mulk 67:3).

Berdasarkan petikan rencana di atas penulis memberikan hujahnya berdasarkan bukti dan

alasan yang kukuh bersandarkan fakta al- Quran. Sesuatu kebenaran tidak boleh ditegakkan

berasaskan atau bersandarkan emosi atau pendapat peribadi. Ianya memerlukan bukti yang

bersifat objektif, tepat dan jelas.

3.2 ANALISIS RENCANA KEDUA ( SABAR ITU INDAH)

Seperti analisis rencana pertama tadi saya turut menggunakan strategi pemerengganan,

pendekatan dalam penulisan dan menyentuh serba sedikit mengenai aspek stilistik yang digarap

oleh penulis di dalam penghasilan rencananya.

7

Page 8: Penda Hulu An

STRATEGI PEMERENGGANAN

Teknik Penglibatan Pembaca

Berdasarkan teknik ini penulis mengajak pembaca terlibat sama dalam menyelami idea penulis.

Tanpa disedari, pembaca merasakan dirinya bersetuju dengan apa yang diucapkan oleh penulis .

Pembaca dapat merasakan bahawa dirinya seolah- olah sedang berkomunikasi secara lansung

dengan penulis. Petikan rencana yang menunjukkan penggunaan teknik ini dapat diperhatikan

dalam contoh di bawah:

Daripada pembahagian sabar ini sahaja sudah cukup untuk membuktikan bahawa tanpa sabar

kita tidak akan dapat mencapai matlamat ubudiyyah (penghambaan) kepada Allah. Dengan

sabar kita akan dapat kebahagiaan di dunia dan di akhirat, manakala tanpa sabar kita akan

kehilangan segala- galanya.

Penanda kepada teknik ini berdasarkan kepada perkataan kita yang banyak digunakan di

dalam ayat ini. Jelas sekali penulis telah menyeret pembaca agar terlibat dalam penjanaan

ideanya. Tidak dapat tidak pembaca akan akur dengan idea penulis kerana ideanya bersandarkan

logik dan fakta.

Teknik Falsafah

Seperti di dalam rencana yang pertama, penulis turut menggunakan teknik falsafah dalam

mengembangkan lagi isi dan idea penulisaan rencana yang kedua ini. Petikan rencana di bawah

merupakan contoh penggunaan teknik falsafah:

Bukan mudah untuk melakukan ketaatan kerana ia sesuatu yang tidak disenangi oleh hawa nafsu

yang ada dalam diri kita sendiri. Usaha melakukan ketaatan samalah seperti “ berperang”

dengan diri sendiri. Namun, bagi orang yang sabar, ia melihat bahawa ketaatan itu umpama

ubat- pahit tetapi itulah yang menyembuhkan.

Penulis bukan sahaja menggunakan teknik falsafah tetapi turut menyelitkan skema

hiperbaton parentesis di dalam petikan rencana ini. Menurut Luis (1978), frasa atau ayat yang

mencelah sebagai penyimpangan dalam ayat yang sempurna disebut sebagai parentesis. Skema

8

Page 9: Penda Hulu An

parentesis ini dapat dilihat apabila terdapat tanda sempang yang memisahkan frasa atau ayat

dalam ayat yang sempurna.

Teknik Perbandingan

Memang tidak dapat dinafikan lagi, teknik perbandingan sentiasa menjadi pilihan penulis dalam

menghasilkan karya mahupun rencana yang berkualiti. Penulis rencana ini turut mengaplikasikan

teknik ini dalam memurnikan lagi penulisannya. Teknik perbandingan merupakan teknik yang

digunakan oleh penulis untuk membandingkan atau membezakan sesuatu perkara (Jeniri, 2005).

Teknik perbandingan yang telah digunakan oleh pengarang telah dapat saya kenali pasti

berdasarkan contoh di bawah:

Orang boleh bersabar dengan kesusahan melakukan ketaatan dan meninggalkan maksiat, tetapi

derita kegagalan, kematian, penyakit dan lain-lain musibah lebih menekan hati.

Berdasarkan teknik di atas, perkataan tetapi merupakan penanda kepada perbandingan

yang cuba diusulkan oleh penulis.

STILISTIK

Skema Perulangan Epanalepsis

Gaya bahasa ini juga merupakan cabang skema perulangan. Epanalepsis mengikut pandangan

Ederyn dan rakan-rakannya (1856) ialah sesuatu gaya bahasa yang dikenal pasti apabila

perkataan yang sama diguna pada awal dan akhir ayat yang sama. Penggunaan epanalepsis yang

dapat saya temui dalam rencana ini adalah seperti di bawah:

Menceritakan aib orang lain lebih menyeronokkan daripada mengenang aib sendiri.

Perkataan aib di dalam ayat di atas diulang sebanyak dua kali iaitu pada permulaan ayat

dan juga pada pengakhiran ayat.

Skema Perulangan Anafora

Penulis rencana ini turut menggunakan skema perulangan anaphora di dalam karya yang

dihasilkan ini. Anafora ialah pengulangan perkataan yang sama atau sekumpulan perkataan pada

9

Page 10: Penda Hulu An

permulaan klausa yang berturutan (Corbett & Connors, 1999). Petikan rencana di bawah dapat

menerangkan penggunaan skema perulangan anafora di dalam rencana yang kedua ini:

Ilmu kita terbatas. Ilmu Allah maha luas.

Pengulangan anafora ini dapat dilihat pada perkataan Ilmu yang digunakan pada setiap

permulaan klausa yang berturutan.

Majaz Ragaman Antimeria

Memang tidak dinafikan lagi , penulis turut menggunakan bentuk majaz ini dalam proses

penghasilan karyanya. Antimeria merupakan salah satu majaz ragaman yang dilihat berbeza

daripada strategi retorik dengan majaz lain. Penggunaan antimeria ini ialah apabila seseorang

ingin menggunakan sesuatu perkataan daripada akar yang sama tetapi berbeza golongan kata.

Merujuk Zimmerman (2005), antimeria melibatkan perubahan sesuatu bahagian ucapan untuk

maksud yang lain. Petikan rencana berkaitan dengan penggunaan majaz ini dapat diperhatikan di

dalam contoh di bawah:

Mereka rela berkorban dan terkorban untuk beriman dan berhijrah di jalan Allah.

Berdasarkan contoh di atas, perkataan berkorban dan terkorban berasal daripada kata akar

yang sama iaitu main tetapi berbeza dari segi golongan kata.

PENDEKATAN DALAM PENULISAN

Retorika Penghujahan

Penulis turut menggunakan retorik penghujahan di dalam rencana yang kedua ini sama seperti

yang terdapat di dalam rencana yang pertama. Pendekatan retorika ini adalah relevan kepada

penulis. Hal ini demikian kerana, tajuk rencana ini sendiri iaitu “Sabar itu Indah” sudah cukup

untuk kita mengklasifikasikannya sebagai penulisan bercorak keagamaan. Oleh hal yang

demikian, penulis menggunakan bukti dan alasan yang kukuh bersandarkan fakta yang ada

hubungkaitnya dengan firman Allah dan hadis untuk meyakinkan khalayak pembaca. Hal yang

demikian sudah tentu dapat meyakinkan pembaca untuk menerima hujah penulis terutamanya

10

Page 11: Penda Hulu An

pembaca yang beragama Islam. Retorika penghujahan ini dapat diperhatikan berdasarkan petikan

rencana di bawah:

Firman Allah S.W.T yang bermaksud: “ Perintahkanlah keluargamu supaya menunaikan solat

dan bersabarlah dalam melakukannya. Kami tidak meminta rezeki daripada kamu (bahkan)

Kamilah yang memberikan rezeki. Dan akibat terpuji adalah bagi orang yang bertakwa.”(Surah

Taha 20: 132)

Berdasarkan contoh di atas, jelaslah bahawa penulis menggunakan kaedah persandaran

kepada fakta yang hakiki dan mengolahkannya menjadi suatu hujahan yang berisi dan bernas

yang sukar dinafikan oleh pembaca.

3.3 ANALISIS RENCANA KETIGA ( BAGAIMANA MEMBENTUK AKHLAK)

Analisis rencana yang ketiga ini juga lebih memberatkan kepada strategi pemerengganan dan

stilistik. Namun begitu, penulis juga turut menggunakan teknik pendekatan dalam penulisan

secara serba sedikit supaya penulisan yang dihasilkannya dapat mewujudkan suasana yang lebih

menarik dan berinformasi.

STRATEGI PEMERENGGANAN

Teknik Soalan- Jawapan

Teknik ini sebenarnya turut digunakan dalam analisis rencana yang pertama. Kaedah dalam

menggunakan teknik jenis ini ialah penulis akan memulakan penulisannya dengan menyatakan

persoalan kepada pembaca dan soalan yang dibentuk ini tidak dibiarkan begitu sahaja tanpa

jawapan. Hal ini demikian kerana, penulis akan turut memberikan jawapan terhadap soalan yang

telah dikemukakan. Petikan rencana di bawah merupakan contoh penggunaan teknik ini oleh

penulis di dalam penulisan rencananya yang ketiga ini:

Apakah akhlak baik itu bersifat Tabii (berdasarkan keturunan) atau sesuatu yang boleh dibentuk

atau diusahakan? [soalan]. Jawapan: Kedua- duanya sekali. Namun, akhlak yang dibentuk atas

usaha itu lebih utama iaitu lebih dominan. Jadi kerana itu Rasulullah s.a.w diutuskan iaitu

menyempurnakan akhlak manusia [jawapan]

11

Page 12: Penda Hulu An

Oleh hal yang demikian, dapat la dirumuskan di sini bahawa, penulis cuba mengajak

pembaca sama- sama berfikir untuk mengenalpasti jawapan yang sesuai bagi soalan yang

diajukan. Pembaca mungkin akan membuat telahan sendiri terlebih dahulu sebelum melihat

jawapan yang diberikan oleh pengarang.

Teknik Percontohan

Seperti rencana pertama yang dihasilkan oleh penulis, beliau turut menggunakan teknik ini di

dalam rencana yang ketiga ini. Menurut Jeniri Amir (2005), percontohan dalam penulisan akan

membantu menghidupkan dan menjelaskan maksud penulisan. Teknik percontohan ini dapat

dilihat berdasarkan contoh di bawah:

Melalui pengamalan rukun- rukun Islam seperti syahadah, solat, puasa, zakat dan haji,

seseorang akan melalui “ suatu proses” bagi menterjemahkan imannya kepada bentuk

perbuatan yang melibatkan soal hati, lisan dan perbuatan.

Berdasarkan petikan rencana di atas, penulis memberikan contoh- contoh rukun Islam yang perlu

diamalkan supaya iman sesorang itu akan dapat membentuk iman yang mantap berlandaskan

beberapa peraturan.

Teknik Perbandingan

Teknik perbandingan merupakan teknik yang digunakan oleh penulis untuk membandingkan

atau membezakan sesuatu perkara (Jeniri, 2005). Teknik perbandingan yang telah digunakan

oleh pengarang telah dapat saya kenali pasti berdasarkan contoh di bawah:

Dia solat, berpuasa, membayar zakat dan menunaikan haji, tetapi tutur katanya masih

menyakitkan hati orang, hatinya penuh hasad dan dia memudaratkan orang lain dengan lisan

dan perbuatannya.

Jelas di sini bahawa penulis cuba membandingkan sifat manusia yang sentiasa melakukan

perbuatan yang dituntut oleh Islam tetapi pada masa yang sama mereka tetap melakukan perkara-

perkara yang dibenci oleh Allah. Penanda bagi teknik ini terdapat pada perkataan tetapi.

12

Page 13: Penda Hulu An

STILISTIK

Majaz Perbandingan Simile

Menurut Sulaiman, Abdullah & Ra’in (2006), simile adalah gaya bahasa perbandingan yang

digunakan untuk menyamakan antara dua benda. Unsur ini menggunakan perkataan seperti

umpama bagai dan laksana sebagai perbandingan. Petikan rencana yang memperlihatkan unsur

simile di dalam penulisan penulis dapat dilihat berdasarkan contoh di bawah:

Tanpa Akhlak, ibadah akan rosak seperti kayu yang dimakan api.

Penanda bagi menjelaskan kewujudan unsur simile ini dapat dilihat berdasarkan perkataan

seperti yang berfungsi untuk membandingkan dua objek atau dua hal yang tidak sama.

Skema Pengguguran Polisindeton

Polisindeton adalah suatu gaya yang merupakan kebalikan dari asindeton. Beberapa kata, frasa,

atau klausa yang berturutan dihubungkan satu sama lain dengan kata hubung ( Keraf, 1984).

Menurut Corbett & Connors (1999), strategi polisindeton ini digunakan untuk melambatkan

irama prosa dalam perenggan dan seterusnya menghasilkan kesan penegasan yang jitu. Petikan

rencana yang memaparkan penggunaan skema pengguguran polisindeton ini dapat diperhatikan

di bawah:

Jadi tidak hairanlah jika ada orang yang solat tetapi masih hasad, orang yang berpuasa tetapi

terus mengumpat, mengeluarkan zakat tetapi terlibat dengan rasuah, haji atau hajah yang masih

pemarah, sombong dan bakhil sekalipun telah berkali- kali mengerjakan haji dan umrah.

Perkataan dan yang digunakan oleh pemidato tersebut merupakan skema pengguguran

polisindeton. Hal ini kerana, kata hubung dan ini digunakan secara berturutan dan melebihi

jumlah yang lazim.

Majaz Pertautan Disfemisme

Penulis turut menyelitkan unsur disfemisme di dalam karyanya yang ketiga ini. Disfemisme

ialah kata atau ungkapan kasar yang bertujuan menyinggung perasan orang ( Rahman Shaari,

2002). Strategi disfemisme memilih bentuk kata atau ragam bahasa daripada yang lembut kepada

13

Page 14: Penda Hulu An

yang kasar. Sebagai contohnya, teknik disfemisme yang digunakan dalam penulisan rencana ini

dapat diperhatikan di bawah:

Maksudnya, akhlak itu bebas daripada sebarang unsur lakonan, riyak, munafik dan berpura-

pura

Berdasarkan petikan rencana di atas, perkataan munafik itu sebenarnya merupakan unsur

disfemisme yang cuba diselitkan oleh penulis di dalam rencananya. Perkataan tersebut

merupakan ragam bahasa yang kasar kepada perkataan yang lebih lembut ragam bahasanya iaitu,

berpura- pura.

PENDEKATAN DALAM PENULISAN

Retorika Penceritaan

Setelah melakukan penilaian terhadap rencana yang ketiga ini, saya mendapati beliau cuba

mengaplikasikan retorika penceritaan di dalam pendekatan penulisannya. Retorika penceritaan

ialah menyampaikan sesuatu kisah atau peristiwa yang berkaitan dalam satu plot yang logik

(Azhar , 2003). Tujuan penulis adalah untuk menceritakan semula peristiwa- peristiwa yang telah

berlaku menurut suasana kronologi peristiwa- peristiwa itu terjadi. Petikan rencana yang

berkaitan dengan penggunaan retorika penceritaan ini dapat dilihat berdasarkan contoh di bawah:

Ketika seorang lelaki sedang dalam perjalanan, ia berasa sangat dahaga. Lantas dia

masuk ke dalam sebuah telaga yang dalam, lalu meminum air di dalamnya. Setelah ia keluar ,

didapatinya ada seekor anjing ditepi telaga yang sedang menjelirkan lidahnya dan menjilat- jilat

tanah lembab kerana kehausan. Orang itu berkata: “ Anjing ini berasa haus sebagaimana apa

yang aku rasakan sebentar tadi”.

Kemudian dia kembali turun ke dasar telaga semula untuk mengambil air. Dia telah

mengisi kasutnya dengan air lalu membawanya naik dengan mengigit kasut tersebut. Kerana

perbuatannya itu, Allah berterima kasih kepadanya dan mengampunkan dosanya.

Berdasarkan teknik yang digunakan ini, penulis cuba menambahkan pengetahuan pembaca

melalui maklumat yang disampaikan. Apabila penulisan menggunakan retorika penceritaan,

14

Page 15: Penda Hulu An

pembaca dengan sendiri merasakan mereka seolah- olah melihat atau mengalami sendiri

peristiwa atau kejadian yang diceritakan tersebut.

4.0 PERBINCANGAN

Berdasarkan tiga rencana yang dihasilkan oleh pengarang yang sama iaitu Saudara Pahrol

Mohmad Juoi, terdapat beberapa perkara yang dapat dibincangkan. Setelah melakukan

penganalisian dan penilaian secara menyeluruh terhadap ketiga- tiga rencana ini, saya mendapati

penulis menggunakan pelbagai pendekatan dan strategi dalam usaha menarik perhatian pembaca.

Namun begitu, strategi pemerenggana merupakan teknik yang banyak digunakan oleh

penulis dalam mengahasilkan karyanya. Hal ini dapat dilihat, penulis banyak menggunakan

teknik seperti analogi, falsafah dan teknik jawpan- soalan yang merupakan ramuan utama penulis

dalam usaha menghasilkan ketiga- tiga rencana tersebut. Hal ini demikian kerana, penulis mahu

memastikan para pembaca tertarik dengan strategi pemerengganan yang digunakannya. Beliau

juga turut mempelbagaikan strategi pemerengganan rencananya supaya tidak nampak statik dan

hambar. Hal ini demikian kerana, penggunaan strategi pemerengganan yang sama sahaja akan

menyebabkan pembaca menjadi cepat bosan keran mereka sudah biasa dengan strategi

pemerengganan yang digunakan. Sebagai pembaca sudah semestinya mereka mahukan sesuatu

yang tampak lebih segar dan terkini.

Dalam konteks yang lain, gaya bahasa dalam penulisan juga menjadi aspek yang selalu

ditekankan oleh penulis. Penggunaan gaya bahasa yang pelbagai akan menjadikan penulisan

rencana menjadi lebih menarik. Hal ini demikian kerana, gaya bahasa yang menarik mampu

menarik minat para pembaca. Penulis bagi ketiga- tiga rencana ini melenturkan bahasa mengikut

kehendaknya sendiri tetapi selari dengan maksud yang hendak disampaikan. Hal ini menjadikan

rencana tidak kelihatan kaku dan mendatar.

Selain itu, berdasarkan pemerhatian ke atas tiga- tiga rencana ini, saya mendapati penulis

banyak menggunakan retorika penghujahan di samping beberapa teknik retorika yang lain. Hal

ini dapat dilihat apabila dalam setiap penulisan rencananya, beliau banyak menggunakan firman

Allah S.W.T dan juga hadis Rasullullah dalam memberikan hujah terhadap isu yang

dibincangkan. Jelaslah di sini bahawa, penulis amat mementingkan fakta dan bukti yang kukuh

dalam memberikan penghujahan. Al- Quran dan hadis merupakan sumber fakta yang sahih dan

15

Page 16: Penda Hulu An

tidak dapat disangkal lagi kebenarannya oleh orang Islam. Oleh hal yang demikian, pembaca

dapat menerima isu yang dibincangkan dalam setiap rencana dengan baik kerana segala

pengujahan dan contoh yang diberikan oleh penulis adalah sahih dan kukuh kebenarannya.

5.0 KESIMPULAN

Secara keseluruhannya, saya mendapati ketiga- tiga rencana yang dihasilkan oleh Pahrol

Mohamad Juoi ini merupakan rencana yang berinformatif dan dapat memberikan nilai dan

pengajaran yang baik kepada pembaca. Rencana yang ditulis oleh beliau juga sentiasa mengajak

manusia ke arah kebaikan. Hal ini mungkin juga disebabkan oleh latar belakang beliau yang

merupakan seorang motivator kepada masyarakat sedikit sebanyak mempengaruhi bentuk

penulisannya.

Selain itu, perkara yang jelas ketara di dalam ketiga- tiga rencana ini ialah penulis cuba

memainkan emosi pembaca dengan memberikan banyak persoalan dan jawapan yang mana

teknik ini sedikit sebanyak akan mempengaruhi pemikiran pembaca supaya sentiasa berfikir

dengan lebih berkesan. Beliau juga banyak memberikan hujah dalam setiap isu supaya setiap isu

yang diutarakannya mendapat respon positif daripada pembaca. Hal ini demikian kerana, setia

penghujahan yang dilakukan menggunakan fakta yang kukuh dan bersandarkan kepada fakta al-

Quran dan hadis. Maka memang tidak dapat dinafikan lagi, rencana yang berbentuk isu ini

memerlukan banyak penghujahan untuk meyakinkan pembaca dengan kandungan idea yang cuba

disampaikan.

Akhir sekali, sebagai seorang penulis dan bakal penulis kita perlu bijak menyusun idea

yang ingin kita kongsikan bersama pembaca. Kita perlu menggunakan pelbagai teknik dan

pendekatan yang bersesuain dengan apa yang ingin kita sampaikan kepada dalam bentuk

penulisan. Strategi pemerengganan yang mantap, gaya bahasa yang bersahaja dan pendekatan

retorika yang menarik akan menjadi jaminan kepada karya kita untuk diterima oleh pembaca

yang terdiri daripada pelbagai latar belakang.

16