nur zayyani binti mohd noor-pencemaran udara

Upload: pismpsainsjan10

Post on 14-Apr-2018

251 views

Category:

Documents


0 download

TRANSCRIPT

  • 7/29/2019 Nur Zayyani Binti Mohd Noor-pencemaran Udara

    1/14

    PENCEMARAN UDARA

    Oleh : Nur Zayyani Binti Mohd Noor

    Mutakhir ini, negara kita sering dilanda jerebu berpanjangan dan yang terkini

    yang melanda negara kita adalah pada bulan Jun-Julai 2013 yang lalu. Ekorandaripada jerebu teruk yang melanda negara kita, banyak sekolah dan premis-premis

    kerajaan mahupun swasta telah mengambil langkah untuk menutup sementara dan

    menghentikan perkhidmatan mereka akibat daripada pencemaran udara yang begitu

    teruk. Jerebu ini bukan sahaja mengakibatkan kerugian berbilion ringgit kepada

    ekonomi negara terutamanya dari sektor pengangkutan, pelancongan dan juga

    pertanian. Kesihatan manusia juga turut terjejas dan pergerakan manusia untuk

    menjalani kegiatan harian menjadi terhad.

    Pencemaran udara juga memberi kesan negatif terhadap suhu setempat

    terutamanya di kawasan bandar kini tidak lagi berada di tahap normal akibatkandungan pelbagai jenis karbon di udara. Keadaan ini menyebabkan kejadian

    jerebu yang teruk sering melanda kawasan bandar. Jerebu yang dahsyat

    menyebabkan pihak kerajaan terpaksa mengisytiharkan darurat dengan menutup

    beberapa sekolah dan orang ramai terpaksa mematuhi perintah berkurung kerana

    jarak penglihatan kurang 100 meter dan masalah kesihatan. Sektor ekonomi turut

    terkesan dengan terpaksa menutup premis perniagaan, penurunan sektor

    pelancongan dan penangguhan penerbangan serta pembenihan awan yang menelan

    belanja kira-kira RM 50,000 untuk setiap kali pembenihan dijalankan.

    Jerebu di Muar, Johor

    Ramai orang kini semakin sedar tentang kemerosotan alam sekitar. Media

    massa sering menguar-uarkan isu kemerosotan alam sekitar alam sekitar, dan tidak

    kurang juga adanya orang perseorangan menyuarakan tentang keadaan alam

    sekitar itu dalam media tersebut. Sememangnya tidak dapat dinafikan lagi,

    pembangunan amat penting dalam kemajuan sesebuah negara. Namun apabila

  • 7/29/2019 Nur Zayyani Binti Mohd Noor-pencemaran Udara

    2/14

    pembangunan yang dilaksanakan tidak mengambil kira ataupun tidak diseimbangkan

    dengan kemampuan alam sekitar sudah semestinya ia akan menyebabkan konsep

    pembangunan berterusan tidak dapat direalisasikan. Rentetan itu, timbullah pelbagai

    isu dan masalah berkaitan kualiti alam sekitar yang semakin merosot dan diburukkan

    lagi dengan pelbagai kelemahan dan kekangan dalam menangani isu dan masalah

    tersebut. Pelbagai usaha untuk menangani isu-isu alam sekitar telah dilakukan sama

    ada oleh kerajaan, pihak swasta dan masyarakat sendiri melalui cara perundangan

    dan bukan perundangan namun hasilnya masih lagi tidak memuaskan. Keadaan ini

    disebabkan oleh pelbagai kelemahan dan kekangan dalam melaksanakan langkah-

    langkah tersebut. Masalah seperti ini perlu dikaji secara mendalam sehingga ke akar

    umbi untuk memastikan penyelesaian terbaik dapat dilakukan.

    1.1 Sejarah Pencemaran Udara

    Jerebu bermula di Asia Tenggara pada Jun - Oktober 1997 yang merupakan

    pencemaran udara terburuk dalam sejarah pencemaran udara. Ini berpunca

    daripada pembakaran hutan secara besar-besaran di Kalimantan dan Sumatera,

    Indonesia. Pencemaran udara ini menyebabkan negara-negara berhampiran seperti

    Malaysia, Singapura, Brunei, sebahagian Thailand dan Filipina turut terjejas. Jerebu

    merupakan salah satu pencemaran udara yang berlaku kesan daripada aktiviti

    pertanian yang dilakukan oleh manusia. Asap yang terbebas ke udara yang

    mengandungi debu, habuk dan partikel-partikel kimia yang kecil mengakibatkan

    kualiti udara di negara kita tercemar dengan teruk. Bahan-bahan yang terkandung

    dalam asap ini bukan sahaja mengganggu penglihatan, bahkan membiaskan cahaya

    matahari yang menyebabkan suhu di permukaan bumi semakin meningkat. Debudan habuk yang banyak juga menyukarkan pernafasan manusia dan menyebabkan

    kesan yang buruk terutamanya kepada pesakit asma. Rentetan daripada kejadian

    ini, negara telah mengisytiharkan darurat di beberapa negeri yang terjejas teruk

    terutamanya di negeri Johor, Melaka dan Selangor untuk menutup premis-premis,

    sekolah dan menghentikan sebaran kegiatan luar dengan segera. Keadaan ini

    berlarutan berminggu-minggu lamanya yang sekali gus memberi kesan negatif

    kepada penduduk di negara kita.

    Jerebu di ibu negara, Kuala Lumpur

  • 7/29/2019 Nur Zayyani Binti Mohd Noor-pencemaran Udara

    3/14

    Pencemaran udara secara amnya merujuk kepada kehadiran satu atau lebih

    bahan pencemar seperti gas-gas, habuk, bahan berbau, zarah, debu dan

    sebagainya di dalam ruang atmosfera yang mana ia boleh mengubah kuantiti, kualiti

    dan sifat atmosfera tersebut dan akhirnya memberi kesan negatif sama ada kepada

    manusia, tumbuhan, binatang serta persekitaran fizikal sesuatu kawasan. Jerebu

    ditakrifkan sebagai partikel-partikel yang terampai di ruang atmosfera dalam

    kepekatan yang tinggi. Partikel terampai ini terbentuk di dalam keadaan cuaca yang

    kering dan udaranya yang stabil yang menghasilkan satu lapisan kabus yang

    menyeliputi ruang atmosfera di sesuatu kawasan. Partikel-partikel ini boleh menyerak

    dan menyerap cahaya matahari lantas menyebabkan keadaan sekelilingnya menjadi

    kabur dan kurang jelas.

    Bahan-bahan pencemaran udara boleh dibahagikan kepada dua iaitu bahan-

    bahan pencemar peringkat primer dan bahan-bahan pencemar peringkat sekunder.

    Bahan- bahan pencemar peringkat primer ialah bahan-bahan yang terdiri daripadabahan-bahan yang dikeluarkan secara terus menerus oleh sumber-sumber yang

    boleh dikesan. Contoh bagi pencemaran udara primer ini ialah pencemaran udara

    yang dilepaskan melalui ekzos kenderaan, kawasan industri dan penggunaan dapur

    arang atau kayu. Manakala, bahan- bahan pencemar peringkat sekunder ialah

    bahan-bahan yang dikeluarkan hasil daripada interaksi di antara dua ataupun lebih

    bahan-bahan pencemar peringkat pertama ataupun hasil daripada reaksi dengan

    komponen-komponen atmosfera sama ada diikuti atau tidak oleh kesan fotokimia.

    Sebagai contoh, sulfur dioksida memerlukan gas seperti karbon monoksida dan

    sulfur monoksida (pencemar primer) untuk membentuk gas-gas lain. Sebagai contoh,

    gabungan sulfur dioksida, sulfur monoksida dan wap air akan menghasilkan asid

    sulfurik. Tindak balas antara pencemar primer dengan gas-gas terampai di atmosfera

    akan menghasilkan peroksid asetil nitrat (PAN).

    1.2 Pencemaran udara dari aspek agama

    Dari sudut pandangan agama, alam adalah ciptaan Tuhan yang merupakan

    objek yang mengandungi nilai batin atau metafizik tertinggi bagi manusia yang ingin

    mengenali dan mendekati Tuhan. Sebab itulah alam perlu diamati secara etika dan

    spiritual bagi masyarakat beragama (Akhtaruddin Ahmad 1997: 7-8). Menurut ulama,

    menjaga alam sekitar ini adalah fardu kifayah. Namun, bagi mereka yang

    diamanahkan untuk bekerja dalam pengurusan alam sekitar, tugas tersebut adalah

    fardu ain. Allah telah memberi amaran kepada golongan yang suka membuat

    kerosakan di muka bumi dan ini termasuk perosak alam sekitar sebagaimana firman-

    Nya, Dan janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi sesudah Allah menyediakan

    kebaikan padanya. (Al-A'raaf: 56). Malah ajaran Islam menuntut umatnya

    memelihara alam sekitar dan bukannya melakukan kemusnahan.

    Dalam Islam, pembicaraan mengenai alam bukanlah sesuatu yang remeh.

    Jika merujuk kepada kandungan al-Quran sendiri, didapati isu alam telah dijadikanasas untuk mengenali dan mendekati Tuhan. Dalam masa yang sama, al-Quran juga

  • 7/29/2019 Nur Zayyani Binti Mohd Noor-pencemaran Udara

    4/14

    menjelaskan telah banyak kerosakan alam yang sebenarnya adalah berpunca

    daripada perbuatan manusia. Ini boleh dilihat dalam surah al-Rum (30:41) yang

    bermaksud:

    Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan

    sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; kerana Allah hendakmerasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan buruk mereka, supaya

    mereka kembali (insaf dan bertaubat).

    Setiap sumber alam yang digunakan perlulah mengambil kira kepentingan dari

    sudut zahir dan batin. Kita diberi peluang menghirup udara bersih tanpa

    mengeluarkan sebarang wang untuk udara yang kita sedut setiap hari. Tetapi, sejauh

    manakah kita mensyukuri nikmat yang diberikan oleh Allah S.W.T ini?. Hakikatnya,

    alam yang luas terbentang ini dijadikan oleh Allah S.W.T untuk kita diami dan nikmati

    dengan penuh rasa syukur sambil mengerjakan ibadat kepada-Nya. Alam ini

    membuktikan kekuasaan dan keagungan Allah S.W.T kepada kita hambanya.

    Agama Islam menuntut umatnya agar sentiasa memastikan sumber udara dipelihara

    dengan baik termasuklah tidak mencemari nya, malah Allah s.w.t mengehendaki

    umat Islam sentiasa berada dalam keadaan bersih kerana kebersihan merupakan

    sebahagian daripada iman. Namun, terdapat golongan yang ingkar dengan perintah

    ini. Mereka sewenang-wenangnya meneroka alam, melakukan kegiatan-kegiatan

    yang menimbulkan pencemaran udara sehingga menyebabkan udara tidak lagi sihat

    untuk disedut oleh manusia. Ketamakan manusia yang rakus sehingga hilang

    pertimbangan diri menyebabkan seluruh alam mendapat kesannya. Keadaan

    sebegini terjadi oleh sikap manusia yang tidak memahami alam dari sudut agamasecara mendalam bahawa alam adalah milik dan ciptaan Tuhan yang dianugerahkan

    dalam keadaan baik dan perlu dipulangkan kepada-Nya dalam keadaan yang baik

    juga.

    1.3 Pencemaran udara dari aspek nilai

    Dari perspektif nilai, dalam usaha membendung pencemaran udara,

    ditekankan kepada manusia untuk sentiasa peka terhadap isu-isu alam sekitar

    terutamanya pencemaran udara yang berlaku di sekeliling kita. Kepekaan manusia

    adalah sangat penting dalam menjaga bumi daripada pencemaran udara yang kianberleluasa. Kepekaan ini boleh dilakukan dengan mengambil tahu keadaan sekeliling

    contohnya pembakaran sampah di kawasan terbuka yang berhampiran dengan

    kediaman kita sehingga menyebabkan asap terlalu tebal dan menyebabkan keadaan

    menjadi tidak selesa.

    Di samping itu, sikap menyayangi dan menghargai alam sekitar amat

    diperlukan dalam memastikan keharmonian manusia dengan alam sekitar

    terpelihara. Pencemaran udara perlu dikawal sebaiknya dalam memastikan kualiti

    udara berada dalam keadaan yang bersih. Manusia perlu mempunyai kesedaran

    kendiri akan pencemaran udara ini sebelum keadaan menjadi semakin teruk pada

    masa hadapan. Jangan pula menunggu sehingga berlakunya krisis pencemaran

  • 7/29/2019 Nur Zayyani Binti Mohd Noor-pencemaran Udara

    5/14

    udara yang teruk seperti jerebu, baharullah ada kesedaran terhadap pencemaran

    udara yang berlaku. Oleh itu, pelbagai usaha perlu dilakukan dalam memastikan

    kemapanan alam sekitar perlu ditingkatkan bagi menjamin kelestarian alam kita.

    1.4 Kepentingan untuk mengatasi masalah pencemaran udara

    Menjaga kualiti udara amatlah perlu dalam memenuhi keperluan manusia

    yang memerlukan udara yang bersih, sihat dan segar. Menurut Dr. Zaini Ujang,

    sebagai manusia kita mempunyai tanggungjawab kepada alam sekitar. Menjadi fitrah

    manusia sukakan sesuatu kebersihan dan keindahan. Maka, seharusnya menjadi

    tanggungjawab manusia untuk memastikan kebersihan dan keindahan alam sekitar

    terpelihara terutamanya akan kebersihan udara kita. Bagaimanapun, kesedaran

    untuk menjaga bumi dari pencemaran udara ini hanya wujud selepas sesuatu tragedi

    yang buruk berlaku kepada kita contohnya jerebu yang begitu teruk sehingga indekspencemaran udara melebihi 500 di sesebuah tempat contohnya di Muar, Johor.

    Kesedaran ini seharusnya wujud sebelum berlakunya sesuatu tragedi kerana

    mencegah lebih baik daripada merawat.

    Dalam era globalisasi ini, manusia bertindak mengeksploitasi alam dengan

    rakus dan berlebihan tanpa mengambil kira keseimbangan ekosistem yang ada.

    Dengan keupayaan manusia dan kecanggihan teknologi yang ada menyebabkan

    manusia hanya memikirkan keuntungan semata-mata sehingga hilang pertimbangan

    diri. Berlakunya pembalakan hutan dan pembakaran hutan besar-besar yang

    akhirnya mengakibatkan tragedi tanah runtuh, banjir kilat, pencemaran udara dan

    pemanasan suhu bumi yang berpunca daripada sikap tamak haloba manusia. Hutan

    dan tumbuh-tumbuhan yang selama ini menjadi agen pembersihan udara utama

    kepada manusia menjadi semakin berkurangan yang akhirnya tidak dapat

    membebaskan lagi udara iaitu gas oksigen untuk kegunaan manusia. Tumbuh-

    tumbuhan amat diperlukan dalam mengurangkan kepanasan suhu setempat dan

    global. Melalui proses fotosintesis yang dilakukan oleh tumbuh-tumbuhan, gas

    karbon dioksida yang terbebas daripada pernafasan manusia, asap-asap dari ekzos

    kenderaan, kilang-kilang dan pembakaran akan diserap oleh tumbuh-tumbuhan dan

    tumbuh-tumbuhan tersebut akan membebaskan gas oksigen yang diperlukan olehmanusia untuk bernafas. Kajian yang telah dilakukan di beberapa universiti tempatan

    mendapati bahawa suhu di kawasan di Lembah Klang yang dikelilingi banyak pokok

    adalah 5 darjah Celsius lebih rendah berbanding suhu di sekitarnya.

    Di kebanyakan negara maju seperti Eropah dan Jepun, telah menggunakan

    kenderaan mereka mengikut keperluan seiring dengan kelestarian alam. Ini adalah

    kerana kesedaran penduduknya terhadap pencemaran alam sekitar melalui asap

    kenderaan dan pelepasan gas karbon dioksida menerusi proses pembakaran

    karbon. Dan bagi mereka yang sangat-sangat komited terhadap pelestarian alam

    sekitar, mereka hanya menggunakan kereta jika perlu sahaja. malah, mereka lebih

    senang berjalan kaki atau menggunakan kenderaan awam ke tempat kerja. Kita

  • 7/29/2019 Nur Zayyani Binti Mohd Noor-pencemaran Udara

    6/14

    masih lagi bertuah kerana masih lagi boleh menyedut udara sebanyak nya tanpa

    dikenakan bayaran walaupun sesen. Akan tetapi, bagaimana sekiranya udara yang

    disedut setiap hari tidak lagi segar dan mengandungi bahan kimia yang berbahaya

    kepada kita. Bahan-bahan pencemaran seperti karbon monoksida, sulfur oksida,

    plumbum, nitrogen oksida dan hidrokarbon terdapat dalam udara sangat berbahaya

    dan boleh memudaratkan tubuh kita.

    Pembangunan bandar yang pesat juga mendorong kepada betapa pentingnya

    keperluan dalam memastikan pencemaran udara dikurangkan. Peningkatan

    penduduk di bandar yang rata-ratanya mempunyai kereta dan peralatan rumah yang

    moden seperti peti sejuk dan penyaman udara memberi kesan kepada pencemaran

    udara dan seterusnya kesan rumah hijau . Keadaan ini seterusnya menyumbang

    kepada peningkatan bahan pencemar di udara seperti plumbum dan CFC ( cloro

    floro carbon ) yang secara langsung menipiskan lapisan ozon. Tipisnya lapisan ozon

    akan menyebabkan suhu bumi semakin panas dan peningkatan pelbagai penyakitbarah kerana pancaran sinar ultra ungu tidak dapat di bias kan oleh lapisan ozon.

    1.5 Punca pencemaran udara berlaku

    Punca terjadinya jerebu yang paling teruk dalam sejarah Malaysia ialah pada

    tahun 1997 yang disebabkan oleh pembakaran secara terbuka untuk tujuan

    pertanian oleh negara jiran. Negeri Sabah ialah negeri yang paling terjejas teruk

    akibat daripada fenomena ini. Pembakaran secara terbuka dan besar-besar di

    kawasan Kalimantan ternyata membawa padah apabila api sukar dikawal dan

    menjilat sebahagian besar kawasan hutan. Oleh kerana kedudukan Kalimantan yang

    berhampiran dengan negeri Sabah mengakibatkan asap tebal menyelubungi negeri

    ini yang menyebabkan orang ramai menjadi cemas dan keadaan menjadi semakin

    teruk. Malah, negeri Sabah terpaksa menghantar bantuan kepada Kalimantan dan

    Indonesia bagi memadam kebakaran hutan yang terlibat. Kejadian jerebu ini sering

    melanda negara kita hampir saban tahun. Dan yang terkini adalah pada tahun ini

    yang mengakibatkan beberapa kawasan di negeri Johor dan Melaka terjejas dengan

    teruk. Ini berikutan dari pembakaran secara terbuka di Kepulauan Riau dan Sumatra

    yang menyebabkan negara kita dan Singapura mengalami jerebu yang sangat teruk.Pembakaran hutan dan pelepasan habuk akibat daripada pembakaran sisa kayu dan

    sekam padi menjadi punca dominan pencemaran udara ini. Hasil daripada

    pembakaran hutan ini telah menghasilkan gas karbon monoksida iaitu gas yang

    sangat berbahaya dan boleh membawa maut jika dihidu dalam jangka masa yang

    panjang.

  • 7/29/2019 Nur Zayyani Binti Mohd Noor-pencemaran Udara

    7/14

    Pembakaran terbuka

    Pembakaran hutan

    Pembakaran bahan api juga merupakan punca terjadinya pencemaran udara.

    Pembakaran bahan api seperti arang dan minyak telah mengakibatkan pembebasan

    bahan-bahan kimia yang berbahaya yang memudaratkan manusia apabila

    menyedutnya. Bahan api seumpama ini merupakan bahan organik yang mempunyai

    unsur karbon. Maka, pembakaran kurang lengkap akan berlaku yang akan

    menghasilkan karbon monoksida. Arang adalah bahan yang mengandungi sulfur.

    Apabila sulfur terbakar, ia akan berpadu dengan oksigen di udara yang

    menghasilkan gas sulfur dioksida. Gas ini kemudian akan berpadu dengan ion

    hidrogen dalam wap di udara lalu membentuk asid sulfurus. Selain itu, karbon

    dioksida juga berpadu dengan ion hidrogen dan membentuk asid karbonat.

    Timbulnya masalah pencemaran udara dan jerebu ini adalah ekoran daripada

    proses pembangunan bandar yang telah menyebabkan berlakunya pertambahan

    penduduk dan pertambahan kawasan-kawasan perindustrian yang memerlukan

    tenaga kerja yang banyak. Peluang pekerjaan yang lebih meluas di kawasan bandar

    mengakibatkan manusia bertindak untuk berhijrah ke bandar untuk mencari rezeki.

    Pembakaran terbuka di bandar dan pembakaran di tempat sisa pelupusan seperti

    pembakaran sampah-sarap dan sisa makanan menyumbang kepada pencemaran

    udara. Aktiviti masyarakat juga turut menyebabkan pelepasan bahan pencemar.Aktiviti-aktiviti seperti membakar sampah, memasak menggunakan arang dan

  • 7/29/2019 Nur Zayyani Binti Mohd Noor-pencemaran Udara

    8/14

    tingkah laku merokok menjana penambahan bahan pencemar udara. Justeru,

    pertambahan bilangan perindustrian yang terdapat di sesebuah bandar akan

    menghasilkan impak positif bahkan impak negatif terhadap kehidupan masyarakat

    dan persekitaran sekelilingnya.

    Asap rokok

    Pelepasan asap melalui serombong kilang

    Selain itu, pertambahan perindustrian juga merupakan punca utamapembebasan bahan pencemar yang dilepaskan melalui proses pembakaran bahan

    api. Asap yang dibebaskan melalui cerobong-cerobong kilang yang tidak terkawal

    menyebabkan pembebasan bahan kimia ke udara berlaku. Sekiranya bahan

    pencemar ini tidak dikawal, kehidupan manusia akan terjejas kerana manusia berada

    di dalam keadaan udara yang tercemar akibat seperti pengeluaran asap dari kilang,

    gas beracun, asap dan debu. Keadaan ini akan membahayakan kesihatan manusia

    kerana bahan pencemar tersebut boleh menyebabkan berlakunya komplikasi

    kesihatan seperti sesak nafas di kalangan penyakit asma, gatal hidung dan pedih

    mata. Pembebasan daripada ekzos kenderaan bermotor juga menjadi punca

    pencemaran udara. Peningkatan kenderaan bermotor ekoran daripada peningkatan

  • 7/29/2019 Nur Zayyani Binti Mohd Noor-pencemaran Udara

    9/14

    jumlah penduduk menyebabkan pelepasan gas berkarbon daripada kenderaan

    bermotor ke udara semakin bertambah hari demi hari.

    Asap dari kenderaan bermotor

    1.6 Kesan pencemaran udara

    Kesan paling ketara akibat pencemaran udara ialah terhadap kesihatan

    manusia iaitu kepada sistem pernafasan manusia. Dianggarkan hampir 50 peratus

    partikel terampai yang bersaiz 0.01 hingga 0.1 mikrometer boleh menembusi sistem

    penapisan pernafasan dan diendapkan di dalam paru-paru. Jika perkara ini berlaku,

    maka kerosakan besar akan berlaki ke atas organ pernafasan terutamanya pesakit

    yang berisiko tinggi seperti penghidap penyakit asma, sakit kerongkong dan

    penyakit-penyakit yang mempunyai kaitan dengan jantung. Bahan- bahan tercemar

    dalam udara seperti Karbon monoksida berupaya melemahkan pengecutan jantung

    serta merendahkan jumlah oksigen yang dibawa oleh darah. Gas ini juga

    mengurangkan keupayaan manusia untuk beriadah dan berbahaya kepada

    penghidap penyakit jantung yang kronik. Bahan pencemar seperti gas sulfur dioksida

    juga memberi kesan kepada kesihatan manusia. Kehadiran gas ini memberi kesan

    yang lebih teruk kepada penyakit yang sedia ada terutamanya bronkitis. Selain

    bertindak mengganggu saluran pernafasan penghidap penyakit asma dan batuk.

    Bahan pencemar seterusnya yang memberi impak negatif kepada kesihatan

    manusia ialah nitrogen dioksida. Gas ini berupaya merangsang hidung dan tekak

    terutamanya yang menghidap asma. Ia juga meningkatkan jangkitan penyakit melalui

    udara. Bahan pencemar udara yang biasanya dilepaskan dari cerobong asap kilang

    dan ekzos kenderaan iaitu plumbum mampu memberikan kesan negatif melalui

    kerosakan sistem saraf dan juga otak. Partikel terampai di dalam udara juga

    memberi kesan kurang baik terhadap penyakit paru-paru dan jantung. Partikel

    terampai ini juga bertindak mengubah ketahanan badan melawan bahan yang

    disedut serta merosakkan tisu paru-paru terutamanya yang berpenyakit jantung dan

    paru-paru yang kronik.

  • 7/29/2019 Nur Zayyani Binti Mohd Noor-pencemaran Udara

    10/14

    Kesan pencemaran udara juga dapat dilihat dari segi mengurangkan jarak

    penglihatan manusia. Keadaan pencemaran udara yang teruk menjejaskan

    penglihatan manusia dan ini menyebabkan manusia tidak dapat bergerak dengan

    bebas. Selain itu, keadaan udara yang tercemar amat berbahaya kepada pemandu

    kenderaan terutamanya pada waktu malam oleh sebab keadaan berjerebu dan jalan

    yang sukar dilihat dalam keadaan yang gelap. Penglihatan menjadi terjejas

    disebabkan oleh komponen-komponen yang ada di dalam jerebu berupaya

    menyerap dan menyerak cahaya matahari yang dikenali sebagai serakan mie. Jarak

    penglihatan bergantung kepada kebolehan mata manusia untuk melihat objek atau

    mengenalinya kerana objek akan berada dalam keadaan yang berbeza pada latar

    belakang yang berbeza. Ia juga bergantung kepada pemindahan haba dari

    atmosfera. Apabila sesuatu objek tidak dapat dibezakan dengan latar belakangnya,

    maka pandangan menjadi kabur. Keupayaan mata untuk melihat semakin

    berkurangan akibat halangan dari penyerapan dan penyerakan partikel-partikel

    terampai di dalam udara. Pengurangan jarak penglihatan akan membawa masalahbesar kepada aktiviti ekonomi dan harian penduduk.

    Dari segi sektor pertanian, pencemaran udara juga memberi kesan buruk

    kepada tanaman. Tumbuh-tumbuhan memerlukan udara bagi proses fotosintesis dan

    tumbesaran berjalan. Namun, sekiranya udara persekitaran mengandungi bahan-

    bahan pencemar, ini akan mengakibatkan kekurangan karbon dioksida untuk proses

    penghasilan klorofil. Lanjutan daripada keadaan ini akan mengakibatkan tumbuhan

    menguning dan mati. Tisu-tisu tumbuhan seterusnya akan mengalami masalah dan

    mereput akibat tindak balas bahan pencemar yang terlekat pada bahagian pokok

    dan juga tumbuhan. Tumbuh-tumbuhan akan terdedah kepada pelbagai penyakit

    dan hasil keluarannya turut terancam.

    Pencemaran udara juga memberi kesan ke atas atmosfera kita. Bahan-bahan

    pencemar seperti CFC (klorofluorokarbon) yang terbebas dari penggunaan racun

    perosak dan penghawa dingin telah mengakibatkan lapisan ozon kian nipis dan

    bocor. Ini kerana bahan-bahan tersebut bertindak balas dengan lapisan ozon

    sehingga menguraikan oksigen yang membentuknya. Ini mengakibatkan kandungan

    karbon dioksida dalam udara meningkat serta memberi kesan rumah hijau

    seterusnya meningkatkan suhu bumi. Penipisan lapisan ozon juga mengakibatkansinar ultra-ungu menembusi atmosfera tanpa sebarang pengadang yang

    mengancam kesihatan manusia. Kesan daripada pemanasan suhu bumi

    menyebabkan pencairan ais berlaku di kutub bumi mendorong kepada peningkatan

    paras air dunia dan mengancam keseimbangan ekosistem.

    Pencemaran udara juga memberi kesan kepada iklim global dan setempat.

    Bahan pencemar yang terdapat di udara seperti sulfur dioksida dan nitrogen dioksida

    akan larut dengan wap air dan akan turun sebagai hujan asid. Hujan asid ini amat

    berbahaya kerana ia akan mengalir dan meresap ke dalam tanah dan memusnahkan

    galian dalam tanah sehingga tanah menjadi tidak subur. Hujan asid ini jugamenyebabkan kemusnahan hutan dan memusnahkan fungsi daun. Selain daripada

  • 7/29/2019 Nur Zayyani Binti Mohd Noor-pencemaran Udara

    11/14

    memusnahkan tanaman dan pertanian, hujan asid juga memberi kesan kepada

    kesihatan manusia tidak kira golongan muda mahupun tua. Fenomena hujan asid ini

    memberi impak negatif seperti batuk, alergi dan selesema. Air dan hujan asid yang

    bercampur dengan plumbum, kadmium dan aluminium berbahaya kepada manusia

    apabila diminum di mana boleh menyebabkan cirit birit di kalangan kanak-kanak,

    gangguan saraf dan membahayakan otak. Hujan asid ini juga memberikan kesan

    kepada ekosistem akuatik. Tumbuhan dan hidupan plankton akan musnah dan akan

    mengganggu sumber makanan dan bekalan oksigen di dalam air. Bangunan dan

    peralatan juga turut rosak teruk akibat hakisan dan pengaratan yang berlaku

    daripada pemendapan asid.

    1.7 Peranan kerajaan dan masyarakat

    Setelah diteliti kesemua kesan pencemaran udara, kerajaan seharusnyamengambil langkah dengan lebih giat melalui penguatkuasaan undang-undang yang

    lebih ketat terhadap individu mahupun syarikat yang melakukan pembakaran awam

    terutamanya di kawasan ladang. Sebagai contoh, pihak kerajaan Indonesia telah

    bertegas untuk mengenakan tindakan undang-undang dan denda kepada syarikat

    dan orang perseorangan yang menjalankan pembersihan ladang menggunakan

    kaedah tebang dan bakar secara tidak sah. Selain itu, kerajaan haruslah mewajibkan

    pembinaan serombong asap sehingga 30 meter dan meletak penapis asap. Dengan

    ini, asap yang terbebas dirawat terlebih dahulu. Bagi mana-mana pihak pengilang

    yang ingkar dengan arahan ini, haruslah dikenakan tindakan undang-undang sepertikompaun yang tinggi dan hukuman penjara. Pembebasan asap kenderaan bermotor

    seperti kenderaan awam dan jentera berat seperti bas, lori dan teksi menggunakan

    minyak diesel perlulah dipantau. Ini kerana penggunaan minyak diesel ini

    menyebabkan asap yang terhasil berwarna hitam dan mencemarkan udara serta

    baunya yang menyakitkan hidung. Untuk mengatasi masalah ini, kerajaan

    seharusnya menggalakkan pengguna menggunakan petrol tanpa plumbum dan

    memasang alat catalytic converter pada enjin kenderaan dalam usaha untuk

    mengurangkan pengeluaran asap. Di bandar raya Kuala Lumpur, penggunaan

    sistem pengangkutan mesra alam iaitu kereta api elektrik contohnya seperti LRT,

    ERL, Komuter dan Monorel telah berjaya mengurangkan pencemaran udara.

    Selain itu, pembakaran bahan api fosil di stesen jana kuasa elektrik terma

    seperti di stesen jana kuasa terma di Paka dan Bintulu haruslah dipantau. Bahan api

    fosil yang digunakan terdiri dari petroleum, gas asli dan arang batu dibakar

    menyebabkan asap hitam akan dilepaskan. Oleh itu, pihak kerajaan haruslah

    menggalakkan penggunaan tenaga alternatif yang lebih mesra alam seperti kuasa

    hidro elektrik, biomas dan tenaga suria dalam usaha mengurangkan pencemaran

    udara selain membantu mengurangkan penggunaan tenaga yang tidak boleh

    diperbaharui. Penggunaan tenaga solar haruslah dipertingkatkan kerana tenaga ini

  • 7/29/2019 Nur Zayyani Binti Mohd Noor-pencemaran Udara

    12/14

    merupakan tenaga yang diperakui tidak mencemarkan alam bahkan paling mudah

    didapati di negara kita.

    Pembakaran jerami di kawasan pertanian padi sawah juga harus diberikan

    perhatian oleh pihak berkuasa. Ini kerana kebanyakan petani dan pesawah

    mengambil langkah mudah dengan membakar jerami padi bagi menjimatkan kos.Akibatnya, pencemaran udara berlaku di kawasan tersebut yang menambahkan lagi

    indeks pencemaran udara (IPU) di negara kita. Maka, pihak kerajaan seharusnya

    menerangkan dan mendedahkan kepada para petani akan kegunaan jerami padi

    yang boleh dijadikan sumber tenaga biomas yang boleh digunakan sebagai satu

    sumber tenaga seperti yang digunakan oleh Kilang Beras di Alor Setar. Pembakaran

    ladang kelapa sawit yang dilakukan oleh pemilik ladang-ladang di Sumatera dan

    Riau baru-baru ini bukan sahaja meningkatkan pencemaran udara malah

    menyebabkan jerebu yang begitu teruk di negara kita. Seharusnya pihak berwajib

    perlu memperkenalkan kegunaan hampas kelapa sawit yang boleh di kitar semulamenjadi baja kompos dan juga makanan kepada ternakan. Dengan ini pencemaran

    udara dapat dikurangkan dan jerebu dapat dielakkan.

    Pembakaran terbuka di kawasan perumahan juga perlu dipantau oleh pihak

    berkuasa. Walaupun kegiatan ini tidak melibatkan kawasan yang luas, tetapi telah

    menyebabkan pencemaran udara di kawasan perumahan berkenaan. Untuk

    mengatasi masalah ini, pihak Berkuasa Tempatan (PBT) perlu menetapkan hari-hari

    tertentu untuk mengangkut bahan-bahan buangan pepejal di kawasan perumahan.

    Dan diharap melalui usaha ini dapat mengurangkan pembakaran terbuka yang

    dilakukan oleh penduduk perumahan. Selain itu, kerajaan juga boleh melakukanpembenihan awan bagi memastikan hujan turun kerana hujan merupakan pembersih

    udara semula jadi yang terbaik. Pihak kerajaan seperti Jabatan Alam Sekitar dan

    juga pihak swasta perlu bekerjasama dalam usaha ini agar pencemaran udara dapat

    dikurangkan.

    Di samping itu kesedaran mengenai betapa pentingnya penjagaan udara

    daripada pencemaran boleh dilakukan melalui program pendidikan iaitu sama ada

    secara formal atau tidak formal. Program pendidikan ini juga boleh dijalankan oleh

    Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan lain-lain agensi kerajaan serta badan bukan

    kerajaan (NGO) yang diadakan kepada segenap masyarakat tidak kira yang muda

    mahupun yang tua. Aktiviti ini dapat mempertingkatkan kesedaran orang ramai

    terhadap alam sekitar serta tanggungjawab bagi memperbaiki dan menjaganya.

    Aktiviti ini dianggap penting kerana ia merupakan satu strategi pencegahan dan

    pengurusan alam sekitar. Selain itu juga melalui pendidikan ini kita dapat

    memperluaskan tahap kesedaran orang ramai terhadap isu alam sekitar dan

    implikasinya terhadap sosial dan ekonomi negara.

    Orang awam juga haruslah memainkan peranan dalam dan menjaga alam

    sekitar daripada pencemaran udara. Antara tindakan bijak yang boleh dilakukan ialahdengan menggunakan kenderaan awam atau berkongsi kereta dalam mengurangkan

  • 7/29/2019 Nur Zayyani Binti Mohd Noor-pencemaran Udara

    13/14

    pembebasan asap kenderaan ke udara. Pemilik kenderaan juga perlulah

    memastikan kenderaan mereka tidak melepaskan asap hitam dengan mengambil

    langkah-langkah yang ideal seperti menghantar kereta ke bengkel untuk

    pemeriksaan dan penyelenggaraan terutama bagi karburetor dan pam minyak

    supaya berada dalam keadaan baik. Orang awam juga boleh membuat aduan

    kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Pihak

    Berkuasa Tempatan yang berdekatan jika terdapat pembakaran sisa pepejal serta

    kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengenai sebarang pembakaran terbuka yang

    dilakukan oleh industri dan ladang-ladang.

    1.8 Cadangan dan pandangan dalam penyelesaian isu pencemaran udara.

    Untuk mengatasi isu pencemaran udara ini, semua pihak di rantau Asia

    Tenggara ini perlu menyedari betapa pentingnya kerjasama alam sekitar merentasisempadan dan tindakan proaktif dalam menangani dan mencegah jerebu. Pihak

    kerajaan Indonesia seharusnya mengambil langkah drastik dalam mencegah

    pencemaran ini daripada terus berleluasa. Satu tindakan segera perlu dilakukan.Dengan adanya Perjanjian Asean Mengenai Pencemaran Jerebu Merentasi

    Sempadan diharap dapat menangani masalah jerebu yang kerap berlaku. Ini kerana

    isu pencemaran udara dan jerebu bukan lagi isu sensitif sesebuah negara. Ia turut

    memberi kemudaratan kepada kesihatan dan sosio-ekonomi negara tetangga.

    Selain itu, media massa dengan kerjasama daripada kerajaan perlu

    memainkan peranan dalam menghebahkan kepada orang awam betapa pentingnya

    menjaga kualiti udara untuk memastikan aset berharga ini dapat diwarisi oleh

    generasi akan datang.Kempen-kempen seperti kempen mencintai alam sekitar yangdisiarkan menerusi televisyen dan radio hendaklah dihayati supaya alam sekitar

    terpelihara. Rasa tanggungjawab perlu disemai dalam diri setiap individu agar alam

    sekitar sentiasa bersih dan selamat untuk didiami.

    Jalinan politik dan moral daripada negara-negara membangun juga amat diharapkan

    untuk berkongsi kepakaran teknologi tinggi yang mereka punyai di samping bantuan

    kewangan disalurkan kepada negara yang kurang berupaya dalam meningkatkanmutu pertanian dan pembalakan tanpa menjejaskan kualiti udara alam sekitar. Di

    samping itu, penguatkuasaan undang-undang larangan pembakaran terbuka di

    negara yang terlibat perlu dilakukan secara bersungguh-sungguh. Pengusaha tanah

    pertanian dan pembalakan perlu dipantau agar mereka tidak rakus mengaut untung

    tanpa mengambil kira kesan pencemaran yang telah dilakukan.

    Kesimpulannya, kita seharusnya mempunyai kesedaran yang tinggi akan

    kepentingan menjaga alam dari dicemari udara yang tidak sihat dan segar untuk

    dihirup setiap hari. Setiap individu haruslah peka dan memainkan peranan masing-

    masing dalam memastikan pencemaran udara dan jerebu tidak lagi berlaku setiaptahun di negara kita.

  • 7/29/2019 Nur Zayyani Binti Mohd Noor-pencemaran Udara

    14/14

    Sumber rujukan :

    Arkib. (2006).Alam Sekitar Perlu Dipupuk Dengan Kesedaran Agama. Dipetik

    Daripadahttp://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0620&sec=bicara_agama&pg=ba_02.htm

    Pada 1 September 2013

    Abdul Rahman Mahmud. (2009). Kenderaan Bermotor Menjejaskan Kualiti Udara.

    Dewan Kosmik.

    Afiza Abdullah Suhaimi & Mohd Armi Abu Samah.(2012). Pengurusan Pencemaran

    Udara. Dewan Kosmik.

    Berita Harian. (2013).Indonesia akan sahkan perjanjian jerebu rentas sempadan

    menjelang akhir tahun. Dipetik daripadahttp://www.bharian.com.my/articles/Indonesiaakansahkanperjanjianjereburentassempadanmenjelangakhirtahun/Article/. Pada 1 September 2013

    Eyu Ghim Siang (2011). Isu-Isu Alam Sekitar. Dipetik daripada

    http://www.agc.gov.my/index.php?option=com_content&view=article&id=1024:isu-isu-alam-sekitar&catid=71:admin%20ag&lang=bm

    Pada 1 September 2013

    Mohd Yusof Hj. Othman. (2010). Media Dan Isu Alam Sekitar. Jurnal Hadhari 2(2).

    1-7

    Natrah Mustapha. (2002).Jerebu Melanda Lagi!. Dipetik daripada

    http://www.prn.usm.my/old_website/mainsite/bulletin/2002/penawar43.html

    Pada 1 September 2013

    Nurfarhana Che Rasli. (2011). Sistem Atmosfera dan Manusia. Dipetik daripada

    http://geografifizikalstpm.blogspot.com/2011/11/pencemaran-udara-dan-jerebu_19.html

    Pada 1 September 2013

    Rozita Ibrahim. (2002). Literasi Alam Sekitar Menurut Paradigma Agama . Jurnal

    Pengajian Umum .3 .137-148

    Zul`Azmi Yaakob. (2012). Falsafah Alam dalam Konteks Falsafah Ketuhanan

    Menurut Hamka. International Journal of Islamic Thought . 1. 74-86

    http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0620&sec=bicara_agama&pg=ba_02.htmhttp://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0620&sec=bicara_agama&pg=ba_02.htmhttp://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0620&sec=bicara_agama&pg=ba_02.htmhttp://www.bharian.com.my/articles/Indonesiaakansahkanperjanjianjereburentassempadanmenjelangakhirtahun/Article/http://www.bharian.com.my/articles/Indonesiaakansahkanperjanjianjereburentassempadanmenjelangakhirtahun/Article/http://www.bharian.com.my/articles/Indonesiaakansahkanperjanjianjereburentassempadanmenjelangakhirtahun/Article/http://www.agc.gov.my/index.php?option=com_content&view=article&id=1024:isu-isu-alam-sekitar&catid=71:admin%20ag&lang=bmhttp://www.agc.gov.my/index.php?option=com_content&view=article&id=1024:isu-isu-alam-sekitar&catid=71:admin%20ag&lang=bmhttp://www.agc.gov.my/index.php?option=com_content&view=article&id=1024:isu-isu-alam-sekitar&catid=71:admin%20ag&lang=bmhttp://www.prn.usm.my/old_website/mainsite/bulletin/2002/penawar43.htmlhttp://geografifizikalstpm.blogspot.com/2011/11/pencemaran-udara-dan-jerebu_19.htmlhttp://geografifizikalstpm.blogspot.com/2011/11/pencemaran-udara-dan-jerebu_19.htmlhttp://geografifizikalstpm.blogspot.com/2011/11/pencemaran-udara-dan-jerebu_19.htmlhttp://geografifizikalstpm.blogspot.com/2011/11/pencemaran-udara-dan-jerebu_19.htmlhttp://geografifizikalstpm.blogspot.com/2011/11/pencemaran-udara-dan-jerebu_19.htmlhttp://www.prn.usm.my/old_website/mainsite/bulletin/2002/penawar43.htmlhttp://www.agc.gov.my/index.php?option=com_content&view=article&id=1024:isu-isu-alam-sekitar&catid=71:admin%20ag&lang=bmhttp://www.agc.gov.my/index.php?option=com_content&view=article&id=1024:isu-isu-alam-sekitar&catid=71:admin%20ag&lang=bmhttp://www.bharian.com.my/articles/Indonesiaakansahkanperjanjianjereburentassempadanmenjelangakhirtahun/Article/http://www.bharian.com.my/articles/Indonesiaakansahkanperjanjianjereburentassempadanmenjelangakhirtahun/Article/http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0620&sec=bicara_agama&pg=ba_02.htmhttp://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0620&sec=bicara_agama&pg=ba_02.htm