menyambung kasih ilahi, hiv aids ditangani...
TRANSCRIPT
1
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
“MENYAMBUNG KASIH ILAHI, HIV/ AIDS DITANGANI”
(24 DISEMBER 2010 / 18 MUHARRAM 1432H)
Muslimin Yang di Rahmati Allah,
Di kesempatan berada pada hari Jumaat yang mulia ini, saya berpesan kepada diri
saya dan kepada sidang Jumaat sekalian marilah sama-sama kita meningkatkan
ketakwaan kita kepada Allah SWT dengan bersungguh-sungguh melaksanakan segala
perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita
memperolehi keberkatan dan keredhaan serta perlindungan Allah SWT di dunia dan
di akhirat. Mimbar pada hari ini akan menyampaikan khutbah yang bertajuk:
“MENYAMBUNG KASIH ILAHI, HIV/AIDS DITANGANI ”
Muslimin Yang di Rahmati Allah,
AIDS ialah sindrom kurang daya tahan penyakit yang disebabkan oleh virus HIV
melalui pelbagai cara seperti perhubungan seks, penagih dadah yang berkongsi jarum
suntikan dan pemindahan darah. Mereka yang dijangkiti HIV positif ini dikatakan
pesakit AIDS.
2
Menurut laporan dari Kementerian Kesihatan Malaysia sehingga kini pengidap
HIV/AIDS adalah seramai 87,710 orang dan apa yang menyedihkan 7 daripada setiap
10 kes adalah warga Melayu beragama Islam.
Penghidap HIV/AIDS sama halnya dengan pesakit-pesakit yang lain seperti
pesakit jantung, buah pinggang, kencing manis, barah dan lain-lain penyakit kronik
yang mengharapkan bantuan dan simpati orang ramai. Walau bagaimanapun
berdasarkan pemerhatian mimbar masih terdapat di kalangan masyarakat kita yang
menganggap penghidap HIV/AIDS seseorang yang sangat hina dan menjijikan
sehingga kehidupan mereka dipinggirkan. Terdapat laporan penghidap HIV/AIDS
yang beragama Islam ini dipinggirkan dari keluarga mereka dan mencari
perlindungan di pusat-pusat jagaan bukan Islam serta meninggal dunia di situ.
Persoalan besar timbul di sini ialah apakah pandangan jijik ini selari dengan ajaran
Islam?.
Mimbar ingin mengingatkan kepada Jemaah dan umat Islam sekalian bahawa
bersangka buruk dan memandang hina kepada orang yang dalam keadaan sakit sangat
dibenci di dalam Islam. Prasangka buruk terhadap pembawa HIV/AIDS menyebabkan
mereka menyisihkan diri daripada masyarakat dan mencari perlindungan di tempat
yang lain. Seharusnya mereka ini sama sekali tidak boleh dipinggirkan apatah lagi
disisihkan dari masyarakat. kita sepatutnya perlu memberi mereka sokongan, bahkan
sewajarnya perlu diberi perlindungan dan pertolongan. Sabda Rasulullah SAW:
Maksudnya:“Sesiapa yang memberi pertolongan kepada orang yang sedang menderita, Allah akan mengampunkan 73 kesalahannya. Salah satu daripadanya akan diberi kemudahan urusan dalam hidupnya di dunia, manakala 72 lagi akan diberi pada hari akhirat nanti.” (Riwayat al-Bukhari)
3
Muslimin Yang di Rahmati Allah,
Islam adalah agama yang membawa rahmat kepada manusia. Dalam usaha
menunjukkan Islam adalah agama rahmat, maka Islam menyuruh umatnya agar
sentiasa menghormati sesama insan dan menolong mereka yang mengalami musibah.
Prinsip 'menolong dalam hal kebajikan' sangat dituntut oleh Allah SWT menerusi
firman-Nya dalam surah al-Taubah ayat 71:
Maksudnya:" Dan orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat baik, dan melarang daripada berbuat kejahatan; dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan Rasul-Nya.."
Sebagai umat Islam kita hendaklah sentiasa membajai hati kita dengan sifat-
sifat tolong menolong dan berkasih sayang sesama manusia khususnya terhadap umat
Islam. Dengan cara ini akan meningkatkan lagi ketakwaan kita kepada Allah SWT.
Orang yang hidupnya sentiasa menjaga persaudaraan akan diberi beberapa keutamaan
dan dilindungi di bawah naungan oleh Allah SWT di akhirat. Sabda Rasulullah SAW:
Maksudnya: " Sesungguhnya Allah SWT pada hari akhirat berfirman: di manakah orang yang kasih- mengasihi kerana keagonganku ? pada hari ini aku akan menaungi mereka dalam naunganku, pada hari yang tiada naungan selain naunganku." ( Riwayat Muslim)
Muslimin Yang di Rahmati Allah,
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah menetapkan tarikh 01 Disember setiap
tahun sebagai Hari AIDS Sedunia semenjak tahun 1988. Hari AIDS Sedunia
merupakan satu kempen untuk meningkatkan kesedaran berkaitan penyakit AIDS atau
4
bahaya HIV. Melalui kempen ini diharap pesakit-pesakit HIV dan orang awam dapat
mengetahui tentang bahaya penyakit AIDS serta penyakit-penyakit yang timbul
akibat HIV.
Justeru, bagi mereka yang telah disahkan positif HIV, mimbar menegaskan
agar pastikan sentiasa menjaga kesihatan dengan menjalani pemeriksaan kesihatan
secara berkala yang telah disediakan secara percuma oleh pihak kerajaan serta
mematuhi peraturan-peraturan rawatan yang ditetapkan. dalam masa yang sama
jangan lupa memohan keampunan dengan Allah SWT melalui taubat yang sebenar-
benarnya, mudah-mudahan segala dosa-dosa yang lampau akan diampuni.
Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani terhadap hamba-
hamba-Nya. Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 222 :
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat dan mengasihi orang-orang yang sentiasa mensucikan diri.”
Muslimin Yang di Rahmati Allah,
Sejajar dengan semangat ajaran Islam dan menjaga nama baik umat Islam, maka
mimbar menyeru muslimin sekalian khususnya kepada ibubapa, kaum kerabat, jiran
tetangga agar bersikap prihatin membantu mereka yang menerima musibah
HIV/AIDS ini. Mudah-mudahan dengan cara kita mengambil berat tentang diri
mereka ini dapat menyambung kasih dan memberi sinar cahaya untuk mereka
meneruskan kehidupan di bumi Allah serta mengelakkan golongan ini terjerumus ke
lembah kebinasaan yang berterusan atau terjebak kepada akidah yang lain.
Sebagai kesimpulan beberapa pengajaran yang dapat dipetik daripada khutbah
hari ini ialah:Pertama:Islam menegah sikap memandang hina, prasangka dan
menindas kepada mangsa HIV/AIDS demi masa depan mereka, Kedua:Agama Islam
juga menuntut kita mengasihi insan lemah dan menghulurkan bantuan setiap masa,
Ketiga:Islammenuntut tanggungjawab bersama dalam menegakkan kebenaran dan
5
meruntuh kemungkaran, Keempat: Anak-anak hendaklah dididik dengan didikan
agama yang sempurna, tanamkan penghayatan akidah dalam hati dan jiwa mereka.
Disamping mengawasi dan memastikan mereka tidak mengabaikan kewajipan ibadah
kepada Allah SWT, Kelima:. Kerjasama semua pihak amat penting dalam
membendung wabak dan mencegah HIV dan AIDS. Termasuklah masyarakat perlu
memberi sokongan dan menerima mereka yang ingin kembali ke pangkal jalan serta
telah insaf bertaubat dan keenam: Para pendidik, ketua-ketua dan para pemimpin
masyarakat hendaklah sama-sama memberi dorongan dan mendidik generasi belia
khususnya, agar benar-benar menghayati roh Islam dalam kehidupan dan sentiasa
memberi contoh tauladan yang terbaik.
Mengakhiri khutbah Pada minggu ini mimbar menyeru, marilah kita bersama-
sama menyemai perasaan kasih sayang dan memberi layanan secara adil kepada
individu yang dijangkiti HIV/AIDS supaya mereka dapat menjalani kehidupan
sepertimana insan-insan yang lain, di samping berusaha bersama-sama mencegah
anggota masyarakat daripada ancaman HIV/AIDS. Marilah sama-sama kita merenung
firman Allah SWT dalam surah al-A’raaf ayat 96:
Maksudnya:"Dan Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertakwa, tentulah Kami bukakan kepada mereka keberkatan dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami) lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan."