manuscript title integrasi nasional dalam novel kanak

27
© Penerbit Universiti Sains Malaysia, 2021. This work is licensed under the terms of the Creative Commons Attribution (CC BY) (http://creativecommons.org/licenses/by/4.0/). Manuscript Title: Integrasi Nasional dalam Novel Kanak-kanak Terpilih Author(s): Faezah Muhayat, Nik Rafidah Nik Muhamad Affendi & Fazilah Husin Accepted Date: 25-March-2021 Please cite this article as: Faezah Muhayat, Nik Rafidah Nik Muhamad Affendi and Fazilah Husin. 2021. Integrasi nasional dalam novel kanak-kanak terpilih. Kajian Malaysia (early view). This is a provisional PDF file of an article that has undergone enhancements after acceptance, such as the addition of a cover page and metadata, and formatting for readability, but it is not yet the definitive version of record. This version will undergo additional copyediting, typesetting and review before it is published in its final form, but we are providing this version to give early visibility of the article.

Upload: others

Post on 16-Oct-2021

8 views

Category:

Documents


0 download

TRANSCRIPT

Page 1: Manuscript Title Integrasi Nasional dalam Novel Kanak

© Penerbit Universiti Sains Malaysia, 2021. This work is licensed under the terms of the Creative Commons Attribution (CC BY) (http://creativecommons.org/licenses/by/4.0/).

Manuscript Title: Integrasi Nasional dalam Novel Kanak-kanak Terpilih

Author(s): Faezah Muhayat, Nik Rafidah Nik Muhamad Affendi & Fazilah Husin

Accepted Date: 25-March-2021

Please cite this article as: Faezah Muhayat, Nik Rafidah Nik Muhamad Affendi and Fazilah Husin.

2021. Integrasi nasional dalam novel kanak-kanak terpilih. Kajian Malaysia (early view).

This is a provisional PDF file of an article that has undergone enhancements after acceptance, such as

the addition of a cover page and metadata, and formatting for readability, but it is not yet the

definitive version of record. This version will undergo additional copyediting, typesetting and review

before it is published in its final form, but we are providing this version to give early visibility of the

article.

Page 2: Manuscript Title Integrasi Nasional dalam Novel Kanak

Kajian Malaysia (early view)

© Penerbit Universiti Sains Malaysia, 2021. This work is licensed under the terms of the Creative Commons Attribution (CC BY) (http://creativecommons.org/licenses/by/4.0/).

INTEGRASI NASIONAL DALAM NOVEL KANAK-KANAK TERPILIH

NATIONAL INTEGRATION IN SELECTED CHILDREN'S NOVELS

Faezah Muhayat*, Nik Rafidah Nik Muhamad Affendi dan Fazilah Husin

Department of Bahasa Melayu, Faculty of Modern Languages and Communication, Universiti Putra Malaysia, Selangor, MALAYSIA *Corresponding author: [email protected]

ABSTRACT This objective of this study is to analyze national integration in two children’s novel’s, Rahsia Dhia (2014) by Zainun Mustapha and Iqbal Membina Jaya (2015) by Radzemah Bolhassan. This study was carried out based on previous literary reviews that reveal the application of national integration in children's literature, especially novels, is less emphasized by the authors on the notion that children's novels are simple, relaxing and entertaining. Literature is one of the mediums that can serve as a vehicle for national integration in society especially children. Therefore, the inculcation of national integration in children's novels should be given due consideration by the novelist so that the material presented is not only enjoyable to read, but knowledgeable and didactic, fostering the spirit solidarity among children which is appropriate in the Malaysian multi-ethnic community. Furthermore, this study will utilize the ideas of the theory of literary sociology presented by Georg Lukacs (1971) as an analytical framework which is the library method and text analysis. The findings show that the stories contain in the two novels examined, demonstrate the inculcation of national integration elements in children's novels and loaded with messages educating children. The findings of the study also show that the themes used in the two novels are influenced by social, economic, political and educational changes and as well as historical factors that occur in Malaysia. Keywords: national integration, children’s novels, works of literature, Mirror Modeling, Theory of Sosiology.

Page 3: Manuscript Title Integrasi Nasional dalam Novel Kanak

Faezah Muhayat et al.

ABSTRAK Kajian ini bertujuan untuk menganalisis integrasi nasional dalam dua buah novel kanak-kanak, iaitu novel Rahsia Dhia (2014) karya Zainun Mustapha dan Iqbal Membina Jaya (2015) karya Radzemah Bolhassan. Kajian ini dijalankan berdasarkan sorotan literatur yang mendapati bahawa penerapan integrasi nasional dalam karya sastera kanak-kanak khususnya novel dikatakan kurang diberi penekanan oleh penulis kerana beranggapan bahawa novel kanak-kanak hanya bersifat mudah, santai dan menghiburkan. Salah satu medium yang dapat menjadi wahana integrasi nasional dalam kalangan masyarakat khususnya kanak-kanak ialah karya sastera. Lantaran itu, penerapan integrasi nasional dalam novel kanak-kanak wajar diberi perhatian oleh novelis agar bahan bacaan yang disajikan ini bukan sahaja menimbulkan keseronokan, malah kandungan ceritanya dapat memberikan ilmu pengetahuan, mendidik dan memupuk semangat perpaduan dalam kalangan kanak-kanak sesuai dengan latar masyarakat Malaysia yang berbilang kaum. Lanjutan itu, kajian ini akan memanfaatkan gagasan teori sosiologi sastera yang dikemukakan oleh Georg Lukacs (1971) sebagai kerangka analisis. Dapatan kajian menunjukkan bahawa novel kanak-kanak yang diteliti bukan sahaja menyajikan cerita yang menarik, malah kandungan ceritanya sarat dengan mesej mendidik kanak-kanak termasuk penerapan nilai-nilai integrasi nasional. Dapatan kajian turut menunjukkan bahawa garapan tema dalam kedua-dua novel yang diteliti dipengaruhi oleh perubahan-perubahan sosial, ekonomi, politik dan pendidikan serta faktor sejarah yang berlaku di Malaysia. Kata kunci: integrasi nasional, novel kanak-kanak, karya sastera, Model Pencerminan, Teori Sosiologi

PENGENALAN

Integrasi nasional ialah proses mewujudkan satu identiti nasional dalam kalangan kumpulan yang terpisah dari segi kebudayaan, sosial dan lokasi dalam sesebuah unit politik. Menurut Jabatan Penerangan Malaysia (2016), integrasi nasional merupakan usaha merapatkan hubungan masyarakat pelbagai kaum ke arah meningkatkan semangat muhibah dan rasa kekitaan demi keharmonian dan kesejahteraan negara. Melalui integrasi nasional, pemupukan dan penggalakan interaksi sosial yang berfokus kepada saling menerima dan menghargai sosiobudaya antara kaum dapat mengeratkan hubungan antara kelompok masyarakat. Menurut Ting Chew Peh (1987), integrasi nasional dari sudut bahasa terdiri atas dua kata, iaitu integrasi yang berasal daripada perkataan Latin integrare lalu diserapkan menjadi perkataan Inggeris, integration yang

Page 4: Manuscript Title Integrasi Nasional dalam Novel Kanak

Integrasi Nasional dalam Novel Kanak-kanak Terpilih

bermaksud to make one atau menjadi satu. Manakala istilah nasional berasal daripada perkataan nation yang bererti bangsa. Justeru, yang dikatakan integrasi nasional ialah penyatuan pelbagai kelompok etnik dalam masyarakat melalui pengenalan satu identiti yang sama sehingga membentuk kesatuan bangsa yang bulat dan utuh. Sementara itu, W. Howard Wriggins (1966) mendefinisikan integrasi nasional sebagai penyatuan bahagian yang berbeza-beza dari suatu masyarakat menjadi suatu kesatuan yang lebih utuh atau menyatukan masyarakat-masyarakat kecil menjadi satu kesatuan bangsa. Hal ini turut dipersetujui oleh Sarjit Singh Gill (2006) yang mengatakan bahawa integrasi nasional merupakan satu proses untuk merapatkan masyarakat di Malaysia khususnya antara negeri di Semenanjung Malaysia dengan Sabah dan Sarawak di Malaysia Timur. Menurut Nazaruddin Sjamsuddin (1989) pula, integrasi nasional ialah proses penyatuan suatu bangsa yang mencakupi semua aspek kehidupan iaitu aspek sosial, ekonomi, budaya dan politik. Berdasarkan pandangan-pandangan ini, dapat disimpulkan bahawa integrasi nasional adalah suatu usaha untuk menyatukan unsur-unsur perbezaan yang wujud dalam masyarakat menurut aturan-aturan dan kebijakan politik yang dibangunkan atas nilai-nilai budaya dalam masyarakat, sehingga terjadi kesepakatan tentang tujuan negara yang hendak diwujudkan. Tegasnya, integrasi nasional adalah proses penyatuan perbezaan masyarakat yang wujud dalam sesebuah negara sehingga terjadi keselarasan secara nasional. Berdasarkan pemahaman ini, integrasi nasional dapat dibahagikan kepada enam aspek, iaitu integrasi sosial, integrasi wilayah, integrasi politik, integrasi pendidikan, integrasi kebudayaan dan integrasi ekonomi. PERNYATAAN MASALAH

Sebelum kedatangan Inggeris ke Tanah Melayu pada abad ke-18, gugusan Kepulauan Melayu didiami oleh rumpun Melayu yang lengkap dengan kerajaan-kerajaan Melayu, susun lapis masyarakat, sistem pemerintahan, undang-undang dan adatnya. Apabila Inggeris memperkenalkan ekonomi moden yang menjadikan timah dan getah sebagai industri dasar, orang dari India dan Cina telah dibawa masuk ke Tanah Melayu untuk menjadi buruh di estet dan lombong perusahaan Inggeris. Impak kedatangan imigran ke Tanah Melayu bukan sahaja menyebabkan wujudnya masyarakat majmuk, malah memberi kesan kepada percampuran budaya dan sosial, pembentukan sistem pendidikan yang berbeza dan pengenalan kaum mengikut tempat tinggal dan pekerjaan. Rentetan daripada itu, sejarah telah membuktikan bahawa isu yang timbul melibatkan ketegangan kaum sudah lama berlaku dan masalah ini masih berterusan sehingga kini.

Page 5: Manuscript Title Integrasi Nasional dalam Novel Kanak

Faezah Muhayat et al.

Meskipun pelbagai usaha telah dijalankan oleh pihak kerajaan untuk menyatupadukan masyarakat seperti mewujudkan ideologi negara yang dikenali sebagai Rukun Negara, pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan pindaan perlembagaan, namun usaha ini dilihat masih belum berupaya mengekang sentimen perkauman yang wujud dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum di Malaysia. Buktinya, sehingga ke hari ini pelbagai isu sensitif yang boleh menggugat keharmonian dan perpaduan kaum masih berlaku dan mengundang perasaan bimbang dalam kalangan pemimpin dan masyarakat. Selepas tragedi 13 Mei 1969, antara insiden besar lain berkaitan isu ketegangan kaum ialah peristiwa Kampung Rawa (1998) dan peristiwa Kampung Medan (2001) yang melibatkan perselisihan faham antara kaum Melayu dan India. Selain itu sekitar tahun 2018 hingga 2020, masyarakat dikejutkan pula dengan pelbagai isu sensitif yang boleh menggugat keharmonian dan perpaduan kaum seperti isu pemasangan bendera Malaysia secara terbalik di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Bukit Roman Raub Pahang, isu lagu Negaraku dalam Bahasa Mandarin yang dinyanyikan oleh sekumpulan pelajar SJKC Ma Hwa di Seremban Negeri Sembilan dan pengubahsuaian Jata Negara dalam reka bentuk kulit buku Rebirth: Reformasi, Resistance and Hope in New Malaysia. Selain itu, tindakan mempersendakan agama dan kepercayaan masyarakat lain seperti penghinaan Nabi Muhammad SAW dalam media sosial oleh Danny A’antonia Jr, Galuh Alrizky dan Alvin Chow, penentangan pembelajaran tulisan jawi dalam matapelajaran Bahasa Melayu kepada murid sekolah rendah tahun 4 di semua sekolah oleh Persekutuan Persatuan Lembaga Mengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong), dan isu pemasangan Tanglung di sekolah turut membangkitkan kemarahan masyarakat pelbagai kaum. Lanjutan itu, pelbagai isu yang timbul ini menunjukkan bahawa kurangnya sensitiviti sesetengah individu dalam masyarakat terhadap hubungan kaum, agama dan budaya di negara ini yang dilihat semakin parah dan menunjukkan petanda kurang sihat dalam proses integrasi nasional di Malaysia. Menurut penerbit akhbar Sinar Harian, Hussammudin Yaacub (2020) jika isu-isu sensitif berkaitan ideologi negara, perkauman dan agama ini tidak ditangani dengan berkesan, ia boleh menyebabkan ketegangan antara kaum sekali gus menghancurkan keharmonian dan perpaduan rakyat Malaysia. Apa yang lebih membimbangkan ialah perkara-perkara yang remeh mampu dijadikan isu untuk mewujudkan sebuah perbalahan yang besar. Sehubungan dengan permasalahan ini, salah satu cara untuk memupuk perpaduan kaum adalah melalui karya sastera. Menurut Eh Chot Cha Chan (2015) pendekatan kesusasteraan sebagai alat perpaduan kaum adalah paling berkesan berbanding pendekatan politik dan sosioekonomi kerana hasil karya sastera dalam pelbagai bentuk dapat menyemai benih perpaduan melalui penyampaian

Page 6: Manuscript Title Integrasi Nasional dalam Novel Kanak

Integrasi Nasional dalam Novel Kanak-kanak Terpilih

cerita dengan gaya bahasa yang indah dan menarik serta mengundang pelbagai episod kisah kehidupan yang berbentuk inspirasi. Kesemua elemen yang terdapat dalam karya sastera ini dapat menjuruskan pemikiran, sikap dan emosi manusia kepada kehidupan kerohanian yang jujur, ikhlas, reda, rendah hati, berbudi bahasa, bersyukur dan bertolak ansur. Dalam pada itu, pengamatan terhadap kajian sedia ada tentang integrasi nasional dan novel kanak-kanak di Malaysia menyerlahkan bahawa rata-rata kajian yang menyentuh aspek integrasi nasional banyak berkisar tentang kajian latar belakang sosial masyarakat dan peranan kesusasteraan kebangsaan dalam memupuk integrasi nasional. Kajian yang dilakukan juga hanya membicarakan aspek ini secara umum dengan mengambil contoh daripada karya sastera dewasa dalam pelbagai genre tanpa menyentuh genre novel kanak-kanak. Begitu juga dalam sorotan kajian tentang sastera kanak-kanak yang rata-rata kajiannya tidak memberikan tumpuan secara khusus terhadap sesebuah genre. Seiring dengan perkembangan pemikiran dan psikologi kanak-kanak, penulisan buku sastera kanak-kanak termasuk novel perlulah disesuaikan kandungannya dengan keperluan semasa kanak-kanak agar bahan bacaan yang dihasilkan ini diterima dan diminati oleh golongan ini. Menurut Nisah Haron (2017), kandungan cerita dalam buku kanak-kanak perlu dimantapkan kerana buku cerita memainkan peranan penting dalam mendidik kanak-kanak melalui paparan kisah-kisah yang dapat memberikan sumbangan besar dalam perkembangan moral kanak-kanak. Melalui bahan bacaan yang baik, pemikiran kanak-kanak yang bersih akan mudah menerima sebarang maklumat atau pengajaran untuk diaplikasikan dalam kehidupan harian mereka. Di samping itu, saranan pengisian kandungan cerita dalam buku kanak-kanak yang mencabar minda dan pemikiran, dilihat seiring dengan perkembangan psikologi kanak-kanak yang mana pada peringkat sekolah rendah tahap dua (sepuluh hingga 12 tahun), kanak-kanak dikatakan sudah mencapai tahap perkembangan kendiri yang positif merangkumi aspek-aspek seperti menjaga kebersihan diri dan berdikari. Menurut Kamarulzaman Kamarudin (2011), kanak-kanak pada peringkat ini berupaya membuat keputusan dalam menyelesaikan masalah kehidupan seharian dan membentuk tahap moral yang baik serta memurnikan nilai-nilai yang dipelajari di rumah dan di sekolah. Justeru, melalui olahan cerita yang menarik dan kreatif bukan sahaja menimbulkan keseronokan kepada kanak-kanak, malah cerita-cerita yang mantap dengan nilai ilmu dan pengajaran ini dapat mencabar minda kanak-kanak untuk berfikir di luar kotak. Sehubungan dengan pernyataan kurangnya penelitian terhadap kandungan cerita dalam novel kanak-kanak dan saranan pemantapan isu yang perlu di ketengahkan dalam karya sastera kanak-kanak, kajian ini akan meneliti dua buah novel kanak-

Page 7: Manuscript Title Integrasi Nasional dalam Novel Kanak

Faezah Muhayat et al.

kanak Pemenang Hadiah Sastera Perdana (seterusnya HSPM), iaitu novel Rahsia Dhia (2014) karya Zainun Mustapha dan Iqbal Membina Jaya (2015) karya Radzemah Bolhassan yang dikatakan berjaya mengetengahkan aspek pemikiran dan isu yang bersesuaian dengan tahap pembacaan kanak-kanak (Laporan Panel Penilai HSPM 2015). Kajian ini juga akan melihat gambaran masyarakat majmuk di Malaysia melalui watak-watak yang diketengahkan oleh pengarang yang dikatakan turut menyelitkan rasa setiakawan dan semangat muhibah antara kaum (Laporan Panel Penilai HSPM 2014). Bagi membuktikan dakwaan ini, kajian terhadap novel Rahsia Dhia dan Iqbal membina Jaya perlu dilakukan untuk menilai potensi novel kanak-kanak dalam mengetengahkan isu-isu penyatuan nasional dalam usaha membentuk perpaduan dan keharmonian masyarakat Malaysia. Menurut Ding Choo Ming (2018), meskipun karya yang digarap hanyalah sebuah imaginasi pengarang yang bersifat utopia dengan harapan berkongsi impian yang sama, namun tetap memberi inspirasi kepada pembaca dengan membayangkan masa depan Malaysia yang sifar kebencian dan permusuhan antara kaum. Kajian ini juga penting dilakukan untuk memberi gambaran kepada khalayak tentang aspek-aspek integrasi nasional yang perlu ada dalam novel kanak-kanak sebagai salah satu usaha menyemai benih perpaduan dalam kalangan generasi muda.

OBJEKTIF KAJIAN

Kajian ini bertujuan untuk mengenal pasti dan menganalisis aspek-aspek integrasi nasional yang terdapat dalam novel kanak-kanak di Malaysia. Tragedi rusuhan kaum 13 Mei 1969 menjadi petanda betapa rapuhnya hubungan antara kaum di Malaysia. Meskipun pelbagai usaha dan dasar telah dilaksanakan oleh kerajaan termasuk pengajaran perpaduan nasional dalam pendidikan melalui kesusasteraan Melayu, namun penelitian dan kritikan terhadap teks sastera yang sesuai untuk bacaan kanak-kanak masih kurang diberi perhatian. Kajian penerapan integrasi nasional dalam karya sastera kanak-kanak amat perlu dilakukan untuk memastikan karya sastera yang terdapat di pasaran berupaya menawarkan ruang yang lebih luas untuk kanak-kanak bersosialisasi dan memahami budaya, adat resam serta corak kehidupan pelbagai kaum di Malaysia. Hal ini turut dipersetujui oleh Carlton J.H Hayes (1931) yang berpendapat bahawa sebuah karya sastera berupaya menjadi medium penyatu bangsa dan kesedaran rakyat melalui pemaparan budaya dan rasa kesetianegaraan yang ditonjolkan oleh pengarang. Justeru, rumusan daripada kajian ini diharap dapat menyumbang kepada satu mekanisme baharu tentang penelitian integrasi nasional dalam novel kanak-kanak. Bagi mencapai objektif kajian, dua buah novel kanak-kanak pemenang HSPM tahun 2014 dan 2015 (Kategori Novel Kanak-kanak) iaitu novel Rahsia Dhia

Page 8: Manuscript Title Integrasi Nasional dalam Novel Kanak

Integrasi Nasional dalam Novel Kanak-kanak Terpilih

karya Zainun Mustapha terbitan Koperasi DBP (M) Berhad dan Iqbal Membina Jaya karya Radzemah Bolhassan terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka telah dipilih sebagai teks kajian. Selain menerima pengiktirafan sebagai karya pemenang HSPM, kedua-dua novel ini pernah memenangi hadiah dalam sayembara penulisan novel kanak-kanak anjuran Koperasi DBP dan Dewan Bahasa dan Pustaka. Di samping itu, justifikasi pemilihan dua buah novel kanak-kanak ini sebagai bahan kajian adalah berdasarkan Laporan Panel Penilai HSPM 2014 dan 2015 yang mengatakan bahawa novel ini berjaya mengetengahkan aspek pemikiran dan isu yang bersesuaian dengan tahap pembacaan kanak-kanak. Selain itu, novel ini turut mengetengahkan persoalan setia kawan dan semangat muhibah antara rakan-rakan berbilang kaum yang diolah secara kreatif oleh pengarang. Oleh yang demikian, pemilihan kedua-dua novel ini adalah bertepatan dengan objektif kajian yang ingin melihat penyatuan masyarakat pelbagai kaum dalam novel kanak-kanak. SOROTAN LITERATUR Sorotan literatur dalam makalah ini menganalisis literatur terdahulu mengenai integrasi nasional dalam karya sastera. Antara sorotan tersebut ialah penulisan makalah oleh Arba’ie Sujud (2020) berjudul “Kerelevanan Karya Sastera sebagai Medium Perpaduan.” Makalah ini menyoroti keupayaan karya sastera dalam mengetengahkan isu-isu perpaduan kaum yang membawa kepada integrasi nasional. Menurut penulis, karya sastera merupakan pernyataan estetika pengarang yang memerihalkan kehidupan, masalah dan aspirasi masyarakat menerusi keupayaan bakat kreatif dan imaginatif. Artikel ini merungkai persoalan tentang kerelevanan karya sastera sebagai medium perpaduan melalui dua premis asas penelitian, iaitu fungsi karya sastera dan pendidikan sastera. Melalui fungsi karya sastera, peranan sastera dapat dilihat sebagai penyubur nilai keinsanan dan meleburkan ketegangan antara kaum dengan mencari titik persamaan yang dapat diterima secara natural menerusi watak, peristiwa atau simbol budaya. Melalui pendidikan sastera pula, kerelevanan karya sastera berkait rapat dengan pendidikan sastera yang diajarkan di peringkat sekolah mahupun pendidikan tinggi serta kepentingan memilih karya sastera yang dapat mengetengahkan pelbagai persoalan perpaduan dan integrasi nasional. Makalah ini merumuskan bahawa meskipun kedudukan sastera dalam arus pendidikan moden dihambat dengan idealisme pendidikan berorientasikan sains dan teknologi, namun keuniversalan karya sastera boleh merobohkan tembok pemisah dan membuka laluan yang luas untuk kesusasteraan memainkan peranan penting sebagai medium perpaduan dan integrasi nasional.

Selanjutnya ialah penelitian terhadap makalah Ding Choo Ming (2015) yang membicarakan tajuk “Memperkasakan Integrasi Nasional melalui Sastera Kebangsaan.” Makalah ini memperkatakan tentang peranan penulis Melayu

Page 9: Manuscript Title Integrasi Nasional dalam Novel Kanak

Faezah Muhayat et al.

dalam menggerakkan kesedaran bangsa Melayu terhadap nasib mereka kesan daripada kedatangan orang Cina dan India yang dibawa oleh pihak Inggeris melalui Kompeni Hindia Timur Inggeris (1600-1874) sejak era Kesultanan Melayu Melaka. Kesan daripada kemasukan orang Cina dan India secara besar-besaran, telah mengubah komposisi penduduk Tanah Melayu menjadi masyarakat majmuk selain membawa perubahan sosial, politik dan ekonomi Melayu yang belum pernah berlaku sebelum ini. Hal ini bukan sahaja menimbulkan kegelisahan tetapi kesedaran secara kolektif dalam kalangan orang Melayu tentang nasib mereka dalam bidang ekonomi, pelajaran, agama dan politik. Melalui medium sastera, penulis-penulis Melayu meluahkan rasa tidak puas hati dan kritikan mereka terhadap isu-isu yang menjejaskan kepentingan ekonomi, sosial dan politik orang Melayu. Melalui Angkatan Sasterawan ‘50 (ASAS 50), para penulis Melayu awal memperalatkan sastera untuk menegakkan keadilan sosial melalui karya kreatif. Makalah ini merumuskan bahawa niat sebenar penulis sastera kebangsaan adalah ingin mendekatkan orang Melayu dengan orang bukan Melayu dengan memperkenalkan pengalaman penulis itu sendiri yang cuba untuk mengenali kehidupan masyarakat di luar kotak mereka, memahami persamaan dan perbezaannya dengan harapan adanya satu titik kefahaman yang akan menyelesaikan pelbagai masalah sosiobudaya secara bersama. Penelitian berikutnya tertumpu kepada makalah oleh Fadhli al-Akiti (2015) berjudul “Cabaran Sastera Kebangsaan Melestarikan Integrasi Nasional.” Makalah ini memberikan gambaran mengenai peranan sastera kebangsaan dalam memperkasakan integrasi nasional. Meskipun isu integrasi nasional dilihat sudah diperkatakan berkali-kali dan dianggap ‘basi’ serta ketinggalan pada era sekarang, namun realitinya masih mewarnakan keadaan curiga dan prasangka terhadap kemampuan sastera kebangsaan untuk menyatukan pelbagai etnik di negara ini. Makalah ini bertujuan untuk memberikan gambaran tentang peranan karya sastera yang sebenarnya dapat menjadi medan penghubung yang mendamaikan agar setiap pendapat daripada pelbagai etnik dalam masyarakat diraikan secara sekata. Makalah ini merumuskan bahawa mencari suatu karya sastera dalam bahasa kebangsaan yang ‘ideal’ supaya dapat dikongsi dan dihargai oleh setiap etnik sebenarnya agak susah dan hanya berlaku secara kebetulan pada karya-karya tertentu sahaja. Sungguhpun demikian, tidak dapat dinafikan bahawa terdapat juga usaha daripada beberapa pertubuhan yang terus-menerus menterjemahkan karya tersebut ke dalam bahasa kebangsaan, namun usaha ini masih sedikit dan tidak berkembang dengan baik. Di samping itu, ada segelintir pembaca sastera Inggeris tempatan yang berpendirian bahawa karya sastera berbahasa Inggeris lebih ampuh dan berupaya untuk menyatukan pelbagai etnik pembaca di dalam negara dan membawa ‘Sastera Malaysia’ ke pentas dunia. Sikap segelintir masyarakat yang masih tidak mempercayai kekuatan dan

Page 10: Manuscript Title Integrasi Nasional dalam Novel Kanak

Integrasi Nasional dalam Novel Kanak-kanak Terpilih

keampuhan bahasa kebangsaan sendiri sebenarnya yang telah mengancam pelestarian nilai sastera kebangsaan. Penelitian kajian akademik mengenai sastera kanak-kanak pula dapat dilihat melalui penulisan makalah oleh Misran Rokimin (2010) berjudul “Penerapan Ideologi Negara dalam Sastera Kanak-kanak.” Makalah ini menyoroti perkembangan sastera kanak-kanak yang merangkumi genre novel, cerpen, puisi dan drama yang dianggap penting dalam usaha menerapkan ideologi negara seperti Rukun Negara kepada kanak-kanak. Menurut makalah ini, walaupun buku kanak-kanak telah banyak diterbitkan, namun kajian atau kritikan sastera kanak-kanak tidak banyak dilakukan oleh penyelidik bagi menilai kualiti dan isi kandungan sastera kanak-kanak. Kajian dan kritikan ini penting dilakukan untuk khalayak menilai sejauh mana sastera kanak-kanak boleh menjadi ejen menyalurkan ideologi negara dan keupayaan penulis menghasilkan karya yang mampu menyemai sikap toleransi dalam memupuk kesejahteraan masyarakat. Selain itu, makalah ini turut membincangkan konsep Rukun Negara sebagai ideologi dan satu set idea yang dijadikan simbol kuasa penting sebagai inspirasi sesuatu golongan seperti pemerintah untuk memenuhi kepentingannya. Kajian ini turut mengambil contoh negara Rusia di bawah pemerintahan rejim Komunis yang membentuk “Six Moral Code” sebagai ideologinya untuk dijadikan garis panduan. Enam Kod Moral tersebut ialah collectivisme, dicipline, love of work, patriotisme, proletarian internation dan atheisme. Makalah ini merumuskan bahawa sastera memegang peranan yang penting dalam pendidikan kanak-kanak. Justeru, para penulis perlu bijak mengolah isu dalam karya mereka menerusi teknik atau gaya penceritaan, agar ideologi pemerintah dapat diserap dalam pemikiran pembaca kanak-kanak. Berdasarkan kajian-kajian yang pernah dilakukan, didapati bahawa skop perbincangan mengenai integrasi nasional yang diutarakan dalam kajian yang diteliti lebih menjurus kepada teks sastera dewasa, iaitu novel sasterawan negara. Hasil sorotan terhadap sastera kanak-kanak pula mendapati bahawa kebanyakan kajian hanya membicarakan secara umum tentang sesuatu genre dan tidak menyentuh sesuatu isu secara komprehensif. Hal ini secara jelas membuktikan bahawa penerapan integrasi nasional dalam karya sastera kanak-kanak khususnya novel kurang diberi penekanan oleh pengkaji dan peneliti sastera tanah air. Kajian ini penting dijalankan untuk memberi panduan kepada penulis dan pembaca akan kepentingan penerapan elemen integrasi nasional dalam novel kanak-kanak sebagaimana pepatah Melayu, “melentur buluh biarlah dari rebungnya.” Dalam konteks ini, usaha menyemai semangat integrasi nasional harus dipupuk sejak dari kecil agar wujud perasaan saling hormat-menghormati dan toleransi antara kaum dalam kalangan kanak-kanak.

Page 11: Manuscript Title Integrasi Nasional dalam Novel Kanak

Faezah Muhayat et al.

METODOLOGI KAJIAN

Kajian ini akan memanfaatkan kaedah kepustakaan dan analisis teks sebagai metodologi kajian. Kaedah kepustakaan adalah usaha yang dilakukan untuk menghimpunkan segala maklumat yang bersesuaian dan relevan dengan topik yang sedang diteliti melalui sumber rujukan seperti buku-buku ilmiah, eksiklopedia, surat khabar dan laporan khas daripada agensi berkaitan seperti Laporan Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional serta Perlembagaan Malaysia yang dirujuk untuk tujuan menambahkan kefahaman tentang integrasi nasional. Kaedah analisis teks pula digunakan untuk mengetahui secara mendalam aspek dan keadaan sebenar sesuatu kejadian dalam karya yang diteliti. Dalam menganalisis kedua-dua novel ini, kajian dibataskan kepada konsep integrasi nasional berdasarkan pandangan beberapa orang tokoh sosiologi yang dikemukan pada bahagian pengenalan kajian ini. Lanjutan itu, kajian ini akan meneliti integrasi nasional merangkumi aspek integrasi sosial, pendidikan, politik, budaya, ekonomi dan wilayah. SOSIOLOGI SASTERA: SATU KERANGKA ANALISIS Sosiologi merupakan salah satu bidang sains sosial. Menurut Browne (1992), sosiologi merupakan suatu disiplin ilmu yang mengkaji dan membincangkan ciri-ciri normatif dalam sesebuah masyarakat. Menurutnya lagi, disiplin sosiologi mengkaji pelbagai institusi sosial (social institution) dalam masyarakat yang membolehkan ahli-ahli masyarakat dikelompokkan dan kemudian berkembang. Justeru, sosiologi secara ringkas dapat difahami sebagai suatu disiplin yang mengkaji perilaku manusia, pembentukan satu struktur sosial dan kesepakatan bersama dalam ekonomi, politik, budaya dan lain-lainnya (Durkheim, 1958). Sementara itu, menurut Harun Mat Piah (2006), perkataan sastera berasal daripada bahasa Sanskrit, castra yang membawa maksud kitab suci. Kesusasteraan pula membawa pengertian segala penghasilan sastera yang dinikmati atau disampaikan baik melalui tulisan dan pembacaan mahupun melalui lisan dan pendengaran. Dalam erti lain, sastera merupakan suatu bidang seni kreatif yang medium pengantarnya adalah bahasa. Pernyataan ini disokong oleh M.K Danziger dan W.S Johnson (1983) yang mendefinisikan sastera sebagai seni yang menggunakan kata-kata sama ada lisan atau tulisan. Hal ini turut dipersetujui oleh Ismail Hussein (1974) yang menegaskan bahawa sastera juga merangkumi semua aspek penggunaan bahasa yang bersifat kreatif dan bercorak intelektual dengan gabungan kepuasan intelek dan kepuasan estetik. Sehubungan dengan kajian yang dilakukan, perbincangan ini berusaha untuk mengungkapkan pemahaman penting tentang penukilan hubungan individu dalam masyarakat daripada pelbagai institusi yang digarap secara kreatif dan

Page 12: Manuscript Title Integrasi Nasional dalam Novel Kanak

Integrasi Nasional dalam Novel Kanak-kanak Terpilih

imaginatif oleh pengarang melalui medium bahasa sebagai perantara. Persoalan-persoalan yang digarap secara kreatif dan imaginatif ini merangkumi hal-hal yang berkait rapat dengan masyarakat seperti sosial, ekonomi, politik, pendidikan, budaya, wawasan, kepercayaan, adat resam dan etika sosial yang membentuk dan menentukan arah tuju sesebuah masyarakat. Tuntasnya, sosiologi sastera merupakan kajian yang menjurus kepada suatu penelitian yang bersifat sistematik dan komprehensif dalam melihat perkaitan antara bidang-bidang sosiologi yang diungkapkan secara kreatif dan turut merangkumi kepuasan intelek dan estetik. GAGASAN “MODEL PENCERMINAN” OLEH GEORG LUKACS Gagasan ini dibangunkan dengan bersandarkan tanggapan bahawa sesebuah karya sastera tidak menjadi alat politik atau dokumen sosial semata-mata, sebaliknya karya sastera berupaya mencerminkan realiti kehidupan manusia. Hal ini bermakna, gagasan ini melihat kesusasteraan sebagai lambang masyarakat dan hasil sesebuah karya kesusasteraan akan mencerminkan realiti sosial di luar kesusasteraan itu sendiri. Dengan kata lain, kesusasteraan mengambil fenomena-fenomena sosial yang benar-benar berlaku untuk dijadikan persoalan-persoalannya. Model Pencerminan ini telah digagaskan oleh seorang tokoh komunis antarabangsa, Georg Lukacs pada tahun 1971 dalam bukunya The Theory of The Novel. Menurut Lukacs, sasterawan menggunakan karya sastera sebagai wadah untuk memantulkan realiti secara kreatif, kritis dan imaginatif berdasarkan perkara-perkara yang berlaku dalam kehidupan masyarakat. Lukacs turut berpandangan bahawa realiti membawa makna yang lebih tepat sekiranya karya sastera dinukilkan daripada imaginasi sasterawan yang tulus, asli dan bebas. Termasuk dalam rangka realiti ini ialah peristiwa-peristiwa penting yang berlaku dalam sejarah kehidupan manusia. Keterikatan sasterawan dengan realiti dijelaskan oleh Lukacs (2001:1049) seperti berikut:

“...the realist must seek out the lasting features in people, in their relations with each other and in the situations in which they have to act: he must focus on those elements which endure over long periods and which constitute the objective human tendencies of society and indeed of mankind as a whole.”

Selain itu, realiti menurut Lukacs mempunyai bentuk. Bentuk ini disifatkan sebagai keseluruhan dialektik yang mana kesemua bahagian berada dalam keadaan bergerak dan bertelingkah. Untuk memungkinkan tercermin dalam kesusasteraan secara realiti, pengkaji perlu mengkaji karya penulis yang bersifat kreatif dan yang memberikan bentuk. Karya yang terbentuk dengan betul akan menghasilkan bentuk karya kesusasteraan yang mencerminkan bentuk dunia realiti (Mana Sikana, 2008).

Page 13: Manuscript Title Integrasi Nasional dalam Novel Kanak

Faezah Muhayat et al.

Seterusnya, Model Pencerminan (Reflection) ini dikenali juga sebagai Model Peniruan (Memesis). Peniruan dalam konteks ini merupakan penyerlahan realiti sosial seperti yang terdapat dalam kehidupan sebenar. Dengan itu, kajian ini berpendapat bahawa suatu prinsip penting yang dapat dimanfaatkan ialah karya sastera dinukilkan dengan tujuan untuk mengungkapkan sejarah dan realiti sosial sesebuah masyarakat. Bagi Lukacs, sasterawan menjadi sumber makna dalam karya sastera melalui keupayaannya menggambarkan perkara-perkara yang berlaku dalam masyarakat secara objektif (Halis Azhan Mohd. Hanafiah, 2014). Dengan erti kata lain, Lukacs menganggap bahawa karya sastera hanya akan mengangkat makna sekiranya digarap dengan meniru dan menggambarkan semula realiti secara telus oleh pengarangnya. Beliau turut mengatakan bahawa terkandung dalam realiti ini ialah pengaruh-pengaruh lain dalam kehidupan manusia yang dianggap boleh mencorakkan dan menentukan sikap dan kecenderungan sesebuah masyarakat. Pengaruh-pengaruh ini melibatkan perkembangan seperti sosial, ekonomi, politik, dan pendidikan yang saling mengukuh dan melengkapi serta menjadi inti pati dalam karya sastera ketika dihasilkan oleh pengarang. Berdasarkan prinsip-prinsip yang dijelaskan, analisis dalam kajian ini akan melihat pertautan antara persoalan integrasi nasional yang diketengahkan oleh pengarang dengan realiti kehidupan masyarakat. ANALISIS DAN PERBINCANGAN

Secara ringkas, novel kanak-kanak Rahsia Dhia mengisahkan kecekalan seorang pelajar kelainan upaya (OKU) bernama Dhia yang mempunyai semangat dan keyakinan diri untuk berjaya walaupun dirinya serba kekurangan. Dhia yang tidak mempunyai jari pada sebelah tangan kanan, sentiasa bersemangat menyahut cabaran dan percaya kekurangan diri bukanlah faktor penghalang untuk dia terus berjaya. Berkat sokongan ibu tercinta dan pesanan arwah ayahnya, Dhia bangkit semula daripada kegagalan demi meneruskan impiannya. Novel yang memenangi hadiah Sayembara Menulis Novel Kanak-kanak 2013 anjuran Koperasi DBP (M) Berhad ini telah berjaya dinobatkan sebagai pemenang HSPM 2014 dalam kategori Novel Kanak-kanak. Sementara itu, novel kanak-kanak Iqbal Membina Jaya karya Radzemah Bolhassan telah memenangi hadiah sagu hati dalam Sayembara Menulis Novel dan Skrip Drama Kanak-kanak dan Remaja 2010 (kategori 9 hingga 12 tahun) sebelum dinobatkan sebagai pemenang HSPM 2015. Novel setebal 160 halaman ini mengisahkan ketabahan dan kesabaran seorang kanak-kanak bernama Iqbal yang berusia 11 tahun dalam menempuh kehidupan hariannya. Iqbal seorang anak yang rajin berusaha dan sayang kepada binatang berbanding dengan abang dan kakaknya yang bermasalah (pemalas, tidak pandai belajar, melawan kata

Page 14: Manuscript Title Integrasi Nasional dalam Novel Kanak

Integrasi Nasional dalam Novel Kanak-kanak Terpilih

orang tua, pembuli, suka bergaduh, tidak bertanggungjawab dan sering leka dengan dunia remajanya). Walaupun Iqbal merupakan anak bongsu, namun dia berusaha sendiri untuk mendapatkan wang dengan mengumpul tin minuman kosong untuk dijual. Wang yang diperoleh melalui hasil jualan tin bukan sahaja dapat membayar kos rawatan kucing kesayangannya, malah dapat membeli robot impiannya dan membayar duit denda buku yang dihilangkan oleh abangnya. Berdasarkan analisis, terdapat empat jenis integrasi yang dipaparkan dalam novel Rahsia Dhia dan Iqbal Membina Jaya, iaitu integrasi sosial, integrasi pendidikan, integrasi politik dan integrasi budaya.

Integrasi Sosial

Perhubungan sosial memainkan peranan penting bagi mewujudkan keamanan dan kesejahteraan masyarakat. Integrasi sosial merupakan usaha-usaha yang dilakukan dalam menyatupadukan rakyat melalui program-program sosial seperti sukan, pendidikan, perumahan dan kesihatan. Pernyataan ini turut dipersetujui oleh Ting Chew Peh (1997) yang mengatakan bahawa integrasi sosial ialah proses menyatupadukan pelbagai kelompok dalam masyarakat melalui satu identiti bersama. Integrasi sosial merupakan harapan kebanyakan masyarakat terutama bagi masyarakat berbilang kaum. Berdasarkan penelitian terhadap kedua-dua novel, integrasi sosial dapat dilihat melalui sikap mengambil berat rakan-rakan yang berlainan bangsa dan sikap saling hormat-menghormati antara satu sama lain. Sikap mengambil berat hal yang berlaku di sekeliling amat penting untuk melahirkan masyarakat yang prihatin dan saling memahami. Sikap ini amat diperlukan dalam mewujudkan integrasi sosial yang positif. Melalui novel Rahsia Dhia, sikap mengambil berat dapat dilihat melalui paparan watak-watak dalam cerita yang mewakili masyarakat pelbagai kaum di negara ini. Watak-watak tersebut didominasi oleh watak kanak-kanak perempuan yang merupakan rakan sekolah Dhia. Sebagai rakan sekelas, Kaveeta dan Sue Lin turut mengambil berat terhadap diri Dhia. Sue Lin dan Kaveeta bimbang dengan keadaan Dhia yang sudah dua hari tidak hadir ke sekolah. Lantaran itu, kedua-dua sahabat berlainan bangsa itu datang ke rumah Dhia untuk bertanyakan khabar. Kedatangan Sue Lin dan Kaveeta disambut baik oleh Dhia dan ibunya.

“Dhia, kami dengar kau ada masalah sekarang, betul? Tanya Sue Lin sebaik sahaja mama Dhia hilang dari pandangan mereka. “Yalah, apa masalah kau hingga kau tak datang ke sekolah semalam dan hari ini? Tanya Kaveeta pula. ...

Page 15: Manuscript Title Integrasi Nasional dalam Novel Kanak

Faezah Muhayat et al.

“Benarkah ada orang yang musnahkan reka cipta kau, Dhia?” Sue Lin sudah tidak sabar. Kawan-kawan sekelasnya telah heboh bercerita tentang hal Dhia itu. “Yalah, Dhia. Kami dengar kau sedih sebab ada orang sabotaj kau punya reka cipta untuk sambutan Hari Kemerdekaan di sekolah kita tu.” Sampuk pula Kaveeta yang sememangnya amat simpati dengan peristiwa yang menimpa Dhia (hlm. 69-71).

Petikan di atas jelas menunjukkan rasa keprihatinan Sue Lin dan Kaveeta tentang ketidakhadiran Dhia ke sekolah. Meskipun Dhia tidak memaklumkan sebab sebenar dia tidak hadir ke sekolah, namun kedua-dua sahabat ini dapat menyelami perasaan kecewa Dhia atas kemusnahan reka cipta yang dibuatnya, akibat perasaan dengki sesetengah rakannya. Peristiwa ini telah membuktikan kesedaran pengarang untuk mewujudkan nilai integrasi sosial melalui pemaparan watak kanak-kanak berbangsa Melayu, India dan Cina yang saling cuba memahami antara satu sama lain. Selain itu, layanan mesra Puan Dalilah terhadap Sue Lin dan Kaveeta dengan menghidangkan air panas dan pisang goreng menggambarkan sikap keterbukaan beliau dalam menyambut kehadiran tetamu. Peristiwa ini secara jelas menggambarkan citra masyarakat Malaysia yang penuh nilai kesopanan dan budi bahasa yang tinggi tanpa mengira warna kulit dan bangsa. Pengarang juga dilihat berusaha menzahirkan nilai-nilai murni dalam novel melalui watak-watak masyarakat berlainan bangsa yang hidup aman dan harmoni dalam sebuah negara. Tuntasnya, penonjolan aspek integrasi sosial dalam novel Rahsia Dhia melalui peniruan nama-nama watak yang mewakili pelbagai bangsa, menggambarkan identiti sebenar masyarakat Malaysia dan bersesuaian dengan prinsip peniruan dalam teori Sosiologi Sastera. Peniruan dalam konteks ini merupakan hasrat pengarang untuk mewujudkan identiti bangsa Malaysia yang hidup aman dan harmoni melalui perpaduan kaum yang ingin ditekankan kepada kanak-kanak. Budaya kunjung-mengunjung, beramah mesra dan sikap mengambil berat yang dipaparkan melalui watak Sue Lin dan Kaveeta adalah cerminan realiti masyarakat di Malaysia. Senario ini juga dapat dilihat dalam menyambut sesuatu perayaan seperti amalan rumah terbuka sempena Hari Raya Aidil Fitri, Tahun Baru Cina dan Deepavali. Selain itu, rakyat Malaysia juga turut meraikan pelbagai perayaan etnik lain seperti Pesta Kaamatan dan Hari Gawai yang disambut oleh masyarakat Kadazan Dusun dan Dayak di Sabah dan Sarawak. Amalan beramah mesra dan hormat-menghormati budaya masyarakat lain ini dapat meningkatkan keharmonian, kesejahteraan dan perpaduan yang merupakan elemen penting dalam memupuk integrasi nasional. Sementara itu melalui novel Iqbal Membina Jaya, integrasi sosial yang diketengahkan oleh pengarang dapat dilihat melalui nilai kerjasama dalam program sukan sempena Pesta Kaul Belawai yang melibatkan beberapa buah

Page 16: Manuscript Title Integrasi Nasional dalam Novel Kanak

Integrasi Nasional dalam Novel Kanak-kanak Terpilih

kampung di Daerah Kecil Belawai. Pesta ini merupakan acara tahunan yang diadakan selama tiga hari sempena ulang tahun Daerah Kecil Belawai dan merupakan satu usaha untuk mengangkat imej Belawai melalui sumber dan potensi dalam bidang pelancongan. Melalui pesta ini, pelbagai acara telah diadakan seperti senaman ‘poco-poco’, pertandingan menangkap itik, pertandingan bola sepak pantai, acara lumba basikal, acara larian, pesta layang-layang, pertandingan memancing dan sukan rakyat seperti menganyam ketupat, lari dalam guni dan pelbagai acara lain. Acara kemuncak pesta ini ialah acara lumba perahu yang diadakan pada hari ketiga dan melibatkan beberapa buah kampung di Daerah Kecil Belawai seperti Kampung Rajang, Kampung Jerijeh, Kampung Belawai, Kampung Serdeng dan Kampung Paloh. Keistimewaan acara kemuncak sukan lumba perahu ini dapat digambarkan melalui petikan berikut:

Esoknya mereka keluar awal juga untuk melihat acara lumba perahu. Acara kemuncak ini lebih meriah dari acara yang lain. Ini kerana acara lumba perahu menjadi acara tradisi masyarakat di sini, yang diwarisi turun-temurun oleh nenek moyang terdahulu. Orang yang selama ini tidak pernah keluar pasti akan muncul juga demi melihat acara ini. Di sepanjang pantai, manusia sudah berasak-asak untuk melihat jaguh perahu lumba (hlm. 74).

Gambaran suasana ini secara jelas menunjukkan wujudnya semangat kerjasama dalam kalangan masyarakat berbilang etnik di negeri Sarawak. Melalui acara sukan yang melibatkan pertandingan secara berpasukan seperti lumba perahu, bola sepak pantai, aktiviti jualan dan pameran serta sukan rakyat, interaksi sosial dalam kalangan individu pelbagai etnik seperti Melayu, Melanau, Cina dan Iban dapat diwujudkan. Penglibatan ibu dan bapa Iqbal dalam beberapa acara sukan seperti memancing dan sukan rakyat mewakili kampung mereka, memperlihatkan usaha yang dilakukan oleh watak untuk mewujudkan integrasi sosial dalam kalangan masyarakat. Gambaran semangat kerjasama dalam kalangan masyarakat pelbagai etnik ini sejajar dengan realiti kehidupan masyarakat di Malaysia yang dapat dilihat dalam sesuatu acara berpasukan seperti perlawanan bola sepak dan bola jaring yang memerlukan kerjasama antara ahli tanpa mengira kaum untuk mencapai kemenangan. Selanjutnya, paparan sikap saling membantu dalam kalangan masyarakat dapat dilihat melalui peristiwa Iqbal membawa kucingnya yang sakit ke klinik haiwan. Klinik haiwan tersebut dimiliki oleh seorang doktor berbangsa Iban bernama Edward. Layanan mesra Doktor Edward terhadap para pelanggannya membuktikan wujudnya integrasi sosial dalam kalangan masyarakat pelbagai etnik di Sarawak.

“Luka dah hampir kering tapi tak dibersih elok. Mungkin ada jangkitan kuman.” Dahi Iqbal mengerut. Resah. Doktor lelaki yang berbangsa Iban itu begitu tenang memeriksa Comot. Namanya Doktor Edward. Tertera tanda

Page 17: Manuscript Title Integrasi Nasional dalam Novel Kanak

Faezah Muhayat et al.

nama pada bajunya yang putih. ... “Biar saya bagi suntikan. Comot akan sihat. Jangan susah hati. Luka-luka ni pun ada ubatnya.” Jelas Dr. Edward itu (hlm.150).

Peristiwa di atas membuktikan keprofesionalan Doktor Edward dalam memberikan layanan dan rawatan yang terbaik kepada kucing pelanggannya, meskipun Iqbal bukan daripada etnik yang sama dengannya. Hal ini memperlihatkan semangat saling membantu yang ditunjukkan oleh Doktor Edward melalui layanan baik kepada semua pesakit yang berbilang etnik. Situasi yang sama dapat dilihat dalam pasukan perubatan Malaysia yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan keturunan. Tanpa mengira kaum, mereka memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada setiap pesakit. Dalam keadaan Malaysia menghadapi penularan wabak Covid-19 misalnya, semangat saling membantu antara petugas barisan hadapan dan masyarakat yang terdiri daripada pelbagai kaum dapat dilihat dengan jelas apabila wabak ini dapat ditangani dengan baik. Pencapaian Malaysia yang berjaya memenuhi enam kriteria yang ditetapkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dalam usaha menangani penularan pandemik Covid-19, merupakan bukti kukuh sikap saling membantu yang ditunjukkan oleh setiap lapisan masyarakat (Khairil Anwar, 2020). Hal ini turut diakui oleh Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin (2020) yang mengatakan bahawa perpaduan rakyat Malaysia tanpa mengira perbezaan kaum, warna kulit dan status sosial merupakan kunci kejayaan negara mengatasi pandemik Covid-19. Oleh yang demikian, jelaslah bahawa melalui integrasi sosial yang baik dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum di negara ini, sebarang masalah yang dihadapi pasti dapat diatasi sekaligus menjadikan Malaysia terus cemerlang di mata dunia. Pendedahan nilai-nilai positif seperti saling membantu ini, harus ditekankan dalam novel kanak-kanak untuk memberikan pendidikan kepada pembaca kanak-kanak tentang kepelbagaian etnik dan keharmonian yang wujud di negara ini berdasarkan realiti kehidupan masyarakat. Integrasi Pendidikan Umum mengetahui bahawa dasar laissez-faire dan dasar ‘pecah dan perintah’ yang diperkenalkan oleh British telah mencipta pemisahan dan turut mempengaruhi perkembangan sistem pendidikan di Tanah Melayu. Sehingga tahun 1956, tidak terdapat satu sistem pendidikan kebangsaan di Tanah Melayu kecuali Penyata Razak 1956. Apa yang ada ialah empat jenis aliran pendidikan yang berlainan, iaitu aliran Inggeris, Melayu, Cina dan India. Oleh itu, wujud aliran pendidikan dan amalan budaya yang berbeza antara kaum di Malaysia. Perkara ini telah menyukarkan usaha menyatupadukan penduduk Malaysia.

Page 18: Manuscript Title Integrasi Nasional dalam Novel Kanak

Integrasi Nasional dalam Novel Kanak-kanak Terpilih

Justeru, kerajaan telah mengambil langkah mewujudkan sekolah satu aliran yang menempatkan murid daripada pelbagai kaum. Meskipun usaha ini kurang mendapat sambutan daripada masyarakat Cina dan India, namun ada juga segelintir masyarakat ini yang menghantar anak-anak mereka ke sekolah aliran kebangsaan. Hal ini dapat dibuktikan dalam novel kanak-kanak Rahsia Dhia yang mengungkapkan kisah sekolah satu aliran yang diwakili oleh watak Kaveeta, Sue Lin dan Dhia yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan Kompleks Gong Badak. Meskipun kebanyakan sekolah aliran kebangsaan mempunyai ramai pelajar Melayu, namun Kaveeta dan Sue Lin dapat menyesuaikan diri mereka di sekolah tersebut dan bergaul mesra bersama dengan murid bangsa Melayu yang lain. Mereka juga merupakan pelajar yang aktif di dalam kelas dan tidak kekok dalam memberikan pandangan sewaktu sesi pembelajaran di sekolah. Selanjutnya, analisis daripada novel ini turut memperlihatkan pemaparan integrasi pendidikan melalui pertandingan membuat Jalur Gemilang menggunakan bahan terbuang. Program anjuran pihak sekolah yang mewajibkan semua murid tahap dua mengambil bahagian dalam pertandingan membuat Jalur Gemilang bertemakan “Cinta akan Negara” ini, menunjukkan ketegasan Guru Besar dalam menyemai sikap patriotisme dalam kalangan murid sekolah. Keterlibatan murid daripada pelbagai kaum seperti Kaveeta dan Sue Lin dalam pertandingan ini, secara tidak langsung dapat memupuk semangat patriotisme dan perpaduan dalam kalangan generasi muda.

“Kalau begitu, kami kena buat rekaan sendiri berdasarkan kreativiti yang menarik dan bertemakan “Cinta akan Negara,” tambah ketua kelas lagi. “Ha, memang itulah tema yang baik!” balas Cikgu Norazma. ... “Tetapi, untuk menghasilkan satu rekaan berdasarkan “Cinta akan Negara” daripada bahan-bahan terbuang, bukanlah perkara senang, cikgu,” balas Nurul Syuhada lagi. “Bukan juga sukar untuk dilakukan semua itu. Kamu semua kena tahu bahawa Guru Besar kita mahu semua murid tahap dua mengambil bahagian dalam pertandingan ini. Tidak boleh tidak,” tegas suara Cikgu Norazma menyentuh cuping telinga setiap muridnya (hlm.3-4).

Dalam konteks sebenar negara Malaysia, bendera Malaysia yang juga dikenali sebagai Jalur Gemilang merupakan lambang kedaulatan negara. Selain bendera, Jata Negara, lagu Negaraku dan Rukun Negara merupakan simbol dan lambang perpaduan masyarakat Malaysia yang diwujudkan oleh kerajaan untuk melahirkan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat. Sehubungan dengan itu, persoalan yang diketengahkan oleh penulis novel ini amat bertepatan dalam

Page 19: Manuscript Title Integrasi Nasional dalam Novel Kanak

Faezah Muhayat et al.

usaha mendidik generasi muda mengenal simbol dan lambang negara yang perlu dipertahankan dan dihargai oleh setiap lapisan masyarakat. Sesuai dengan fungsi karya sastera sebagai wahana pendidikan, novel Iqbal membina Jaya dilihat turut memberikan perhatian dalam aspek integrasi pendidikan. Integrasi pendidikan dalam konteks kajian ini ialah sistem pendidikan yang bercorak kebangsaan dan sempurna dari segi intelek, jasmani dan rohani. Selepas negara mencapai kemerdekaan, timbul kesedaran tentang kepentingan penyatuan rakyat melalui pendidikan. Untuk itu, kerajaan telah memperkenalkan Dasar Pendidikan Kebangsaan (seterusnya DPK) untuk membentuk satu identiti baharu. Antara matlamat DPK ialah menyatukan sistem pendidikan bagi mewujudkan kesedaran dan perpaduan kebangsaan, menyatukan kanak-kanak sekolah dari pelbagai kaum melalui sistem pendidikan yang tidak membebankan kewangan negara dan melahirkan warganegara yang bertanggungjawab, bersatu padu, berdisiplin dan berakhlak. Pemaparan aspek integrasi pendidikan dalam novel Iqbal Membina Jaya dapat dilihat melalui watak Iqbal dan abang serta kakaknya yang mengikuti persekolahan aliran kebangsaan. Iqbal merupakan murid darjah lima yang belajar di Sekolah Kebangsaan Taman Ceria, sementara abang dan kakaknya yang masing-masing berada di tingkatan 3 dan tingkatan 2 telah bersekolah di Sekolah Menengah Kerajaan Belawai. Seperti pelajar lain, Ikhwan yang merupakan abang sulung Iqbal turut mengambil peperiksaan umum pelajar tingkatan tiga, iaitu Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang diperkenalkan oleh kerajaan pada ketika itu. Selain itu, penulis novel ini turut membangkitkan persoalan menabung dalam PTPTN. Cita-cita Iqbal untuk menabung dan ingin memasukkan duit ke dalam bank bagi memudahkan beliau mendapatkan pinjaman apabila menerima tawaran belajar ke universiti, menunjukkan kepekaan penulis terhadap persoalan-persoalan semasa yang berlaku di persekitarannya. Kesedaran Iqbal dan ibunya menabung dan menyimpan wang dengan membuka akaun PTPTN sebagai syarat untuk mendapat bantuan pinjaman pendidikan, menunjukkan sikap tanggungjawab ibu bapa Iqbal tentang kepentingan pendidikan anak-anak mereka demi menjamin masa depan yang cerah. Dalam konteks pendidikan di Malaysia pada hari ini, kerajaan juga menyediakan kemudahan pinjaman pendidikan kepada semua pelajar yang berkelayakan tanpa mengira kaum untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi. Oleh yang demikian, jelaslah bahawa melalui integrasi pendidikan, pengarang menggarap pelbagai isu yang berlaku dalam dunia realiti seperti sekolah satu aliran, kepentingan memupuk semangat patriotisme melalui bendera Malaysia dan kesedaran menabung dalam PTPTN untuk menyampaikan dasar-dasar yang

Page 20: Manuscript Title Integrasi Nasional dalam Novel Kanak

Integrasi Nasional dalam Novel Kanak-kanak Terpilih

diperkenalkan oleh kerajaan kepada pembaca kanak-kanak. Semua persoalan ini merupakan dokumen sosial yang penting dan telah diolah secara kreatif, imaginatif dan kritis oleh pengarang agar dapat menarik minat pembaca kanak-kanak untuk memahami dan mengetahui perkembangan semasa yang berlaku di sekitar mereka. Segala dasar yang diperkenalkan oleh kerajaan ini penting difahami oleh setiap lapisan masyarakat termasuk kanak-kanak kerana matlamat akhirnya adalah untuk memupuk semangat integrasi nasional dalam kalangan masyarakat majmuk di Malaysia.

Integrasi Politik

Sastera dan politik merupakan dua bidang yang saling berkait rapat. Melalui sastera, isu-isu politik diterjemahkan dalam bentuk kreatif dan imaginatif berdasarkan kreativiti pengarang. Dalam hal ini, karya sastera bukan sahaja berfungsi sebagai hiburan, pendidikan dan kritikan sosial semata-mata, malah karya sastera juga mengandungi sensitiviti, emosi, wawasan, ideologi dan harapan seseorang pengarang (Zainal Kling,1989). Dengan kata lain, melalui karya sastera seseorang pengarang turut melahirkan pandangan, pemikiran, misi dan visi mereka terhadap sesuatu isu yang dibangkitkan dalam arus peredaran zaman. Keadaan ini menjadikan karya sastera lebih menarik dan fleksibel untuk tatapan khalayak pembaca. Hakikat ini menjelaskan bahawa novel kanak-kanak juga boleh dijadikan medium untuk mengungkapkan pemikiran politik pengarang secara langsung atau tidak langsung. Dalam konteks kajian ini, integrasi politik yang dimaksudkan ialah usaha-usaha menyatukan rakyat melalui kerjasama dan pembahagian kuasa politik. Kerjasama dan pembahagian kuasa politik dapat diinterpretasikan melalui sikap sedia menghormati atau menerima pendapat kaum lain walaupun berbeza pandangan dengan kaum sendiri. Di samping itu, pelantikan barisan kepimpinan yang disertai oleh pemimpin pelbagai kaum dan penggabungan parti-parti politik yang mempunyai ideologi berlainan juga adalah contoh pembahagian kuasa politik yang bertujuan untuk menyatukan rakyat. Berdasarkan analisis, aspek integrasi politik tidak dipaparkan oleh pengarang dalam novel Rahsia Dhia. Dalam novel Iqbal Membina Jaya pula, unsur-unsur integrasi politik ditonjolkan secara tidak langsung oleh pengarang melalui kehadiran Yang Berhormat wakil rakyat dalam merasmikan Pesta Kaul Belawai. Meskipun demikian, watak Yang Berhormat tersebut tidak dijelaskan secara terperinci dan hanya dinyatakan hadir untuk memberikan ucapan dan merasmikan program melalui acara menaikkan layang-layang sebagai simbolik bermulanya pesta tersebut. Di samping itu, penceritaan oleh pengarang yang mengatakan bahawa bapa Iqbal merupakan JKKK Kampung Jerijeh dan Tok Imam Shahdan sebagai Imam

Page 21: Manuscript Title Integrasi Nasional dalam Novel Kanak

Faezah Muhayat et al.

Kampung Belawai, secara tidak langsung memberikan gambaran kepada pembaca tentang wujudnya integrasi politik dalam kalangan etnik di Sarawak. Hal ini menjelaskan kepada pembaca bahawa wujud organisasi dan susun lapis pentadbiran dalam sesebuah masyarakat di Daerah Kecil Belawai. Lazimnya para pentadbir kawasan ini dikenali bukan sahaja di kawasan pentadbirannya, malah turut dikenali oleh masyarakat luar apabila mereka berkumpul atau bermesyuarat di peringkat yang lebih tinggi seperti peringkat daerah atau negeri. Hal ini dapat dibuktikan melalui petikan berikut:

“Iqbal tinggal di mana? Soalnya. “Kampung Jerijeh.” “Bapa nama apa?” “Rosli” “Rosli?” “Rosli yang kerja di mana? Yang kerja di Tanjung Manis?” soalnya lagi. Iqbal berharap orang tua itu kenal akan bapanya kerana bapanya agak terkenal kerana dia terlibat juga dengan JKKK kampung (hlm.85).

... “Oh anak Rosli. Atuk kenal. Atuk selalu jumpa ayah kamu apabila ada mesyuarat. Atuk ni Imam di Kampung Belawai.” Ujarnya seraya menggerakkan motosikalnya itu (hlm. 85).

Dialog ini secara tidak langsung memberikan gambaran kepada pembaca tentang kewujudan sistem pentadbiran peringkat kampung, daerah dan negeri yang dianggotai oleh pelbagai etnik di Sarawak. Meskipun struktur pentadbiran tersebut tidak dinyatakan dengan jelas oleh pengarang, namun penceritaannya secara tidak langsung dalam plot-plot tertentu turut memberi pemahaman kepada pembaca kanak-kanak tentang adanya penyatuan pelbagai etnik dalam sistem pentadbiran dan pemerintahan dalam sesebuah kawasan. Usaha pengarang menggambarkan integrasi politik dalam karya kanak-kanak ini menunjukkan ketelusannya dalam memaparkan semula realiti sosial yang melingkari kehidupan masyarakat di Malaysia. Hal ini turut menjelaskan peranan sasterawan sebagai sumber makna dalam karya sastera melalui keupayaan mereka menggambarkan perkara-perkara yang berlaku dalam masyarakat secara objektif sebagaimana yang ditekankan oleh Lukacs. Dalam dunia realiti, sejarah perpaduan politik di Malaysia memperlihatkan perkongsian kuasa politik antara masyarakat pelbagai kaum yang diwakili oleh Barisan Nasional. Komponen Barisan Nasional ini dianggotai oleh United Malay National Organization (UMNO) mewakili masyarakat Melayu, Malaysian Chinese Associaton (MCA) mewakili masyarakat Cina dan Malaysian Indian Congress (MIC) yang mewakili masyarakat India. Perkongsian kuasa ini penting dalam menjamin kestabilan politik dan perpaduan kaum yang mantap dan utuh. Buktinya melalui ikatan politik yang kuat, Persekutuan Tanah Melayu berjaya

Page 22: Manuscript Title Integrasi Nasional dalam Novel Kanak

Integrasi Nasional dalam Novel Kanak-kanak Terpilih

memperoleh kemerdekaan daripada kerajaan British pada tahun 1957. Dalam senario politik di Malaysia pada hari ini, formula perkongsian kuasa politik masih diteruskan dalam kerajaan Perikatan Nasional yang turut menggabungkan para pemimpin pelbagai kaum seperti Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Parti Islam Se-Malaysia (PAS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Parti Bersatu Sabah. Tuntasnya, sejarah telah membuktikan bahawa keamanan sesebuah negara yang mempunyai masyarakat berbilang kaum boleh dikekalkan melalui integrasi politik yang melibatkan pelbagai etnik di negara ini. Integrasi Budaya

Budaya merupakan cara hidup manusia yang dibentuk supaya dapat berinteraksi dan menyesuaikan diri dengan masyarakat dan alam sekitar. Lacey (1996) memberikan maksud budaya sebagai “the way of life of a people including their attitudes, values, beliefs, arts, science, modes of perception, and habits of thought and activity. Cultural features of forms of life are learned but are often too pervasive to be readily noticed from within.” Oleh yang demikian, dapat dikatakan bahawa budaya merupakan keseluruhan kompleks yang mengandungi ilmu pengetahuan, kepercayaan, kesenian, moral, undang-undang, adat dan sebarang bentuk kebiasaan. Menurut Scupin & DeCorse (2001), budaya dapat dibahagikan kepada dua jenis, iaitu budaya bersifat kebendaan (material) dan budaya yang bersifat bukan kebendaan (non material). Budaya kebendaan adalah seperti peralatan yang dapat memberi simbol dan makna kepada orang lain yang bersifat konkrit. Manakala budaya bukan benda ialah kepercayaan, adat istiadat dan undang-undang. Masyarakat yang yakin kepada budayanya akan menunjukkan rasa hormat dan patuh kepada amalan dan larangan yang terdapat dalam masyarakat tersebut. Dalam konteks kajian ini, integrasi budaya merujuk kepada usaha-usaha membentuk satu kebudayaan kebangsaan dengan saling menyesuaikan diri antara unsur-unsur kebudayaan yang ada dan meminimumkan perbezaan identiti masing-masing. Melalui novel Rahsia Dhia, paparan budaya dapat dilihat melalui simbol negara seperti bendera yang menjadi lambang kepimpinan, penghormatan dan kedaulatan sesebuah negara. Bendera ditakrifkan sebagai sebidang kain yang diperagakan bagi menunjukkan tanda dan lambang kewujudan sesebuah negara. Dalam perspektif negara Malaysia, Jalur Gemilang yang mengandungi 14 jalur merah dan putih melintang yang sama lebar dalam budaya Melayu lazimnya dikaitkan dengan kedudukan golongan raja yang memerintah dan jajahan takluknya. Setiap lambang dan warna yang terdapat pada bendera Malaysia mewakili maksud-maksud tertentu yang menjadi pegangan dan kepercayaan masyarakat. Misalnya, lambang anak bulan membawa maksud Islam sebagai

Page 23: Manuscript Title Integrasi Nasional dalam Novel Kanak

Faezah Muhayat et al.

agama rasmi negara, manakala bintang pecah 14 melambangkan perpaduan 13 buah negeri (iaitu Kedah, Pahang, Kelantan, Johor, Perak, Perlis, Selangor, Negeri Sembilan, Terengganu, Sarawak, Pulau Pinang, Sabah, Melaka) dan Wilayah persekutuan (Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya). Dari sudut warna pula, warna merah melambangkan keberanian, warna putih melambangkan kesucian, warna kuning melambangkan kedaulatan raja-raja Melayu dan warna biru melambangkan perpaduan rakyat Malaysia. Justeru, semangat cintakan Jalur Gemilang yang ditunjukkan oleh Dhia dan rakan-rakan berlainan bangsa ini, wajar menjadi contoh kepada kanak-kanak lain. Dengan adanya penerapan integrasi budaya dalam novel kanak-kanak, secara tidak langsung akan mendidik kanak-kanak menjadi lebih peka dalam menjaga sensitiviti masyarakat serta tidak menimbulkan provokasi yang boleh menimbulkan ketegangan. Isu mengibarkan bendera Malaysia secara terbalik misalnya, bukan sahaja menimbulkan kemarahan kepada rakyat Malaysia, malah perbuatan tersebut dianggap menghina lambang dan kedaulatan negara. Berbeza dalam novel kanak-kanak Iqbal membina Jaya, paparan integrasi budaya dapat dilihat dalam acara yang berlaku di Pesta Kaul Belawai melalui persembahan tarian oleh masyarakat pelbagai etnik di Sarawak seperti Melanau, Iban, Cina dan Melayu yang mempersembahkan tarian dengan pakaian lengkap mengikut adat masing-masing. Hal ini diperjelaskan lagi oleh pengarang melalui dialog watak-watak yang mendukung cerita seperti berikut:

Kelihatan beberapa anak muda sudah bersiap sedia untuk menunjukkan tarian Melanau di tangga bagi menyambut kedatangan Yang Berhormat. ... Selain itu masyarakat lain seperti Iban, Cina dan Melayu juga sudah bersiap sedia untuk mempersembahkan tarian mereka dengan pakaian mengikut adat masing-masing. Iqbal benar-benar tidak sabar mahu melihat majlis ini dimulakan (hlm.50).

Selain itu, pengarang bijak mengolah dan mempelbagaikan teknik penceritaan untuk memberikan penjelasan yang lebih terperinci tentang busana suku etnik Melanau melalui perbualan antara Iqbal dan ibunya. Penggunaan teknik dialog antara Iqbal dan ibunya ini dilihat sesuai dengan jiwa kanak-kanak yang sering bertanya dan ingin tahu tentang sesuatu perkara yang tidak diketahuinya.

“Mak, mak. Itu pakaian tradisi orang Melanau?” “Ya, Iqbal harus tahu bahawa itu baju tradisi kita.” “Kenapa mak tak pernah pakai pun.” “Itulah pentingnya kita pergi ke majlis begini kerana di sini kita mengenal adat dan budaya kita dengan lebih jelas lagi. Walaupun mak tak memakainya tetapi mak tahu. Lagipun kita ada baju yang lebih ringkas dan mudah untuk kita bergerak.” Mak cuba menjelaskan pandangannya.

Page 24: Manuscript Title Integrasi Nasional dalam Novel Kanak

Integrasi Nasional dalam Novel Kanak-kanak Terpilih

... “Budaya menunjukkan bangsa. Pelbagai bangsa di Malaysia. Orang dulu-dulu menggunakan pakaian tradisi untuk beberapa majlis rasmi. Jadi kita sebagai masyarakat Melanau kena tahu bahawa inilah baju tradisi kita.” Jelas mak. Iqbal mengangguk-anggukkan kepala. Mak menarik nafas lega (hlm.51).

Melalui perbualan di atas, kanak-kanak diberi pendedahan dan maklumat tentang busana etnik Melanau dan waktu penggunaannya. Malah, melalui teknik dialog, khalayak dapat mengetahui tentang warna busana etnik Melanau yang berwarna hitam. Di samping itu, pemaparan budaya benda seperti gendang Melayu turut digarap oleh novelis melalui teknik penceritaan secara pemerian. Berikutnya melalui dialog kakak Iqbal, Iriwanty dengan ibunya pula, pengarang ingin menyampaikan mesej kepada pembaca tentang peri pentingnya generasi muda mengetahui budaya dan lenggok tarian yang dimiliki oleh bangsanya. Apabila kanak-kanak mengetahui seni budaya bangsanya, usaha ini secara tidak langsung dapat mengukuhkan jati diri generasi muda dan seterusnya akan melahirkan masyarakat yang mencintai budaya seninya.

“Mak ada belajar tarian Melanau?” Iriwanty pula bertanya. “Dulu ada. Mak masih ingat lagi. Mak mahu kamu lihat bagaimana lenggoknya tarian kita. Kalau ada orang tanya kita dapatlah menerangkan secara ringkas. Takkan orang Melanau sendiri tak tahu langsung tentang perihal tarian masyarakat sendiri.” Iriwanty berpuas hati dengan jawapan mak (hlm.52).

Dialog ini menerangkan kepada kanak-kanak peri pentingnya mempelajari seni budaya bangsa sendiri agar dapat dipertahankan dan disebarkan kepada masyarakat lain. Penjelasan ini secara tidak langsung memberi informasi kepada khalayak khususnya pembaca kanak-kanak tentang aspek budaya bukan benda yang digarap oleh penulis melalui bentuk tarian yang dipersembahkan oleh pelbagai etnik di Sarawak seperti etnik Melanau, Cina, Melayu dan Iban yang dipersembahkan secara berterusan dalam Pesta Kaul Belawai. Sejajar dengan prinsip Model Pencerminan Lukacs, paparan pelbagai budaya benda dan bukan benda yang diketengahkan oleh pengarang dalam kedua-dua novel, jelas menunjukkan bahawa kesusasteraan sebagai cerminan dan lambang masyarakat kerana memaparkan realiti sosial melalui kepelbagaian budaya yang harus diketahui dan dihargai oleh kanak-kanak. Dalam realiti kehidupan masyarakat Malaysia, usaha Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) memperkenalkan pelbagai program kesenian dan kebudayaan seperti Festival Tari Malaysia yang memaparkan pelbagai jenis tarian masyarakat di Malaysia, merupakan salah satu cara memupuk integrasi budaya dalam kalangan masyarakat. Melalui program seumpama ini, setiap etnik akan lebih mengenali budaya etnik lain, sekaligus melahirkan perasaan hormat-

Page 25: Manuscript Title Integrasi Nasional dalam Novel Kanak

Faezah Muhayat et al.

menghormati antara satu sama lain. Tegasnya, untuk mengekalkan keharmonian masyarakat dan mengukuhkan integrasi nasional, penekanan aspek penyatuan budaya wajar diberi perhatian oleh pengarang novel kanak-kanak agar generasi muda lebih memahami budaya sendiri dan budaya masyarakat lain yang terdapat di Malaysia.

KESIMPULAN

Berdasarkan analisis terhadap novel Rahsia Dhia dan Iqbal Membina Jaya, penelitian mendapati bahawa beberapa aspek integrasi nasional telah diketengahkan oleh pengarang dalam novel mereka. Aspek integrasi nasional ini berjaya digarap dengan baik melalui olahan gaya penulisan kreatif yang mudah dan sesuai dengan tahap pembacaan kanak-kanak. Sungguhpun demikian, tidak semua aspek integrasi nasional yang dirumuskan oleh tokoh-tokoh sosiologi yang dibincangkan pada awal kajian ini, disentuh oleh pengarang dalam kedua-dua novel. Ringkasan aspek integrasi nasional yang terdapat dalam kedua-dua novel dirumuskan dalam jadual berikut:

Jadual 1: Analisis aspek-aspek integrasi nasional dalam novel kajian

Aspek-aspek Integrasi Nasional Rahsia Dhia Iqbal Membina Jaya Integrasi wilayah × × Integrasi sosial Integrasi budaya Integrasi ekonomi × × Integrasi pendidikan Integrasi politik ×

Berdasarkan jadual, secara jelas menunjukkan bahawa aspek integrasi wilayah dan integrasi ekonomi tidak diperkatakan dalam kedua-dua novel. Sungguhpun demikian, integrasi sosial, integrasi budaya dan integrasi pendidikan ada disentuh oleh kedua-dua pengarang dalam plot tertentu, manakala aspek integrasi politik hanya diperkatakan dalam novel Iqbal Membina Jaya. Berbanding novel Rahsia Dhia, novel Iqbal membina Jaya dilihat lebih memperlihatkan kesungguhan pengarang dalam memaparkan aspek-aspek integrasi nasional khususnya aspek integrasi budaya yang banyak menyentuh tentang kepelbagaian budaya etnik di Sarawak. Pengarang telah menerapkan elemen integrasi nasional melalui watak yang diketengahkan dalam cerita dan beberapa peristiwa dalam perkembangan plot. Hal ini secara tidak langsung membuktikan bahawa pengarang berusaha untuk memberi kesedaran dalam menyuntik semangat integrasi nasional kepada kanak-kanak melalui karya yang dihasilkannya. Selanjutnya, analisis turut menunjukkan bahawa garapan tema dalam kedua-dua novel kanak-kanak yang diteliti memang dipengaruhi oleh perubahan-perubahan

Page 26: Manuscript Title Integrasi Nasional dalam Novel Kanak

Integrasi Nasional dalam Novel Kanak-kanak Terpilih

sosial, ekonomi, politik dan pendidikan serta faktor sejarah yang berlaku di Malaysia. Hal ini secara tidak langsung turut mengaitkannya dengan sejarah masyarakat dan dasar-dasar yang telah diperkenalkan oleh kerajaan yang termaktub dalam sistem pendidikan, ekonomi, politik dan sosial. Dalam hal ini, novel kanak-kanak yang diteliti dilihat kerap mengungkapkan isu-isu dan persoalan-persoalan yang sejajar dengan agenda pembangunan negara seperti pengukuhan rasa cinta terhadap bendera Malaysia, pendidikan kebangsaan, acara budaya dan kepelbagaian kaum. Apa yang jelas, pengungkapan kesemua isu dan persoalan tentang integrasi nasional ini dilihat wajar dan sesuai dengan tahap usia kanak-kanak. Analisis turut membuktikan bahawa novel kanak-kanak berupaya menyalurkan ideologi dan agenda pembangunan negara serta mampu menjadi medium penyatu bangsa dalam kalangan kanak-kanak.

BIBLIOGRAFI

____. 2016. Laporan Panel Penilai Hadiah Sastera Perdana 2014. Dewan Sastera,1:15-23. Anwar Ridhwan. 2020. Jata Negara Lambang Kekuatan Bahasa Melayu. BHOnline. 27

Julai 2020. https://www.bharian.com.my. (accessed 5 January 2021). Arba’ie Sujud. 2020. Kerelevanan Karya Sastera sebagai Medium Perpaduan. Dewan

Sastera, 9: 9-15. Bahagian Penerbitan Dasar Negara. 2016. Perpaduan dan Integrasi Nasional. Putrajaya:

Jabatan Penerangan Malaysia. Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan. 2012. Dasar Pendidikan

Kebangsaan (Edisi Ketiga). Putrajaya: Kementerian Pendidikan Malaysia. Bernama. 2020. Perpaduan Rakyat Faktor Kejayaan Tangani Covid-19: PM. Harian

Metro Online. 9 Julai 2020. http://www.hmetro.com.my. (accessed 21 September 2020).

Browne, Ken. 1992. An Introduction to Sociology. Cambridge: Polity Press. Carlton J.H Hayes. 1931. The Historical Evolution of Modern Nationalism. New York:

Cambridge University Press. Danziger M.K & Johson W.S. 1983. Pengenalan Kritikan Sastera. Kuala Lumpur:

Dewan Bahasa dan Pustaka. Ding Choo Ming. 2015. Memperkasakan Integrasi Nasional melalui Sastera Kebangsaan.

Dewan Sastera, 8:18. Ding Choo Ming. 2018. Banyak Lagi Karya Sastera Mengenai Pelbagai Kaum

Diperlukan. Academia Online. http://www.academia.edu.(accessed 13 Mac 2020). Durkheim, E. 1958. Sociology and Philosophy. New York: Free Press. Fadli al-Akiti. 2015. Cabaran Sastera Kebangsaan Melestarikan Integrasi Nasional.

Dewan Sastera,8:1. Halis Azhan Mohd. Hanafiah. 2014. Dinamika Tema dalam Novel Remaja di Malaysia.

PhD diss., Universiti Putra Malaysia. Harun Mat Piah. 2006. Kesusasteraan Melayu Tradisional. Kuala Lumpur: Dewan

Bahasa dan Pustaka.

Page 27: Manuscript Title Integrasi Nasional dalam Novel Kanak

Faezah Muhayat et al.

Ismail Hussein. 1974. The Study of Traditional Malay Literature: With A Selected Bibliography by Ismail Hussein. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Kamarulzaman Kamaruddin. 2011. Psikologi Perkembangan: Panduan untuk Guru. Tanjong Malim: Penerbit UPSI.

Khairil Anwar Mohd. Amin. 2020. Malaysia Penuhi Enam Kriteria WHO Tangani Covid-19. Sinar Harian Online. 1 Mei 2020. https://www.sinarharian.com.my/article/81437/KHAS/Covid-19/Malaysia-pen (accessed 3 December 2020).

Lacey, A.R. 1996. A Dictionary of Philosophy. London: Routledge & Kegan Paul Ltd. Laporan Panel Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2014. 2015. Kuala Lumpur: Dewan

Bahasa dan Pustaka. Laporan Panel Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2015/2016. 2016. Kuala Lumpur:

Dewan Bahasa dan Pustaka. Lukacs, Georg. 1971. The Theory of The Novel. Massachusets: MIT Press. Lukacs, Gyorgy. 2001. The Norton Anthology of Theory and Criticism. New York:

W.W.Norton & Company. Mana Sikana. 2008. Teori Sastera Kontemperori. Edisi III. Bangi: Pustaka Karya. Misran Rokimin. 2010. Penerapan Ideologi Negara dalam Sastera Kanak-kanak. Dewan

Sastera, 10: 35-37. Nazaruddin Sjamsuddin. 1989. Integrasi Politik di Indonesia. Jakarta: Gramedia. Nisah Haron. 2017. Sastera Kanak-kanak Bukan Dunia yang Kecil. Dewan Sastera, 9:

40-42. Nor ‘Asyikin Mat Hayin. 2020. Tulisan Jawi adalah Identiti Negara. MyMetro. 5 Januari

2020. https://www.hmetro.com.my. (accessed 5 January 2021). Radzemah Bolhassan. 2015. Iqbal Membina Jaya. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan

Pustaka. Rosli Talib. 2020. Hubungan Kaum, Agama Semakin Parah di Malaysia. Sinar Harian.

10 Januari 2020. https://www.sinarharian.com.my/article/65292/ KHAS/. (accessed 5 January 2021).

Scupin Raymond & Christopher R. DeCorse. 2001. Anthropology: A Global Perspective (7th Edition). New York: Pearson.

Shamsul Amri Baharuddin. 2007. Budaya yang Tercabar. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Sidi Gazalba. 1986. Masyarakat Islam: Pengantar Sosiologi dan Sosiografi. Kuala Lumpur: Penerbitan Pustaka Antara.

Ting Chew Peh. 1997. Konsep Asas Sosiologi. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Weiner, M. 1965. Political Integration and Political Development. Annual of American

Academy of Political and Social Science, 358: 52-64. Wriggins, W. Howard. 1966. Modernization. New York: Basic Books. Zaid Ahmad, Ho Hui Ling & Sarjit Singh Gill. 2006. Hubungan Etnik di Malaysia. Shah

Alam: Oxford Fajar Bakti. Zainal Kling. 1989. Pemikiran Sosiopolitik Melayu II. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan

Pustaka. Zainiah Mohamed Isa. 2009. Pemilihan Buku Bacaan Bahasa Melayu yang Sesuai untuk

Kanak-kanak di Malaysia. Jurnal Bitara, 2: 45-57. Zainun Mustapha. 2014. Rahsia Dhia. Kuala Lumpur: Koperasi DBP (M) Berhad.