kuliah minggu 1.doc

19
NOTA KULIAH LSA 1043 Pensyarah : Yunus Sauman Sabin Bilik : No. 30, Tingkat 1, Kompleks Seni dan Muzik MINGGU 1 PENGENALAN Definisi Arkeologi Arkeologi selalunya akan membangkitkan kesedaran tentang gambaran yang mengasyikkan, jumpaan-jumpaan yang menarik, misteri masa silam, kemahiran manusia purba, kerja- kerja penyelidikan yang teliti dan mungkin membosankan serta publisiti. Bukan itu sahaja tetapi banyak lagi gambaran yang akan timbul di fikiran kita apabila menyebut tentang arkeologi seperti tengkorak, serpihan-serpihan batu dan tembikar tanah dan sebagainya. Seolah-olah terdapat satu dorongan untuk terus menggali, untuk terus memegang objek- objek purba, membayangkan keadaan dan suasana masa silam dan 1

Upload: azan-slysa

Post on 13-Sep-2015

237 views

Category:

Documents


10 download

TRANSCRIPT

NOTA KULIAH LSA 1043

NOTA KULIAH LSA 1043

Pensyarah: Yunus Sauman Sabin

Bilik

: No. 30, Tingkat 1, Kompleks Seni dan Muzik

MINGGU 1

PENGENALAN

Definisi Arkeologi

Arkeologi selalunya akan membangkitkan kesedaran tentang gambaran yang mengasyikkan, jumpaan-jumpaan yang menarik, misteri masa silam, kemahiran manusia purba, kerja-kerja penyelidikan yang teliti dan mungkin membosankan serta publisiti. Bukan itu sahaja tetapi banyak lagi gambaran yang akan timbul di fikiran kita apabila menyebut tentang arkeologi seperti tengkorak, serpihan-serpihan batu dan tembikar tanah dan sebagainya. Seolah-olah terdapat satu dorongan untuk terus menggali, untuk terus memegang objek-objek purba, membayangkan keadaan dan suasana masa silam dan lain-lain lagi. Maka muncullah ungkapan-ungkapan seperti jika boleh berpatah balik ke belakang, saya akan menjadi seorang ahli arkeologi. Keadaan ini membayangkan kepada kita seolah-olah semua orang tahu tentang arkeologi tetapi yang sebenarnya hanya segolongan kecil sahaja yang benar-benar mengetahu secara mendalam tentang apa itu arkeologi. Seorang ahli arkeologi British iaitu Sir Leonard Woolley yang berjaya merangsang imaginasi orang ramai melalui hasil jumpaannya di Mesopotamia menyata-kan bahawa:

Di dalam kerja-kerja penggalian ada suatu perasaan yang mengasyikkan tetapi ini hanya merupakan suatu dagangan yang memerlukan tempoh kerja yang panjang yang hanya sekali-sekala diselangi oleh suatu penemuan yang menggemparkan. Namun begitu kejayaan sebenar musim itu bukan bergantung kepada penemuan yang jarang ditemui dan sangat dihargai ketika itu tetapi kepada pengumpulan maklumat-maklumat yang diperolehi sedikit demi sedikit dari masa ke semasa disertai dengan kesabaran dan kerja-kerja seharian yang kemudiannya boleh memberi satu gambaran yang jelas kepada persoalan apa itu arkeologi.

Secara umumnya, arkeologi merupakan suatu kajian tentang masa silam manusia yang dikaji terutamanya melalui bahan-bahan peninggalan. Arkeologi juga merupakan suatu susunan kaedah dan tatacara penyelidikan masa lalu yang menggambarkan data-data yang diperolehi dan latihan akademik serta orientasi teori ahli arkeologi. Di kebanyakan universiti di dunia, bidang arkeologi selalunya merupakan disiplin kecil antropologi iaitu suatu bidang yang mengkaji manusia dari pelbagai aspek seperti fizikal, budaya, sosial, linguistik dan sejarahnya. Ahli antropologi berminat dengan perkara-perkara yang berkaitan dengan budaya manusia. Begitu juga dengan ahli arkeologi tetapi arkeologi berbeza dengan bidang antropologi kerana ahli arkeologi mengkaji orang yang telah mati, yang tidak ada nama dan budaya yang jarang difahami. Perbezaan wujud kerana arkeologi mengkaji hasil kerja manusia seperti artifak, tempat kegiatan mereka dan sebagainya untuk mengetahui siapa manusia itu dan bukannya manusia itu sendiri. oleh itu, walaupun arkeologi tidak merangkumi bidang antropologi itu tetapi sekurang-kurangnya ia boleh menyumbang kepada bidang antropologi. Begitu juga arkeologi boleh menyumbang kepada bidang sejarah dengan menambah dimensi masa yang tidak dapat dikaji semasa manusia itu masih hidup.

Arkeologi sememangnya bukan suatu disipling yang khusus. Ini kerana arkeologi mempunyai data, teknik dan konsepnya yang tersendiri tetapi kebanyakannya dipinjam daripada bidang-bidang lain seperti geologi, sejarah, antropologi, pelaontologi, dan sebagainya. Menurut Graham Clark, arkeologi tidak boleh dianggap sebagai suatu bidang kajian yang berasingan kerana kaedah pembentukan semula masa silam daripada hasil-hasil peninggalan dapat mengesan masyarakat sebelum ini.

J. Hodgson menulis; Seorang purbawan ketika berjalan disekitar runtuhan bandar, terpegun kehairanan dan lebih menumpukan perhatian terhadap keluasan kawasan itu..dia mengagumi duit-duit syiling yang jarang ditemui, usianya, keadaan karatnya yang indah.. beliau menghargai manuskripnya semata-mata kerana usianya tetapi seorang purbawan yang bijaksana akan menimbang pelbagai aspek objek yang direnungnya dengan mata yang tajam dan meletakkan nilai ke atas objek itu setimpal dengan sumbangannya terhadap sejarah manusia.

Walter Tylor (1948) menyatakan bahawa arkeologi itu tidak lebih daripada suatu kaedah dan suatu kumpulan teknik-teknik yang khusus untuk mendapatkan maklumat mengenai budaya. Ahli arkeologi hanyalah seorang juruteknik.

Motimer Wheeler (1956) menyatakan bahawa seorang ahli arkeologi adalah seorang pencari fakta dan fakta-faktanya adalah catatan-catatan tentang pencapaian manusia. Dengan itu beliau juga adalah seorang humanis. Tugasnya yang kedua ialah untuk menghidupkan kembali bahan-bahannya dengan menggunakan imaginasi yang terkawal yang selalunya pasti menyerupai ciri-ciri kesenian dan juga falsafah.

Glynn Isaac pula menyatakan Pengkajian arkeologi berada di tahap paling bermakna apabilaterdapat percubaan untuk menerangkan perkembangan hubungan di kalangan manusia dan di antara manusia dan dunia kebendaan Jelas bahawa keseluruhan arkeologi prasejarah bukan merupakan sains jati, sains sosial atau cabang sains kemanusiaan tetapi ia lebih merupakan usaha khusus tempat semua bidang ini bertemu.

Definisi Prasejarah

Prasejarah adalah perkataan yang dipinjam dan diterjemahkan daripada perkataan prehistory dalam Bahasa Inggeris. Ia membawa maksud sebelum sejarah. Dengan kata lain, Zaman Prasejarah membawa maksud peristiwa-peristiwa yang berlaku sebelum Zaman Sejarah. Jadi, apakah yang dimaksudkan dengan zaman sejarah. Secara mudahnya, zaman sejarah itu merujuk kepada satu jangka waktu atau tempoh yang mempunyai catatan atau rekod sebagai bahan kajian untuk mengetahui kehidupan masyarakatnya dari segenap aspek. Atau, paling mudah bermulanya zaman sejarah ialah semenjak bermulanya sistem tulisan. Maknanya sebelum wujudnya sistem tulisan itu termasuk dalam Zaman Prasejarah. Walau bagaimanapun ada juga sesetengah tempat yang telahpun mempunyai sistem tulisan tetapi bukti-bukti penulisan atau catatan-catatan penulisan pada zaman tersebut tidak cukup untuk menggambarkan dan menghuraikan sengan terperinci dan jelas akan kehidupan mereka secara keseluruhannya seperti dari segi cara bernegara, sistem politik, kegiatan ekonomi mereka, sistem sosial mereka dan sebagainya lantaran catatan-catatan itu terlalu ringkas, pendek dan sedikit. Maka, zaman itu dinamakan sebagai Zaman Protosejarah yang membawa konotasi sudah ada ciri-ciri sejarahnya tetapi belum sepenuhnya bersifat zaman sejarah. Dengan huraian di atas dapat kita simpulkan bahawa Zaman Prasejarah ialah zaman sebelum sejarah dan juga sebelum protosejarah.

Dalam kontels pengajian arkeologi, Zaman Prasejarah ini hanya boleh dikaji melalui kaedah-kaedah arkeologi iaitu dengan melakukan kegiatan ekskavasi dan dibantu pula dengan bidang-bidang ilmu yang lain sama ada bidang sains tulin, sains sosial dan sebagainya. Sebab itulah dalam takrifan arkeologi sebelum ini, telahpun dinyatakan bahawa disiplin arkeologi itu ialah suatu susunan kaedah yang mempertemukan bidang-bidang lain untuk mendapatkan data, maklumat dan memproses data untuk menghasilkan satu keputusan.

Sementara itu ada pula pendapat yang mengatakan bahawa manusia dianggap sebagai prasejarah apabil acatatan susunan peristiwa-peristiwa tentangnya tidak dirancang dan sejarahnya dapat diperolehi memalui induksi. (T. Wilson:1899). Sejarah yang dikatakan sebagai catatan peristiwa-peristiwa mengikut susunan masa telahpun bermula semenjak 3,000 S.M. di Iraq selatan. Dikatakan bahawa bahasa Sumeri telahpun digunakan dan ditulis dalam bentuk pepaku di atas kepingan-kepingan tanah liat. Kepingan-kepingan itu dalam bentuk piktograf dan bukan satu perantaraan komunikasi yang berkesan. Penulisan sepenuhnya bermula semenjak 2,500 S.M. Menjelang 2,000 S.M., politik di sebahagian besar Asia Barat dikuasi oleh orang yang kenal huruf sementara di England masih lagi dalam Zaman Prasejarah sehinggalah permulaan kurun masihi.

Kepentingan pengkajian arkeologiSelalunya, persoalan yang seringkali berlegar di fikiran orang yang baru hendak mengenali bidang arkeologi ialah apa pentingnya bidang ini kepada manusia?, kenapa saya perlu belajar arkeologi? dan macam-macam lagi persoalan yang memperlihatkan ketidakfahaman dan keraguan akan kepentingan bidang arkeologi dalam memberi sumbangan kepada bidang ilmu. Sebagaimana yang telah dihuraikan sebelum ini dan ini akan diperjelaskan lagi dalam huraian-hurain selanjutnya bahawa seperti juga bidang-bidang ilmu yang lain, bidang arkeologi juga mempunyai kepentingannya. Malah kalau dilihat secara kasarpun, berdasarkan kepada sifat-sifat arkeologi itu sendiri yang multi-disiplin, bidang ini memberi sumbangan yang besar kepada pengetahun kita terhadap sebahagian perilaku manusia.

Pertamanya kita lihat kepentungan dan sumbangan arkeologi kepada bidang sejarah. Melalui penyelidikan arkeologi, kita dapat mengesan pendudukan manusia awal di Asia Tenggara sehingga ke 500,000 tahun dahulu. Kalau kita hanya berpandukan kepada bidang sejarah semata-mata tentunya, maklumat seperti ini tidak dapat diketahui. Ini kerana sifat arkeologi itu sendiri yang melangkaui zaman sejarah. Arkeologi boleh menerobos ke zaman yang manusia masih belum mempunyai tulisan untuk merekodkan sebahagian perilaku dan kegiatan mereka. Melalui bidang arkeologi juga kita dapat membina semula kronologi kebudayaan populasi Asia Tenggara semenjak Zaman Paleolitik sehingga Zaman Logam. Malah melalui disiplin arkeologi juga, ketika Zaman Protosejarah dimana tidak terdapat banyak sumber yang menyebut tentang kewujudan manusia dan perilakunya di Asia Tenggara, arkeologi boleh memberi jawapannya.

Bukan setakat memberikan urutan kronologi dari segi masa tetapi arkeologi juga boleh menghuraikan gambaran tahap-tahap kehidupan manusia prasejarah Asia Tenggara dengan detail melalui penemuan-penemuan dalam penyelidikannya. Bidang arkeologi mampu untuk memberi gambaran kehidupan masyarakat Paleolitik, masyarakat memburu dan mengumpul, masyarakat Neolitik dan Logam.

Dalam bidang antropologi juga, bidang arkeologi ini sangat penting. Ini kerana dengan adanya data-data dan maklumat-maklumat yang diberikan oleh ahli-ahli arkeologi, para antropologis akan dapat memahami dengan lebih mendalam akan perilaku manusia moden yang dikajinya dengan melihat semula perilaku manusia zaman silam. Contohnya, dalam pengkajin berkaitan dengan keperluan beragama dalam masyarakat moden sebenarnya telahpun wujud semenjak 10,000 tahun yang lalu di Asia Tenggara. Apakah buktinya, penemuan kubur-kubur manusia Zaman Awal Holosen yang disertai dengan objek-objek penegbumian dan upacara ritual. Maklumat-maklumat sebegitu tidak akan dapat diperolehi oleh ahli-ahli antropologi tanpa bantuan daripada bidang arkeologi.

Dalam bidang ekonomi juga arkeologi mempunyai kepentingannya. Pada hari ini, dunia cenderung untuk menjadikan tapak-tapak kajian arkeologi sebagai produk pelancongan. Umpamanya piramid di Mesir dan mumia-mumia serta monumen-monumen lama di China dan di Rom serta tempat-tempat lain. Tempat-tempat seperti ini mempunyai tarikan manusia untuk melihatnya, kalaupun tidak kerana maklumat sejarah yang diperolehi melaluinya tetapi sekurang-kurangnya untuk melihat keindahan senibian, dan pencapaian tamadun manusia purba. Tanpa pengkajian bidang arkeologi yang sistematik data-data sebegini tentunya tidak dapat dikeluarkan dari perut bumi yang telah tertimbus sekian lama. Daripada kepentingan-kepentingan itulah maka timbul istilah-istilah seperti arkeo-pelancongan yang membawa konotasi bahawa bidang arkeologi juga memberi sumbangan besar kepada sumber ekonomi sesebuah negara.

Kepentingan dan sumbangan lain

1. Melalui bidang arkeologi kita dapat mengetahui siapakah penduduk awal di Asia Tenggara

2. Melalui bidang arkeologi kita dapat mengetahui tahap teknologi pembuatan alat batu daripada teknik memangkas simpel kepada teknik merepih, perepihan halus seterusnya teknik mengasah dan menggilap.

3. Melalui arkeologi juga kita dapat mengetahui perkembangan jenis-jenis alat batu daripada jenis penetak kepada kapak genggam, pengikis dan seterusnya bentuk-bentuk yang lebih bersifat khusus seperti kapak, beliung, pisau, mata panah dan sebagainya.

4. Melalui kajian arkeologi kita dapat mengetahui bahawa peralatan manusia purba bukan hanya tertumpu kepada alat-alat batu sahaja tetapi juga kepada alat-alat yang diperbuat daripada tulang.

5. Arkeologi juga boleh memberitahu kita bahawa kegiatan pertanian telahpun bermula semenjak 2,500 B.C di Asia Tenggara dan banyak lagi.

Sebagai kesimpulan kecil, sama ada bidang arkeologi itu dilihat dari sudut akademik mahupun dari sudut material moden, ia tetap memberikan sumbangannya.

Ruang Lingkup Bidang Arkeologi

Sebagaimana yang telah diterangkan secar aringkas di bawah tajuk defini arkeologi, telahpun disebutkan bahawa bidang arkeologi ini merupakan satu bidang ilmu yang bersifat multi-disiplin atau pelbagai bidang. Bukanlah bermaksud bahawa seseorang ahli arkeologi perlu mahir dalam kesemua bidang yang berkaitan dengan arkeologi untuk membahas persoalan-persoalan dalam arkeologi tetapi cukup sekadar mendapatkan bantuan daripada pakar-pakar dalam bidang-bidang tersebut seperti bantuan daripada zoologis, geologis, ahli kimia, ahli fizik, anatomis dan macam-macam lagi. Walau bagaimanapun, seorang ahli arkeologi yang baik seharusnya mengetahui serba sedikit latar belakang berkenaan dengan bidang-bidang tersebut. Ini kerana walaupun tumpuan perbincangan dalam bidang arkeologi ialah manusia itu sendirinya dan bukannya terhadap binatang-binatang secara mendalam, ataupun jenis dan pembentukan bebatuan tetapi data-data dan maklumat yang diperolehi daripada bidang-bidang itu melalui pakar-pakarnya sangat berguna dan membantu dalam mentafsir perilaku manusia zaman silam. Dan, sesungguhnya tugas mentafsir itu merupakan tugas seorang ahli arkeologi. Jadi jelaslah bahawa bidang arkeologi itu walaupun pada asasnya hanya merujuk kepada pengkajian dan pentafsiran terhadap sisa-sisa tinggalan kegiatan manusia tetapi bantuan daripada pakar dalam bidang-bidang yang berkaitan dengan sisa-sisa tinggalan manusia itu akan memperlengkapkan data dan huraian oleh ahli arkeologi.

Di sini diperjelaskan bahawa asas utama kepada bidang arkeologi ialah kajian-kajian melalui kaedah ekskavasi yang sistematik dan terancang. Hasil-hasil penemuan sama ada artifak, ekofak atau features daripada ekskavasi yang dilakukan akan direkodkan dan diambil sebagai bahan kajian kerana ia akan membantu menghasilkan hipotesis-hipotesis berkenaan dengan masyarakat silam yang ingin dikaji itu. Apakah yang dimaksudkan dengan artifak. Artifak ialah semua benda tinggalan manusia yang dikerjakan atau benda hasil daripada kegiatan manusia. Contohnya alat-alat batu, tembikar tanah dan sebagainya. Semua benda itu adalah hasil kegiatan manusia. Jadi untuk mendapatkan maklumat yang lebih lanjut berkenaan dengan batu-batu tersebut seperti jenis batu, dari mana sumber batu itu, bagaimana batu itu terjadi, adakah batu itu diambil daripada batu sungai atau lainnya, semua persoalan itu hanya akan dapat dijawab dengan baik oleh seorang pakar geologi. Oleh itu bidang arkeologi ini juga sebenarnya memerlukan kemahiran dalam bidang arkeologi. Begitu juga halnya untuk mendapatkan maklumat lanjut berkenaan dengan jenis tanah yang digunakan untuk membuat tembikar tanah dan sebagainya.

Ekofak pula ialah benda-benda yang ditinggalkan oleh manusia sebagi sisa tetapi tidak menunjukkan tanda-tanda dikerjakan. Umpamanya sisa makanan tulang-tulang binatang, kulit-kulit siput dan sebagainya. Benda-benda itu tidak dikerjakan tetapi merupakan hasil kegiatan manusia iaitu memburu dan mengutip siput-siput sedut sebagai bahan makanan yang dibawa ke tempat tinggal mereka. Walau bagaimanapun sekiranya tulang-tulang tersebut dikerjakan menjadi peralatan seperti pisau, mat apancing, mata panah dan sebagainya maka benda itu dikategorikan sebagai artifak. Relevannya penemuan ini kepada perbincangan bidang arkeologi ialah, pendekatan untuk mendapatkan maklumat berkenaan dengan jenis-jenis binatang yang diburu dan dimakan oleh manusia prasejarah itu hanya dapat diketahu melalui analisis oleh seorang pakar zoologi terhadap sisa-sisa tulang binatang tersebut. Jadi, sekali lagi dalam bidang pengkajian arkeologi memerlukan kepakaran bidang lain.

Bidang arkeologi juga sebenarnya merupakan sebahagian daripada bidang sains tuli seperti fizik, kimia dan biologi. Umpamanya untuk mendapatkan maklumat lanjut berkenaan dengan keadaan bawah tanah di tapak kajian, kita boleh menggunakan kaedah dalam bidang fizik seperti kaedah Kerintangan Geo-elektrik, mengesan objek-objek dalam tanah dengan menggunakan alat magnetometer dan sebagainya. Semua ini menghasilkan maklumat yang diperlukan oleh seseorang ahli arkeologi. Dalam hal yang sangat penting iaitu untuk mendapatkan pentarikhan atau dating kepada sesuatu lapisan budaya di satu-satu tapak tertentu juga dengan menggunakan kaedah fizik iaitu pentarikhan C14. Dan, umumnya kaedah pentarikhan kronometrik atau pentarikhan mutlak ini sangat penting kepada ahli arkeologi untuk membahas persoalan kronologi dan penzamanan sesuatu lapisan budaya. Melalui pentarikhan mutlak ini juga ahli arkeologi akan dapat membina semula urutan kebudayaan manusia prasejarah dengan lebih tepat dan meletakkan objek-objek budaya itu ke tahap zaman yang betul.

Untuk menganalisis tulang dan rangka manusia yang ditemui di satu-satu tapak kajian juga kita memerlukan kepakaran dalam bidang anatomi, DNA dan sebagainya untuk memastikan sama ada rangka manusia itu tergolong dalam kumpulan-kumpulan ras mongoloid, australoid, negrito dan sebagainya. Kepakaran bidang ini juga penting untuk mengetahui sebab kematian dan ciri-ciri fizikal manusia silam tersebut. Ringkas kata, tidak syak lagi bahawa bidang arkeologi itu merupakan bidang yang multi disiplin dan seorang ahli arkeologi juga sebenarnya merupakan seorang ahli profesional.

Tahap-tahap Zaman Prasejarah

Tahap-tahap Zaman Prasejarah di Asia Tenggara pada dasarnya boleh dibahagikan kepada 4 tahap iaitu Zaman Batu Awal, Zaman Batu Pertengahan, Zaman Batu Akhir dan Zaman Logam. Walau bagaimanapun tahap-tahap ini masih boleh diperincikan lagi kerana setiap zaman itu mempunyai tahap-tahapnya yang tersendiri berdasarkan kepada perkembangan ciri-cirinya. Umpamanya Zaman Paleolitik, boleh dibahagikan kepada tahap Paleolitik Awal, Paleolitik Pertengahan dan Paleolitik Akhir. Begitu juga dengan Zaman Batu Pertengahan dan Zaman Batu Akhir dan Zaman Logam. Perincian berkenaan dengan penzamanan ini akan dapat diikuti di kuliah-kuliah seterusnya.

PAGE 3