kajian kes terhadap amalan pengetahuan teknologi …€¦ucapan ribuan terima kasih ditujukan kepada...
TRANSCRIPT
KAJIAN KES TERHADAP AMALAN PENGETAHUAN TEKNOLOGI PEDAGOGI
DAN KANDUNGAN (PTPK) GURU FIZIK JOHOR BAHRU
SITI HIDAYANA BT NASSIRI
UNIVERSITI TEKNOLOGI MALAYSIA
Didedikasikan kepada ibu tersayang
HJH KHADIJAH BT HJ MOHAMMAD
Jasamu tidak mampu kubalas, kasih sayangmu tidak ternilai harganya..
Tidak lupa kepada arwah abah yang telah tiada
NASSIRI B HJ MOHAMAD
Doa dan sedekah jariah akan tetap mengiringimu di sana..Insya Allah..
Buat ahli keluarga yang lain,
Terima kasih di atas segala perhatian dan bakti yang kalian curahkan...
Buat teman hatiku,
Terima kasih kerana sentiasa memahami...
Dan tidak pernah jemu memberikan sokongan dan dorongan selama ini...
Semoga kita semua sentiasa diredhai dan berada dalam rahmat-Nya
Insya Allah
PENGHARGAAN
Syukur alhamdulillah kerana dengan limpah dan kurnia-Nya, maka dapatlah saya
menyiapkan laporan Projek Sarjana Pendidikan Fizik ini dengan sebaiknya. Pada
kesempatan ini saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan ikhlas kepada
penyelia saya iaitu Dr Fatin Aliah Phang atas segala bimbingan dan tunjuk ajar yang
telah diberikan kepada saya sepanjang usaha saya menyiapkan penyelidikan ini. Berkat
dedikasi serta kesungguhan beliau, segala kerumitan dapat diatasi.
Ucapan ribuan terima kasih ditujukan kepada responden-responden yang telah
memberikan kerjasama yang cukup baik sepanjang proses kajian dijalankan serta
Pengetua dan pihak sekolah yang berkenaan.
Ucapan terima kasih juga kepada teman dan rakan-rakan sekuliah kerana saling
memahami dan banyak memberi kerjasama dan sokongan sepanjang menyiapkan
penyelidikan ini. Penghargaan ini juga ditujukan kepada individu-individu yang terlibat
secara langsung dan tidak langsung dalam penghasilan penulisan ilmiah ini.
Akhir kata, semoga Allah SWT melimpahkan rahmat ke atas mereka yang telah
menyumbangkan kerjasama untuk menjayakan projek penyelidikan ini.
ABSTRAK
Kajian kes ini dijalankan untuk mengkaji amalan Pengetahuan Teknologi
Pedagogi dan Kandungan (PTPK) dalam kalangan guru fizik di sekolah sekitar Johor
Bahru. Kajian kes ini dijalankan secara kualitatif dengan menggunakan protokol
temubual, senarai semak pemerhatian dan borang penelitian dokumen dan artifak ke atas
dua orang guru fizik, iaitu seorang guru baru dan seorang guru berpengalaman. Tujuan
kajian ini adalah bagi mengenalpasti tahap kesediaan guru fizik baru dan berpengalaman
terhadap pengintegrasian teknologi dalam P&P fizik, dan perbandingan amalan
pengajaran berlandaskan PTPK guru fizik baru dan guru fizik berpengalaman dalam
pengajaran fizik peringkat menengah. Hasil kajian mendapati bahawa guru fizik baru
dan berpengalaman mempunyai tahap kesediaan yang tinggi terhadap pengintegrasian
teknologi dalam P&P dari aspek pengetahuan dan sikap terhadap teknologi. Walau
bagaimanapun, guru fizik baru menunjukkan amalan PTPK yang lebih baik berbanding
guru fizik berpengalaman melalui penekanan penggunaan aplikasi teknologi dalam
penyampaian pengajarannya. Dapatan utama dalam kajian ini ialah perisian Power
Point digunakan sebagai aplikasi utama dalam penyampaian fizik guru baru manakala
bagi guru berpengalaman pula, ia digunakan sebagai pemudah cara dalam sesi
pengajaran. Selain itu, kekerapan dan penggunaan perisian Power Point secara
interaktif oleh guru baru telah mengembangkan amalan PTPK ke tahap yang lebih baik
manakala penggunaan perisian secara asas hanya membina amalan PTPK guru
berpegalaman pada peringkat rendah. Dengan itu, amalan PTPK guru berpengalaman
perlu diperbaiki bagi mewujudkan suasana pembelajaran yang lebih aktif, berpusatkan
pelajar, interaktif, berfikiran kreatif dan bijak.
ABSTRACT
The case study was conducted to investigate the Technological Pedagogical and
Content Knowledge (TPCK) practice among physics teachers in Johor Bahru. The case
study was carried out qualitatively by using interview protocols, observation checklists
as well as documentation and artefact analysis forms on two physics teachers, a novice
and an experienced teacher. The purposes of this research are to investigate the
readiness level among novice and experienced teachers towards the technology
integration in teaching and learning (T&L) in physics and comparison of TPCK practice
among novice and experienced physics teachers in secondary level. The finding shows
that novice and experienced physics teachers exhibited a high level of readiness towards
the technology integration in T&L from knowledge aspect and attitude towards
technology. However, the novice physics teacher showed higher TPCK practice because
the novice teacher used technology application as a primary tool in delivering the
lessons. The major findings in this study are the Power Point software was used
primarily by novice teacher during T&L session whereas the experience teacher used it
as facilitator in T&L session. Besides, frequencies of usage and application of an
interactive Power Point software by novice teacher was help in developing the TPCK
practice into the higher level whereas the application of basic Power Point software only
fostering TPCK practice of experience teacher in the low level. Thus, TPCK practice
among experience teacher must be improved to built an active, student-centered,
interactive, creative thinking and smart learning environment.
ISI KANDUNGAN
BAB TAJUK HALAMAN
JUDUL i
PERAKUAN PELAJAR ii
DEDIKASI iii
PENGHARGAAN iv
ABSTRAK v
ABSTRACT vi
KANDUNGAN vii
SENARAI JADUAL xii
SENARAI RAJAH xiv
SENARAI SINGKATAN xv
SENARAI LAMPIRAN xvi
1 PENGENALAN 1
1.1 Pendahuluan 1
1.2 Latar Belakang Masalah 3
1.2.1 Perkembangan PTPK dalam kalangan Guru 5
1.2.2 Tahap Kesediaan Guru 6
1.2.3 Daya dan Gerakan 8
1.3 Pernyataan Masalah 9
1.4 Objektif Kajian 10
1.5 Persoalan Kajian 10
1.6 Kepentingan Kajian 11
1.7 Kerangka Kajian 12
1.8 Definisi 14
1.8.1 Penggunaan Teknologi dalam kalangan Guru 14
1.8.2 Pengintegrasian Teknologi dalam Proses
Pengajaran 15
1.8.3 Pengetahuan Teknologi Pedagogi dan
Kandungan (PTPK) 15
1.8.4 Guru Berpengalaman 16
1.8.5 Guru Baru 16
1.9 Rumusan 16
2 SOROTAN KAJIAN 17
2.1 Pengenalan 17
2.2 Pengetahuan Teknologi Pedagogi dan Kandungan (PTPK)
Guru Sains 17
2.3 Daya dan Gerakan 21
2.4 Pengajaran dan Pembelajaran (P&P) Sains 23
2.5 Kajian-kajian lepas 26
2.5.1 Perkembangan PTPK dalam kalangan Guru Baru 27
2.5.2 Perkembangan PTPK dalam kalangan Guru
Berpengalaman 33
2.5.3 Cabaran dalam Pengintegrasian Teknologi di
Malaysia 38
2.6 Perbandingan Kajian Lepas 43
2.7 Rumusan 48
3 KAEDAH KAJIAN 50
3.1 Pengenalan 50
3.2 Reka Bentuk Kajian 50
3.3 Prosedur Kajian 52
3.4 Sampel Kajian 53
3.5 Pembangunan Instrumen Kajian dan Pengumpulan Data 55
3.5.1 Temubual 55
3.5.2 Pemerhatian 57
3.5.3 Penelitian Dokumen dan Artifak 59
3.6 Penilaian Kajian 60
3.6.1 Kredibiliti 61
3.6.1.1 Kesahan Instrumen 62
3.6.2 Kebergantungan 62
3.6.3 Kebolehgantian 63
3.7 Analisis Data 64
3.7.1 Temubual 64
3.7.2 Pemerhatian 66
3.7.3 Penelitian Dokumen dan Artifak 69
3.8 Rumusan 70
4 ANALISA DATA 71
4.1 Pengenalan 71
4.2 Data Demografi 71
4.2.1 Guru Baru 72
4.2.1 Guru Berpengalaman 73
4.3 Analisis Tahap Kesediaan Guru Terhadap Teknologi 75
4.3.1 Analisis Temubual 75
4.3.1.1 Analisis Temubual Soalan 1 75
4.3.1.2 Analisis Temubual Soalan 2 76
4.3.1.3 Analisis Temubual Soalan 3 77
4.3.1.4 Analisis Temubual Soalan 4 78
4.3.1.5 Analisis Temubual Soalan 5 80
4.3.1.6 Analisis Temubual Soalan 6 80
4.3.1.7 Analisis Temubual Soalan 7 81
4.3.1.8 Analisis Temubual Soalan 8 82
4.3.1.9 Analisis Temubual Soalan 9 83
4.3.1.10 Analisis Temubual Soalan 10 84
4.3.1.11 Analisis Temubual Soalan 11 85
4.3.2 Keputusan Analisis Temubual 86
4.4 Analisis Amalan PTPK Guru Fizik 88
4.4.1 Analisis Pemerhatian 88
4.4.1.1 Sesi Pemerhatian 88
4.4.1.2 Alat Bantu Mengajar yang Digunakan 90
4.4.1.3 Strategi Pengajaran Guru 92
4.4.1.4 Pengurusan Kelas Guru 93
4.4.1.5 Pengetahuan Pedagogi 94
4.4.1.6 Pengetahuan Kandungan 96
4.4.1.7 Pengetahuan Teknologi Pedagogi 98
4.4.1.8 Pengetahuan Teknologi Kandungan 100
4.4.1.9 Pengetahuan Teknologi Pedagogi dan Kandungan 104
4.4.2 Analisis Dokumen dan Artifak 106
4.4.3 Rumusan Perbandingan Amalan PTPK Guru Baru
dan Guru Berpengalaman 110
4. 5 Rumusan. 109
5 PERBINCANGAN, CADANGAN DAN RUMUSAN 112
5.1 Pendahuluan 112
5.2 Perbandingan Kesediaan Guru Fizik dalam
Mengintegrasikan Teknologi 113
5.3 Perbincangan Amalan PTPK Guru Fizik 114
5.3.1 Perbincangan Amalan PTPK Guru Baru 115
5.3.2 Perbincangan Amalan PTPK Guru Berpengalaman 118
5.3.3 Perbandingan Amalan PTPK Guru Fizik dalam
Mengintegrasikan Teknologi dalam P&P 123
5.4 Implikasi Kajian 129
5.5 Cadangan 130
5.6 Cadangan untuk Kajian Lanjutan 131
5.7 Rumusan 132
RUJUKAN 133
LAMPIRAN A- M 141 - 169
SENARAI JADUAL
NOMBOR JADUAL TAJUK HALAMAN
4.1 Respons Temubual Bagi Soalan 1 76
4.2 Respons Temubual Bagi Soalan 2 77
4.3 Respons Temubual Bagi Soalan 3 78
4.4 Respons Temubual Bagi Soalan 4 79
4.5 Respons Temubual Bagi Soalan 5 80
4.6 Respons Temubual Bagi Soalan 6 81
4.7 Respons Temubual Bagi Soalan 7 82
4.8 Respons Temubual Bagi Soalan 8 83
4.9 Respons Temubual Bagi Soalan 9 84
4.10 Respons Temubual Bagi Soalan 10 85
4.11 Respons Temubual Bagi Soalan 11 86
4.12 Jadual Ringkasan Keputusan Temubual Bagi Menguji Kesediaan Guru
Fizik Terhadap Pengintegrasian Teknologi dalam P&P 87
4.13 Data Pemerhatian Mengikut Tajuk dan Kelas Bagi R1 89
4.14 Data Pemerhatian Mengikut Tajuk dan Kelas Bagi R2 89
4.15 Kekerapan Alat Bantu Mengajar (ABM) yang digunakan Guru 90
4.16 Kekerapan Strategi Pengajaran Guru 92
4.17 Kekerapan Amalan Pengurusan Kelas 93
4.18 Kekerapan Konstruk Pengetahuan Pedagogi guru (PP) 95
4.19 Kekerapan konstruk Pengetahuan Fizik guru (PK) 97
4.20 Kekerapan konstruk Pengetahuan Teknologi Pedagogi guru (PTP). 99
4.21 Kekerapan konstruk Pengetahuan Teknologi Kandungan guru (PTK) 103
4.22 Kekerapan konstruk Pengetahuan Teknologi Pedagogi Kandungan
guru (PTPK) 105
4.23 Jadual Analisis Dokumen dan Artifak R1 108
4.24 Jadual Analisis Dokumen dan Artifak R2 109
4.25 Perbandingan Ringkas Amalan PTPK Guru Fizik Baru dan
Berpengalaman 110
SENARAI RAJAH
NOMBOR RAJAH TAJUK HALAMAN
1.1 Model PTPK dan Komponen Pengetahuan yang terlibat 4
1.2 Kerangka Kajian amalan PTPK dalam kalangan guru Fizik. 11
SENARAI SINGKATAN
ABM - Alat Bantu Mengajar
ICT - Teknologi Komunikasi dan Maklumat
IWB - Interactive Whiteboard
KPM - Kementerian Pelajaran Malaysia
P&P - Pengajaran dan Pembelajaran
PBI - Pembelajaran Berasaskan Inkuiri
PK - Pengetahuan Kandungan
PP - Pengetahuan Pedagogi
PPK - Pengetahuan Pedagogi dan Kandungan
PPP - Program Pembangunan Profesional
PT - Pengetahuan Teknologi
PTK - Pengetahuan Teknologi dan Kandungan
PTM - Pengintegrasian Teknologi dalam Matematik
PTP - Pengetahuan Teknologi dan Pedagogi
PTPK - Pengetahuan Teknologi Pedagogi dan Kandungan
SENARAI LAMPIRAN
LAMPIRAN TAJUK HALAMAN
A Soalan Temubual Bagi Mengukur Tahap Kesediaan Guru
dalam Mengintegrasikan Teknologi dalam P&P Fizik 141
B Senarai Semak Pemerhatian Proses P&P Fizik Berlandaskan
PTPK 143
C Pengesahan Instrumen Temubual 148
D Nota Lapangan 149
E Borang Penelitian Dokumen Dan Artifak 150
F Pengesahan Instrumen Kajian 2 151
G Kelulusan Menjalankan Kajian Oleh Kementerian Pelajaran
Malaysia (KPM) 152
H Kelulusan Menjalankan Kajian Oleh Jabatan Pelajaran
Negeri (JPN) Johor 153
I Contoh Teks Naratif Pengkaji 154
J Contoh Penelitian Pengkaji 165
K Susun Atur Kedudukan Skrin Projektor bagi sesi P&P R1 167
L Susun Atur Kedudukan Skrin Projektor bagi sesi P&P R2 168
M Contoh Modul Pembelajaran Fizik Pelajar 169
BAB 1
PENGENALAN
1.1 Pendahuluan
Arus pemodenan yang semakin berkembang telah banyak mengubah gaya
hidup dan tahap kemahiran seseorang. Tidak dapat dinafikan lagi, pada abad ke-21
ini, penguasaan teknologi yang juga merangkumi teknologi komunikasi dan
maklumat (ICT) adalah sangat penting dan menjadi suatu keperluan. Kehadiran
teknologi telah membawa banyak perubahan dan kemajuan di seluruh dunia,
termasuklah di Malaysia. Peralatan semakin canggih, sistem komunikasi semakin
baik, maklumat dapat disampaikan dengan lebih cepat, gaya hidup semakin moden
dan suasana kerja juga semakin selesa.
Selaras dengan perkembangan teknologi, pelbagai usaha giat dijalankan
untuk mempertingkatkan kemahiran berasaskan teknologi serta mengoptimumkan
pengaplikasiannya dalam kebanyakan aspek. Ini menyebabkan kerajaan Malaysia
sentiasa memberi galakan dalam mentransformasikan rakyat Malaysia kepada
masyarakat yang celik teknologi dan maklumat. Kementerian Pelajaran Malaysia
(KPM) juga turut serta dalam usaha mempertingkatkan penggunaan dan kemahiran
teknologi iaitu merangkumi aspek pendidikan dan pembelajaran. Rosnaini dan
Mohd Arif (2010) menjelaskan bahawa KPM ada melaksanakan dan menyediakan
pelbagai latihan dan kursus ICT kepada guru dan bakal guru kerana mereka perlu
menguasai teknologi terlebih dahulu sebelum mampu melengkapkan pelajar dengan
Pengajaran dan Pembelajaran (P&P) berasaskan teknologi.
2
Hanuscin et al. (2010) menyatakan bahawa bidang sains telah ditekankan
sebagai komponen literasi yang kritikal dalam konteks reformasi pendidikan sains.
Menurut McCrorey (2008) pula, bilik darjah sains merupakan tempat semulajadi
untuk penggunaan teknologi kerana sains pada hari ini banyak bergantung pada
teknologi. Ini menunjukkan bahawa bidang pendidikan sains merupakan salah satu
cabang pendidikan yang penting dan kompleks. Mata pelajaran Fizik merupakan
salah satu daripada tiga mata pelajaran selain Kimia dan Biologi yang diberi
penekanan penting dalam bidang pendidikan sains tulen di peringkat sekolah
menengah (Tamby Subahan, 1999). Mata pelajaran fizik juga adalah salah satu
bidang ilmu yang mengkaji tentang jirim dan tenaga serta perkaitan antara keduanya.
Selain itu, fizik juga merupakan cabang ilmu sains yang dinamik, di mana ia sentiasa
berkembang dan penggunaan ilmu ini mampu menyumbang ke arah kemajuan dan
kesejahteraan hidup khususnya pada zaman sains dan teknologi.
Menurut Showalter (1984), tugas sebagai guru sains merupakan tugas yang
kompleks dan dinamik di mana ia sentiasa mengalami perubahan dan peningkatan.
Oleh itu, guru sains perlu berusaha secara berterusan dalam mengembangkan dan
meningkatkan profesion mereka agar tidak ketinggalan dengan perkembangan dan
peningkatan arus. Kemajuan teknologi yang banyak mempengaruhi bidang
pendidikan telah menyebabkan guru-guru turut sama terkena tempias arus teknologi
terkini. Mishra dan Koehler (2006) menjelaskan bahawa tidak memadai jika
teknologi hanya diperkenalkan dalam bidang pendidikan tanpa menggabungkannya
ke dalam proses pengajaran atau pedagogi. Ini bermaksud, selain pengetahuan
tentang proses pedagogi, pengetahuan mengenai teknologi dan bagaimana untuk
menggunakannya harus dikuasai guru sebagai prasyarat untuk membentuk
pengetahuan bermakna yang berasaskan teknologi di dalam kelas.
Sebagai persediaan kepada pelajar dari segi sains dan teknologi, Khairun
Nadwa (2007) menjelaskan bahawa reformasi pendidikan sains umumnya dan Fizik
khususnya meminta guru-guru mengintegrasikan pembelajaran berasaskan teknologi
dan inkuiri dalam pengajaran mereka. Novak dan Krajcik (2006) juga bersetuju
bahawa guru digalakkan menggunakan kepelbagaian teknologi seperti instrumen
3
pengukuran dan komponen penyiasatan saintifik yang ada di makmal bagi
menyokong pembelajaran pelajar secara inkuiri atau penyiasatan. Dengan
menggunakan alatan teknologi dalam pembelajaran subjek sains secara penyiasatan
dalam bilik darjah atau makmal akan membawa pelajar kepada suasana penyelidikan
seperti ahli saintis.
Menurut Koehler dan Mishra (2008), konteks pendidikan pada hari ini di
mana teknologi diintegrasikan ke dalam bidang pendidikan telah membawa kepada
konsep Pengetahuan Teknologi Pedagogi dan Kandungan (PTPK). Seperti yang
disarankan di dalam buku bertajuk Handbook of Technological Pedagogical Content
Knowledge (AACTE Committee on Innovation and Technology, 2008), banyak
kajian perlu dijalankan untuk mengkaji peranan guru dan kesediaan mereka terhadap
perkembangan PTPK. Oleh yang demikian, penyelidik ingin mengkaji berkenaan
dengan PTPK yang diamalkan oleh guru fizik peringkat menengah di Johor Bahru
dengan lebih dekat.
1.2 Latar Belakang Masalah
Pada awal sejarah teknologi pendidikan, guru diajar dalam kursus teknologi
yang memberi tumpuan kepada kemahiran teknologi dan bebas daripada kursus
pedagogi atau kandungan (Graham et al., 2004; Hargrave dan Hsu, 2000; Willis dan
Mehlinger, 1996). Pengintegrasian teknologi kemudian menjadi ungkapan penting
yang mencirikan kepada usaha untuk menggunakan teknologi dengan lebih efektif
dalam konteks pendidikan.
Mishra dan Koehler (2006) telah mewujudkan satu model rangka kerja yang
menekankan perhubungan, interaksi, pengurusan dan batasan di antara domain
teknologi, pedagogi dan kandungan. Ia menekankan interaksi kompleks yang wujud
di antara tiga domain pengetahuan. Dalam model yang dihasilkan, pengetahuan
tentang teknologi, pedagogi dan kandungan adalah berpusat dan bertindih dalam
mewujudkan suasana pengajaran yang baik. Ini bermakna, pengetahuan tentang
4
kaedah pengajaran atau pedagogi serta isi kandungan mata pelajaran yang diajar
perlulah diintegrasikan bersama kemudahan teknologi dan ketiga-tiga elemen ini
tidak dipisahkan. Niess (2005), Hughes (2005) serta Margerum-Leys dan Marx
(2002) turut bersetuju bahawa pengetahuan tentang teknologi tidak boleh dipisahkan
kerana pengajaran yang baik memerlukan pemahaman tentang bagaimana teknologi
boleh dikaitkan dengan strategi pedagogi dan kandungan subjek yang diajar guru.
Rajah 1.1 menunjukkan model rangka kerja PTPK yang telah dihasilkan oleh
Mishra dan Koehler (2006) di mana ketiga-tiga bulatan iaitu teknologi (T), pedagogi
(P) dan kandungan (K) adalah bertindan seterusnya menghasilkan empat domain
pengetahuan yang berasingan (PPK, PTK, PTP dan PTPK).
Rajah 1.1 : Model PTPK dan komponen pengetahuan yang terlibat. Tiga bulatan
mewakili konstruk pengetahuan Kandungan (K), Pedagogi (P) dan Teknologi (T).
(diadaptasi daripada AACTE Committee on Innovation and Technology, 2008; 12)
5
1.2.1 Perkembangan PTPK dalam kalangan Guru
Beberapa kajian lepas yang dijalankan sebelum ini berhubung dengan PTPK
mendapati segelintir guru bermasalah dalam mengaplikasikan kemudahan teknologi
dalam corak pengajaran mereka. Contohnya, dalam kajian kes oleh Polly (2011),
hasil kajian mendapati guru yang telah lama mengajar dan lebih berpengalaman
mempunyai tahap PTPK yang rendah. Walaupun guru berpengalaman ini
mempunyai inisiatif untuk mempertingkatkan corak pedagogi dengan mengikuti
program profesional, namun guru tidak mengimplementasikan sepenuhnya hasil
pembelajaran mereka ke dalam sesi P&P. Ini kerana guru masih memerlukan
sokongan secara berterusan bagi membantu dan memperbaiki amalan PTPK mereka.
Rosnaini dan Mohd Arif (2010) juga mendapati guru yang berpengalaman perlu
dikenalpasti dan diberi perhatian kerana mereka memerlukan lebih banyak masa dan
kesediaan untuk mengintegrasikan teknologi dalam P&P.
Dalam kajian kes yang melibatkan guru baru yang mengajar subjek sains
(Guzey dan Roehrig, 2009), hasil kajian mendapati bahawa guru baru lelaki lebih
cenderung dan selesa dalam menggunakan elemen teknologi seperti peta konsep
CMap dan simulasi semasa proses P&P. Pelajar mereka digalakkan untuk
menghantar kerja rumah secara atas talian dan simulasi pula digunakan kerana ia
mampu membina kefahaman pelajar yang lebih baik dari segi konsep dan abstrak.
Namun begitu, hasil kajian terhadap dua orang guru baru wanita mendapati mereka
kurang selesa menggunakan teknologi dalam proses P&P walaupun telah mempunyai
asas pengetahuan teknologi yang baik dan merasakan perlu menjalani latihan
berkaitan teknologi dengan lebih banyak.
Sebagai cadangan, Guzey dan Roehrig (2009) menyatakan supaya kajian
perbandingan perlu dilakukan ke atas guru sains yang berpengalaman dengan guru
sains yang baru mengajar untuk melihat perkembangan berkaitan PTPK yang mereka
amalkan. Oleh yang demikian, penyelidik akan mengkaji corak pengajaran yang
6
diamalkan oleh guru baru dan guru berpengalaman dalam mengajar fizik di sekolah.
Ini akan membolehkan amalan PTPK dalam kalangan guru fizik berpengalaman
dengan guru fizik baru dapat dikaji.
1.2.2 Tahap Kesediaan Guru
Tahap kesediaan guru yang baik dalam penggunaan teknologi berasaskan
komputer juga merupakan aspek yang penting bagi mencapai proses P&P sains yang
berkesan selain bagi membantu negara membentuk masyarakat saintifik dan
progresif (Mohd. Izham dan Noraini, 2007). Kajian oleh Morton (1996) menyatakan
bahawa kebanyakan guru di Sydney Barat sudah bersedia untuk
mengimplementasikan teknologi dalam P&P mereka namun masalah timbul kerana
mereka tidak tahu bagaimana untuk menggunakan komputer dalam proses P&P.
Rosenthal (1999) memetik kajian yang dijalankan oleh National Center for
Education Statistics mendapati hanya 20% daripada 2.5 juta guru di sekolah awam
merasa selesa menggunakan teknologi dalam proses P&P mereka. Ini kerana, hanya
segelintir guru sahaja yang diberikan tunjuk ajar untuk mengajar subjek mereka
dengan mengintegrasikan aplikasi berunsur teknologi.
Di Malaysia pula, kajian oleh Norizan dan Salleh-Huddin (1997) mendapati
bahawa tahap kesediaan guru-guru sekolah menengah masih rendah dari segi
penggunaan teknologi maklumat dalam pengajaran. Ini membuktikan bahawa
mereka masih lagi tidak bersedia untuk menggunakan komputer dalam pengajaran
mereka. Ia selaras dengan kenyataan Graham et al. (2004) iaitu guru hanya mampu
mengendalikan kemudahan teknologi sahaja tanpa mampu mengetahui bagaimana
untuk menggunakannya dengan berkesan dalam P&P sekaligus memberi kesan
terhadap perkembangan pembelajaran pelajar.
Sepuluh tahun kemudian, Mohd. Izham dan Noraini (2007) pula telah
menjalankan kajian bagi mengenalpasti tahap kesediaan guru terhadap penggunaan
teknologi berasaskan komputer bagi P&P sains di dalam bilik darjah. Terdapat dua
7
aspek yang diukur dalam kajian ini iaitu aspek pengetahuan terhadap teknologi dan
sikap guru terhadap penggunaan teknologi. Dapatan mereka menunjukkan bahawa
tahap kesediaan guru sains di daerah Hulu Langat dari aspek pengetahuan adalah
pada peringkat sederhana. Bagi aspek sikap pula, guru-guru menggunakan komputer
adalah atas urusan pelbagai namun lebih kepada untuk memudahkan pengurusan
seharian. Walaupun mereka tahu dan menyedari kegunaannya dalam membantu
pengajaran di dalam kelas, namun sebahagian guru tidak mengaplikasikan
penggunaan teknologi maklumat ini dalam P&P mereka.
Kajian yang dijalankan oleh Kumar et al. (2008) mengenai kesediaan guru
Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris (SMI) dalam menggunakan teknologi di
dalam kelas di sekitar Selangor mendapati bahawa kebanyakan guru SMI masih
berada pada tahap yang sederhana. Selebihnya, hanya 38.4% guru SMI mempunyai
tahap penggunaan teknologi yang tinggi. Didapati, aspek sikap merupakan aspek
atau konstruk yang bersalingan dengan penerimaan teknologi dalam kalangan guru
dan ia memberikan pengaruh yang besar terhadap tahap penggunaan teknologi guru.
Dari sub-skala yang diukur, penggunaan teknologi adalah tinggi bagi urusan-urusan
pentadbiran manakala sederhana bagi urusan P&P. Ini menunjukkan penggunaan
teknologi bagi tujuan P&P masih sederhana berbanding tujuan pentadbiran yang
berada pada tahap lebih tinggi, walhal urusan P&P merupakan urusan utama yang
perlu diambilkira oleh guru-guru.
Pendekatan penggunaan teknologi dalam proses P&P sebenarnya mampu
membantu pembinaan kefahaman pelajar yang lebih mendalam bagi konsep sains
serta mewujudkan suasana bilik darjah atau makmal yang lebih mesra pelajar (Novak
dan Krajick, 2006). Selain itu, ia membolehkan pelajar-pelajar menerokai sendiri
pengalaman belajar yang lebih bermakna dengan kaedah penerokaan maklumat. Jika
permasalahan yang timbul seperti dalam kajian-kajian di atas tidak diperbaiki, maka
perkembangan suasana bilik darjah yang mesra pelajar dan bermakna tidak dapat
dinikmati oleh para pelajar.
8
1.2.3 Daya dan Gerakan
Mata pelajaran sains merupakan mata pelajaran yang kompleks dan
mempunyai konsep yang pelbagai (McCrory, 2008). Fizik pula merupakan salah
satu cabang sains yang turut mempunyai pelbagai konsep yang perlu difahami dan
juga bersifat abstrak. Namun begitu, Lilia et al. (2002) menyatakan bahawa bidang
ilmu fizik yang dinamik dan abstrak ini sebenarnya mampu menyumbang ke arah
pembangunan negara dan masyarakat seandainya bidang ilmu ini diteroka dengan
bijak dan meluas. Norasykin dan Normashita (2007) berkata negara perlu
melahirkan lebih ramai graduan dalam bidang fizik dan teknologi bagi membantu
mencapai peningkatan taraf pembangunan negara.
Namun begitu, mata pelajaran fizik bukanlah satu mata pelajaran yang mudah
dikuasai oleh pelajar. Terdapat pelbagai masalah yang dihadapi pelajar dalam
mempelajari mata pelajaran ini dan pengkaji akan memfokuskan kepada
pembelajaran tajuk Daya dan Gerakan, iaitu tajuk dalam bab 2 silibus fizik tingkatan
empat sekolah menengah di Malaysia. Menurut Rohana dan Shaharom (2008), tajuk
daya merupakan tajuk yang asas dan penting dalam subjek Fizik. Ia juga merupakan
tajuk yang sering mengalami miskonsepsi dalam kalangan pelajar. Ini kerana, ramai
pelajar menganggap tajuk ini sebagai sukar kerana terdapat pelbagai eksperimen,
formula, pengiraan, graf dan penerangan konsep yang perlu mereka fahami dan
pelajari.
Norasykin dan Normashita (2007) menjelaskan bahawa konsep Daya dan
Gerakan dalam subjek fizik memerlukan pelajar memahami dengan menyeluruh
terlebih dahulu berkenaan jisim, halaju dan pecutan kerana ia akan diaplikasikan ke
dalam topik fizik yang lebih lanjut. Jika pelajar tidak dapat mengaitkan dengan
pengetahuan yang sedia ada, pelajar akan mengalami kesukaran untuk memahami
konsep dan prinsip keabadian dalam tajuk momentum contohnya. George et al.
(2001) juga melaporkan bahawa di bawah topik ini, ramai pelajar mengalami
kerumitan untuk memahami mengapa dan bila untuk menggunakan sesuatu konsep
seperti konsep momentum, terutama prinsip keabadian. Selain itu, laporan oleh
Tamby Subahan (1999) juga menyatakan bahawa ramai pelajar daripada pelbagai
9
negara mengalami masalah salah konsep dalam pembelajaran termasuklah dalam
tajuk Daya dan Gerakan. Pengalaman harian pelajar akan mempengaruhi cara
pemikiran mereka seterusnya menyumbang kepada masalah prekonsepsi dan salah
konsep.
1.3 Pernyataan Masalah
Walaupun teknologi sudah lama diperkenalkan dalam bidang pendidikan
(Norizan dan Salleh-Huddin, 1997), namun kebanyakan guru masih mempunyai
tahap kesediaan yang sederhana (Mohd. Izham dan Noraini, 2007). Oleh itu,
pengkaji akan menyiasat dan mengenalpasti sejauhmana tahap kesediaan guru fizik
baru dan guru fizik berpengalaman terhadap pengintegrasian teknologi dalam P&P
mereka. Selain itu, dapatan kajian lepas menunjukkan bahawa guru yang lebih
berpengalaman memerlukan lebih bimbingan dalam mengadaptasikan teknologi
dalam P&P mereka (Polly, 2011; Rosnaini dan Mohd Arif, 2010). Guru yang lebih
muda dan baru pula biasanya sudah mempunyai asas dan pengetahuan tentang
teknologi (Rosnaini dan Mohd Arif, 2010) namun masih ada yang tidak bersedia
untuk menggunakannya dalam sesi P&P (Guzey dan Roehrig, 2009).
Memandangkan rangka kerja PTPK ini dilaksanakan kurang dari sepuluh
tahun, maka kajian yang dijalankan berkaitan dengan amalan PTPK dalam kalangan
guru Fizik peringkat menengah di Malaysia umumnya dan di negeri Johor khasnya
masih belum meluas. Justeru itu, kajian ini dilaksanakan bertujuan untuk mendalami
amalan PTPK guru Fizik sekolah menengah di daerah Johor Bahru. Amalan PTPK
guru pula akan berkisar kepada tajuk Daya dan Gerakan iaitu tajuk pembelajaran bab
dua tingkatan empat. Ini kerana, sarjana-sarjana lepas telah mendapati bahawa
pelajar mengalami masalah miskonsepsi dalam tajuk ini (Tamby Subahan, 1999) dan
pelajar turut menganggap bahawa tajuk ini sebagai sukar (Rohana dan Shaharom,
2008). Norasykin dan Normashita (2007) pula menjelaskan bahawa pelajar akan
mengalami kesukaran untuk mempelajari tajuk fizik dalam bab-bab seterusnya jika
mereka tidak dapat menguasai konsep-konsep asas dalam tajuk ini. Dengan itu,
10
kajian terhadap amalan PTPK guru akan berlangsung bagi sesi P&P tajuk Daya dan
Gerakan.
1.4 Objektif Kajian
Berdasarkan beberapa permasalahan yang timbul seperti yang diterangkan
dalam penyelidikan lepas, kajian ini dilakukan dengan objektif untuk:
(i) Mengenalpasti sejauh mana tahap kesediaan guru fizik baru dalam
mengintegrasikan teknologi semasa pengajaran fizik.
(ii) Mengenalpasti sejauh mana tahap kesediaan guru fizik berpengalaman
lebih lima tahun dalam mengintegrasikan teknologi semasa
pengajaran fizik.
(iii) Membandingkan corak pengajaran berlandaskan PTPK antara guru
fizik baru dan guru fizik berpengalaman lebih lima tahun bagi sesi
P&P tajuk Daya dan Gerakan.
1.5 Persoalan Kajian
Berdasarkan objektif kajian yang ingin dijalankan, persoalan kajian yang
ingin diselesaikan dalam kajian ini adalah seperti di bawah:
(i) Apakah tahap kesediaan guru fizik baru di peringkat menengah dalam
mengintegrasikan teknologi semasa pengajaran dan pembelajaran
fizik?