isu penyelidikan

Upload: cikgusitihaslinda

Post on 10-Jan-2016

19 views

Category:

Documents


0 download

DESCRIPTION

g

TRANSCRIPT

Kemampuan Malaysia merealisasikan hasrat Wawasan 2020 untuk menjadi negara maju mengikut acuan sendiri amat bergantung pada

1.0 Pengenalan

Kemampuan Malaysia merealisasikan hasrat Wawasan 2020 untuk menjadi negara maju mengikut acuan sendiri amat bergantung pada sistem pendidikan. Hal ini pernah dinyatakan oleh tokoh pendidikan, Tan Sri Awang Had Salleh dalam menyarankan RRJP3 agar memberi tumpuan kepada sektor pendidikan. Menurut beliau, kalau 20 atau 30 tahun lalu, cuma dua peratus saja rakyat negara ini berpendidikan universiti. Untuk mencapai tahap sebuah negara maju, peratusan mereka yang berpendidikan tertiari perlu lebih tinggi di samping sistem pendidikan mestilah bersifat anjal. Menyedari hakikat ini, usaha melahirkan modal insan minda kelas pertama telah menjadi agenda teras kedua dalam RMK 9 (Misi Nasional) dan seterusnya telah menggerakkan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) merangka Pelan Induk Pembangunan Pendidikan 2006 -2010 sebagai langkah untuk menyahut seruan kerajaan dalam melahirkan masyarakat yang berilmu pengetahuan dan berkeperibadian tinggi.

Sehubungan itu, profesion perguruan telah diberi amanah oleh KPM untuk melahirkan masyarakat yang berpengetahuan dan berilmu. Hal ini kerana pada abad ke 21 ini, kemajuan dan kejayaan sesebuah negara amat bergantung kepada keupayaan rakyatnya melahirkan dan menggunakan ilmu pengetahuan dalam segala urusan kehidupan. Namun begitu, dalam konteks Malaysia, tanggungjawab profesion perguruan bukan sahaja menyediakan rakyat di negara ini dengan pelbagai ilmu pengetahuan tetapi perlu juga diseimbangkan dan disepadukan dengan aspek kerohanian, emosi dan jasmani seperti yang termaktub dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

Dalam proses memenuhi tanggungjawab ini, profesion perguruan juga perlu berhadapan dengan impak globalisasi dan ledakan teknologi maklumat yang sedikit sebanyak telah menggugat martabatnya. Tanggungjawab para pendidik menjadi semakin berat kerana mereka perlu proaktif untuk menyediakan generasi pelajar yang bersedia bersaing dalam persekitaran sejagat yang sangat kompleks dan kompetitif. Oleh yang demikian para pendidik dan sistem pendidikan itu sendiri perlulah mempunyai kualiti yang bersifat global. Justeru penggubalan dasar pendidikan di negara ini perlu mengambil kira tentang penilaian kesan globalisasi terhadap pendidikan, kemampuan kita untuk menjana perubahan akibat globalisasi di samping memenuhi wawasan negara dan falsafah pendidikan itu sendiri. Dengan ini, KPM telah mengatur langkah-langkah meningkatkan profesion perguruan sebagaimana yang termaktub dalam teras kelima PIPP 2006 -2010 iaitu memartabatkan profesion perguruan. Salah satu elemen yang diberi penekanan ialah budaya penyelidikan di kalangan pendidik. Dengan adanya budaya penyelidikan di kalangan guru maka kualiti perguruan itu dapat ditingkatkan.2.0 Impak Dasar.2.1Falsafah Pendidikan Kebangsaan

Reformasi pendidikan telah berlaku sebelum pembentukan Dasar Wawasan 2020. Hal ini bermula dengan kesedaran ahli akademik dan tokoh pendidik tentang pembentukan watak generasi pelajar yang berteraskan ciri-ciri bangsa Malaysia. Maka satu pernyataan Falsafah Pendidikan Negara telah digubal dan seterusnya menjadi mukadimah dalam Akta Pendidikan 1996 yang dikenali sebagai Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Aspek penting dalam falasafah ini adalah untuk memperkembangkan potensi individu secara seimbang dan holistik. Konsep pendidikan yang luas ini telah meletakkan tanggungjawab dan tugas yang berat di bahu para pendidik. Hal ini kerana potensi individu boleh menyerupai pelbagai bentuk dan ragam. Oleh itu, tugas untuk memperkembangkan potensi ini perlulah dilakukan secara menyeluruh iaitu terangkai dalam usaha memperkembangkan jasmani, emosi, rohani dan intelek secara bersepadu. Kekurangan salah satu elemen akan menjejaskan pembentukan peribadi pelajar. Justeru konsep keilmuan yang kukuh perlu didasari bagi mencapai matlamat ini. Dengan ini, para pendidik perlulah mempersiapkan diri dengan budaya ilmu agar tugas dan tanggungjawab ini dapat dilaksanakan dengan jayanya. Bagi keperluan ini, para pendidik perlulah menjadi penyelidik untuk memperkembangkan ilmu pengetahuan dan daya kreativiti mereka.

2.2Wawasan 2020

Hasrat Wawasan 2020 yang telah dikemuka oleh mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad adalah untuk menjadikan Malaysia negara perindustrian sekaligus negara maju. Wawasan 2020 menggariskan sembilan cabaran bagi membentuk negara Malaysia yang bersatu padu dengan masyarakat Malaysia mempunyai rasa keyakinan diri yang ditunjangi oleh nilai-nilai moral dan etika yang utuh, menikmati kehidupan dalam sebuah masyarakat yang demokrasi, liberal lagi bertolak ansur, berbudi, adil dan saksama ekonominya, progresif dan makmur. Ekonomi negara mampu bersaing, dinamis, tangkas serta mempunyai daya ketahanan (PIPP.2007). Oleh yang demikian, langkah-langkah untuk menangani kesemua cabaran ini memerlukan pembangunan sumber manusia yang lengkap dan mencukupi.

Kemampuan membangun sumber manusia yang berinovasi dan berdaya saing tinggi amat bergantung kepada keupayaan dan kesediaan sistem penyampaian terutamanya para pendidik. Para pendidik perlu menghadapi cabaran wawasan ini dengan senantiasa meningkatkan ilmu pengetahuan umum, tugas penyeliaan dan ilmu-ilmu pendidikan profesional ke suatu tahap yang selari dengan segala jenis perkembangan kemajuan dan inovasi dalam masyarakat dunia. (Wan Zahid. 1993). Dengan kata lain, guru-guru bukan sahaja memindahkan ilmu, sikap dan kemahiran tetapi mereka juga perlu membantu pelajar menterjemahkan semua aspek ini kepada sesuatu yang bermanfaat. Dapatlah diringkaskan di sini, guru-guru perlulah melibatkan aktiviti inkuiri reflektif dalam membentuk keupayaan diri menjadi guru yang kompetatif melalui aktiviti penyelidikan.

2.3Misi Nasional dan Rancangan Malaysia Kesembilan (RMKe-9)

Malaysia telah melepasi fasa pertama Wawasan 2020(1990 2005) yang banyak memberi penumpuan kepada pembangunan fizikal terutama dari segi penyediaan prasarana yang dapat menyumbang kepada pembangunan ekonomi dan sosial. Kini, fasa kedua Wawasan 2020 iaitu 2006 - 2010 akan memberikan penekanan kepada aspek-aspek pembangunan insaniah. Bagi melaksanakan hasrat Wawasan 2020 ini, Misi Nasional telah gubal oleh kerajaan sebagai panduan kepada usaha-usaha membawa kepada pencapaian Wawasan 2020. Misi Nasional yang dirangka merangkumi lima teras:a) Teras 1 meningkatkan ekonomi dalam rantaian nilai lebih tinggi;

b) Teras 2 Meningkatkan keupayaan pengetahuan dan inovasi negara serta memupuk minda kelas pertama

c) Teras 3 - Menangani masalah ketidakseimbangan sosioekonomi yang berterusan secara membina dan produktif

d) Teras 4 - Meningkatkan tahap dan kemampanan kualiti hidup

e) Teras 5 Mengukuhkan keupayaan institusi dan pelaksanaan

Bagi memacu Misi Nasional, Rancangan Malaysia Kesembilan dirangka sebagai rancangan fasa lima tahun pertama Misi Nasional. Dengan kata lain, RMKe-9 menumpu kepada permulaan fasa kedua Wawasan 2020 yang menekankan aspek-aspek pembangunan insaniah dalam membentuk modal insan yang berkualiti. Justeru, peranan pendidikan amat penting dalam menjayakan kelima-lima teras ini terutamanya teras kedua dan teras ketiga (PIPP, 2007). Oleh yang demikian RMKe-9 telah memperuntukkan sebanyak RM 45 149.1 juta kepada sektor pendidik (RMKe-9).

Impak Misi Nasional dalam memperkembang budaya penyelidikan di kalangan guru sememang dapat dikaitkan secara langsung pada teras kedua Misi Nasional ini. Bagi memenuhi proses penambahbaikan secara kompherensif atas sistem penyampaian pendidikan dan latihan serta pembelajaran sepanjang hayat maka budaya penyelidikan amat perlu dipertingkatkan dan dibudayakan di kalangan pendidik. 2.4 PEMBANGUNAN PENDIDIKAN 2001-2010

Matlamat pembangunan negara, RMKe-9 telah menggariskan strategi, program dan projek untuk meningkatkan pertumbuhan ekonomi serta membina masyarakat yang bersatu padu, adil dan saksama. Semua itu mempunyai implikasi yang besar terhadap sistem pendidikan kebangsaan.

Dalam perancangan Pembangunan Pendidikan 2001-2010, Dasar Wawasan Negara (DWN) dan kehendak Dasar Pendidikan Kebangsaan (DPK) telah di ambil kira. Pembangunan Pendidikan 2001-2010 bermatlamat menentukan setiap warganegara memperoleh peluang pendidikan selama 12 tahun dari segi akses, ekuiti, dan kualiti. Berdasarkan matlamat tersebut pada pertengahan tempoh 2001-2010, (KPM) berhasrat untuk melaksanakan penstrukturan semula sistem pendidikan kebangsaan daripada 13 tahun kepada 12 tahun menyerupai sistem pendidikan di kebanyakan negara maju. Pembangunan Pendidikan 2001-2010 juga memberi penekanan kepada pembangunan pendidikan tertiari bagi melahirkan sumber tenaga manusia yang berpengetahuan dan berkemahiran. Matlamat tersebut adalah selari dengan matlamat pendidikan kebangsaan untuk memenuhi keperluan individu, keluarga, masyarakat dan negara serta cabaran-cabaran terkini hasil dari pengaruh besar globalisasi, liberalisasi dan K-ekonomi.

Pembangunan Pendidikan 2001-2010 turut bertujuan memperkembangkan potensi individu secara menyeluruh bagi melahirkan insan yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek (JERI) selaras dengan FPK; meningkatkan kreativiti dan inovasi di kalangan murid; meningkatkan budaya ilmu; membudayakan sains dan teknologi; pembelajaran sepanjang hayat; menyediakan sistem pendidikan yang lebih cekap, berkesan dan bertaraf dunia; menjadikan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan pendidikan sekaligus meningkatkan martabat pendidikan Malaysia di peringkat antarabangsa. Sehubungan dengan itu, peranan para pendidik dilihat semakin mencabar dan penting kerana tanpa mereka yang berkualiti pasti usaha ini sukar untuk dijayakan.

Usaha terbaru Kementerian Pendidikan Malaysia dengan memperkenalkan PIPP 2006 2010 menunjukkan kesungguhan KPM meningkatkan kualiti perguruan di Malaysia. Salah satu teras yang secara langsung menyentuh tentang aspek ini ialah teras kelima iaitu memartabatkan profesion keguruan. Teras ini memberi fokus untuk menghasilkan guru yang berkualiti kekal dalam sistem pendidikan negara dan kekal berkualiti di sepanjang tempoh perkhidmatan dan memenuhi sebahagian besar keperluan intelektual, rohani, fizikal dan emosional para guru (Soon, 1997) Antara aspek yang diberi penekanan dalam elemen memantapkan latihan perguruan ialah penyelidikan sebagai budaya kerja pendidikan guru (PIPP,2007 hlm102). Objektif ini dijangka akan meningkatkan bilangan guru yang terlibat dalam penyelidikan pada tempoh pelaksanaan RMKe-9. Budaya ini turut diterapkan dalam pemilihan guru cemerlang dan pengetua cemerlang. Usaha ini disokong dengan penaiktarafan maktab perguruan kepada IPG dan menggalakkan para pendidik mengikuti program sarjana dan PHD.

Secara ringkasnya pelaksanaan dasar-dasar kerajaan dalam membangunkan dan memajukan negara ini memerlukan penglibatan dan sokongan padu bidang pendidikan. Oleh itu, kejayaan atau kegagalan sesuatu Dasar Pembangunan Negara amat bergantung pada kejayaaan sistem pendidikan dalam menyediakan sumber manusia yang terlatih dan berdaya saing, sepadan dan mencukupi dengan keperluan negara. Matlamat pendidikan ini akan tercapai sekiranya para pendidik bersedia meningkatkan kualiti profesionalisme melalui pentelidikan dan seterusnya memberikan perkhidmatan yang berkualiti kepada pelajar-pelajar. 3. Definisi Istilah

Penyelidikan boleh ditakrifkan sebagai kerja -kerja menyelidik atau perbuatan menyelidik. (Kamus Dewan, 2005). Dengan kata lain, penyelidikan adalah satu usaha yang bersistematik untuk mendapat jawapan kepada soalan atau sesuatu masalah (Tuckman,1999). Dalam konteks pendidikan, penyelidikan adalah suatu proses membuat refleksi terhadap masalah-masalah pendidikan (Mok, 2005) seperti pelaksanaan polisi dan program pendidikan di peringkat makro manakala di peringkat mikro refleksi dilakukan terhadap masalah yang berkaitan dengan aktiviti pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah. Oleh itu, dapat dirumuskan bahawa penyelidikan adalah satu usaha menyelidik untuk mencari jawapan kepada permasalahan dalam bidang pendidikan dengan mentafsir dapatan-dapatan baru, membaharui teori dan membuat kesimpulan bagi penyelesaian masalah yang dikaji.

Menurut Kamus Dewan (2005) , kualiti ialah darjah kecemerlangan biasanya tinggi atau mutu yang terbaik. Manakala C.S. Ong (2005) berpendapat bahawa kualiti dalam pendidikan boleh dirumuskan sebagai tahap pencapaian tertinggi atau standard yang unggul dan boleh dikenal pasti secara umum serta sejagat. Oleh itu, kualiti perguruan dapat dikaitkan dengan standard yang unggul dalam semua aspek perguruan yang diiktiraf oleh pihak berkepentingan dan masyarakat. Dengan kata lain, kualiti para pendidik terletak kepada profesionalismenya (Jemaah Nazir,2001), prinsipnya, keutuhan peribadinya,kecekapan dan keterampailan, keintelektualannya, kestabilan emosi dan kerohaniannya serta kebijaksanaan dan kepemimpinannya.

Perguruan pula dirujuk kepada sekolah, tempat belajar, aktiviti pengajaran atau yang ada berkaitan dengan guru (Kamus Dewan, 2005). Menurut Sufean (2004), perguruan satu profesion yang bermatlamatkan pembentukan insan dan ihsan manusia yang sempurna agar manusia itu mengerti tentang peranan dan tanggungjawab guru terhadap diri sendiri, masyarakat, alam yang didiami oleh mereka serta keesaan Yang Maha Pencipta. Justeru dalam perbincangan ini, skop perguruan akan dirujuk pada aspek profesionalisme pendidik.

4. Senario Penyelidikan Pendidikan di Malaysia.

Penyelidikan pendidikan di Malaysia dijalankan dalam dua peringkat iaitu peringkat makro dan mikro. Di peringkat makro, penyelidikan pendidikan dijalankan oleh agensi-agensi bawah kelolaan KPM dan universiti tempatan. Tujuan penyelidikan di peringkat ini lebih tertumpu pada penilaian dasar-dasar pendidikan dan penilaian pada program-program pendidikan. Manakala penyelidikan mikro dijalankan secara kecil-kecilan oleh institusi pendidikan seperti sekolah, IPG dan universiti tempatan yang lebih difokuskan pada aktiviti pengajaran dan pembelajaran.

Pelbagai kaedah penyelidikan pendidikan yang digunakan. Menurut Azizi,

et. al (2007, hlm 5) terdapat dua pendekatan dalam perkembangan penyelidikan ilmu sosial termasuk penyelidikan pendidikan iaitu, pendekatan positivistik dan pendekatan naturalistik. Pendekatan positivistik ialah pendekatan penyelidikan yang menjawab permasalahan manakala pendekatan naturalistik ialah pendekatan penyelidikan yang memerlukan pemahaman secara mendalam dan menyeluruh berkaitan objek yang diselidik bagi menjawab permasalahan.

Penyelidikan saintifik atau asas dilihat sebagai pendekatan utama dalam pendidikan yang selalu dilakukan oleh IPT di Malaysia sama ada untuk tujuan akademik oleh individu atau organisasi tertentu bagi tujuan pembentukan dan pengembangan dasar atau program yang berkaitan dengan pendidikan. Lazimnya, dapatan kajian digunakan untuk membuat cadangan umum bagi penyelesaian masalah atau penambahbaikan sesuatu dasar atau program kepada organisasi yang terlibat. Dalam konteks pelaksanaan penyelidikan, peranan penyelidik berakhir setelah laporan siap disediakan. Penyelidikan ini biasanya dijalankan oleh ahli-ahli pendidikan di IPT, pelajar-pelajar peringkat sarjana dan PHD.

Pada masa kini penyelidikan tindakan dilihat sebagai satu alternatif baru yang paling sesuai untuk menyelesaikan permasalahan dalam bidang perguruan. Hal ini kerana kebanyakan penyelidik pendidikan menganggap dapatan penyelidikan saintifik mengambil masa yang lama untuk diterima oleh pengamal pendidik dan mempunyai nilai praktis yang sedikit. Lewin (1946 : 41 dlm Jamil. 2002) mengkritik penyelidikan saintifik yang tidak menyumbang kepada perubahan dengan menyatakan research that produces nothing but books will not suffice. Kenyataan ini diperkukuh lagi kajian yang dibuat oleh Sardo Brown (1995 dlm Jamil. 2002) ke atas enam orang guru yang melaksanakan penyelidikan pendidikan. Beliau mendapati penyelidikan tindakan menjadikan para guru lebih reflektif, sensitif kepada permasalahan pelajar, meningkatkan faham terhadap amalan pengajaran dan amalan komunikasi. Selain itu, menjadikan guru lebih bersikap positif untuk membaca dan mencuba kaedah pengajaran baru bagi meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran.

Memandangkan penyelidikan amat penting dalam meningkatkan kualiti perguruan maka KPM khususnya Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan (BPPDP/EPRD) telah memulakan insiatif untuk membudayakan kajian tindakan di sekolah melalui aktiviti Sub-Program 4, iaitu Penyelidikan Pendidikan bawah Program Excellence and Research (PIER). Program pembiayaian Bank Dunia ini bermula pada tahun 1993 hingga 1996 dengan mengadakan kursus-kursus kajian tindakan kepada guru-guru di seluruh Malaysia serta menyediakan peruntukan untuk menjalankan projek kajian tindakan di sekolah-sekolah. Sebanyak 741 projek kajian tindakan telah berjaya dilaksanakan oleh guru-guru sepanjang program PIER (Madzniyah,1998)2.

Pada tahun 1998 hingga 2000, BPPDP mendapat peruntukan khas daripada Kementerian Sains, Teknologi dan Alam Sekitar bawah Program Kesedaran Sains untuk membolehkan aktiviti kajian tindakan dilaksanakan. Sebanyak 632 projek kajian tindakan yang dilaksanakan oleh guru-guru matematik dan sains di seluruh negara. Bagi kursus kajian tindakan pula, sebanyak 20 kursus yang telah dijalankan kepada guru-guru matematik dan sains di seluruh negara selama 3 tahun ini (Madzniyah,2000). Bermula pada tahun 2001, KPM telah menyediakan peruntukan sendiri dan berupaya mengagihkan sebanyak RM3500 kepada setiap negeri bagi melaksanakan kajian tindakan.

Sejak tahun 1993, Seminar Penyelidikan Kebangsaan telah diadakan oleh BPPDP sebagai saluran untuk menyebarkan hasil-hasil penyelidikan, terutama dalam kalangan guru untuk dikongsi bersama. Beberapa orang guru yang terlibat diberi peluang untuk membentangkan hasil kajian mereka (Prosiding Seminar, BPPDP, 2000). Di peringkat pendidikan guru, aktiviti penyelidikan dijadikan budaya kerja di kalangan pensyarah bagi meningkatkan kualiti kerja. Kompetensi dalam melaksanakna penyelidikan merupakan prasyarat utama untuk menjadikan pendidik guru sebagai pendidik reflektif (Premalatha et. al, 2003). Manakala pendidik sama ada praperkhidmatan atau dalam perkhidmatan melakukan penyelidikan secara individu atau kolaborasi sebagai latihan ilmiah bagi program siswazah dan pascasiswazah serta juga sebahagian daripada keperluan program latihan dalam perkhidmatan.

Selain ini, KPM juga telah membentuk satu jawatankuasa penyelidik yang terdiri daripada UKM, UPM, USM dan UM. Jawatankuasa ini ditubuh dengan tujuan menghasilkan formula berkonsepkan universiti penyelidikan. Visi universiti penyelidikan meluaskan falsafah yang sedia ada dan membekalkan latihan yang baik dalam memajukan seluruh sistem pendidikan serta bekerjasama dalam pembangunan negara.

Sokongan dan usaha padu KPM sememangnya jelas dalam membudayakan penyelidikan di dalam sistem pendidikan di Malaysia. Maka para pendidik perlulah memahami konsep mereka sebagai penyelidik supaya pelaksanaan dasar ini tidak terbantut akibat sikap sambil lewa para guru. Dalam hal ini, Sachon (1983) menyarankan perubahan amalan guru dari berbentuk technical rationality kepada reflective rationality yang menekankan amalan refleksi sebagai asas perkembangan profesional. Schon juga mengemukakan konsep reflection-in-action dan knowing-in-action sebagai proses penyelidikan untuk perkembangan ilmu profesional dan peningkatan profesional perguruan. Konsep reflection-in-action dan knowing-in-action membantu guru dalam memastikan proses pengajaran dan pembelajaran berjalan dengan berkesan di samping memungkinkan idea-idea baru dicetus bagi membaiki amalan. Proses ini sebenarnya memerlukan seseorang itu mengesan maklumat dan menganalisis maklumat bagi membuat keputusan yang pantas bagi membaiki amalannya secara berterusan. Justeru, sewajarnyalah aspek penyelidikan menjadi elemen dalam pemilihan guru cemerlang dan pengetua cemerlang.5.0 Kesan Penyelidikan ke atas Kualiti Perguruan

Kualiti perguruan terletak pada peningkatan kualiti profesionalisme para guru itu sendiri. Justeru pengetahuan dan kemahiran dalam penyelidikan pendidikan merupakan salah satu unsur pembangunan profesionalisme guru yang dapat meningkatkan kualiti perguruan. Dengan menjalankan penyelidikan, guru dapat memperkasakan keperibadiannya, keintelektualan dan kepemimpinannya terutama dalam menjalankan tugas sebagai pendidik. Dalam perkataan lain, penyelidikan dapat meningkatkan profesionalisme guru melalui aspek yang dijelaskan dalam rajah di bawah:

Rajah 1. Aspek-aspek yang diperoleh melalui penyelidikan untuk peningkatan kualiti

profesionalisme.

Melalui penyelidikan, corak pemikiran tinggi (high oder thinking) di kalangan guru penyelidik akan membantu para pelajar menguasai cara berfikir sedemikian. Hal ini sesuai dengan perpatah yang mengatakan kepemimpinan melalui teladan. Corak pemikiran tinggi ini berlaku apabila guru penyelidik terlibat dalam memanipulasi maklumat dan idea-idea dengan mensintesiskan, membuat generalisasi, menjelaskan, membuat hipotesis, atau mengemukakan kesimpulan-kesimpulan daripada hasil dapatan dalam bentuk makna dan kefahaman baru. Mereka akan menggunakan prinsip-prinsip pemikiran pada peringkat lebih tinggi. Hasil dapatan penyelidikan dapat membantu guru membangunkan keupayaan pelajar-pelajar untuk mereflek dan menggunakan pemikiran tinggi dalam aktiviti pembelajaran. Dengan ini, proses pembelajaran pelajar tidak lagi tertumpu kepada aktiviti penghafalan dan menerima semua fakta tanpa melalui pemikiran kritis. Kemahiran berfikir pelajar akan berkembang di samping kekukuhan struktur kognitif pelajar-pelajar membantu mereka mengingat dan mengekalkan maklumat dalam tempoh masa yang panjang . Selain itu, guru dapat menyediakan struktur asas bagi pelajar untuk membina konsep baru. Semua ini dapat dilakukan oleh guru yang melakukan penyelidikan sebelum melaksanakan proses pengajaran kerana guru perlu membuat analisis, penilaian dan mensintesiskan amalan pengajarannya agar dapat menggalakkan pelajar menggunakan pemikiran tinggi dalam operasi pembelajaran mereka.Selain itu, keintelektualan para guru juga dapat ditingkatkan melalui pencambahan idea dan ilmu baru. Dengan melakukan penyelidikan, para guru aktif di dalam pengumpulan dan perkongsian maklumat yang terkini. Malah menggalakkan guru penyelidik mencetuskan idea-idea baru yang boleh membantu organisasi pendidikan berhadapan dengan permasalahan baru serta lebih bersedia menghadapi perubahan yang sering berlaku dari semasa ke semasa. Hal ini boleh dilakukan dalam situasi yang lebih dinamik kerana melalui penyelidikan, semua teknik penyelesaian kepada sesuatu masalah yang digunakan selama ini akan mengalami peningkatan kerana perlu disesuaikan dengan diri para guru dan organisasi sekolah untuk menghadapi persekitaran yang berubah. Penyelidikan dapat menyemak kembali aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang lepas dan membantu guru-guru mempelajari kesilapan masa lampau. Dengan ini, para guru akan sentiasa bersedia untuk menggunakan pendekatan baru dan terkini untuk mengatasi kesilapan lampau. Seterusnya, memberi kekuatan kepada para guru untuk berhadapan dengan perubahan secara positif.Penyelidikan dapat meningkatkan kualiti perguruan melalui perkongsian pintar. Perkongsian pintar ini berlaku apabila penukaran dan aliran maklumat berlaku secara bebas. Melalui penyelidikan, para guru dapat menyuarakan pandangan berdasarkan dapatan kajian yang kukuh kepada pihak-pihak berkepentingan dan pembuat dasar untuk diambil perhatian dalam penyelesaian sesuatu masalah berkaitan dengan pendidikan. Pada masa ini, para guru tidak terlibat secara langsung dalam apa-apa perubahan yang dilakukan dalam sistem pendidikan malah mereka terpaksa menerima sebarang perubahan tanpa kerelaan dan kesediaan untuk melakukannya. Akibat ketidakfahaman tentang matlamat dan tujuan perubahan dilakukan maka kebanyakan perubahan yang dilaksanakan kurang berjaya. Keadaan ini boleh diubah sekiranya para guru mengamalkan budaya penyelidikan dalam tugasan mereka. Hal ini kerana para guru mempunyai hujah-hujah yang kukuh untuk disumbangkan kepada pembuat dasar sebelum sesuatu perubahan dilaksanakan. Malah para guru akan lebih bersedia untuk melakukan perubahan kerana mereka terlibat sama dalam membentuk matlamat dan strategi sesuatu perubahan. Dalam konteks mikro, perkongsian pintar ini berlaku apabila hasil dapatan penyelidikan dibincangkan dalam persidangan, seminar, bengkel dan penulisan jurnal. Perkongsian maklumat dan perbincangan-perbincangan dalam mengatasi permasalahan yang sama dapat mewujudkan pakatan strategi setelah membuat pertimbangan daripada pelbagai aspek pemikiran dan pengalaman para peserta. Dengan cara ini, ketandusan idea dan kemuflisan daya cipta dalam kalangan guru dapat diatasi.Dalam proses melakukan penyelidikan, para guru akan terlibat dalam membuat hubungan-hubungan antara memperoleh maklumat dengan penglibatan pihak pengurus, para pelajar, rakan setugas, ibu bapa dan komuniti yang lebih luas lagi. Misalnya, guru penyelidik yang ingin melihat hubungan pembelajaran pelajar dengan penglibatan ibu bapa di rumah. Bagi memperoleh maklumat, penyelidik guru akan berinteraksi dengan PIBG, ibu bapa dan pelajar-pelajar terlibat. Dengan adanya hubungan sedemikian, guru lebih peka dan memahami situasi sebenar masalah dan cara penyelesaian sesuatu masalah itu dapat dibuat dengan melibatkan lebih banyak pihak dalam komuniti pembelajaran tersebut.

Penglibatan guru dalam penyelidikan secara aktif dalam mencari penyelesaian masalah di dalam bilik darjah telah meningkatkan komitmen dan prestasi kerja guru tersebut. Menurut Covey (1989) penglibatan seseorang untuk memenuhi tuntutan keperluan yang memaksa mereka berada dalam komited dan jika tiada penglibatan maka komitmen tidak mungkin wujud. Proses penyelidikan guru banyak membantu guru mempertingkatkan hasil kerja mereka melalui penambahan pengalaman dan kemahiran. Selain itu, guru adalah insan berpotensi dan berkemampuan untuk memperkembangkan kemahiran dan pengetahuan untuk menjadi manusia yang positif dan proaktif (Sergiovanni, 1976) dalam menjalankan tugasnya. Dengan memberi ruang kepada guru menjadi penyelidik dan mencuba idea-idea baru sudah pasti akan menimbulkan motivasi yang tinggi untuk guru bekerja. Dengan ini komitmen dan prestasi kerja guru akan meningkat.

Tanpa aktiviti penyelidikan, kebanyakan guru kurang peka terhadap penambahan ilmu melalui pembacaan, perbincangan dan perkongsian ilmu. Hal ini berlaku kerana tabiat manusia akan melakukan sesuatu sekiranya sesuatu itu mendatangkan manfaat kepada mereka. Oleh itu, tanpa menjalankan penyelidikan seseorang guru tidak dapat merasai manfaat pembudayaan ilmu dalam kerjayanya. Hanya guru yang terlibat dalam aktiviti penyelidikan dapat melihat nilai tambah ilmu yang diperoleh daripada dapatan penyelidikannya kepada perkhidmatan mereka. Dalam kajian yang dilakukan oleh Madzniyah (2006) mendapati guru yang menjalankan penyelidikan berpendapat bahawa penyelidikan dapat memperkembangkan profesionalisme mereka terutama dalam pertambahan ilmu pengetahuan. Tambahan pula, penyelidikan dapat membantu proses Organisasi Pembelajaran (learning organization) berkembang pesat. Pada peringkat individu, ilmu meningkatkan kompetensi guru supaya dapat melaksanakan tugas dengan sempurna manakala pada peringkat sekolah sebagai organisasi, perkongsian ilmu memperkukuh keupayaannya. Justeru penyelidikan akan menyebabkan guru terlibat secara langsung atau tidak langsung secara bersistematik dalam kegiatan ilmu pada setiap ruang dan masa.

Sebagai seorang profesional, guru bukan sahaja perlu berilmu pengetahuan dan terlatih malah perlu mahir dalam bidang masing-masing tetapi juga mestilah berkebolehan menghasilkan aktiviti pembelajaran kreatif dan inovatif. Tambahan pula perkembangan teknologi maklumat banyak membantu guru untuk menjadi kreatif dan inovatif. Guru yang kreatif akan mencipta sesuatu penemuan yang baru dengan menyelidik dan mencari bukti-bukti dengan mencabar diri untuk mencipta teori-teori baru berkaitan pendidikan. Guru tidak lagi bergantung kepada pengalaman yang lapuk dan ketinggalan zaman untuk menjalankan tugas mereka malah melalui penyelidikan guru dapat mencari kaedah atau amalan yang kreatif dan berinovasi untuk menjadikan pembelajaran pelajar semakin menarik dan berkesan. Misalnya melalui penyelidikan guru juga dapat mengesan kaedah pengajaran berasaskan komputer yang paling sesuai untuk digunakan dalam bilik darjah. Dapat dirumuskan kreativiti guru bergantung kepada kebolehan guru melakukan inovasi dalam pengajaran. Hal ini dapat dilakukan dengan menjalankan penyelidikan secara berterusan.

Peningkatan kualiti profesion perguruan menuntut penambahbaikan berterusan dalam menyediakan pekhidmatan yang memuaskan hati pelanggan. Bagi menjamin kualiti perkhidmatan dalam profesion pendidikan pada abad ke21 merupakan satu cabaran (Wan Mohd Zahid Mohd Nordin,1993). Perkhidmatan dalam bidang pendidikan adalah proses berkualiti yang dijalankan oleh pihak sekolah untuk menokok tambah nilai dalam pembangunan diri pelajar mengikut kehendak pelanggan dan stakeholders. Untuk menghasilkan pelajar yang berkualiti, para guru perlulah mencapai standard yang ditetapkan. Justeru guru perlu membuat penambahbaikan dalam menyampaikan perkhidmatannya. Keadaan ini dapat diwujudkan sekiranya budaya penyelidikan dilaksanakan dalam amalan harian guru di mana dengan budaya ini, guru dapat mengesan kelemahan dan kekuatan dalam proses penyampaian perkhidmatan mereka.

Hasrat KPM menjadikan pendidikan di Malaysia sebagai pendidikan bertaraf dunia merupakan paradigma pendidikan yang memerlukan anjakan yang mendorong para guru memainakan peranan yang lebih berkesan dan progresif. Paradigma pendidikan perlu diubah daripada budaya pak turut kepada mencipta atau mencari, perkongsian maklumat, inovatif dan kreatif dan bersifat proaktif. Oleh yang demikian, penyelidikan perlu dilakukan untuk mengesan kesediaan guru melaksanakan perubahan yang dikehendaki secara total. Hasil dapatan penyelidikan dapat membantu pihak pembuat dasar melihat tahap kesediaan dan kemampuan warga pendidik melaksanakan program dan polisi dalam sistem pendidikan .

Akhir sekali kesan penyelidikan ke atas profesion perguruan ialah keupayaan para guru menangani kepelbagaian dalam bilik darjah. Dewasa ini, konsep kepelbagaian menjadi isu utama yang diperkatakan seluruh dunia. Pelajar-pelajar yang berada dalam bilik darjah datang daripada pelbagai latar belakang sosio ekonomi, tahap kognitif, keperluan, pengalaman, pengetahuan dan kemahiran yang berbeza-beza. Teknik pengajaran satu kaedah untuk semua sudah tidak sesuai lagi. Guru perlu menggunakan pelbagai pendekatan untuk membantu pelajar yang berbeza-beza ini. Oleh itu, aktiviti penyelidikan dapat mengesan kepelbagaian keperluan dan masalah. Justeru pelbagai pendekatan dapat dilakukan untuk menyelesaikan permasalahan ini.

Secara amnya, aktiviti penyelidikan yang dilakukan secara bersistematik dan saksama dapat membantu perkembangan profesion perguruan yang berkualiti dan berkesan.

6.0 Isu-isu , masalah-masalah dan cadangan-cadangan

Sungguhpun aktiviti penyelidikan di peringkat makro sangat giat dan aktif dijalankan terutama di peringkat agensi-agensi KPM dan institusi pengajian tinggi. Persoalannya, kajian ini kurang berkesan kerana kebiasaan keputusan atau hasil dapatanya mengambil masa yang lama untuk diterima oleh pengamal pendidikan dan mempunyai nilai praktis yang sedikit (Jamil, 2002). Malah dalam banyak keadaan hasil penyelidikan ini hanya terbuku dalam tesis sarjana atau dalam laporan yang tersimpan di rak-rak buku. Jarang sekali hasil kajian ini disebar luas kepada para guru di sekolah. Kalau adapun hasil penyelidikan dibincangkan di peringkat prosiding, seminar dan persidangan yang dihadiri oleh golongan tertentu sahaja.

Selain itu, persoalan yang timbul ialah gaya penulisan ilmiah para penyelidik di peringkat makro ini menyukarkan para guru untuk memahami keputusan dan kesimpulan hasil dapatan penyelidikan yang telah dibuat. Perkara ini membantutkan minat para guru untuk membaca dan menimba pengetahuan daripada hasil penyelidikan. Keadaan ini disulitkan lagi dengan kesukaran untuk guru-guru mengakses hasil penyelidikan ini kerana penyimpanannya di tempat-tempat yang ekskulsif dan jauh daripada persekitaran tempat kerja mereka terutama yang bertugas di luar bandar.

Namun untuk perbincangan penulisan ini, fokus diberi kepada penyelidikan tindakan di peringkat mikro. KPM telah berusaha meningkatkan budaya penyelidikan di kalangan guru melalui latihan dalam praperkhidmatan di IPG dan IPT, latihan dalam perkhidmatan dan melalui kursus-kursus yang dianjurkan oleh BPPBP, JPNS, PSPN, dengan usahasama IPT dan IPG. Tetapi budaya penyelidikan ini masih belum menyeluruh di kalangan guru. Kajian yang dilakukan oleh Jamil (2002) dan Lee (1997) menunjukkan tahap pengetahuan dan kemahiran penyelidikan tindakan dalam kalangan guru adalah sederhana dan masih belum menyakinkan. Manakala penyelidikan yang dilakukan oleh Bahagian Pendidikan dan beberapa maktab (sekarang ini dikenali IPG) (Premalatha .2003) menunjukkan pendidik guru sendiri kurang kemahiran dalam melakukan penyelidikan pendidikan dan pengalaman dalam kompetensi penyelidikan masih rendah.

Apakah permasalahan yang dapat dikaitkan dengan isu ini? Antara masalah yang dikesan melalui kajian yang dilakukan oleh Lee(1997), Jamil(2002) dan Madzniyah( 2006) dapat dirumuskan kepada tiga aspek utama iaitu sikap guru, kekangan masa dan pengetahuan penyelidikan yang cetek. Selain ini terdapat berberapa masalah lain iaitu kurang peruntukan untuk menjalankan penyelidikan, tidak berupaya mempengaruhi atau mengawal aspek-aspek seperti sukatan pelajaran, persekitaran dan organisasi khususnya sekolah dan hanya dilakukan apabila ada arahan daripada pihak atasan. Masalah sikap guru terhadap aktiviti penyelidikan dapat dilihat melalui tanggapan negatif guru terhadap penyelidikan. Guru-guru menganggap tugas penyelidikan bukan tugas mereka tetapi tugas yang perlu dilakukan oleh pegawai di PPD, JPN dan KPM, atau hanya perlu dilakukan pada masa latihan praperkhidmatan atau latihan dalam perkhidmatan sahaja. Justeru, terdapat segelintir guru yang menjalankan penyelidikan kerana diarah oleh pengetua, PPD atau JPN sebagai memenuhi tuntutan selepas menghadiri kursus penyelidikan tindakan (Madzniyah,2006). Keadaan ini diburukkan lagi apabila tujuan aktiviti penyelidikan ini dilakukan sebagai bahan dokumentasi untuk dihantar ke pihak-pihak yang menuntut. Oleh yang demikian tujuan sebenar penyelidikan tidak dilaksanakan. Jadi dapat dirumuskan, walaupun aktiviti penyelidikan ini dijalankan tetapi tidak mampu menyelesaikan permasalahan sebenar yang berlaku di dalam bilik darjah.

Selain itu, guru juga beranggapan bahawa penyelidikan merupakan satu usaha yang sia-sia dan membuang masa. Tanggapan ini berlaku kerana karenah birokrasi sama ada di peringkat sekolah mahu pun di peringkat atasan. Guru tidak diberi kuasa atau autoriti untuk melaksanakan hasil dapat penyelidikan di dalam bilik darjah malah guru masih terikat dengan sukatan pelajaran yang perlu diselesaikan untuk persediaan peperiksaan awam. Tanpa sokongan padu pihak pengetua dan pihak berkepentingan, guru tidak berani mengambil risiko untuk mencuba idea atau strategi pengajaran dan pembelajaran yang baru. Malah usaha mereka juga tidak mendapat pengikhtirafan yang sewajarnya. Keadaan ini jelas berlaku di kalangan guru kelulusan sarjana, mereka tidak lagi menjalankan aktiviti penyelidikan selepas mendapatkan sijil sarjananya. Tanpa pengiktirafan hasil penyelidikan mereka, mereka akan beranggapan penyelidikan merupakan usaha yang sia-sia. Tambahan pula, hasil penyelidikan itu hanya laporan dokumentasi yang menyatakan aktiviti penyelidikan telah dijalankan bukannya laporan yang melihat impak penyelidikan itu sebagai penyelesaian masalah.Aktiviti penyelidikan juga sukar untuk dilaksanakan kerana kurang sokongan dan kebanyakan guru-guru tidak mahu memberi kerjasama dengan penyelidik guru. Hal ini kerana kurang kefahaman guru tentang kepentingan penyelidikan dalam membantu mereka meningkat kualiti kerja. Terdapat juga guru yang beranggapan tugas membantu melakukan penyelidikan akan menambahkan tugas mereka sedangkan penyelidik guru yang mendapat nama sekiranya penyelidikan itu berjaya. Sekali lagi timbul tanggapan usaha-usaha guru yang bekerjasama menjalankan aktiviti ini tidak diikhtiraf.Usaha kolaboratif dengan pensyarah sama ada daripada IPT atau IPG kurang mendapat sambutan kerana guru mempunyai tanggapan bahawa mereka dipergunakan oleh pihak tersebut memandangkan guru tidak mahir dalam kompetensi penyelidikan maka guru hanya menuruti kehendak pensyarah-pensyarah walaupun mereka berpendapat terdapat aspek kurang sesuai dalam situasi sekolah mereka ( Madzniyah, 2006). Selain itu guru berasa terbeban kerana masa dan tenaga yang digunakan untuk melakukan penyelidikan tidak setimpal dengan gaji yang diperoleh. Walaupun dari aspek tanggungjawab, guru merupakan golongan profesional kerana profesion ini lebih mementingkan perkhidmatan daripada ganjaran kewangan dan mereka berasa bertanggungjawab dalam semua tindakan dan keputusan yang dibuat (Sufean, 2004). Namun dalam dunia materialistik pada masa ini, sedikit sebanyak mempengaruhi sikap guru terhadap aktiviti penyelidikan pendidikan. Guru juga kurang kesedaran dan kurang mengambil berat tentang kepentingan penyelidikan dalam peningkatan profesionalisme mereka. Oleh itu, mereka kurang membuat refleksi tentang pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah. Permasalahan yang timbul di dalam pengajaran dan pembelajaran sering kali diselesaikan dengan cara yang tidak bersistematik dan tiada pendokumentasikan. Hal ini menyukarkan pihak-pihak lain untuk berkongsi pendapat dan pengalaman yang diperoleh.Masalah sikap guru terhadap penyelidikan perlu diubah dengan melakukan beberapa penambahbaikan dan mempromosikan penyelidikan secara bersungguh-sungguh. Antara langkah yang boleh dilakukan adalah seperti berikut:

i) Suatu tindakan yang menyeluruh perlu dilakukan untuk memberi kefahaman jelas dan tepat tentang penyelidikan kepada semua pihak terutama guru-guru. Mereka perlu diberi penjelasan tentang keperluan dan kepentingan penyelidikan dilakukan dalam proses meningkatkan kualiti perguruan.

ii) Sistem ganjaran perlu dipertimbangkan untuk meningkatkan motivasi dan komitmen guru penyelidik. Misalnya, mengambil kira sebanyak 5 % dalam penilaian prestasi sasaran kerja tahunan. Guru yang berjaya menghasilkan penyelidikan yang berkualiti dan mendatangkan impak yang berkesan dalam penyelesaian masalah boleh diberi ganjaran kewangan dan sijil penghargaan.iii) Kesanggupan pengetua dan guru besar mengambil risiko mencuba idea-idea kreatif dan meraikan inovasi cemerlang akan mengatasi tanggapan aktiviti penyelidikan merupakan usaha yang sia-sia sahaja. Malah situasi begini akan menggalakkan guru menjadi lebih komited dan kreatif dalam amalan pengajarannya.iv) Peluang perlu dibuka seluas-luasnya untuk menyebarkan hasil kajian melalui buletin, jurnal serta menggalakkan guru menghadiri dan membentangkan hasil kajian dalam seminar atau persidangan berkaitan dengan pendidikan. Dengan ini, guru-guru akan berasa hasil penyelidikan mereka dihargai dan diiktiraf.v) Amalan penyelidikan perlu diberi penekanan lebih di kalangan guru sama ada di peringkat pra perkhidmatan ataupun dalam perkhidmatan dengan menjadi prasyarat untuk guru-guru untuk kenaikan pangkat atau pemilihan anugerah cemerlang.Selain masalah sikap, para guru juga menghadapi masalah kekangan masa untuk menjalankan aktiviti penyelidikan. Menurut laporan Tan Sri Abdul Rahman Arshad, purata masa mengajar seminggu bagi guru sekolah rendah adalah 30 waktu seminggu manakala guru sekolah menengah adalah 28 waktu seminggu. Hampir setiap hari guru perlu masuk kelas ganti sekurangnya dua waktu. Selain jadual waktu yang padat , guru-guru terpaksa mengisi waktu lain dengan aktiviti kokurikulum, memeriksa buku dan menilai kerja murid, melaksanakan tugas perkeranian, mengendalikan mesyuarat dan program-program sekolah serta mengendalikan lain-lain tugas yang bukan profesional. Guru juga diarah menghadiri mesyuarat, mengawasi peperiksaan, menghadiri pelbagai kursus dan menjadi petugas dalam kegiatan sukan di pelbagai peringkat yang dianjurkan oleh Jabatan Pelajaran Negeri, Pejabat Pelajaran Daerah dan jabatan-jabatan lain (Zuraidah et al, 2005). Kesibukan para guru mengakibatkan guru menghadapi kekangan masa untuk menjalankan aktiviti penyelidikan. Terdapat juga aktiviti penyelidikan guru yang tertangguh dan yang tidak dapat diselesaikan mengikut jadual kerana guru terpaksa menghadiri kursus dan mesyuarat (Madzniyah, 2006). Kesannya tindakan segera bagi menyelesaikan sesuatu masalah di dalam bilik darjah atau persekitaran pembelajaran sukar dilakukan melalui penyelidikan kerana aktiviti penyelidikan yang awal tertangguh sedang masalah baru mungkin muncul. Keadaan ini menimbulkan kebosanan dan seterusnya menghilangkan minat guru untuk meneruskan usaha penyelidikan. Bagi mengatasi masalah kekangan masa, beberapa langkah perlu diambil:i) memberikan peruntukan masa yang khas kepada guru-guru yang berminat untuk menjalankan aktiviti penyelidikan. Oleh itu, pengurusan sekolah perlu membuat perancangan dan pelan tindakan untuk aktiviti penyelidikan. Dengan cara ini juga, pihak pengurusan dapat memantau aktiviti penyelidikan

supaya dilaksanakan seperti yang telah dirancang. ii) Selain itu, beban tugas guru penyelidik perlu dikurangkan. Guru penyelidik perlu diberi ruang dan masa yang mencukupi untuk menjalankan aktiviti penyelidikan.

iii) Guru penyelidik juga perlu mempunyai pelan tindakan supaya pengurusan masa dapat dirancang dan rakan penyelidik dapat menyemak perkembangan proses penyelidikan dari semasa ke semasa.

iv) Aktiviti penyelidikan boleh dijalankan dalam satu pasukan penyelidik. Dengan cara ini, masalah guru terpaksa menghadiri kursus dan mesyuarat tidak akan mengganggu perjalanan aktiviti penyelidikan kerana terdapat rakan penyelidik lain yang akan meneruskan aktiviti tersebut semasa ketiadaan mereka.v) Pihak pengurusan sekolah perlu memberi autoriti dan tanggungjawab penuh kepada guru penyelidik untuk menjayakan projek-projek penyelidikan di sekolah. Dengan ini tidak timbul salah faham tentang peranan yang dimainkan oleh guru penyelidik.

vi) Guru-guru penyelidik perlu meningkatkan kemahiran penggunaan ICT supaya aktiviti penyelidikan dapat dilaksanakan dengan mudah dan lancar. Pemprosesan maklumat dan data boleh dilakukan dengan cepat dan mudah. Dengan ini dapat menjimatkan masa guru penyelidik.

Masalah seterusnya melibatkan pengetahuan penyelidikan di kalangan guru cetek. Kebanyakan guru terutama guru senior kurang pengetahuan asas tentang penyelidikan. Hal ini kerana aktiviti penyelidikan mula diberi penekanan pada tahun 1993. Kursus-kursus penyelidikan hanya melibatkan sebahagian kecil guru terutama guru mata pelajaran Sains, Matematik dan guru bahasa. Oleh itu, kebanyakan guru mata pelajaran lain kurang memahami asas penyelidikan.

Keadaan ini diburukan lagi dengan kurang insiatif guru atau pihak sekolah untuk meningkatkan kemahiran dan pengetahuan tentang penyelidikan. Aktiviti perkembangan staf kurang menyentuh tentang kemahiran dan pengetahuan penyelidikan. Di pihak JPN, PPD, PSPN dan PKG, aktiviti penyelidikan bukan merupakan aliran perdana aktiviti rasmi mereka. Dengan ini peruntukan kewangan dan latihan atau kursus tidak dapat diagih secara menyeluruh.

Terdapat juga guru-guru yang telah didedahkan dengan pengetahun penyelidikan terutama guru-guru novis. Tetapi mereka kurang pengalaman dalam menjalankan aktiviti penyelidikan dan ada yang kurang mahir menjalankan aktiviti penyelidikan tindakan. Mereka juga sukar untuk menjalankan aktiviti penyelidikan kerana kurang sumber bacaan dan rujukan. Di samping itu, agak sukar dapat khidmat nasihat pakar penyelidik terutama dalam aktiviti penyelidikan tindakan. Hal ini kerana kekurangan guru-guru penyelidikan yang pakar dalam bidang tersebut.Pemasalahan pengetahuan penyelidikan yang cetek di kalangan guru dapat diatasi dengan beberapa langkah:

i) Jabatan Pelajaran Negeri/ Pejabat Pelajaran Daerah/ Pusat Sumber Pendidikan Negeri/ Pusat Kegiatan guru perlu menganjur dan menyelaraskan seminar, bengkel, dan kursus atau latihan kemahiran tentang aspek penyelidikan. Di samping itu Jabatan Pelajaran Negeri dan Pusat Sumber Pendidikan Negeri perlu memasukkan aktiviti penyelidikan sebagai aktiviti perdana supaya peruntukan kewangan dapat disediakan untuk menggalakkan aktiviti dijalankan dengan bersungguh-sungguh.ii) Pusat Sumber Pendidikan Negeri dan Pusat Kegiatan Guru perlu mewujudkan sistem rangkaian yang menghubungkan guru-guru penyelidik. Dengan adanya kemajuan teknologi maklumat, portal atau laman web boleh disediakan untuk memudahkan guru-guru mengakses maklumat dan bahan rujukan untuk membantu menjalankan aktiviti penyelidikan selain perkongsian dan khidmat nasihat daripada guru-guru pengalaman.

iii) Sekurang-kurangnya terdapat dua orang penyelidik yang kreatif dan reflektif disesebuah sekolah. Dengan cara ini, mereka dapat membimbing guru-guru lain melakukan penyelidikan.

iv) Pertambahan sumber rujukan, dan sokongan dalam bentuk pentaran bahan-bahan rujukan berkaitan penyelidikan dan perkongsian pengetahuan boleh diusahakan oleh Pusat Sumber Pendidikan Negeri, PKG dan pusat sumber sekolah.v) Hubungan kerjasama dan kolaborasi dengan IPT dan IPG perlu dipereratkan di samping mewujudkan saluran khidmat nasihat dan sokongan sumber penyelidikan. Antaranya mewujudkan rangkaian perkongsian pintar antara sekolah dengan IPG , IPT dan lain-lain agensi yang berkaitan.

vi) Persatuan-persatuan profesional guru seperti PKPSM, Majlis Guru Besar, Persatuan Guru-guru Siswazah dan Yayasan Guru Malaysia perlu menganjurkan seminar ilmu, bengkel dan menggalakkan ahlinya melakukan penyelidikan.7.0 Penutup

Profesion perguruan merupakan profesion yang diberi tanggungjawab yang berat untuk memastikan sumber manusia negara dibangunkan dengan sempurna agar menjadi aset yang dapat menjana pertumbuhan mapan. Dalam memenuhi aspirasi ini, guru mestilah menjadi penyelidik yang mampu mencetuskan ilmu dan teori baru selain berinovasi dan mampu meningkatkan daya kreatif untuk mewujudkan suasana pembelajaran berkesan. Justeru, penglibatan guru sebagai penyelidik perlu diperkembang.

Dengan ini, sokongan dalam bentuk peruntukan kewangan, khidmat nasihat atau bimbingan dan latihan atau kusus pada semua peringkat pendidik perlu dilakukan secara berterusan dan bersungguh-sungguh. Perancangan dan pemantauan perlu dilkukan untuk mengesan kelemahan dan kekuatan penerapan budaya penyelidikan di kalangan guru-guru. Perkara ini perlu dilakukan supaya aktiviti penyelidikan tidak dilakukan secara sambil lewa. Oleh itu, dapat dirumuskan bahawa penyelidikan dapat mempertingkatkan kualiti perguruan namun budaya penyelidikan perlu dimantapkan agar matlamat dasar-dasar kerajaan dapat dipenuhi.Peningkatan perhubungan

Pemikiran Tinggi (high order thinking)

Pencambahan idea dan ilmu baru

Perkongsian Pintar

Peningkatan komitmen dan prestasi kerja pendidik

Pembudayaan ilmu

Pendidik yang berinovatif dan kreatif

Penambahbaikan berterusan

Berita Harian. 2001. 3 April

HYPERLINK "http://myschoolnet.ppk.kpm.my/pNp/kj/latar.htm" http://myschoolnet.ppk.kpm.my/pNp/kj/latar.htm) diakses pada 18 september

PAGE 1