hukuman dunia, akhirat jika enggan tunai zakat

8
Hukuman dunia, akhirat jika enggan tunai zakat SECARA umum, masyarakat Islam mengenali zakat sebagai salah satu daripada Rukun Islam yang lima. Ia juga ibadah kewangan yang sangat penting untuk membangunkan Islam, terutama dari sudut ekonomi dan sosial. Antara dalil kewajipan zakat ialah firman Allah yang bermaksud: “Ambillah zakat daripada sebahagian harta mereka, dengan zakat itu kamu membersih dan menyucikan mereka...” (Surah al-Taubah, ayat 103). Firman-Nya lagi yang bermaksud: “Dirikanlah solat dan tunaikanlah zakat...” (Surah al-Baqarah ayat 110). Begitu juga sebagaimana yang disabdakan oleh Nabi Muhammad saw yang bermaksud : “Islam itu didirikan di atas lima perkara; iaitu persaksian bahawa tiada Tuhan selain Allah dan Muhammad adalah utusan Allah, mendirikan solat, menunaikan zakat, berpuasa pada Ramadan dan melakukan ibadah haji.” (Riwayat al-Bukhariy dalam Kitab Iman, hadis no 7). Zakat diwajibkan ke atas orang kaya menunaikannya untuk diagihkan kepada fakir miskin dan asnaf lain seperti yang ditetapkan oleh Allah dalam firman-Nya yang bermaksud: “Sesungguhnya sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang fakir, orang miskin, amil yang menguruskannya, muallaf yang dijinakkan hatinya, untuk hamba yang hendak memerdekakan dirinya, orang berhutang, untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah dan orang dalam perjalanan. (Ketetapan hukum yang demikian itu ialah) sebagai sesuatu ketetapan (yang datangnya) daripada Allah.” (Surah al-Taubah ayat 60). Apabila zakat itu ditentukan sebagai ibadah wajib, maka ia perlu dilaksanakan oleh setiap manusia yang mengakui dirinya sebagai seorang Muslim melalui pengucapan dua kalimah syahadah. Namun, pada hari ini masih ada umat Islam yang bersikap kedekut enggan mengeluarkan zakat.

Upload: fahmi2010

Post on 11-Nov-2015

228 views

Category:

Documents


5 download

DESCRIPTION

rujukan

TRANSCRIPT

Hukuman dunia, akhirat jika enggan tunai zakat

Hukuman dunia, akhirat jika enggan tunai zakat

SECARA umum, masyarakat Islam mengenali zakat sebagai salah satu daripada Rukun Islam yang lima. Ia juga ibadah kewangan yang sangat penting untuk membangunkan Islam, terutama dari sudut ekonomi dan sosial.

Antara dalil kewajipan zakat ialah firman Allah yang bermaksud: Ambillah zakat daripada sebahagian harta mereka, dengan zakat itu kamu membersih dan menyucikan mereka... (Surah al-Taubah, ayat 103).

Firman-Nya lagi yang bermaksud: Dirikanlah solat dan tunaikanlah zakat... (Surah al-Baqarah ayat 110).

Begitu juga sebagaimana yang disabdakan oleh Nabi Muhammad saw yang bermaksud : Islam itu didirikan di atas lima perkara; iaitu persaksian bahawa tiada Tuhan selain Allah dan Muhammad adalah utusan Allah, mendirikan solat, menunaikan zakat, berpuasa pada Ramadan dan melakukan ibadah haji. (Riwayat al-Bukhariy dalam Kitab Iman, hadis no 7).

Zakat diwajibkan ke atas orang kaya menunaikannya untuk diagihkan kepada fakir miskin dan asnaf lain seperti yang ditetapkan oleh Allah dalam firman-Nya yang bermaksud: Sesungguhnya sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang fakir, orang miskin, amil yang menguruskannya, muallaf yang dijinakkan hatinya, untuk hamba yang hendak memerdekakan dirinya, orang berhutang, untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah dan orang dalam perjalanan. (Ketetapan hukum yang demikian itu ialah) sebagai sesuatu ketetapan (yang datangnya) daripada Allah. (Surah al-Taubah ayat 60).

Apabila zakat itu ditentukan sebagai ibadah wajib, maka ia perlu dilaksanakan oleh setiap manusia yang mengakui dirinya sebagai seorang Muslim melalui pengucapan dua kalimah syahadah. Namun, pada hari ini masih ada umat Islam yang bersikap kedekut enggan mengeluarkan zakat.

Mereka tidaklah menolak kefarduan zakat secara menyeluruh, tetapi berpandangan, mengeluarkan zakat menyebabkan harta atau kekayaan berkurangan.

Antara punca sikap sebegini kerana terlalu cinta dan tamakkan harta. Mereka ingin cepat kaya sehingga melupakan ibadah yang diwajibkan oleh Allah ke atas mereka. Rasulullah saw bersabda yang bermaksud: Hati orang tua menjadi muda kerana mencintai dua perkara: mencintai hidup dan (mencintai) harta benda. (Riwayat al-Bukhary dalam Kitab Meminta Simpati, hadis no 5941).

Soal terlalu cinta kepada harta kekayaan, ingin mendapatkannya, kedekut dengannya serta mengutamakan diri sendiri adalah antara perkara yang menunjukkan kelemahan jiwa manusia. Malah ia adalah antara faktor penyumbang kepada keretakan hubungan persaudaraan, mencetuskan permusuhan, menyuburkan kedengkian serta membawa perpecahan dalam masyarakat.

Dalam erti kata lain ia melahirkan keburukan, kelemahan dan penderitaan.

Sesungguhnya bukan peraturan dan undang-undang manusia saja mempunyai hukuman atau balasan bagi sesiapa yang melanggarinya, malah peraturan Allah mempunyai ancaman atau hukuman yang lebih hebat daripada hukuman manusia, apabila peraturan-Nya itu dilanggari oleh hamba-Nya.

Hukuman manusia hanya terbatas di dunia. Hukuman Allah meliputi kedua-duanya, sama ada di dunia atau akhirat. Hukuman di akhirat inilah yang amat pedih dan sukar untuk dibayangkan oleh manusia yang lemah.

Namun begitu, Allah yang bersifat Maha Pengasih dan Penyayang masih memberi peluang kepada hamba-Nya untuk bertaubat, asalkan mereka tidak menyekutukan-Nya dan mahu memohon keampunan daripada-Nya.

Sebenarnya di sebalik perintah Allah berkaitan kewajipan mengeluarkan zakat ini, ada banyak fadilat atau kelebihannya. Di samping itu, disediakan ancaman dan hukuman di dunia dan akhirat bagi sesiapa yang enggan mengeluarkan zakat.

Bagi balasan dunia sebagaimana yang dijelaskan dalam hadis Rasulullah saw yang diriwayatkan oleh al-Tabraniy yang bermaksud: Golongan yang enggan mengeluarkan zakat akan ditimpa kelaparan dan kemarau panjang. (al-Qardawiy, Hukum Zakat, 1999, Jil: 1 hlm: 78)

Dalam hadis lain yang diriwayatkan oleh Ibn Majah, al-Bazzar dan al-Bayhaqiy yang bermaksud :Apabila mereka tidak mengeluarkan zakat, bererti mereka menghalang hujan. Seandainya binatang tidak ada, pastilah mereka tidak diberi hujan.

Dalam sebuah hadis lain yang juga diriwayatkan oleh al-Bazzar dan Bayhaqiy yang bermaksud: Apabila sedekah (harta zakat) bercampur dengan lain, maka kekayaan itu akan (binasa). Menurut al-Munziri, ini mengandungi dua pengertian, iaitu pertama, apabila harta zakat berada dan belum dikeluarkan daripada kekayaan, akan menyebabkan ia binasa.

Perkara ini dikuatkan oleh sebuah hadis lain yang diwayatkan oleh al-Tabariy bermaksud: Kekayaan akan binasa, di darat atau laut, kecuali apabila zakatnya tidak dikeluarkan.

Kedua, yang mengambil zakat sedangkan dia kaya dan mencampurkan harta itu ke dalam kekayaannya, maka kekayaannya itu akan binasa.

Selain hukuman konkrit di atas, yang juga hukuman langsung daripada Allah, ada lagi balasan dunia lain iaitu balasan dari hukum syarak yang dilaksanakan oleh pihak berkuasa dalam masyarakat.

Mengenai balasan ini ada dijelaskan dalam hadis Rasulullah saw bermaksud : Barang siapa yang memberinya (zakat) kerana mengharapkan, maka baginya pahalanya itu dan sesiapa yang menahannya (enggan) aku akan mengambil separuh daripada keseluruhan hartanya, sebagai yang diwajibkan oleh Allah. Tidak halal bagi keluarga Muhammad daripadanya. (al-Qardawiy, Wabak Kemiskinan Dan Cara-Cara Mengatasinya, 1988, hlm : 100).

Berdasarkan hadis di atas, pihak berkuasa berhak merampas separuh daripada harta benda orang yang enggan mengeluarkan zakat. Hukuman ini sebagai pengajaran terhadap orang yang enggan mengeluarkan zakat dan bukanlah suatu hukuman lazim dan berterusan. Malah ia tergolong dalam hukuman takzir yang mana terpulanglah kepada pertimbangan pihak berkuasa (pemerintah) dalam satu-satu masyarakat (al-Qardawiy, Wabak Kemiskinan Dan Cara-Cara Mengatasinya, 1988. terj. hlm : 100).

Hukuman ke atas orang yang enggan mengeluarkan zakat tidak saja terhenti sekadar denda dalam bentuk kewangan yang amat rendah dan ringan sebagaimana yang diamalkan sekarang.

Bahkan perlu bagi pihak berkuasa mengenakan hukuman fizikal sebagaimana yang dijelaskan dalam hadis di atas dan pengajarannya serta menurut maslahat (keperluan) semasa.

Islam tidak hanya menghukum orang yang enggan mengeluarkan zakat dengan hukuman denda wang ringgit atau mengenakan hukuman takzir lain. Islam juga membenarkan mereka diburu serta diisytiharkan perang.

Islam tidak peduli meskipun banyak jiwa terkorban demi untuk menjaga dan melindungi kefarduan zakat itu. Sebabnya, darah yang mengalir kerana kebenaran itu tidak akan hilang begitu saja.

Mengenai perkara ini, Abu Bakar al-Siddiq berkata yang bermaksud : Demi Allah aku akan memerangi mereka yang membezakan antara sembahyang dan zakat kerana zakat adalah tuntutan terhadap harta. Demi Allah, seandainya mereka enggan membayar zakat itu sedangkan mereka pernah membayarnya kepada Rasulullah saw, aku tetap akan memerangi mereka. (Ibn Hajar, Fath al-Bariy Syarh Sahih al-Bukhariy, 1989. hadis no : 1400 jil : 3 hlm : 334).

Peristiwa al-Riddah (murtad) yang berlaku pada zaman khalifah Abu Bakar al-Siddiq juga menggambarkan betapa pentingnya kewajipan menunaikan zakat.

Walaupun pada asasnya peperangan itu dilancarkan berikutan terlalu ramai yang mengambil keputusan keluar Islam berikutan kewafatan Rasulullah saw, namun pada masa sama mereka turut menafikan mewajipan zakat.

Berhubung peristiwa al-Riddah ini, Pengurus Besar, Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZMAWIP), Mohamed Dahan Abdul Latif menegaskan, keadaan yang berlaku pada zaman itu tidak boleh digunakan pada zaman ini, kerana suasana ketika itu adalah berbeza.

Sehubungan itu, pendekatan yang perlu diambil juga hendaklah berbeza.

Al-sunah tidak hanya mengancam orang yang enggan mengeluarkan zakat dengan hukuman dunia saja, malah mengancam orang yang enggan memberikan hak fakir miskin itu dengan hukuman di akhirat yang amat pedih dan dahsyat.

Allah berfirman yang bermaksud: (Ingatlah) orang yang menyimpan emas dan perak serta tidak menafkahkannya pada jalan Allah, maka beritahulah kepada mereka (bahawa mereka akan mendapat) seksaan pedih. (Iaitu) pada hari dibakar emas dan perak (dan harta benda) itu dalam neraka jahanam, lalu diselar dengannya dahi, rusuk serta belakang mereka (sambil dikatakan kepada mereka): Inilah harta bendamu yang kamu simpan untuk diri kamu sendiri, oleh itu rasalah (azab daripada) apa yang kamu simpan itu. (Surah al-Taubah, ayat 34-35)

Emas dan perak yang dimaksudkan dalam ayat ini ialah emas dan perak pada umumnya. Baik yang digunakan untuk dijual beli, simpanan, dipakai untuk perhiasan (melebihi keperluan) dan bentuk emas lainnya.

Perlu diingatkan bahawa syariat membenarkan emas dan perak itu dijadikan pakaian perhiasan wanita semata-mata untuk kenikmatan hidup. Namun jika perhiasan itu melebihi adat kebiasaan masyarakat setempat, maka wajib dikenakan zakat.

Abu Ubayd dan al-Athram bin Dinar berkata yang bermaksud: Jabir ditanya mengenai perhiasan (emas dan perak) adakah ia diwajibkan zakat? Dia menjawab: Tidak. Beliau ditanya lagi: Jika seribu dinar? Beliau menjawab: Itu sangat banyak dan hal itu membawa kepada berlebih-lebihan dan sombong. Malah ia tidak diperlukan sebanyak itu dalam perhiasan. (Al-Qardawiy, Hukum Zakat, 1999 ter. Jil: 1 hlm: 294)

Menurut Mazhab al-Syafiiy: Sesungguhnya semua emas dan perak yang digunakan sebagai perhiasan atau lainnya, apabila dihukumkan haram atau makruh untuk digunakan (kerana sangat berlebih-lebihan), maka ia wajib dibayar zakatnya. (Abd. Karim Zaidan, Ensaiklopedia Fiqh Wanita Puasa dan Zakat, 1999, terj. Jil : 2 hlm : 51)

Zakat gambaran keadilan sistem sosial Islam

SEGALA kemewahan harta benda yang dikecapi hari ini, adalah milik Allah.

Kita tidak seharusnya bakhil dan lalai menunaikan hak Allah yang dituntut ke atas semua umat Islam.

Firman Allah bermaksud: Janganlah sekali-sekali orang yang bakhil dengan harta benda yang dikurniakan Allah kepada mereka daripada kemurahan-Nya menyangka bahawa keadaan bakhilnya itu baik bagi mereka.

Bahkan ia buruk bagi mereka. Pada hari akhirat kelak mereka akan dikalungkan (diseksa) dengan apa yang mereka bakhilkan itu. Dan bagi Allah jualah hak milik segala warisan (isi) langit dan bumi. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui dengan mendalam segala apa yang kamu kerjakan. (Surah Ali Imran, ayat 180).

Apabila harta benda sudah memenuhi syarat diwajibkan berzakat, maka bersegeralah membayar zakat sama ada yang berupa emas atau perak, hasil ternakan, hasil pertanian, barang perniagaan, mahu pun zakat pendapatan.

Jika kewajipan ini tidak dilaksanakan oleh pemiliknya, pada hari akhirat kelak, harta simpanan itu akan bertukar menjadi alat penyeksa bagi pemiliknya.

Perkara ini dijelaskan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan Abu Hurairah bahawa Rasulullah bersabda yang bermaksud: Setiap pemilik emas atau perak yang tidak menunaikan kewajipannya (mengeluarkan zakat), pada hari akhirat emas atau perak itu akan dijadikan kepingan, lalu dipanaskan dengan api neraka, kemudian diselar dengannya rusuk, dahi dan belakang mereka pada hari yang kadarnya ialah 50,000 tahun, sehingga ia diputuskan keadaannya di hadapan orang ramai, kemudian diperlihatkan jalannya sama ada ke syurga atau neraka.

Begitu juga dengan pemilik lembu atau kambing yang tidak menunaikan kewajipannya pada hari kiamat binatang itu akan memijak-mijak dan menanduk-nanduknya.

Selepas selesai seekor, datang seekor lagi berbuat hal yang sama sehinggalah Allah menghukumkan antara hamba-Nya pada hari yang kadarnya 50,000 tahun dari tahun yang kamu hitungkan, kemudian diperlihatkan jalannya sama ada ke syurga atau neraka. (Riwayat al-Bukhari dalam Kitab Zakat, Hadis Nombor 1314 dan 1315).

Dalam sebuah hadis lain yang turut diriwayatkan oleh Abu Hurairah dijelaskan juga ancaman dahsyat terhadap orang yang enggan mengeluarkan zakat.

Sabda Rasulullah bermaksud: Sesiapa yang dikurniakan Allah kekayaan tetapi tidak mengeluarkan zakatnya, pada hari kiamat nanti akan didatangi sekor ular besar, yang sangat berbisa dan sangat menakutkan dengan dua bintik di atas kedua matanya, lalu melilit dan mematuk lehernya sambil berkata: Akulah harta kamu, akulah kekayaan kamu. Kemudian Rasulullah membaca firman Allah ayat 180 surah Ali Imran. (Ibn Hajar, Fath al-Bariy Syarh Sahih al-Bukhariy, 1989. Hadith No 1403, jil 3, hlm 341).

Demikianlah antara dimensi dan bentuk hukuman di akhirat bagi orang yang enggan mengeluarkan zakat.

Berdasarkan penelitian daripada al-Quran dan Sunnah, jelas ada ancaman bagi orang yang tidak membayar zakat dengan hukuman berat, sama ada di dunia dan akhirat.

Segala ancaman ini adalah untuk menyedarkan umat Islam yang lalai dan bakhil supaya segera melaksanakan kewajipan zakat secara sukarela.

Dengan itu juga menunjukkan Islam menegakkan dasar untuk mewujudkan sebuah masyarakat yang adil dan bahagia serta menuju suatu perkara yang dinamakan keadilan sosial Islam.

Oleh itu, sebagai umat Islam di sebuah negara yang sudah lama merdeka, kita hendaklah berusaha mencari harta sebanyak mungkin dan kemudiannya tampil untuk mengeluarkan zakat, bagi menampung beban yang ditanggung oleh fakir dan miskin serta membiayai program pembangunan dan kebajikan yang dijalankan badan Islam.

Perkara ini sebagai langkah awal ke arah membentuk masyarakat Islam yang lebih maju dan harmoni.