hubungan antarabangsa

17
Isi Kandungan muka surat 1.0 Pengenalan 1 2.0 Konsep-Konsep Asas Hubungan Antarabangsa 2-9 2.1. Sistem Antarabangsa 2.2. Teori Hubungan Antarabangsa. 2.3. Kepentingan Nasional 2.4. Struktur Nasional 3.0 Kesimpulan 10 0

Upload: peningla

Post on 25-Nov-2015

166 views

Category:

Documents


2 download

DESCRIPTION

konsep hubugan antarabangsa

TRANSCRIPT

Isi Kandunganmuka surat1.0 Pengenalan 12.0 Konsep-Konsep Asas Hubungan Antarabangsa 2-92.1. Sistem Antarabangsa 2.2. Teori Hubungan Antarabangsa. 2.3. Kepentingan Nasional2.4. Struktur Nasional 3.0 Kesimpulan 10

1.0 Pengenalan.

Menurut kefahaman saya, bidang hubungan antarabangsa ini adalah ilmu sains politik yang mengkaji interaksi antara negara atau organisasi yang terlibat dalam sistem antarabangsa atas kepentingan politik, ekonomi atau sosial. Menurut Beridge (1992) pula, kajian hubungan antarabangsa adalah aktiviti negara sama ada (kuasa besar, negara kapitalis, demokratik, liberal) dan aktor-aktor antarabangsa lain seperti syarikat-syarikat multinasional dan NGO dalam mencapai kepentingan nasional tanpa mengira sempadan negara. Oleh itu hubungan antarabangsa juga adalah bidang yang mengkaji politik antarabangsa untuk menentukan dasar tindakan sesebuah kerajaan ke atas kerajaan-kerajaan lain.Hubungan antarabangsa ini pula wujud apabila tercetusnya sesuatu isu global seperti, konflik etnik, jenayah antarabangsa, penzaliman dan krisis makanan dunia yang menghendaki aktor seperti kerajaan, organisasi dan aktivis yang berkenaan mewujudkan interaksi bagi menyelesaikan isu berkenaan. Interaksi tersebut berbentuk aktiviti seperti diplomasi, peperangan, perdagangan, pakatan, pertukaran budaya, penglibatan bersama dalam organisasi antarabangsa dan lawatan rasmi. Sehubungan dengan itu, pembuat-pembuat dasar mempunyai dua bentuk respons terhadap isu-isu tersebut iaitu sama ada secara bekerjasama atau berkonflik.Secara ringkasnya, skop kajian dalam hubungan antarabangsa ini meliputi komponen seperti sistem antarabangsa, aktor, konsep dan teori hubungan antarabangsa, kepentingan nasional yang di cita, kaedah mengorientasikan kedudukan negara, struktur antarabangsa dan sistem kuasa. Pertamanya, proses hubungan antarabangsa ini akan berlaku di bawah sistem antarabangsa yang meliputi unit seperti negara, organisasi, personaliti negara dan isu yang dibentangkan. Aktor yang terlibat pula adalah negara atau organisasi yang mempunyai ciri-ciri tertentu. Selain itu, hubungan antarabangsa juga melibatkan tiga teori yang popular yakni Realisme, Idealisme dan Konstruktivisme. Setiap teori berkenaan mempunyai matlamat yang berbeza dalam menjalinkan hubungan antarabangsa. Seterusnya, bidang ini juga berkait rapat tentang struktur antarabangsa yang terdiri daripada negara berkuasa besar, kecil atau sederhana. Disiplin ilmu ini akan mengkaji tindakan negara berkenaan dalam mencari kepentingan nasional dan mengorientasikan kedudukan negara demi mengumpul kuasa sama ada kuasa ekonomi, politik atau ketenteraan. Kesimpulannya, hubungan antarabangsa ini merupakan cabang ilmu yang mengkaji hal ehwal luar negeri serta isu-isu global dalam sistem antarabangsa, termasuk peranan negara, pertubuhan antarabangsa, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), serta perbadanan multinasional (MNC). Kajian ini bertujuan menganalisis serta membentuk dasar luar negeri bagi pelbagai negara di dunia untuk mengatasi isu-isu yang berbangkit, membandingkan tingkah laku aktor-aktor politik dalam dan luar negara serta memahami hubungan global yang wujud.

2.0 Konsep Asas Hubungan Antarabangsa. 2.1 Sistem Antarabangsa.

Sistem antarabangsa merupakan sistem dunia perhubungan yang terdiri daripada unit yang saling berkaitan seperti negara, organisasi, personaliti dan isu. Perkaitan yang wujud ini memerlukan aktor yakni negara dan bukan negara sebagai pelaku, personaliti pelaku yakni ciri-ciri dan kuasa aktor dan isu yang berbangkit. Negara dan bukan negara adalah aktor atau pelaku yang terlibat dalam hubungan antarabangsa ini. Negara adalah sebuah organisasi politik yang mempamerkan kedaulatan dalam sebuah sempadan geografi (McLean, 1996:331). Identiti umum sesebuah negara itu mestilah mempunyai kawasan atau sempadan, mempunyai rakyat atau warganegara, mempunyai pentadbiran, kedaulatan dan mendapat pengiktirafan global. Negara juga merupakan unit primer dalam kajian hubungan antarabangsa. Negara boleh meliputi banyak bangsa seperti Malaysia yang terdiri daripada kaum Melayu, Cina dan India. Namun begitu, negara juga boleh memisahkan bangsa misalnya sempadan Iran dan Iraq yang membahagikan bangsa Kurdish kepada dua. Maka, negara sangat sinonim dengan bangsa dan digelar negara bangsa oleh pelopor sains politik dalam kajian. Negara yang berdaulat sahaja yang boleh menghidupkan sistem antarabangsa ini kerana pengiktirafan negara berdaulat memberi peluang kepada negara berkenaan menjalinkan hubungan antara negara lain di dunia tanpa mengabaikan hak asasi mereka. Oleh itu, kedaulatan sangat penting bagi sesebuah negara. Contoh-contohnya adalah seperti negara-negara Brazil, Canada, Great Britain, India, Indonesia, Lebanon, Nigeria, Peru, Soviet Union, Switzerland dan Amerika Syarikat. Bukan negara pula adalah organisasi yang bergerak di arena global untuk menjalinkan hubungan antarabangsa dengan negara-negara di dunia. Penyertaan negara-negara di dunia membentuk organisasi ini. Antara contoh bukan negara yang menjadi aktor adalah pertubuhan, individu atau pelbagai isu global yang boleh memberi pengaruh dan menggugat sistem antarabangsa seperti syarikat mega (Motorola, IBM, Facebook, FIFA, Osama, Kony dan Al Qaedah) Sungguhpun kumpulan ini berbentuk minoriti, tetapi isu yang dibawa mampu menarik perhatian masyarakat dunia. Selain itu, isu juga merupakan unit terpenting dalam pemangkin hubungan antarabangsa. Isu ini berkisar tentang politik, ekonomi, ketenteraan dan sosial. Kebanyakan isu yang terlibat melanda masyarakat dunia mengikut musim dan zaman tertentu. Misalnya, sekitar tahun 1950-an hingga 1960-an isu yang dibentangkan mengenai isu keselamatan seperti diplomat, pembentukan pakatan dan perjanjian ekoran daripada musim peperangan sudah berakhir. Pada sekitar 1970-an dan 1980-an, kajian dalam hubungan antarabangsa meluas kepada ekonomi kerana hubungan antara negara pada ketika itu lebih di dominasi oleh hubungan ekonomi. Peristiwa kejatuhan harga minyak di pasaran pada 1973-1974 dan 1979-1980 menyebabkan jurang hubungan antara negara-negara semakin jauh. Hubungan yang bersifat ekonomi ini turut melibatkan isu-isu sampingan yang lain seperti isu alam sekitar, migrasi, pemindahan teknologi, pelaburan terus asing dan sebagainya. Bermula kurun ke 21, kajian hubungan antarabangsa kembali kepada skop kajian yang tradisi iaitu mengenai isu keselamatan. Isu ini juga telah mewujudkan banyak perjanjian, pakatan dan kerjasama antara negara-negara di dunia. Selain itu, pengaruh dan keupayaan sesebuah negara akan memberi saingan dan perbezaan antara negara. Keupayaan akan terbatas jika kuasa negara adalah lemah. Kuasa boleh diperoleh daripada 3 elemen yakni pengetahuan, kekuatan militer dan kedudukan ekonomi. Kekuatan dari segi pengetahuan dilihat penting bagi sesetengah negara misalnya kejayaan menghasilkan tenaga nuklear menjadikan Korea Utara negara kecil yang berkuasa. Kekuatan ketenteraan yang dimiliki Amerika Syarikat pula menjadikannya berpengaruh. Kuasa juga sebagai perhubungan di antara dua aktor. Contohnya, aktor A mempunyai kemampuan untuk mengawal pemikiran dan tindakan aktor B. Konsep kuasa digunakan bagi untuk menerangkan keupayaan aktor-aktor untuk menggunakan sumber dalam isu-isu antarabangsa bagi mencapai tahap kepuasan yang dikehendakinya. Menurut Jones (1991) ada tiga sumber kuasa yang digunakan oleh negara bagi mencapai matlamat mereka. Pertama, kuasa semula jadi merangkumi geografi, penduduk dan sumber alam. Kedua, sosio-psikologi, merangkumi imej negara itu sendiri, situasi dalam negara, sosialisasi politik dan budaya, kohesi, sokongan rakyat awam bagi negara dan kepimpinan negara. Ketiganya, kuasa sintetik yang merangkumi kapasiti industri dan ketenteraan. Ringkasnya dalam hubungan antarabangsa kuasa merujuk kepada kekuatan sedia ada, yang mampu mengawal tingkahlaku sebuah negara yang lain.

2.2 Teori Hubungan Antarabangsa. Kemunculan Teori Realisme. Teori ini dikatakan telah mula digunakan sejak zaman empayar Greek dan Yunani lagi melalui karya Thucydidas iaitu A History of Philoponnesian War yang telah melihat perang di antara Sparta dan Athens pada zaman kegemilangan Greek. Karya karya lain yang menjadi pendukung kepada teori ini adalah seperti The Prince yang dihasilkan oleh Nicolo Machiavelli. Realisme telah muncul semula selepas Perang Dunia Pertama iaitu antara tahun 1914 sehingga tahun 1918 dan muncul semula disebabkan oleh kelemahan Idealisme yang tidak berjaya mengelakkan perang daripada berlaku untuk kali kedua selepas Perang Dunia Kedua. Hal ini kemudiannya memberi peluang kepada teori Realisme untuk muncul semula selepas Idealism gagal untuk menangani isu global. Andaian Asas dalam Teori Realisme: Manusia adalah secara semula jadi pentingkan diri dan tidak boleh membebaskan diri dari fakta bahawa mereka dipacu untuk bersaing sesama sendiri. Sistem negara adalah berbentuk anarki. Tiada kuasa selain negara yang mampu meregulasikan interaksi mereka, negara perlu berhubung dengan negara lain, berbanding dikawal oleh entiti lain. Politik antarabangsa seperti yang di bahas oleh Thomas Hobbes adalah usaha mendapatkan kekuasaan, perang terhadap semua. Obligasi bagi setiap negara adalah matlamat di mana semua objektif antarabangsa harus di subordinat bertujuan mempromosi kepentingan nasional dan memperoleh kuasa bagi mencapai matlamat tersebut. Sifat anarki dalam sistem antarabangsa menggambarkan bahawa negara memerlukan keupayaan militari yang sesuai bagi menghadapi serangan musuh dan menggunakan pengaruh yang ada untuk mempengaruhi negara lain. Ekonomi adalah kurang relevan kepada keselamatan nasional berbanding militari.Konsep Realisme Sifat semula jadi manusia (Human nature)Menurut Machiavelli, manusia dilahirkan dengan adanya sifat-sifat diri yang buruk di mana adanya sifat tamak, pentingkan diri sendiri dan mahu berkuasa dalam segala hal. Melalui pemikiran Machiavelli, sifat buruk manusia ini telah mendorong kepada keadaan yang kucar-kacir dan anarki dalam sesebuah negara. Oleh kerana sifat buruk manusia ini, maka ia sekaligus telah memberi kesan yang buruk terhadap sesebuah negara. Melalui teori Realisme ini, dalam menjalinkan hubungan antarabangsa ini, pemimpin perlulah ada sifat yang agresif dan kepentingan diri perlulah diutamakan berbanding dengan kepentingan yang lain. Pendekatan yang ditekankan oleh golongan Realisme mengenai hubungan antarabangsa ini adalah bertepatan di mana manusia haruslah menguasai kuasa yang ada pada diri mereka.

Politik antarabangsa dan konsep kuasa.Menurut apa yang terdapat di dalam teori Realisme ini, politik antarabangsa adalah amat penting dalam pembentukan sesebuah negara. Menurut pandangan Realisme ini lagi, kestabilan politik sesebuah negara akan menentukan sendiri, sama ada sesebuah negara itu stabil ataupun tidak. Keadaan ini dapat kita perhatikan dalam negara-negara Kesatuan Eropah atau EU seperti Perancis, Itali, Sepanyol dan lain-lain, politik antarabangsa mereka stabil dan tidak terancam. Fenomena ini telah membawa kepada kestabilan ekonomi mereka. Kepentingan nasional (national interest)Dalam teori yang dikemukakan oleh E.H.Carr ini, kepentingan nasional adalah sesuatu yang penting dan ia amat dititikberatkan. Seperti mana yang kita ketahui, kepentingan diri haruslah dipentingkan berbanding dengan kepentingan yang lain. Dasar luar sesebuah negara juga akan dibentuk berdasarkan kepada kepentingan nasional. Sebagai contoh, jika sesebuah negara itu menjalinkan hubungan yang baik dengan negara yang lain, pasti ada kepentingan lain yang dikehendakinya. Misalnya kita dapat lihat melalui apa yang sedang dilakukan oleh Amerika Syarikat dan Israel. Israel mempunyai kepentingan yang tersendiri apabila menjalinkan hubungan baik dengan Amerika Syarikat. Kepentingan yang dikehendaki oleh Israel adalah dari segi ketenteraan. Israel memerlukan bantuan ketenteraan daripada Amerika Syarikat kerana teknologi ketenteraan yang dimiliki oleh Amerika Syarikat adalah yang paling maju dan terbaik berbanding dengan negara-negara yang lain. Sebagai balasan ke atas apa yang diberikan kepada Israel, maka Israel telah membantu Amerika Syarikat dalam menjana pertumbuhan ekonominya. Seperti yang kita ketahui, kebanyakan daripada penyumbang utama pergerakan politik di Amerika Syarikat adalah rakyat Israel yang tinggal di Amerika Syarikat. Daripada apa yang kita ketahui sekarang ini ialah, kedua-dua buah negara tersebut adalah saling bergantung di antara satu sama lain. Keadaan inilah yang dinamakan sebagai kepentingan nasional bagi sesebuah negara yang diperkatakan oleh golongan Realisme. Negara bangsa dan penonjolan negara bangsa (militari).Konsep Realisme yang seterusnya adalah wujudnya negara bangsa dan penonjolan dalam sistem antarabangsa. Dalam konteks ini, soal militari haruslah dipertingkatkan. Dalam soal ini, penekanan dan fokus haruslah diluruskan ke arah aspek negara bangsa dan sistem antarabangsa. Hal ini demikian kerana, negara bangsa adalah actor atau pelaku penting dalam hubungan antarabangsa. Golongan Realisme percaya bahawa, sistem antarabangsa adalah states-centric, iaitu ia merupakan actor utama dalam sesebuah negara. Bagi golongan ini, pelaku bukan negara seperti NGO diletakkan di central ataupun di pertengahan. Keadaan ini membawa maksud bahawa actor atau pelaku lain dalam sesebuah negara tidak dibenarkan wujud kerana ia hanya akan mengganggu ketenteraman sesebuah negara. Menurut Realisme lagi, sistem antarabangsa adalah dalam keadaan anarki yang sentiasa berada dalam keadaan yang kacau-bilau dan tidak selamat. Dalam hal ini keselamatan negara haruslah dititikberatkan. Hal ini kerana, keselamatan nasional merupakan perkara terpenting bagi sesebuah negara kerana perkara-perkara militari dan isu politik adalah berkait rapat dengan keamanan negara.

Kemunculan Teori IdealismeSejarah Pendekatan atau teori Idealisme telah mula berkembang semenjak zaman peradaban Greek dan Latin lagi. Idealism atau utopianism ni merupakan istilah yang diguna dengan kritikal oleh pihak yang menentang realis seperti EH Carr. Idealism dalam hubungan antarabangsa selalu merujuk kepada aliran pemikiran yang di personifikasi dalam sejarah diplomatik Amerika oleh Woodrow Wilson. Idealism Wilson juga merupakan perintis kepada teori liberal hubungan antarabangsa yang akan muncul selepas Perang Dunia II. Pemikiran Idealisme ini ketara sekali kehadirannya pada era di antara dua perang dunia pada tahun 1920 hingga 1930an, satu eksperimen yang diharapkan boleh membawa keamanan sejagat ialah penubuhan liga Bangsa-Bangsa. (Rashila Ramli 2002). Antara tokoh idealisme ialah Immanuel Kant, Mo Ti dan Woodrow Wilson, Alfred Zimmen, Lester Pearson dan Philips Noel Baker.Idealisme merangkumi pemikiran dan falsafah tentang hal yang berkait kebebasan maksimum individu daripada sebarang kawalan kerajaan. Pendekatan Idealisme pula berteraskan kepercayaan bahawa manusia pada hakikatnya adalah baik. Manusia yang berilmu beradab dan diberi persekitaran yang sesuai boleh hidup dengan aman dan dapat bekerjasama dalam sebuah masyarakat yang berpegang kepada undang-undang dan peraturan yang dipersetujui oleh masyarakat. Bagi pendukung teori ini isu moral perlu diberi perhatian.Aliran Idealisme berpandangan bahawa kecondongan negara, lebih daripada kemampuan negara. Yang ini menjadi pendorong kepada tindakan negara. Idealisme juga berpandangan bahawa interaksi antara negara tidak terhad kepada bidang politik atau keselamatan (politik tinggi) sahaja. Hubungan boleh wujud dalam bentuk kebudayaan atau ekonomi (politik rendah) sama ada melalui firma dagangan, organisasi, atau individu. Berbanding sistem antarabangsa yang anarki, pendukung Idealisme mempunyai banyak peluang untuk bekerjasama. Selain itu perkara yang ditekankan ialah undang-undang antarabangsa, organisasi antarabangsa selain penggunaan kuasa semata-mata. Undang-undang global dilihat penting dalam mengawal keamanan dan konflik misalnya PBB, IMF dan bank dunia yang mempunyai matlamat keamanan dan bantuan kemanusiaan. Para sarjana idealis dan pemimpin negara idealis telah membahaskan bahawa kerjasama antarabangsa dan mengelakkan keganasan adalah paling baik untuk negara sendiri dan lebih rasional untuk dicari. Antara prinsip asas Idealisme: Moral Undang-Undang Antarabangsa Organisasi Antarabangsa.

Oleh itu, Idealisme adalah teori yang mementingkan keamanan dan menjalinkan hubungan melalui kerjasama. Aktor akan mementingkan hak asasi manusia dan melihat keamanan sebagai jalan mengembangkan peluang ekonomi dan kerjasama sosial. Maka dengan itu, istilah peace no war dicipta bagi meraih konsep ini. Kemunculan Teori Konstruktivisme.Konstruktivisme merupakan teori alternatif kepada Idealisme dan Realisme. Teori ini mengekalkan kritikal skeptisisme Pasca moden terhadap andaian realis dan liberalis. Konstruktivisme cuba untuk menggantikan Realisme dengan menekankan unsur budaya kompleks dan model linguistic (bahasa). Mempercayai bahawa sifat semula jadi manusia adalah baik (tabula rasa), tetapi boleh dipengaruhi oleh persekitaran sosial.Michael Barnett, Emanuel Adler dan Alexander Wendt antara pelopor teori ini menggambarkan hubungan antarabangsa teori Konstruktivisme sebagai idea-idea tentang bagaimana menentukan struktur antarabangsa, bagaimana struktur ini mendefinisikan kepentingan dan identiti negara-negara dan bagaimana negara-negara dan aktor bukan-negara menghasilkan semula struktur ini. Prinsip utama dari Konstruktivisme adalah keyakinan bahawa "politik Antarabangsa dibentuk oleh idea-idea persuasif, nilai-nilai kolektif, budaya, dan sosial identiti Konstruktivisme berpendapat bahawa realiti antarabangsa secara sosial di konstruksi oleh struktur kognitif yang memberi makna terhadap dunia material. Contoh nya hegemoni media hiburan misalnya Hollywood secara persuasif cuba membentuk nilai-nilai masyarakat Amerika dan dunia melalui filem-filem yang ditayangkan dengan menekankan unsur budaya dan sosial ala Amerika Syarikat untuk mempengaruhi masyarakat dan pembuat dasar.Oleh itu, Konstruktivisme adalah teori yang melihat nilai dan budaya yang kolektif serta aturan norma masyarakat mampu mewujudkan hubungan antarabangsa yang baik. Corak dan andaian teori ini pula bercorak positif dan bukan anarki.Kajian hubungan antarabangsa, perlunya teori-teori ini bagi memahami fenomena dunia dengan jelas. Teori ini amat penting dalam proses membuat polisi antarabangsa bagi sesuatu negara. Antara pendekatan utama yang digunakan dalam bidang Hubungan Antarabangsa ialah Realisme, Idealisme dan Konstruktivisme. Teori ini mempunyai andaian dan konsep tersendiri dalam menterjemah corak tingkah laku aktor-aktor peringkat antarabangsa. Kepelbagaian pendekatan ini menggambarkan sifat ilmu sains sosial yang fleksibel dan akur kepada persepsi pemikiran yang tertentu.

2.3 Kepentingan Nasional.

Konsep kepentingan nasional dianggap sebagai alat bagi pembuat dasar mengaplikasikan pertimbangan nilai-nilai kepada realiti-realiti tindakan politik. Dalam lain perkataan, kepentingan nasional yang jelas boleh memandu usaha-usaha jangka panjang sebuah negara dalam dasar luar dan menentukan apa yang dilakukan dalam konteks jangka pendek. Di dalam hubungan antarabangsa, kepentingan nasional adalah satu konsep penting untuk menghurai, menjelaskan, meramal atau menentukan tingkahlaku antarabangsa. Ianya adalah kepentingan-kepentingan fundamental "yang memandu dasar luar sesebuah negara seperti survival fizikal, kesejahteraan ekonomi dan penentuan nasib sendiri negara. Kepentingan nasional adalah istilah yang begitu subjektif. Sebagaimana yang digunakan oleh pembuat-pembuat keputusan, ianya adalah satu persepsi sesebuah rejim khusus atau seorang pemimpin politik di dalam persekitaran antarabangsa atau domestik. Contohnya, rejim komunis Soviet telah mengikuti sebuah dasar yang agresif untuk mengekalkan negara tersebut sebagai satu kuasa dunia, manakala Presiden Kennedy melibatkan diri dalam konfrontasi Cuban Missile sebahagiannya adalah untuk menyelamatkan maruah politik beliau. Oleh itu kepentingan nasional boleh diterjemahkan secara keseluruhan atau sebahagian dari kepentingan negara atau individu.Oleh itu, kepentingan nasional adalah sebuah tindakan negara untuk memperoleh keuntungan dan kedudukan dalam aspek politik, ekonomi dan sosial. Mereka akan menggunakan pelbagai kaedah untuk menjalinkan hubungan sama ada secara kerjasama, sekatan ekonomi atau peperangan untuk mencapai kepentingan nasional tersebut.

2.4 Struktur Nasional.

Kuasa merupakan ciri utama yang mempengaruhi bentuk hubungan antarabangsa yang wujud. Kuasa mempunyai pelbagai segmen yang boleh memberi kekuatan dan kedaulatan kepada sesebuah negara. Kuasa juga menjadi sumber, kekayaan dan kelebihan negara apabila di pandang oleh negara luar. Bentuk kuasa yang wujud adalah soft power yakni kekuatan dari segi ekonomi, budaya atau muzik dan hard power yang merangkumi aspek ketenteraan dan persenjataan. Setiap negara mempunyai kekuatan masing-masing namun kebanyakan negara akan cuba memperkukuhkan kedua-dua bentuk kuasa ini. Negara yang berkuasa juga boleh membentuk polar hubungan mereka sama ada unipolar, dwi polar atau multipolar. Kesemua ini bergantung juga kepada kebebasan negara itu yang sudah merdeka atau masih bergantungan dengan negara berkuasa besar yang lain. Negara yang merdeka bebas membentuk dasar luar mereka seperti anti komunis atau pro barat. Terdapat pelbagai bentuk kuasa yang wujud dalam hubungan antarabangsa ini. antaranya adalah kuasa besar seperti Amerika dan Russia. Kuasa menengah seperti Perancis, German, India dan China serta kuasa kecil bagi negara-negara membangun seperti Fiji dan Vietnam. Bentuk kuasa yang mereka miliki akan mempengaruhi perhubungan antarabangsa yang terjalin sama ada berbentuk kerjasama atau konflik. Kebiasaannya, negara yang berkuasa besar cenderung menggunakan kaedah konflik seperti peperangan dan campur tangan demi memenuhi kepentingan nasional mereka terhadap negara yang lemah misalnya pakatan Amerika dan Israel yang melakukan kekejaman di rampasan wilayah di Palestine. Namun, kaedah selain perang yang boleh digunakan sebagai alat hubungan ini adalah sekatan ekonomi atau kerjasama. Sungguhpun begitu, negara-negara di dunia akan berusaha meninggikan kedudukan mereka dengan mengorientasikan kedudukan kepada badan antarabangsa yang berkuasa antaranya adalah berbentuk Perikatan Tentera (NATO), Pertubuhan Ekonomi (ASEAN, EU), Kerjasama Serantau, Berkecuali (NAM), Pemencilan atau Konflik. Melalui penglibatan dan pergerakan kumpulan ini, hak dan kepentingan negara akan dilindungkan dan mendapat jaminan. Secara tidak langsung, negara berkenaan dilihat berkuasa apabila terlibat dalam pergerakan tersebut.

3.0 Kesimpulannya.

Kesimpulannya, hubungan antarabangsa ini merupakan disiplin ilmu yang mengkaji interaksi antara aktor dalam sistem antarabangsa atas kepentingan ekonomi, politik dan sosial. Melalui hubungan ini, pelbagai isu dapat diselesaikan dan kebiasaannya memihak kepada kuasa besar yang boleh memanipulasi kuasa di bawahnya seperti Amerika dan Russia. Konflik atau kerjasama merupakan tema yang menjadi pilihan aktor ini dalam membentuk hubungan positif atau negatif. Kesemua tindakan mereka sebenarnya dipengaruhi oleh bentuk kuasa yang mereka miliki, teori yang menjadi prinsip negara itu sama ada, Realisme, Idealisme, atau Konstruktivisme, kepentingan nasional yang ingin di capai dan struktur negara yang mempunyai kelemahan dan kekuatan pada bahagian tertentu. Oleh itu, pergerakan dunia sebenarnya dipengaruhi oleh struktur kuasa yang akhirnya menenggelamkan segala peraturan dan piawaian antarabangsa misalnya pergerakan PBB yang gagal mengawal tindakan Amerika sebaliknya akur dengan telunjuk negara tersebut. maka wujudlah hukum Law of the Jungle dalam arena hubungan antarabangsa ini.

10