gangguan seksual dalam kalangan guru di sekolah

10
GANGGUAN SEKSUAL DALAM KALANGAN GURU DI SEKOLAH (MOHAMAD HAFIZ BIN ADUKA)

Upload: uchihafizxy

Post on 13-Nov-2015

180 views

Category:

Documents


13 download

DESCRIPTION

Gangguan Seksual

TRANSCRIPT

GANGGUAN SEKSUAL DALAM KALANGAN GURU DI SEKOLAH(MOHAMAD HAFIZ BIN ADUKA)

Tempat kerja yang bebas daripada gangguan seksual merupakan prasyarat utama pekerjaan yang berhak dinikmati oleh semua pekerja tanpa mengira jantina (Welsh, 1999). Keadilan sosial menuntut layanan yang sama dan penghormatan maruah diri kepada semua pekerja. Kewujudan masalah seksual di tempat kerja akan menafikan hak mereka tentang prinsip utama keadilan sosial. Gangguan seksual dalam kalangan guru di sekolah boleh menjadi salah satu punca tekanan dan stres terhadap guru-guru (Fitzgerald, 1993). Ini sekaligus menggugat kredibiliti dan dedikasi seseorang guru itu untuk memberikan tumpuan kepada bidang tugas utama guru, iaitu mendidik anak bangsa.

Terdapat banyak punca berlakunya gangguan seksual dalam kalangan guru di sekolah, antaranya ialah tarikan fizikal dan personaliti merupakan faktor utama berlakunya gangguan seksual, . Tarikan fizikal guru wanita yang berpakaian seksi dan tidak mengikuti Peraturan Pakaian Guru di Sekolah, Surat Pekeliling Iktisas Bil.6/1985 lebih terdedah kepada gangguan seksual. Bagi sesetengah guru wanita, keterampilan yang moden sering menjadi salah satu sebab mengapa perkara ini terjadi. Dengan penampilan yang moden dan perwatakan menarik ini menyebabkan mereka menjadi perhatian dan tarikan kepada rakan sekerja dan juga pihak atasan, dan ini akan menyebabkan berlakunya gangguan seksual kerana dianggap cuba menarik perhatian.

Punca gangguan seksual juga berlaku kerana pertandingan, ego dan ketakutan kehilangan status kuasa. Sesetengah lelaki akan bersikap ego apabila dicabar oleh rakan-rakan. Ini kerana, lelaki mahu dilihat hebat di mata lelaki lain. Hal tersebut akan menyebabkan mereka berkelakuan untuk mencabul mangsa dengan mencubit, membuat ancaman sama ada secara tersirat ataupun terbuka dan mengintip wanita tersebut. Bagi sesetengah lelaki, wanita dilihat sebagai permainan untuk menarik perhatian lelaki. Mereka bertanding untuk menunjukkan dominasi dan akhirnya mereka menggunakan cara kekerasan untuk mencapai dominasi tersebut. Sekiranya mereka berjaya mereka akan berasa bangga dan puas.

Punca gangguan seksual juga boleh dilihat menggunakan teori demografi. Teori demografi pula mengutarakan bahawa ia berlaku kerana komposisi guru lelaki dan guru wanita di sekolah yang tidak seimbang. Perkara tersebut seterusnya merangsang gangguan seksual di tempat kerja. Sekiranya sekolah tersebut di dominasi oleh guru lelaki, maka guru wanita di sekolah tersebut akan cenderung mengalami gangguan seksual.

Gangguan seksual ini berlaku disebabkan cara seseorang itu dibesarkan dalam sistem yang membezakan antara peranan lelaki dan wanita. Seperti di ketahui peranan lelaki dan wanita berbeza dan mempunyai garis pembahagi yang ketara. Lelaki dan wanita mempunyai tanggungjawab yang berbeza. Lelaki dipertanggungjawabkan dengan tugas yang lebih besar dan berat berbanding wanita. Sebagai contoh lelaki harus dipertanggungjawabkan untuk mengangkat barang-barang berat manakala wanita pula di tugaskan memasak dan kerja-kerja pembersihan. Perkara tersebut jelas menunjukkan bahawa lelaki berkelakuan lebih agresif yang mana adalah biasa untuk berkelakuan sedemikian terhadap wanita. Hal ini kerana wanita hanyalah memainkan peranan sekunder sahaja. Selain itu juga, golongan lelaki menganggap golongan wanita adalah golongan yang lemah. Oleh sebab itu lelaki akan menindas golongan wanita dengan melakukan gangguan seksual.

Gangguan seksual meninggalkan kesan negatif dan destruktif kerana ia merupakan satu bentuk jenayah sosial yang tidak sihat dan perlu dibanteras (Abdul Rahim, 2003). Kebanyakan kes gangguan seksual yang dialami guru, khususnya guru wanita akan mendedahkan mereka kepada diskriminasi seksual di tempat kerja (sekolah). Mereka yang mengalami gangguan seksual dalam kategori ini akan berasa kecewa, tertindas dan diketepikan daripada peluang-peluang untuk mendapatkan ganjaran dan pengiktirafan. Amalan yang tidak sihat dilakukan oleh majikan, guru-guru yang lebih senior, atau rakan setugas terhadap mangsa akan memberikan kesan negatif dan merosotnya prestasi kerja dan mutu pengajaran di dalam bilik darjah.

Gangguan seksual yang dialami boleh menyebabkan seseorang itu menghadapi tekanan psikologi seperti rasa tidak selamat, terhina, moral yang rendah, keadaan masa depan yang tidak menentu, takut, bimbang dan tekanan jiwa (Gutek, 1993). Jika keadaan ini dibiarkan berlarutan ia akan memberikan musibah dan kesan yang buruk kepada perkembangan dan kesejahteraan hidup individu berkenaan.

Individu yang mengalami gangguan seksual juga dikatakan akan turut mengalami masalah tekanan emosi, mangsa mudah mengalami stres, kegelisahan, kemurungan, panas baran, mudah menangis, hilang maruah, cepat meradang dan hilang rasa hormat kepada diri sendiri (McKinney & Maraoules, 1991). Perasaan aib dan malu juga akan turut menyelubungi mangsa.

Gangguan kesihatan diri sebagaimana yang dilaporkan oleh mangsa-mangsa gangguan seksual adalah seperti kesakitan kronik pada tulang belakang dan leher. Selain itu juga, mangsa sering mengadu sakit perut, hilang selera makan, migrain, hilang berat badan dan mengalami kecelaruan tidur (Renzetti & Curran, 1999).

Kesan buruk gangguan seksual menyebabkan berlakunya perpecahan di dalam rumah tangga, khususnya dalam kalangan wanita (Gutek, 1993). Wanita yang dipaksa atau dibebankan dengan kerja yang melebihi masa bekerja atau mengikuti majikan atau ketua ke tempat lain atas urusan kerja, mesyuarat atau berkursus tetapi mempunyai muslihat gangguan seksual, apabila diketahui oleh pasangan mereka menimbulkan perbalahan dan berakhir dengan perpecahan rumah tangga.

Pekerja yang menjadi mangsa kepada gangguan seksual juga akan mengalami turut terjejas kerjayanya. Tekanan kerjaya memperlihatkan mangsa yang mula menunjukkan prestasi dan produktiviti yang semakin berkurangan, kepuasan kerja berkurangan, hilang keyakinan diri, kurang bermotivasi dan komitmen yang semakin menurun terhadap kerjaya dan majikan (Gutek, 1993). Menurut Loy dan Stewart, sebanyak 10 peratus hingga 17 peratus pekerja wanita yang mengalami gangguan seksual telah berhenti kerja atau minta ditukarkan (McKinney & Maraoules, 1991).

Di dalam menangani masalah gangguan seksual di tempat kerja amnya, dan di sekolah khususnya, Jabatan Perkhidmatan Awam telah mengeluarkan Garis Panduan Mengendalikan Gangguan Seksual di Tempat Kerja Dalam Perkhidmatan Awam melalui Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 22 tahun 2005. Garis panduan ini bertujuan untuk dijadikan panduan kepada Ketua Jabatan dalam menangani masalah gangguan seksual di tempat kerja serta kaedah mengatasi fenomena ini di dalam perkhidmatan awam. Walaupun garis panduan ini tidak mempunyai kuasa mengikat, namun pengganggu seksual masih boleh didakwa di mahkamah sekiranya laporan polis dibuat dan tindakan undang-undang diambil terhadapnya.

Kod Amalan juga memperakui bahawa gangguan seksual merupakan satu bentuk salah laku di tempat kerja. Oleh yang demikian adalah penting supaya setiap pesalah dikenakan tindakan disiplin. Jenis dan bentuk hukuman bergantung kepada berat kesalahan yang dilakukan. Peraturan juga meliputi hukuman yang boleh dikenakan ke atas mereka yang membuat tuduhan palsu atau tidak berasas terhadap seseorang. Oleh kerana gangguan seksual ini merupakan satu bentuk salah laku, tindakan sebelum sesuatu tindakan disiplin diambil terhadap seseorang tertuduh, siasatan dalaman hendaklah terlebih dahulu diadakan oleh pihak majikan. Setiap guru wanita ataupun lelaki di sekolah haruslah mempunyai sifat ketegasan dan keberanian, Ini adalah kerana individu yang lemah sering disasarkan sebagai mangsa. Sekiranya mereka tersebut berdepan dengan gangguan seksual, perkara pertama yang harus dilakukan adalah dengan bertindak dan bercakap dalam cara yang kuat dan yakin, Setiap individu haruslah mengelakkan diri mereka daripada banyak keadaan di mana gangguan seks mungkin boleh berlaku. Biar semua orang di dalam syarikat tahu bahawa gangguan seksual tidak akan diterima. Jika seseorang membuat komen lucah, minta mereka untuk tidak berbuat demikian. Pastikan kedudukan mengenai perkara ini jelas.

Berpakaian dan bertindak sederhana untuk mengelakkan berlakunya masalah gangguan seksual. Ia adalah penting untuk memahami bahawa sesetengah orang meletakkan diri mereka di dalam masalah tanpa disedari, dalam keadaan yang boleh dipersoalkan. Mereka boleh ditafsirkan sebagai menggalakkan kepada gangguan seksual dengan berpakaian atau bertindak secara tidak wajar. Contohnya, berpakaian jarang dan mencolok mata ke sekolah sehingga mendedahkan tubuh badan adalah sangat tidak wajar. Sememangnya mangsa tetap tidak bersalah sekiranya gangguan seksual itu berlaku terhadap dirinya, tetapi ia adalah penting untuk menjauhkan diri pekerja sebanyak mungkin daripada situasi di mana tindakan tersebut boleh berlaku.

Gangguan seksual merupakan satu bentuk salah laku yang serius di tempat kerja. Ia boleh dianggap sebagai suatu bentuk diskriminasi seksual kerana mangsa boleh mengalami gangguan fizikal, emosi, dan mental yang serius. Gangguan seksual juga tidak terhad di sesebuah negara atau wilayah sahaja, tetapi merupakan fenomena sejagat. Masalah ini menjadi semakin serius dan perlu mendapat perhatian secara global. Perlakuan gangguan seksual selain bersalahan di bawah peruntukan undang-undang seperti yang sudah dibincangkan, masalah ini juga bercanggah dengan prinsip keadilan asasi. Kepentingan memberi tumpuan kepada kesalahan ini kerana ia mempunyai pertalian rapat dengan banyak objektif pembangunan negara khususnya bagi gangguan seksual.

REFLEKSI INDIVIDU MOHAMAD HAFIZ BIN ADUKA

Alhamdulillah,bersyukur kepada illahi kerana telah memberi peluang kepada saya untuk menyiapkan tugasan projek ini. Pertama sekali saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada tuan pensyarah kami iaitu Yeap Teik Wei kerana telah memberikan kerjasama dan tunjuk ajar yang sepenuhnya dalam menyiapkan tugasan projek ini. Panduan dan bimbingan yang ditunjukkan beliau amatlah saya hargai.

Selain itu,tidak lupa juga kepada rakan-rakan sekumpulan yang lain kerana telah bersama saya dalam menyiapkan tugasan projek ini. Semangat dan komitmen yang ditunjukkan oleh rakan-rakan lain telah berjaya melancarkan proses penyiapan tugasan projek ini. Bantuan rakan-rakan kepada saya juga amat saya hargai. Dengan ini kami dapat berkongsi ilmu dan ini juga dapat menambahkan lagi ilmu yang ada di dada.

Tugasan yang telah diberikan kepada saya ialah mengenai isu dan cabaran semasa yang diahadapi oleh guru. Tugasan ini sebenarnya banyak membantu saya menambah ilmu pengetahuan melalui rujukan yang dilakukan dan menjana minda untuk membuat kupasan secara ilmiah berkaitan dengan topik ini.

Isu yang dipilih ialah gangguan seksual dalam kalangan guru, gangguan seksual tidak boleh dipersepsi sebagai masalah peribadi dalam sesebuah sekolah. Masalah ini tidak boleh dipandang remeh kerana ia melibatkan masa depan mangsa dan juga imej sekolah. Menangani masalah gangguan seksual adalah tanggungjawab bersama. Reformasi sosial perlu dilakukan bagi meniupkan angin perubahan terhadap peranan wanita yang dinamik dan progresif dalam masyarakat dan di tempat kerja tersebut. Ini adalah kerana wanita adalah sumber manusia yang amat penting kepada pembangunan negara dan bangsa.

Dalam menyiapkan tugasan ini, saya merujuk kepada banyak sumber- sumber yang saya perolehi antaranya melalui mencari maklumat di internet, dengan mencari buku-buku rujukan di pusat sumber Institut Pendidikan Guru Kampus Perlis, merujuk nota-nota yang saya dapat melalui pensyarah dan kawan-kawan serta penerangan daripada pensyarah berkaitan. Dengan mendapatkan pelbagai sumber ini, tugasan ini dapat disiapkan dengan penuh sempurna dalam pelbagai aspek. Diharap hasil kerja ini dapat dijadikan satu sumber rujukan yang baru kepada para pensyarah dan pelajar khususnya.

Sepanjang menyiapkan tugasan ini, saya dan kawan-kawan berkumpul dan berbincang dalam melontarkan hujah kami. Kami juga membanding beza antara setiap pendapat, dalam proses membina satu karangan ilmiah yang mantap. Melaluinya, banyak ilmu yang kami dapat dan ini juga mengeratkan ukhwah antara kami. Tugasan ini juga banyak membantu saya untuk membuat persiapan dalam menghadapi peperiksaan akhir tidak lama lagi. Selain itu, ia juga telah berjaya meningkatkan keserasian antara saya dan pensyarah melalui kolaborasi serta saya mendapat tunjuk ajar yang baik daripada tuan pensyarah. Diharap dengan penyiapan tugasan ini, para guru pelatih dapat menjadikan bahan ini sebagai satu sumber rujukan pada masa akan datang.