faktor revolusi china & siam

Upload: hazryle

Post on 09-Jul-2015

485 views

Category:

Documents


0 download

TRANSCRIPT

Bincangkan faktor-faktor yang membawa kepada meletusnya Revolusi China pada tahun 1911 dan Revolusi Siam pada tahun 1932. A. PENGENALAN ( 3 Markah ) 1. Revolusi China yang berlaku pada tahun 1911 dan Revolusi Siam pada tahun 1932 bukan untuk menghalau keluar penjajah Barat tetapi lebih menjurus kepada rasa tidak puas hati rakyat terhadap pemerintah yang sedia ada. 2. Revolusi China bertujuan menentang dan menjatuhkan Dinasti Manchu dan membolehkan rakyat China mentadbir negara mereka sendiri. Revolusi China dipimpin oleh Dr. Sun Yat Sen, Kang Yu Wei dan Liang Chi-Chao. 3. Revolusi Siam juga bertujuan menamatkan pemerintahan raja berkuasa mutlak dan mewujudkan kerajaan berperlembagaan. Antara pemimpin yang menggerakkan Revolusi Siam ialah Pridi Panomyong, Pya Bahol dan Pya Manopakorn. B. ISI-ISI ( 20 Markah ) Faktor-faktor meletusnya Revolusi China 1911 ( 10 Markah ) 1. Kelemahan Pemerintahan Manchu a. Revolusi ini bertujuan untuk menggulingkan pemerintahan Manchu di China dan berakhir dengan penubuhan Kerajaan Republik China di bawah pemerintahan Yuan Shih Kai pada tahun 1921. b. Pegawai kerajaan Manchu dikatakan mengamalkan rasuah dan menyeleweng. Mereka gagal memperbaiki taraf hidup rakyat. c. Mereka melantik kerabat mereka menjadi pegawai dalam kerajaan dan pegawai kerajaan yang dipilih itu menyalahgunakan wang yang sepatutnya diberikan kepada mangsa bencana alam. d. Perasaan tidak puas hati rakyat ditunjukkan dalam bebrapa siri penentangan secara terbuka antaranya ialah Pemberontakan Taiping ( 1850 1864 ), Pemberontakan Panthay (1885 ), Pemberontakan Nien ( 1853 1868 ) dan gerakan sulit seperti White Lotus Society dan Heaven and Earth Society.

e. Maruah China juga jatuh selepas kalah dalam Perang Candu Pertama dan Perang Candu Kedua dan dibebani pula dengan hutang. Keadaan ini menyebabkan timbulnya masalah kewangan. f. Bencana alam seperti banjir, kemarau dan gempa bumi mengurangkan hasil pertanian sehingga masyarakat China menganggap kerajaan Manchu hilang mandat dari syurga. g. Selepas kemangkatan Maharaja Kuang-Hsu pada tahun 1908 Putera Chun yang dilantik sebagai pemangku raja merupakan seorang yang tidak cekap dan tidak berwibawa. Maharaja Hsuan Tung pula yang menggantikan beliau baru berumur 3 tahun. h. Orang China menganggap kerajaan Manchu yang berasal dari Manchuria bukanlah China asli. Orang China tidak mahu tunduk kepada pemerintah Manchu yang dianggap sebagai orang asing dan mereka menggunakan slogan Hapuskan Manchu, Kembalikan Dinasti Ming.

2. Kesengsaraan Rakyat a. Penduduk China yang bertambah menjadi lebih kurang 400 juta orang menjelang awal abad ke-20 telah menyebabkan masalah kekurangan makanan dan pengangguran. b. Mulai tahun 1900 kerajaan telah menaikan cukai kepala antara 3 hingga 5 kali ganda dan ini membebankan rakyat. Rakyat terpaksa menanggung beban cukai untuk membiayai pembinaan jalan kereta api, membeli senjata dan membayar ganti rugi perang. c. Kesengsaraan rakyat bertambah lagi apabila berlakunya bencana alam seperti banjir dan kemarau. Keadahaan ini telah menyebabkan berlakunya pengangguran di wilayah Anhui, Kiangsu, Shangtung, Chekiang dan Hupei. d. Keadaan ini menimbulkan kemarahan rakyat dan mereka mencari pemimpin untuk membela mereka. Sebab itulah kawasan bencana alam menjadi kawasan tumpuan pemberontakan. 3. Kemasukan Kuasa Barat a. Kemasukan orang Barat telah memberi kesan kepada perdagangan dan keagamaan. b. Ada di kalangan masyarakat China mula menganggap untuk menjadi maju mereka perlu menerima idea-idea dari Barat dan disesuaikan dengan negara China. c. Malangnya idea ini tidak disenangi oleh pemerintah Manchu lalu mereka menjalankan dasar tutup pintu.

d. Pada masa yang sama Jepun telah membenarkan Dr. Sun Yat Sen untuk menubuhkan Tung Meng Hui semasa di Jepun dan memberikan penerangan serta mendorong orang China seberang laut untuk menyokong pemberontakan ini. 4. Penguasaan Ekonomi Oleh Orang Asing a. Orang Barat telah menguasai ekonomi China melalui beberapa siri perjanjian seperti Perjanjian Nanking 1842 yang telah memberi ruang kepada Barat menguasai ekonomi China. b. Kesannya kuasa Barat seperti British, Perancis, Rusia dan Amerika Syarikat telah menguasai pelabuhan utama di sekitar Peking dan bandar-bandar lain. c. Perjanjian dengan kuasa-kuasa Barat juga membebankan China kerana terpaksa membayar pampasan kepada kuasa Barat. Melalui Perjanjian Shimonoseki selepas peperangan China- Jepun menyebabkan China terpaksa membayar 200 juta tael kepada Jepun. d. Keaadaan-keadaan ini menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan rakyat. 5. Peranan Golongan Terpelajar a. Golongan terpelajar merupakan penggerak kepada revolusi ini terdiri daripada Dr. Sun Yat Sen, Kang Yu Wei, Liang Chi-Chao dan lain-lain lagi. Ramai daripada mereka telah melanjutkan pelajaran ke Jepun. b. Sementara pelajar-pelajar yang menuntut di Eropah dan Amerika pula terpengaruh dengan idea demokrasi, kerajaan berperlembagaan, hak asasi manusia, kemajuan teknologi, kebebasan dan pemerintahan tentera. c. Mereka turut terpengaruh dengan Revolusi Perancis, Revolusi Rusia, Penyatuan Jerman dan Itali serta permodengan Jepun di bawah Meharaja Meiji. d. Dr. Sun Yat Sen sebagai penggerak revolusi sebagai penggerak revolusi berpendapat pemerintahan beraja perlu dihapuskan dan diganti dengan republik kerana pemerintahan beraja menyebabkan rakyat menderita. e. Dr. Sun Yat Sen menubuhkan Tung Meng Hui pada tahun 1908 untuk menggulingkan kerajaan Manchu dan menubuhkan republik. f. Beliau menerbitkan akhbar Min Pao di Tokyo dan memperkenalkan ideologi berasaskan Tiga Prinsip Rakyatiaitu demokrasi, nasionalisme dan kebajikan sosial. g. Beliau digelar Bapa Revolusi China. 6. Kemajuan Sistem Perhubungan

a. Revolusi juga dipercepatkan lagi dengan kemudahan sistem perhubungan yang terdapat di China seperti rangkaian jalan kereta api, jalan raya, pos dan telegraf yang mempercepatkan penyampaian idea revolusioner. b. Kemajuan sistem perhubungan ini juga memudahkan perhubungan di kalangan ahli dan pemimpin revolusioner. 7. Keputusan Kerajaan Memiliknegarakan Jalan Kereta Api a. Pada bulan Mei 1911, rakyat menentang kerajaan Manchu kerana memiliknegarakan pembinaan jalan kereta api antara Hankow-Canton dan Hankow-Sczechuan. b. Ini kerana pengusaha tempatan berasa kepentingan mereka terjejas apabila projek tersebut diberikan kerajaan Manchu kepada pengusaha asing. c. Pemimpin tempatan menentang kerajaan Manchu kerana meminjam wang 16 juta pound daripada Perancis, Jerman, Britain dan Amerika Syarikat. Ini akan membebankan rakyat apabila kerajaan mengenakan berbagai-bagai cukai untuk membayar hutang tersebut. d. Pemberontak di Sczechuan merebak apabila sebutir bom meletup di Hankow pada 10 Oktober 1911. Peristiwa ini menandakan bermulanya revolusi.

FAKTOR-FAKTOR REVOLUSI SIAM 1932 ( 10 Markah ) 1. Kelemahan Pemerintahan Raja Vajiravudh ( 1910-1925 ) a. Rasa tidak puas hati terhadap kuasa mtlak raja kerana Raja Vajiravudh cuba mengekalkan kuasa mutlak raja. b. Vajiravudh seorang pemerintah yang lemah dan tidak cekap. Baginda jarang mengadakan mesyuarat. c. Vajiravudh seorang yang angkuh, boros mengamalkan rasuah dan memberi keistimewaan kepada orang kesayangan atau pilih kasih dalam pentadbiran. d. Baginda juga suka menghabiskan masa dengan seni, membazirkan wang negara seperti membina taman indah di istana. e. Baginda mengupah seramai 3000 orang pekerja istana. Baginda juga suka mengadakan pementasan, drama dan majlis keramaian di istana.

f. Pasukan tentera berasa tidak puas hati kerana Vajiravudh menubuhkan Pasukan Harimau Liar iaitu pasukan separuh tentera dan Vajiravudh menjadi ketuanya. Pasukan tentera melihat pasukan ini cuba mengambil alih tugas tentera. 2. Kelemahan Pemerintahan Raja Prajadhipok ( 1925-1935 ) a. Prajadhipok seorang raja yang lemah, kurang pengalaman dalam pemerintahan dan tidak berwibawa. b. Kebanyakan kuasa diraja memonopoli jawatan penting dalam kerajaan seperti bidang ketenteraan dan pentadbiran. c. Baginda telah mengehadkan kenaikan pangkat pegawai awam dan pegawai tentera. d. Pada masa pemerintahan beliau berlaku masalah ekonomi dan masalah kewangan yang serius menyebabkan perbelanjaan negara meningkat sehingga 50% sementara pendapatan negara sekitar 25% sahaja, selain daripada krisis kewangan yang ditinggalkan oleh Vajiravudh yang boros. e. Bagi mengatasi masalah kewangan yang teruk baginda telah memecat ramai pegawai kerajaan, memotong gaji kakitangan awam dan tentera, mengurangkan pekerja istana daripada 3000 orang kepada 300 orang sahaja dan bertindak membubarkan Pasukan Harimau Liar. Ini menyebabkan ramai yang kehilangan pekerjaan. f. Ekoran tindakan ini menyebabkan timbul rasa tidak puas hati di kalangan rakyat. Pembubaran Pasukan Harimau Liar menimbulkan kemarahan di kalangan anggota pasukan itu yang kehilangan pekerjaan. g. Rasa tidak puas hati di kalangan tentera memuncak apabila pada tahun 1912 dan 1917 berlaku cubaan menggulingkan Prajadhipok tetapi gagal. 3. Perselisihan Antara Menteri Dalam Kabinet 1931 a. Selain itu perasaan tidak yakin dan tidak percaya kepada pemerintahan beraja di kalangan rakyat juga berlaku kerana terjadinya krisis politik pada Oktober 1931 iaitu perbalahan dalam kabinet Siam. b. Krisis ini terjadi semasa Prajadhipok berada di luar negara. Permusuhan ini berlaku dalam kabinet Siam antara Menteri Pertahanan ( Putera Bovaradej ) dengan Menteri Perdagangan ( Putera Chatra ). c. Perselisihan dan perbalahan pendapat antara mereka berlegar tentang masalah ekonomi dan penyelesaiannya. d. Putera Bovaradej mencadangkan kenaikan gaji untuk golongan tentera tetapi ditolak oleh Prajadhipok.

e. Keadaan ini menghapuskan kepercayaan rakyat terhadap institusi yang dikuasai oleh golongan bangsawan. 4. Kemunculan Golongan Terpelajar a. Pembaharuan yang dilakukan oleh Mongkut dan Chulalongkorn telah melahirkan golongan elit dan terpelajar. b. Ramai pelajar melanjutkan pelajaran ke luar negara terutama ke Perancis, telah terpengaruh dengan ideologi Barat seperti demokrasi, republik, fahaman anti-monarki, sosialisme dan perlembagaan. Mereka menganggap sistem pemerintahan beraja sudah ketinggalan zaman dan perlu memajukan Siam sebagai sebuah negara progresif. c. Idea untuk pembaharuan ini lahir daripada Pridi Panomyong yang merasakan perlu dilakukan pembaharuan dalam ekonomi, politik dan sosial. d. Pridi Panomyong mendapat pendidikan Barat dan menubuhkan Parti Rakyat. Beliau adalah ketua revolusi dan perjuangan beliau dalam Revolusi Siam dibantu oleh pemimpin tentera seperti Phibul Songram. 5. Peranan Parti Rakyat a. Melalui kepimpinan Pridi Panomyong, Kolonel Phya Bahol dan Mejar Phibul Songram telah melancarkan satu rampasan kuasa setelah menubuhkan Parti Rakyat pada 26 Jun 1932. b. Semasa rampasan kuasa berlaku, Raja Prajadhipok berada di luar negara dan sekembalinya selepas pemberontakan baginda telah bersetuju untuk menerima perlembagaan yang dirangka oleh Pridi Panomyong pada Disember 1932. C. KESIMPULAN ( 2 Markah ) a. Revolusi China 1911 dan Revolusi Siam 1932 merupakan penentangan yang terjadi akibat daripada rasa tidak puas hati rakyat terhadap sistem pemerintahan beraja yang dianggap mengongkong pembaharuan dan pembangunan yang meliputi aspek ekonomi, sosial dan politik. b. Revolusi China telah berjaya menamatkan pemerintahan beraja sekaligus menamatkan pemerintahan Dinasti Manchu yang telah memerintah selama 267 tahun ( 1644-1911 ). Republik China diisytiharkan pada 29 Disember 1911. c. China tidak mewariskan raja atau keturunannya untuk terus memimpin, Maharaja Pu Yi yang berusia 6 tahun turun takhta dan menjadi rakyat biasa. d. Selepas Revolusi China 1911, golongan Hulubalang pimpinan Yuan Shih Kai telah mendominasi pemerintahan dan telah dilantik sebagai Presiden China yang pertama.

e. Revolusi Siam 1932 berjaya menghapuskan kuasa mutlak raja sahaja tetapi kedudukan dan status raja dikekalkan iaitu warisnya dikekalkan tetapi kuasa pemerintahan di tangan rakyat. f. Wujud pemerintahan raja berperlembagaan di Siam dengan Perdana Menteri Pertama ialah Pya Manopakorn.