esei reflektif tentang dua elemen yang mencabar penghayatan dan amali nilai

Upload: rohana-jalil

Post on 06-Jan-2016

239 views

Category:

Documents


0 download

DESCRIPTION

dua elemen yg mencabar penghayatan dan amali nilai

TRANSCRIPT

Esei Reflektif Dua elemen yang mencabar penghayatan dan amali nilai-nilai murni dalam proses pengajaran dan pembelajaran.Di dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 ada mengariskan dalam Anjakan 3 untuk melahirkan rakyat yang menghayati nilai bagi memastikan pelajar yang akan mewarisi Malaysia pada masa akan datang memiliki kemahiran memimpin, tetapi juga nilai murni sejagat seperti integriti, belas kasihan, adil, dan altruisme yang dapat membimbing mereka dalam membuat keputusan beretika. Pada masa yang sama, pembangunan warganegara yang global perlu diimbangi dengan pembangunan identiti nasional yang kukuh. Hasrat ini selari dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan iaitu:Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah lebih memperkembangkan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk melahirkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bertujuan untuk melahirkan warganegara Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberikan sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara.Semua ini dapat direalisasikan sekiranya penghayatan dan amali dalam nilai-nilai murni yang diserapkan dalam pengajaran dan pembelajaran kepada pelajar dapat dilaksanakan dengan berkesan oleh guru. Terdapat bebarapa elemen yang mencabar penghayatan nilai-nilai murni dalam sesi pengajaran dan pembelajaran. Elemen-elemen itu adalah mementingkan kebendaan, aspek sikap tidak bertanggungjawab, aspek media massa dan aspek pembangunan negara dari sudut sosio ekonomi. Saya akan mengupas dua elemen iaitu mementingkan kebendaan dan sikap tidak bertanggungjawab. Ibn Khaldun dalam Kitab Muqadimmahnya ada menyebut: kemusnahan sesuatu tamadun ditandai dengan beberapa perkara, iaitu banyaknya kemewahan, kehidupan penuh dengan hiburan dan perhiasan......

Malaysia selepas mencapai kemerdekaan telah menumpukan perhatian untuk membangunkan ekonominya bagi mewujudkan pembangunan sosial, keseimbangan antara kaum dan meningkatkan pendapatan rakyat. Kesan dari pembangunan yang pesat telah menyebabkan berlakunya proses urbanisasi, industrilisasi dan penghijrahan masyarakat dari luar bandar ke bandar. Usaha pembangunan di teruskan dengan gigih lagi bagi menyahut sasaran untuk menjadi Malaysia negara maju pada tahun 2020. Dalam sebuah Negara maju, pendapatan perkapita penduduk juga harus tingi, kos sara hidup juga tinggi maka manusia akan menjadi semakin mementingkan kebendaan kerana memikirkan taraf hidup yang semakin tinggi. Manusia akan mementingkan kebendaan. Keadaan sebegini sedikit sebanyak mengganggu pendidikan anak-akan yang akan mewarisi negara.Sebagai contoh seorang guru Matematik yang bertugas di sekolah pada sebelah paginya. Kemudiannya pada sebelah petang dan malamnya , guru itu mengajar di kelas tuisyen swasta yang rata-ratanya terdiri daripada anak-anak muridnya sendiri. Guru tersebut melakukan semua itu semata-mata untuk mendapatkan duit atas pelbagai sebab. Antara sebab yang mungkin menjadi pendorong kepada guru tersebut menjalani rutin harian sedemikian rupa ialah untuk mendapatkan wang yang lebih, untuk mendapatkan kehidupan yang selesa atau untuk menampung perbelanjaan keluarga yang semakin meningkat.

Rutin kehidupan guru ini terlalu sibuk dan memaksa guru-guru ini pulang hingga lewat malam. Guru ini pasti keletihan minda dan anggota badan. Guru itu perlu melakukan rutin yang sama pada esoknya. Guru itu juga mungkin akan lewat ke sekolah kerana terlewat bangun ataupun terpaksa melayan karenah anak-anaknya yang mahukan perhatian kerana telah lama tidak bertemu dengan bapanya. Akibat keletihan dan marah dengan kerenah anak-anak mungkin membuatkan mood guru akan menjadi tidak baik. Guru yang lewat ke sekolah tidak akan sempat untuk menyediakan diri dengan bahan pengajaran dan juga rancangan pengajaran. Dengan mood juga terganggu, menjadikan guru ini tidak bersemangat untuk memasuki kelas. Mood guru akan bertambah baik atau sebaliknya juga bergantung kepada kepada keadaan murid di dalam kelas. Pengajaran seseorang guru itu akan mencapai objektifnya sekiranya murid berjaya melaksanakan latihan yang guru berikan. Sekiranya murid-murid tidak memahami pengajaran guru, segala latihan yang guru berikan tidak berjaya dijawab oleh murid-murid. Guru yang kurang persediaan ini, tidak sempat untuk mengkaji cara lain yang boleh memudahkan murid memahami konsep yang guru ingin sampaikan. Murid-murid yang hiperaktif ataupun terlalu pendiam akan membuatkan mood guru menjadi tidak menentu. Guru mungkin akan menjadi garang dan akan mendenda murid-murid yang mengganggu kelas. Murid yang tidak berjaya menjawab soalan dengan betul juga akan dimarahi oleh guru. Suasana pengajaran dalam kelas akan menjadi tegang. Keadaan ini akan membuatkan murid-murid tidak selesa untuk belajar dan mereka sukar untuk memahami isi kandungan pengajaran guru. Maka apabila keadaan ini berlaku, pengajaran guru i adalah tidak mencapai objektif yang disasarkan.

Mengikut demensi moral, seorang yang berakhlak mulia seharusnya mengamalkan ketiga-tiga dimensi moral secara seimbang dalam kehidupan mereka. Dimensi moral terbahagi kepada tiga iaitu penaakulan moral, perasaan moral dan perlakuan moral. Dalam masalah guru ini, beliau perlu menggunakan dimensi moral di dalam mengimbangi tugas hakiki dan tugas sampingan yang dilakukannya. Cara untuk menangani masalah murid yang hiperaktif bagi guru yang mempunyai penaakulan moral akan bertindak mengenakan hukuman kepada murid itu tanpa ada rasa geram, dendam dan melabelkan murid. Guru itu boleh mendenda murid dengan membawa murid yang menganggu itu ke depan kelas. Guru itu boleh meminta murid itu menyalin jawapan soalan matematik yang disediakan guru di papan putih. Guru itu juga boleh meminta murid itu untuk membaca semula cara menyelesaikan masalah matematik itu dengan suara yang kuat. Dengan cara ini, sedikit sebanyak murid akan belajar memahami isi pengajaran yang ingin guru sampaikan. Guru juga perlu mempunyai perasaan moral kepada murid-murid. Guru perlu ada kehalusan emosi yang mengandungi sentimen, empati, simpati, prihatin, belas kasihan, bermotivasi dan murah hati. Guru perlu mempunyai perasaan di atas terhadap murid yang hiperaktif ini. Mungkin murid ini menghadapi masalah keluarga yang porak peranda dan menjadi mangsa akibat penceraian. Murid ini kekurangan kasih sayang. Murid ini menunjukkan sikap hiperaktif mungkin untuk mendapatkan perhatian guru. Guru boleh bertindak dengan cara memberikan pujian kepada murid itu. Contohnya lunak suara Faiz ni boleh jadi qari mengaji al quran nanti. Guru perlu menyerapkan nilai-nilai positif di dalam diri murid itu untuk mengajak murid ke arah kebaikan. Murid sukakan perhatian dan galakan daripada gurunya. Guru yang baik juga perlu mempunyai perlakuan moral. Perlakuan Moral adalah tingkah laku dan perlakuan individu terhadap semua keputusan yang ditunjukkan dengan penuh tanggungjawab tetapi mengikut kemampuan dirinya. Tindakan moral ini adalah hasil daripada pemikiran moral dan perasaan moral yang mendorong seseorang bertindak secara bermoral. Di dalam kes di atas guru perlu mempunyai perlakuan moral dengan menyematkan peringatan di hati bahawa tugasan mengajar hakiki adalah lebih penting dan utama berbanding mengajar di pusat tuisyen swasta. Guru boleh melakukan tugasan di pusat tuisyen itu di hari minggu sahaja. Keadaan ini akan memastikan guru tidak penat dan tidak perlu melakukan dua kerja di dalam satu masa. Guru juga boleh mengurangkan waktu tuisyen itu seperti hanya mengambil waktu tuisyen di waktu petang sahaja. Dengan cara ini guru tidak akan pulang lewat malam ke rumah. Guru juga tidak akan keletihan sehingga menyebabkan lewat untuk hadir ke sekolah. Dengan cara ini guru dapat menyediakan diri dengan rancangan pengajaran harian serta bahan-bahan pengajaran yang menarik. Guru juga boleh mengulangkaji semula tajuk yang hendak diajar kepada murid supaya tidak terdapat kesilapan semasa aktiviti pengajaran. Guru juga boleh mencari cara baru untuk menyelesaikan masalah dalam pengajaran subjek Matematik. Guru yang bersedia untuk menjalankan tanggungjawab mengajar murid pasti akan mempersembahkan sesuatu yang menarik kepada murid-murid. Murid akan seronok dan tidak tertekan belajar dengan guru yang komited dengan pekerjaannya. Semangat bekerja bersungguh-sungguh yang ditunjukkan guru membuatkan murid menyerapkan nilai murni untuk belajar dengan bersungguh-sungguh untuk menjamin kejayaan.Elemen yang kedua yang ingin bincangkan adalah sikap tidak bertanggungjawab. Dr. Gustave Le Bon menyatakan sebab-sebab kerosakan suatu bangsa apabila berlakunya dekadensi atau kerosakan moral yang berpunca daripada sikap tidak bertanggungjawab membudaya pada bangsa itu (Muqdad Yaljan, 1986). Aspek tidak bertanggungjawab ini boleh dipecahkan kepada 2 iaitu, tanggungjawab terhadap diri dan orang lain dan tanggungjawab terhadap harta benda. Sikap yang tidak bertanggungjawab terhadap orang lain seringkali dikaitkan dengan sikap mementingkan diri sendiri. Di sini saya akan fokuskan kepada sikap tanggungjawab kepada orang lain. Contohnya seorang guru yang sengaja untuk tidak masuk ke kelas kerana leka berbual-bual bersama-sama rakan-rakannya di kantin sekolah. Guru ini telah meninggalkan tanggungjawabnya mendidik anak bangsa dengan ilmu pengetahuan yang amat dinantikan oleh anak-anak didiknya. Tanggungjawab guru ini akan berterusan sehingga tamat masa guru itu di dalam kelas yang sepatutnya dimasuki. Masa pengajaran seseorang guru di dalam kelas biasanya adalah satu jam. Segala perlakuan anak murid di dalam kelas adalah tanggungjawab guru tersebut. Sekiranya ada masalah pergaduhan, ejek mengejek dan caci mencaci semuanya adalah tanggungjawab guru tersebut. Guru perlu bertanggungjawab sekiranya terdapat kecederaaan hasil kecuaian guru tersebut. Tindakan keras juga boleh diambil kepada guru yang meninggalkan kelas tanpa alasan. Nilai-nilai murni seperti sikap bekerjasama, menghormati ketua , memanfaatkan masa tidak dilaiukan oleh guru ini dengan sebaiknya. Murid akan berasa kurang hormat kepada guru yang mempunyai sikap sebegini.Bagi guru yang berakhlak mulia seharusnya mengamalkan ketiga-tiga dimensi moral iaitu penaakulan moral, perasaan moral dan perlakuan moral secara seimbang dalam kehidupan. Guru yang ada penaakulan moral akan melakukan pemikiran moral dan membuat pertimbangan secara rasional dan bebas. Seseorang individu yang mempunyai pemikiran moral dapat memikirkan sesuatu dilema moral dan membuat pertimbangan berasaskan prinsip moral dan nilai-nilai moral yang diterima oleh masyarakat setempat. Prinsip keadilan dipentingkan semasa membuat sesuatu keputusan. Penaakulan moral juga boleh dikaitkan dengan membuat keputusan secara rasional berasaskan fakta tanpa dipengaruhi oleh emosi dan persekitaran. Guru yang mengamalkan penaakulan moral akan membuat pertimbangan secara rasional dan bebas dengan masuk ke kelas seperti jadual yang telah ditetapkan. Guru akan mengajar murid dengan sempurna di kelas yang diamanahkan kepada mereka. Perbuatan melekakan seperti bersembang dengan rakan, menanda buku boleh dilakukan di masa yang lain. Guru perlu melaksanakan tugasan itu dengan penuh rasa tanggungjawab. Contoh yang lain pula adalah sekiranya guru mendapat jadual ganti untuk memasuki kelas yang gurunya tidak hadir kerana masalah kesihatan ataupun berkursus. Guru yang bertanggungjawab akan masuk ke kelas yang ditetapkan dengan segera. Guru tidak boleh mengikut emosi dengan mengarahkan pengawas untuk menjaga kelas tersebut. Guru juga perlu mengajar murid semasa berada di kelas ganti. Guru tidak boleh membenarkan murid membuat kerja masing-masing sedangkan guru bersahaja duduk di depan kelas. Guru mempunyai kemahiran untuk mengajar semua mata pelajaran di sekolah. Keadaan ini akan memastikan perjalanan organisasi pendidikan di sekolah dapat dijalankan dengan jayanya. Seorang guru perlu mempunyai perasaan moral iaitu kehalusan emosi yang mengandungi sentimen, empati, simpati, prihatin, belas kasihan, bermotivasi dan murah hati. Perasan yang bermoral ini membawa kepada tindakan yang bermoral. Perasan ini akan membawa kepada perlakuan individu secara bermoral dan dapat mengawal perlakuan, menghalang seseorang individu membuat sesuatu yang bersifat anti sosial. Guru yang ada perasaan akan masuk ke kelas walaupun mereka terbeban dengan tugas-tugas pengkeranian yang banyak. Guru ada perasaan moral akan mengajar secara bersungguh-sungguh untuk memastikan murid tidak tercicir untuk memperolehi ilmu hasil pengajaran guru. Guru-guru juga akan menjalankan ulangkaji dan latih tubi untuk murid-murid yang agak lambat menerima pengajaran guru. Guru juga berusaha mencari kaedah terbaik bagi memastikan murid-murid memahami pengajaran guru.Perasaan moral juga akan memastikan guru-guru tidak melakukan dendaan yang melampau kepada murid yang tidak mendengar arahan guru. Segala peringatan yang diberikan oleh guru kepada murid haruslah diterapkan dengan nilai yang baik seperti penuh berhemah dan sikap toleransi. Guru tidak boleh memarahi murid secara membabi buta. Setiap perkataan yang diluahkan oleh guru haruslah yang mempunyai adap sopan. Ini kerana segala perlakuan guru menjadi tontonan dan cerminan kepada sikap akan dibentuk kepada murid. Murid mudah menyerap perlakuan guru dan ibu bapa. Dendaaan guru bukanlah melambangkan perasaan dendam, geram atau bencikan murid tetapi kerana ingin memberikan tunjuk ajar bagi memastikan murid-murid ini akan menjadi insan yang terbaik di masa depan.Guru juga perlukan perlakuan moral semasa pengajaran dan pembelajaran. Perlakuan Moral pula adalah tingkah laku dan perlakuan individu terhadap semua keputusan yang ditunjukkan dengan penuh tanggungjawab tetapi mengikut kemampuan dirinya. Guru harus bertanggungjawab dengan murid-murid yang mereka ajar. Seorang guru harus mengajar murid-murid dengan kaedah yang terbaik dalam pengajaran dan pembelajaran. Guru mesti memastikan murid-murid meningkat prestasi pelajaran mereka walaupun dalam kadar yang minima. Guru mesti berusaha mencari strategi yang berkesan untuk menarik minat murid untuk mengikuti pelajaran yang guru berikan. Sikap kecindan guru, bahan-bahan yang menarik seperti berunsurkan multimedia, kartun dan nyanyian dapat menarik minat murid mengikuti pengajaran seseorang guru. Perlakuan moral ini akan menajdikan guru itu seorang yang berdedikasi dalam tugasan seharian.Seseorang guru yang bertanggungjawab akan sanggup berjuang untuk memastikan kejayaan anak-anak muridnya.Dalam keghairahan mengejar kemajuan, kita jangan alpa tentang peri pentingnya peranan dan pemupukan nilai akhlak dalam masyarakat. Akhlak adalah pengukur kepada kemajuan, kerana ia berperanan penting melahirkan manusia yang mengamalkan nilai-nilai hidup yang baik serta berperanan mencetus kemajuan. Pembentukan nilai akhlak harus menjadi agenda nasional dan perlu kesepaduan usaha dari semua pihak. Untuk membina masyarakat yang berakhlak kita perlu suasana yang konstruktif kepada nilai itu berkembang dan berusaha untuk menyekat suasana yang boleh mengikis nilai-nilai akhlak. Kita harus mengingati selalu kata-kata seorang penyair Mesir, Syauqi Bey yang berkata; "Sesungguhnya bangsa itu kekal selama berakhlak. Bila akhlaknya telah lenyap, maka lenyap pulalah bangsa itu".

15