Download - TUGASAN 1
Hamizan Bin Ibrahim (S-PM0299/15)PLG 521-Pengekalan Inovasi Kurikulum
TUGASAN 1:
ESEI BERKAITAN ISU TERKINI.
Tajuk: Bincangkan dan berikan pandangan anda sekiranya guru wajib mendapat lesen
sebelum dibenarkan mengajar. Perbincangan serta pandangan anda haruslah disokong
dengan bahan rujukan ilmiah terkini.
Profesion perguruan adalah antara profesion yang tertua di dunia. Dalam tempoh itu,
perubahan demi perubahan telah berlaku dalam pelbagai aspek seperti penambahbaikan
dalam perlaksanaan proses pengajaran dan pembelajaran serta pengubahsuaian dalam
misi dan visi pendidikan. Selari dengan itu, guru merupakan elemen yang paling penting
dalam mencorakkan stail pengajaran yang berkesan agar segala matlamat dalam dunia
pendidikan dapat dicapai secara optimum. Ledakan dunia sains dan teknologi pada masa
kini menambahkan lagi cabaran yang perlu dihadapi oleh guru dalam menentukan mod
pengajaran yang baik. Sekiranya satu ketika dahulu tugas utama guru adalah sebagai
penyampai pengajaran namun pada masa kini guru lebih bertindak sebagai fasilitator atau
pemudahcara dalam proses pengajaran dan pembelajaran.
Selain daripada itu juga seseorang guru itu mempunyai tanggungjawab yang besar
dalam memastikan pembentukan sahsiah pelajar yang cemerlang. Guru perlu sentiasa
menonjolkan model tingkahlaku yang baik kepada para pelajar. Dalam aspek pengajaran
pula, seseorang guru itu perlu sentiasa mengamalkan sikap keterbukaan dalam menerima
segala kritikan dan pendapat dari orang sekeliling. Hal ini penting bagi memastikan usaha
untuk memperkasakan martabat profesion perguruan dapat dicapai. Sehubungan itu, adalah
amat penting untuk seseorang yang memilih kerjaya sebagai guru menjalani latihan sebelum
memulakan perkhidmatan.
Untuk menjadi seorang guru yang profesional dan mencapai standard yang baik,
program latihan intensif merupakan peluang terbaik bagi bakal-bakal guru menggilap
kemahiran yang diperlukan sebelum memasuki dunia perguruan yang sebenar. Sepanjang
menjalani Program Latihan Mengajar, guru pelatih berpeluang untuk meningkatkan
kecekapan penyampaian pengajaran, meluaskan pengalaman serta mendapatkan wawasan
dan teori serta amali pengajaran dan pembelajaran kerana program ini mengandungi
beberapa komponen yang dapat membentuk golongan guru yang berkualiti.
Latihan mengajar atau juga dikenali sabagai latihan praktikal bagi pelajar institusi-
institusi pengajian tinggi awam mahupun swasta merupakan antara bentuk latihan yang
perlu dijalani oleh para pelajar sebagai salah satu latihan amali yang komprehensif. Program
1
Hamizan Bin Ibrahim (S-PM0299/15)PLG 521-Pengekalan Inovasi Kurikulum
latihan mengajar ini secara umumnya memberi latihan kepada bakal-bakal guru untuk
mengajar di sekolah dengan mempraktikkan segala ilmu serta kemahiran asas mengajar
yang telah dipelajari sepanjang pengajian di institusi masing-masing dalam suasana sekolah
yang sebenar. Sepanjang menjalani program latihan ini, bakal-bakal guru akan didedahkan
realiti sebenar berkenaan profesion perguruan serta tanggungjawabnya. Matlamat ini amat
penting untuk dicapai agar guru-guru pelatih ini mendapat pengalaman sebenar serta tidak
mengalami kejutan budaya apabila masuk ke dalam dunia kerjaya yang sebenar kelak.
Pembangunan profesionalisme guru adalah bertujuan untuk mengekal dan
mempertingkatkan kualiti guru dan peranan kepemimpinan mereka. Pembangunan
profesionalisme juga usaha-usaha kearah penimbaan pengalaman melalui kursus-kursus
yang relevan untuk menjadikan guru lebih berkeupayaan dari segi kompetensi dan
seterusnya dapat membangun dalam laluan kerjaya mereka. Penimbaan pembelajaran itu
termasuklah pembangunan secara tidak formal di sekolah dan juga melalui peluang-peluang
pembelajaran secara formal yang wujud melalui latihan dalam perkhidmatan yang
dikendalikan di dalam sekolah dan di luar sekolah.
Pada pandangan saya, latihan perguruan merupakan suatu bentuk lesen sebelum
dibenarkan mengajar. Pelbagai saluran dan peluang yang disediakan untuk bakal-bakal
guru dalam merealisasikan cita-cita untuk berkecimpung dalam bidang perguruan.
Antaranya ialah Kursus Diploma Perguruan Malaysia (KDPM), Kursus Perguruan Lepasan
Ijazah (KPLI), Diploma Perguruan Lepasan Ijazah (DPLI), Program Ijazah Sarjana Muda
Perguruan (PISMP) dan banyak lagi kursus-kursus yang ditawarkan oleh institut-institut
pengajian tinggi awam dan juga swasta.
Sebagai golongan profesional, adalah perlu bagi seseorang guru agar sentiasa peka
kepada aspek peningkatan kualiti dalam pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah.
Terdapat beberapa elemen dalam meningkatkan kualiti tersebut. Antaranya ialah elemen
Akademik. Semua guru perlu memiliki Ijazah pertama (sebagai guru siswazah terlatih), wajib
meneruskan pengajian sehingga keperingkat Sarjana. Menjelang 2020, semua guru perlu
memiliki Ijazah Sarjana. Mereka yang sudah memiliki Sarjana bolehlah meneruskan
pengajian sehingga ke peringkat Ijazah Kedoktoran.
Seterusnya ialah elemen pengajaran dan pembelajaran. Guru-guru wajib mengikuti
kursus-kursus latihan dalam perkhidmatan bagi mengasah bakat sebagai guru yang
profesional. HaI ini boleh dilakukan melalui program-program perkembangan
profesionalisme yang berterusan (Continuing Professional Development Programmes).
2
Hamizan Bin Ibrahim (S-PM0299/15)PLG 521-Pengekalan Inovasi Kurikulum
Elemen seterusnya ialah pentadbiran dan pengurusan. Selain dari bidang
pembelajaran dan pengajaran, semua guru perlu dilatih untuk menjadi pengurus yang
berwibawa. Ilmu pengurusan dan pentadbiran amat berguna bagi seseorang guru untuk
mengembangkan karier keperingkat yang lebih tinggi dan menggalas tugas sebagai
pentadbir di sekolah iaitu pengetua atau guru besar, Pegawai di Pejabat Pendidikan Daerah
atau Pegawai Jabatan Pendidikan Negeri seterusnya pentadbir di Kementerian Pendidikan
Malaysia.
Elemen penyuburan diri juga merupakan suatu elemen yang penting. Guru-guru
perlu dilatih untuk menguasai kemahiran-kemahiran generik secara berterusan agar
personaliti mereka dapat dipupuk untuk menjadi individu yang berkebolehan dalam semua
bidang. Antara aspek dalam kategori ini, termasuklah semangat patriotisme, perpaduan,
pengurusan stress, kecerdasan pelbagai dan pembangunan personaliti kendiri. Elemen
terakhir ialah elemen keagamaan dan moral. Aspek ini perlu dibimbing supaya guru-guru
berakhlak, bernilai dan bermoral. Seseorang guru perlu memiliki akhlak dan moral yang
tinggi kerana mereka merupakan “role model” kepada murid dan masyarakat sekeliling.
Adalah amat penting bagi seseorang guru memelihara akhlak dan moral agar tahap
profesionalisme mereka terpelihara.
Disertakan juga di sini berkenaan kandungan Akredetasi dan Pelesenan Guru:
Seksyen 104-114 Akta Pendidikan 1996 menetapkan perkara-perkara yang berkaitan
pendaftaran dan pelesenan guru. Berdasarkan akta tersebut, guru perlu mengikuti kursus
ikhtisas bagi melayakkan mereka memperoleh lesen mengajar dari satu peringkat ke
peringkat yang lain. Bagi guru-guru permulaan yang baru ditempatkan di sekolah, mereka
wajib mengikuti program induksi sebelum memperoleh lesen mengajar. Tempoh sah laku
bagi satu-satu sijil pentauliahan ialah selama 5 tahun. Syarat untuk mendapatkan lesen
mengajar untuk kali pertama dan seterusnya perlu memenuhi kriteria-kriteria berikut:
a). Boleh mengajar dengan baik ( hasil daripada pencerapan di bilik darjah );
b). Tahap keberhasilan murid ( berdasarkan kepada keputusan ujian dan
peperiksaan murid );
c). Kualiti portfolio;
d). Bebas daripada sebarang tindakan tatatertib dan;
e). Mempunyai hubungan yang baik dengan kalangan pentadbir, rakan sejawat dan
murid.
3
Hamizan Bin Ibrahim (S-PM0299/15)PLG 521-Pengekalan Inovasi Kurikulum
Bahagian III Seksyen 10 Akta Pendidikan 1996 memperuntukkan Majlis Penasihat
Pendidikan Kebangsaan yang berfungsi menasihati Menteri Pelajaran berhubung apa-apa
perkara yang berkaitan dengan pendidikan. Bahagian IX PENDAFTARAN GURU (Bab 1),
menetapkan perkara-perkara yang termasuk dalam pendaftaran guru. Seksyen 103
menetapkan bahawa “……tiada seorang pun boleh mengajar di sesuatu institusi pendidikan
melainkan jika dia telah didaftarkan sebagai guru di bawah Akta Pendidikan 1996”. Seksyen
104 – 113 menetapkan prosedur berkaitan pendaftaran guru. Bahagian IX Bab 2 Seksyen
114 pula menetapkan perkara-perkara berkaitan permit mengajar guru. Justeru,
penguatkasaan undang-undang di bawah Akta Pendidikan 1996 perlu diperhalusi supaya
guru yang mengajar adalah telah mengajar mengikut kehendak Akta.
Berikut merupakan sorotan laporan akhbar berkenaan tajuk lesen perguruan:
Syarat Mengajar bagi Pelihara Integriti Profesion
KOTA BHARU: Kementerian Pelajaran menimbang untuk mensyaratkan guru memiliki lesen
perguruan, seperti doktor, peguam dan akauntan, bagi memelihara integriti profesion itu
serta menjadikan sistem pendidikan negara bertaraf dunia. Timbalan Menterinya, berkata
lesen perguruan itu telah dilaksanakan di Kanada dan sudah tiba masanya Malaysia
menimbangkannya secara serius.
“Isu integriti menjadi perhatian kementerian saya dan perlu dicari satu kaedah bagaimana
hendak mengekalkan integriti perguruan. Oleh itu, ada cadangan kita kaji atau lihat sama
ada guru perlu ada lesen perguruan seperti doktor, peguam atau akauntan”.
"Mereka perlu ada lesen, kalau langgar peraturan profesion mereka, lesen berkenaan akan
ditarik balik dan tidak boleh membuat amalan pekerjaan itu,” katanya semalam.
Timbalan Menteri berkata demikian ketika mengulas kes seorang guru mencabul lima murid
perempuan berusia antara 11 hingga 12 tahun di Sibu, Sarawak, ketika isterinya sedang
menunggu waktu melahirkan anak sulung mereka. Perbuatan guru berusia 32 tahun itu
dikatakan bermula Mac lalu, tetapi semua mangsa termasuk seorang murid Tahun Enam
yang juga adik iparnya, hanya membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Sibu, Rabu
lalu.
Timbalan Menteri berkata, kementerian memandang serius kejadian seumpama itu kerana
sekiranya integriti guru tercemar, masyarakat akan hilang kepercayaan kepada guru.
Beliau bagaimanapun berkata, cadangan memperkenalkan lesen perguruan masih di
peringkat awal dan belum dikemukakan ke Kabinet. “Kajian juga belum dibuat kerana benda
ini bukan mudah, ia membabitkan 390,000 guru di negara ini. Namun, kementerian sedang
berusaha untuk menerokainya demi menjaga kepentingan profesion perguruan,” katanya.
[sumber: adaptasi Berita Harian Online. 22 Mei, 2010]
4
Hamizan Bin Ibrahim (S-PM0299/15)PLG 521-Pengekalan Inovasi Kurikulum
Cadangan untuk guru mempunyai lesen mengajar tidak dilaksanakan sehingga kini.
Pada pendapat saya, lesen perguruan tidak perlu dilaksanakan seperti cadangan menteri
terbabit. Ini kerana, seseorang guru telah mengikuti pengajian pendidikan sama ada di
universiti atau di institut-institut perguruan sebelum memulakan kerjaya sebagai seorang
pendidik. Di samping itu, guru-guru juga didedahkan kepada kursus dalam perkhidmatan
yang pelbagai. Maka, pada pandangan saya, lesen mengajar telah para guru perolehi dalam
bentuk latihan secara professional dan intensif sejak zaman dahulu lagi. Para guru sentiasa
peka dan bersedia dengan perubahan-perubahan kurikulum yang sentiasa berubah
mengikut peredaran masa. Seorang guru yang telah menyertai dunia pendidikan merupakan
seorang guru yang telah dilatih untuk mengajar. Mereka telah dipersiapkan dengan segala
ilmu pengajaran dan pembelajaran yang sepatutnya. Maka, tahap profesionalisme
seseorang guru adalah sudah memadai untuk mereka bergelar seorang pendidik yang
berwibawa.
Lesen guru sebagaimana yang telah dicadangkan, hanya akan menambahkan
bebanan tugas seseorang guru. Tekanan kerja akan bertambah dan fokus utama guru untuk
mengajar juga pasti terganggu. Oleh itu, sekali lagi, pendapat peribadi saya cukuplah
sekadar takrifan lesen guru ini adalah dalam bentuk profesionalime seseorang guru itu
sendiri. Itu sudah melebihi memadai. Akhir kata, saya berharap agar semua guru di
Malaysia atau di mana sahaja dapat mempersiapkan diri dengan ilmu keguruan dan
mencintai profesion perguruan dengan sesungguhnya. Ianya pasti akan memberikan
kepuasan dan keberkatan dalam kehidupan di dunia dan di akhirat.
5
Hamizan Bin Ibrahim (S-PM0299/15)PLG 521-Pengekalan Inovasi Kurikulum
RUJUKAN.
Mok, Song Sang. 2011. Pendidikan di Malaysia Untuk Diploma Perguruan. Kuala Lumpur:
Kumpulan Budiman.
Mok, Song Sang. 2008. Psikologi Pendidikan. Ipoh: CIPTA Printing & Publishing (M) Sdn.
Bhd.
Maszura Bt A. Ghani. 2014. Guru dan Cabaran Semasa. Kuala Lumpur: Freemind Horizons
Sdn. Bhd.
Noriati A. Rashid. 2014. Falsafah dan Pendidikan di Malaysia. Shah Alam: Oxford Fajar Sdn.
Bhd.
Abd. Rahman Daud. 2014. Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri (BTPN): Ke Arah
memartabatkan Profesion Perguruan. Universiti Pendidikan sultan Idris.
Noriati A. Rashid. 2010. Asas Kepimpinan dan Perkembangan Profesional Guru. Kuala
Lumpur: Oxford Fajar Sdn. Bhd.
Donatus Justin. 2013. Etika Profesion Keguruan. Rujukan Ilmiah. IPG Kampus Keningau.
6