Download - KKP Matematik pemulihan asas
1.0 Pengenalan
Dalam konteks proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) seharian, program pemulihan
matematik sering dijalankan untuk membantu murid-murid yang mengalami kesukaran untuk
menguasai kemahiran-kemahiran tertentu dalam ilmu pengiraan atau matematik. Selalunya
kemahiran pengiraan yang terlibat ialah kemahiran asas dalam matematik.
Matematik merupakan mata pelajaran yang amat penting dalam sistem persekolahan
di negara ini. Ianya bermula di peringkat sekolah rendah, menengah rendah dan menengah
atas. Murid-murid perlu menguasai cara dan teknik yang terdapat dalam proses pengiraan
untuk mendalami bidang ilmu matematik. Konsepnya di sini, murid hendaklah berkebolehan
dalam menentukan cara berfikir, membuat kajian pola, kajian perhubungan dan menguasai
‘seni’ pengiraan itu sendiri kerana matematik mempunyai ‘bahasa’nya tersendiri. Kegagalan
murid memahami ‘bahasa’ matematik ini seringkali dikenalpasti sebagai masalah utama
murid-murid menguasai matematik di peringkat persekolahan.
Program pemulihan matematik pula adalah merujuk kepada satu set tindakan yang
diambil untuk mengatasi masalah pembelajaran murid-murid yang lemah dalam bahagian-
bahagian tertentu mata pelajaran matematik di sekolah. Kebanyakan masalah yang ditemui
adalah berkaitan dengan kemahiran-kemahiran asas seperti nombor, operasi tambah,
operasi tolak, operasi darab dan operasi bahagi.
Masalah pembelajaran matematik berbeza bagi setiap murid kerana mereka
mempunyai keupayaan yang berbeza. Keupayaan di sini boleh mewakili dari aspek
pengetahuan sedia ada murid, kebolehan murid mengaplikasi pengetahuan sedia ada
dengan sesuatu yang baru dan tahap kemahiran yang telah dikuasai untuk menyelesaikan
masalah matematik. Sebenarnya, proses kognitif dan pengetahuan murid sentiasa
berkembang, maka untuk mengukuhkan lagi penguasaan matematik mereka seseorang
guru perlulah menggunakan kaedah dan strategi yang berkesan dalam proses P&P
seharian. Seseorang murid itu biasanya akan memerlukan masa yang agak panjang untuk
menguasai sesuatu kemahiran.
2.0 Esei:
Masalah pertama ialah guru tidak berminat dalam dunia pendidikan pemulihan Matematik.
Hal ini mungkin kerana guru terpaksa mengajar di kelas pemulihan. Menurut Kementerian
Pelajaran akan menambah bilangan guru pemulihan di sekolah rendah daripada seorang
bagi setiap sekolah ketika ini kepada nisbah 1:15 berbanding murid pada tahun ini. Timbalan
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ia bagi membolehkan lebih tumpuan
kepada murid yang lemah dalam membaca, menulis dan mengira (3M) (Utusan Malaysia,
2010). Maka, untuk menampung kekurangan guru untuk sementara waktu, guru biasa telah
dipilih untuk menggantikan guru pemulihan tersebut. Rentetan itu, guru menjadi tidak
prihatin dengan masalah pembelajaran Matematik murid pemulihan. Guru itu akan mengajar
sambil lewa kerana berasa bahawa mengajar mata pelajaran Matematik murid pemulihan
adalah sesuatu yang membosankan. Hal ini kerana murid pemulihan ialah mereka yang
menghadapi masalah pembelajaran dalam kemahiran-kemahiran tertentu, bersifat negatif
terhadap pembelajaran dan mempunyai tingkah laku yang menjejaskan pembelajaran serta
kurang sikap keyakinan diri dan sikap positif terhadap pembelajaran (Pusat Perkembangan
Kurikulum, 1984).
Masalah yang kedua ialah guru pemulihan tidak menjalankan ujian diagnostik
Matematik. Ujian diagnostik merupakan ujian yang terpenting dalam Program Pendidikan
Pemulihan (Buku Panduan Pemulihan, 1999). Ujian ini dapat membantu guru mengenalpasti
dareah kelemahan murid dalam menguasai 3M (membaca, menulis dan mengira.) sekiranya
guru tidak menjalankan ujian diagnostik ini, guru tidak dapat merancang proses pengajaran
dan pembelajaran dengan betul dan sesuai dengan murid. Hal ini boleh melambatkan
pembelajaran dan penguasaan Matematik murid pemulihan dan menyebabkan murid
pemulihan jauh ketinggalan.
Seterusnya, punca masalah kepada pembelajaran dan penguasaan Matematik
dalam pendidikan Pemulihan Khas ialah penggunaan kaedah dan strategi pengajaran yang
kurang sesuai seperti tidak berperingkat-peringkat. Semua teknik atau kaedah adalah baik
dan sesuai selagi mana ianya dapat membantu pelajar mencapai objektif yang digariskan
( Shaharir, 1984). Walau bagaimanapun, guru tersebut tidak menggunakan Buku Panduan
yang mana mempunyai sukatan pembelajaran Matematik Pemulihan sebagai rujukan.
Merujuk kepada sukatan tersebut, tajuk pertama yang perlu diketahui oleh murid pemulihan
ialah Pranombor, kemudian barulah mengenal Konsep Angka (banyak, sedikit, lebih,
kurang) seterusnya tajuk Mengenal Nombor. Sekiranya murid sudah menguasai tajuk-tajuk
atas, guru boleh meneruskan pembelajaran iaitu Operasi Tambah, Operasi Tolak dan lain-
lain lagi.
Tidak hanya setakat itu sahaja, masalah yang menjadi penghalang kepada
kelancaran pembelajaran matematik dalam kelas Pemulihan ialah guru tidak memberi
tumpuan kepada murid yang memerlukan proses pengajaran dan pembelajaran (P&P)
secara individu. Mengikut Surat Pekeliling Bahagian Sekolah-Sekolah Kementerian
Pelajaran Malaysia, Bil. K.P.(BS) 867/Jld.II.32 bertarikh 22 Januari 1985 - “Guru Khas
Pendidikan Pemulihan”, jumlah murid pemulihan adalah seramai 15 orang dalam satu-satu
masa. Namun begitu, ada juga sesetengah guru yang tidak dapat melaksanakan P&P
individu. Melaksanakan proses pengajaran kepada kumpulan murid yang belum bersedia
dari segi mental dan fizikal, akan menyebabkan kesukaran dan pembaziran masa
(D'Augustine, 1973). Terdapat beberapa perkara yang menjadi penyebab kepada
permasalahan ini iaitu bahan bantu mengajar tidak mencukupi dan tidak sesuai.
Kebanyakan bahan bantu mengajar yang telah diberikan oleh Kementerian Pelajaran
biasanya tidak mencukupi bahkan ada sesetengah sekolah yang tidak menerima bantuan
tersebut.
Sebelum merancang strategi pengajaran untuk membantu masalah murid pemulihan
dalam mata pelajaran Matematik, seorang guru harus menjalankan ujian saringan. Melalui,
ujian saringan tersebut guru dapat mengenal pasti murid-murid yang menghadapi masalah
dalam mata pelajaran Matematik. Selepas itu, guru pemulihan harus melaksanakan ujian
diagnostik Matematik kepada murid-murid tersebut. Ujian diagnostik dijalankan untuk
mengesan daerah-daerah kelemahan murid secara spesifik. Setelah itu, seorang seorang
guru boleh merancang strategi khas.
Strategi yang pertama adalah guru boleh gunakan adalah kaedah Model Polya.
Penggunaan strategi kaedah Model Polya dapat membantu murid-murid pemulihan untuk
menyelesaikan masalah Matematik. Terdapat empat langkah dalam Model Polya
ini. Antaranya adalah memahami dan mentafsir sesuatu masalah, merancang strategi
penyelesaian, melaksanakan strategi penyelesaian dan menyemak semula penyelesaian.
Langkah pertama iaitu memahami dan mentafsir sesuatu masalah. Pada peringkat ini, murid
dibimbing untuk terlibat secara aktif berkaitan dengan aktiviti atau masalah yang diberikan.
Dalam fasa ini murid diminta memberi fokus kepada bahagian yang penting, mengenal pasti
kata kunci, menerangkan masalah dengan perkataan sendiri, mengaitkan dengan masalah
lain yang serupa dengan melukis gambar rajah, mengemukakan beberapa soalan,
memahami item-item yang terlibat dalam masalah sesuatu soalan dan mengaitkan item-
item yang dikenal pasti dan item yang hendak dicari atau dijawab dan pada akhir fasa ini
murid diminta membuat model.
Langkah kedua adalah merancang strategi penyelesaian. Setelah murid memahami
soalan, guru membimbing murid untuk merancang strategi penyelesaian yang sesuai
dengan permasalahan yang diberi. Antara strategi penyelesaian mengikut polya adalah
membuat simulasi, melukis gambar rajah, membuat carta, mengenal pasti pola, cuba jaya,
menggunakan anologi, teka dan uji, membina model, menggunakan gambar rajah, bina
jadual, kerja secara songsang dan pelbagai strategi digunakan. Langkah ketiga adalah
melaksanakan strategi penyelesaian. Setelah memilih strategi yang sesuai. Murid
diminta melaksanakan strategi untuk menyelesaikan masalah. Dalam hal ini, murid
hendaklah menghuraikan langkah-langkah penyelesaiannya secara bersistematik untuk
mendapat jawapan yang betul, iaitu dengan cara menterjemahkan maklumat yang diberi ke
dalam bentuk matematik, menggunakan strategi yang dirancang, menjalankan semua
proses dan pengiraan yang terlibat dan menyemak setiap langkah strategi yang digunakan.
Langkah terakhir adalah menyemak semula penyelesaian. Menyemak semula
penyelesaian tersebut untuk menentukan sama ada jawapannya munasabah atau tidak. Di
samping itu, pelajar boleh mencari cara penyelesaian yang lain atau membuat andaian serta
membuat jangkaan lanjut kepada masalah tersebut. Semasa menyemak semula jawapan
beberapa perkara perlu diberi perhatian. Antaranya adalah semak semula maklumat penting
yang telah dikenal pasti, semak pengiraan, pertimbangkan penyelesaian yang logik dan
akhirnya adalah baca semula soalan dan tanya diri sendiri sama ada kita benar-benar telah
menjawab soalan atau tidak. Ini merupakan satu strategi yang guru boleh gunakan bagi
murid-murid pemulihan yang menghadapi masalah dalam penyelesaian masalah
matematik.
Strategi yang seterusnya adalah, kaedah pembelajaran koperatif.Pembelajaran
koperatif merujuk kepada kaedah pengajaran yang memerlukan murid dari pelbagai
kebolehan bekerjasama dalam kumpulan kecil untuk mencapai satu matlamat yang sama
(Slavin, 1982). Sasaran adalah tahap pembelajaran yang maksimum bukan sahaja untuk diri
sendiri, tetapi juga untuk rakan-rakan yang lain. Lima unsur asas dalam pembelajaran
koperatif adalah saling bergantung antara satu sama lain secara positif, saling berinteraksi
secara bersemuka, akauntabiliti individu atas pembelajaran diri sendiri, pemprosesan
kumpulan. Ganjaran diberi kepada individu dan kumpulan dalam pelaksanaan kaedah ini.
Individu dalam kumpulan dikehendaki menunjukkan kefahaman masing-masing dan
memainkan peranan berbeza bergilir-gilir.
Kemahiran sosial dan pemprosesan kumpulan digalakkan. Beberapa cara
pembelajaran koperatif telah diperkembangkan oleh tokoh-tokoh pendidikan, misalnya
Jigsaw, TGT (teams-games-tournaments), STAD (Students Teams- Achievement Division),
Belajar Bersama (Learning together), Permainan Panggil Nombor (Numbered Heads), dan
Meja Bulat (Round Table). Pembelajaran koperatif menggalakkan murid berinteraksi secara
aktif dan positif dalam kumpulan. Ini membolehkan perkongsian idea dan pemeriksaan idea
sendiri dalam suasana yang tidak terancam, sesuai dengan falsafah konstruktivisme.
Pembelajaran koperatif ini sesuai dijalankan dalam kelas pendidikan pemulihan. Apabila
murid-murid daripada pelbagai tahap dalam suatu kumpulan mereka dapat membantu dan
membimbing murid yang kurang mahir ini disebabkan terdapat beberapa murid pemulihan
tidak suka semasa guru mengajar dan kurang faham jika kita menggunakan kaedah ini kita
dapat menyelesaikan masalah mereka.
Kaeda konstektual salah satu strategi yang berkait rapat dengan pengajaran matematik.
Pembelajaran berkait rapat dengan kehidupan sebenar mereka. Ia lebih kepada
pengalaman sebenar murid pengajaran perlu menggunakan bahan-bahan yang konkrit. Jika
kita menggunakan strategi ini murid akan mudah memproses maklumat dengan cara yang
tersendiri. Murid pemulihan sering menghadapi masalah dalam menguasai konsep
matematik terutamanya operasi asas iaitu tambah, tolak, darab dan bahagi. Contohnya, bagi
mengajar konsep tambah guru boleh menggunakan bahan-bahan maujud seperti batang
aiskrim, pensil, guli, manik, batu dan juga bahan-bahan yang bersesuaian dengan murid.
Apabila menunjukkan bahan-bahan maujud semasa pengiraan tambah mereka lebih faham
daripada menunjukkan ayat matematik.
Tambahan lagi, kita juga boleh gunakan kaedah pembelajaran Masteri. Suatu
pendekatan pengajaran dan pembelajaran bagi memastikan semua murid menguasai hasil
pembelajaran yang dihasratkan dalam suatu unit pembelajaran sebelum berpindah ke unit
pembelajaran seterusnya. Pendekatan ini memerlukan peruntukan masa yang mencukupi
dan proses pengajaran dan pembelajaran yang berkualiti. Dalam kaedah ini hasil
pembelajaran perlu ditentukan dan mengikut hierarki atau unit pembelajaran. Aktiviti
pengajaran dan pembelajaran yang dirancang perlulah bermakna, berkesan, menarik dan
menyeronokkan.
Penilaian dibuat berdasarkan Ujian Rujukan Kriteria dan hanya murid yang berjaya
menguasai 80 peratus aras masteri akan berpindah mempelajari unit pembelajaran baru.
Bagi murid yang gagal menguasai aras masteri akan diberi pemulihan dan yang berjaya
akan melakukan aktiviti pengayaan. Penggunaan kaedah ini di dalam perancangan
pengajaran perlu mengetahui prinsip-prinsip pembelajaran masteri iaitu murid normal boleh
mempelajari apa yang diajar oleh guru. Pembelajaran perlulah dipecahkan kepada unit kecil
supaya mudah dikuasai. Di samping itu murid memerlukan masa yang mencukupi untuk
menguasai sesuatu hasil pembelajaran yang telah ditentukan. Arahan guru juga perlu jelas
bagi setiap unit pembelajaran. Ini merupakan satu kaedah yang perlu diambil kira oleh
setiap guru pemulihan. Contohnya, selepas mengajar satu operasi matematik guru
harus membuat ujian supaya dapat mengetahui bahawa murid tersebut sudah menguasai
operasi tersebut. Jika murid tersebut tidak menguasai operasi tersebut guru harus
menjalankan pemulihan sekali lagi sampai murid tersebut memahami operasi tersebut. Ini
dapat membantu murid pemulihan untuk menguasai konsep operasi asas Matematik.
Kita juga boleh gunakan strategi melukis gambar rajah untuk mengajar Matematik.
Minda murid pemulihan akan menyerap sesuatu jika kita menggunakan gambar rajah untuk
mengajar sesuatu. Begitu juga dengan Matematik. Contohnya untuk mengajar 9+3 guru
boleh melukis gambar rajah buah oren, guli, bola untuk mewakili bilangan tersebut dan
mengajar soalan tersebut dengan membilang gambar yang dilukisnya dan murid dengan
mudahnya dapat menjawab soalan tersebut. Bagi kuantiti kecil yang berbentuk diskrit,
maklumat boleh diwakilkan dengan menggunakan bentuk-bentuk mudah seperti bulatan dan
segi empat.
Lebih-lebih lagi, kita juga boleh gunakan strategi pengajaran secara individu.
Pengajaran secara individu ini dilakukan semasa pelajar – pelajar sedang membuat latihan
bertulis dalam kelas ataupun semasa mereka menjalankan aktiviti kumpulan. Guru dapat
mengenal pasti pelajar yang bermasalah dalam kerja kumpulanya dan mengajarnya secara
perseorangan. Melalui cara ini pelajar dapat dibantu untuk mengatasi kelemahanya bagi
mencapai peringkat yang setara dengan pelajar - pelajar yang lain.
Strategi yang terakhir adalah permainan dan teka – teki matematik.Aktiviti permainan
dan teka – teki matematik adalah aktiviti pembelajaran yang memerlukan proses analisis,
sentesis dan penilaian.(Mok Song Sang.1993). Kepada pelajar pemulihan aktiviti ini menjadi
berguna dan bermakna kerana mereka melibatkan diri secara langsung dalam aktiviti
permainan tersebut. Antara permainan yang menggunakan kemahiran proses adalah seperti
petak ajaib, permainan dan kuiz matematik, corak dan teselesi dan tangram. Dari segi
aspek permainan guru juga boleh mengadakan permainan stesen. Guru boleh mengadalkan
permainan stesen setelah mengajar satu topik dalam Matematik. Guru boleh menyediakan
beberapa stesen mengikut keperluan murid. Apabila guru mengadakan permainan stesen
murid akan melibatkan diri secara aktif dan disamping guru boleh memasukkan hasil
pembelajaran yang hendak dicapai oleh murid tersebut. Jika seorang guru menggunakan
strategi sebegini mengikut masalah murid pemulihan dalam Matematik sudah pasti seorang
guru dapat mengatasi masalah murid pemulihan dan menghantar murid tersebut ke kelas
perdana untuk teruskan pelajaran.
KESIMPULAN
Program pemulihan matematik adalah program yang bersifat berterusan. Semasa
berlakunya P&P seseorang guru dan murid yang berkenaan perlu sentiasa bersedia untuk
melaksanakan program seumpama ini. Keupayaan pembelajaran matematik di kalangan
murid-murid di dalam bilik darjah adalah berbeza. Pasti akan ada murid-murid yang lemah
yang memerlukan program seperti ini. Oleh itu guru perlu bersiap sedia dengan program-
program pemulihan yang disediakan mengikut topik-topik dalam matapelajaran matematik.
Ini membolehkan guru dengan cepat membantu murid yang bermasalah dalam
pembelajaran. Sekiranya persediaan tidak dibuat, ia akan mengganggu proses P&P kelas
harian.
Ibubapa murid yang terlibat juga perlu mengetahui dan peka terhadap masalah
pembelajaran anak-anak mereka. Kejadian salah faham di antara ibubapa dan guru sudah
tentu dapat diatasi jika sekiranya ibubapa mengetahui tahap pembelajaran anak-anak
mereka. Biasanya, ada ibubapa yang tidak dapat menerima hakikat akan hasil kerja anak-
anak mereka dan mula menuding jari kepada guru berkenaan. Sekiranya, ibubapa
memahami situasi sebenar, aktiviti-aktiviti pemulihan ini dapat berjalan dengan lancar.
Selain itu ibubapa juga mengambil tindakan yang proaktif seperti menghantar anak-anak
mereka ke kelas tambahan dan sebagainya.
Keberkesanan program-program pemulihan yang sedia ada hendaklah dibuat kajian
dari semasa ke semasa. Maksudnya, program ini dilaksanakan dengan bertanggungjawab
supaya hasilnya mencerminkan impak yang sebenar-benarnya. Jika impaknya tidak
memuaskan maka beberapa kajian tindakan perlu dibuat iaitu untuk mencari kaedah-kaedah
lain yang lebih baik atau formula yang sedia ada dimurnikan lagi. Pihak Guru Pemulihan
Khas perlu sentiasa berkomunikasi dengan rakan-rakan yang lain di internet melalui forum,
blog dan sebagainya untuk berkongsi pengalaman dan menambah pengetahuan tentang
program-program yang dijalankan di sekolah-sekolah lain. Segala dokumen, hasil kerja
murid dan lain-lain yang terlibat dalam program pemulihan perlu didokumentasikan supaya
ia akan menjadi bahan rujukan yang berguna dan akan bermanfaat pada masa akan
datang.