Download - Assgmnt tokoh sastera
1.0 PENGENALAN
Hashim Awang (1987) mengatakan kesusasteraan itu adalah "Ciptan seni yang
disampaikan melalui bahasa. Ia mungkin dituturkan iaitu disebut sastera lisan dan yang ditulis
disebut sastera tulisan. Di samping itu, sastera pula memiliki keindahan dalam aspek-aspek isi
atau daya pengucapannya.
Ali Ahmad (1994) menyusur lebih jauh ke dalam makna kesusasteraan dengan mengupas
asal-usul kata sastera. Menurutnya "sastera berasal daripada bahasa Sanskrita castra, yang
disebut syastra, yang bererti kitab suci. Susastera memberi erti seni sastera atau seni bahasa, dan
secara umumnya dimaksudkan persuratan. Tambahan ke di awal dan an di akhir kata susastera
menyimpulkan maksud yang terdekat, iaitu kesenian persuratan yang bersifat halus dan indah.
Seterusnya Hashim Awang et. al menghuraikan lagi maksud kata kesusasteraan dan
menemui puncanya adalah daripada kata susastera. Kata susastera itu dipecahkan kepada dua
bahagian iaitu su dan sastera.
Jais Sahok (2012), dalam temubual menyatakan sastera juga membantu pembaca untuk
menawarkan kerangka berfikir bagi mereka untuk memahami dunia karya sastera. Dunia karya
sastera itu sasterawan dan latar belakangnya serta kepengarangannya. Jika kita sebagai pembaca
ingin memahami dan menikmati karya, pemahaman kita akan kian baik apabila disertakan
dengan pemahaman terhadap diri pengarang dan kepengarangan mereka. Apabila kita telah
mengenali sasterawan itu, kita juga akan dapat memahami karya sastera mereka dengan lebih
baik. Karya sastera merupakan kehidupan kreatif seseorang pengarang, dan mengungkapkan
keperibadian pengarangnya.
Karya sastera itu juga ditentukan oleh kemampuan seseorang pengarang itu sendiri, yakni
daya kespontanan, kekuatan emosi, keaslian, daya perenung, kedalaman nilai kehidupan dan
keharmoniannya. Hal-hal seperti demikian kata Jais, menyebabkan pentingnya peranan
sasterawan dalam kajian sastera. Sastera dilahirkan hasil daripada rangsangan manusia untuk
mengungkapkan diri tentang manusia, kemanusiaan dan alam semesta. Sastera juga adalah
pengungkapan permasalahan hidup dan kehidupan, filsafat dan ilmu jiwa. Maka, sasterawan
boleh dikatakan sebagai ahli ilmu jiwa dan filsafat yang mengungkapkan masalah hidup dan
1
kehidupan, kejiwaan dan filsafat, bukan dengan cara teknik akademik, melainkan melalui tulisan
sastera.
Karya sastera merupakan sebahagian daripada seni, sedangkan seni merupakan
sebahagian daripada kebudayaan. Oleh yang demikian dapat ditafsirkan bahawa karya sastera
nerupakan suatu produk daripada kebudayaan. Karya sastera dapat memberikan khazanah ilmu
pengetahuan yang beraneka ragam kerana karya sastera merupakan cerminan daripada kenyataan
dan kebudayaan sesuatu bangsa. Sebagai karya seni yang mengandungi budi, imaginasi dan
emosi, sastera juga sebagai karya kreatif dimanfaatkan sebagai konsumsi intelektual dan jelas
emosinya.
Maknanya, sastera yang dilahirkan oleh sasterawan diharapkan dapat memberi kepuasan
estetik dan intelektual kepada pembaca. Sesesuah karya sastera harus mampu dinikmati dan
dimengerti sepenuhnya oleh sekelompok pembaca, Karya sastera itu adalah saling mendukung,
dan untuk memastikan sesuatu karya itu dapat dinilai dan diaplikasikan, maka hendaklah sesuai
dengan inti pati karya sastera berkenaan. Dengan pendapat itu, tidak dapat dinafikan bahawa
hasil karya sastera akan dapat meningkatkan dan memartabatkan lagi keterampilan berbahasa
Melayu dalam kalangan pembaca dan di kalangan karyawan itu sendiri dapat mengangkat
peradaban bangsa melalui hasil penulisan.
Bagi Jais Sahok, dalam menentukan struktur sesebuah karya sastera bukanlah suatu yang
mudah, melainkan kerja yang rumit dan berbelit kerana sebagai seorang penulis harus
berhadapan dengan falsafah serta lingkungan hidup seorang pengarangnya. Dalam melihat
pandangan hidupnya dan melihat karya sasteranya serta mengetahui lingkungan hidupnya, maka
pembaca akan mengenali simbol-simbol yang digunakan dalam karya sasteranya.
Selain itu, karya sastera mampu mengiktiraf bakat tokoh yang mengamalkan dan
menggiatkan sastera sehingga tersebar luas. Tokoh yang dipilih dalam kajian ini iaitu Jais Sahok
juga merupakan tokoh yang prolifik dalam bidang penulisan, juga berdasarkan sumbangan
beliau dalam dunia akademik kerana beliau seorang pendidik yang mempunyai jiwa keguruan
yang sangat kental.
2
1.1 Objektif Kajian Tokoh Sastera
Kajian tokoh sastera ini dibuat secara individu oleh saya sendiri. Hasil daripada
perbincangan awal pengkaji dan tokoh, serta setelah membuat pertimbangan berkenaan dengan
personaliti, aspirasi, latar belakang keluarga, pendidikan, dan pemikiran beberapa orang tokoh ,
saya akhirnya memilih tokoh Jais Sahok sebagai tokoh sastera yang dikaji. Walaupun bukan
sedikit kajian seumpama ini telah dilakukan oleh pihak- pihak lain, tetapi penulis sekurang-
kurangnya ingin cuba memperkayakan lagi bahan-bahan yang ada dan mempersembahkannya
dalam bentuk yang lebih menarik hasil daripada pembacaan dan pemerhatian saya ke atas
sumber-sumber lain seperti buku-buku ilmiah, internet, serta memberi pendapat dan pemerhatian
secara terus. Kajian tokoh sastera ini penulis anggap sebagai pendedahan awal untuk
mengetahui tentang aspek-aspek kajian ilmiah seperti format yang betul, teknik rujukan,
penggunaan sumber ilmu dengan sistematik, dan perancangan yang betul untuk memastikan
kajian ini siap seperti waktu yang dijadualkan.
Sebelum memulakan kajian, sasaran telah dibuat untuk objektif yang berupa matlamat
yang ingin dicapai sepanjang kajian kursus ini berjalan dan meletakkan sasaran akhir yang
diperolehi setelah kajian ini selesai . Adalah penting bagi untuk memahami dengan sepenuh hati
apa yang diperlukan dalam kajian ini agar dapat memaksimumkan manfaat dan ketinggian
kualiti yang diperoleh nanti. Kajian Tokoh Sastera ini mempunyai dua objektif utama iaitu:
1.1.1 Memperoleh Maklumat Ketokohan Jais Sahok
Kajian terhadap tokoh dibuat dengan memberi penekanan kepada latar, sumbangan, dan
kepentingan tokoh-tokoh sastera Melayu dalam dunia penulisan khususnya. Tokoh sastera yang
dipilih berasal dari Sarawak iaitu Jais Sahok seorang guru yang berkaliber dan juga seorang
penulis yang sangat dikenali di rantau ini. Kajian tokoh sastera Jais Sahok membawa kepada
kajian terhadap pengenalan umum objektif, kaedah penyediaan portfolio, kemanafaatan kajian,
kejayaan dan sumbangan sama ada kepada diri sendiri, dalam memartabatkan bahasa dan
kesusateraan , masyarakat dan negara. Maka untuk mengetahui latar belakang dan sumbangan
seseorang tokoh, suatu kajian secara ilmiah perlu dibuat untuk menuju ke arah itu. Oleh itu saya
menetapkan standard yang tinggi bagi memastikan kajian yang terhasil adalah kajian yang
berkualiti dan mempunyai nilai keilmuannya yang tersendiri.
3
1.1.2 Menghuraikan sumbangan tokoh Jais Sahok
Melihat kepada sumbangan beliau di dalam kesusasteraan, pengkaji berminat untuk
membuat kajian berkenaan tentang latar belakang individu yang mempunyai potensi besar di
arena penulisan seperti beliau di zaman kanak-kanak, pendidikan, keluarga, dan bagaimana
beliau akhirnya menceburi dunia penulisan. Aspek inilah yang paling penting untuk diketahui
dan seterusnya dicontohi oleh bakal penulis akan datang kerana Jais Sahok memulakan kejayaan
ini dengan duduk di bangku sekolah seperti dilalui oleh bakal penulis muda ketika ini. Bagi
tujuan penglestarian khazanah sastera Melayu, karya-karya pilihan beliau perlu menjadi hiasan
peragaan di tempat-tempat awam yang popular. Untuk meningkatkan kerjasama dalam bidang
penyelidikan, penyebaran dan pengembangan sastera dicadangkan pusat pengajian tinggi
kebudayaan dan kesusasteraan ditubuhkan di Malaysia.
1.2 Kaedah Penyediaan Portfolio
Untuk lebih mengkhususkan dan lebih memudahkan dalam kajian ini, kaedah penyediaan
portfolio ini menggunakan teknik temubual iaitu berjumpa tokoh, mengumpul dan menganalisis
dokumen daripada karya tokoh, esei kritikan orang lain, mengumpul buku-buku yang
berhubungkait dengan kajian ini.
1.2.1 Temubual Tokoh : Jais sahok
Temubual bersama tokoh iaitu Jais Sahok telah diadakan di rumah beliau di Kampung Tunku,
RPR Jalan Istana Petra Jaya Kuching pada hari Sabtu, 17 Jun 2012, jam 2.30 petang. Pertemuan
bersama empat orang pelajar yang membuat kajian ini dan berlangsung selama dua jam setengah
dalam suasana yang harmoni. Temubual berlaku dalam dua sesi iaitu sesi pertama mengenai
biodata diri beliau iaitu mengenai:
(a) Asal usul,
(b) Pendidikan,
(c) Pekerjaan dan
(d ) Kepimpinan.
4
Dalam temubual sesi kedua tokoh juga ditanya mengenai :
(a) Ilham dan Proses Berkarya,
(b) Pencapaian dan Anugerah
(c) Kesusateraan yang Diceburi serta
(d) Sumbangan beliau dalam dunia penulisan.
Gambar 1: Penulis bersama Tokoh Sastera Sarawak Jais sahok
1.2.2 Mengumpul dan Menganalisis Dokumen
Selain daripada temubual bersama tokoh, pelbagai dokumen yang dikumpul dalam kajian
ini seperti hasil karya tokoh seperti novel-novel, antologi cerpen, sajak, bengkel penulisan, esei
kritikan orang lain khususnya pengkritik sastera dan juga dokumen daripada rujukan internet
seperti blog SMK Batu Kawa serta beberapa blog sasterawan Sarawak.
5
1.3 Kemanafaatan Kajian
Mengenali tokoh sastera dari permulaan sejarahnya akan membuatkan kita sedar yang
kejayaan yang ingin dicapai adalah bermula dengan usaha yang bersungguh-sungguh dan
kegigihan yang jitu. Ini kerana tokoh ini adalah juga seperti insan biasa yang lain yang bermula
dengan ‘kosong’ dan pada akhirnya memperoleh kejayaan ‘membukit’ seperti sekarang . Sastera
dalam kehidupan masyarakat Melayu silam dapat dilihat melalui kehadiran sastera rakyat,
pepatah petitih, pantun, syair, seloka dan gurindam, tetapi kini ia semakin dipinggirkan akibat
ditelan rempuhan globalisasi yang melanda. Bagaimanapun, kepentingan sastera dalam sistem
pendidikan negara merangkumi pendedahan kepada kanak-kanak dan kebolehpasaran bidang
terbabit untuk mengembalikan nilai positif yang ada untuk dihayati oleh generasi akan datang.
Sastera kanak-kanak di negara ini berkembang pesat dari jumlah judul buku yang
diterbitkan sejak 1970-an, tetapi sebagai satu bidang pengajian atau disiplin akademik masih
belum bercambah di Malaysia. Didapati pada peringkat institusi pengajian tinggi, hanya tiga
universiti yang menawarkan kursus sastera kanak-kanak, manakala bidang penyelidikan paling
popular ialah analisis isi dan idea cerita seperti tema, plot, watak, unsur pengajaran serta nilai
murni dalam karya sastera pilihan. Perkembangan bahan bacaan kanak-kanak tidak boleh
diperkaya tanpa kajian dan penyelidikan dalam usaha mencari jalan untuk meningkatkan mutu
pengeluarannya. Kajian mengenai sastera kanak-kanak dari pelbagai aspek secara tidak langsung
dapat mengatasi kekurangan dalam penyelidikan sastera kanak-kanak di Malaysia.
Penggunaan bahan sastera dalam pengajaran bahasa dapat meningkatkan keupayaan
pelajar daripada segi penggunaan bahasa kerana karya sastera mengandungi bahasa yang indah,
tinggi dan mewah perbendaharaan kata. Karya sastera sama ada untuk kanak-kanak, remaja atau
dewasa mempunyai matlamat untuk mendidik dan membangunkan diri manusia, baik daripada
segi personaliti, pemikiran atau kebahasaan. Guru-guru mempunyai banyak pilihan dan boleh
menilai karya sastera yang sesuai dijadikan bahan pengajaran mengikut kesesuaian umur pelajar
seperti pemilihan buku teks Bahasa Malaysia Tahun Empat Sekolah Kebangsaan merangkumi
pantun, drama, syair, lagi rakyat, puisi, cerita binatang, legenda dan mitos serta tokoh.
6
Bagaimanapun, teknik yang bersesuaian dengan kebolehan pelajar perlu diutamakan.
Kepelbagaian penggunaan pendekatan dan teknik pengajaran mahupun pembelajaran sastera
dalam kurikulum Bahasa Melayu akan membantu mereka lebih mudah memahami kandungan isi
sesebuah karya sastera. Oleh itu, dalam usaha memartabatkan lagi sastera Melayu, tokoh-tokoh
sastera yang telah banyak menyumbangkan jasa kepada pembinaan dan pengembangan sastera
Melayu perlu diberi pengiktirafan yang nilainya lebih tinggi daripada nilai hadiah yang wujud
sekarang ini. Untuk menempatkan sastera Melayu di persada antarabangsa, maka karya-karya
sasterawan tempatan dan hasil kajian mengenai karya dan ketokohan mereka perlu disebarkan
secara agresif dengan kerjasama daripada pelbagai pihak.
2.0 BIODATA TOKOH: ENCIK JAIS SAHOK
Gambar 2 : Tokoh Sastera Sarawak Jais Sahok
Jais Sahok dilahirkan pada hari Jumaat tanggal 14 November 1959. Putera kepada
pasangan Sahok Jaya dan Maseri ini dilahirkan di daerah Lundu, Bahagian Kuching, Sarawak.
Beliau dan keluarganya kini tinggal di rumah bernombor 275, Lot 1890, Jalan Tan Sri Abang
Marzuki, Kampung Tunku, RPR Jalan Istana Fasa II, Petra Jaya, Kuching.
Beliau merupakan anak ketujuh daripada tujuh orang adik-beradik. Jais Sahok
memulakan alam persekolahan di Sekolah Rendah di Lundu pada tahun1966 hingga 1971.
7
Beliau melanjutkan pengajian menengah di Sekolah Menengah Rendah SMK Lundu pada tahun
1972 hingga1974. Beliau menyambung persekolahannya di Tingkatan Empat, Lima dan Enam
di SMK Dragon (sekarang dikenali SMK Tun Abdul Razak) dari tahun 1975 hingga 1978 dalam
Aliran Sains. Lulus STPM pada tahun 1978 dan kemudian mengikuti latihan perguruan di
Maktab Perguruan Batu Lintang pada tahun 1980-1981 dalam bidang Mata Pelajaran Seni
Perusahaan. Pada tahun 1985-1988, Jais melanjutkan pelajaran di Universiti Pertanian Malaysia
sehingga memperoleh Ijazah Bacelor Pendidikan Pengajaran Bahasa Malaysia Sebagai Bahasa
Pertama. Seterusnya beliau meneruskan Kursus Kreativiti Dalam Pengurusan di Institut
Aminudin Baki selama tiga bulan pada tahun 1990.
Pada tahun 1999 hingga 2001, beliau meneruskan pengajian pada peringkat Sarjana di
Universiti Putera Malaysia dan telah memperolehi Master Sains Human Resources Development:
MS HRD. Beliau sekali lagi melanjutkan pelajaran dalam SarjanaSsains Pengurusan Maklumat,
Fakulti Pengurusan Maklumat di UiTM pada tahun 2005. Kini beliau masih menyambung
pengajian di Fakulti Sains Kognitif dan Perkembangan Manusia di UNIMAS di peringkat Doktor
Falsafah.
Perkenalan dengan seorang gadis sekampungnya yang bernama Nora Morshidi,
membawa kedua-duanya ke jinjang pelamin dan diijabkabulkan sebagai suami isteri pada 15
Januari 1983. Pasangan bahagia ini telah dikurniakan tiga orang cahayamata iaitu Mohamad
Afif Izdihar, 23 tahun, cahayamata kedua Mohamad Fikri Hamiz, 21 tahun dan puteri bongsu
Fatin Aina Zawani yang berusia 16 tahun.
2.1 Pekerjaan
Tokoh yang dikaji adalah seorang guru sastera yang saat ini masih mengajar di SMK
Batu Kawa, Kuching. Beliau pernah menjadi guru sandaran di Sekolah Menengah Kebangsaan
Agama (SMKA) Sheikh Haji Othman Abdul Wahab (SHOAW), Jalan Kuching-Matang selama
satu tahun pada 1 Januari 1979. Beliau mengajarkan mata pelajaran Sains Paduan, Matematik
dan Geografi (Tingkatan 1). Setelah mengganggur selama tiga tahun , pada 4 Januari 1982
beliau menjadi guru terlatih kategori C 2 di SMK Datuk Patinggi Hj Abdul Gapor, Stampin,
Kuching sehingga Jun 1985. Pada masa itu beliau mengajarkan mata pelajaran Seni Perusahaan
8
(Tingkatan 1-3) dan Geografi (Tingkatan 1-5). Beliau menyambung pelajaran ke peringkat
ijazah dan pada 1 Januari 1989 beliau menjadi guru terlatih berijazah (BP PBMP UPM)
selama 11 bulan di SMK Datuk Patinggi Hj Abdul Gapor, Stampin. Beliau telah ditugaskan
mengajar mata pelajaran Pengajian Am (Tingkatan 6 Rendah dan Atas) dan Bahasa Malaysia
1 (Tingkatan Enam Rendah dan Atas).
Setelah itu, pada 1 Dis 1989 hingga 28 Februari 1995 beliau telah mendapat tawaran
bekerja di Pejabat Bahagian Teknologi Pendidikan, Ibu Pejabat, Jabatan Pendidikan Sarawak,
sebagai Penolong Pengarah Teknologi Pendidikan (Seksyen Radio Pendidikan, Unit Penyiaran,
BTP Sarawak) selama enam tahun. Pada 1 Mac 1995 hingga 15 Nov 1995 beliau kembali ke
sekolah sebagai guru DG3 (atas permohonan sendiri) ke Kolej Tun Abdul Razak, Batu 24 Jalan
Kuching-Serian, Kuching selama 4 bulan. Mulai 1 Julai 1995 dilantik sebagai Penolong Kanan I
selama 4 bulan setengah mulai 16 Nov 1995 setelah surat Kementerian Pendidikan diterima.
Pada 1 April 1996 beliau dilantik sebagai Pengetua SMK Lumba Kuda, Jalan Tan Sri
William Tan, Kuching selama 4 tahun 1 bulan dan kemudian dilantik sebagai Penolong Kanan 1
Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Sheikh Haji Othman Abdul Wahab (SHOAW),
Jalan Kuching-Matang, Kuching pada 1 Mei 2000. Beliau kemudian berpindah sekolah sebagai
Penolong Kanan 1 Sekolah Menengah Kebangsaan Batu Kawa (SMBK), off-Jalan Batu Kawa,
Kuching. Pada 16 November 2006, diarahkan berpindah sebagai pengetua ke SMK Kidurong
tetapi beliau menolak tawaran.
Sejak 1 Januari 2004 beliau dilantik sebagai PPPS DG44KUP dan memegang jawatan
Penolong Kanan1 Sekolah Menengah Kebangsaan Batu Kawa (SMBK), tetapi pada 1 Januari
2008 dilantik sebagai PPS DG44 Hakiki dan masih memegang jawatan Penolong Kanan 1
Sekolah Menengah Kebangsaan Batu Kawa (SMBK). Beliau akhirnya memilih untuk dilantik
sebagai Guru BM Tingkatan 6 untuk memperolehi Gred DG48 Hakiki (Akademik) di SMK Batu
Kawa, Kuching pada 19 Oktober 2010 sehingga sekarang.
9
2.2 Kepimpinan
Tokoh yang dikaji, Jais Sahok mempunyai daya kepimpinan yang tinggi, tambahan lagi tugas
sebagai seorang guru sastera dan pengkarya. Daya kepimpinan beliau bermula sejak berada di
bangku sekolah pada tahun1978 menjadi Penolong Ketua Murid (Asistant Head Boy) SM
Dragon selama satu tahun. Semasa tahun pertama 1980 di MPBL beliau menjadi Timbalan
Setiausaha Kewangan Persatuan Guru Pelatih Maktab Perguruan Batu Lintang, Kuching selama
1 tahun. Pada 1981 tahun kedua di Maktab Perguruan Batu Lintang Kuching menjadi Presiden
Persatuan Guru Pelatih Maktab Perguruan Batu Lintang, Kuching.
Semasa menuntut di pada tahun 1988 di UPM beliau dilantik menjadi menjadi Presiden
Mahasiswa Penghuni Kolej Tun Perak Universiti Pertanian Malaysia, Serdang Selangor pada
tahun ketiga dan keempat. Setelah menceburkan diri dalam dunia penulisan menjadi Ketua 1
Angkatan Karya Sarawak pada 1989 hingga dan pada 1Mac 1992 beliau menjadi Ketua II
Angkatan Karya Sarawak. Beliau juga pernah menjadi AJK Gabungan Persatuan Penulis
Sarawak (GPPS) dan pernah dilantik sebagai Setiausaha GPPS .
Beliau juga pernah menjadi Pengerusi Koperasi SMK Lumba Kuda, pada 1 April 1996
hingga 10 Nov 1999. Pada Disember 2004 beliau dilantik menjadi Ketua I Jawatankuasa Penaja,
Persatuan Karyawan Sastera Sarawak (PEKASA) sehingga 19 November 2005. Pada 19
November 2005, dalam mesyuarat Agung PEKASA, beliau dilantik semula sebagai Ketua 1.
Beliau dilantik menjadi Pengerusi Majlis Baca Karya Guru - (Cikgu 1-17) di Dewan Bahasa dan
Pustaka Cawangan Sarawak selama dua hari pada 14 hingga 15 Mei 2005 yang dianjurkan olah
Pengakap Kawasan 14 & 24 Matang. Majlis Penutupan telah dirasmikan oleh Datin Fatimah
Abdullah. Baca karya guru secara nyaring,mencatat rekod tanpa henti selama 40 jam.
Pada tahun 2005, beliau sekali lagi telah dilantik menjadi Pengerusi Majlis
Perkampungan Ilmu (Penghargaan Kepada Penulis Sarawak) di Dewan Bahasa dan Pustaka
Cawangan Sarawak Anjuran Pengakap Kawasan 14 & 24 Matang. Majlis tersebut berlangsung
pada 28 Ogos 2005. Majlis Penutupan telah dirasmikan oleh Datuk Sri Abang Abdul Rahman
Zohari Tun Abang Haji Openg. Baca karya Sarawak secara nyaring telah mencatat rekod tanpa
henti telah berlangsung selama 168 jam 16 minit.
10
Satu bidang yang paling disuka beliau ialah pengurusan rekod dan pengurusan rekod
elektronik. Pengurusan rekod memang ada dalam budaya kerja pengurusan, penciptaan
dokumen, pembukaan fail, system pengurusan fail dan sebagainya. Ini membentuk satu disiplin
bahawa semua rekod yang dicipta (hasil tulisan) hendaklah disimpan sama ada secara elektronik
atau hard copy untuk pengkhazanahan (arkib). Ini mendorong Jais meneruskan usaha menyusun
bibliografi penulisannya sejak rekod yang pertama hinggalah ke rekod yang terkini. Beliau
melakukan demikian kerana dalam knowledge organization memang ada pengorganisasian
bibliografi. Ini memang sudah menjadi satu budaya dalam penciptaan dan penyimpanan rekod
kerana information retrieval memang memerlukan penyimpanan rekod yang sistematik.
Kehidupan bagi Jais menjadi sangat sistematik kerana disiplin ini.
Budaya kerja lebih mempengaruhi kehidupan beliau ialah kerja karyanya harus
memperlihatkan hasil, ada pengajaran, mesti ada pembelajaran (pemelajaran). Beliau seorang
guru dan pelajarnya mesti memperlihatkan perubahan tingkah laku sebagai tanda pemerolehan
ilmu. Perubahan mereka terukur dalam tiga dimensi iaitu perubahan kognitif, afektif dan
psikomotor. Jadi, menurut beliau penulisannya harus menampakkan hasil kerana orang sudah
menyebut Jais Penulis atau Jais Penulis Sarawak. Oleh sebab itu, beliau perlu mewajarkannya
kerana kalau tidak, tidak betullah dakwaan orang bahawa beliau seorang penulis.
2.3 Proses Karya dan Ilham
Menurut Jais Sahok (2012), beliau mula melibatkan diri dalam dunia penulisan sejak
melangkah ke sekolah menengah lagi. Beliau menceburi dunia penulisan secara serius sejak
tahun menjadi guru Bahasa Melayu Tingkatan 6 pada tahun1989. Karya sastera beliau bermula
dengan menulis Esei Krikitan Sastera sejak tahun 1987. Tambah beliau, untuk melibatkan diri
dalam bidang pengkaryaan, seseorang pengkarya tidak semata-mata hanya duduk membaca
sejumlah buku, menajam kreativiti seni, meruncing hujung bahasa atau menjalin episod dan plot
imaginasi sesebuah cerita. Tutupkan pintu bilik dan hidupkan suis komputer riba dan mulalah
memasang kerangka dan draf pengkaryaan. Di situ, pengkarya memencilkan diri lalu
meninggalkan suasana dunia di luar bilik sepinya.
11
Pengkarya sastera kata Jais, yang menjana kerjaya seninya bersama buku-buku, tiada
bezanya dengan manusia normal lain ketika berhadapan dengan sebarang permasalahan dalam
kehidupan sebenar. Akal dan emosi mereka mudah digoncang oleh realiti sekeliling. Kata-kata
indah bernada merdu sekadar hiasan kreativiti atas kertas. Hidup di luar semakin mengelirukan
dan apalah yang dapat diubah oleh sebuah puisi ke atas dunia, misalnya?
Malah golongan pengkarya sastera difahamkan sangat sensitif dan bersifat responsif
apabila sesuatu kejanggalan berlaku sepanjang kerjaya pengkaryaan mereka. Mereka hidup di
dalam teks mahupun di luar teks kreatif. Namun demikian, kita harus mengakui, tidak semua
mereka yang dianggap pengkarya itu manusia pemikir, kritis atau intelek yang terlibat dengan
permasalahan besar dunia realiti. Seorang pengkarya sastera memiliki misi masing-masing dan
dengan objektif yang pelbagai untuk menghasilkan karya untuk kepuasan seni. Menurut beliau,
proses karya dan ilham mempengaruhi orientasi ilmu dan budaya kerja dalam perlakuan
sehariannya. Proses karyanya berdasarkan genre yang ingin ditulisnya.
2.3.1 Genre dan prosesnya
Bagi jais proses menghasilkan karya dipermudah oleh alat penulisan yang dicipta
sendiri. Umpamanya untuk menghasilkan puluhan ribu buah cerpen beliau menggunakan borang
matriks analisis morfologi. Begitu juga dengan teknik gugus anggur. Setakat ini, melalui
bengkel-bengkel yang telah dianjurkan para peserta berasa dapat mengarang cerpen dengan
mudah mengikut gaya beliau.
Untuk menghasilkan puisi Jais menggunakan proses seperti: (i) menghasilkan puisi
daripada sepatah kata, (ii) menghasilkan puisi daripada sekeping gambar, (iii) menghasilkan
puisi daripada sebuah peristiwa, (iv) menghasilkan puisi daripada sebuah berita TV/ Radio/
Internet, (v) menghasilkan puisi daripada sebuah pesta (vi) menghasilkan puisi berdasarkan
sebuah lagu (vii) menghasilkan puisi tentang atau daripada seorang tokoh.
12
2.3.2 Kaedah Intergenre / Silang Genre
Menurut Jais, beliau pernah menghasilkan puisi ngoncong daripada peristiwa ngoncong
yang dihadiri dan ditontonnya pada satu malam di Kampung Tibaro, Jalan Lundu Sematan.
Daripada peristiwa itu, juga Jais menghasilkan cerpen Ngoncong. Beliau melakukan silang
genre untuk menghasilkan skrip drama Penghujungnya dan menang hadiah kedua dalam
peraduan anjuran Tema di peringkat kebangsaan. Beliau seterusnya menghasilkan novel
Ngoncong, yang diterbitkan oleh DBP setelah menang peraduan penulisan novel anjuran DBP
Cawangan Sarawak.
2.3.3 Dorongan lain
Ada pula ketikanya kata Jais, beliau terdorong untuk menghasilkan cerpen oleh bacaan
kritikan sastera kerana kebetulan beliau membeli semua buku sastera yang signifikan kepada
minatnya. Apabila beliau baca kritikan kritikus sastera terhadap karya tertentu, maka secara tidak
langsung atau sifat mungkin semula jadinya tercetus ilham untuk menulis sama ada puisi,
rencana, cerpen, novel atau skrip drama.
2.4 Pencapaian dan Anugerah
Dunia kepengarangan bukan saja untuk kepuasan diri sendiri dan dikongsi dengan
pembaca tetapi usaha berkarya yang menuntut pengorbanan waktu yang bukan sedikit. Oleh itu,
wajarlah sebagai pengkarya Jais Sahok diberi anugerah dan penghargaan di atas usahanya untuk
menambahkan khazanah sastera di negara kita. Menulis kata Jais, dapat memberikan pulangan
lumayan apabila karya-karyanya diberi penghargaan. Tambahnya lagi berkarya tidak tertakluk
kepada berkarya sepenuh masa atau sampingan kerana masa berkarya ialah tanpa had dan
sempadan waktu.
2.4.1 Anugerah Bintang Sarawak
Sumbangan Jais Sahok dalam dunia karya sastera dalam telah terbalas dengan menerima
Anugerah DARJAH YANG AMAT MULIA BINTANG SARAWAK dengan gelaran AHLI
BINTANG SARAWAK (ABS). Ahli Bintang Sarawak ialah Pangkat Keenam dalam kumpulan
Darjah Utama Yang Amat Mulia Bintang Sarawak. Nama beliau telah diumumkan sebagai
13
penerima 24 Oktober 2009 dan upacara penganugerahan telah dilangsungkan pada 14 Disenber
2010 di Astana Negeri Sarawak. Anugerah telah diberikan kepada mereka yang telah banyak
menyumbang jasa yang cemerlang dalam berbagai bidang termasuk karya sastera.
Gambar 3: Watikah Perlantikan dan Pingat yang diterima oleh Jais Sahok
Gambar 4: Jais Sahok segak dan bergaya semasa menerima Anugerah Ahli Bintang Sarawak.
14
Bentuk Anugerah / Pemberian Anugerah Kerajaan Negeri Sarawak kepada Jais Sahok.
Watikah perlantikan Darjah Yang Amat Mulia Bintang Sarawak (gambar kiri) serta Pingat dan Anak Pingat (gambar atas).
2.4.2 Hadiah-Hadiah Galakan Penulisan
Jais Sahok juga telah menerima Hadiah Galakan Penulisan Angkatan Karya Sarawak
dalam bahagian Cerpen pada tahun 1983 & 1984. Selain itu, beliau juga telah menerima Hadiah
Pelajar Terbaik keseluruhan (Akademik) Tingkatan 4, SM Dragon, 1975 dan Hadiah Pelajar
Terbaik (Piala Prof Madya Hamid Mahmud) Jabatan Bahasa, Fakulti Pengajian
Pendidikan, Universiti Pertanian Malaysia pada tahun 1989.
2.4.3 Hadiah Sastera Perdana Malaysia
Hadiah Sastera Perdana ialah hadiah yang paling bermakna yang telah diterima oleh Jais
Sahok sepanjang menceburi dunia penulisan. Hadiah Sastera Perdana Malaysia, 2000,
(diumumkan 2 September 2000 dan hadiah disampaikan pada 9 November 2000 di Kuala
Lumpur) kerana esei sastera eceran: Ranjau Semalam dan Melati Sarawak: Satu Perbandingan
Struktural. Hadiah berupa wang tunai sebanyak RM1000.00.
Gambar 5: Hadiah Sastera Perdana Malaysia ke 18
Jais Sahok juga menerima hadiah kedua iaitu:Hadiah Sastera Perdana Malaysia, 2009,
(diumumkan 18 Januari 2010 dan hadiah disampaikan pada 18 Januari 2010 di The Legend,
Kuala Lumpur) kerana cerpen eceran: Untukmu Cikgu, dalam Dewan Sastera, Mei 2006.
Hadiah sebanyak RM1000.00.
15
2.4.4 Hadiah Penghargaan Penulis Sarawak(HPPS)
Jais Sahok juga telah menerima hadiah Penghargaan Penulis Sarawak sebanyak 14 kali
sejak dari tahun 1991 sehingga ke tahun 2011 melaui pelbagai karya penulisannnya. Antara
hadiah yang diterima Jais yang terkini ialah :
Gambar 6: Jais Sahok semasa menerima Hadiah Penghargaan Penulis Sarawak 2009
Hadiah Penghargaan Penulis Sarawak (HPPS) 2009 dalam bidang cerpen, melalui esei
Tatu Gagah (Dewan Budaya) Hadiah RM1000.00. Majlis diadakan di Grand Margharetta,
Kuching, Sarawak pada 12 November 2010. Hadiah disampaikan oleh Datuk Amar Tan Sri
Haji Adenan Haji Satem, Penasihat Khas bertaraf menteri Pejabat Ketua menteri Sarawak.
Gambar 7: Jais Sahok semasa menerima Hadiah Penghargaan Penulis Sarawak 2010
Hadiah Penghargaan Penulis Sarawak (HPPS) 2010 dalam bidang cerpen, melalui esei
16
Selepas Gawai (YIIB Utusan Borneo, 8 November 2010) Hadiah RM1000.00. Majlis
diadakan di Balai Budaya, DBP Cawangan Sarawak Kuching, Sarawak pada 3 November
2011. Hadiah disampaikan oleh Datuk Hjh Fatimah Abdullah, Menteri Kebajikan, Wanita dan
Pembangunan Keluarga, Sarawak.
2.4.5 Hadiah Satera Kebangsaan Sarawak(HSKS)
Esei Kritikan - Diberi hadiah Hadiah Sastera Kebangsaan Sarawak (HSKS)
1994 dalam bidang esei/kritikan dengan wang hadiah sebanyak RM4,000.
Hadiah disampaikan sempena majlis Anugerah Sastera Sarawak kepada
Mohammad Bujang dari Sri Aman. Penerima hadiah yang lain: Jong Chian
Lai, novel; Saiee Driss, puisi; Awangku Merali, cerpen; Zaini Oze, skrip drama.
Novel - Diberi hadiah Hadiah Sastera Kebangsaan Sarawak (HSKS) 1995 dalam
bidang/genre novel dengan wang hadiah sebanyak RM4,000. Hadiah
disampaikan sempena majlis Anugerah Sastera Sarawak kepada Allahyarham
Mohammad Rakawi Yusuf (pengarang novel Melati Sarawak) dari Kuching.
Penerima hadiah yang lain: Jeniri Amir, esei/kritikan sastera; Haji Adi
Badiozaman Tuah, puisi; Majuni Mohammad Palira, cerpen; Awang Bujang
Hamdan, drama. Hadiah disampaikan pada 27 Disember 1995 di Hotel
Riverside Majestic, Kuching.
Cerpen - Diberi hadiah Hadiah Sastera Kebangsaan Sarawak (HSKS) 2001
dalam bidang/genre cerpen dengan wang hadiah sebanyak RM5,000. Hadiah
disampaikan sempena majlis Anugerah Sastera Sarawak. Hadiah disampaikan
oleh TYT YDN Sarawak Tun Mohammad Sallahuddin pada 15 November 2001
di Hotel Merdeka Palace, Kuching.
17
3.0 SUMBANGAN TOKOH
Jais Sahok dalam dunia kesusasteraan telah banyak memberikan sumbangannya.
Sememangnya sumbangan beliau dalam dunia kesusasteraan tidak dapat disangkal lagi. Beliau
merupakan lambang penulis yang konsiten dengan nilai-nilai keislaman dan kemasyarakantan
seperti yang digarap dalam novelnya Persimpangan. Menurut Hazami Jahari (1992), dari DBP
Sarawak, menerusi karya ini, Jais berjaya menampilkan roh serta semangat keislaman yang
padat dan jarang terdapat dalam karya-karya penulis tempatan hari ini. Jais Sahok juga turut
memberikan suntikan isi dan halatuju kepada semangat keislaman yang begitu memikat untuk
pembaca menghayati dan menginsafinya. Penekanan utama yang diberikan oleh Jais adalah
kepada mesej yang hendak disampaikan kepada pembaca. Sebagai contoh dalam cerpen beliau
Garis Panorama dan Pengorbanan membawa persoalan nasionalisme dan perjuangan menuntut
kemerdekaan oleh Rosli Dhobi.
Oleh yang demikian, kita dapat melihat bahawa Jais Sahok bersungguh-sungguh
memberi sumbangan dalam memperjuangkan karya tempatan. Semasa di PEKASA, cita-cita Jais
Sahok untuk memberikan seluruh perhatian kepada perkembangan sastera Melayu telah menjadi
kenyataan setelah beliau dilantik menjadi Ketua 1 dalam PEKASA. Selain itu, Jais Sahok juga
telah memberi sumbangan besar dalam penuliasan kreatif untuk memesatkan lagi bidang
penulisan karya kreatif khususnya di kalangan golongan muda.
Sumbangan Jais Sahok memang banyak dalam dunia kesusasteraan dan ini telah dilihat
dan berkembang merentasi masa serta mengalami perubahan dari masa ke semasa mengikut
kematangannya dalam berkarya. Penghasilan karya penulisan oleh Jais dilihat menjadi
penyumbang kepada perkembangan sastera dengan mengemukakan pelbagai persoalan, daripada
soal percintaan, kepincangan masyarakat, perjuangan kebangsaan, kisah darurat hinggalah
kepada persoalan-persoalan sosial-politik sesudah merdeka.
Selain itu, terdapat beberapa buah cerpen Jais telah ditulis menggunakan bahasa tempatan
Sarawak seperti bahasa Melayu Sarawak, bahasa Selako, Bidayuh dan Iban. Variasi daripada
bahasa etnik ini dapat memberi pendedahan kepada pembaca tempatan khususnya dan pembaca
luar Sarawak untuk memahami dan menghayati keunikan karya yang dihasilkan oleh beliau.
18
Karya-karya yang dihasilkan oleh Jais Sahok mampu menghidupkan imaginasi pembaca dan
menjadi kunci kepada kejayaannya. Jais Sahok juga telah memberikan sumbangan dalam
pelbagai aspek yang menjadi pencetus idea serta perkembangan sastera di negara ini khususnya
di Sarawak, dan beliau merupakan antara tokoh sastera yang aktif menulis pelbagai jenis bahan
sastera termasuk mengadakan bengkel penulisan kreatif untuk penulis muda (kanak-kanak/
remaja) sehingga ke hari ini.
Jais Sahok telah berjaya menghasilkan karya yang mengandungi tiga senarai utama
dalam penulisannya iaitu novel, cerpen dan puisi yang penulisannya merangkumi perbahasan
dari sudut falsafah, sains, kimia, kedoktoran, dan alam semulajadi. Selain itu, beliau juga bergiat
aktif dalam penulisan skrip pementasan drama, penulisan esei dan berbengkel untuk pelajar-
pelajar peringkat menengah yang akan menduduki peperiksaan PMR, SPM dan STPM. Aktiviti
terkini Jais Sahok ialah beliau sering memenuhi jemputan untuk memberikan ceramah motivasi
untuk murid-murid tahun enam di sekolah rendah yang bakal menduduki peperiksaan UPSR.
3.1 Kesusasteraan – Penghasilan Karya Tokoh
3.1.1 Novel, Cerpen, Puisi, Drama Pentas dan Esei Kritikan
Novel yang dihasilkan oleh Jais Sahok terbahagi kepada tiga kategori iaitu Novel kanak-
Kanak, Novel Remaja, dan Novel Dewasa atau Umum. Sebanyak tujuh(7) buah novel kanak-
kanak yang dihasilkan oleh Jais antara tahun 1992 hingga 1993. Novel remaja pula berjumlah
sebelas (11) buah dihasilkan dari 1991 sehinnga 2008, manakala Novel Dewasa pula berjumlah
tujuh(7) yang dihasilkan sejak tahun 1992 sehingga 2010. Sehingga kini, Jais telah berjaya
menghasilkan 25 buah novel. Antara novel yang memenagi hadiah pelbagai kategori ialah
Bermulanya Di Sini, Buhul-buhul Kasih di Benang Basah, Detik dan Ngoncong.
Selain novel, sebanyak 182 buah cerpen yang telah dihasilkan oleh Jais antara tahun 1981
hingga tahun 2012, manakala Jais telah menghasilkan puisi sebanyak 209 buah antara tahun
1985 sehingga 2012. Selain novel, cerpen dan puisi Jais juga giat menulis Skrip Drama Pentas
dan Kritikan Esei. Jais telah berjaya menulis sebanyak 12 buah Skrip Drama Penta. Salah satu
drama pentas yang terpilih dalam pengajaran KOMSAS Tingkatan 2 ialah Drama Haemodialisis.
19
Penulisan esei terbahagi kepada tiga kategori iaitu Esei Bahasa, Esei Umum, Esei
Kritikan Sastera. Setakat ini Jais telah menulis dua Esei Bahasa pada tahun 2005, Esei Umum
antara tahun 1988 sehingga 1997 sebanyak 19 buah, dan Esei Kritikan Sastera sebanyak 29 buah
antara tahun 1987 sehingga tahun 2010.
3.2 Pengajaran –Bengkel, Kursus Penulisan dan Bimbingan
3.2.1 Bengkel Penulisan Novel
Sebagai seorang pendidik, Jais Sahok juga telah giat menyumbangkan ilmu karyanya
kepada guru-guru di dalam Kursus Penulisan Novel, yang diadakan untuk pensyarah maktab
dan guru pelatih yang dianjurkan oleh Maktab Perguruan Rajang di Hotel Zurah, Sibu pada 20-
21 November 2000.
3.2.2 Bengkel Penulisan Kreatif Puisi
Tugas Jais Sahok sebagai guru sastera tidak dapat dipisahkan dengan kegiatannya dalan
penulisan kreatif. Minat dan ilmunya dalam penulisan dikongsi bersama-sama pelajar dan guru-
guru yang ingin belajar berkarya daripada beliau. Antara 1997 sehingga 2012 Jais Sahok telah
dijemput untuk mengadakan Bengkel Penulisan Kreatif Puisi sebanyak 12 kali dari Kuching
hinggalah ke Miri. Antaranya ialah :
Gambar 10 : Kursus Penulisan Puisi di SKA Datuk Hj Abdul Kadir
20
Kursus Penulisan Puisi anjuran Biro Perkhidmatan Pendidikan Majlis Islam Sarawak. Di SKA
Datuk Haji Abdul Kadir Hassan, Jalan Sultan tengah, Petra Jaya, 93050 Kuching..
Gambar 11 : Bengkel Penulisan Puisi di SMK Datuk Permaisuri , Miri
Bengkel Penulisan Puisi sempena Bulan Bahasa SMK Datuk Permaisuri, Miri pada 27 April 2012
3.2.3 Bengkel Penulisan Kreatif Cerpen
Sebanyak 40 kali sejak 1992 sehingga 2012, Jais Sahok telah dijemput untuk
menyumbangkan ilmu dalam karya dalam penulisan cerpen di seluruh Sarawak. Penjelajahan
ilmu karyanya banyak memberikan manafaat kepada para pelajar dan juga guru-guru. Antaranya
ialah :
Gambar 12: Kursus Penulisan Cerpen kepada ahli Pekasa
21
Kursus Penulisan Cerpen kepada ahli Pekasa, di Bilik Seminar, Dewan Bahasa dan Pustaka
Cawangan Sarawak, Kuching pada 4 Februari 2006.
Gambar 13: Bengkel Penulisan Cerpen Biro Perkhidmatan Pendidikan,Majlis Islam Sarawak.
Bengkel Penulisan Cerpen Biro Perkhidmatan Pendidikan, Majlis Islam Sarawak.Di SK (A)
Datuk Haji Abdul Kadir Hassan, Jalan Sultan Tengah, Petra Jaya, Kuching 7-9 Disember 2009.
3.2.4 Ceramah Sastera dan KOMSAS
Jabatan Pendidikan juga telah menjemput Jais Sahok untuk Ceramah Komsas kepada
guru-guru Bahasa Malaysia PMR bagi membantu guru-guru yang mengajar sastera di sekolah-
sekolah kerana Jais Sahok adalah salah seorang penulis karya yang terpilih dalam KOMSAS.
Jais Sahok telah mengadakan Ceramah Sastera dan KOMSAS sebanyak empat kali, antaranya
ialah:
22
Gambar 14: Kursus dan bengkel Pengajaran Komsas BM, Guru-Guru BM Sekolah menengah Chung Hua, Miri
Kursus dan bengkel Pengajaran Komsas BM, Guru-Guru BM Sekolah menengah Chung Hua,
Miri anjuran Kementerian Pelajaran Malaysia dengan Kerjasama DBP Kuala Lumpur. Kursus
diadakan di Hotel Mega, Miri pada 12 November 2011.
Gambar 15: Ceramah Komsas di SMK Datuk Permaisuri, Miri.
Ceramah Komsas kepada guru dan pelajar Tingkatan 2, sempena Minggu Bahasa, SMK Datuk
Permaisuri, Miri pada 27 April 2012.
3.2.5 Kursus Kesusasteraan Melayu Komunikatif (STPM)
Antara Kursus Kesusasteraan melayu Komunikatif (STPM) yang telah diadakan ialah
pada 20-21 April 2012. Kursus Pededahan Sistem Pentaksiran Baharu (Kesusastewraan
melayu Komunikatif) STPM, (kepada/untuk semua guru KMK di semua S. Menengah Negeri
Sarawak. Kursus dianjurkan oleh SPA, JPNS bagi pihak MPM di Hotel Premier, Sibu.
3.3 Persatuan
Menurut Jais Sahok, menjadi ahli dalam pelbagai persatuan penulisan dan karya sangat
penting supaya selain dapat menyumbangkan ilmu, pengkarya dapat bertukar-tukar pendapat dan
juga juga dapat menjaga integriti pengkaya dan juga kebajikan mereka. Antara persatuan yang
telah dianggotai oleh Jais ialah, Angkatan Karya Sarawak pada 1982 sebagai ahli biasa. Pada
23
tahun 1985 beliau telah menjadi Setiausaha AKS tetapi meletak jawatan pada tahun berikutnya
kerana melanjutkan pelajaran. Pada tahun 1989 menjadi Ketua 1 hingga 1 Mac 1992.
Beliau juga pernah menjadi Persatuan Kebangsaan Melayu Sarawak pada tahun 1982
sebagai ahli biasa dan kemudiannya pada tahun 1998 beliau menjadi Ahli Lembaga Koperasi
PKMS Berhad. Selain itu, beliau juga menjadi ahli Kesatuan Guru Bumiputera Sarawak pada
tahun 1984, menjadi ahli Yayasan Guru Malaysia dan menjadi ahli Koperasi KGBS sejak 1990.
Belaiu juga telah menyertai Gabungan Persatuan Penulis Sarawak dan menjadi AJK pada tahun
1989 hingga Februari 1992 dan akhirnya meletak jawatan kerana krisis yang berlaku dalam
GPPS. Beliau menjadi ahli biasa sehingga 1998.
Persatuan Karyawan Sarawak (PEKASA) ditubuhkan pada 27 Mei 2004, berdasarkan
mesyuarat pertama jawatankuasa penaja, Jais Sahok telah dilantik menjadi Ketua Satu mulai 27
Mei 2004 dan Ketua 2 mulai Jun 2007 sehingga sekarang. Beliau juga telah menyertai Persatuan
Penulis Biografi Sarawak dan dilantik menjadi Ketua 2 sejak Julai 2009. Dalam bidang tugas
sebagai guru pula, Encik Jais menjawat Penolong Setiausaha sejak November 1998 dalam
Persatuan Pengetua Sekolah Menengah Sarawak, sejak 1 April 1996.
3.4 Pemikiran
Jais Sahok mempunyai beberapa unsur pemicu proses kreatif beliau. Sesuai dengan
elemen perisian estetika genre sastera itu, iaitu estetika sastera, estetika bahasa dan estetika ilmu,
maka ketiga-tiga elemen estetika itu pasti berupaya memicu kreativiti beliau. Lagipun beliau
memang ada alat tertentu (khusus) untuk menggerakkan ranjau kognitifnya iaitu berfikir kerana
beliau kerap berceramah tentang berfikir, teknik berfikir, proses berfikir, alat-alat pemikiran,
alat-alat pemikiran kreatif, gaya dan cara berfikir, menyelesaikan masalah melalui proses
berfikir, NLP yang kesemuanya membantu beliau.
3.4.1 Pemikiran Berterusan
Jais Sahok sentiasa berfikir dan akan melakukan proses metakognitif untuk menjana apa-
apa sahaja daripada sepatah kata. Justeru, jika ditautkan, akan menjadi puisi, jika diperluas, akan
24
menjadi cerpen, jika diperpanjang, akan menjadi novel, jika digubah, akan terhasillah skrip
drama. Bagi Jais, pemikiran yang berterusan inilah satu proses yang tidak mungkin dapat
dihentikan. Jika seseorang insan enggan berfikir pun dia akan tetap berfikir, maka salurkan
sahaja kepada penghasilan sesuatu yang bermanfaat. Mungkin pelukis menghasilkan lukisan,
sesuatu yang bermanfaat dalam perspektif seorang pelukis. Mungkin seorang ustaz akan
menghasilkan sebuah teks khutbah, sesuatu yang bermakna dalam perspektifnya sebagai ustaz
dia. Maka bagi Jais, menghasilkan cerpen, puisi, novel atau yang seerti dengannya adalah
perspektifnya sebagai pengkarya. Beliau tidak peduli akan fikiran orang, yang perlu dan penting,
fikiran, sumbangan dan hasil kerja beliau.
3.4.2 Peraduan
Bagi Jais, peraduan dalam berkarya memang memberi kesan kepada beliau sebagai
penulis. Peraduan ibarat bunyi tempakan ditrek balapan, hatinya pasti akan melonjak untuk terus
mengarang untuk peraduan. Menang atau tidak dalam peraduan baginya soal kedua, yang
penting karyanya siap. Peraduan merupakan salah satu dorongan kepada Jais untuk menulis dan
baginya itu adalah salah satu proses itu menjamin siapnya karya. Jika menang dalam peraduan,
bonus baginya selain daripada menyampaikan ilmu dan menyumbang idea kepada pembaca
3.4.3 Ajakan Kawan
Ada ketikanya Jais mengarang kerana diajak kawan. Umpamanya pernyataan proses
kreatif penulisan cerpen, beliau melakukannya kerana diajak oleh Sdr (Dr) Mawar Shafir
(UKM) dan Nisah Haji Harun dalam pertemuan di DBKL Kuala Lumpur . Ketika itu beliau dan
isteri menemani anak bungsunya, Fatin Aina Zawani menerima hadiah penulisan cerpen Murid
Sekolah Rendah di DBP Kuala Lumpur. Maka beliau telah menghasilkan sebuah rencana tentang
cara beliau menghasilkan cerpen Jiji. Beliau juga pernah menghasilkan cerpen kerana disuruh
oleh kawan, untuk tujuan yang mereka berdua sahaja tahu, kata Jais.
3.5 Kurikulum Sastera (KOMSAS/STPM)
Menurut Jais Sahok, Kementerian Pendidikan mempunyai kriteria tertentu dalam
pemilihan teks, bagi memenuhi tuntutan pelajar yang pelbagai peringkat umur, kebolehan,
25
bangsa dan pemikiran. Faktor-faktor ini telah diambil kira oleh panel untuk menentukan teks.
Ketika pemilihan teks, tidak banyak tumpuan perlu diberikan kepada tokoh pengarang itu
sendiri. Ketokohan pengarang tidak semestinya menjadi landasan kepada pemilihan sebaliknya
ia harus menepati ciri-ciri yang ditetapkan.
Untuk menentukan jumlah karya yang dibaca dan memilih karya-karya sastera yang
digunakan dalam Komsas, Pusat Pengembangan Kurikulum (PPK) Kementerian Pelajaran
Malaysia menubuhkan jawatankuasa khas yang terdiri daripada tokoh-tokoh sastera, tokoh-tokoh
bahasa Melayu, pensyarah universiti/maktab, penggiat sastera, pegawai Dewan Bahasa dan
Pustaka, dan pegawai Bahagian Kementerian Pelajaran, guru pakar, dan guru cemerlang.
Pendidik sastera di sekolah kata Jais, perlu memikirkan cara terbaik bagi menarik minat
murid ke arah keseronokan mengkaji sebuah karya serta dapat menimba ilmu, pengajaran dan
nilai yang terdapat dalam karya tersebut. Pengalaman menggubal sukatan dan juga membina
modul pengajaran, tidak seharusnya mementingkan siapakah panel pemilih atau proses
pemilihan. Kesesuaian pemilihan teks itu lebih diutamakan.
Jika kita meneliti dari perspektif yang lebih akademik, dan tidak mempunyai rasa curiga,
pemilihan yang telah ditentukan sepatutnya diterima dan tidak dipersoalkan. Oleh itu, tidak
hairanlah salah satu karya beliau telah dimuatkan di dalam Senarai Bahan Bacaan Komsas
Tingkatan Dua. Skrip Drama Pentas Haemodialisis telah Hadiah saguhati peraduan Hari
Guru tahun 1995/96, anjuran Jabatan Pendidikan Sarawak sempena sambutan Hari Guru
1996. Hadiah disampaikan pada 24 Mei 1996 di Betong, Sri Aman. Anatar drama yang terpilih
ialah Hemodialisis – Jais Sahok; Di Sini Bakti Bersemadi –Ajes Tuah dan Inflakasta – Hashim
Yassin.
Pada tahun 2006, Jais Sahok menerima panggilan telefon daripada Kementerian
Pendidikan mengenai Modul Sastera KOMSAS STPM. Beliau dilantik menjadi AJK penggubal
kurikulum Sastera KOMSAS oleh Majlis Peperiksaan Malaysia. Pada tahun 2011, pemilihan
teks untuk Penulisan Kreatif telah dibuat. Karya Jais dalam Penulisan Cereka Cerpen telah
terpilih. Beliau telah dilantik menjadi Jurulatih Utama Kertas Penulisan Kreatif Negeri Sarawak
dan Jurulatih Kurikulum Negeri.
26
4.0 KESIMPULAN
Shahnon Ahmad (1997: 25) menyatakan bahawa kesusasteraan berperanan sebagai satu cabang
kesenian yang berteraskan cinta. Cinta di sini maksudnya cinta kepadakeindahan dan cinta
kepada kebenaran. Karya kesusasteraan dicipta oleh para sasterawan untuk membangunkan
peribadi manusia supaya cinta akan keindahan dan cinta akan kebenaran.
A. Samad Said (1997: 35) pula menyatakan bahawa peranan sastera sebagai rakaman
dan renungan interaksi insan seni dengan masyarakat dan masalah mereka. Setiap karya yang
tercipta, sedikit sebanyak mendekatkan insan seni itu kepada sebahagian kecil cakerawala Tuhan yang
luas,di samping menggarapkannya dengan sesam makhluk yang sama-sama mencari dan sama-
sama menikmati dan sama-sama terhukum oleh getir-getar kehidupan. Oleh latar dan pengaruh
itu, sastera mestilah berkhasiat untuk batiniah dan minda manusia. Manakala Usman Awang (1997:
41) menjelaskan bahawa peranan sastera meliputi semua aspek kehidupan manusia secara luas. Tiada sesiapa
pun yang boleh mendakwa bahawa dia mempunyai monopoli terhadap budaya Malaysia. Budaya bersama
kita hanya akan lahir daripada penghidupan bersama semua rakyat bukan contoh angkuh
daripada sebilangan kecil golongan kaya dan istimewa.
Sastera dapat mendorong kemampuan berfikir secara kritis dan kreatif kerana ketika
membaca sebuah karya sastera, seseorang harus memahami yang tersurat dan tersirat,
menemukan sebab-akibat dan kaitan antara pelbagai peristiwa dalam cerita, mengenali nada dan
maksud pengarang, menilai mutu, membandingkannya dengan pengalaman peribadi, dan
mengerahkan pengetahuannya dalam bidang lain untuk memahami, menilai, dan mengaitkan
karya sastera itu dengan dirinya dan lingkungannya. Semua kemampuan ini adalah kemampuan
berfikir secara kritis. Kesusasteraan, terutama yang berbentuk cerita, menyediakan model
penyelesaian masalah yang sangat beragam. Karya-karya cereka penuh dengan watak-watak
yang berusaha untuk menyelesaikan masalah baik dengan cara berkesan mahupun tidak
berkesan, dengan menggunakan penalaran yang baik , menggunakan bukti-bukti yang kuat atau
tidak. Membacanya dapat membuatkan kita bercermin tentang cara kita menyelesaikan persoalan
dan menilai menilai manakah cara penyelesaian yang baik.
27
Sastera bukan sahaja bahasa tetapi sastera juga visual dan persembahan. Tuntutan
perubahan ini tidak bermakna dasar atau asas pengajian sastera itu diabaikan. Perkara-perkara ini
perlu diteruskan tetapi dalam paradigma yang berbeza. Tokoh-tokoh Sastera, pensyarah-
pensyarah atau guru-guru sastera perlu diberi tanggungjawab supaya mereka dapat menyumbang
dengan lebih berkesan kepada kedinamikan pengajian sastera.
Sudah tiba masanya, pengajian sastera perlu diubah kurikulumnya dan cara berfikir
mereka yang terlibat secara langsung dengan perkara ini perlu dianjakkan. Kita mesti ada visi
dan misi untuk menjadikan pengajian sastera sebagai satu ilmu dan pada masa yang sama
sebagai satu peluang para pelajarnya melamar pekerjaan dan mampu melihat pengajian sastera
masih relevan dan setara dengan pengajian lain yang sedang pesat berkembang.
28
Rujukan
Hazami Jahari. (1992). “Novel-novel Penulis Sarawak, Kuala Lumpur, Satu Pembicaraan Umum”, Latihan Ilmiah Sarjana Muda Sastera, Jabatan Penulisan, Universiti Malaya.
Jais Sahok. (1993) . Garis Panorama, Kuala Lumpur, Dewan bahasa dan Pustaka.
Jais Sahok. (1998) . Persimpangan, Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka.
Jais Sahok. (2012). Biodata Tokoh. Temubual pada 17 Jun 2012, di rumah bernombor 275, Lot 1890, Jalan Tan Sri Abang Marzuki, Kampung Tunku, RPR Jalan Istana Fasa II, Petra Jaya, Kuching.
Jais Sahok. (2012). Sumbangan Tokoh. Temubual pada 17 Jun 2012, di rumah bernombor 275, Lot 1890, Jalan Tan Sri Abang Marzuki, Kampung Tunku, RPR Jalan Istana Fasa II, Petra Jaya, Kuching.
Jeniri Amir. (1994 ). Arus Mutakhir Sastera Kenyalang, Kuching, JA Communications and Publication.
Jiso Rutan. (1990 ). Karya Penulis Sarawak dalam Esei, Kula Lumpur, Dewan bahasa dan Pustaka.
SMK Batu Kawa blog, http://www.smkbatukawa.com.
Kepentingan Sastera Dalam Masyarakat 1 Malaysia. Dicapai pada 6 Julai 2012 dari http://www.theborneopost.com/2011/06/22/kepentingan-sastera-dalam-masyarakat-1malaysia/
29