disiplin di sekolah

33
Soalan Tugasan: Jelaskan mengapa disiplin adalah penting di sekolah. Berikan contoh-contoh tertentu yang menunjukkan langkah-langkah proaktif dan berkesan yang diambil untuk membendung masalah disiplin. Explain why discipline is important in school. Using specific examples show how educations can take proactive and effective steps to curb disciplinary problems. 0

Upload: rdshidah

Post on 12-Dec-2015

33 views

Category:

Documents


6 download

DESCRIPTION

disiplin

TRANSCRIPT

Page 1: Disiplin Di Sekolah

Soalan Tugasan:

Jelaskan mengapa disiplin adalah penting di sekolah. Berikan contoh-contoh tertentu yang

menunjukkan langkah-langkah proaktif dan berkesan yang diambil untuk membendung

masalah disiplin.

Explain why discipline is important in school. Using specific examples show how educations

can take proactive and effective steps to curb disciplinary problems.

0

Page 2: Disiplin Di Sekolah

KEPENTINGAN PENGURUSAN DISIPLIN DAN LANGKAH-LANGKAH UNTUK MEMBENDUNG MASALAH DISIPLIN

01. Pendahuluan

Disiplin memainkan peranan yang penting ke arah pembentukan sahsiah para pelajar. Ia

adalah salah satu komponen penting dalam sistem persekolahan yang berkait rapat

berkenaan tatatertib, tatasusila, keadaan, akhlak dan kesopanan. Disiplin adalah teras

kejayaan dan kecemerlangan setiap insan. Pembentukan disiplin di dalam diri setiap

individu sama pentingnya dengan keperluan untuk mendapatkan ilmu pengetahuan serta

kemahiran dalam sesuatu bidang. Keberkesanan pihak sekolah melaksanakan aktiviti

pengajaran dan pembelajaran di sekolah berkait rapat dengan keupayaan sekolah untuk

menyempurnakan penerapan disiplin di kalangan pelajar. Sejauh manakah sekolah

berupaya menerapkan disiplin dan nilai-nilai murni dalam diri pelajarnya bergantung

kepada proses pengurusan dan perancangan disiplin yang dijana oleh pihak pengurusan

sekolah.

Pada asasnya, sistem persekolahan di Malaysia bertunjangkan kepada Akta

Pendidikan 1996 (Akta 550), Ordinan Pelajaran 1950, Ordinan Pelajaran 1952, Ordinan

Pelajaran 1957 dan Ordinan Pelajaran 1959. Pengurusan disiplin di sekolah pula perlu

mematuhi peraturan dan tatacara yang telah ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan

Malaysia berdasarkan Ordinan Pelajaran 1957; Peraturan-Peraturan Pelajaran (Disiplin

Sekolah) 1959 dan Surat-surat Pekeliling Ikhtisas.

02. Definisi Disiplin

Disiplin berasal daripada perkataan latin “discere” yang bermaksud penyerahan kepada

peraturan yang menstrukturkan apa yang perlu dipelajari. (Souper;1976 dalam Omardin

Ashaari;1999). Definisi ini memberikan penekanan kepada kepatuhan terhadap set

peraturan yang telah ditentukan.

1

Page 3: Disiplin Di Sekolah

Menurut Mohd. Ismail Othman (2004) menjelaskan disiplin sebagai

kesanggupan seseorang individu untuk bekerja atau melakukan sesuatu dengan cukup

tertib, kesanggupan menghormati hak individu lain, kesanggupan mempraktikkan

tingkah laku yang baik dan memelihara kepentingan orang lain. Takrifan ini

membolehkan kita menentukan bahawa individu yang berdisiplin dicirikan oleh tiga

kriteria penting iaitu komited terhadap tugasan, hormat kepada hak dan kepentingan

orang lain serta berkelakuan baik.

Dalam konteks sekolah, Mok Soon Sang (1995) mengaitkan disiplin dengan

kemampuan pelajar mematuhi peraturan sebagai suatu mekanisme kawalan tingkah laku

melalui ganjaran dan hukuman. Guru harus bijak memilih pendekatan yang terbaik

dalam membentuk disiplin pelajar sama ada melalui ganjaran atau hukuman. Selain itu

guru perlu bersikap tegas, telus dan tekal dalam menangani masalah disiplin pelajar.

Disiplin juga sering dikaitkan dengan hukuman, terutamanya hukuman koperal.

Hukuman koperal ialah bentuk tindakan yang mengakibatkan kesakitan kepada anggota

badan. Hukuman rotan merupakan salah satu bentuk hukuman koperal yang masih

diamalkan di sekolah-sekolah di Malaysia (Mohd. Rashid Mohd. Saad; 2005). Merotan

pelajar perlu dilaksanakan mengikut prosidur yang telah ditetapkan oleh Kementerian

Pelajaran.

Awang Had Salleh (1991) dalam Omardin Ashaari (1999) merujuk disiplin

secara umumnya sebagai ketenteraan dan pengawasan tingkah laku dengan tindakan

kekerasan. Namun, hakikatnya disiplin tidaklah semestinya dalam bentuk hukuman.

Di negara-negara maju seperti Sweden dan United Kingdom hukuman koperal telah

dihapuskan secara berperingkat sebagai reaksi kepada pandangan pelbagai pihak (Mohd.

Rashid Mohd. Saad; 2005). Di Amerika Syarikat pula, Akademi Pediatrik Amerika

(AAP) telah menyarankan penghapusan hukuman koperal kerana kesan negatifnya

terhadap imej kendiri, pencapaian, keganasan dan penyalahgunaan dadah.

Seiring dengan perubahan persekitaran pendidikan, strategi menangani masalah

disiplin pelajar juga perlu diberikan ‘sentuhan baru’ yang lebih berunsurkan “human

2

Page 4: Disiplin Di Sekolah

touch”. Contohnya, perubahan minda tentang kesedaran masyarakat kini terhadap hak

mendedahkan sekolah dan guru kepada risiko perundangan. Oleh itu sebarang tindakan

disiplin yang diambil oleh guru dan pihak pengurusan sekolah perlu mengambilkira

peruntukan perundangan dan prosuder yang telah ditetapkan. Dalam masa yang sama

guru perlu menghayati kepentingan pengurusan disiplin pelajar secara berkesan dan

merealisasikannya untuk mewujudkan suasana pengajran dan pembelajaran yang

kondusif ke arah mencapai kecemerlangan pencapaian akademik pelajar.

Mok Soon Sang (1995) pula menyatakan pada peringkat sekolah, disiplin adalah

peraturan-peraturan yang dikenakan ke atas pelajar-pelajar dengan tujuan mengawal

tingkah laku mereka melalui hukuman atau ganjaran. Laporan Jawatankuasa Kabinet

1979, menjelaskan disiplin bermakna kesanggupan seseorang untuk melakukan sesuatu

dengan tertib, menghormati hak orang lain, mengamalkan tingkah laku yang baik dan

tidak mengganggu kepentingan orang lain. (Abdullah Sani, 2006:1)

03. Kepentingan Pengurusan Disiplin

Masalah disiplin wujud di mana-mana serta dalam apa jua situasi mahu pun dalam

semua peringkat masyarakat. Namun begitu, pelanggaran disiplin dalam kalangan

pelajar sekolah kini menjadi suatu perkara yang agak membimbangkan. Isu disiplin

sekolah juga telah menarik banyak perhatian beberapa tahun kebelakangan ini,

khususnya di dalam media massa. Tanggungjawab terhadap mentadbir urus isu berkaitan

disiplin merupakan amanah yang cukup berat yang harus dipikul oleh semua guru

terutamanya pentadbir sekolah yang bertindak menguruskan sekolah.

Keberkesanan pengurusan disiplin bergantung kepada keupayaan pihak sekolah

termasuk guru untuk mengawalselia disiplin pelajar di sekolah secara efektif dan efisien.

Kawalan disiplin pelajar adalah bermula dalam bilik darjah. Dalam hal ini, bilik darjah

dilihat sebagai suatu organisasi yang penting untuk mewujudkan iklim sekolah yang

berdisiplin sesuai dengan peranan bilik darjah sebagai nuklues kepada institusi sekolah

(Abdullah Sani Yahaya; 2005) Justeru guru memainkan peranan penting dalam

menjamin keberkesanan pengurusan disiplin pelajar dalam sesebuah sekolah.

3

Page 5: Disiplin Di Sekolah

Setiap pengurus sekolah perlu menghayati keperluan disiplin dalam

organisasinya. Disiplin akan mencorakkan tingkah laku setiap individu dalam

organisasi. Disiplin yang dapat diurus tadbir dengan baik akan memudahkan peranan

sekolah sebagai agen pembentuk warga sekolah. Sekolah adalah institusi sosial yang

ditubuhkan untuk membentuk warganegara yang mampu menjiwai nilai-nilai akhlak dan

rohani yang mulia, serta memahami perhubungan antara manusia sebagai asas

kemasyarakatan, dan bersedia menyumbang kepada penerusan ketamaduan bangsa

tersebut.

Sehubungan dengan itu, peraturan yang dilaksanakan di sekolah bertujuan

membentuk dan mentransformasi individu-individu kepada warga yang memberi nilai

kepada masyarakat dan negara. Pengurusan disiplin yang berkualiti akan dapat

mengawal emosi dan tingkah laku pelajar dan seterusnya akan menghasilkan pelajar

yang berdisiplin. Pelajar yang berdisiplin sudah tentu akan bersedia menerima dan

menawar peluang berinteraksi secara berhemah. Kejayaan pelajar dan guru berinterkasi

secara positif akan dapat melahirkan individu yang berjaya dan memberi nilai positif

kepada masyarakat.

Pengurusan disiplin yang cekap akan dapat membantu sekolah membentuk

kefahaman pelajar tentang dunia luar serta undang-undang yang diguna pakai

diperingkat global. Pelajar perlu dijelaskan konsep disiplin sekolah yang berpaksikan

kepada hak asasi manusia. Bagi tujuan itu, pelajar harus faham bahawa sekiranya

mereka melakukan kesalahan, mereka juga boleh didakwa atas alasan mengancam

nyawa ahli-ahli masyarakat sekolah yang lain.

Dalam konteks pengurusan disiplin, Pengetua dan Penolong Kanan Hal Ehwal

Murid dengan dibantu oleh guru disiplin di sekolah mempunyai tanggungjawab untuk

menyusun atur hal yang berkaitan dengan pengurusan disiplin. Namun, kebanyakan

guru disiplin menyelesaikan masalah disiplin pelajar berdasarkan pengalaman dan gerak

hati mereka. Pernyataan ini mempunyai asas yang kukuh kerana kebanyakan daripada

guru-guru disiplin tidak mempunyai pengetahuan yang mendalam mengenai pengurusan

disiplin. Dengan latar belakang pendidikan yang diperoleh, kebanyakan guru disiplin

4

Page 6: Disiplin Di Sekolah

tidak pernah dihantar untuk menghadiri sebarang kursus yang berkaitan dengan

pengurusan tingkah laku pelajar.

04. Garis Panduan Pengendalian Kes Salah Laku

Disiplin merupakan peraturan atau undang-undang yang bertujuan untuk membentuk

para pelajar selari dengan kehendak agama, norma-norma masyarakat dan undang-

undang sesebuah negara. Bagi membendung masalah disiplin ini, pihak sekolah perlu

mempunyai garis panduan pengendalian kes salah laku murid.

Kesalahan disiplin terbahagi kepada tiga kategori iaitu Kesalahan Berat,

Kesalahan Sederhana dan Kesalahan Ringan. Garis Panduan Pengendalian Kes Salah

Laku Murid dapat membantu guru, ibu bapa dan pihak pentadbir sekolah dapat

mengendalikan sesuatu kes salah laku tanpa menimbulkan keraguan daripada mana-

mana pihak. Sebagai contoh Garis Panduan Kes Salah Laku Murid (SMK Taman

Jelutung, 2012):

1) Setiap tindakan dan hukuman yang dikenakan ke atas murid hendaklah mengikut

peraturan serta garis panduan yang disediakan oleh Kementerian Pelajaran

Malaysia. Tindakan dan hukuman tersebut hendaklah direkodkan dan sentiasa

dikemas kini.

2) Mengumumkan pelantikan guru disiplin kepada warga sekolah khususnya murid.

3) Hukuman yang dikenakan ke atas murid perlu bersifat mendidik. Hukuman tersebut

mestilah tepat, adil, setimpal, tidak mendera dan tidak menjatuh maruah murid.

Proses kaunseling hendaklah dilaksanakan ke atas murid sama ada sebelum atau

selepas menerima sebarang hukuman.

4) Buku Peraturan Sekolah hendaklah menyatakan dengan jelas unsur dan jenis

hukuman supaya murid dan ibu bapa memahami operaturan-peraturan yang diguna

pakai di sekolah.

5) Unsur provokasi yang memberi kesan negatif sama ada dalam bentuk pergerakan

5

Page 7: Disiplin Di Sekolah

anggota tubuh badan ataupun kata-kata hendaklah dielakkan dalam membuat arahan

kepada murid.

6) Bagi kes salah laku ringan dan sederhana yang berlaku di sekolah hendaklah

diselesaikan di peringkat sekolah. Walau bagaimanapun sekiranya kes tersebut

melibatkan pihak luar maka hendaklah diselesaikan secara permuafakatan. (Ibu

bapa/ Penjaga/ PIBG / JKKK / Persatuan Penduduk / Pegawai Perhubungan Polis

dan lain-lain yang berkaitan)

7) Kes salah laku berat seperti melibatkan senjata, gangstarisme, kongsi gelap, dadah

atau berupa ancaman keselamatan kepada guru, murid-murid dan warga sekolah

yang lain hendaklah dilaporkan kepada polis.

Walau bagaimanapun, terdapat pertimbangan asas dalam menentukan sebarang

hukuman ke atas murid iaitu:

1) Beratnya kesalahan: Lebih serius salah laku itu, maka beratlah hukuman yang akan

dikenakan. Beratnya hukuman yang dikenakan hendaklah setimpal dengan

kesalahan yang dilakukan.

2) Perwatakan dan latar belakang murid: Perwatakan, sejarah dan latar belakang murid

yang melakukan salah laku disiplin perlu diteliti sebelum diputuskan sebarang

hukuman.

3) Kekerapan kesalahan: Lebih kerap salah laku murid atau lebih bersungguh-sungguh

murid itu melakukannya maka lebih beratlah hukuman ke atas murid berkenaan.

Hukuman yang boleh dikenakan ke atas murid yang melakukan salah laku adalah

seperti berikut:

1) Hukuman biasa: rotan, denda, amaran dan penahanan.

2) Gantung persekolahan

3) Gantung asrama

4) Buang asrama

5) Buang sekolah

6

Page 8: Disiplin Di Sekolah

05. Langkah-langkah Membendung Masalah Disiplin

Pihak ibu bapa, pihak sekolah, masyarakat, pihak kerajaan mahu pun pihak persendirian

bertangungjawab dan memainkan peranan penting untuk menarik golongan remaja ini

ke arah aktiviti yang lebih sihat dan hidup yang lebih bermakna.

1) Kesedaran Diri.

Pelajar perlu ada kesedaran dalam diri mereka sendiri untuk menghadapi dunia yang

penuh mencabar ini. Dalam soal ini, pemilihan rakan sebaya turut memainkan

peranan dalam membentuk sahsiah diri pelajar. Mereka perlu memikirkan baik atau

buruk serta akibat sebelum melakukan sesuatu perbuatan dengan mendapatkan

pandangan daripada ibu bapa dan guru. Untuk mengelak dari terjebak dalam

masalah sosial, mereka boleh melibatkan diri secara aktif dalam sukan dan kem

motivasi yang dianjurkan oleh jabatan kerajaan atau pertubuhan bukan kerajaan.

2) Peranan Ibu bapa.

Peranan ibu bapa adalah amat penting dalam memberikan perhatian yang serius

terhadap anak-anak mereka. Ibu bapa mestilah memperhatikan setiap gerak-geri atau

pergerakan anak-anak mereka. Ibu bapa hendaklah sentiasa mengetahui dan

mengenal pasti masalah yang dihadapi oleh anak mereka serta sanggup meluangkan

masa untuk mengatasai masalah tersebut. Ibu bapa juga seharusnya mengetahui

rakan-rakan anak mereka dan sentiasa memastikan anak-anak mereka berkawan dan

bergaul dengan mereka yang mempunyai kedudukkan moral yang baik.

Selain itu tingkatkan penghayatan anak-anak terhadap agama, nilai-nilai

murni, motivasi, melatih anak cara bersopan, prinsip-prinsip akauntabiliti, tepati

janji, berketerampilan, menunjukkan keperibadian yang mulia, amanah, sanggup

7

Page 9: Disiplin Di Sekolah

menerima kelemahan diri serta meneroka potensi anak. Ibu bapa hendaklah menjadi

role model kepada anak.

3) Peranan Guru Di Sekolah.

Guru di sekolah pula bukanlah sekadar pembimbing akademik, tetapi harus menjadi

rakan kepada remaja. Guru yang diingati oleh remaja ialah guru yang boleh dibawa

berbincang dan sama-sama menyelesaikan masalahnya. Guru yang hanya

memerintah akan diingati sebagai `pemerintah’ dan tidak didekati. Hasilnya, arahan

akademik bukan sahaja tidak dipatuhi, bahkan mewujudkan pemberontakan antara

pelajar dengan gurunya. Ini pula akan menyebabkan pelajar tidak mempunyai minat

terhadap proses pembelajaran.

Pendekatan akademik boleh dilakukan dengan menambahkan aktiviti-

aktiviti berteraskan akademik dan separa akademik seperti kegiatan ko-kurikulum di

sekolah. Begitu juga dengan perubahan-perubahan teknik-teknik pengajaran seperti

penggunaan komputer, video, bantuan alat pandang dengar dan teknik pengajaran

luar kelas.

4) Penguatkuasaan Undang-Undang.

Bidang kuasa polis yang sedia ada perlu digunakan oleh pihak pentadbir sekolah

dalam mendisiplinkan pelajar-pelajar. Pihak pentadbir hendaklah mengambil

kesempatan dengan merujuk kepada pihak berkuasa bagi menatasi masalah ini.

5) Peranan Media Massa

Media perlu mengawal penyiaran secara eksklusif dan besar-besaran tentang

keruntuhan akhlak remaja tanpa membantu untuk mengawalnya. Sebaliknya remaja

yang berjaya mesti sering ditonjolkan di media massa sebagai motivasi untuk

diteladani. Hal-hal mengenai kreativiti remaja mesti sering diperbanyak berbanding

liputan mengenai aksi dan perangai negatif mereka. Sesungguhnya, pelbagai gejala

negatif berleluasa di kalangan remaja hari ini. Oleh itu, semua pihak perlu

bekerjasama membanteras fenomena ini agar tidak timbul masalah sosioekonomi

yang lebih serius.

8

Page 10: Disiplin Di Sekolah

6) Peranan Masyarakat Dan Komuniti

Setiap usaha yang dilakukan dalam apa-apa permasalahan masyarakat tidak akan

berjaya jika masyarakat di tempat di mana masalah itu berlaku tidak turut sama

menggembleng tenaga. Mereka perlu memasang mata dan telinga terhadap gelagat

anak-anak muda masa kini. Mereka juga perlu lebih proaktif dan prihatin akan hal-

hal yang berlaku di sekeliling mereka. Sebagai contoh, pada awalnya remaja akan

menghisap rokok, kemudian akan terlibat dalam gejala menagih dadah. Jika terlihat

remaja berkumpul dengan rakan sebaya dalam keadaan mencurigakan, segera

laporkan kepada pihak polis ataupun paling tidak kepada ibu bapa mereka.

Selain itu, komuniti kampung atau kejiranan hendaklah merancang aktiviti

yang dapat merapatkan hubungan kemasyarakatan. Contohnya, mengadakan hari

keluarga ataupun gotong-royong. Apabila aktiviti berfaedah seperti itu dapat

dijalankan, hubungan silaturahim semakin padu menyebabkan anak-anak muda

berasa bersalah untuk melakukan perkara negatif seperti mencuri di dalam taman

perumahan mereka.

Orang dewasa dalam kelompok masyarakat perlu menjadi model untuk

dicontohi oleh anak-anak muda. Seandainya orang dewasa mahu melakukan

perbuatan yang tidak senonoh, janganlah di depan anak-anak, kelak dituduh seperti

ketam menyuruh anaknya berjalan betul. Sebagai contoh, orang dewasa tidak boleh

menegur anak muda yang menghisap rokok sekiranya diri sendiri menghisap rokok.

Menegur atau membantu remaja yang sedang menghadapi cabaran dalam

kehidupan mereka. Masyarakat perlu berani untuk menegur kelakuan sumbang

remaja seperti menjalankan tanggung jawab mereka untuk memberikan nasihat

kepada remaja kita supaya remaja tidak tersesat jalan dan tidak terbabit dalam

pelbagai fenomena sosial yang menjejaskan imej negara.

7) Memperhebatkan Bimbingan dan Kaunseling Sekolah.

Langkah-langkah pencegahan yang bersesuaian hendaklah diadakan di peringkat

9

Page 11: Disiplin Di Sekolah

sekolah. Kaunseling di peringkat sekolah adalah penting dalam membantu remaja

mengatasi masalah mereka. Program ini akan lebih bermakna sekiranya kaunselor-

kaunselor yang berkelayakan dan berpengalaman dilantik dalam memantapkan

pelaksanaan dan keberkesanan kaunseling tersebut.

8) Mengadakan Kempen Kesedaran

Kempen-kempen pencegahan jenayah juga boleh diadakan di setiap sekolah.

Pelbagai kempen yang kebiasaannya diadakan mampu meningkatkan kesedaran di

kalangan remaja terutamanya peringkat sekolah rendah. Ini kerana pelajar pada

tahap ini kurang terdedah kepada kegiatan-kegiatan jenayah. Dengan ini, mereka

akan berasa takut untuk melakukan jenayah setelah terlibat dalam kempen-kenpem

kesedaran yang diadakan di sekolah. Antara kempen pencegahan jenayah yang

sering diadakan di sekolah adalah seperti tayangan video, pameran berunsurkan

aktiviti jenayah dan mewajibkan jemputan kepada pegawai polis untuk hadir

memberi ucapan mengenai kegiatan jenayah, kesan dan hukuman kepada pesalah.

Oleh itu, kempen kesedaran sepatutnya diadakan untuk meningkatkan tahap

kesedaran para remaja yang sejak kebelakangan ini amat membimbangkan.

9) Mengaktifkan Aktiviti Kokurikulum Sekolah

Penubuhan kelab bersifat antijenayah sosial di sekolah merupakan antara modus

operandi untuk menangani masalah jenayah yang semakin berleluasa ibarat

cendawan tumbuh selepas hujan. Kelab Pencegah Jenayah (KPJ) dan Skim Lencana

Anti Dadah (SLAD) merupakan antara kelab bersifat antijenayah yang ditubuhkan di

sekolah. Kelab-kelab seperti ini bukan sahaja mendedahkan keburukan melakukan

jenayah malahan menggalakkan pelajar untuk senantiasa melakukan perkara-perkara

yang berunsurkan sifat mahmudah seperti tolong-menolong dan ikhlas dalam

melakukan sesuatu pekerjaan. Kelab bersifat antijenayah sosial dapat didefinisikan

sebagai pertubuhan yang mencegah sebarang penjenayahan daripada berlaku dan

menjadi lebih parah. Hal ini bersesuaian dengan pepatah, ‘mencegah lebih baik

10

Page 12: Disiplin Di Sekolah

daripada mengubati’.

06. Kesimpulan

Walau apa pun masalah disiplin yang timbul, pelajar perlu dikenakan hukuman atau

denda baik ringan atau berat bergantung kepada tahap kesalahan yang dilakukan.

Pelaksanaan hukuman ini perlu kerana ia merupakan salah satu daripada kaedah atau

cara pendidikan yang berkesan. Sebelum pelaksanaan sesuatu hukuman, pihak ibu bapa

hendaklah dimaklumkan terlebih dahulu supaya tidak timbul sebarang masalah

berbangkit selepas sesuatu tindakan dilakukan. Namun begitu pihak sekolah juga harus

bertanggung jawab sepenuhnya terhadap tindakan yang dibuat. Ini bertujuan

mempastikan sesuatu tindakan yang diambil adalah wajar dan berpatutan dengan

keslahan yang dilakukan. Secara tidak langsung dapat mengelakkan daripada timbulnya

masalah guru mendera pelajar.

11

Page 13: Disiplin Di Sekolah

RUJUKAN

Abdullah Sani Yahaya (2006). Mengurus disiplin pelajar. Batu Caves: PTS

Professional.

Mohd Ismail Othman (2004). Undang-undang Untuk Pengetua dan Guru Besar.

Pahang. PTS Publicatioan and Distribution. Sdn. Bhd.

Mohd. Rashid Mohd. Saad (2005). Mengapa Rotan Tidak Berkesan. PTS Professional

Publishing Sdn Bhd.

Mok Soon Sang (1995). Asas Pendidikan 3: Penilaian Dalam Proses Pendidikan.

Kuala Lumpur : Kumpulan Budiman Sdn. Bhd.

Omardin Ashaari (1999). Pengurusan Sekolah: Suatu Panduan Lengkap. Kuala

Lumpur: Utusan Publications and Distributors Sdn. Bhd.

SMK Taman Jelutung. (2012). Garis Panduan Pengendalian Salah Laku Murid.

Dimuat turun pada 7 Oktober 2014, daripada URL:

http://www.smktj.net/v2/index.php?

option=com_content&view=article&id=63:garis-panduan-pengendalian-salah-

laku-murid&catid=7:unit-hem&Itemid=17

12

Page 14: Disiplin Di Sekolah

13