dalam mahkamah tinggi malaya di kuantan … 45-1-00.pdf · orang dewasa yang sudah rentung. antara...

68
1 DALAM MAHKAMAH TINGGI MALAYA DI KUANTAN PERBICARAAN JENAYAH NO: 45 - 1 - TAHUN 2000 PENDAKWA RAYA LAWAN 1. MOHAMAD ANUAR BIN OMAR (KP:720916-06-5391) 2. AHMAD JAIS BIN OMAR (KP: A0572865) 3. MOHD SHARIF BIN TALIB (KP: A2312478) ALASAN PENGHAKIMAN Tertuduh-Tertuduh dalam perbicaraan ini menghadapi tuduhan berikut: “Bahawa kamu, bersama-sama pada 4hb Jun, 1999, jam lebih kurang 1.00 tengah hari hingga 3.15 petang, bertempat di lot nombor 1246, Kampung Sungai Soi, Kuantan, dalam daerah Kuantan, di negeri Pahang Darul Makmur, bagi mencapai niat umum bersama, dengan niat membunuh, didapati telah menyebabkan kematian terhadap Nik Khazanah binti Wan Yaacob KP: 1974437, berumur lebih kurang 50 tahun, maka kamu dengan ini telah melakukan suatu kesalahan membunuh dengan niat yang boleh dihukum di bawah seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama dengan seksyen 34 kanun yang sama.”

Upload: phamphuc

Post on 01-Apr-2019

258 views

Category:

Documents


0 download

TRANSCRIPT

1

DALAM MAHKAMAH TINGGI MALAYA DI KUANTAN

PERBICARAAN JENAYAH NO: 45 - 1 - TAHUN 2000

PENDAKWA RAYA

LAWAN

1. MOHAMAD ANUAR BIN OMAR (KP:720916-06-5391) 2. AHMAD JAIS BIN OMAR (KP: A0572865) 3. MOHD SHARIF BIN TALIB (KP: A2312478)

ALASAN PENGHAKIMAN

Tertuduh-Tertuduh dalam perbicaraan ini menghadapi tuduhan

berikut:

“Bahawa kamu, bersama-sama pada 4hb Jun, 1999, jam

lebih kurang 1.00 tengah hari hingga 3.15 petang,

bertempat di lot nombor 1246, Kampung Sungai Soi,

Kuantan, dalam daerah Kuantan, di negeri Pahang Darul

Makmur, bagi mencapai niat umum bersama, dengan niat

membunuh, didapati telah menyebabkan kematian

terhadap Nik Khazanah binti Wan Yaacob KP: 1974437,

berumur lebih kurang 50 tahun, maka kamu dengan ini

telah melakukan suatu kesalahan membunuh dengan niat

yang boleh dihukum di bawah seksyen 302 Kanun

Keseksaan dibaca bersama dengan seksyen 34 kanun yang

sama.”

2

Kes Pendakwaan

2. Pada pukul 11.40 pagi 5.6.1999, Koperal Zulkifli bin Mohd

Salleh (SP19) menerima maklumat daripada Dzulkarnain bin Awang

Long (SP12) bahawa sebuah motorvan dan mayat dijumpai di dalam

semak di Lorong Permatang Ubi, Kg. Sungai Soi, Kuantan. Dia telah

memberitahu hal itu kepada ASP Siva Pergahsum a/l Shahmugam

(SP18) yang menjalankan siasatan selanjutnya.

3. Hasil siasatan mendedahkan fakta berikut. Pada pagi 4.6.1999

Nik Khazanah binti Wan Yaacob (simati atau Kak Zimah) telah

keluar dari rumahnya untuk mengutip hutang di sekitar Kg. Sungai

Soi. Simati berniaga barangan dengan harga dibayar secara ansuran.

Beliau juga mengambil pesanan pelanggannya dan mengutip hutang

pada awal bulan mengikut tarikh dan kawasannya. Pada hari itu

simati tidak pulang ke rumah dan gagal dihubungi. Suaminya telah

membuat laporan polis.

4. Kali terakhir simati dilihat masih hidup ialah di rumah Tertuduh

1 (Anuar) di mana ketiga-tiga Tertuduh dan Roslida bt. Hamid (SP4)

3

isteri Anuar turut hadir. Di rumah inilah simati telah menemui

ajalnya. Mayat simati ditemui dalam van yang terbakar. Leher simati

dililiti seutas wayar. Barang-barang kemas simati telah digadaikan

oleh SP4 dan kakaknya Rokiah bt. Hamid (SP14) atas arahan Anuar

di kedai emas di Pasir Putih, Kelantan.

5. Saksi utama pendakwaan, SP4 menceritakan apa yang berlaku

di rumahnya pada 4.6.1999. Menurutnya, Jais dan Lobo datang ke

rumahnya pagi itu dan pergi ke belakang rumah. Apabila Anuar

balik dari bekerja sejam kemudian dia terus ke belakang rumah. SP4

tidak tahu apa mereka buat kerana dia tidur. Selepas itu ketiga-tiga

Tertuduh datang ke dapur dan SP4 dikejutkan. Jais menyuruh SP4

menelefon kakak iparnya Salmi dengan pesanan jika Kak Zimah

datang ke rumahnya minta Kak Zimah datang ke rumah SP4 kerana

Jais hendak bayar hutang barang yang diambil olehnya. SP4 bertanya

kenapa Jais yang menyuruhnya. Bila SP4 tengok ke arah Anuar,

suaminya berkata “pergilah”. Ketika itu Lobo ada bersama. SP4

pergi ke rumah jirannya Kak Jarah (SB6) menelefon Salmi dan

berpesan seperti yang diarah. Apabila dia balik Anuar berada di

4

dalam bilik manakala Jais dan Lobo berada di ruang tamu di depan

rumah sedang menonton TV.

6. Kak Zimah kemudian menelefon telefon bimbit Anuar dan

memberitahu SP4 yang dia akan datang. SP4 juga terdengar

perbualan antara Jais dan Lobo di mana salah seorang daripada

mereka ada berkata “Kita terpaksa ragut Kak Zimah, kalau tidak kita

sakit.”

7. Pada tengah hari itu, SP4 terdengar bunyi kenderaan masuk ke

kawasan rumahnya. Dia berada di dapur. Apabila dia hendak keluar

ke depan, Jais telah melarangnya dan menyuruhnya duduk di situ.

Dia nampak Lobo menunggu di belakang pintu depan. Apabila Kak

Zimah memberi salam dan masuk ke rumah itu, daun pintu terus

ditutup. Lobo telah pegang Kak Zimah, dan mengilas tangannya ke

belakang. Jais cuba meragut beg daripada Kak Zimah. Kemudian

Anuar keluar dari bilik dalam keadaan terpinga-pinga. SP4

mendengar Jais berkata, “Anuar, ambil kayu, ketuk”. Anuar

mengambil kayu dan ketuk kepala Kak Zimah menyebabkannya

5

terkulai lemah. Jais menyambut Kak Zimah dan Lobo dengan serta-

merta menolak SP4 masuk ke bilik dan bilik itu dikunci dari luar.

SP4 bersama anak-anaknya di dalam.

8. Apabila pintu itu dibuka semula oleh Anuar, SP4 nampak Kak

Zimah terbaring di depan bilik dengan tali menjerut di lehernya. SP4

bertanya kenapa Kak Zimah jadi macam itu dan Jais berkata

kepadanya, “Kau diam, kalau tidak, kau jadi macam ini.” Mereka

mengugutnya supaya jangan bising dan jangan pergi ke mana-mana.

SP4 tidak pasti sama ada Jais atau Anuar mengambil cadar untuk

membungkus Kak Zimah sementara Lobo keluar rumah dan mengalih

kedudukan van. Lobo kemudian mencabut plet van. Plet depan

dibawa ke dapur manakala plet belakang dibuang ke dalam semak.

9. Mengikut SP4, apabila dia keluar dari bilik, dia nampak tali di

leher simati yang tidak lagi bergerak. Ketiga-tiga Tertuduh telah

mengangkat simati ke dalam van sebelum mereka bersama-sama

keluar dengan van itu. SP4 ingat nombor plet van itu, iaitu CAC

4948.

6

10. Pada malam itu, SP4 pergi bersama Anuar dan anak-anak

mereka ke rumah ibu mertuanya (SB3). Dia kemudian menemani

Anuar keluar ke bandar Kuantan. Sebelum pergi Anuar masuk ke

dapur dan mengambil 3 botol oren dan 1 botol 2T. Bila ditanya,

Anuar menjawab yang ia adalah untuk isi minyak buat spare bagi

perjalanan balik ke Terengganu esok. Dalam perjalanan balik Anuar

singgah di stesen Shell di Jalan Besar untuk membeli minyak. Anuar

seorang keluar dari kereta dengan membawa botol-botol itu. Sampai

di simpang dekat rumahnya, Anuar telah keluar dari kereta dengan

membawa minyak yang dibeli itu masuk ke dalam semak di kanan

jalan. SP4 nampak ada orang lain di situ yang dia pasti adalah Jais

dan Lobo. Ketiga-tiga mereka masuk ke dalam semak. Anuar keluar

dari semak itu selepas beberapa minit dan mereka beredar. Kemudian

SP4 terdengar bunyi “Boom” seperti bunyi letupan. Bila ditanya,

Anuar menjawab, “Dia orang dah bakar”.

11. Pada hari berikutnya semasa dalam perjalanan pulang ke

Terengganu dengan menaiki kereta, Anuar telah menunjuk kepada

SP4 barang kemas dan dia memakainya. SP4 juga nampak satu

7

gelang tangan besar di tangan Anuar. Barang-barang kemas itu atas

arahan Anuar telah dijual oleh kakaknya SP14 kepada Mek Yeh

(SP5), peniaga kedai emas di Pasir Putih, Kelantan.

12. Pakar pathologi Dato’ Dr. Abdul Karim (SP15), telah

menjalankan bedah siasat ke atas mayat simati. Didapati ia jasad

orang dewasa yang sudah rentung. Antara lain di dapati kepala tiada

berkulit dan tulang tengkorak terdedah. Tulang tengkorak kelihatan

ada retak berganda. Pada lehernya terdapat lilitan wayar elektrik dan

kesan jerutan. Apabila dibuka saluran nafas, di dapati tidak ada

jelaga di dalamnya. SP15 membuat kesimpulan simati itu ialah

seorang wanita dewasa yang telah mati kemudian dibakar. Sebab

kematian adalah jerutan di leher dengan wayar elektrik. Menurutnya,

tiada jelaga dalam saluran penafasan menunjukkan kematian berlaku

sebelum kebakaran.

13. Pegawai Sains, Abdullah bin Mohd Yusof (SP3) telah

menjalankan pemeriksaan ke atas motor van yang terbakar itu pada

7.6.1999 di tempat ia ditemui. Menurutnya, van itu terletak di dalam

semak dan keseluruhan van terbakar hangus termasuk isinya. Van

8

tersebut mempunyai nombor enjin 066899EF10. Daripada

pemeriksaan di sekitar van dan juga di dalamnya, SP3 mendapati

kesan hydrocarbon di bahagian bawah belakang van yang bila

dianalisis di dapati adalah kesan kerosene. Beliau berpendapat van

tersebut telah dibakar dengan sengaja, kemungkinannya ia dibakar

dengan kerosene.

14. SP3 juga memeriksa plet nombor kenderaan CAC 4948

(P10A) dan mendapatinya dalam keadaan baik. Dia juga memeriksa

satu plet nombor kenderaan yang telah pecah dan tiada sebahagiannya

bernombor CAC 94 (P11A) dan mendapati bentuk huruf dan angka

serta warnanya serupa dengan P10A. Pada 9.6.1999, SP3 telah

memeriksa tempat nombor plet di belakang van, disuaikan dengan

P10A dan mendapatinya sepadan. Analisis ke atas lain-lain eksibit

iaitu baldi berwarna kuning, sehelai baju-T berjenama Dido, dan

wayar-wayar yang hangus menunjukkan terdapat kesan darah

manusia.

9

15. Hithaya Jeran s/o Narayanasamy SP17, yang menjalankan

analisis DNA ke atas spesimen-spesimen darah merumuskan bahawa

punca spesimen darah berlabel Nik Khazanah bt Wan Yaakub

(simati) adalah ibu kandung secara biologi kepada penderma

specimen-spesimen darah berlabel Tuan Rozita bt Tuan Kecil (SP7)

dan Tuan Ruziah bt Tuan Kechil (SP8).

16. SP18 yang melawat tempat van dijumpai pada 5.6.1999

mendapatinya dalam keadaan hangus dan tiada berasap lagi, dengan

pokok-pokok di sekelilingnya juga terbakar. Dia nampak satu jasad

yang dipercayai manusia rentung di bahagian belakang van.

Tengkoraknya pecah dan terdapat gelungan wayar di bahagian

lehernya. Mengikut SP18, SP4 memberitahunya dia nampak salah

seorang Tertuduh membawa 2 keping plet kenderaan yang telah

pecah menuju ke arah kiri rumahnya menghala ke kawasan kebun.

SP18 telah berjaya mengesan kedua-dua plet kenderaan itu (P20A

dan B) untuk siasatan lanjut.

10

17. Hasil siasatannya, SP18 mendapati P20A dan B adalah

sebahagian daripada plet nombor P11A yang nombornya adalah sama

dengan nombor yang terdapat pada P10A iaitu CAC 4948. Nombor

plet CAC 4948 itu adalah sama dengan nombor pendaftaran yang

terdapat dalam Cover Note Insurance dan kad pendaftaran (P46A dan

B). Berdasarkan nombor enjinnya, van yang terbakar itu disahkan

adalah van yang berdaftar di P46A dan B iaitu CAC 4948 kepunyaan

simati.

18. Pada 8.6.1999 Jais telah ditangkap di hadapan rumahnya di

US 62 Kampong Sg. Soi. Lobo ditangkap pada 9.6.1999 di rumah

No. 10, Lorong 12, RRM Kampung Perdana, Peramu, Kuantan. Pada

petang hari yang sama Anuar dan SP4 ditangkap di tol Bentong.

Hujah pihak pembela dan pendakwa di akhir pendakwaan:

19. Di akhir kes pendakwaan peguambela bijaksana, Encik

Krishman yang mewakili Anuar telah berhujah bahawa keterangan

SP4 tidak boleh dipercayai dan harus ditolak kerana bercanggah dan

perlakuannya selepas kejadian tidak munasabah sebagai seorang yang

11

telah mengalaminya. Hujahnya, SP4 kata dia lihat Anuar ketuk

mangsa sekali dengan kayu tetapi SP15 kata kematian bukan

disebabkan oleh ketukan di kepala mangsa tetapi jerutan

(strangulation) di leher. Oleh itu hujahnya jikapun diterima

keterangan SP4 perbuatan Anuar bukanlah penyebab kematian

mangsa. Beliau juga menghujahkan Anuar tiada niat menyebabkan

kematian mangsa. Dia mungkin terpengaruh dengan Jais dan Lobo.

Kalau dia perlu dituduh, bukanlah tuduhan membunuh.

20. Peguambela Jais, Encik Ramli bersetuju dengan hujah En.

Krishman mengenai kredibiliti SP4 dan menarik perhatian Mahkamah

atas kegagalan pendakwa memanggil anak sulung SP4, yang

dikatakan melihat apa yang berlaku, sebagai saksi – seksyen 114(g)

Akta Keterangan (AK) dirujuk. Beliau juga mendakwa bahawa SP4

adalah rakan jenayah, oleh itu seksyen 114(b) AK terpakai kerana

tiada keterangan langsung atau hal keadaan (circumstantial)

dikemukakan bagi menyokong keterangannya. Mengenai P33,

dihujahkan bahawa percakapan beramaran Anuar itu diragui

kebenarannya dan tidak boleh menjadi keterangan sokongan kepada

12

SP4 kerana dibuat atas kepentingan sendiri Anuar yang merupakan

rakan jenayah. Walau bagaimanapun beliau mengaku pembelaan

terikat kepada ketiadaan notis alibi. Tetapi memandangkan tempat

kejadian dalam pertuduhan meliputi kawasan 2 ekar dihujahkan

walaupun sekiranya Jais dan Lobo ada di situ mereka tidak tahu

menahu apa yang berlaku. Oleh itu beliau mohon Jais dan Lobo

dilepas dan dibebaskan tanpa pembelaan mereka dipanggil.

21. Peguambela Lobo, Dato’ Haranay, di dalam hujahnya

mempersoalkan sama ada mangsa di dalam kes ini adalah Nik

Khazanah kerana tiada kepastian darah siapa yang diambil dan siapa

yang mengambilnya untuk ujian DNA. Tiba-tiba saja ia muncul di

tangan SP18. Beliau juga berhujah bahawa SP4 adalah rakan jenayah

yang keterangannya bukan saja tiada kredibiliti kerana bercanggah

dengan keterangan lain tetapi juga tiada keterangan sokongan yang

diperlukan. Lagipun tambahnya tiada kepastian siapa yang

menyebabkan kematian Nik Khazanah kerana tiada bukti siapa yang

menjerut lehernya. Tanpa diketahui siapa yang menyebabkan

kematian maka tidak boleh dikatakan ada niat bersama untuk

13

membunuh. Tanpa niat bersama perlu dibuktikan siapa yang

menyebabkan kematian. Beliau juga menerima pakai dan menambah

kepada hujah En. Ramli bahawa keterangan SP4 tidak boleh disokong

oleh P33 yang kebenaran kandungannya sendiri memerlukan

keterangan sokongan. Akhirnya, beliau menghujahkan kes prima

facie tidak dibuktikan terhadap Lobo, oleh itu beliau patut dilepas dan

dibebaskan tanpa pembelaan dipanggil.

22. Timbalan Pendakwa Raya (TPR) yang bijaksana telah

berhujah bahawa pengenalan identiti jasad yang dijumpai tidak dapat

dipertikaikan adalah Nik Khazanah berdasarkan keterangan SP4 yang

melihat simati di rumahnya dengan lehernya dililit wayar dan pada

mayat terbakar ada wayar meliliti lehernya. Barang-barang kemas

simati juga ada bersama Anuar dan keluarganya semasa mereka balik

ke Terengganu. Van yang terbakar disahkan kepunyaan simati dan

rumah Anuar adalah tempat persinggahan terakhirnya sebelum beliau

dijumpai mati. Di samping itu ujian DNA juga mengesahkan

identitinya. Hujahnya keterangan SP18 mengesahkan spesimen-

14

spesimen darah itu diambil daripada mayat simati, suaminya serta

anak-anaknya dan ia tidak dicabar dalam pemeriksaan balas.

23. Berkenaan pembunuhan, keterangan SP4, SP15, SP3 dan

kandungan P33 mengesahkan apa yang berlaku. Mengenai niat

bersama, hujahnya, fakta bukan saja menunjukkan peranan Anuar

tetapi peranan aktif setiap Tertuduh dalam menyebabkan kematian

simati. Fakta juga menunjukkan Anuar, Jais dan Lobo berada di

tempat kejadian sejak pagi. Telah ditunjuk perancangan yang dibuat

dan bagaimana dilaksanakan oleh ketiga-tiga Tertuduh masing-

masing memainkan peranan yang aktif pada setiap langkah. P33

menyokong kesimpulan SP3 dan SP15 tentang penemuan darah,

jerutan di leher dan keterangan SP4 tentang apa yang berlaku.

Tindakan-tindakan ini menunjukkan niat bersama semua Tertuduh

untuk menghapuskan simati. Tindakan-tindakan mereka menyorok

apabila mangsa sampai, memegang dan mengilas tangannya,

mengetuk kepalanya, menutup pintu pagar, menjerut lehernya,

membawa jasad keluar dan kemudian membakarnya jelas

membuktikan niat bersama mereka. Hujahnya lagi bahawa P33 boleh

15

juga digunakan terhadap Jais dan Lobo mengikut seksyen 30 AK.

Dengan itu dihujahkan bahawa pendakwa telah berjaya membuktikan

kes prima facie terhadap Anuar, Jais dan Lobo dan mereka mesti

dipanggil untuk membela diri.

Keputusan di akhir kes pendakwaan:

24. Di akhir kes pendakwaan, Mahkamah berkewajipan untuk

menentukan sama ada pihak pendakwa telah berjaya membuktikan

suatu kes prima facie terhadap Tertuduh-Tertuduh seperti

diperuntukkan di bawah seksyen 180(1) Kanun Prosidur Jenayah

(KPJ). Pihak pendakwa perlu membuktikan intipati-intipati

kesalahan seperti berikut:-

(i) Kematian Nik Khazanah bt Wan Yaakob, simati;

(ii) Kematiannya disebabkan oleh atau adalah akibat

daripada perbuatan salah seorang atau semua

Tertuduh;

(iii) Mereka melakukannya dengan niat bersama untuk:

(a) menyebabkan kematian; atau

16

(b) menyebabkan kecederaan badan yang mereka

ketahui berkemungkinan besar akan

menyebabkan kematiannya; atau

(c) menyebabkan kecederaan badan dan

kecederaan itu dalam keadaan lazim adalah

mencukupi untuk menyebabkan kematiannya.

25. Bagi intipati (i) identiti simati seperti hujah TPR, bukan sahaja

disahkan melalui pemeriksaan DNA tetapi dibuktikan daripada

keterangan-keterangan langsung dan hal keadaan oleh SP3, SP4,

pakar pathologi SP15, ahli kimia SP17 dan pegawai penyiasat SP18

serta keterangan anak-anaknya SP7 dan SP8 yang kesemuanya bila

dilihat secara keseluruhannya tidak meragukan bahawa mayat rentung

yang dijumpai dalam van itu ialah mayat Nik Khazanah bt Wan

Yaacob.

26. Bagi intipati (ii), pihak pendakwaan telah membuktikannya

melalui keterangan SP4 dan keterangan sokongannya bahawa rumah

Anuar merupakan tempat terakhir persinggahan simati semasa

hayatnya. Di situlah dia diserang oleh Lobo dan Jais, diketuk

17

kepalanya dengan kayu oleh Anuar hingga dia jatuh terkulai dan

kemudian lehernya dijerut dengan wayar sebelum dia dimasukkan

oleh mereka ke dalam vannya yang kemudian dibakar. SP15

mengesahkan terdapat retak berganda di tengkorak kepala simati dan

simati telah mati sebelum dibakar. Penemuan lilitan wayar lektrik

dan kesan jerutan di leher simati menyebabkan SP15 membuat

kesimpulan bahawa kematiannya adalah akibat jerutan di leher. Van

yang terbakar juga dikenalpasti adalah kepunyaan simati dengan

serpihan plet nombornya dijumpai di sekitar kawasan rumah Anuar.

Oleh itu simati terbukti telah menemui ajalnya akibat daripada

perbuatan bersama Tertuduh-Tertuduh – tak kira siapa sebenarnya

menjerut lehernya. Anuar sendiri di dalam P33 mengesahkan

keterangan SP4 tentang apa yang berlaku di rumahnya pada hari

berkenaan serta peranannya sendiri.

27. Walaupun pukulan Anuar bukan penyebab kematian simati, ia

telah membuktikan peranan aktif Anuar bersama-sama Jais dan Lobo

untuk mencederakan simati dengan kecederaan yang mereka tahu

mungkin atau lazimnya boleh membawa maut. Apa yang berlaku

18

sebelum dan selepas itu juga menggambarkan niat bersama antara

mereka, perancangan yang dibuat serta tindakan-tindakan susulan

yang diambil bagi melaksanakannya bersama. Kewujudan niat

bersama serta perancangan itu diperkukuhkan lagi dengan tindakan

mereka tidak sekadar melumpuh keupayaan simati tetapi diteruskan

dengan menjerut lehernya dengan wayar letrik. Ini diikuti pula

dengan tindakan dan usaha mereka untuk melupuskan bukti perbuatan

kejam mereka itu apabila plet nombor van dipecah dan dibuang serta

vannya kemudian dibakar bersama jasad simati dan barang-barang

perniagaannya. Penemuan dan pelupusan barang-barang kemas

kepunyaan simati oleh Anuar melenyapkan apa-apa keraguan tentang

penglibatan serta niat mereka bersama dan memenuhi intipati (iii).

28. Hujahan En. Krishman mengenai kredibiliti keterangan SP4

ternyata tidak tepat. SP4 tegas bahawa dia dikejut daripada tidur

apabila Jais suruh dia menelefon ke rumah Salmi dan pesan minta

Kak Zimah datang ke rumahnya pagi itu. Walaupun dia mulanya

enggan tetapi akur apabila Anuar mengarah dia pergi. Tujuannya

ialah untuk mereka membayar hutang. Apa yang didengar dalam

19

perbualan antara Jais dan Lobo berlaku kemudian iaitu sebelum

ketibaan simati. Tiada percanggahan di situ.

29. Kegagalan SP4 memberitahu orang lain atau polis tentang apa

yang telah berlaku walaupun terdapat banyak peluang berbuat

demikian dan hanya memberitahu polis apabila ditangkap beberapa

hari kemudian tidak bermakna dia tidak becakap benar. Apabila

ditanya kenapa dia tidak meminta pertolongan orang lain semasa

menunggu 2 jam bersendirian selepas kejadian, SP4 telah

menjelaskan dia takut kerana telah diberi amaran oleh Jais supaya

tidak ke mana-mana atau dia akan jadi macam Kak Zimah. SP4 juga

menerangkan yang dia tidak berpeluang memberitahu orang lain

kemudiannya kerana Anuar sentiasa ada bersamanya. Sebagai isteri

yang takut dan setia kepada suaminya SP4 menjelaskan dia tak berani

buat apa-apa dan tak dapat buat apa-apa.

30. Kelakuan SP4 selepas kejadian dikatakan tidak menasabah

sebagai seorang yang telah mengalami kejadian yang berlaku.

Hakikatnya, tidak semua orang memberi reaksi yang sama apabila

20

mengalami sesuatu kejadian. SP4 yang mempunyai 4 orang anak

kecil dan masih dalam pantang selepas bersalin bergantung hidup

sepenuhnya kepada suaminya Anuar. Adakah menasabah jika dia

menghebahkan apa yang dilihatnya berlaku yang pastinya akan

menyebabkan keruntuhan tempatnya berlindung? Adakah tidak

menasabah baginya memilih atau merasakan terpaksa berdiam diri

dan akur kepada kehendak Anuar seperti yang berlaku? Sama ada

pukulan Anuar adalah sebab sebenar kematian Kak Zimah tidak

menjadi pertimbangan baginya – apa yang dia tahu Anuar berperanan

dalam menyebabkan kematian simati. Tidak hairan jika dia cuba

mengurangkan peranan Anuar dalam kejadian itu tetapi tiada sebab

kenapa dia harus melibatkan Jais dan Lobo melainkan mereka benar-

benar sama terlibat.

31. Apapun jua, SP4 telah menonjolkan dirinya sebagai seorang

saksi yang boleh dipercayai dan dengan jujur menyatakan kebenaran

tentang apa yang berlaku di rumahnya pada kali terakhir simati dilihat

masih hidup. Kredibilitinya tidak terhakis bahkan diperkuat oleh

21

keterangan-keterangan sokongan termasuk P33, cerita Anuar sendiri,

yang hampir sama tentang kejadian di rumah mereka pada hari itu.

32. Sama ada SP4 boleh dianggap sebagai rakan jenayah

(accomplice), seperti disarankan oleh En. Ramli dan Dato Haranay,

bergantung kepada peranannya dalam menyebabkan kematian Kah

Zimah. ‘Accomplice’ ditakrif sebagai seorang yang membantu orang

lain melakukan sesuatu jenayah atau perkara yang lazimnya salah –

(lihat The Cambridge Advanced Learner’s Dictionary 2003). Ia juga

diperihalkan sebagai particeps criminis atau peserta dalam jenayah.

Peranan SP4 di sini terhad kepada pergi ke rumah Kak Jarah atas

arahan suaminya untuk membuat panggilan telefon dengan pesanan

minta Kak Zimah datang ke rumahnya dan menyambut panggilan

telefon daripada Kak Zimah bahawa dia akan datang. SP4 bertindak

atas arahan apabila membuat panggilan telefon yang setahunya adalah

bagi tujuan membayar hutang. Jika dia terlibat dalam apa-apa

pakatan jenayah atau perancangan terhadap simati tidak mungkin dia

memberitahu Kak Jarah bahawa pemanggil telefon adalah Kak Zimah

yang akan datang untuk memungut hutang. Kehadirannya semasa

22

kejadian tidak lebih daripada sebagai tuan rumah yang pasif dan saksi

yang melihat sendiri. Dalam keadaan yang hampir serupa Mahkamah

Persekutuan dalam kes KUAN TED FATT v. PP (1985) 1 MLJ 211

bersetuju dengan keputusan Mahkamah Tinggi bahawa saksi yang

melihat mangsa dibunuh bukannya rakan jenayah kerana tiada

keterangan dia mengambil bahagian dalam pembunuhan itu

sebaliknya dia tidak tahu perayu membawa pisau dan tidak tahu

perayu berniat menggunakan pisau itu untuk membunuh simati. Atas

dasar itu SP4 bukan rakan jenayah dan keterangannya tidak

memerlukan keterangan sokongan.

33. Namun demikian, SP4 sebagai saksi utama dalam kes jenayah

berat, keterangannya wajar dan telah diberi penelitian yang rapi.

Sama ada keterangan seorang saksi boleh dipercayai bergantung

kepada kebarangkalian ceritanya apabila dilihat dalam suasana

keterangan-keterangan lain kes itu secara keseluruhan. Dengan kata

lain, ujian sama ada menerima atau menolak keterangannya ialah

ketekalan (consistency) ceritanya sendiri, bagaimana ia bertahan

semasa pemeriksaan balas dan sejauh mana ia bersesuaian dengan

23

keseluruhan keterangan lain dan hal keadaan kes itu. Keterangan SP4

didapati konsisten, tidak tercabar oleh pemeriksaan-pemeriksaan

balas yang rapi dan disokong oleh keterangan-keterangan lain dalam

aspek-aspek penting seperti kewujudan pakatan jahat, ketukan di

kepala dengan kayu, kejadian berlaku di ruang tamu rumahnya,

jerutan di leher simati, kehadiran van simati di perkarangan rumah

SP4 dan van dibakar. Perilakunya semasa memberi keterangan juga

turut menyakinkan atas kejujurannya menyatakan yang benar.

34. En. Ramli turut membangkitkan kemungkinan inferens

seksyen 114(g) AK dipakai atas kegagalan pendakwa memanggil

anak sulung SP4 memberi keterangan atau menawarkannya sebagai

saksi pembelaan. Skop pemakaian seksyen itu telah diterangkan oleh

Mohamad Azmi SCJ dalam penghakiman Mahkamah Agong dalam

kes MUNUSAMY v. PP (1987) 1 MLJ 492, 494 seperti berikut:

“It is essential to appreciate the scope of section 114(g)

lest it be carried too far outside its limit. Adverse

inference under that illustration can only be drawn if

there is withholding or suppression of evidence and not

merely on account of failure to obtain evidence. It may

24

be drawn from …………………, or non-production of

not just any witness but an important and material

witness to the case.”

35. Isu di sini ialah sama ada anak sulung SP4 merupakan saksi

penting dan perlu bagi kes pendakwa. Mengikut keterangan SP4

apabila disoalbalas oleh En. Krishman dia bersama Anuar

mempunyai 5 orang anak dengan yang sulungnya berumur 9 tahun.

Pada hari kejadian anak-anaknya berada di rumah (lihat muka surat

57 catitan keterangan). Dia tak pasti di mana anak sulungnya berada

semasa Kak Zimah masuk ke rumahnya (lihat muka surat 59) tapi dia

menafikan yang beliau berada di ruang tamu rumahnya. Menjawab

kepada En. Ramli, SP4 kata dia tak pasti sama ada anak-anaknya

nampak apa yang berlaku (lihat muka surat 67). Dan menjawab

soalan Dato Haranay, SP4 menyatakan anaknya tak pergi ke sekolah

hari itu (lihat muka surat 72) dan bila dia balik daripada menelefon,

anak-anaknya ada yang bermain di luar rumah (lihat muka surat 88).

36. Pegawai Penyiasat SP18 dalam pemeriksaan balas oleh En.

Krishman menjawab yang dia tidak ambil percakapan daripada anak-

25

anak SP4 tetapi semasa perjalanan perbicaraan percakapan anak besar

SP4 ada diambil oleh DSP Rokiah (lihat muka surat 218). Menjawab

kepada En. Ramli, SP18 kata SP4 mempunyai 5 orang anak dan

semasa kejadian anak sulungnya berumur 7-8 tahun. Dia tidak

membuat pertanyaan kepada anak sulung tersebut. Ketika diperiksa

semula oleh TPR, SP18 menerangkan bahawa dia tidak buat

pertanyaan kepada anak-anak SP4 kerana mereka masih kecil dan

keduanya menurut SP4 anak sulungnya kurang cerdik. (lihat muka

surat 236).

37. Keterangan-keterangan SP4 dan SP18 jelas menunjukkan

bahawa keterangan anak sulung SP4 bukan sahaja tidak diperlukan

dan tidak penting bagi membuktikan kes pendakwaan terhadap

ketiga-tiga Tertuduh tetapi juga tidak ada sekatan keterangan

(suppression of evidence) daripada pihak pendakwaan. Pertama,

keterangan lain adalah cukup untuk membuktikan kes pendakwaan.

Keduanya, terdapat keraguan sama ada anak tersebut melihat apa

yang berlaku dan tentang keupayaan mentalnya untuk memberi

keterangan. Ketiga, keterangannya hanya boleh digunakan untuk

26

menyokong atau menafikan keterangan SP4 yang tidak memerlukan

keterangan sokongan untuk mengisahkan kes pendakwa. Keempat,

sebagai keterangan sokongan, keterangan kanak-kanak itu sendiri

memerlukan keterangan sokongan. Dan kelima, pendakwa bebas

memilih mana-mana saksi yang hendak dipanggil dan keterangan

SP18 menjelaskan bahawa kegagalan memanggil anak tersebut

sebagai saksi bukan kerana sekatan keterangan (suppression of

evidence) tetapi adalah kerana ia tidak diperlukan.

38. En. Ramli membangkitkan 3 isu mengenai P33 iaitu sama ada

ia boleh dipercayai, sama ada ia boleh digunakan terhadap Jais dan

Lobo dan sama ada ia boleh dijadikan keterangan menyokong SP4.

Dato Haranay menambah bahawa oleh kerana kemasukan P33 hanya

dari segi kebolehterimaan dan bukan atas kebenaran keterangannya,

ia juga memerlukan keterangan sokongan. Dan keterangan sokongan

itu tidak boleh diperolehi daripada keterangan SP4 seorang rakan

jenayah yang juga memerlukan keterangan sokongan.

27

39. Tidak boleh dinafikan terdapat keterangan sokongan bebas

daripada SP3, SP4, SP7, SP8, SP9, SP12, SP15, SP17, SP18 yang

lebih daripada mencukupi untuk membuktikan kebenaran pernyataan

Anuar dalam P33 bahawa mangsa kejadian ialah Nik Khazanah yang

telah diketuk kepalanya dengan kayu, leher dan tangannya dijerut

dengan wayar di rumah kediaman Anuar dan jasadnya dibakar dalam

van kepunyaan simati dalam semak tak jauh daripada situ. Daripada

keterangan SP4, SP5, SP6, SP14, SP18 terdapat sokongan bertulis

barang-barang kemas kepunyaan simati telah dirampas dan kemudian

digadai atau ditukar dengan hasilnya digunakan oleh Anuar. Apa

yang berlaku itu adalah hasil perancangan bersama dan dilaksanakan

oleh Anuar bersama abangnya Jais dan kawannya Lobo selepas

mereka bersama-sama menghisap dadah di belakang rumah Anuar

pagi itu. Ini disokong oleh keterangan-keterangan SP4, SP10, SP11

dan SP13. P33 juga mengesahkan bahawa SP4 tidak terlibat dalam

rancangan mereka tetapi telah diperalatkan untuk memastikan

kedatangan simati ke tempat kejadian. Tiada sebab kenapa Anuar

mahu melibatkan Jais abang kandungnya sendiri dan Lobo kawannya

melainkan mereka benar terlibat. Dan tidak benar jika dikatakan

28

Anuar dalam P33 telah mengecilkan peranannya dan cuba

menunjukkan Jais dan Lobo memainkan peranan penting dalam

kejadian itu. Ini kerana Anuar sendiri mengaku dia yang mengetuk

kepala simati 3 kali dengan kayu yang dia letak di atas TV sebelum

itu sedangkan itu adalah perbuatan terpenting yang boleh

menyebabkan kematian mangsanya.

40. Sama ada P33 sebagai pengakuan oleh seorang rakan jenayah

boleh digunakan terhadap Jais dan Lobo tidak seharusnya menjadi isu

lagi kerana seksyen 30 AK telah memperuntukkan secara khusus

mengenainya. Seksyen itu berbunyi seperti berikut:

“30.(1) When more person than one are being tried

joinly for the same offence, and a confession made by one

of those persons affecting himself and some other persons

is proved, the court may take into consideration the

confesion as against the other person as well as against the

person who makes the confession.”

Atas alasan yang sama tiada sebab kenapa P33 tidak boleh menjadi

keterangan menyokong SP4. Walaupun keterangan SP4 tidak

memerlukan keterangan sokongan, P33 jelas selaras dan konsisten

29

dengan apa yang diceritakan oleh SP4 (walaupun terdapat sedikit

perbezaan tentang peranan Jais dan Lobo), dengan itu menguatkan

kebarangkalian bahawa apa yang dikatakannya tentang penglibatan

mereka adalah benar tanpa keraguan lagi.

41. Soal siapa yang menjerut leher simati tidak penting kerana

pertuduhan yang dihadapi mereka ialah menyebabkan kematian Nik

Khazanah dengan niat bersama yang dibuktikan bukan sahaja untuk

menyebabkan kecederaan badan yang mereka ketahui

berkemungkinan besar akan menyebabkan kematiannya, tetapi untuk

membunuhnya dengan tujuan untuk merompak barang-barang kemas

yang dibawa dan melepaskan diri daripada tanggungan hutang-hutang

daripada simati.

42. Niat bersama mereka untuk menyebabkan kecederaan badan

Nik Khazanah yang mereka ketahui berkemungkinan besar akan

menyebabkan kematiannya jelas terbukti dari keterangan SP4 dan

P33. Sama ada versi SP4 yang Anuar mengetuk kepala simati dengan

kayu bila disuruh oleh Jais berbuat demikian atau versi Anuar dalam

30

P33 yang dia mengetuk kepala simati dengan kayu 3 kali atas suruhan

Lobo diterima, hakikatnya sama, iaitu perbuatan Anuar itu memang

dirancang bersama. Buktinya, Anuar telah sediakan kayu yang

diletakkan di atas TV untuk maksud itu. Dan mereka tahu ketukan

kuat di kepala simati pada lazimnya pasti akan menyebabkan

kematiannya. Kata-kata, “Kita terpaksa ragut Kak Zimah, kalau tidak

kita sakit” yang didengar oleh SP4 daripada mulut Jais atau Lobo

sebelum itu atau kata-kata Lobo, “Nanti kalau Kak Zimah datang,

kau suruh isteri kau masuk bilik dan kunci pintu bilik itu. Aku akan

rampas beg Kak Zimah dan Jais akan ketuk kepala Kak Zimah.”

seperti dinyatakan oleh Anuar dalam P33 dengan sendiri

membuktikan niat dan perancangan bersama mereka terhadap

mangsanya dengan perlaksanaannya. Hasrat mereka tidak mungkin

tercapai jika Kak Zimah hanya dilumpuhkan sahaja dan dibiarkan

hidup kerana dia mengenali mereka dan tidak akan melepaskan

mereka daripada ‘kesakitan’ yang hendak dihapuskan.

43. Setelah simati jatuh terkulai apakah tujuan Lobo pergi

mengambil wayar? Apakah perlu simati dijerut lehernya dengan

31

wayar itu. Hanya mereka bertiga yang ada di situ dan tiada

seorangpun melarang simati dijerut. Dan apabila mereka

membungkus jasad itu dan mengangkatnya masuk ke dalam van tidak

dapat tidak mereka telah mengetahui atau beranggapan ia tidak lagi

bernyawa. Tercapailah hajat bersama mereka. Apa yang dilakukan

selanjutnya hanyalah untuk melupuskan kesan dan bukti kekejaman

mereka dari tempat kejadian. Oleh itu telah terbukti tanpa keraguan

niat bersama mereka untuk melupuskan simati.

44. Kedudukan betul mengenai pemakaian peruntukan seksyen 34

KK mengenai niat bersama telah diterangkan oleh Majlis Privy dalam

kes MAHBUB SHAH V. EMPEROR, AIR (1945) PC 118 seperti

berikut:

“ Common intention within the meaning of section 34

implies a pre-arranged plan. To convict the acccused of

an offence applying section 34 it should be proved that

the crimal act was done in concert pursuant to the pre-

arranged plan.”

Dan diterangkan selanjutnya :

32

“To invoke the aid of section 34 successfully, it must be

shown that the criminal act complained against was done

by one of the accused persons in furtherance of the

common intention of all: if this is shown, then liability for

the crime may be imposed on any one of the person in the

same manner as if the act was done by him alone.”

45. Pemakaian peruntukan ini boleh dilihat dengan lebih jelas

dalam kes CHIN HON & 2 ORS V. PP (1948) 1 MLJ 193, 194

di mana faktanya hampir sama. Dalam kes itu, Pretheroe Ag. C.J.

yang mempengerusikan panel Mahkamah Rayuan itu, apabila

menolak rayuan, berkata:

“In this case there was abundant evidence to prove that the

three appellants had made a pre-arranged plan and that this

plan was duly carried out as pre-arranged. Apart from

this, the three appellants were all present when the act was

carried out, and that was evidence which the Assessors

could have accepted to prove that each appellant took an

active part in the murder.”

46. Begitulah keadaannya dalam kes ini. Pihak pendakwa telah

berjaya membuktikan semua intipati kesalahan. Keterangan-

keterangan khusus dan hal keadaan yang dikemukakan telah dinilai

33

sebaik mungkin. Dan hasilnya Mahkamah tanpa keraguan mendapati

kes terhadap ketiga-tiga Tertuduh telah berjaya dibuktikan melainkan

boleh dikemukakan keterangan sebaliknya. Seperti yang telah

ditunjukkan sebelum ini, mereka bukan sahaja telah dibuktikan

mengetahui bahawa ketukan di kepala simati yang melumpuhkan

sebahagian badan simati pasti akan mengakibatkan kematiannya,

tetapi mereka memang berniat bersama untuk memastikan

kematiannya apabila menyebabkan leher simati dijerut dengan wayar

kemudiannya.

47. Dengan itu ketiga-tiga Tertuduh dipanggil untuk membela diri

atas pertuduhan yang dihadapi. Mereka telah diberi 3 pilihan dan

memilih untuk memberi keterangan bersumpah serta memanggil saksi

masing-masing.

Kes pembelaan:

48. Anuar telah memberi keterangan sebagai SB1 dan tidak

memanggil saksi lain. Jais membela dirinya sebagai SB2 dan

memanggil ibunya Aminah bt Endut (SB3), 64 tahun; anak sulung

Anuar, Shahriza (SB4), 11 tahun dan kakaknya, Rahmah (SB5) dan

34

Zaharah atau Kak Jarah (SB6) sebagai saksi. Lobo memberi

keterangan sebagai SB7 dengan disokong oleh adik perempuannya,

Zurina (SB8) dan rakannya Johan b. Yaakub (SB9).

49. Dalam keterangan membela dirinya, Anuar menafikan yang

dia memukul dan menjerut simati walaupun dia mengakui berada di

rumah tersebut semasa kejadian. Sebaliknya dia menuduh isterinya

SP4 yang melakukan perbuatan tersebut. Menurutnya, SP4 telah

bergaduh dengan simati dan dia nampak SP4 memukul kepala simati

beberapa kali. Pada ketika itu dia baru masuk ke dalam rumah dan

anak-anaknya sedang berada di ruang tamu. Kemudian dia telah

tolong SP4 mengangkat simati masuk ke dalam bilik dan berbuat

demikian kerana diminta dan kerana dia sayang kepada SP4. Anuar

juga turut menyatakan bahawa sebelum itu dia telah membawa 4

orang anaknya ke tingkat atas rumahnya dan apabila dia turun ke

tingkat bawah dia nampak SP4 sedang mengikat simati dengan

wayar. Katanya SP4 mengikat di bahagian leher dan tangan simati

di ruang tamu. Menjawab soalan TPR, Anuar mengakui yang Jais

selalu datang ke rumahnya dan dia menghisap dadah bersamanya di

35

situ. Biasanya mereka menghisap dadah di belakang rumahnya.

Selain Jais, kawannya yang turut datang menghisap dadah ialah Lobo.

50. Keterangan Anuar mengenai menghisap dadah walau

bagaimanapun dinafikan secara tegasnya oleh Jais dalam keterangan

bersumpahnya:

“S: Kamu tak pernah ambil heroin di rumah Anuar tetapi

di tempat lain?

J: Betul. Saya ambil heroin bukan di rumah Anuar.”

Menjawab kepada soalan lain oleh TPR, Jais mengatakan:

“ S: Anuar kata dia selalu ambil heroin bersama kamu

di belakang rumahnya. Juga bersama Lobo. Betul

cakap dia?

J: Tak betul. ”

51. Dalam keterangannya, Anuar juga cuba mewujudkan keraguan

terhadap kes pendakwaan dengan mengatakan SP4 mempunyai

skandal dengan pegawai penyiasat SP18. SP4 dan SP18 tidak pernah

disoal balas mengenai hal ini walaupun SP18 yang memberitahu

Mahkamah (semasa diperiksa balas oleh En. Krishman) bahawa SP4

telah hamil semasa Anuar berada di Penjara Penor dan telah

36

melahirkan anaknya. Anuar dalam keterangannya juga

mempertikaikan kredibiliti SP4 dengan mengatakan bahawa dia ada

bertanya kepada SP4 siapa yang membakar van tersebut apabila dia

terbaca dalam sebuah akhbar tentang sebuah van terbakar di Kg.

Sungai Soi dan SP4 memberitahunya yang dia telah membakar van

tersebut. Dalam keterangannya Anuar ada juga menyatakan sebelum

kejadian dia bersama 4 orang anaknya memberi makan ayam di

belakang rumahnya tetapi mengikut keterangan Jais di belakang

rumah itu tidak ada reban ayam.

52. Kesimpulannya dalam pembelaannya, Anuar menafikan

peranannya dalam menyebabkan kematian simati dan telah menuduh

SP4 yang melakukan pembunuhan tersebut. Mengikutnya, SP4

membunuh simati kerana tidak dapat barang yang dipesannya

daripada simati iaitu rantai.

53. Jais dalam keterangan membela dirinya pula menafikan

bahawa beliau berada di rumah Anuar pada hari tersebut iaitu Jumaat

4.6.1999. Menurutnya, pada pagi itu dia berada di rumahnya dan

37

hanya bangun tidur lebih kurang pukul 11.00 pagi. Dia tidur di ruang

tamu rumah di depan TV. Selepas bangun tidur dia membasuh

pakaiannya sendiri serta pakaian emak dan adiknya. Pada masa itu

tiada sesiapa di rumah kerana emak dan adik perempuannya telah

pergi ke kebun mengambil upah petik kacang. Dia hanya berjumpa

mereka apabila mereka kembali daripada kebun pada pukul 11.30

pagi. Mereka makan tengah hari bersama. Jais tidak pergi

sembahyang Jumaat pada hari itu. Selepas makan, dia terus keluar

rumah pergi menunggu bas untuk ke Peramu dengan tujuan untuk

berjumpa kawan-kawan yang sama-sama menghisap dadah. Pada

pukul 3.20 petang dia masih berada di Peramu dan hanya balik ke

rumah selepas waktu Maghrib.

54. Menurut Jais, dia hanya berjumpa Anuar semasa Anuar

sekeluarga membeli makanan di kedai ikan bakar di Peramu. Anuar

yang mengajaknya balik ke rumah. Apabila mereka sampai di rumah

di dapati emak dan adiknya sedang sembahyang. Pada malam itu dia

tidak keluar lagi sehinggalah keesokan harinya selepas pukul 11.00

pagi. Tegasnya, dia tidak pergi ke rumah Anuar di Lorong Permatang

38

Ubi pada 4.6.1999. Jais mengakui sudah lama kenal dengan simati

sebab anak simati SP7 satu sekolah dengannya ketika berumur 7

tahun. Jais menafikan dia membunuh simati atau merancang untuk

membunuh simati dan dia tidak ada menyuruh sesiapa membunuh

simati. Dia menegaskan dia tidak secara langsung atau tidak

langsung terbabit dengan pembunuhan simati.

55. SB3 memberitahu Mahkamah yang dia tinggal bersama Jais

dan seorang anak perempuan. Katanya Jais masih tidur apabila dia

dan anaknya keluar bekerja pagi itu. Apabila mereka balik Jais

sedang membasuh baju. Mereka makan tengah hari bersama. Lepas

itu dia tidur dan apabila dia bangun selepas Asar, Jais masih ada di

rumah. Dia tak ingat sama ada Anuar datang atau tidak ke rumahnya

hari itu.

56. SB4 tidak faham ikrar saksi dan telah memberi keterangan

tidak bersumpah setelah dia mengakui faham dia perlu bercakap

benar di Mahkamah. Dia kenal Jais sebagai Pak Anjang dan Lobo

sebagai Pak Cik Lobo. Katanya Kak Zimah mati di rumahnya. Pada

masa itu Jais dan Lobo tidak datang ke rumahnya dan Anuar berada

39

di belakang rumah. Katanya Kak Zimah diketuk oleh SP4 di depan

TV kemudian diikat dengan tali dalam bilik (muka surat 314). Dia

juga nampak SP4 mengangkat simati masuk ke dalam bilik.

Menjawab kepada En. Krishman SB4 kata semasa SP4 mengetuk dan

mengikat simati Anuar berada di tingkat atas, tidak di depan TV

(muka surat 315). Apabila disoal balas oleh TPR, SB4 kata Anuar

berada di tingkat atas dan tak nampak (muka surat 315). Menjawab

kepada TPR selanjutnya SB4 kata dia bermain di belakang rumah

apabila Kak Zimah kena ketuk (muka surat 323). Kemudian dia kata

Anuar berada di belakang rumah semasa Kak Zimah diketuk dan

dijerut (muka surat 324). SB4 berada dalam bilik bersama adik-

adiknya dan SP4 apabila simati dijerut (muka surat 325). Apabila

diperiksa semula SB4 mengatakan yang dia berada di depan TV

semasa simati diketuk dan Anuar di atas (muka surat 327).

57. Menurut SB5, SB4 tidak memberitahunya tentang peristiwa

pembunuhan Kak Zimah. SB4 ada memberitahunya yang SB6 telah

datang ke rumahnya sebelum simati datang. Apabila ditanya SB4

kata Jais tidak datang ke rumahnya. SB4 dikatakan tinggal

40

bersamanya atas permintaan Anuar sejak dibawa ke Mahkamah untuk

perbicaraan kes ini. SB4 tinggal bersama Salmi semasa Anuar dan

SP4 dalam tahanan, kemudian bersama SP4 sehingga di bawa ke

Mahkamah pada awal perbicaraan. SB6 yang pergi ke rumah Anuar

pada hari kejadian hanya nampak mereka berdua sahaja di rumah itu.

Dia tak nampak Jais atau Lobo di situ – katanya ada 2 pasang selipar

sahaja di pintu depan rumah. Menjawab kepada TPR, SB6 kata dia

hanya berada di pintu depan rumah iaitu di luar sementara SP4 di

dalam rumah. Begitu juga Anuar. Dia tak nampak keseluruhan

dalam rumah ataupun dalam 2 bilik bawah dan dia tak nampak anak-

anak Anuar masuk tengok TV tapi katanya mereka tengah bermain.

58. Lobo (SB7) di dalam keterangan membela dirinya pula

menyatakan pada hari Jumaat itu dia berada di rumahnya dan bangun

tidur pada pukul 9.00 pagi. Selepas basuh muka dan minum air, dia

duduk di ruang depan, baring-baring dan tengok TV sekejap. Lebih

kurang pukul 12.00 tengah hari dia keluar seorang diri untuk pergi ke

bandar. Semasa dia keluar adik-adiknya ada di rumah tetapi emaknya

telah pergi kerja.

41

59. Pada pukul 3.00 lebih petang itu dia telah pergi ke rumah SB9

yang berdekatan kerana telah berjanji dengannya nak cari perut ayam.

Dia telah mengambil motorsikal SB9 dan pergi ke Sungai Soi. Di

sana dia berjumpa dengan Anuar dekat simpang jalan besar dari

lorong ke rumah Anuar. Anuar minta dia menghantarnya ke Tanah

Putih tetapi dia enggan kerana dia dah lewat hendak pergi ke Paya

Bungor. Kemudian dia pergi masuk ke Kg. China untuk cari ayam

untuk dibuat umpan memancing di Paya Bungor. Dia balik dalam

pukul 4.00 petang, ambil air sirap di rumah untuk dibawa bekal dan

pergi ke rumah SB9. Dia telah bertolak ke Paya Bungor lebih kurang

pukul 5.00 petang bersama SB9 dengan menaiki motorsikal SB9.

60. Apabila sampai di Paya Bungor dekat pukul 6.00 petang, dia

telah pasang tajur dengan menggunakan umpan ayam. Lepas

memasang tajur hari dah malam dan dia tidur di rumah kawan SB9

yang namanya dia tidak ingat. Dia tidak tahu di mana kawan Johan

itu berada sekarang. Pagi esoknya dia pergi tengok tajurnya.

Kemudian dia bersama SB9 menebas tanah arwah emak SB9. Petang

itu dia balik dan sampai di Kuantan pukul 6.00.

42

61. Lobo menafikan dia bersama-sama dengan Anuar dan Jais

membunuh simati pada hari Jumaat 4.6.1999. Bahkan dia menafikan

yang dia pergi ke rumah Anuar pada bila-bila masa pada hari tersebut.

Dia juga menafikan yang dia berjumpa dengan Jais dan membakar

van simati bersama dengannya. Lobo turut menafikan yang dia

berpakat dengan Anuar dan Jais untuk membunuh simati.

Hujah pihak pembela di akhir kes pembelaan

62. Mengenai punca kematian simati En. Krishman merujuk

kepada keterangan SP15 yang mengesahkan simati mati dijerut dan

bukan dipukul.

63. Selanjutnya dihujahkan bahawa Mahkamah berhadapan

dengan 3 versi kes ini, yang pertama mengikut P33 oleh Anuar, yang

kedua seperti keterangan SP4 dan yang ketiga seperti keterangan

pembelaan Anuar dan SB4. Menurutnya, walaupun P33 diterima

sebagai keterangan, kandungannya tidak benar. Beliau merujuk

kepada alasan Anuar tentang perbezaan kandungan P33 dengan

ceritanya di Mahkamah, iaitu “Pertamanya, saya dipukul oleh pihak

43

polis. Kedua, Ida (SP4) berjanji suruh ikut statemen ini. Dan dia

berjanji kepada saya untuk menjaga anak-anak saya.” Versi Anuar

hanya diberitahu kepada peguamnya selepas SP4 memberi keterangan

dan dia mendapati SP4 telah hamil. Dia mendakwa SP4 ada scandal

dengan SP18. Katanya semasa dia ditangkap SP4 baru lepas bersalin

40 hari. Peguam seterusnya merujuk kepada keterangan SP4 yang

mengatakan Jais suruh dia panggil Kak Salmi minta Kak Zimah

datang yang berbeza dengan P33 di mana Anuar kata dia suruh SP4

panggil. Tambahnya dalam P33 Anuar kata dia dan SP4 jemput Kak

Zimah masuk tetapi dalam keterangannya SP4 kata Jais tak benarkan

dia pergi ke pintu bila Kak Zimah datang. Dalam P33 van dibakar

pada pagi 5.6.99 tetapi SP4 kata minyak dibeli pada 4.6.99, diserah

kepada Jais dan Lobo dan van dibakar pada petang yang sama. Juga

dalam P33 Anuar kata cincin ditebus di Kuantan dahulu pada 4.6.99

tetapi SP4 tidak sebut langsung hal itu. Oleh sebab-sebab itu,

peguambela menghujahkan P33 tidak benar kandungannya.

64. Mengenai versi SP4, peguambela yang bijaksana mengulangi

hujahnya mempertikai kridibiliti SP4 sebagai saksi di akhir kes

44

pendakwaan. Katanya SP4 berada lama sendirian di rumahnya

sebelum Anuar mengambilnya, kemudian ke rumah mertuanya dan

esoknya ke Terengganu bersama keluarganya dan lepas itu ke Kuala

Kubu Baru. Hujahnya, tidak boleh diterima akal selama beberapa

hari itu SP4 kata dia tiada kesempatan memberitahu orang lain

tentang apa yang terjadi. Tambahnya, SP14 nampak SP4 dan Anuar

seperti biasa saja dan tidak murung. Dan SP3 dalam keterangannya

menyatakan kesan kerosene dijumpai pada van tetapi SP4 kata Anuar

beli petrol oleh itu SP4 tidak bercakap benar. Dihujahkan keterangan

SP4 tidak benar kerana perlakuannya bukan seperti ‘ordinary person’.

65. Dihujahkan versi ketiga, adalah cerita sebenar. Semasa

kejadian Anuar berada di belakang rumah. Apabila dia masuk ke

dalam baru dia nampak SP4 memukul kepala Kak Zimah. SP4 yang

sebenar memukul mangsa lepas itu baru Anuar membantu

menghapuskan jasad mangsa. SB4 dikatakan menyokong Anuar

berada di belakang rumahnya semasa mangsa mati. Hujah peguam,

walaupun SB4 disoal balas dengan rapi dia dapat menjawab dengan

betul soalan yang pendek dan mengesahkan mangsa dijerut oleh SP4.

45

Oleh itu dihujahkan pendakwa gagal membuktikan tanpa keraguan

yang Anuar melakukan pembunuhan itu dan patut dibebaskan.

66. Encik Ramli bagi pihak Jais menghujahkan di dalam kes ini 3

orang saksi melihat pembunuhan, iaitu SP4, Anuar dan anak mereka

SB4. Persoalannya ialah sama ada SB4 betul-betul nampak apa yang

terjadi. Katanya, SP4 mengakui kemungkinan SB4 nampak apa yang

terjadi. SP18 juga kata SB4 nampak apa yang berlaku hari itu dan

TPR tidak mengajukan soalan kepada SB4 yang dia tak nampak apa

yang terjadi. Oleh itu hujahnya jawapannya positif yang SB4 nampak

apa yang terjadi. Persoalan undang-undang sama ada keterangan SB4

boleh diterimapakai dan boleh dipercayai dijawab oleh seksyen 113A

AK yang memberi ruangan kepada Mahkamah untuk menerima

keterangan kanak-kanak jika berpuashati dia memahami apa yang

benar dan tidak benar serta soalan yang diajukan. Katanya SB4

menjawab dengan tepat soalan-soalan tentang apa yang dia nampak,

walaupun tidak memberi jawapan yang tepat tentang soalan-soalan

collateral. Tambahnya, ini suatu yang tragik yang pasti beliau ingat

apa yang berlaku dan siapa yang melakukannya.

46

67. Dakwaan bahawa Jais dan Lobo tidak berada di tempat

kejadian semasa pembunuhan berlaku dihujahkan disokong oleh

keterangan Anuar. Keduanya, mengikut SB3 Jais masih tidur semasa

dia keluar dari rumah dan berada di rumah semasa dia balik dan

mereka makan tengah hari bersama. SB6 yang pergi ke rumah Anuar

pada pukul 12.30 tengah hari tidak nampak Jais dan Lobo di rumah

itu. Dia hanya perasan selipar Anuar dan SP4 saja yang ada di pintu

depan rumah. Jais sendiri juga menafikan yang dia pergi ke rumah

Anuar. Ini dibandingkan dengan keterangan SP4 yang Jais dan Lobo

berada di rumahnya sejak awal pagi dan merancang pembunuhan itu.

Sebaliknya hujah En. Ramli, keterangan SB4 bahawa ibunya SP4

yang melakukan pembunuhan itu dengan memukul kepala mangsa

dengan kayu dan menjerut lehernya dengan tali disokong oleh

keterangan Anuar.

68. Mengenai keterangan hal keadaan yang lain peguambela

merujuk kepada keterangan SP3 tentang kerosene sebagai bahan

bakar yang digunakan dan menghujahkan soalan dari mana datang

kerosene itu terjawab apabila Anuar mengaku di rumahnya terdapat

47

dapur minyak dan minyak kerosene memang ada disimpan di

rumahnya. Mengenai kesan darah yang terdapat pada baldi P15-A

dan baju T P16-A, dihujahkan SP4 mengaku beliau akhir

menggunakannya pada pagi itu tetapi bagaimana kesan darah boleh

terdapat di situ tidak dijawab. Hujahnya lagi SP4 mengaku pakaian

biasanya di rumah ialah baju-T dan kain sarung dan P-16A adalah

pakaian wanita dan itu disahkan oleh SP18. Tiada wanita lain di

rumah itu selain SP4. Peguam merujuk kepada gambar-gambar P4-

GL dan 4-HC – dan meragui sama ada SP4 dikurung dalam bilik itu.

Menurutnya pendakwa kata terdapat mangga pada pintu tapi gambar

P4HC jelas menunjukkan tiada mangga di tempat yang ditanda

bulatan oleh SP18. SP4 serta 4 orang anaknya dikatakan ditolak ke

dalam bilik itu oleh Lobo seorang dalam masa yang singkat –

sedangkan anak-anak itu boleh berjalan dan berada di merata tempat.

Hujahnya ini tidak mungkin. Ia menguatkan keterangan SB4 dan

menolak keterangan SP4.

69. Dihujahkan bahawa Jais ditangkap hanya berasaskan dakwaan

SP4. Tiada apa-apa barang dijumpai padanya. Dihujahkan

48

penyiasatan terhadap Jais dan Lobo tidak dijalankan dengan rapi atau

secara adil. En. Ramli menghujahkan sekiranya Mahkamah

menerima keterangan SB4 sepenuhnya ketiga-tiga Tertuduh mesti

dilepaskan dan dibebaskan. Tambahnya, pembelaan mereka bukan

sahaja berjaya menimbulkan keraguan terhadap kes pendakwaan

tetapi telah menunjukkan siapa pembunuh yang sebenar.

70. Dato’ Haranay berhujah bahawa penyiasatan kes tidak

dijalankan dengan rapi hingga orang yang terlibat tidak didakwa

tetapi orang lain dijadikan mangsa tuduhan. Menurutnya intipati

pertuduhan perlu dibuktikan melampaui keraguan yang munasabah.

Katanya Lobo hanya perlu membangkitkan keraguan ke atas kes

terhadapnya. Beliau menerima pakai hujah-hujah yang dibangkitkan

oleh peguambela-peguambela Anuar dan Jais yang berkaitan dengan

Lobo.

71. Beliau tidak menafikan kematian Nik Khazanah tetapi

mempersoalkan sama ada Lobo melakukan perbuatan yang

menyebabkan kematian itu. Katanya, dakwaan bahawa Lobo berada

49

di tempat kejadian sejak awal pagi itu, semasa mangsa dijerut dan

semasa van dibakar telah dinafikan oleh Lobo dan disokong oleh SB4

yang mengesahkan Lobo tidak datang ke rumahnya. SB8 pasti Lobo

berada di rumah mereka. Oleh itu tiada orang lain berada di rumah

SP4 selain SP4 dan keluarganya. Kes pendakwa sangat diragui. Jais

juga tidak ada di situ seperti hujah peguamnya. Oleh itu kehadiran

Tertuduh 1-3 untuk menyamun seperti didakwa oleh SP4 adalah tidak

benar. Lobo jelas tidak berada di rumah itu semasa mangsa sampai

atau semasa mangsa dipukul atau dijerut, itu keterangan SB4. Lobo

tidak tahu siapa yang menjerut mangsa – yang pasti beliau tidak ada

di situ.

72. Menurut peguam, yang berpeluang dan tahu di mana van itu

dan ada bahan-bahan untuk membakarnya ialah SP4. Lobo waktu itu

ada bersama SB9 di Paya Bungor sedang memancing. Itu kali

pertama SB9 mengajaknya memancing dan mereka bermalam di

sana. Oleh itu tidak menasabah Lobo berpeluang melakukan

perbuatan itu pada malam berkenaan. Beliau tidak bersama Anuar

dan Jais di tempat kejadian hari itu. Oleh itu tidak timbul pemakaian

50

seksyen 34 KK. Dihujahkan apa yang berlaku adalah antara suami-

isteri atas niat dan tujuan mereka sendiri. Kemungkinan besar kerana

kesempitan wang. SP4 tidak bekerja dan Anuar sakit. Setelah

mereka ditangkap mereka membuat cerita dan melibatkan orang lain.

Itulah sebabnya P33 dirakam yang menunjukkan pakatan antara

mereka. Setelah lama berada dalam tahanan Anuar baru

menerangkan apa yang berlaku, iaitu Jais dan Lobo tidak bersama

mereka. Ini disokong oleh SB4. Hujahnya lagi, tidak ada langsung

bukti yang boleh mengaitkan Lobo kepada kejadian ini selain

dakwaan SP4. P33 tidak boleh dijadikan sebagai bukti penglibatan

Lobo selain daripada ‘to tip the balance’. Tidak ada apa-apa hasil

diperolehi oleh Lobo.

73. Tambahnya lagi, keterangan SB4 perlu ditimbang. Dia boleh

menjawab apa yang dilihat yang dia tahu. Apa yang dia tak dapat

beri ialah bila diminta pandangan. Dia tidak ada imagination oleh itu

bukan orang yang boleh diajar atau membuat cerita. Cerita SB4

adalah konsisten dengan fakta – di mana mangsa dipukul dan dijerut

dengan kesan-kesan darah yang dijumpai. Dihujahkan baju P16A

51

itulah yang dipakai oleh SP4 dan darah itu yang tersembur daripada

mangsa. Atas dasar itu peguambela menghujahkan pendakwa gagal

membuktikan kes terhadap Lobo dan beliau mestilah dibebaskan.

Pertimbangan di akhir kes pembelaan

74. Di akhir perbicaraan kes, Mahkamah perlu menimbang semua

keterangan yang telah dikemukakan dan memutuskan sama ada pihak

pendakwa telah membuktikan kesnya melepasi keraguan yang

munasabah. Keraguan yang dimaksudkan di sini bukan sebarang

keraguan khayalan atau rekaan tetapi mestilah keraguan yang

berbangkit daripada kebenaran yang berjaya dibuktikan setelah semua

keterangan yang boleh diterima diteliti dengan rapi. Sharma J

dalam kes PP v. SAIMIN & ORS (1971) 2 MLJ 16, 17 telah

menerangkannya seperti berikut:

“…. it must be a doubt so solemn and substantial as to

produce in the minds of the jurors some uncertainty as to

the verdit to be given. ”

Oleh itu di tahap ini Tertuduh-Tertuduh perlu mengemukakan

keterangan yang boleh menimbulkan keraguan yang menasabah

52

terhadap kes yang telah dibuktikan terhadap mereka oleh pihak

pendakwa. Beban mereka jauh lebih ringan daripada pendakwa

kerana mereka tak perlu meyakinkan Mahkamah bahawa versi

mereka adalah benar atau patut dipercayai, memadai dengan mereka

menimbulkan keraguan yang menasabah bahawa mereka yang

melakukan apa yang didakwa.

75. Pembelaan Anuar, seperti yang dinyatakan lebih awal, tidak

menafikan pembunuhan Nik Khazanah di rumahnya tetapi mendakwa

yang melakukannya ialah isterinya SP4. Dia hanya diminta

membantu setelah simati diketuk kepala dan dijerut lehernya oleh

SP4 dan dia berbuat demikian atas dasar sayang kepada isteri. Versi

Anuar sekarang ternyata bertentangan dengan apa yang dia beritahu

kepada polis dalam P33 seminggu selepas dia bersama SP4

ditangkap. Anuar juga turut menafikan kehadiran dan penglibatan

abangnya Jais dan rakannya Lobo dalam kejadian itu.

76. Sama ada punca kematian adalah pukulan di kepala atau

jerutan di leher simati sebenarnya tidak membantu Anuar dalam

pembelaannya jika terbukti rancangan bersama antaranya dengan Jais

53

dan Lobo untuk membunuh simati. Hakikatnya ialah pembelaan

Anuar bukan saja mengesahkan kematian Nik Khazanah tetapi juga

dia telah diketuk kepalanya dengan kayu dan dijerut lehernya di

rumah sebelum dibakar di dalam vannya dalam semak tak jauh dari

rumah itu. Hujahan En. Krishman bahawa terdapat 3 versi apabila

diteliti ternayata tidak tepat kerana ada 2 versi sahaja sebenarnya

iaiatu versi SP4 dan versi Anuar dalam keterangannya.

77. Dihujahkan bagi pihaknya bahawa kandungan P33 adalah

tidak benar atas sebab-sebab yang diberi oleh Anuar dalam

keterangannya. 3 sebab yang dimaksudkan ialah sebab-sebab yang

diberikan bila ditanya kenapa kandungan P33 berlainan daripada

keterangannya, iaitu dia dipukul oleh polis, SP4 berjanji suruh ikut

“statemen ini” dan SP4 berjanji kepadanya untuk menjaga anak-anak

mereka. Sebab pertama telah ditolak apabila P33 diterima sebagai

keterangan dan sebab-sebab selainnya ternyata suatu ‘after thought’

dan tidak menasabah kerana sebahagian keterangan P33 tidak

mungkin diketahui oleh SP4 bahkan pakatan untuk memberi

percakapan mengikut kehendak SP4 tidak pernah dibangkitkan

54

semasa perbicaraan dalam perbicaraan mengenai P33. Lagipun tiada

ditunjukkan peluang untuk SP4 berjumpa Anuar dalam tempoh

seminggu tahanannya sebelum P33 dirakam.

78. Memang terdapat perbezaan antara versi SP4 dan P33 tetapi

tiada percanggahan dari segi asas faktanya. Sama ada Anuar atau Jais

yang menyuruh SP4 pergi menelefon Kak Salmi telah dijelaskan oleh

SP4 – Jais yang menyuruhnya tetapi apabila dia enggan Anuar yang

minta dia pergi. Oleh itu tiada percanggahan apabila Anuar dalam

P33 kata dia yang suruh SP4 menelefon Salmi. Begitu juga siapa

yang suruh Anuar ketuk Kak Zimah – SP4 kata Jais suruh tetapi

Anuar dalam P33 kata Lobo yang suruh dia. Hakikatnya ialah Anuar

lah yang mengetuk Kak Zimah dan berbuat demikian apabila disuruh

oleh salah seorang daripada mereka (Jais atau Lobo).

79. Peguam merujuk kepada dakwaan Anuar dalam P33 yang SP4

menjemput Kak Zimah masuk ke rumahnya yang dikatakan berbeza

dengan keterangan SP4 sendiri yang Jais tak benarkan dia pergi ke

pintu depan bila Kak Zimah datang. Saya tidak nampak

percanggahan di sini kerana Anuar tidak menyatakan di situ

55

bagaimana SP4 menjemput Kak Zimah masuk, sama ada dengan

perbuatan atau hanya dengan perkataan.

80. Dakwaan peguambela bijaksana bahawa terdapat

percanggahan antara SP4 dan P33 tentang tarikh van dibakar adalah

tidak benar kerana kedua-duanya merujuk kepada waktu awal pagi

5.6.99. Dalam keterangannya SP4 ada menyatakan “waktu itu hampir

cerah” iaitu semasa mereka keluar daripada rumah mertuanya.

81. Tiada asas bagi peguambela bijaksana meragukan keterangan

SP4 atau perlakuannya yang dikatakan bukan seperti orang biasa.

Dia hanya merupakan seorang suri rumah yang tidak bekerja dan baru

lepas pantang bersalin dan bersama 4 orang anak mereka bergantung

hidup sepenuhnya kepada suaminya Anuar. Dalam keadaan yang

berlaku dan dengan ugutan daripada Jais bahawa apa yang terjadi

kepada simati boleh juga berlaku kepadanya, adakah wajar baginya

mencari kesempatan untuk memberitahu orang lain tentang apa yang

telah dilakukan oleh suaminya itu? Dakwaan SP4 tidak bercakap

benar mengenai Anuar membeli minyak petrol sedangkan kesan

56

minyak pada van yang terbakar adalah minyak kerosene adalah tidak

tepat. Apa yang diberitahu oleh SP4 ialah, “Sebelum pergi Anuar ada

masuk ke dapur dan ambil 3 botol oren dan 1 botol 2T. Saya tanya

dia buat apa. Dia kata untuk isi minyak buat spare bagi perjalanan

beliau ke Terengganu esok.” Yang menyebut tentang minyak petrol

bukannya SP4 tetapi ialah Anuar di dalam P33 yang mengaku

membelinya dan menyerahkan kepada Lobo dan Jais pada pagi

5.6.99. Anuar mendakwa minyak kerosene digunakan juga untuk

memasak di rumahnya tetapi SP4 tidak disoal balas apabila dia kata

dia hanya menggunakan dapur gas untuk memasak.

82. Versi Anuar ialah dia berada di belakang rumah semasa

kejadian dan hanya nampak SP4 memukul kepala simati apabila dia

masuk ke dalam dan dia diminta membantu menghapuskan jasad

mangsa. Dia hanya tolong mengangkat jasad simati dari ruang tamu

rumahnya ke dalam bilik dan pada malamnya ke dalam van dan

memandu van itu ke dalam semak. Dia hanya tahu tentang van

dibakar apabila membaca akhbar mengenainya 2 hari kemudian di

Kelang pada 8.6.99.

57

83. Pembelaan Anuar bukan sahaja bertentangan dengan

pernyataannya dalam P33 dan dengan keterangan isterinya SP4, tetapi

juga didapati bercanggah dengan keterangan saksi bebas SP9 dan

tidak konsisten dengan dan tidak disokong oleh keterangan anaknya

SB4.

84. SP9 nampak van tidak ada nombor dengan 3 orang muda di

dalamnya (mengikut SP4 mereka adalah Anuar, Jais dan Lobo)

melalui jalan di hadapan rumah Anuar pada pukul 4.00 petang 4.6.99.

Dia yang sedang menunggang motosikal Viragonya terpaksa berhenti

di tepi jalan semasa berselisih dengan van itu kerana jalan sempit.

Apa yang dilihatnya adalah dari jarak dekat dan tidak dicabar. Begitu

juga tarikh dan masa kerana mengikutnya dia keluar semula dari

rumahnya lepas sembahyang Asar dan esoknya 5.6.99 van terbakar

dengan mayat di dalamnya dijumpai di kawasan berdekatan.

Keterangan SP9 jelas menafikan dakwaan Anuar yang dia seorang

yang memandu van itu, yang plate nombornya tidak dinafi telah

dibuang dan mayat Kak Zimah di dalamnya, ke arah semak

berdekatan rumahnya pada pukul 10.00 malam yang sama.

58

85. SB4 yang dipanggil oleh Jais sebagai saksinya hanya mampu

memberi keterangan tidak bersumpah. Dia berumur 9 tahun semasa

kejadian dan 11 tahun semasa memberi keterangan. Dia tidak faham

ikrar saksi apabila dibaca kepadanya. Keterangannya mengenai

penglibatan Anuar di dapati berubah-ubah. Menjawab kepada

peguambela Jais sama ada Anuar dan SP4 berada di rumah semasa

Kak Zimah mati dia menjawab, “Ma (SP4) ada. Bak (Anuar) duduk

di belakang rumah.” Menjawab kepada peguambela Anuar dia kata,

“Ja (SB4) nampak Ma ketuk dan ikat Mak Cik (simati). Masa itu,

Bak ada kat atas (merujuk kepada tingkat atas rumah mereka). Dia

tak ada di depan TV.” Apabila disoal balas oleh TPR dia sekali lagi

menjawab “Bak kat atas rumah. Dia tak nampak.” Apabila

pemeriksaan balas disambung esoknya jawapan SB4 berubah lagi

seperti berikut:

“ S : Mak Cik Zimah kena ketuk di mana Ja tak tahu.

J : Tahu.

S : Masa kena ketuk Bak di mana.

J : Di belakang.

S : Masa Mak Cik Zimah kena jerut, Bak di mana.

J : Di belakang rumah. Betul, Bak tidak masuk dalam rumah.”

59

Dalam pemeriksaan semulanya SB4 mengubah semula keterangannya

dengan menyatakan Anuar berada “kat atas” semasa dia nampak SP4

ketuk simati.

86. Apa yang berlaku selepas simati diketuk dijawab kepada

peguambela Jais seperti berikut :

“ S : Lepas itu dia buat macam mana.

J : (Diam).

Ma ketuk Mak Cik Mah di depan TV. Ma ikat

Mak Cik Mah dalam bilik. Ma bawa Mak Cik

Mah ke dalam bilik.

S : Macam mana dia bawa Mak Cik Mah ke dalam

bilik.

J : (Diam).

Ja nampak Ma bawa Mak Cik Mah ke dalam

bilik. Dia angkat dengan tangan.

Keterangan ini diulangi dalam pemeriksaan semula : “ S : Masa itu Bak ada di mana.

J : Kat atas.

Lepas Ma ketuk Mak Cik Mah dia ikat Mak

Cik Mah. Dia ikat dengan tali. Dia ikat Mak

60

Cik Mah dalam bilik. Dia ikat Mak Cik Mah

di bahagian tekak.

S : Macam mana Mak Cik Mah boleh masuk ke

dalam bilik.

J : Angkat.

S : Siapa yang angkat.

J : Ma yang angkat. ”

87. Dengan keterangan sedemikian, SB4 ternyata tidak bercakap

benar dan kemungkinannya dia tidak nampak apa yang berlaku.

Keterangan SB4 yang tidak bersumpah itu memerlukan sokongan

untuk diterima dan dengan berdolak dalik pula ia di dapati tidak

kredibel dan tidak boleh menyokong pembelaan Anuar bahawa SP4

bukan dia yang memukul simati dengan kayu. Mengenai simati

dijerut lehernya di dalam bilik ini ternyata bercanggah dengan

keterangan SP4 yang tidak dicabar, bahkan juga dengan pembelaan

Anuar sendiri bahawa simati dipukul kepala dan dijerut leher di ruang

tamu, bukan dalam bilik.

88. Oleh itu hujah peguambela bijaksana bahawa versi Anuar

adalah cerita sebenar tidak dapat diterima. Ternyata Anuar telah

61

berbohong. Pembelaan Anuar tidak menimbulkan apa-apa keraguan

atas kebenaran kes pendakwaan.

89. Pembelaan Jais bergantung kepada keterangan ibunya SB3,

anak Anuar SB4 dan Anuar sendiri. Jais menafikan penglibatannya

dengan pembunuhan simati dengan alasan dia tidak pun pergi ke

rumah Anuar pada hari kejadian. Tetapi keterangan Jais dan SB3

yang menunjukkan dia berada di rumahnya dari pagi hingga tengah

hari, kemudian ke Peramu dan hanya balik selepas waktu Maghrib,

merupakan keterangan yang menyokong pembelaan alibi dan tidak

boleh diterima kerana tiada notis alibi diberi mengikut kehendak

seksyen 402A KPJ. Black’s Law Dictionary Ed 6 memberi maksud

alibi sebagai “alibi is a defence that places the defendant at the

relevant time of the crime in a different place than the scene involved

and so removed therefrom as to render it impossible for him to be the

guilty party”.

90. Dengan ketiadaan keterangan menyokong alibi itu dan

penolakan keterangan Anuar dan SB4 atas alasan-alasan yang

62

dinyatakan terlebih awal, pembelaan Jais gagal menimbulkan apa-apa

keraguan terhadap kes pendakwaan kerana ia tinggal penafian

kosong.

91. Lagi pun, keterangan Anuar tidak boleh membantu penafian

Jais tentang kehadirannya di rumah Anuar semasa kejadian

pembunuhan Kak Zimah kerana sebagai rakan jenayah keterangannya

tidak boleh dipercayai melainkan disokong dalam butiran-butiran

terpenting - rujuk seksyen 114(b) AK. SB4 tidak boleh menyokong

Anuar tentang penafian itu kerana keterangannya sendiri bukan sahaja

diragukan kebenarannya tetapi juga memerlukan sokongan.

92. Penggantungan Jais kepada keterangan SB4 adalah

penggantungan kepada dahan yang buruk dan rapuh. SB4 bukan

sahaja hanya mampu memberi keterangan tidak bersumpah tetapi

juga berdolak dalik dalam keterangannya di Mahkamah dan ceritanya

kepada pihak polis. SB6 dihujahkan menyokong keterangan SB4

kerana dia hanya nampak 2 selipar di luar pintu depan rumah Anuar

dan tak nampak Jais dan Lobo di rumah itu. SB4 pergi ke rumah

63

Anuar lama sebelum kejadian dan dia tidak pun masuk atau

menjengok ke dalam rumah, sedangkan mengikut SP4 yang tidak

dicabar mengenainya, Jais dan Lobo ada bersembunyi di dalam bilik

nombor 2 pada masa itu. Lagipun mereka datang dari belakang

rumah, oleh itu jika mereka memakai selipar ia tentu ditinggalkan di

pintu belakang bukan di pintu depan. Juga kaedah berhati-hati (rule

of prudence) memerlukan keterangan tidak bersumpah seorang

kanak-kanak disokong oleh keterangan bebas dalam butiran-butiran

penting-nya - rujuk LOO CHUAN HUAT v. PP (1971) 2 MLJ 167

FC.

93. Keterangan SB4 juga tidak boleh membantu Jais kerana tidak

konsisten. Dia hanya konsisten mengatakan yang simati diangkat oleh

SP4 masuk ke dalam bilik di mana lehernya diikat dengan tali, yang

mana didapti bercanggah dengan keterangan SP4 dan juga Anuar

bahawa simati dijerut lehernya di ruang tamu. Oleh itu diragukan

sama ada SB4 betul melihat apa yang berlaku dan timbul persoalan

dari sumber mana dia mendapat ceritanya.

64

94. Jais berpeluang membaca P33 dan bersetuju namanya dan

Lobo ada dikaitkan oleh Anuar dengan pembunuhan Kak Zimah

di rumah Anuar. Jika benar dia tidak pergi ke rumah Anuar dan tidak

terlibat dengan kejadian di rumah itu pada 4.6.99 seperti yang

didakwanya, adalah aneh baginya menjawab kepada TPR dengan

mengatakan dia tidak pasti ceritanya kepada polis lebih kurang sama

seperti yang dicerita oleh Anuar dalam P33 (lihat muka surat 302).

Lebih aneh lagi apabila dia mengulangi jawapan yang serupa sebentar

kemudian seperti berikut (di muka surat 303):

“Saya tak pasti cerita yang Anuar beri kepada polis

itu sama dengan cerita yang saya beri kepada polis. Saya

tak pasti sama ada kemungkinannya sama. Betul,

statement saya diberi pada hari yang sama 17.6.99. Saya

tahu tarikh yang sama kerana pada hari itu kami dapat

berjumpa sekejap untuk statement diambil.

Saya tak pasti sama ada saya juga ada sebut nama

Anuar dan Lobo dalam statement saya.”

Jika dia tidak bersama dengan Anuar dan Lobo di rumah Anuar pada

hari tersebut, tidak mungkin dia tak pasti. Dia tidak menafikan

kebenaran statement yang dirakam daripadanya. Tiada sebab bagi

65

Anuar membabitkan abang kandungnya sendiri dengan pembunuhan

itu walaupun sekiranya benar isterinya yang melakukan kekejaman

itu. Pengakuan Anuar di dalam P33 bukan saja menjadi bukti

terhadapnya tetapi boleh juga membuktikan penglibatan Jais dan

Lobo rakan jenayahnya – lihat seksyen 30 AK.

95. Apapun jua, berpandukan pemerhatian Mahkamah Agong

dalam kes YAU HENG FANG v. PP (1985) 2 MLJ 335 bahawa

s. 402A KPJ tidak meletakan beban yang lebih berat kepada

seseorang tertuduh untuk membuktikan pembelaan alibinya, Jais

hanya perlu membangkitkan keraguan yang menasabah terhadap kes

pendakwaan. Lihat juga ILLIAN v. PP (1988) 1 MLJ 421 SC.

Dalam keadaan yang dihuraikan sebelum ini dia di dapati gagal

berbuat demikian.

96. Pembelaan Lobo tidak berbeza dengan Jais kerana ia juga

berupa alibi tanpa notis seksyen 402A KPJ diberi mengenainya.

Seksyen 402A menetapkan bahawa keterangan yang menyokong

pembelaan alibi tidak boleh diterima melainkan notis diberi kepada

66

Pendakwa Raya 10 hari sebelum perbicaraan. Oleh itu keterangan

saksi-saksinya SB8 dan SB9 tidak boleh diambilkira bagi

membuktikan kehadirannya di rumahnya dan pemergiannya ke rumah

SB9 dan seterusnya ke Paya Bungor bersama SB9 pada hari

berkenaan dan dia hanya kembali esoknya kerana itu semua

merupakan keterangan yang menyokong pembelaan alibi dengan

menempatkan Lobo di tempat dan masa selain daripada yang dia

didakwa berada. Rujuk KU LIP SEE v. PP (1982) 1 MLJ 194, 196.

97. Dengan penolakan keterangan Anuar dan SB4, pembelaan

Lobo tinggal penafian kosong yang tidak membangkitkan apa-apa

keraguan terhadap kes pendakwaan.

98. Dakwaan Lobo yang dia berada di rumahnya sejak pagi hingga

pukul 12.00 tengah hari Jumaat itu dan kemudian keluar ke bandar

hingga pukul 3.00 petang diragukan. Tiada keterangan

menyokongnya sedangkan telah dibukti melalui SP4 dan Anuar

(dalam P33) yang menunjukkan dia berada di rumah Anuar sejak pagi

hingga 3.15 petang apabila dia dilihat oleh SP11 menunggang

67

motosikal tidak jauh daripada tempat kejadian. Keterangan pergi

memancing bersama SB9 petang itu berlaku selepas pembunuhan

Kak Zimah. Ia hanya boleh menyokong yang dia tidak terlibat

dengan pembakaran van dan mangsanya tetapi ia juga diragukan atas

sebab-sebab yang sama.

99. Tiada sebab bagi Anuar melibatkan Lobo, kawan menghisap

dadahnya, dengan pembunuhan kejam Kak Zimah di rumahnya jika

Lobo tiada bersamanya. Dia mungkin sanggup menanggong akibat

perbuatan isterinya tetapi sukar diterima baginya melibatkan orang

lain yang begitu rapat dengannya. SP4 juga tiada sebab hendak

menganiaya Lobo, rakan baik suaminya sedangkan tiada perselisihan

faham atau pergaduhan antara mereka.

100. Atas sebab-sebab yang dihuraikan saya mendapati tiada

keraguan yang menasabah telah ditimbulkan oleh pihak pembelaan

terhadap kes pendakwaan. Saya dapati pendakwa telah berjaya

membuktikan kesnya terhadap ketiga-tiga Tertuduh Anuar, Jais dan

Lobo melampaui keraguan yang menasabah. Mereka telah

68

dibuktikan bersama-sama dan dengan niat bersama menyebabkan

kematian Kak Zimah di rumah Anuar. Dengan itu mereka didapati

bersalah dan disabitkan. Mereka telah dijatuhkan hukuman mati

di bawah seksyen 302 Penal Code.

Bertarikh : 9.10.2007

TENGKU DATO’ BAHARUDIN SHAH BIN TENGKU MAHMUD Hakim Mahkamah Rayuan

TPR Mohd Shariff bin Abu Samah bagi pihak Pendakwa Raya. En. Krishman mewakili Tertuduh 1

Tuan Syed Azimal bersama En. Ramli mewakili Tertuduh 2 Dato Haranay mewakili Tertuduh 3.