berita transformasi pertanian - …vodppl.upm.edu.my/uploads/docs/vitato- varieti baru...

16

Upload: hoangkhanh

Post on 11-Mar-2018

227 views

Category:

Documents


1 download

TRANSCRIPT

2 BERITA TRANSFORMASI PERTANIAN

Pengenalan

Ubi keledek (Iptomea Batatas L. Lamk) dari keluarga Colvolvulaceae adalah dari jenis umbisi yang ditanam di atas batas menggunakan keratan sebagai benih.

Keledek dipercayai berasal dari bahagian tropika Benua Amerika dan pada masa ini, ianya mempunyai taburan yang luas di semua kawasan tropika, sub-tropika dan kawasan yang bercuaca panas.

Terdapat pelbagai varieti atau klon keledek. Antara klon yang disyorkan termasuklah Gendut, Telong, Jalomas, Keledek Cina, Ubi Biru, Susu Lembu, Bukit Naga, Serdang 1, Kuala Bikam, Large White, Kangkong dan VitAto.

Di Malaysia, Ubi Keledek VitAto kini ditanam dengan meluas di kawasan kelompok petani di bawah seliaan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK). Ianya merupakan projek di bawah Program Pembangunan

Ladang Kontrak di Kelantan dan Terengganu seluas hampir 120 hektar. Ianya kini sudah mula dipasarkan secara runcit, di pasar tani dan juga di pasaraya-pasaraya terpilih.

Kelebihan Ubi Keledek VitAto

Ubi keledek VitAto, dikenali dengan keunikan isinya yang berwarna oren adalah kaya dengan bahan anti-oksidan seperti Vitamin C dan Beta Karotena yang ditukar menjadi Vitamin A di dalam badan. Bahan anti-oksidan dapat mengelakkan kerosakan pada DNA dan sel-sel badan yang seterusnya boleh menghalang kanser tertentu serta melambatkan proses penuaan. VitAto juga mengandungi serabut diet dan zat galian kalium yang tinggi serabut diet berkesan menentang diebetis, sembelit dan mengurangkan risiko kanser usus besar. Kalium pula berguna untuk mengurangkan risiko tekanan darah tinggi dan penyakit kardiovaskular.

KeledekTanaman Masa KiniOleh: Zaheran Abd Ghani (Ibu Pejabat LPP)

BERITA TRANSFORMASI PERTANIAN 3

Indeks Glisemik

Indeks glisemik (kadar menjadi glukos dalam darah) bagi ubi keledek ialah 54, iaitu rendah jika dibandingkan dengan roti putih (96) atau nasi putih (70). Ini bermakna ubi keledek lebih selamat dimakan oleh pesakit diabetes.

JADUAL PERBANDINGAN INDEKS GLISEMIK

Jenis Makanan Indeks Glisemik

Glukos 100 Roti Putih 96 Cornflakes 84 Rice Krispies 82 French Fries (Jejari Kentang) 75 Madu 73 Karot 71 Nasi Putih 70 Minuman Ringan 70 Kacang Panggang 68 Aiskrim 61 Ban Hamburger 61 UBI KELEDEK 54

Sumber MARDI

Penggunaan Ubi Keledek VitAto

Anda dan seisi keluarga boleh menikmati VitAto secara direbus, dikukus, dibakar/panggang, digoreng atau dimasak di dalam ketuhar mikro-gelombang. Ia juga boleh diproses menjadi produk makanan seperti jejari goreng (fries, kek, ban dan muffin).

Ianya juga boleh digunakan dengan pelbagai cara mengikut citarasa dan selera anda. Yang paling penting, VitAto bukan sahaja boleh dijadikan hidangan yang lazat tetapi juga kaya dengan pelbagai khasiat yang dapat membantu kita menjalani kehidupan yang lebih sihat, tampak bergaya dan rasa lebih segar serta mengurangkan atau menghapuskan risiko sesetengah penyakit.

BERITA TRANSFORMASI PERTANIAN4

STANDARD OPEATING PROCEDURE(SOP) KELEDEK VITATO

BERITA TRANSFORMASI PERTANIAN 5

BERITA TRANSFORMASI PERTANIAN6

Kerajaan masa kini amat menggalakkan petani mengusahakan pelbagai kegiatan pertanian

merangkumi tanaman, ternakan dan ternak air dalam usaha meningkatkan pendapatan dan memaksimumkan segala sumber yang ada.

Kebanyakan projek pertanian yang diusahakan kini lebih terpengaruh dengan keadaan persekitaran dan keperluan penduduk atau infrastruktur serta keadaan fizikal tanah setempat. Sebelum sesuatu projek pertanian diusahakan pelbagai faktor perlu diteliti terlebih dahulu supaya kesan ke atas projek ditahap minimum. Antara faktor yang perlu diberi perhatian termasuklah keadaan fizikal tanah dengan kesesuaian tanaman.

Pelbagai usaha boleh dilakukan bagi memaksimumkan penggunaan tanah seperti mengintegrasikan sesuatu jenis tanaman dengan tanaman lain. Antara usaha yang telah dilakukan dan terbukti berjaya ialah integrasi tanaman nanas dengan kelapa sawit. Nanas merupakan tanaman yang boleh tumbuh subur di atas lapisan tanah yang dalam dan mempunyai saliran baik. Di kawasan yang selalu ditakungi air, nanas tidak sesuai ditanam. Tanah gambut dengan saliran baik dan pengurusan sempurna membolehkan pokok nanas hidup subur serta mampu mengeluarkan hasil yang tinggi.

Pokok kelapa sawit selalunya hidup subur di atas tanah gambut tetapi hasil yang diperolehi ternyata

kurang dibandingkan jika ia ditanam di kawasan tanah selain tanah gambut. Di samping itu pokok kelapa sawit akan kelihatan condong dan tidak sekata disebabkan keadaan tanah yang lembut mengakibatkan akar pokok tidak mampu memegang kuat pada tanah.

Oleh itu langkah-langkah bagi meningkatkan pendapatan perlu diambil berdasarkan kesesuaian yang ada. Tanah gambut yang dimiliki tidak mungkin dapat diubah jenisnya tetapi tanaman nanas secara integrasi dengan kelapa sawit merupakan jalan penyelesaian kepada masalah tersebut.

Dalam usaha meningkatkan pendapatan pekebun, tanaman nanas daripada variety Josaphine dan Moris yang diintegrasikan dengan kelapa sawit ketika pokok masih kecil boleh dilakukan kerana dari masa menanam hingga pengutipan hasil pokok nanas hanya mengambil masa selama 12 bulan. Daripada pemantauan yang dilakukan, tanaman nanas mengikut amalan agronomi yang disyorkan mampu memberi pulangan yang menguntungkan di samping meningkatkan kesuburan tanah melalui pereputan sisa pokok nanas.

Untuk memastikan tanaman nanas integrasi dengan kelapa sawit boleh memberi pulangan yang baik, beberapa langkah perlu diikuti dari peringkat awal hingga pengeluaran hasil.

Nanas Integrasi Dengan Kelapa SawitOleh: Rohman Jasmani (Ibu Pejabat LPP)

BERITA TRANSFORMASI PERTANIAN 7

Penyediaan Kawasan

Pembersihan dan penyediaan kawasan adalah mengikut kehendak dan sistem penanaman kelapa sawit. Semua pokok dan anak kayu perlu dimusnahkan kerana pokok nanas memerlukan cuaca panas yang tidak terlindung daripada cahaya matahari. Manakala tunggul-tunggul kayu dan semak samun perlu dibuang dan dibersihkan kerana kawasan tersebut boleh menjadi perumah kepada binatang/serangga perosak dan penyakit. Sistem perparitan merupakan mekanisasi penting yang perlu dipantau. Lebihan air daripada sistem perparitan yang tidak betul akan mengganggu pertumbuhan pokok nanas.

Penyediaan Bahan Tanaman

Pokok nanas biasanya ditanam menggunakan sulur tanah atau sulur udara dan sulur tanah selalunya menjadi pilihan penanam. Bahan tanaman perlu diambil daripada pokok induk yang subur dan mempunyai saiz yang seragam. Lazimnya sepokok nanas mampu mengeluarkan lebih daripada 10 sulur dan sulur tersebut perlu digredkan mengikur saiz. Bagi mendapatkan keseragaman tumbesaran pokok selepas ditanam, plot-plot tanaman perlu ditanam berdasarkan gred anak pokok nanas.

Sistem Tanaman

Anak pokok nanas ditanam dalam dua baris berkembar dan jarak antara baris dengan baris ialah 2 kaki. Manakala jarak antara baris berkembar pertama dengan baris berkembar kedua adalah 3 kaki. Sementara itu jarak antara pokok dalam barisan ialah 1 kaki. Jarak antara baris pokok nanas dengan baris pokok kelapa sawit pula ialah 4 kaki. Diantara dua baris pokok kelapa sawit boleh ditanam empat baris kembar dengan dua atau lapan baris pokok nanas. Diantara pokok kelapa sawit tambahan sebanyak 14 pokok nanas boleh dibuat melibatkan satu atau dua baris kembar pendek.

Pengawalan Rumpai dan Penyakit Merumpai boleh dilakukan secara manual atau menggunakan racun rumpai bersesuaian. Kerja-kerja merumpai selalunya dibuat tiga bulan selepas menanam dan penggunaan racun rumpai dilakukan tiga pusingan semusim. Di samping itu serangan penyakit perlu diawasi bagi mengelakkan ia merebak seterusnya menyebabkan kemusnahan pada pokok. Penyakit fruit collapse adalah antara penyakit yang sering menyerang pokok nanas tetapi ia boleh diatasi melalui pemantauan tanda-tanda serangan serta penggunaan racun yang sesuai.

BERITA TRANSFORMASI PERTANIAN8

Hormon Pendebungaan dan Pembesaran Buah

Untuk menggalakkan pengeluaran bunga dan membolehkan buah masak serentak, penggunaan sejenis hormon Etephon/ethrel yang disembur pada pucuk pokok nanas dilakukan ketika umur pokok 8 bulan dengan kadar bancuhan 10 ml ethrel dicampurkan 180 gm urea dan 16 liter air. Bancuhan tersebut disembur ke pokok dengan kadar 30 ml/pokok pada waktu pagi atau petang bagi meningkatkan keberkesanannya.

Mengutip Hasil

Buah nanas boleh dikutip untuk pasaran apabila mencapai indeks kematangan antara 2 hingga 5, manakala indeks 6 dan 7 masih boleh dipasarkan tetapi kurang mendapat sambutan. Setelah buah dikutip, kerja-kerja menggred perlu dilakukan bagi menentukan saiz buah A, B atau C. Saiz buah nanas yang diterima berdasarkan tiga saiz iaitu besar (A), sedang (B) dan kecil )C) dengan kecacatan kurang 5%. Kecacatan atau kerosakan boleh terjadi

semasa proses memungut hasil dan penghantaran. Dianggarkan pendapatan kasar daripada tanaman nanas integrasi dengan kelapa sawit adalah diantara RM6,000 sehingga RM7,000 setiap 0.4 hektar/musim.

Pokok nanas boleh ditanam sehingga dua musim bergantung kepada keadaan pokok kelapa sawit tersebut. Jika pokok kelapa sawit telah bernaung iaitu pelepah antara pokok telah bercantum penanaman pokok nanas tidak lagi sesuai kerana tiada cahaya matahari. Berdasarkan pendapatan yang mampu diperolehi melalui penanaman nanas integrasi dengan kelapa sawit ini, petani atau penanam pokok kelapa sawit di tanah gambut tidak perlu lagi risau kerana pendapatan mereka boleh ditingkatkan sementara menunggu pokok kelapa sawit mengeluarkan hasil.

Jika petani melaksanakan amalan agronomi serta pengurusan tanaman yang baik dan sistematik iaitu dari segi penanaman, pembajaan dan penjagaan, tanaman nanas dari variety Josaphine dan Moris ternyata mampu memberi pulangan yang membanggakan.

JENIS GRED BERAT (KG) HARGA/BIJI (RM)

A+ 1.5 ke atas 1.60 - 1.80 Josaphine A 1.3 - 1.5 1.50 B 1.0 - 1.3 1.00 C 1.0 ke bawah 0.60 D - 0.40 A 1.5 ke atas 0.70 - 0.80 Moris B 1.3 - 1.5 0.45 - 0.50 C 1.3 ke bawah 0.30

Kategori buah nenas dan harga dikira berdasarkan jadual berikut:

BERITA TRANSFORMASI PERTANIAN 9

Pada masa kini, walaupun peranan yang dijalankan oleh Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK)

secara umumnya lebih menjurus kepada kegiatan ekonomi, namun perkhidmatan kepada ahli masih menjadi objektif utama.

Kegiatan ekonomi yang dilakukan oleh PPK biasanya turut melibatkan ahli peladang. Ini dilakukan bertujuan meningkatkan taraf sosio-ekonomi ahli selain mempermudah dan membantu dalam urusan yang ada hubungkait dengan pertanian.

Bagi PPK Kota Marudu, Sabah, keperihatinan terhadap ahli menjadi agenda utama dalam merangka aktivitinya. Kesepakatan Pihak Pengurusan PPK dengan barisan Ahli Jemaah Pengarah membolehkan setiap aktiviti yang dijalankan menjurus kepada penglibatan dan membantu ahli. Antara aktiviti ekonomi yang begitu menonjol dan mendapat sokongan padu daripada ahli ialah pemasaran getah.

Pada awalnya aktiviti tersebut dilakukan bertujuan membantu ahli yang mengusahakan kebun getah memasarkan hasil mereka. Sebelum ini segala hasil getah diperolehi dipasarkan kepada beberapa orang pemborong yang beroperasi di pekan Kota Marudu dengan harga yang ditentukan oleh mereka.

Memandangkan kesukaran yang dihadapi oleh ahli dan mengurangkan monopoli harga oleh pemborong setempat, PPK telah mengambil inisiatif menjalankan aktiviti pemasaran getah pada tahun 1980an Pusat pengumpulan dan pemasaran getah tersebut terletak di Stor Getah PPK Kota Marudu, bagi memudahkan urusan jualbeli.

Menurut Encik Azlee Shah Abdullah, Pengurus Besar PPK Kota Marudu, PPK dalam mengendalikan pemasaran getah ini melaksanakannya melalui dua cara iaitu pembelian setempat dan pembelian bergerak. Pembelian setempat mengkehendaki ahli menghantar sendiri hasil getah keping atau skerap

PPK Kota Marudu Pelopori Pemasaran GetahOleh: Rohman Jasmani (Ibu Pejabat LPP)

BERITA TRANSFORMASI PERTANIAN10

mereka ke pusat pengumpulan, manakala untuk pembelian bergerak, pekerja PPK dengan lori khas akan ke unit-unit ahli yang jauh dari PPK bagi membeli dan mengangkut getah ke pusat pengumpulan.

Pembelian bergerak ini dilakukan mengikut jadual yang telah ditetapkan walaupun unit peladang tersebut jauh dipedalaman. Kemudahan tersebut ternyata membolehkan ahli memasarkan getah yang dikumpul dalam jangkamasa tertentu. Selain daripada itu, pembelian bergerak turut mendapat permintaan penduduk setempat dan bukan ahli.

Sebelum dihantar ke kilang, getah-getah yang dibeli oleh PPK dan dibawa ke pusat pengumpulan untuk proses penggredan bagi memperolehi harga yang tinggi dan seimbang. Bagi getah keping yang tidak bercampur benda asing, kering dengan ketebalan kurang 2.5 cm digredkan sebagai gred kepingan. Manakala getah keping yang ketebalannya melebihi 2.5 cm, basah dan kotor digredkan sebagai gred kentalan.

Seterusnya gred kentalan yang basah dan bercampur dengan benda asing digredkan sebagai gred sekerap. Sekerap yang basah, kotor dan bercampur dengan benda asing akan ditolak sedikit beratnya bagi mengimbangi berat sebenar.

Walaupun pada awalnya aktiviti pembelian getah ini dilakukan bertujuan membantu ahli memasarkan hasil mereka tetapi atas desakan dan permintaan ramai,

ianya turut diberi kepada bukan ahli. Perkembangan tersebut membuatkan pusat pengumpulan getah PPK sentiasa sibuk menerima urusniaga terutama pada awal pagi hingga tengahari. Untuk aktiviti tersebut PPK telah memperolehi lesen Membeli getah daripada Pejabat Daerah Kota Marudu bagi urusan pengumpulan dan pemasaran getah.

Pembelian getah daripada ahli dan bukan ahli melalui pembelian setempat dan bergerak dilakukan secara tunai. Ia dibuat bagi memudahkan ahli yang tinggal jauh dipedalaman mendapatkan tunai tanpa pergi ke pejabat PPK. Penentuan harga pembelian berdasarkan harga semasa yang dikeluarkan oleh Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS). Kesemua getah yang dibeli setelah digred akan dihantar ke Pusat Pembelian dan Pemprosesan LIGS menggunakan lori PPK. Manakala kekerapan penghantaran getah pula bergantung kepada jumlah belian yang dilakukan.

Daripada kegiatan yang dijalankan ini, PPK berjaya memasarkan getah sebanyak RM1,965,390.00 pada tahun 2007 dengan memperolehi pendapatan kasar sekitar RM131,026.00 disebabkan harga komoditi tersebut melonjak tinggi kebelakangan ini. Dengan keuntungan yang diperolehi itu, ahli-ahli juga turut menikmatinya melalui pemberian dividen tahunan. PPK akan cuba memperluaskan dan meningkatkan lagi aktiviti tersebut dengan memberi penerangan kepada ahli di unit-unit peladang tentang kelebihan yang mampu diperolehi bersama melalui pembahagian keuntungan dalam bentuk hadiah atas langganan.

BERITA TRANSFORMASI PERTANIAN 11

Perkhidmatan PelangganPertubuhanPeladangOleh : Wan Salahuldin Wan Mohd Rashdi (PPK Cameron Highlands)

Pengurusan PP perlu mengambil langkah-langkah proaktif dalam memberi perkhimatan pelanggan

yang terbaik. Perkhidmatan pelanggan yang memuaskan hati akan memupuk kepercayaan dan kerjasama ahli-ahli peladang. Sistem perkhidmatan kaunter, konsep pejabat terbuka, pejabat contoh, kempen meningkatkan produktiviti dan Kumpulan Meningkatkan Mutu Kerja(KMK) akan meningkatkan imej korporat PP.

Etika Sosial merupakan sopan santun di dalam berinteraksi, perilaku, budi bahasa, harga diri, imej sosial, komunikasi berkesan, gerak geri serta keyakinan diri dan ia perlu diterapkan dalam diri setiap anggota PP.

Fungsi Keterampilan Etika Sosial

Berfungsi sebagai pemangkin yang amat berkesan dalam meningkatkan imej Pertubuhan Peladang, mempereratkan hubungan silatulrahim dan jalinan rangkaian hubungan ‘networking’

Konsep Amalan Etika Sosial

a. Menghormati dan mengutamakan pelanggan. b. Gaya dan tingkah laku yang betul. c. Kebijaksanaan budi bicara dan pekerti yang baik. d. Imej sosial yang baik. e. Keyakinan diri dan keterampilan yang positif.

Nilai Etika Sosial Negara

a. Prinsip Rukunegara ‘Kesopanan Dan Kesusilaan’ b. Wawasan 2020 ‘Masyarakat Bertata Etika Dan Bermoral’

c. Wawasan 2020 ‘Masyarakat Berhati Dan Berbudaya Penyayang’ d. Pelan Integriti Nasional. e. Kempen Budi Bahasa Dan Nilai-Nilai Murni f. ‘Budaya Kerja Berkualiti’ g. ‘Kod Etika Kerja’ h. ‘Piaggam Pelanggan’

Ciri-Ciri Minda Kelas Pertama

a. Nilai Budaya Yang Tinggi. b. Integriti Dan Kekuatan Moral. c. Tindakan Bermaruah. d. Penguasaan Dan Nilai Ilmu Yang Tinggi. e. Sikap Proaktif. f. Berakhlak Luhur. g. Tidak Mementingkan Diri. h. Memberi Sumbangan Bermakna.

Perkhidmatan Pelanggan PP Yang Positif

a. Memberi perkhidmatan kaunter yang baik dan peka kepada masalah- masalah yang dihadapi pelanggan. b. Menerima cadangan ke arah memperbaiki perlaksanaan prkhidmatan pelanggan PP. c. Langkah pembetulan supaya konsep ini difahami dan dihayati secara lebih berkesan. d. Mewujudkan suasana sosial, psikologi dan organisasi PP yang sihat. e. Mewujudkan suasana saling percaya mempercayai, kerjasama, semangat perundingan dan muafakat dalam organisasi PP.

BERITA TRANSFORMASI PERTANIAN12

f. Kemahiran perhubungan sosial ‘interactive skills’ dalam organisasi PP dipertingkatkan. g. Memperbaiki kualiti sistem pengurusan dan pentadbiran organisasi PP. h. Mempercepatkan proses membuat keputusan dengan memudahkan borang proses dan peringkat kelulusan Mesyuarat Jemaah Pengarah PP. i. Mewujudkan sistem maklumat pengkalan data dan fail yang kemaskini. j. Mengelakkan pertindihan atau ketidakjelasan kuasa dan tanggungjawab anggota PP. k. Penyelarasan yang berkesan anara agensi-agensi kerajaan dan pelaksana dasar.

Perkhidmatan Pelanggan PP Yang Negatif

a. Layanan perkhidmatan kaunter yang tidak mesra. b. Tidak suka senyum bila bertegur sapa atau semasa memberi khidmat. c. Tidak berterima kasih atau bersyukur bila mendapat sesuatu yang baik. d. Tidak mementingkan budaya kebersihan. e. Perhubungan yang tegang dalam organisasi PP. f. Tekanan kerja dan konflik dalaman PP. g. Struktur dan iklim organisasi PP yang tidak sihat.

h. Faktor luaran anggota seperti masalah peribadi, keluarga dan krisis dalam kehidupan.

Perkhidmatan Pelanggan Pertubuhan Peladang

a. Perkhidmatan Pengurusan Dan Pembangunan Sumber Manusia

Perkembangan pesat penggunaan dan pemindahan teknologi dalam pembangunan pertanian memerlukan lebih ramai tenaga kerja professional dan mahir. PP perlu mempunyai program pembangunan sumber yang komprehensif bagi menjayakan program dan projek pengeluaran makanan. Dengan meningkatkan penglibatan PP dalam memberi latihan maka para peladang akan dapat menimba ilmu pengetahuan, kemahiran dan membuat perubahan yang positif dalam melaksanakan projek-projek pertanian.

b. Perkhidmatan Mekanisasi Dan Automasi Ladang

Selaras dengan usaha meningkatkan pengeluaran hasil pertanian negara, perkhidmatan mekanisasi dan automasi ladang amat diperlukan dalam setiap aktiviti pengeluaran, pemperosesan dan pemasaran hasil-hasil pertanian. Para peladang digalakkan menggunakan jentera ladang secara intensif bagi meningkatkan produktiviti pengeluaran pertanian, mengurangkan penggunaan tenaga manusia dan meningkatkan daya saing produk pertanian.

c. Perkhidmatan Infrastruktur Ladang

PP dalam menggerak dan memastikan projek yang diusahakan oleh peladang berjaya mengeluarkan

BERITA TRANSFORMASI PERTANIAN 13

hasil yang optimum. PP menyelaras perkhidmatan infrastruktur ladang dengan jabatan dan agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani serta swasta. Infrastruktur ladang adalah antara faktor penting dan penentu kejayaan sesuatu projek yang diusahakan berdaya maju.

d. Perkhidmatan Bekalan Ladang

Aktiviti perkhidmatan bekalan ladang dilaksanakan oleh PP untuk memberi kemudahan kepada peladang dan bukan untuk mengaut keuntungan. Khidmat ini akan dapat memastikan hasil keluaran peladang terjamin dan memberi pulangan yang maksimum. Perkhidmatan ini akan menggalak dan mendorong para peladang untuk menceburi bidang pertanian berskala besar dengan menggunakan teknologi terkini.

e. Perkhidmatan Pembiayaan

Pembiayaan penting kerana modal diperlukan untuk menyedia infrastruktur dan modal kerja sesuatu projek. Tanpa kewangan yang mencukupi, prasarana menjadi tidak lengkap dan kos operasi projek tidak dapat ditampung. Peladang digalak untuk mendapatkan pembiayaan melalui LPP dan Bank Pertanian Malaysia bagi memastikan projek berjalan lancar.

f. Pengembangan dan Khidmat Nasihat

Perkhidmatan ini amat diperlukan bagi membantu para peladang menjayakan projek-projek pertanian ke arah mencapai taraf komersil. Usaha memindahkan teknologi terkini yang bersesuaian dalam bidang perladangan dan penternakan kepada peladang-peladang perlu dipergiatkan. Setiap anggota PP hendaklah meningkatkan ilmu pengetahuan dan kemahiran supaya dapat memberi khidmat pengembangan dan nasihat yang berkesan

g. Perkhidmatan Teknologi Lepas Tuai

Perkhidmatan ini adalah pengendalian aktiviti lepas tuai hasil-hasil keluaran pertanian di peringkat ladang sebelum sampai kepada pengguna, tidak rosak, berkualiti dan mendapat harga yang berpatutan. Aktiviti ini dapat menggalakkan para peladang menjayakan projek-projek pertanian berskala besar dan menggunakan teknologi terkini.

h. Teknologi Memproses Makanan

Perkhidmatan ini akan meningkat nilai kualiti produk pertanian yang sedia ada melalui khidmat pengurusan, khidmat teknikal dan khidmat kewangan. Memberi nilai tambah kepada hasil pertanian yang dikeluarkan. Membangunkan produk baru melalui kepelbagaian produk makanan, mempromosi hasil produk, pemindahan teknologi kepada peladang dan menghasilkan produk sampingan daripada sisa-sisa pemprosesan.

i. Perkhidmatan Pemasaran

Untuk mencapai matlamat program pemasaran ini, infrastruktur dan kemudahan pemasaran PP akan dipertingkatkan. PP menyediakan saluran pemasaran yang berkesan bagi mengelakkan hasil-hasil pertanian mengalami kerosakan. Mengatur peladang mengusahakan bidang pertanian mengikut jadual yang bersesuaian dengan kehendak pasaran. Menguruskan kontrak pemasaran dengan agensi-agensi kerajaan dan swasta.

j. Perkhidmatan Pusat Sumber Sibertani

Pusat pengumpulan maklumat yang boleh digunakan oleh pelbagai lapisan masyarakat untuk mendapatkan maklumat berterusan secara maya atau fizikal. Untuk menghebah dasar kerajaan dan membantu institusi peladang sebagai institusi sosio ekonomi desa yang kaya dengan informasi dan melahirkan peladang komersil yang celik dengan teknologi maklumat ke arah tranformasi pertanian.

BERITA TRANSFORMASI PERTANIAN14

Pembajaan tanaman merupakan amalan yang perlu dilakukan dalam usaha meningkatkan

pengeluaran hasil di samping pergantungan baja secara semulajadi dari tanah.

Membaja bukan sekadar menabur disekeliling pokok tanaman sahaja tanpa mengikut teknik-teknik yang betul tetapi keadaan pokok tanaman dan sukatan keperluan pokok mesti difahami bagi mengelakkan pembaziran kos dan masa. Pembaziran berlaku disebabkan kurang kefahaman terhadap teknik-teknik pembajaan yang betul kerana kemungkinan baja yang ditabur akan terlupus keudara atau terhakis dibawa air hujan.

Teknik pembajaan yang tidak betul akan mengakibatkan baja tidak dapat diserap oleh pokok secara maksimum mungkin disebabkan akar pokok jauh dari taburan baja. Taburan baja yang belebihan daripada keperluan pokok juga menyebabkan

pembaziran kerana lebihan baja hanya akan terlupus keudara atau terhakis oleh air hujan.

Terdapat teknik-teknik pembajaan yang didapati berkesan untuk tumbesaran pokok dan mudah dipraktikkan oleh pengusaha projek pertanian. Teknik-teknik yang dinyatakan ini amat bersesuaian dipraktikkan kepada pokok tanaman yang lebih kepada sifat tanaman kekal seperti tanaman buah-buahan. Di bawah ini ditunjukkan teknik-teknik pembajaan yang betul sebagai penduan kepada petani-petani dalam mengusahakan projek pertanian.

Lurah Keliling

Berpandukan kepada teknik ini, lurah perlu digali sedalam 10 -15 sm dengan lebar 20 sm di sekeliling pokok pada jarak hujung dahan pokok tanaman. Baja dimasukkan ke dalam lurah yang digali mengikut

Teknik Pembajaan TanamanOleh: Rohman Jasmani (Ibu Pejabat LPP)

BERITA TRANSFORMASI PERTANIAN 15

kadar yang disyorkan bergantung kepada umur pokok dan ditimbus supaya tidak dapat dibawa oleh air hujan. Baja akan dapat diserap oleh akar-akar pokok yang aktif pada jarak tersebut.

Lurah Jejari

Teknik pembajaan lurah jejari boleh diamalkan pada pokok-pokok tanaman yang sensitif seperti pokok durian. Cara ini tidak merosakkan akar-akar yang aktif dan jika berlaku kerosakkan pun hanya ditahap paling minimum tanpa menjejaskan tumbesaran pokok. Teknik pembajaan lurah jejari dilakukan dengan mengali lurah sedalam 10 – 15 sm dengan lebar 20 sm memanjang dari pangkal pokok hingga ke hujung kanopi pokok.

Pembajaan menggunakan teknik lurah keliling.

Pembajaan menggunakan teknik lurah jejari.

Terdapat teknik-teknik pembajaan yang didapati

berkesan untuk tumbesaran pokok dan mudah

dipraktikkan oleh pengusaha projek pertanian.

Lurah yang digali ini jika dilihat daripada atas akan kelihatan seperti huruf “ t “. Jumlah lurah yang digali bergantung kepada saiz kanopi pokok iaitu antara 4 – 6 lurah. Baja dimasukkan dalam lurah tersebut dan ditimbus bagi mengelakkan hakisan oleh air hujan.

Penaung Dato’ Haji Abd. Rahim bin Haji Ahmad

Penasihat Haji Arpan Shah bin Satu

Hajah Mariam Mas bte Yaacob

Ketua Pengarang Haji Abd. Nasir bin Haji Ismail

Penyunting Azizan bin Othman

Rohman bin Jasmani

Edisi InternetHaninah bte Abd. Rahman

Diterbitkan Oleh:Lembaga Pertubuhan Peladang,

Blok C Utara, Pusat Bandar Damansara, Bukit Damansara,50990 Kuala Lumpur.

Berita Transformasi Elektronikboleh dilayari di

http://www.lpp.gov.my

Grafik/IllustratorRohman bin JasmaniKamaruzzan bin Hanif

16

Poket atau Saku

Teknik ini berbeza sedikit dengan cara lurah keliling kerana lubang yang digali kelihatan putus-putus. Lubang dibuat di sekeliling pokok mengikut garisan kanopi sama seperti lurah keliling. Kedalaman lubang antara 10 – 15 sm dengan lebar 20 sm dan panjang 20 – 30 sm.

Jumlah lubang pula bergantung kepada saiz pokok, semakin besar pokok lubang yang diperlukan semakin banyak untuk diselaraskan dengan kuantiti baja. Baja dimasukkan ke dalam lubang dan ditimbus semula juga bagi mengelakkan hakisan oleh air hujan.

Kesimpulan

Teknik-teknik pembajaan yang tersebut di atas merupakan amalan yang digunapakai oleh kebanyakan petani. Pembajaan jika dilakukan mengikut teknik-teknik yang betul akan dapat menggalakkan tumbesaran pokok dan pengeluaran hasil yang tinggi kerana baja yang ditabur dapat diserap sepenuhnya oleh pokok selain menjimatkan kos serta mengelakkan pembaziran.