bahagian a,b,c

Upload: difery-dailit-dep

Post on 18-Oct-2015

11 views

Category:

Documents


0 download

TRANSCRIPT

(Bahagian A)Bilik darjah sekolah rendah di Malaysia adalah berlandaskan kurikulum bersepadu sekolah rendah bagi tahun lima dan enam dan kurikulum standard sekolah rendah bagi tahun satu, dua, tiga dan empat untuk tahun 2014. Dalam kurikulum ini, penguasaan isi kandungan dan aktiviti pembelajaran berlaku serentak dan berterusan mengikut jadual waktu yang telah ditetapkan. Terdapat garis panduan iaitu sukatan pelajaran yang mesti dihabiskan dalam jangka waktu yang telah ditentukan. Bilik darjah di sekolah rendah juga kebiasaannya menempatkan lebih kurang 40 orang murid dalam setiap bilik darjah.Moore (2001) menyatakan pengurusan bilik darjah merupakan proses mengatur dan melaksana segala urusan bilik darjah bagi memastikan pembelajaran yang diharapkan itu dapat berlaku dengan sempurna. Menurut buku Siri Pendidikan Guru Pengurusan Bilik Darjah karya Haliza Hamzah dan Joy Nesamalar Samuel,peraturan membawa maksud kenyataan yang memaklumkan tingkah laku yang boleh diterima di dalam bilik darjah. Selain itu, peraturan juga merupakansatu bentuk peringatan dan autoriti kepada nilai moral murid-murid.Peraturan bilik darjah ini adalah merupakanaspek yang fleksibel dan boleh dibentuk di dalam kelas melalui persetujuan daripada guru dan murid agar pengajaran dan pembelajaran dapat berjalan dengan lebih lancar.Perkataan inklusif berasal daripada Bahasa Inggeris inclusive yang membawa maksud termasuk atau merangkumi semua. Dalam konteks pendidikan di Malaysia, pendidikan inklusif boleh diertikan sebagai pendidikan umum, iaitu setiap individu sama ada normal, pintar-cerdas, cacat atau mempunyai perbezaan dari segi pemikiran, latar belakang dan kebolehan yang berbeza berhak diberi peluang untuk mendapat pendidikan umum. Ini termaktub dalam Dasar Pendidikan Negara dan selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang menyatakan bahawa setiap rakyat Malaysia mempunyai peluang pendidikan untuk mengembangkan potensinya secara menyeluruh dan bersepadu dari segi intelek, jasmani, rohani, emosi dan sosial supaya menjadi insan yang berilmu pengetahuan, berakhlak mulia dan berupaya memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara. Berdasarkan falsafah dan tujuan pendidikan, dapat dilihat pendidikan inklusif merupakan peluang pendidikan umum yang diberikan kepada semua kanak-kanak di Malaysia termasuk kanak-kanak kurang upaya. Dibawah pendidikan inklusif ini, kanak-kanak kurang upaya khasnya akan ditempatkan didalam kelas biasa di bawah bimbingan seorang guru resos (guru terlatih khas) yang bekerjasama dengan guru-guru biasa. Bagi meningkatkan tingkah laku positif dalam kalangan pelajar yang belajar di bilik darjah inklusif, peraturan-peraturan bilik darjah yang bersesuaian dengan pelajar boleh digunakan untuk mewujudkan suasana pembelajaran yang kondusif serta aktiviti pengajaran dan pembelajaran dapat dijalankan dengan lancar dan berkesan.Terdapat model-model disiplin yang boleh dijadikan sebagai rujukan untuk membentuk peraturan bagi bilik darjah inklusif, antaranya ialah dengan merujuk prinsip model Glasser. Glasser menyatakan bahawa setiap individu bertanggungjawab di atas tingkah laku masing-masing, tingkah laku tidak boleh dianggap sebagai hasil masyarakat, warisan atau masa lampau sesorang, setiap individu berupaya untuk berubah dan hidup secara berkesan sekiranya diberikan bimbingan dan sokongan, serta setiap individu bertingkah laku mengikut cara tertentu agar dapat membentuk persekitaran mengikut kehendak masing-masing.Oleh itu, semasa membentuk peraturan bilik darjah terdapat beberapa perkara yang perlu diberi penekanan oleh guru terutamanya berkaitan dengan kepentingan dan keperluan pelajar bekeperluan khas. Antaranya ialah melibatkan pelajar sama ada pelajar normal dan pelajar bekeperluan khas dalam membentuk peraturan di kelas. Ini boleh dilakukan oleh guru dengan cara berbincang bersama pelajar tentang senarai peraturan yang ingin guru laksanakan didalam kelas. Melalui cara ini,amalan demokrasiakan dapat diterapkan di dalam kelas. Murid juga berpeluang untukmenyatakan pendapat dan buah fikiran mereka tentang peraturan tersebut sama ada menolak, menerima atau membuat perubahan sedikit terhadap peraturan yang dibuat agar mereka merasakan diri mereka sebahagian daripada bilik darjah dan bukan hanya sebagai pemerhati. Tugas guru hanya perlu membimbing dan memberi sokongan dengan cara menjelaskan kepentingan peraturan yang akan dilaksanakan serta memastikan perubahan yang ingin dibuat oleh pelajar terhadap peraturan akan menghasilkan tingkah laku yang baik dalam kalangan pelajar. Dengan itu, pelajar akan merasakan peraturan tersebut adalah milik bersama dan sentiasa cuba untuk mematuhi peraturan-peraturan yang telah ditetapkan. Peraturan yang bermakna dan dipersetujui akan membantumembentuk disiplin yang memberangsangkan.Antara model disiplin lain yang boleh digunakan sebagai rujukan adalah model disiplin asertif yang merupakan suatu pendekatan sistematik dan berstruktur untuk membantu pendidik yang mengelola alam belajar dalam bilik darjah. Disiplin asertif diusulkan oleh Lee dan Marlene Canter apabila mereka mendapati ramai guru yang kurang berupaya mengawal tingkah laku yang tidak diingini berlaku dalam bilik darjah. Dengan disiplin asertif ini juga, pendekatan yang digunakan adalah lebih bersifat demokratik dan koperatif. Melalui model disiplin ini, peraturan bilik darjah yang diberikan oleh guru adalah lebih tegas, jelas dan ringkas. Ini bermaksud, ayat peraturan yang digunakan haruslah pendek dan senang untuk difahami. Ayat yang ringkas sudah semestinya akanmemudahkan murid untuk memahami mesej yang disampaikan dan mereka tahu apa yang perlu dilakukan.Bilangan peraturan juga perlu dihadkan kerana peraturan yang terlalu banyak boleh mengelirukan pelajar.Pandangan guru asertif terhadap murid adalah bukan musuh dan tidak menggunakan cara berkasar, menyindir mahupun bermusuhan. Guru asertif percaya bilik darjah dibawah kawalan guru yang tegas adalah yang terbaik untuk muid-murid. Mereka juga percaya bahawa hubungan positif dan boleh dipercayai dengan murid-murid mampu memupuk tingkah laku yang sesuai dalam bilik darjah serta tindakan yang perlu diambil hendaklah secara adil iaitu dengan cara guru mendengar serta meneliti penjelasan murid dan bercakap secara hormat dengan mereka. Pengulangan tentang peraturan semasa di dalam kelas terutamanya sewaktu membuat aktiviti perlu dilakukan oleh guru dengan menggunakan suara yang kuat berserta demonstrasi perlakuan tersebut. Pelajar lain yang normal perlu menerima kehadiran pelajar berkeperluan khas dalam kelas serta bertindak sebagai pembimbing dan role model untuk pelajar-pelajar bekeperluan khas. Guru perlu memahamkan kepada pelajar normal tentang keperluan dan prosedur-prosedur bagi pelajar bekeperluan khas agar pelajar normal dapat menerima dan menjadi role model dalam membantu guru menerapkan tingkah laku positif kepada pelajar bekeperluan khas melalui kepatuhan kepada peraturan-peraturan yang telah ditetapkan dalam sesebuah bilik darjah. Hubungan positif di antara guru dan ibu bapa pelajar juga perlu diwujudkan untuk membantu menghasilkan tingkah laku positif pelajar. Untuk mewujudkan hubungan yang positif, guru seharusnya menelefon penjaga pelajar dan memberitahu tentang tingkah laku positif pelajar pada setiap awal tahun. Ini penting untuk memupuk kepercayaan ibu bapa pelajar terhadap kita sebagai guru kepada anak mereka. Guru perlu merekodkan setiap tingkah laku pelajar di dalam buku khas bersama nombor telefon rumah pelajar tersebut untuk sebarang rujukan pada masa akan datang. Guru juga sepatutnya memberi amaran atau menerangkan akibat tentang sesuatu tingkah laku pelajar jika mereka mengganggu aktiviti yang sedang dijalankan dan memberitahu pelajar hanya dibenarkan membuat perbincangan hanya selepas sesi pengajaran dan pembelajaran. Selain itu, guru perlu membuatkan pelajar faham bahawa setiap yang guru lakukan adalah untuk kebaikan pelajar itu senidiri dan pelajar perlu percaya bahawa guru sentiasa berada di pihak mereka sekiranya mereka menghadapi sebarang masalah.Namun begitu, model-model ini tidak menjamin bahawa pelajar akan mematuhi peraturan yang ditetapkan. Ini kerana, peraturan bilik darjah juga sebenarnya boleh menimbulkan tingkah laku negatif. Pelajar akan membuat sesuatu tindakan yang menyalahi peraturan untuk mendapatkan perhatian daripada guru. Tambahan lagi, peraturan yang diaplikasikan didalam bilik darjah inklusif akan menyebabkan pelajar normal berasa iri hati dan megganggu emosi mereka. Ini dapat dilihat apabila pelaku yang melanggar peraturan di dalam bilik darjah tersebut adalah pelajar bekeperluan khas dan guru tidak mengambil tindakan yang tegas terhadap pelajar tersebut. Hal ini akan menyebabkan wujudnya rasa tidak puas hati pelajar normal terhadap pelajar bekeperluan khas dan boleh mengakibatkan kes buli jika tidak diambil perhatian oleh guru berkenaan. Pelajar normal juga akan menjadi lebih sensitif dan mungkin tidak akan memberikan kerjasama sewaktu aktiviti pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas berlangsung terutamanya jika aktiviti berkenaan melibatkan kaedah koperatif. Maka tingkah laku yang berkemungkinan wujud adalah tingkah laku negatif. Peraturan di bilik darjah inklusif juga akan menyebabkan pelajar bekeperluan khas berasa kebebasan mereka tersekat dan akan kurang memberi kerjasama dengan guru. Peraturan di bilik darjah inklusif seperti tidak dibenarkan berjalan sewaktu aktiviti pengajaran dan pembelajaran berlangsung sebenarnya menyekat kebebasan perkembangan kognitif pelajar dan mengakibatkan sesi pembelajaran menjadi sangat membosankan. Ini kerana sewaktu mengadakan aktiviti, pelajar didalam kelas lebih cenderung untuk melihat rakan-rakan lain menjalankan aktiviti yang diarahkan oleh guru dan membincangkan pendapat mereka bersama rakan yang dirasakan lebih selesa dan mesra bersama mereka. Kemungkinan interaksi yang bakal wujud juga adalah interaksi diantara guru dan pelajar atau antara pelajar dengan buku sahaja manakala interaksi antara pelajar dan pelajar tidak belaku.Kesimpulannya, peraturan bilik darjah adalah merupakan aktiviti pengurusan bilik darjah yang perlu dilakukan dan dipatuhi oleh semua pada setiap hari persekolahan. Tujuannya adalah untuk membentuk tingkah laku positif dalam kalangan pelajar. Keadaan bilik darjah yang terkawal hasil daripada kepatuhan terhadap peraturan yang ditetapkan akan meningkatkan semangat pelajar supaya menumpukan perhatian ke atas aktiviti pengajaran dan mendorong mereka melibatkan diri secara aktif dalam aktiviti pembelajaran. Di bawah keadaan ini, mereka akan kurang menimbulkan sebarang masalah disiplin didalam bilik darjah. Guru juga akan lebih mudah untuk membimbing dan menerapkan nilai murni dalam diri setiap pelajar apabila mereka mempunyai inisiatif sendiri untuk menjaga disiplin dan tingkah laku mereka sendiri. Guru juga perlu bersifat demokratik dalam menetapkan peraturan-peraturan dalam bilik darjah tersebut dan bukannya autokratik agar pelajar mempunyai keinginan untuk menukarkan tingkah laku negatif mereka yang asal kepada tingkah laku positif. Hubungan yang baik diantara guru, pelajar, ibu bapa dan pihak sekolah penting dalam menjayakan setiap perancangan yang telah dibuat oleh guru.Peraturan dalam sesebuah bilik darjah inklusif memerlukan guru memainkan peranan semaksima mungkin kerana didalam kelas ini terdapat pelajar normal dan pelajar bekeperluan khas yang terbahagi kepada pelajar bermasalah pembelajaran, pelajar bermasalah pendengaran dan pelajar bermasalah penglihatan. Iklim bilik darjah inklusif yang kondusif hanya akan dapat diwujudkan apabila semua pelajar di dalam kelas tersebut mematuhi peraturan dan rutin bilik darjah yang ditetapkan untuk mewujudkan keadaan yang membolehkan mereka mengikuti sesi pembelajaran tanpa sebarang gangguan terutamanya oleh pelajar-pelajar bekeperluan khas. Namun perlu diingat, peraturan bilik darjah yang dibuat haruslah selaras dengan peraturan sekolah dan guru perlu sentiasamembuat pemantauan dan meneliti peraturan yang dibentuk agar disiplin pelajar dapat dikawal. Sekiranya peraturan yang dibuat tidak berkesan,guru seharusnya bijak mengubahsuai peraturan supaya dapat digunakan untuk kepentingan bersama dengan haruslah membuat penambahbaikkan peraturan tersebut.

(Bahagian B)Menurut Standard Guru Malaysia ( ), Kompetensi adalah kemahiran profesional guru berdasarkan amalan nilai profesionalisme, pengetahuan dan kefahaman, dan kemahiran pengajaran dan pembelajaran.Guru yang dihasratkan oleh Malaysia adalah guru yang mempunyai kompetensi yang tinggi dalam aspek amalan nilai profesionalisme keguruan (Standard 1), pengetahuan dan kefahaman (Standard 2) serta kemahiran pengajaran dan pembelajaran (Standard 3). Ketiga-tiga standard tersebut digambarkan oleh tiga lingkaran kecil yang bertindan; membawa maksud ketiga-tiga aspek kompetensi yang dikuasai oleh guru adalah saling berkait dan bersepadu. Abad ke 21 ialah abad kini dalam kalendar-kalendar yang berdasarkan Kalendar Gregory, tempohnya adalah dari 2001 hingga 2100 dan tempoh milenium ketiga adalah dari 2001 sehingga 3000. Ini disebabkan pengiraan abad pertama bermula dengan tahun 1. Biasanya, penggunaan umum menganggap bahawa abad ke 21 berlangsung dari 2000 hingga 2099 dan milenium ketiga dari 2000 sehingga 2999. Abad Ke-21 dijangkakan akan mengalami perkembangan pesat lagi mencabar dalam bidang ekonomi, politik dan sosial. Perkembangan ini berlaku di seluruh dunia tidak kira sama ada di negara maju atau negara sedang membangun. Bidang pendidikan juga tidak terkecuali dari terkena tempias diatas perubahan dalam bidang pendidikan akibat daripada perubahan arus globalisasi yang berlaku. Ramai pihak berpendapat bahawa perubahan tersebut sedikit sebanyak mempunyai kaitan yang rapat dengan perkembangan bidang pendidikan. Dalam keghairahan dunia abad ke 21 menikmati kemajuan sektor teknologi maklumat dan komunikasi, bidang pendidikan terus berhadapan dengan pelbagai isu dan cabaran yang perlu dilihat dengan rasa tanggungjawab oleh semua pihak terutamanya warga pendidik tidak kira daripada pihak perancang (kementerian dan bahagian pembangunan kurikulum) mahupun pelaksananya (warga pentadbiran sekolah). Alvin Toffler seorang penulis terkenal pernah menyatakan bahawa 'the illiterate of the 21st century are not those that cannot read or write, but those that cannot learn, unlearn and relearn.' Menurutnya pendidikan di abad ini lebih mencabar dan mestilah berupaya melahirkan pelajar yang kreatif dan inovatif, mampu menyelesaikan masalah dan berfikir secara kritikal.Masyarakat dunia di abad ke-21 juga telah berubah kepada zaman baru yang dikenali sebagai 'knowledge age' atau k-ekonomi. Keperluan baru ini menekankan tentang peri pentingnya maklumat, kreativiti dan inovasi dalam memberi perkhidmatan baru kepada masyarakat. Perubahan kepada zaman k- ekonomi yang menekankan keperluan maklumat dan bercirikan globally networked adalah sangat berkait rapat dengan perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi. Oleh itu sering dikatakan bahawa mana-mana negara yang dapat menguasai teknologi maklumat dan mempunyai kemudahan jaringan ICT maka mereka dianggap mempunyai kelebihan dan seolah-olah memiliki kuasa tambahan. Sementara itu negara-negara yang mengabaikannya akan ketinggalan dalam persaingan di peringkat global ini.Sememangnya tugas ini amat berat, saya memerlukan pasukan benar-benar komited, amanah, jujur dan sanggup bekerja keras untuk memastikan segala perancangan kita dilaksanakan dengan cekap dan berkesan, dan tidak mengulangi kesilapan masa lalu. (YB Dato Sri Hisamudin Tun Husin On 2006, Hal.30)Untuk menyediakan diri dengan sebarang perubahan dalam bidang pendidikan pada abad ke 21 ini, terdapat beberapa kemahiran kompetensi yang perlu guru kembangkan untuk menguruskan sebuah bilik darjah yang berkesan di alaf baru ini. Antara kemahiran kompetensi yang perlu dikembangkan adalah pengetahuan dan kefahaman terhadap Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK), media dan sumber pendidikan dalam pelaksanaan kurikulum dan kokurikulum. Bukan setakat faham sahaja, kemahiran guru yang tinggi dalam menggunakan setiap perisian yang terdapat dalam bidang TMK ini amat diperlukan untuk menghadapi perubahan globalisasi yang semakin pesat kini. Guru juga perlulah mahir dalam pengaplikasian dan pengintegrasian teknologi maklumat dan komunikasi (TMK) kerana pada zaman globalisasi ini, penggunaan TMK banyak membantu guru dalam membuat penyelidikan terhadap sesuatu perkara dan informasi terkini dengan lebih mudah. Dengan adanya pengintegrasian TMK dalam pengajaran dan pembelajaran juga mampu membantu guru mempersiapkan pelajar agar lebih bersedia untuk menjadi pekerja yang mahir dalam penggunaan TMK dan bersedia dengan perubahan globalisasi yang berlaku sama ada pada masa kini dan di masa hadapan. Guru yang kreatif dan inovatif akan sering terlibat dengan penyelidikan, penerbitan dan penghasilan bahan inovasi yang mampu memberi sumbangan kepakaran kepada warga dalam dan luar organisasi sesebuah sekolah sekaligus di peringkat yang lebih tinggi. Kerajaan juga telah mengambil beberapa langkah penambahbaikan terhadap PPIP melalui Persidangan Kajian Semula PIPP anjuran Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang diadakan pada 19-22 Julai 2009. Sebagai kesinambungan PIPP ini, kerajaan juga telah merangka Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia, PPPM 2013-2025 sebagai penambahbaikan dan pada masa sama memperkenalkan beberapa pendekatan baru yang menjurus kepada transformasi pendidikan Negara. Transformasi pendidikan ini bermatlamat melengkapkan setiap murid di negara ini dengan segala kemahiran baharu yang diperlukan oleh mereka untuk merebut peluang dan cabaran abad ke 21 (Muhyidin 2013, dalam Pelan Pembangunan Pendidikan 2013-2025).Untuk menjayakan usaha ini, terdapat kemahiran-kemahiran yang perlu guru kuasai dan kembangkan dalam menguruskan sebuah bilik darjah yang berkesan di alaf baru ini. Guru harus mempunyai kompetensi yang selengkapkannya bukan hanya untuk tujuan penilaian tetapi yang lebih penting ialah agar kredibiliti profesion keguruan dapat dikekalkan ke peringkat yang maksimum. Walaupun tugas seorang guru ialah dalam bilik darjah tetapi penguasaan ilmu dan kemahiran dalam pelbagai domain harus diberi perhatian kerana ia menjadi nilai tambah bagi memperkukuh serta memperlengkapkan proses pengajaran dan pembelajaran. Dalam sesuatu pengajaran, kefahaman terhadap apa yang perlu dilakukan dan dijangkakan oleh murid daripada guru merupakan pengetahuan kerja yang praktikal. Pengetahuan ini yang akan menentukan keberkesanan pengajaran yang akan dilaksanakan oleh guru yang berkenaan. Guru perlulah berfikir menggunakan aras pemikiran yang tinggi dan matang dalam mengolah sesuatu aktiviti serta mempersiapkan diri dengan soalan-soalan tidak terduga termasuk pengetahuan perubahan global kerana guru merupakan individu yang menjadi sumber rujukan utama pelajar. Ini kerana, ilmu dan maklumat yang guru perolehi merupakan sumber yang boleh dipercayai berbanding maklumat yang menggungung di internet. Guru perlu bijak menapis maklumat yang akan disampaikan kepada pelajar agar pelajar lebih yakin dan terhalang daripada melayari laman web yang boleh merosakkan pemikiran pelajar. Kemahiran seseorang guru ataupun kebolehan mengaplikasi sesuatu konsep atau idea kepada sesetengah tugasan atau aktiviti merupakan satu kemahiran yang sangat diperlukan dalam membentuk sebuah bilik darjah yang berkesan. Kemahiran-kemahiran khusus termasuklah keberanian, ketegaran, profesionalisme dan kesabaran serta kemahiran mendengar akan menjadi faktor penentu kepada keberkesanan pengajaran guru. Guru juga perlulah kreatif dan inovatif agar suasana pembelajaran lebih menarik dan menarik minat pelajar untuk lebih aktif dalam sesi pembelajaran. Sikap seseorang guru juga memainkan peranan yang sama penting. Sikap dapat disamakan dengan kehendak (desire). Sesiapa jua boleh memiliki pengetahuan dan kemahiran tertentu bagi melaksanakan perkara-perkara besar dan hebat, tetapi jika tanpa kehendak yang mendorong dan menggerakkan tingkah laku dan perbuatan maka hasil akhirnya adalah potensi yang tidak dapat direalisasikan. Kemahiran guru dalam merancang dan melaksanakan aktiviti pengajaran dan pembelajaran juga penting untuk menjamin kelicinan proses pengajaran dan pembelajaran serta perancangan aktiviti. Kemahiran dalam merancang dan mengendalikan aktiviti kokurikulum juga penting untuk guru merancang aktiviti-aktiviti yang bersesuaian agar dapat membantu perkembangan fizikal pelajar serta mengurangkan tekanan yang dihadapi melalui aktiviti-aktiviti yang ingin dijalankan. Oleh itu, dalam usaha mewujudkan sebuah bilik darjah yang berkesan untuk menuju pendidikan bertaraf dunia guru perlu memainkan peranan sebagai agen terpenting dalam melahirkan pemimpin pelapis pada masa hadapan yang lebih bersedia dalam mengharungi cabaran globalisasi. Guru perlu lebih kreatif dan saling bertukar pandangan dan informasi bersama-sama guru lain sama ada dalam kalangan warga sekolah guru itu sendiri mahupun daripada warga pendidik yang berada di sekolah lain berkaitan isu-isu kritikal seperti kaedah pengajaran terkini yang boleh digunakan dalam bilik darjah. Selain itu, guru perlu mendedahkan diri dan membudayakan HOTS dalam sesi pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas mahupun pada soalan berbentuk formatif. Pengisian guru yang berkualiti memerlukan guru bertindak sebagai penyebar ilmu, menjadi role-model, mengamalkan pengajaran efektif, peka dengan segala perkembangan pendidikan dan mengamalkan kemahiran profesional agar mampu menyediakan generasi muda untuk menghadapi sebarang kemungkinan di masa akan datang. Dengan semua elemen-elemen ini, sebuah bilik darjah yang berkesan dan diinginkan oleh guru akan wujud.Akhir sekali, guru perlu menggalas tanggungjawab yang diberikan dengan sebaiknya serta menganggap setiap cabaran yang dihadapi mampu memantapkan lagi kemahiran kompetensi seseorang guru.

(Bahagian C)Bahagian Pendidikan Guru Kementerian Pendidikan Malaysia. ( ). Standard Guru Malaysia. Huraian Standard Guru Malaysia.Penilaian alternatif adalah berdasarkan kepada ujian-ujian yang berasaskan pencapaian (performance based). Penilaian alternatif harus mempamerkan apa yang dianggap sebagai kemahiran dan apa yang akan diterima atau ditolak dan digunakan sebagai pertunjuk kepada pencapaian (Wolf, 1993). Gay (1985) berpendapat bahawa penilaian ialah suatu proses yang sistematik semasa mengumpul dan menganalisis data bagi menentukan sama ada sesuatu objektif yang telah ditetapkan itu telah tercapai. Ini seterusnya membolehkan guru untuk menilai keberkesanan kaedah yang digunakan sewaktu menyampaikan sesi pengajaran dan pembelajaran serta memberi peluang kepada guru untuk membuat penambahbaikan terhadap pengaplikasian kaedah pada sesi pengajaran dan pembelajaran yang akan datang. Sebelumnya, Popham (1975) menyatakan penilaian yang sistematik perlu mempunyai satu tafsiran yang formal tentang nilai fenomena pendidikan. Penilaian boleh dilakukan sama ada berbentuk kualitatif, kuantitatif atau kedua-duanya sekali. Dengan menggunakan maklumat kuantitatif, penilaian boleh dinyatakan dalam bentuk gred (seperti A, B, C, D atau E) bersama penjelasan nilainya (seperti cemerlang, kepujian, baik, lulus atau gagal). Sementara itu, penilaian yang menggunakan data kualitatif boleh dinyatakan dalam bentuk kualitatif juga. Secara ringkasnya, penilaian meliputi tiga proses utama, iaitu menentukan ukuran, menganalisis ukuran dan menyatakan nilai/interpretasi ukuran. Kini istilah pentaksiran mula digunakan dalam penilaian pencapaian. Popham (2000) menyatakan istilah-istilah pengukuran, pengujian dan penaksiran digunakan secara silih berganti dan dianggap sebagai sinonim. Pentaksiran melibatkan proses membuat keputusan berdasarkan kepada suatu peraturan atau piawaian. Pentaksiran yang merupakan sebahagian daripada proses pembelajaran merangkumi aktiviti menghurai, mengumpul, merekod, memberi skor dan menterjemahkan maklumat tentang pembelajaran seseorang pelajar bagi sesuatu tujuan tertentu (Lembaga Peperiksaan Malaysia, 2000). Hasil pentaksiran dinyatakan dalam bentuk skor dan skor mestilah sahih serta boleh dipercayai untuk memastikan keadilan kepada pelajar dan juga untuk mengekalkan kewibawaan institusi pentaksiran. Tujuan utama penilaian alternatif adalah untuk membolehkan objektif pendidikan yang lebih luas dinilai termasuk objektif-objektif dari domain-domain afektif dan psikomotor yang dinilai menerusi tugasan dan kerja kumpulan secara individu atau berkumpulan. Di antara bentuk penilaian alternatif yang boleh dijalankan secara berterusan ialah; projek, karangan dan berbagai bentuk ujian penulisan, ujian lisan, ujian amali, portfolio, tugasan, temu bual, soal selidik dan pemerhatian oleh guru. Pelaksanaan penilaian alternatif ini dapat mencakupi kemahiran yang lebih meluas jika dibandingkan dengan penggunaan ujian pencil dan kertas. Jika dibandingkan instrumen penilaian yang digunakan pada masa dahulu berbanding masa kini adalah berbeza. Sewaktu dulu guru hanya menekankan tentang peperiksaan semata-mata dan hanya menggunakan pensil dan kertas untuk menilai tentang kefahaman dan penguasaan pelajar terhadap subjek yang diajar mengikut satu tempoh jangka masa yang telah ditetapkan. Pada masa kini pula, penilaian boleh dibuat sama ada melalui pemerhatian, ujian secara praktikal ataupun melalui amali mengikut masa yang telah ditetapkan oleh guru.Penilaian yang diberikan oleh guru hendaklah benar-benar menguji kebolehan pelajar dan bersifat adil kerana kita sedia maklum akan kepelbagaian kecerdasan dan kemampuan pelajar. Penilaian alternatif yang memberikan fokus pada jenis penilaian lain selain penilaian sumatif dan standardized test seharusnya diamalkan untuk mengenal pasti kelemahan dan kekuatan pelajar secara tepat. Dalam hal ini, guru perlu meningkatkan penilaian yang berbentuk formatif dengan menekankan aspek maklum balas kepada pelajar tentang kelemahan dan kekuatan pelajar. Dengan cara ini pelajar dapat tahu di manakah kesilapan mereka dan bagaimana mereka patut mengatasi permasalahan yang serupa pada masa akan datang. Strategi penilaian melalui pemerhatian perlulah dilakukan secara berterusan mengikut jangka waktu yang ditentukan, bagi membantu guru mendapatkan maklum balas tentang keberkesanan pengajaran dan pembelajaran dengan lebih baik. Aspek yang diperhatikan adalah menyeluruh meliputi aspek kognitif, afektif dan psikomotor yang melibatkan juga faktor-faktor bahan dan persekitaran. Proses penilaian ini boleh dilaksanakan dengan menggunakan instrumen seperti senarai semak, skala kadar, rekod anekdot dan rekod profil. Guru juga boleh menetapkan skala untuk memudahkan guru melihat sejauh mana tahap pencapaian pelajar yang terdiri daripada pelbagai kecerdasan dan kebolehan ini. Hasilnya, guru boleh jadikan sebagai bahan rujukan di masa akan datang untuk memudahkan guru meninjau sejauh mana kelemahan dan kekurangan pelajar dan kesesuaian aktiviti yang dijalankan dalam menilai palajar mengikut jenis kebolehan pelajar tersebut. Penilaian yang dibuat kepada pelajar normal pula hendaklah mengikut prosedur biasa penilaian dan instrumen yang digunakan juga seharusnya berbeza daripada pelajar pendidikan khas. (Weishaar & Borsa, 2001) Palaksanaan Program Pedidikan Inklusif amat bergantung kepada pemahaman, penerimaan dan kolaborasi dari semua pihak termasuk pentadbir, guru-guru, murid-murid normal dan ibu bapa. Perancangan yang teliti adalah kunci utama kerana program ini tidaknakan berjaya jika tidak dirancang dan di buat persediaan teliti termasuk menyelesaikan masalah yang timbul sebelum memulakan program. Tambahan lagi dalam mengendalikan prosedur penilaian yang memerlukan guru mengambil kira kesamarataan dalam menilai pelajar-pelajar yang mempunyai pelbagai kebolehan dan keperluan. Oleh itu, penilaian alternatif yang boleh digunakan dalam menilai pelajar-pelajar dalam bilik darjah inklusif perlulah berbeza sedikit dan memerlukan komitmen yang tinggi daripada guru yang menilai. Terdapat beberapa penilaian alternatif yang boleh digunakan, antaranya ialah pemerhatian dan temubual. Melalui pemerhatian, guru perlu mengkaji dan memahami proses yang berlaku dalam bilik darjah inklusif. Guru perlu lebih kerap meninjau sejauh mana perkembangan pelajar dari semasa ke semasa, serta memantau pencapaian pelajar-pelajar bekeperluan khas ini. Penilaian yang dijalankan perlulah menggunakan kaedah-kaedah tertentu mengikut jenis keperluan pelajar. Contohnya jika pelajar tersebut mempunyai masalah penglihatan iaitu Diplopia nampak dua maka cara penilaian adalah tidak sama seperti pelajar normal. Kaedah penilaian yang digunakan sedikit berlainan iaitu guru perlu membacakan soalan tersebut kepada pelajar.Kaedah seterusnya adalah secara temubual yang melibatkan perbualan di antara guru yang menilai dengan guru yang mengajar setiap matapelajaran untuk mendapatkan hasil yang relevan. Guru juga perlu bertanya secara terus kepada pelajar tentang apa yang difahaminya terhadap soalan-soalan yang sesuai dengan aras kebolehan pelajar tersebut. Setelah itu guru perlu mengumpul semua hasil penilaian yang diperolehi dan menyimpannya untuk dijadikan rujukan pada masa akan datang untuk mengambil tindakan susulan iaitu jika pelajar tersebut menguasai kemahiran yang diajar maka aktiviti pengayaan yang bersesuaian dengan kebolehannya boleh diberikan. Namun, jika pelajar tersebut tidak menguasai kemahiran yang diajar maka aktiviti pemulihan perlu diberikan sehingga pelajar benar-benar faham dan seterusnya guru akan menjalankan penilaian semula. Sekiranya pelajar tersebut dapay menguasai maka aktiviti pengayaan perlu diberikan kepada pelajar mengikut kebolehannya.Akhir sekali, selain daripada penilaian terhadap pelajar dari segi kognitif, penilaian berdasarkan afektif dan domain psikomotor juga perlu diambil kira. Guru perlu mengambil kira tentang sikap, nilai dan minat pelajar terhadap sesuatu matapelajaran. Guru juga perlu menitikberatkan tentang kebolehan psikomotor pelajar sekiranya ingin membuat penilaian secara amali atau praktikal terutamanya bagi pelajar yang bekeperluan khas.

1