bab 5 konsep ketuhanan dalam kepelbagaian …author.uthm.edu.my/uthm/www/content/lessons/4662/bab 5...
TRANSCRIPT
1
BAB 5
KONSEP KETUHANAN DALAM KEPELBAGAIAN AGAMA
HASIL PEMBELAJARAN
Pada akhir topik ini, pelajar dapat:
1. Menjelaskan konsep ketuhanan dalam kepelbagaian agama berdasarkan
pandangan agama masing-masing. ( PLO1:C2)
2. Menghuraikan bentuk ketuhanan agama masing-masing melalui penulisan dan
pembentangan tugasan. (PLO3 : P2)
3. Mematuhi nilai baik yang diperolehi dari kepercayaan ketuhanan dalam agama
masing-masing melalui penglibatan aktiviti dan pelaksanaan tugasan .(PLO8:A3)
ISI KANDUNGAN
1.0 Pendahuluan
Agama lahir seiring dengan penciptaan manusia kerana agama adalah satu keperluan
kepada manusia yang membawa manusia kepada mengenali Tuhan. Perbincangan
ketuhanan pastinya menyentuh ketuhanan dalam agama-agama yang wujud di dunia
sama ada agama samawi mahupun agama budaya. Antara ketuhanan agama besar
yang akan dibincangkan adalah agama Islam, Kristian, Hindu, Buddha dan Sikh.
Perbezaan amat jelas antara ketuhanan agama samawi dan agama budaya. Agama
samawi mempunyai hubungan yang amat rapat dengan bentuk ketuhanan monotesime
mutlak manakala agama budaya pula mempunyai bentuk ketuhanan yang pelbagai.
2.0 Agama Islam
2.1 Latarbelakang Agama Islam
2
Agama Islam diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW merupakan pelengkap
kepada agama samawi yang terdahulu yang telah diturunkan kepada para rasul
sebelumnya bermula dari nabi Adam AS sehingga nabi Isa AS. Diturunkan oleh Allah
S.W.T kepada Nabi Muhammad SAW melalui malaikat Jibril AS. Wahyu pertama
diterima pada 17 Ramadan bersamaan 6 Ogos 610 Masehi di Gua Hira‟, Jabal Nur
(Bukit Cahaya). Allah S.W.T menurunkan wahyu berterusan selama 23 tahun. Selepas
kewafatan Nabi Muhammad S.A.W wahyu tersebut dikumpul, ditulis dan dibukukan
secara sistematik oleh para sahabat.
2.2 Ketuhanan Menurut Agama Islam
Ketuhanan dalam agama Islam dijelmakan dalam kalimah syahadah yang
menjadi tonggak keislaman seseorang. Dalam kalimah syahadah iaitu “Tiada Tuhan
melainkan Allah” terkandung konsep tauhid. Sebagaimana agama samawi yang
terdahulu, ketuhanan berbentuk tauhid menjadi intipati akidah yang menentukan bentuk
ibadah dan akhlak penganutnya. Tauhid bermaksud kepercayaan bahawa Allah SWT
adalah Tuhan yang Maha Esa, yang wajib disembah, menjadikan, memiliki dan
mentadbir alam serta seluruh isinya, tiada makhluk lain yang serupa denganNya.
Umat Islam diajar mengenal Allah S.W.T melalui kefahaman terhadap nama-
nama (asma‟) dan sifat-sifat Allah S.W.T yang Maha Agung dan Maha Sempurna.
Memahami dalil-dalil yang membuktikan kewujudan Allah S.W.T dan mengenal
kebesarannya melalui makhluk ciptaanNya yang terdapat di alam ini . Terdapat
sembilan puluh sembilan nama, 20 sifat wajib dan 20 sifat mustahil bagi Allah S.W.T
yang wajib diketahui dan difahami oleh seorang muslim.
Allah S.W.T merupakan Tuhan yang berhak dan wajib disembah dan dalam
pengibadatan serta permohonan kepadaNya tanpa memerlukan perantaraan. Allah
S.W.T Maha Pengasih dan Penyayang yang Maha Mendengar akan setiap permintaan
hambaNya.
3
Ketuhanan dalam agama Islam berbentuk Monoteisme Mutlak iaitu mempercayai
dan menyembah Allah S.W.T, Tuhan yang Esa.
3.0 Agama Kristian
3.1 Latarbelakang Agama Kristian
Secara umumnya, agama Kristian merupakan agama yang dikembangkan dari agama
yang diturunkan kepada Nabi Isa A.S. Oleh itu ia juga dikenali sebagai agama Isa yang
disebarkan dalam kalangan orang Romawi. Nama agama Kristian mengambil nama
Jesus iaitu nama Nabi Isa A.S yang telah diberikan oleh pengikutnya.
Jesus merupakan putra Maryam binti Imran, berketurunan Bani Israel dan
Galilea daripada keturunan Nabi Daud A.S. Dalam agama Islam, Jesus dikenali sebagai
Isa Ibn Maryam atau al-Masih yang diutuskan oleh Allah S.W.T untuk membawa Bani
Israel beriman kepada Allah S.W.T.
Islam menyatakan bahawa Nabi Isa telah diangkat ke langit selepas baginda
diselamatkan dari hukuman mati disalib. Manakala penganut Kristian percaya bahawa
Jesus Kristus telah mati disalib dan kematiannya dianggap suci kerana menjadi
penebus dosa umat manusia.
Menurut sejarah, orang Romawi sebelum kedatangan agama Kristian, mereka
menganuti agama yang mempunyai unsur agama Yunani. Orang Yunani mempercayai
bahawa alam ini telah dicipta oleh para dewa. Bagi agama ini, dewa dewi disamakan
dengan manusia iaitu mempunyai sifat-sifat kemanusiaan. Kelebihan mereka hanya
dari segi kesempurnaan kejadian dan mempunyai kuasa yang luar biasa. Kepercayaan
lama ini sedikit sebanyak wujud dalam akidah dan amalan agama Kristian seperti
kepercayaan kepada Tritunggal, Tuhan Bapa, Tuhan Ibu dan Tuhan Anak.
4
3.2 Ketuhanan Menurut Agama Kristian
Secara umumnya konsep ketuhanan dalam agama Kristian pada mulanya
berbentuk monoteisma mutlak. Seterusnya ia dikembangkan oleh pemimpin-pemimpin
gereja menjadikan sebahagian besar penganut Kristian berpegang kepada konsep
Triniti iaitu:
a. Tuhan bapa yang merupakan Pencipta sekalian alam yang ada di Syurga.
b. Anak Tuhan iaitu Jesus merupakan Tuhan atau firman yang hidup bersama-
sama manusia yang datang ke dunia sebagai „juruselamat‟. Mengikut Kristian,
Jesus mati disalib di atas kayu palang. Kematian beliau sebagai korban untuk
menebus dosa manusia.
c. Ruhul kudus iaitu „Roh Allah‟ yang boleh masuk ke dalam peribadi orang suci.
Dalam Kristian, penyaliban Jesus juga merupakan salah satu pokok
keimanannya. Seseorang belum menjadi Kristian sekiranya tidak mengimani Triniti dan
penyaliban Jesus. Penyaliban Jesus salah satu daripada rukun iman yang mutlak,
maka lambang kayu salib diletakkan ditempat yang penting dalam Kristian. Setiap
orang Kristian memuliakan salib dan ia diletakkan di dalam gereja serta dijadikan pusat
penumpuan. Oleh itu salib amat penting kedudukannya dalam kalangan penganut
Kristian.
4.0 Agama Hindu
4.1 Latarbelakang Agama Hindu
Agama Hindu dikatakan antara agama tertua di dunia sebagaimana agama
seangkatan dengannya seperti agama Mesopotamia dan agama Yunani. Walau
bagaimanapun tiada catatan yang menunjukkan tarikh atau tahun sebenar agama
Hindu lahir. Diberi nama sempena nama Sungai Sindus (Indus) iaitu tempat asal
5
penganutnya. Ia telah dibawa dan diperkenalkan oleh Bangsa Arya yang datang dari
daerah Asia tengah ke lembah sungai Sindu.
Dalam catatan sejarah, tidak ditemui individu yang mengaku sebagai pencipta
atau pengasas agama Hindu. Malah agama Hindu termasuk dalam agama ciptaan
manusia. Catatan-catatan sejarah silam juga menunjukkan tidak ada penganut agama
Hindu yang mengetahui siapa pengasas agama ini.
4.2 Ketuhanan Menurut Agama Hindu
Dalam agama Hindu Tuhan disebut sebagai Brahma iaitu nama Tuhan Tunggal
yang wujud dengan sendirinya, Maha Esa dan Maha Kuasa yang bersifat azali, tiada
awal dan tiada akhir, yang menciptakan dan menjadi asal dari sekalian alam.
Bagaimanapun dengan beredarnya masa, terdapat penganut Hindu yang telah
mengubah kepercayaan ketuhanan yang satu kepada kepercayaan berbentuk trimurti
atau bertuhan tiga. Mereka memberi nama kepada tuhan yang tiga berdasarkan
tugasnya masing-masing. Trimurti terdiri dari:
a. Brahma iaitu tuhan yang mencipta
b. Visynu iaitu tuhan yang memelihara
c. Siva iaitu tuhan yang memusnah
Menurut Agus Hakim (1979), apabila diperhatikan dalam kitab Veda, kitab suci
agama Hindu, tidak ada dinyatakan Tuhan yang berbilang, hanya menyatakan
ketuhanan Brahma semata-mata. Vishnu dan Siva ada dinyatakan tetapi bukan
sebagai Tuhan, ia lebih cenderung dinyatakan sebagai sifat Tuhan. Visynu adalah sifat
kasih sayang dan memelihara, siva pula sifat maha kuasa dan memusnahkan. Terdapat
dalam kalangan pendeta telah mengkhayalkan dalam fikiran mereka untuk meletakkan
kedua sifat tuhan itu sebagai tuhan yang ke dua dan ketiga.
Oleh itu ditemui di kuil-kuil agama Hindu patung-patung yang menggambarkan
Trimurti. Patung Brahma yang mempunyai empat muka dan empat tangan dan di
sisinya terdapat dua patung iaitu tuhan Visynu dan Siva.
6
Akhirnya, pada hari ini ketuhanan dalam agama Hindu agak sukar untuk
dijelaskan kerana ia telah berubah dan mempunyai berbagai bentuk dan sumber.
Apabila muncul satu bentuk aliran yang disebut sebagai perbilangan maka ketuhanan
dalam agama Hindu didapati berbentuk politeisma iaitu mempercayai banyak tuhan.
Mempercayai setiap satu kekuatan tabi‟ie seperti air, api, sungai, gunung dan lain-lain
boleh memberi faedah atau membahayakan. Semuanya dianggap mempunyai roh dan
jiwa. Oleh itu perlu dipuji serta didekati melalui perbuatan-perbuatan ibadah dan
persembahan korban. Akhirnya wujudnya kepercayaan kepada tuhan dan dewa yang
berbilang yang memberi kesan dalam kehidupan manusia. Antara nama-nama tuhan
yang terkemuka iaitu Varuna di langit, Indra di udara dan Agni di bumi.
5.0 Agama Buddha
5.1 Latarbelakang Agama Buddha
Buddhisme merupakan aliran keagamaan yang diasaskan oleh Sidharta dan
dikembangkan pada abad ke 6 Masehi S.M. Sidharta Gautama telah dilahirkan pada
563 S.M. adalah seorang putra raja. Semasa beliau dilahirkan, seorang pendeta
menyatakan bahawa beliau merupakan utusan dewa yang kelak akan menjadi
pemimpin dan petunjuk bagi semua makhluk menolong segenap rohani manusia
daripada samsara (sengsara). Firasat tersebut membayangkan Sidharta akan menjadi
seorang ahli agama. Justeru ayahandanya mengawal pergerakan beliau kerana beliau
berhasrat supaya Sidharta akan menjadi seorang raja bagi meneruskan pemerintahan
Kerajaan Kosala.
Walau bagaimanapun suatu ketika semasa beliau keluar berburu beliau telah
menyaksikan beberapa keadaan manusia di luar istana. Kesakitan, tua, kematian dan
kemiskinan dilihat telah menjadikan seseorang hidup dalam kesengsaraan. Hatinya
menjadi amat sedih menyebabkan beliau membuat keputusan untuk meninggalkan
istana dan tidak memberi penumpuan kepada kehidupan untuk menjadi pembesar
7
negara. Pengembaraannya telah membawa beliau menemui ramai pendeta, hidup
bertapa dalam hutan tanpa makan, minum dan tempat tinggal yang selesa. Beliau
berusaha mencari sesuatu yang dirasakan kurang dalam kehidupannya iaitu
mendapatkan makna hakikat nikmat hidup. Dalam pengembaraan itu juga Sidharta
telah mengunjungi biara untuk mendapatkan jawapan kepada pencarian tersebut.
Penganut Buddha mempercayai kesungguhan Sidharta memberi penumpuan
pemikiran terhadap mencari jawapan kepada makna hakikat nikmat hidup bertahun
lamanya menyebabkan beliau mendapat Bhodi iaitu satu tahap ilmu pengetahuan yang
tinggi dan sempurna serta mendapat jalan untuk melepaskan diri dari kekangan karma.
Terdapat dua pandangan mengenai asal nama agama Buddha. Ada pandangan yang
menyatakan nama agama Buddha diambil dari perkataan Bhodi merujuk kepada tahap
pencapaian tersebut. Terdapat juga pandangan yang menyatakan nama agama
Buddha diambil sempena nama pokok Bodhi, iaitu pokok tempat beliau berteduh untuk
bermeditasi dan berjaya mencapai makna kebahagiaan dan kegembiraan hidup.
Akhirnya Sidharta telah menyebarkan fahaman dan ajaran Buddha kepada pelajarnya
dan ia berkembang sehingga hari ini.
5.2 Ketuhanan Menurut Agama Buddha
Agama Buddha mempunyai hubungan erat dan persamaan dengan agama
Hindu dari aspek prinsip-prinsipnya kerana sepanjang pengembaraan Sidharta beliau
telah bertemu dengan pendeta-pendeta yang menganut agama Hindu. Bagaimanapun
dalam agama Buddha konsep ketuhanan tidak dibincangkan sebagaimana dalam
agama Hindu kerana agama Buddha tidak bertitik tolak dari Tuhan, hubunganNya
dengan alam serta seluruh isinya. Ia lebih memberi tumpuan kepada aspek etika dan
ajaran-ajaran moral.
Walau bagaimanapun pengkaji agama melihat, dalam agama Buddha terdapat
kepercayaan terhadap perkara-perkara ghaib. Kepercayaan ini dianggap sebagai
pengganti kepada konsep ketuhanan . Antaranya:
8
a. Konsep Nirvana dianggap pencapaian tertinggi dalam kehiudpan manusia dan
perlepasan diri dari segala penderitaan dapat melihat segala rahsia kewujudan
dalam, punca-punca kehidupan semula di dunia dan penderitaan. Orang yang
mencapai Nirvana telah menjadi Buddha. Pada tahap ini seorang Buddha
mempunyai berbagai-bagai kuasa ghaib. Konsep ini dianggap sebagai pengganti
kepada konsep ketuhanan yang mempunyai kuasa ajaib dan amat berkuasa.
b. Kepercayaan terhadap roh dan hantu. Percaya manusia yang jahat apabila mati
akan hidup semula sebagai hantu.
c. Konsep dewa-dewa. Penganut Buddha juga mempercayai kewujudan dewa-
dewa yang banyak bagi menjelaskan perkara-perkara di luar kebiasaan yang
wujud di dunia.
6.0 Agama Sikh
6.1 Latar belakang Agama Sikh
Agama Sikh dicipta oleh seorang bernama Guru Nanak dan gurunya, Kabir.
Agama ini telah dianuti oleh penduduk di utara India berhampiran Pakistan yang
dikenali sebagai daerah Punjab. Agama ini dilihat mempersatukan pelbagai unsur dua
agama besar di India iaitu Islam dan Hindu serta tambahan-tambahan oleh Guru Nanak
dan tokoh-tokoh yang mendahuluinya.
Guru Nanak dilahirkan dalam keluarga berbangsa Hindu yang menerima
pengaruh Islam. Beliau banyak terpengaruh dengan ajaran dan sajak ciptaan Kabir
seorang yang banyak belajar tentang Islam dan Hindu.
6.2 Ketuhanan Menurut Agama Sikh
Ajaran yang dibawa oleh Guru Nanak adalah berteraskan keesaan Tuhan. Beliau
menentang keras kehidupan berkasta dalam kalangan orang Hindu. Nama Tuhan
adalah Nam. Nam mempunyai banyak sifat. Tuhan ini terdiri daripada dua aspek iaitu
9
Tuhan Nirguna dan Tuhan Sirguna. Sifat Tuhan Nirguna menyamai sifat Tuhan dalam
kepercayaan Islam. Manakala Tuhan Sirguna pula menyerupai Tuhan yang disembah
oleh penganut agama Hindu. Namun, Tuhan yang disembah oleh penganut agama Sikh
hanyalah Tuhan Nirguna.
Dalam penciptaan, Tuhan Nirguna dipercayai menghasilkan dua perkara
daripada dirinya. Pertama adalah bunyi abadi yang dikenali dengan nama Shabada dan
yang kedua adalah cahaya Jot. Daripada kedua benda ini lahir Tuhan Sirguna.
Seterusnya, Tuhan Sirguna mencipta seluruh makhluk dengan menggunakan dirinya.
Oleh itu, Tuhan Sirguna menjelma atau wujud dalam setiap kejadian dan makhluk.
Dalam rumah ibadat agama Sikh tidak ada berhala kerana ajarannya melarang
penyembahan berhala. Titik pusat bagi rumah ibadat ialah buku suci (Adi Granth) yang
dibaca dengan irama dan nada yang indah. Kitab Adi Granth menjadi petunjuk kepada
penganut agama Sikh dan penyambung kepada perkembangan agamanya yang
mempunyai sejarah, budaya dan adat tersendiri.
7.0 Kesimpulan
Naluri mempercayai kewujudan Tuhan atau suatu kuasa yang lebih hebat dari makhluk
telah sedia ada dalam diri setiap manusia. Bertitik tolak dari naluri tersebut manusia
terus mencari Tuhan bagi menemui kebenaran yang hakiki. Tidak ada pihak yang
berhak menyekat kehendak manusia untuk terus mencari kebenaran ketuhanan. Bagi
yang telah menemui kebenaran tersebut maka naluri untuk menambah keyakinan
ketuhanan akan mendesak untuk mencari bukti kebenaran samada berbentuk aqli
mahupun naqli. Justeru perbincangan mengenai ketuhanan akan terus mendapat
tempat dalam kalangan mereka yang mencintai kebenaran hakiki.
AKTIVITI
1. Huraikan konsep ketuhanan agama anda.
10
2. Bentangkan konsep ketuhanan agama anda bersama rakan yang berlainan agama
dalam kumpulan.
3. Senaraikan nilai baik yang diperolehi dari kepecayaan ketuhanan dalam agama
anda masing-masing.
RUJUKAN
1. Gazali Darusalam, (2001), Tamadun Islam dan Tamadun Asia, Kuala Lumpur:
Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd (DS36.86 .G52 2001 n.24)
2. Shalaby, Ahmad (2001), Agama Islam: Perbandingan Agama, Singapura:
Penerbitan Pustaka Nasional, (BP171 .S52 2001)
3. Agus Hakim, (1979), Perbandingan Agama: Pandangan Islam Mengenai
Kepercayaan Majusi-Shabiah-Yahudi-Kristen-Hindu & Budha, (BL80.2 .A38 1979
N1)
4. Sulaiman Abdullah, (1989), Ketuhanan Yang Maha Esa Menurut Islam, Al-Ikhlas,
(BP166.2 .S94 1989)
5. Mohd. Rosmizi Abd Rahman. 2005. Panduan memilih agama. Bentong, Pahang:
PTS Millennia.