bab 15.pdf

Upload: bangyongguk

Post on 01-Mar-2016

17 views

Category:

Documents


5 download

DESCRIPTION

sumber

TRANSCRIPT

  • 239

    BAB 15

    DISIPLIN PEKERJA

    OBJEKTIF BAB

    Selepas mengikuti bab ini, anda seharusnya boleh: 1. Mendefinisikan disiplin pekerja. 2. Menerangkan cara mendisiplin pekerja, sama ada cara yang baik

    atau buruk, dengan menekankan kepada teknik mendisiplin yang efektif.

    3. Menjelaskan ciri-ciri yang perlu ada dalam prosedur disiplin. 4. Mempraktikkan panduan ketika mengenakan tindakan disiplin.

    15.1 PENGENALAN Dalam mana-mana organisasi akan terdapat pekerja yang tidak mempamerkan prestasi kerja seperti yang diharapkan dan tidak kurang juga yang terlibat dalam kesalahan jenayah. Contohnya, ada pekerja yang kerap ponteng kerja, malas, terlibat dengan dadah, mencuri dan sebagainya. Apabila ini berlaku, pihak pengurusan perlu mengambil tindakan yang sesuai bagi membetulkan keadaan. Untuk memastikan pekerja mengubah perlakuan yang negatif, pengurus biasanya akan mengambil tindakan disiplin sebagai langkah pembetulan. Tidak dapat dinafikan bahawa disiplin memang diperlukan dalam sesebuah organisasi bagi memastikan semua objektif yang telah ditetapkan berjaya dicapai. Peraturan yang wujud di dalam organisasi bukan bertujuan untuk menyekat pergerakan pekerjanya tetapi lebih kepada mewujudkan satu persekitaran kerja yang aman dan harmoni. Bagi mengelakkan daripada dikenakan tindakan mahkamah, organisasi perlu memastikan kaedah tindakan disiplin yang diambil mengikut tatacara yang betul. Dalam pelajaran ini, kita akan cuba menyelami apakah yang dikatakan dengan disiplin, jenis-jenis disiplin yang biasa digunakan, kesalahan ketika melakukan tindakan disiplin serta mempelajari beberapa garis panduan yang boleh dipraktikkan ketika melaksanakan tindakan disiplin.

  • 240

    15.2 DISIPLIN PEKERJA Perkataan disiplin sebenarnya berasal daripada perkataan Latin yang bermaksud mengajar atau belajar. Individu memerlukan pendekatan mengajar atau belajar bagi mengubah, memperbaiki atau membetulkan gelagat yang tidak bersesuaian dalam sesebuah organisasi. Dalam erti kata yang lain, mereka perlu diberi tunjuk ajar sehingga mereka mampu bertindak mengikut peraturan yang telah ditetapkan oleh organisasi tersebut. Dalam industri, disiplin merujuk kepada pemantauan peraturan yang telah dibuat semasa pembangunan industri bagi mengekalkan kawalan dan arahan agar dapat mencapai piawaian dan objektif yang telah ditetapkan oleh organisasi. Ia juga merujuk kepada keadaan mental atau sikap yang lazimnya terdapat dalam struktur hierarki yang berbeza yang bertepatan dengan peraturan dan undang-undang seperti yang telah dikuatkuasakan. Fungsi utama disiplin ialah untuk mengekalkan keamanan dengan menetapkan had atau batasan terhadap gelagat individu yang mana boleh menggugat perjalanan organisasi. Manakala, tujuan disiplin pula adalah untuk menggalakkan gelagat yang waras ketika berada di tempat kerja di mana majikan mengharapkan agar pekerja setia dan mematuhi peraturan serta undang-undang yang telah ditetapkan oleh organisasi. Selain daripada itu, objektif utama disiplin adalah untuk memotivasikan pekerja agar mematuhi peraturan yang telah ditetapkan dan untuk mengelak daripada berlakunya tindakan disiplin (yakni hukuman yang dikenakan akibat daripada melanggar kod perlakuan). Jika pelanggaran undang-undang berlaku, maka majikan perlu mendapatkan sebab-sebab mengapa ia berlaku agar tindakan pembetulan boleh diambil. Objektif kedua disiplin ialah untuk membentuk atau mengekalkan sikap saling percaya mempercayai dan hormat menghormati antara penyelia dan pekerja. Jika disiplin gagal diurus dengan baik, maka ramai antara pekerja yang berasa tidak puas hati dan permusuhan mungkin berlaku antara penyelia dan pekerja. Oleh yang demikian, pengurusan disiplin yang baik bukan sahaja untuk membaiki gelagat pekerja tetapi juga berusaha untuk mengurangkan masalah disiplin pada masa hadapan dengan menjalinkan hubungan yang positif dengan pekerja. Selain daripada itu, pengurus perlulah menganggap disiplin sebagai jalan terakhir dalam meningkatkan prestasi pekerja. Umumnya, tindakan disiplin tidak boleh dikenakan ke atas pekerja yang gagal untuk mempamerkan prestasi kerja yang memuaskan yang mana pada ketika itu mereka masih berada dalam tempoh percubaan atau masih menjalani latihan kerja. Mereka juga tidak boleh dikenakan tindakan disiplin jika kegagalan mereka untuk mencapai piawaian adalah disebabkan oleh kecuaian organisasi seperti kekurangan bahan mentah untuk diproses.

  • 241

    Jadi, bilakah tindakan disiplin boleh diambil? Majikan boleh mengambil tindakan disiplin ke atas pekerja apabila salah satu daripada perkara berikut berlaku:

    (i) Apabila pekerja melanggar peraturan yang telah ditetapkan oleh majikan dan/atau telah mempamerkan gelagat salah laku; atau

    (ii) Apabila pekerja gagal melaksanakan kerja mengikut piawaian yang telah ditetapkan.

    SOALAN DALAM TEKS 15.1

    1. Berdasarkan kepada pemahaman anda, apakah yang

    dikatakan disiplin? 2. Bincangkan dengan ringkas tentang fungsi, tujuan

    dan objektif disiplin. 3. Bilakah pengurus boleh mengambil tindakan disiplin

    terhadap pekerja?

    Semak jawapan anda di akhir bab ini.

    15.3 JENIS-JENIS DISIPLIN Dalam proses disiplin yang formal, disiplin boleh dibahagikan kepada dua bahagian: disiplin pembetulan (corrective discipline) dan disiplin progresif (progressive discipline). 1. Disiplin pembetulan Ia adalah merupakan satu kaedah yang positif dalam membantu meningkatkan prestasi pekerja dengan memberi peluang kepada pekerja untuk membetulkan kesalahan mereka sebelum organisasi mengambil apa-apa tindakan terhadap mereka. Tugas pengurus adalah untuk memberitahu pekerja tentang gelagat yang perlu diubah agar selari dengan peraturan organisasi. Setelah itu, pekerja terbabit perlu membuat pembetulan jika dia ingin terus bekerja di dalam organisasi tersebut. Ciri utama yang terdapat dalam disiplin pembetulan ialah pekerja dan pengurus akan sama-sama berkongsi tanggungjawab bagi menyelesaikan masalah yang berlaku. Walaupun pada kebiasaannya kita sering mengaitkan disiplin dengan pekerja bawahan, ada juga organisasi yang

  • 242

    telah membangunkan peraturan dan dasar bagi pengurus dan para profesional yang berlandaskan kepada disiplin pembetulan. a. Peringkat-peringkat dalam disiplin pembetulan Disiplin pembetulan mempunyai enam peringkat atau komponen yang mengikut aturan.

    (i) Mengenal pasti masalah (ii) Melakukan pencegahan awal (iii) Menjelaskan jangkaan / harapan (iv) Memberi maklum balas (v) Mengadakan peneguhan positif (vi) Membuat tindakan susulan

    b. Ciri-ciri yang perlu ada dalam prosedur disiplin

    (i) Ia perlu dilakukan secara bertulis. (ii) Ia perlu dinyatakan dengan jelas kepada siapa ia

    ditujukan. (iii) Menjelaskan perkara-perkara yang perlu diselesaikan

    dengan secepat mungkin. (iv) Menunjukkan tindakan disiplin yang perlu diambil. (v) Menerangkan dengan jelas akan tahap autoriti pihak

    pengurusan dalam mengenakan pelbagai tindakan disiplin bagi memastikan penyelia tidak sewenang-wenangnya membuang pekerja tanpa merujuk kepada pihak pengurusan terlebih dahulu.

    (vi) Memberitahu pekerja akan aduan yang telah dibuat terhadap mereka dan memberi peluang kepada mereka untuk menjelaskan perkara tersebut.

    (vii) Memberi kebenaran kepada pekerja untuk memilih mana-mana wakil kesatuan sekerja atau rakan sekerja mereka bagi menemani mereka.

    (viii) Memastikan, kecuali bagi salah laku yang serius, pekerja tidak akan terus dipecat bagi kesalahan yang pertama.

    (ix) Memastikan bahawa tindakan disiplin hanya akan diambil selepas penyiasatan yang rapi diadakan.

    (x) Menentukan hak dalam membuat rayuan serta prosedur yang boleh diikuti.

    (xi) Apabila menjalankan prosedur disiplin, pihak pengurusan perlu meletakkan objektif utamanya sebagai penyokong kepada pembaikan pekerja dan bukannya untuk menghukum.

  • 243

    (xii) Tindakan perlu diambil dengan kadar segera kerana penangguhan boleh mengakibatkan kemusnahan fakta dan ingatan menjadi semakin pudar.

    (xiii) Penggantungan kerja sementara hanya dibenarkan kepada kes yang serius sahaja (dengan gaji) bagi mendapatkan fakta.

    (xiv) Langkah-langkah formal perlu diambil seperti memberi amaran secara lisan, amaran secara bertulis, amaran terakhir secara bertulis dan pemecatan. Walau bagaimanapun, jenis-jenis amaran yang diberi mestilah mengikut tahap kesalahan yang dilakukan.

    (xv) Setiap kesalahan yang berlaku dan tindakan yang telah diambil perlulah direkod bagi mengelakkan ketidakpuasan pekerja dan untuk tujuan semakan tentang tindakan pembetulan yang telah diambil.

    2. Disiplin progresif Ia adalah merupakan satu sistem di mana penalti akan ditingkatkan jika kesalahan diulang oleh pekerja. Penalti yang dikenakan akan mengikut susunan seperti berikut:

    (i) Amaran secara lisan; (ii) Amaran secara bertulis; (iii) Pemberhentian kerja sementara atau penggantungan

    kerja; dan (iv) Pemecatan.

    Disiplin progresif tidak melibatkan kaunseling atau tunjuk ajar seperti disiplin pembetulan, tetapi masih lagi memberikan peluang kedua kepada pekerja yang berprestasi rendah. Jika pekerja telah melanggar peraturan organisasi, terutamanya bagi kesalahan yang kecil, maka langkah pertama yang biasanya diambil adalah dengan memberi amaran secara lisan. Penyelia akan meminta pekerja terbabit agar tidak mengulangi kesalahan yang telah dibuat di mana tindakan disiplin akan diambil sekiranya mereka gagal untuk berbuat demikian. Sekiranya pekerja terbabit terus mengulangi kesalahan mereka atau kesalahan yang mereka lakukan adalah kesalahan yang serius walaupun ia adalah kali pertama dilakukan, sesetengah organisasi akan memberikan amaran secara bertulis. Kali ini kesalahan mereka akan direkodkan dan dijadikan sebagai bukti jika organisasi ingin menamatkan perkhidmatan mereka kelak.

  • 244

    Pemberhentian kerja sementara atau penggantungan kerja adalah merupakan bentuk disiplin yang seterusnya. Di dalam kes ini, pekerja akan diarahkan untuk tidak datang bekerja bagi satu tempoh yang tertentu. Sesetengah organisasi tidak mahu mengenakan tindakan ini kerana sukar untuk mencari pengganti. Sebaliknya, pekerja akan terus dipecat. Pemecatan adalah merupakan langkah terakhir disiplin. Kebelakangan ini, pendekatan ini jarang sekali digunakan kerana ia dianggap terlalu berat. Bagi pengurus yang efektif, mereka akan berusaha untuk memastikan pekerja tidak melanggar peraturan. Jika ingin memecat seseorang, Sutter ada mencadangkan enam panduan yang boleh diikuti oleh pengurus. Ini termasuklah:

    (i) Nyatakan keputusan yang telah dibuat dengan tegas dan tidak emosional;

    (ii) Berikan alasan dengan tepat dan jujur mengapa mereka diberhentikan;

    (iii) Tidak melibatkan diri dengan perdebatan atau perbincangan yang tidak produktif tentang sebab-sebab mengapa mereka diberhentikan;

    (iv) Redakan kemarahan pekerja dengan menunjukkan pihak pengurusan juga berasa kecewa di atas tindakan yang dikenakan;

    (v) Jangan memberhentikan pekerja ketika anda sedang marah; dan

    (vi) Jangan menyalahkan orang lain di atas keputusan yang dibuat.

    SOALAN DALAM TEKS 15.2

    1. Melalui pembacaan anda, sila berikan perbezaan

    antara disiplin pembetulan dan disiplin progresif. 2. Dalam disiplin pembetulan terdapat enam peringkat

    atau komponen yang mengikut aturan. Berikan enam peringkat atau komponen tersebut.

    3. Menurut Sutter terdapat enam panduan yang boleh diikuti oleh pengurus apabila ingin memecat seseorang pekerja. Nyatakan.

    Semak jawapan anda di akhir bab ini.

  • 245

    15.4 DISIPLIN YANG SALAH Disiplin jenis ini bukan sahaja dilakukan oleh ibu bapa terhadap anak-anak ketika berada di pasar raya, tetapi ia juga sering dilakukan oleh pihak pengurusan. Berikut adalah kesalahan-kesalahan yang berkaitan dengan proses disiplin di tempat kerja: 1. Disiplin mendera (punitive discipline) Disiplin mendera atau lebih dikenali sebagai disiplin negatif adalah merupakan disiplin melalui ketakutan. Pada kebiasaannya, ia akan melibatkan ugutan, gangguan, ancaman dan gertakan.Walau bagaimanapun, disiplin jenis ini amat jarang digunakan pada masa kini kerana kebanyakan pengurus mungkin lebih suka menggunakan kemahiran antara perorangan dan mungkin juga disebabkan adanya kesatuan sekerja yang melindungi hak pekerja. Namun begitu, tidak dapat dinafikan bahawa masih ada segelintir penyelia dan pengurus yang mengamalkan disiplin jenis ini. 2. Maklum balas negatif (negative feedback) Sesetengah penyelia hanya memberikan maklum balas apabila pekerja menunjukkan prestasi yang kurang memuaskan. Amat jarang sekali penyelia memberikan pujian dan pengiktirafan apabila pekerja berjaya mempamerkan mutu kerja yang tinggi. Cara yang paling efektif ialah dengan sentiasa memberikan maklum balas sama ada positif atau negatif mengikut situasi yang bersesuaian agar ia dapat membantu pekerja memperbaiki mutu kerja mereka. 3. Pencegahan yang lambat (late intervention) Ia mungkin lebih sesuai dipanggil disiplin tertangguh (procrastination discipline). Disiplin jenis ini berlaku apabila penyelia membiarkan masalah yang pada awalnya kecil, menjadi benar-benar serius sebelum apa-apa tindakan diambil. Masalah yang telah menjadi terlalu serius akan mengakibatkan ianya sukar untuk diubah. 4. Definisi yang tidak jelas (inadequate definition) Semasa sesi kaunseling, penyelia sering menggunakan terma tidak mahu bekerjasama, tidak setia, atau tidak pandai bekerja dalam kumpulan. Jika penyelia menggunakan terma yang kabur, pekerja akan berasa lebih tertekan dan kecewa kerana tidak dapat memahami atau tersalah anggap apa yang cuba disampaikan oleh penyelia. Akhirnya masalah yang ingin diselesaikan akan menjadi bertambah buruk.

  • 246

    5. Melabel pekerja, bukannya gelagat (labeling employees, not behavior)

    Bagi pekerja yang kurang menunjukkan mutu kerja yang baik, sudah pasti akan dilabel sebagai seorang yang pemalas, bodoh atau tidak serius ketika bekerja. Melabel pekerja sebegini akan memberikan dua masalah besar. Pertama, pekerja mungkin akan terbawa-bawa dengan label ini apabila bekerja di unit yang lain dan label ini akan dijadikan sebagai jangkaan pencapaian kendiri (self fulfilling prophecy). Keduanya, deskripsi sedemikian merujuk kepada diri pekerja dan bukannya kepada prestasi yang kurang memuaskan yang mana perlu diselesaikan. 6. Tidak bertanggungjawab (misplaced responsibility) Penyelia perlu menyedari hakikat bahawa masalah prestasi yang timbul kadang-kadang adalah disebabkan oleh mereka. Apabila pekerja membuat kesalahan, penyelia sering meletakkan sepenuh tanggungjawab untuk mengubah sikap tersebut di atas bahu pekerja. Seandainya pekerja gagal untuk berbuat demikian, maka tindakan disiplin akan ditambah lagi. Apa yang perlu diingat ialah pekerja tidak akan mengubah sikap mereka jika mereka melihat penyelia juga tidak mahu mengubah sikap.

    SOALAN DALAM TEKS 15.3

    1. Apabila membincangkan tentang disiplin yang

    salah, terdapat beberapa kesalahan yang sering dilakukan oleh penyelia dan pengurus ketika proses mendisiplin. Nyatakan.

    Semak jawapan anda di akhir bab ini.

    15.5 DISIPLIN YANG BERSIFAT MENCEGAH Disiplin jenis ini amat digemari berbanding dengan jenis-jenis disiplin yang lain. Pengurus yang menggunakan disiplin ini akan mengurus pekerja dan memastikan mereka tidak akan dikenakan tindakan disiplin. Sama seperti individu yang ingin hidup sihat yang mengambil makanan yang berkhasiat dan banyak bersenam bagi mengelakkan masalah kesihatan, pengurus dan penyelia juga boleh membentuk suasana organisasi agar lebih kondusif terhadap kepuasan kerja dan produktiviti

  • 247

    pekerja. Bagi membentuk suasana yang sedemikian, pengurus perlu melakukan beberapa perkara ini.

    (i) Padankan pekerja dan kerja melalui pemilihan, ujian dan prosedur penempatan yang efektif;

    (ii) Berikan orientasi dan latihan yang secukupnya kepada pekerja;

    (iii) Jelaskan kepada pekerja akan gelagat yang diharapkan daripada mereka;

    (iv) Berikan maklum balas yang konstruktif dan kerap terhadap prestasi kerja mereka;

    (v) Benarkan pekerja untuk meluahkan rasa tidak puas hati mereka melalui teknik dan saluran yang betul.

    15.6 SALAH LAKU DI LUAR ORGANISASI Apabila majikan mendapat tahu pekerjanya terlibat dalam kegiatan salah laku di luar organisasi, majikan mungkin menghadapi kesukaran untuk membuat keputusan. Jika majikan ingin membuang pekerja yang terbabit, majikan mungkin akan dikenakan tindakan undang-undang yang mensabitkannya dengan cara pembuangan yang salah, melakukan diskriminasi atau perbuatan memfitnah. Tetapi jika majikan tidak mengambil apa-apa tindakan di atas salah laku pekerja yang terbabit, terutamanya yang dilakukan terhadap pelanggan atau pekerja yang lain, majikan mungkin akan dikenakan tindakan undang-undang kerana kecuaian. Oleh itu, situasi yang sedemikian perlu ditangani dengan berhati-hati. Faktor pertama yang perlu diambil kira oleh majikan ialah memastikan sama ada pekerja tersebut telah ditangkap atau hanya dituduh melakukan kesalahan. Jika pekerja tersebut ditangkap dan dipenjarakan, maka majikan boleh menggantung kerjanya sehingga satu penyelesaian dibuat. Sekiranya pekerja tersebut hanya ditahan tetapi tidak dipenjarakan, majikan boleh membenarkan dia untuk hadir ke tempat kerja sehingga isu tersebut berjaya diselesaikan. Walau bagaimanapun, satu pengecualian terhadap dasar ini akan diberikan sekiranya pekerja terbabit dituduh melakukan penderaan, merogol dan lain-lain jenayah keganasan yang serius dan ada memberi kesan ke atas pekerja yang lain. Dalam perkara ini, majikan boleh menggantung kerja pekerja terbabit sehingga kes ini diselesaikan. Setelah kes ini berjaya mendapatkan penyelesaian, majikan perlu menimbangkan faktor-faktor berikut sebelum membuat keputusan sama ada ingin mengenakan tindakan disiplin atau memberhentikan pekerja.

  • 248

    (i) Hubungan antara kerja dan salah laku. Ini mungkin merupakan faktor yang terpenting. Majikan mungkin tidak mempunyai alasan yang kukuh untuk memberhentikan pekerja sekiranya pekerja tersebut mabuk atau mengambil ganja ketika tidak bekerja. Tetapi majikan mungkin mempunyai alasan yang kukuh sekiranya pekerja terbabit dalam kes jenayah yang berat seperti membunuh.

    (ii) Tempoh perkhidmatan. Pekerja yang telah berkidmat dengan organisasi selama lebih daripada dua puluh tahun, mungkin boleh diberikan peluang yang kedua bagi jenayah yang ringan. Tetapi bagi pekerja yang baru, mungkin boleh terus diberhentikan.

    (iii) Interaksi awam. Sekiranya bidang kerja yang dipegang oleh pekerja melibatkan orang awam, sama ada di premis majikan atau di tempat lain, maka pekerja tersebut boleh diberhentikan dengan serta merta sekiranya jenayah yang dilakukan boleh mengancam keselamatan orang awam. Contohnya, seorang anggota polis tiba-tiba mengamuk dan menembak orang awam, boleh diberhentikan dengan serta merta.

    Kesimpulannya, sebelum membuat keputusan yang muktamad, majikan perlu memastikan bahawa keputusan yang diambilnya konsisten dengan keputusan yang pernah dibuat bagi kes yang sama. Seterusnya, majikan perlu melihat sama ada jenayah yang dilakukan mempunyai kaitan dengan kerja atau tidak sekiranya ia dilakukan di luar tempat kerja.

    SOALAN DALAM TEKS 15.4

    1. Bagi kesalahan salah laku di luar organisasi, apakah

    perkara-perkara yang perlu diambil kira sebelum keputusan sama ada ingin mengenakan tindakan disiplin atau memberhentikan pekerja dibuat?

    Semak jawapan anda di akhir bab ini.

  • 249

    15.7 PANDUAN KETIKA MELAKSANAKAN TINDAKAN DISIPLIN

    Berikut adalah antara perkara-perkara yang perlu diambil kira ketika melaksanakan tindakan disiplin terhadap pekerja: 1. Tekankan kepada peraturan dan bukannya kehendak

    personal

    Peraturan perlu ditekankan secara konsisten dan munasabah. Oleh itu, disiplin yang efektif biasanya berdasarkan kepada peraturan yang dikomunikasikan secara jelas dan bukannya didorong oleh kehendak personal pengurus.

    2. Jangan menjatuhkan harga diri pekerja Disiplin biasanya tidak melibatkan pendekatan penyelesaian masalah. Sebaliknya ia menekankan kepada konsep beritahu dan jual. Pekerja akan diberitahu akan kesalahan mereka dan jenis penalti yang akan dikenakan. Bagi mengelakkan pekerja berasa malu, tindakan disiplin elok diadakan secara tertutup.

    3. Ingat: Tanggungjawab untuk membukti adalah terletak di

    bahu anda Kerja-kerja mendokumentasi yang berkaitan dengan mana-mana ukuran disiplin tidak boleh terlampau menekan sebagai satu cara untuk melindungi diri pengurus dan organisasi daripada melakukan tuduhan palsu terhadap pekerja yang tidak berpuas hati. Adalah memadai dengan menyimpan rekod mengenai kesalahan yang telah dilakukan serta amaran yang telah diberikan bersama-sama dengan pencapaian positif yang telah dibuat agar memudahkan pihak pengurusan untuk menyediakan ulasan prestasi. 4. Jangan gagal untuk mendapatkan fakta Majikan perlu mendapatkan kesemua fakta yang berkaitan dan bukannya hanya mendengar khabar-khabar angin sebelum membuat keputusan.

    5. Beritahu kesalahan yang telah dilakukan dengan jelas Majikan perlu memberitahu jenis kesalahan yang telah dilakukan bersama penalti yang bakal dikenakan dengan jelas.

  • 250

    6. Jangan bertindak ketika marah Tidak ramai antara kita yang boleh bertindak secara objektif dan waras ketika sedang marah. Oleh itu, cara yang terbaik untuk mendisiplinkan pekerja ialah ketika kita berada di dalam keadaan yang tenang.

    7. Jangan berikan hukuman yang terlalu berat Jika hukuman diberikan adalah terlalu berat berbanding dengan kesalahan yang telah dilakukan, maka pekerja akan melihat ini sebagai sesuatu yang tidak adil. Oleh yang demikian, objektif pihak pengurusan untuk mengubah gelagat pekerja tidak akan tercapai. 8. Beri amaran Tidak dapat dinafikan bahawa sesetengah kesalahan mungkin akan menyebabkan pekerja akan digantung dan dibuang kerja dengan serta merta. Tetapi pada kebiasaannya, kesalahan yang pertama atau kedua, amaran secara bertulis atau lisan akan diberikan. Ini sebenarnya akan membantu pihak pengurusan apabila pekerja cuba menyaman organisasi di atas tuduhan membuang pekerja secara salah kerana pihak pengurusan mempunyai bukti bahawa beberapa amaran telah dikeluarkan.

    9. Pastikan disiplin yang diberikan adalah adil dan saksama Pihak pengurusan perlu memastikan bahawa semua pekerja akan dikenakan tindakan disiplin yang sama bagi kesalahan yang sama. Ini bagi mengelakkan daripada berlakunya pemberian penalti yang melampau, undang-undang yang tidak konsisten, pilih kasih dan lain-lain diskriminasi yang mungkin akan mengakibatkan ketidakpuasan.

    10. Dapatkan cerita daripada kedua belah pihak Membenarkan pekerja untuk menjelaskan apa yang berlaku dan mengapa ia berlaku adalah merupakan satu idea yang baik. Cara ini dapat membantu pihak pengurusan untuk mengambil tindakan yang sewajarnya.

    11. Jangan mengalah jika anda berada di tempat yang benar Apabila pihak pengurusan tahu bahawa mereka berada di pihak yang benar, mereka tidak seharusnya mengalah dan membiarkan pekerja terlepas dengan kesalahan yang dilakukannya. Ini akan menunjukkan bahawa peraturan yang dikenakan oleh organisasi adalah tidak konsisten dan remeh.

  • 251

    12. Jangan jadikan disiplin sebagai sesuatu yang personal Pengurus dan penyelia yang efektif tidak akan mengenakan tindakan disiplin yang berasaskan kepada perasaan dendam atau sebab-sebab lain yang personal. Ia perlu dilakukan secara rasional dan bukannya emosional yang mana akan membuatkan pekerja hilang rasa percaya dan hormat kepada mereka.

    SOALAN DALAM TEKS 15.5

    1. Seperti yang telah dibincangkan, apakah antara

    panduan-panduan yang boleh diikuti oleh pengurus dan penyelia ketika melaksanakan tindakan disiplin?

    Semak jawapan anda di akhir bab ini.

    Berdasarkan kepada pengalaman anda di tempat kerja, cuba anda bandingkan amalan disiplin di tempat kerja dengan teori yang anda pelajari dalam bab ini.

    15.8 RUMUSAN Disiplin yang berasal daripada perkataan Latin membawa maksud mengajar atau belajar. Fungsi utamanya adalah untuk mengekalkan keamanan dengan menetapkan had atau batasan terhadap gelagat individu yang mana boleh menggugat perjalanan organisasi. Tujuan disiplin pula adalah untuk menggalakkan gelagat yang waras ketika berada di tempat kerja dan di samping itu pekerja adalah diharapkan agar mematuhi peraturan dan undang-undang yang telah ditetapkan. Antara objektif-objektif disiplin termasuklah memotivasikan pekerja agar mematuhi peraturan serta membentuk atau mengekalkan sikap saling percaya mempercayai dan hormat menghormati antara penyelia dan pekerja. Dua jenis disiplin yang biasanya dijalankan secara formal termasuklah disiplin pembetulan dan disiplin progresif. Selain daripada itu, beberapa panduan seperti jangan bertindak ketika marah, jangan menjatuhkan harga diri pekerja dan sebagainya boleh diikuti oleh pengurus dan penyelia ketika melaksanakan tindakan disiplin.

  • 252

    SOALAN PENILAIAN KENDIRI

    1. Antara yang berikut, ciri yang manakah merupakan ciri bagi

    disiplin yang salah?

    A. Pencegahan awal B. Penyelia bertanggungjawab bagi menangani masalah

    prestasi C. Melabel pekerja daripada memberi tumpuan kepada

    gelagat D. Ciri B dan C

    2. Bagi kesalahan salah laku di luar organisasi, pengurus perlu

    mengambil kira beberapa faktor sebelum mengambil keputusan untuk memecat pekerja yang terbabit. Manakah antara berikut, BUKAN merupakan faktor tersebut?

    A. Tempoh perkhidmatan B. Hubungan antara majikan dan pekerja C. Interaksi awam D. Hubungan di antara kerja dan salah laku

    3. Disiplin yang banyak menggunakan kaunseling dan tunjuk ajar

    ialah disiplin _________.

    A. pembetulan B. progresif C. mencegah D. salah

    Semak jawapan anda di akhir modul kursus ini.

    JAWAPAN SOALAN DALAM TEKS

    SDT 15.1

    1. Disiplin yang berasal daripada perkataan Latin bermaksud

    mengajar atau belajar. Dalam industri, disiplin merujuk kepada pemantauan peraturan yang telah dibuat semasa pembangunan industri bagi mengekalkan kawalan dan arahan agar dapat

  • 253

    mencapai piawaian dan objektif yang telah ditetapkan oleh organisasi. Ia juga merujuk kepada keadaan mental atau sikap yang lazimnya terdapat dalam struktur hierarki yang berbeza yang mana bertepatan dengan peraturan dan undang-undang seperti yang telah dikuatkuasakan.

    2. Fungsi utama disiplin adalah untuk mengekalkan keamanan

    dengan menetapkan had atau batasan terhadap gelagat individu yang mana boleh menggugat perjalanan organisasi. Tujuan disiplin pula adalah untuk menggalakkan gelagat yang waras ketika berada di tempat kerja di mana majikan mengharapkan agar pekerja setia dan mematuhi peraturan dan undang-undang yang telah ditetapkan oleh organisasi. Objektif utama disiplin adalah untuk memotivasikan pekerja agar mematuhi peraturan dan mengelakkan daripada berlakunya tindakan disiplin. Objektif kedua adalah untuk membentuk atau mengekalkan sikap saling percaya mempercayai dan hormat menghormati antara penyelia dan pekerja.

    3. Majikan boleh mengambil tindakan disiplin ke atas pekerja

    apabila salah satu daripada perkara berikut berlaku:

    (a) Apabila pekerja melanggar peraturan yang telah ditetapkan oleh majikan dan/atau telah mempamerkan gelagat salah laku ATAU

    (b) Apabila pekerja gagal melaksanakan kerja mengikut piawaian yang telah ditetapkan.

    SDT 15.2

    1. Perbezaan yang terdapat antara disiplin pembetulan dan progresif

    ialah disiplin pembetulan melibatkan kauseling dan tunjuk ajar manakala disiplin progresif lebih kepada meningkatkan penalti jika kesalahan diulang oleh pekerja.

    2. Enam peringkat atau komponen yang terdapat dalam disiplin

    pembetulan ialah

    (a) mengenal pasti masalah (b) melakukan pencegahan awal (c) menjelaskan jangkaan/harapan (d) memberi maklum balas (e) mengadakan peneguhan positif (f) membuat tindakan susulan

  • 254

    3. Enam panduan yang boleh diikuti oleh pengurus apabila ingin memecat pekerja ialah

    (a) nyatakan keputusan yang telah dibuat dengan tegas dan

    tidak emosional (b) berikan alasan dengan tepat dan jujur mengapa mereka

    diberhentikan (c) tidak melibatkan diri dengan perdebatan atau perbincangan

    yang tidak produktif tentang sebab-sebab mereka diberhentikan

    (d) redakan kemarahan pekerja dengan menunjukkan pihak pengurusan juga berasa kecewa di atas tindakan yang dikenakan

    (e) jangan memberhentikan pekerja ketika anda sedang marah (f) jangan menyalahkan orang lain di atas keputusan yang

    dibuat

    SDT 15.3

    1. Antara beberapa kesalahan yang dilakukan ketika proses disiplin

    termasuklah:

    (i) disiplin mendera (ii) maklum balas negatif (iii) pencegahan yang lambat (iv) definisi yang tidak setara (v) melabel pekerja, bukannya gelagat (vi) tidak bertanggungjawab

    SDT 15.4

    1. Bagi kesalahan salah laku di luar organisasi, pengurus perlu

    mengambil kira faktor-faktor seperti hubungan salah laku dengan kerja, tempoh perkhidmatan pekerja terbabit serta hubungan pekerja dengan orang awam sebelum sesuatu keputusan untuk memberhentikan pekerja dibuat.

    SDT 15.5

    1. Antara panduan yang boleh diikuti oleh pengurus dan penyelia ketika

    melaksanakan tindakan disiplin ialah

    (a) Tekankan kepada peraturan dan bukannya kehendak personal

  • 255

    (b) Jangan menjatuhkan harga diri pekerja (c) Ingat: Tanggungjawab untuk membukti adalah terletak di

    bahu anda (d) Jangan gagal untuk mendapatkan fakta (e) Beritahu kesalahan yang telah dilakukan dengan jelas (f) Jangan bertindak ketika marah (g) Jangan berikan hukuman yang terlalu berat (h) Beri amaran (i) Pastikan disiplin yang diberikan adalah adil dan saksama (j) Dapatkan cerita daripada kedua belah pihak (k) Jangan mengalah jika anda berada di tempat yang benar (l) Jangan jadikan disiplin sebagai sesuatu yang personal