asas perlantikanddddddd

13

Click here to load reader

Upload: kitchens-mem

Post on 04-Sep-2015

237 views

Category:

Documents


4 download

DESCRIPTION

ddd

TRANSCRIPT

3.3KEDUDUKAN DAN PERANAN PENGHULU ZAMAN TRADISIONAL3.3.1ASAS PERLANTIKAN

Pada akhir abad ke-18, jawatan Penghulu adalah satu jawatan tradisional atau warisan lantikan terus oleh Raja atau DYMM Sultan untuk mengetuai sesuatu penempatan atau perkampungan. Biasanya, ketua peneroka bagi sesebuah kawasan perkampungan dilantik menjadi Penghulu. Untuk mendapat pengiktirafan atau diakui oleh Raja atau Sultan, ketua peneroka ini akan mengadap Raja atau Sultan memohon perkenan dilantik menjadi Penghulu di kawasannya. Pembukaan dan penerokaan Kg. Minyak Beku di Batu Pahat adalah satu contoh bagaimana Penghulu meneroka, membuka dan kemudiannya memohon pengiktirafan Raja atau DYMM Sultan Johor. Dengan gaya bahasa cara lama dalam penulisan Daud Sulaiman ada merakamkan kisah ini:...Dengan adanya demikian maka Daeng Ahmad itupun mengambillah pendapatan sempena, menggelar tempat kediamannya itu Kampung Minyak Beku. Pada suatu hari belayarlah Daeng Ahmad dengan orang-orangnya di sebuah perewak dari Batu Pahat ke Singapura. Setelah sampai di tentang rumah Datuk Temenggung Abdul Rahman Seri Maharaja, maka Daeng Ahmad itupun memberhentikan perewaknya dan naik ke darat menuju rumah Datuk Temenggung dan mengadap Datuk Temenggung dan menyembahkan perihal menjajah laut selat Melaka dan berbuatlah tempat kediaman di Kampung Minyak Beku di Batu Pahat. 000

Tradisi dan kaedah perlantikan terus apabila meneroka dan membuka sesebuah kampung ini kekal digunakan terutamanya semasa pemerintahan Temenggung Abu Bakar. Pada tahun 1855, Duwasim bin Muhamad Said menjadi Penghulu Simpang Kiri. Beliau telah membuka beberapa buah kampung di Simpang Kiri. Di Simpang Kanan Pula, pada tahun 1862, Penghulu Rahmat Bin Ragam telah menetapkan kampung Penggaram. Berikutan dari perkembangan kampung di sekitarnya, Penghulu Rahmat melantik beberapa orang penolongnya yang memakai gelaran Menteri iaitu Penolong. Kampung-kampung boleh juga dibuka dengan izin atau pemberian penghulu atau orang kaya di suatu kampung penghulu yang asal atau kawasan penghulu yang berhampiran. Hal ini terbukti di Muar di dalam kes Haji Omar meminta izin dari Orang Kaya Mohd Yusof:

Adalah asal tempat itu hutan betul kalau tak salah hutan kerajaan sekadar regang pelan Orang Kaya (Yusof) hendak menggali Parit Perupuk menghubung parit yang sama saya muafakat dengan Orang kaya maka diberilah kepada saya hutan itu...00

Selepas membuka hutan itu, Haji Omar mengadap Maharaja Johor, kemudiannya Penghulu Haji Omar dilantik secara rasmi sebagai Penghulu di situ.

Sehingga akhir abad ke-19, sistem perlantikan Penghulu adalah berasaskan kepada sistem perwarisan. Dalam sistem perwarisan ini, sekiranya bekas Penghulu itu tidak mempunyai anak atau adik-beradik yang sesuai, maka jawatan itu boleh diperturunkan kepada mana-mana saudara dekat bekas Penghulu itu, terutama menurut titisan darah sebelah lelaki ataupun sesiapa sahaja yang diaanggap mempunyai darah Penghulu. Lantaran itu, jika seseorang dari satu-satu keluarga dilantik menjadi Penghulu, maka kita boleh membuat andaian bahawa keluarga itulah yang akan mewarisi rol itu, kerana kedudukan keluarga itu akan diperkukuhkan dari masa ke masa supaya rol itu akan sentiasa diwarisi dan dipusakai oleh mereka. Dengan itu, faktor keturunanlah yang paling dominan dalam proses pemilihan dan pergantian Penghulu tradisional.

Walau bagaiamanapun perlu juga ditegaskan bahawa seseorang itu biarpun dari keturunan Penghulu, tidak akan dapat menjadi Penghulu jika tidak diperkenankan oleh Sultan. Ia harus mendapatkan legitimasi dari Sultan melalui isitadat penganugerahan surat tauliah. Oleh itu tidak hairanlah apabila diperkatakan bahawa sistem perwarisan ini kebanyakan Penghulu yang mewarisi jawatan berkenaan adalah berkenaan atau berhubung rapat dengan Sultan. Dalam hal ini, Burridge di dalam Jurnalnya Rural Administration in Johore ada menyatakan:0They had ability, but they also had some kind of personal connectionWith the Sultan...

Kebanyakan Penghulu zaman tradisional ini pada kebiasaannya mendapat sokongan dari orang atasan dalam hirarki politik. Dari segi logiknya, ini memanglah benar kerana sudah tentu pembesar daerah akan melantik Penghulu yang akan taat dan menjalankan pentadbiran kampung dengan memuaskan. Dengan sendirinya ini akan memudahkan lagi sistem pentadbiran politik waktu itu. Selain dari mendapat sokongan orang atasan dalam hiraki politik, seseorang Penghulu juga perlu mendapatkan sokongan penuh daripada penduduk kampung. Dengan itu wajarlah kalau dikatakan Penghulu itu bersaudara dengan sebahagian orang kampung, seperti digambarkan oleh Bailey dalam kajiannya di Sik Kedah, bahawa penduduk dimukim itu not just people but relatives.1 Frank Swettenham pula menggambarkan Penghulu-Penghulu sebelum British campurtangan didasarkan atas kekuasaan tempatan sebagai:2

Dalam tiap-tiap buah kampung di Perak sepatutnya terdapat seorang Penghulu. Jawatan ini mungkin diwarisi dari bapanya ataupun dari keluarganya yang terdekat. Orang kampung bersimpati dengannya, dia secara peribadi dikenali semua orang, mempunyai ramai saudara mara, pengaruhnya banyak atau sedikit bergantung pada banyak sedikit kaum keluarganya atau bilangan pengikutnya, pada wataknya, pada lamanya ia memegang jawatan, pada kedudukannya, menurut pandangan Raja atau banyaknyaharta milik sendiri.

Dari petikan di atas dapatlah dikatakan bahawa Penghulu pada zaman tradisional juga merupakan orang terkaya anggota kumpulan keluarga yang ramai dan terkemuka dalam kampung atau mempunyai martabat yang tinggi, dengan kebolehannya sendiri. Selain daripada itu asas pemilihan Penghulu juga berdasarkan pada mereka yang sudah cukup umur kira boleh kahwin, 100% rakyat pribumi, kuat peribadi, bekerjasama dan berpegang kuat kepada agama. Hal keagamaan menjadi keutamaan dan wajib dipatuhi oleh Penghulu. Penghulu ditetapkan supaya patuh ajaran Islam seperti menunaikan solat, berpuasa dalam bulan Ramadhan dan mendirikan solat Jumaat. Perkara tentang kewajiban menunaikan ibadat ini juga dikuatkuasakan terhadap anak buah Penghulu. Penghulu juga dikehendaki memyuruh anak buahnya mengerjakan segala suruhan Allah dan meninggalkan segala kemungkaran yang dilarang oleh Allah.

Secara keseluruhannya sistem perlantikan Penghulu pada zaman tradisional adalah diasaskan pada sistem pewarisan dan ini dengan sendirinya mengenepikan faktor kelulusan akademik dan pelajaran. Apa yang lebih penting adalah faktor keturunan, kekayaan serta pengiktirafan Sultan dan rakyat terhadapnya. Pentingnya faktor perwarisan ini amat jelas dalam sistem pemilihan Penghulu di daerah Naning sebagai contoh, di mana Penghulu mestilah terdiri dari mereka yang berketurunan Suku Malenggang Taboh.3 Mereka yang berketurunan selain daripada suku tersebut tidak layak memegang jawatan Penghulu.

3.3.2KUASA DAN KEWIBAWAAN

Penghulu merupakan individu yang sangat penting dalam sistem pentadbiran masyarakat di Johor. Penghulu pada zaman tradisional melaksanakan tugas-tugasnya melalui kuasa dan kewibawaan yang diberikan oleh Sultan. Kuasa dan kewibawaan ini dimanifestasikan melalui surat tauliah yang dianugerahkan oleh Sultan. Anugerah ini pula merupakan jaminan bahawa seseorang Penghulu adalah wakil Sultan dan justeru itu menentukan kuasa, tugas dan obligasi yang diasosiasikan dengan kedudukannya sebagai seorang Penghulu yang berwibawa. Surat tauliah ini adalah sebagai surat iringan kepada surat tugasan sebagai Penghulu.

Dalam konteks pentauliahan Penghulu, surat tauliah ini merupakan satu jenis dokumen penyerahan kuasa tanah secara rasmi dari Sultan kepada Penghulu terhadap pembangunan tanah di kawasan seseorang Penghulu itu tinggal.4 Bagi mengukuhkan dan memberi gambaran mendalam mengenai hubungan tanah dengan kuasa raja-raja, titah secara rasmi dan bertulis seperti surat tauliah ini dikeluarkan bersama-sama dengan lantikan beberapa orang kaya dan Penghulu. Kedua-dua pembesar tempatan ini menjalankan tugas yang sama tetapi orang kaya selain menjadi Penghulu kawasan, orang kaya juga merupakan salah seorang pembesar di dalam Istana, walhal Penghulu Besar hanya pembesar kawasan kampung atau mukim.

Sultan Johor turut meletakkan asas kesetiaan dua hala dalam surat tauliah tersebut. Dalam konteks ini, anak buah dikehendaki taat kepada perintah Penghulunya. Penghulu juga diberi tanggungjawab menasihatkan anak buahnya dalam hal berkaitan ekonomi, contohnya cara mengusahakan tanah dan bertani. Anak buah merupakan amanah yang perlu dijaga oleh setiap Penghulu. Setiap perkara yang diingini oleh anak buah akan dituruti oleh setiap Penghulu. Penghulu akan mengemukakan permohonan kepada kerajaan sekiranya anak-anak buah di kawasan jagaanya ingin membuka tanah. Terdapat pelbagai permohonan tanah yang berlaku dalam zaman tradisional ini. Sebagai contoh, Abd Kadir bin Rahmat yang menjadi Penghulu di Simpang Kanan, Batu Pahat mengajukan permohonan anak-anak buahnya untuk mendapatkan tanah sebanyak 2.5 ekar daripada kerajaan.6 Tujuan tanah ini dipohon adalah untuk mengusahakan penanaman getah dan penanaman kelapa sawit.

Dari sudut yang berlainan, Penghulu juga bertanggungjawab membantu mengajukan permohonan kepada kerajaan melalui Pejabat Tanah dan Galian untuk mendapatkan salinan geran tanah bagi anak-anak buahnya. Sebagai contoh, permohonan daripada Yusop bin Abdullah, Penghulu Sri Gading memohon geran bagi anak buahnya yang bernama Aniah binti Musa.7 Orang kaya Asrakal bin Ismail yang menjadi Penghulu di Minyak Beku juga aktif mengemukakan permohonan untuk anak buahnya dan dirinya sendiri bagi mendapatkan geran tanah daripada Pejabat Tanah dan Galian. Contohnya, pada 12 Mac 1925, beliau mengajukan permohonan mendapatkan salinan geran tanah yang dimilikinya dan diusahakan dengan tanaman getah dan kelapa sawit. Dalam permohonan salinan geran ini, orang kaya Asrakal turut menjelaskan tentang salah faham yang timbul kerana tanpa geran asal, sempadan sesuatu kawasan tanaman itu sukar diketahui oleh pemilik tanah. Hal ini menunjukkan kepentingan peranan Penghulu dalam membantu anak buahnya dan dirinya sendiri dalam mendapatkan salinan geran tanah di dalam sesebuah kawasan dan mukim.

Aspek keamanan juga berada di bawah lingkungan tanggungjawab seseorang Penghulu. Dalam kerajaan Johor, Penghulu dikehendaki membantu pihak polis untuk mewujudkan keadaan yang aman dan sejahtera. Sekiranya ada banduan dari Johor atau banduan dari Singapura melarikan diri, Penghulu atau anak buah Penghulu perlu menangkap dan menyerahkan ke balai polis yang berhampiran apabila menjumpainya. Namun, dalam keadaan tertentu, Penghulu juga tertakluk kepada asas kemanusiaan seperti yang tertulis dalam surat tauliah. Surat tauliah menyatakan bahawa

hendaklah engkau menolong akan orang-orang yang teraniaya dengan seberapa kuasa.8

Hal ini menunjukkan Penghulu perlulah membantu individu yang teraniaya dengan menggunakan kuasa yang mereka ada. Justeru, meskipun Penghulu diberi kuasa memerintah kawasannya, Penghulu tidak boleh bertindak sewenang-wenangnya kerana anak buah Penghulu berhak mengadu kepada kerajaan. Sekiranya terdapat perbuatan Penghulu yang dianggap kurang munasabah dan perintah Penghulu yang berlawanan dengan hukum syarak, maka anak buahnya boleh membuat aduan kepada kerajaan.

Dalam zaman tradisional ini, minda masyarakat di kawasan perkampungan Melayu masih tertutup dan konsep kesetiaan kepada raja dan Penghulu sebagai wakil raja masih menebal. Justeru, kebanyakan Penghulu mematuhi arahan kerajaan. Malahan, tugas Penghulu dianggap tidak sempurna jika Penghulu tidak aktif di dalam kawasan jagaanya. Kesejahteraan dan kemajuan sesebuah kampung biasanya bergantung kepada seseorang Penghulu. Contohnya, Penghulu Jaafar bin Sidik berusaha membantu penduduk kampung di Bagan yang bekerja sebagai nelayan dengan meminta kerajaan supaya membenarkan penduduk kampung membuat sebuah bangsal yang di atas tanah reserve kerajaan. Tanah itu terletak di tepi laut Parit Salam. Lokasi tersebut terpilih kerana sesuai menjadi tempat perhentian nelayan sementara menanti air pasang dan surut. Atas usaha Penghulu Jaafar bin Sidik ini, maka kerajaan Johor menetapkan supaya Penghulu diberi gelaran orang kaya-kaya supaya dipandang oleh masyarakat.9 Justeru, bilangan orang kaya-kaya di Johor terbatas sehingga akhir abad ke-19. Pada akhir abad ke-19, hanya terdapat beberapa orang pemimpin unit pentadbiran yang bergelar orang kaya-kaya. Contohnya di Muar, Penghulu di Padang, Parit Raja, dan Parit Bakar. Di Batu Pahat pula, kawasan dimana Penghulu yang mempunyai gelaran orang kaya-kaya terdapat di Minyak Beku dan Bagan. Manakala di Pontian, kawasan yang mempunyai Penghulu bergelaran adalah di Benut sahaja. Cara ini membolehkan taraf orang kaya-kaya lebih tinggi daripada Penghulu biasa. Namun jumlah jawatan dan gelaran Penghulu adalah tidak dihadkan sama sekali.

3.3HUBUNGAN PENGHULU DAN MASYARAKAT

Walaupun wujud perubahan di dalam sistem perlantikan Penghulu yang telah diterangkan di bahagian sebelumnya, namun Penghulu sebagai ketua pentadbir di kawasan mukimnya adalah tetap unggul. Kuasa dan kewibawaan Penghulu juga tetap menjadi disanjung oleh setiap masyarakat dibawah jagaanya. Penghulu dengan cara yang tersendiri masih bertindak sebagai pemimpin dan penaung, hakim, pendamai, dan penggalak kepada kemajuan dan pembangunan anak buahnya. Tugas dan peranan Penghulu terutama yang berkaitan dengan hal ehwal tanah dan pembangunan amat besar ertinya dalam menentukan maju-mundurnya pentadbiran di sesuatu kawasan mukim itu. Dalam menjalankan tugas dan peranan yang diamanahkan oleh setiap Penghulu, maka setiap Penghulu sudah semestinya berhubung dengan semua lapisan masyarakat. Perhubungan yang erat dan rapat perlu diterapkan oleh setiap Penghulu agar pentadbiran yang maju dapat dicapai. Dalam hubungan Penghulu dengan masyarakat, secara amnya Penghulu bertanggungjawab kepada tiga kelompok masyarakat iaitu Sultan, pemimpin tempatan dan anak buahnya. Perbincangan seterusnya adalah melihat kedudukan, hubungan dan peranan Penghulu dengan Sultan.

3.3.1PENGHULU DAN SULTAN

Hubungan Penghulu dengan Sultan sebelum abad ke-19 adalah amat rapat dan mesra. Ini kerana Sultan mempunyai kuasa tertinggi dalam perlantikan dan memberhentikan seseorang penghulu itu. Kedudukan dan kuasa Penghulu pada tahap ini adalah lebih tinggi daripada pegawai kerajaan yang lain. Di negeri Johor, Maharaja Johor telah menetapkan bahawa Penghulu hendaklah dipilih dari rakyat baginda dan mestilah menunjukkan taat setia yang tidak berbelah bagi kepada Maharaja Johor itu. Dari segi peranannya, Penghulu bertindak sebagai wakil raja di peringkat kampung dan bertanggungjawab terhadap segala tugas yang berkaitan dan yang diarahkan oleh Sultan kepadanya. Umpamanya Penghulu bertugas sebagai pemungut cukai dan hasilnya akan diserahkan kepada Sultan. Penghulu akan menerima pendapatan iaitu bergantung kepada hasil cukai yang diperolehi itu. Selain memungut cukai, Penghulu juga hendaklah menyediakan orang-orang kampung untuk membuat kerja-kerja yang diarahkan oleh Sultan. Biasanya kerja-kerja Sultan ini tidak diberi gaji, hanya sekadar diberi sedikit makan dan minum semasa bekerja. Sistem kerja itu dikenali dengan nama sistem kerah. Dalam sistem kerah ini golongan bangsawan, sayid-sayid, petugas-petugas agama dan ketua kampung tidak dikehendaki membuat kerja-kerja kerah itu. Sistem kerah ini bukan sahaja dilakukan untuk Sultan tetapi juga untuk pembesar dan Penghulu itu sendiri. Sebagaimana Sultan, kerja-kerja untuk pembesar juga adalah tidak terhad. Pengerahan tenaga penduduk kampung itu termasuklah dalam kerja-kerja pembinaan jalan raya, parit-parit, masjid dan sebagainya. Walaupun begitu, seorang pembesar dan Penghulu dilarang oleh Sultan daripada menggunakan sistem kerah ini jika mereka tidak mampu untuk menyediakan makanan yang secukupnya. Sultan boleh mengambil tindakan terhadap pembesar dan Penghulu yang menggunakan sistem kerah itu untuk kepentingan peribadi tanpa menghiraukan kebajikan para pekerja yang terdiri daripada penduduk kampung dan mukimnya. Penghulu di bawah pengawasan secara langsung Sultan juga berhak dan dibenarkan menghakimi segala pertelingkahan yang berlaku di mukimnya kecuali yang berkaitan dengan jenayah berat. Namun dalam tahun 1917, hubungan di antara Penghulu dengan Sultan mulai berkurangan terutamanya selepas Penghulu-penghulu diserapkan di dalam jentera pentadbiran kerajaan. Pada tahap ini walaupun perlantikan Penghulu masih lagi di dalam kuasa Sultan namun, bidang kuasa dan peranan Penghulu telah diawasi oleh pegawai kerajaan iaitu tertakluk kepada arahan pegawai daerah dan pegawai di pejabat tanah. Perbincangan akan dilanjutkan dengan meneliti hubungan Penghulu dengan pegawai daerah dan pegawai kerajaan yang lain bagi memastikan perjalanan jentera pentadbiran di peringkat kampung dan mukim berjalan dengan baik dan lancar.

3.3.2PENGHULU DAN ANAK BUAHNYA

Penghulu mempunyai hubungan dan tanggungjawab yang tersendiri terhadap anak buahnya. Tugasnya merangkumi aspek rohani dan jasmani bagi memastikan anak buah merasa aman dan selesa di dalam pentadbirannya. Dalam usaha untuk membangunkan ekonomi anak buahnya, Penghulu perlulah selalu menasihati dan menggalakkan usaha yang berkaitan dengan pertanian dan tanah itu sendiri. Penghulu juga bertindak untuk memastikan bahawa tanah pertanian itu diusahakan bertepatan seperti yang telah dipersetujui. Umpamanya tanah yang telah ditetapkan untuk tanaman getah hendaklah ditanam getah dan jika ditanam selain daripada getah, tanah tersebut haruslah terlebih dahulu mendapat kebenaran daripada pegawai daerah dan pejabat tanah melalui Penghulu-penghulu. Sebagai sebuah negeri yang berpegang teguh kepada ajaran agama Islam, perkara yang berkaitan dengan keagamaan sangat diutamakan dalam surat tauliah Penghulu yang dikurniakan oleh Sultan. Penghulu dikehendaki mengerjakan ibadat seperti sembahyang terutamanya sembahyang berjemaah dan juga berpuasa. Penghulu juga hendaklah mengamalkan perkara yang disuruh oleh agama Islam dan menjauhkan segala larangan. Dalam hal keagamaan ini, Penghulu dimestikan menyuruh anak buahnya supaya turut sama mengerjakan segala tuntutan agama dan seboleh-bolehnya meninggalkan segala larangannya. Dalam menggalakkan kerja-kerja keagamaan, ada Penghulu dengan daya usahanya sendiri telah mengusahakan pembinaan masjid di kawasan pentadbirannya. Ini terbukti dengan kes Penghulu Haji Ahmad Bin Haji Yaacop, Penghulu kawasan Ulu Muar iaitu beliau telah meminta kerajaan supaya mendirikan masjid di tanah rezab kerajaan yang ada di kawasan mukimnya. Permintaan Penghulu ini telah dipersetujui oleh kerajaan dan terbinalah dua buah masjid di mukimnya iaitu satu di Kampung Lenga iaitu sebuah kampung di tepi Sungai Muar dan satu lagi dibina di sebuah kampung bernama Kampung Gumbang, berhampiran dengan pekan tersebut. Di peringkat yang lebih tinggi, Penghulu juga mestilah mempunyai hubungan yang rapat dengan petugas-petugas agama. Penghulu juga dalam beberapa kes bertindak sebagai petugas agama seperti menjadi amil atau ketua kepada beberapa orang amil dalam mukimnya untuk memungut zakat. Hubungan dengan kadi dan naib kadi adalah sangat diperlukan bagi menyelesaikan masalah dan kelemahan masyarakat dalam menjalankan hukum syariat. Penghulu dan kadi biasanya bekerjasama dalam usaha membanteras ajaran-ajaran yang bertentangan dengan Islam di kampung-kampung dalam kawasan pentadbirannya itu. Dalam keseluruhan hubungan Penghulu dengan pertugas-petugas agama ini, hubungan penghulu dengan imam adalah yang paling rapat dan penting sekali. Kedua-duanya saling mempengaruhi semasa menjalankan tugas masing-masing. Imam biasanya dipandang tinggi dan mendapat kedudukan yang istimewa di dalam masyarakatnya. Sokongan imam kepada seseorang Penghulu sedikit sebanyak mempengaruhi sokongan anak buah kepada pemimpin mereka. Imam biasanya dipilih daripada keluarga yang baik-baik dan seringkali bertindak sebagai penasihat kepada Penghulu secara tidak langsung. Sementara imam memerlukan sokongan dari Penghulu untuk mengekalkannya dalam jawatan tersebut. Hubungan Penghulu-imam sehingga kini masih dianggap penting kerana selain Penghulu, imam juga menjadi tempat rujukan masyarakat setempat apabila berlaku sesuatu persengketaan di antara penduduk. Oleh itu, kerjasama antara keduanya amatlah perlu untuk sama-sama menyelesaikan masalah yang dialami oleh penduduk di sekeliling mereka. Selain daripada itu, Penghulu juga haruslah menjalinkan hubungan dengan petugas agama yang lain seperti khatib dan bilal agar segala hal yang berkaitan dengan keagamaan dapat dijalankan dengan lancar. Dari segi menjamin keselamatan, Penghulu juga dikehendaki membantu pihak polis dalam mewujudkan keamanan di kawasannya. Dalam surat tauliah, perlantikan telah ditetapkan bahawa Penghulu hendaklah menyerahkan banduan Johor dan Singapura yang lari apabila ditemui dan diserahkan kepada rumah-rumah pasung yang berdekatan. Penghulu juga diberi kuasa untuk menangkap mereka yang melanggar undang-undang untuk diserahkan kepada Sultan untuk diadili. Dalam soal perselisihan yang kecil, Penghulu dianggap sebagai pendamai dan katanya adalah satu kata pemutus dan hendaklah diterima oleh anak buah yang terlibat. Penghulu juga bertanggungjawab terhadap keluar masuk penduduk mukimnya untuk memastikan keselamatan terus terjamin. Dengan perubahan dalam sistem perlantikan Penghulu, maka kuasa Penghulu juga berkurangan. Sekarang Penghulu tidak lagi sebagai pemutus kepada suatu perselisihan di antara anak buahnya, sebaliknya hanya berkuasa menyelesaikan kes yang dendanya tidak melebihi dua puluh lima ringgit. Bidang kuasa ini jarang digunakan oleh Penghulu kerana Penghulu lebih suka menyerahkan kes-kes jenayah ini kepada pihak polis. Penghulu juga bertanggungjawab terhadap keselamatan harta benda Sultan dan juga kerajaan seperti kemudahan-kemudahan asas iaitu balai raya, klinik, masjid dan surau serta lain-lain lagi. Sementara itu, Penghulu perlu memastikan keselamatan dari segi gangguan binatang liar di kampungnya. Untuk memastikan keselamatan penduduk dan punca pendapatan anak buahnya, Penghulu perlulah bertindak. Ini terbukti dengan kes Penghulu Ahmad Bin Tandang iaitu Penghulu Durian Condong yang telah meminta supaya diberi pas kebenaran kepadanya untuk membunuh rusa liar yang telah merosakkan hasil tanaman penduduk kampung tersebut. Daripada keterangan ini jelas menunjukkan kepada kita bahawa Penghulu bukan sahaja bertanggungjawab memastikan keselamatan dari segi jiwa tetapi juga harta dan tanaman anak buahnya. Dari segi pendidikan pula, Penghulu hendaklah mengambil tahu tentang anak-anak di dalam mukimnya yang telah layak untuk mendapat pendidikan. Penghulu juga berhak untuk membuat aduan kepada pihak pejabat pelajaran jika ada ibu bapa yang tidak mahu membenarkan anaknya mendapat pendidikan di sekolah tanpa ada alasan yang munasabah. Untuk menggalakkan perkembangan pendidikan pada tahun 1911, Penghulu Seri Menanti, Sungai Balang dan Sungai Pulai telah berpakat mendirikan sebuah sekolah di suatu tempat yang sama jarak di antara kawasan kepenghuluan mereka. Dalam hal ini, kerajaan hanya bertanggungjawab menghantar dua orang guru dan meluluskan peruntukan sebanyak sertaus enam puluh satu ringgit untuk membeli peralatan sekolah tersebut. Di Segamat pula, Penghulu Kampung Tenang dan Naib Penghulu di Buluh Kasap telah mendirikan sekolah di kawasan masing-masing. Dalam bidang pendidikan dapat kita pastikan bahawa penghulu-penghulu Muar telah turut sama memainkan peranan yang penting dalam membangunkan pendidikan di kawasan mereka. Umpamanya Penghulu Muar dan Penghulu daerah lain telah memohon kerajaan membantu anak Melayu yang bersekolah di Madrasah Islam di Johor dengan diberi wang saku sebanyak sepuluh ringgit setahun. Permintaan ini telah diluluskan oleh pihak pemerintah Johor pada masa itu.Dalam kes Penghulu Meng Bin Surat iaitu Penghulu Kampung Jementah, beliau telah memohon bagi pihak penduduk kawasannya supaya kerajaan membina sebuah sekolah Melayu bersama dengan penghantaran guru kerana di kawasan tersebut terdapat lebih daripada empat puluh orang kanak-kanak yang sudah layak untuk memasuki alam persekolahan. Sekolah itu dicadangkan dibina di tanah kepunyaan Naib Penghulu kawasan tersebut. Permintaan ini juga telah diperkenankan oleh pihak kerajaan. Pendidikan merupakan asas terpenting bagi mewujudkan sebuah masyarakat yang maju, dengan itu Penghulu sebagai pemimpin yang mementingkan kemajuan pembangunan masyarakatnya tidak akan membiarkan anak buahnya membesar tanpa mendapat pendidikan yang selengkapnya.Selain mempunyai tugas-tugas yang khusus seperti yang dihuraikan di atas, Penghulu juga bertindak sebagai ketua adat dan perlulah selalu mewujudkan suasana kerjasama di antara anak buahnya. Penghulu dikehendaki bersikap adil terhadap seluruh anak buahnya tanpa mengira kedudukan dan taraf seseorang itu. Perbincangan terhadap tugas dan peranan Penghulu ini membantu kita memahami dengan lebih dekat lagi tugas sebenar seorang penghulu itu. Jelas di sini bahawa Penghulu merupakan seorang yang bertanggungjawab hampir kepada seluruh kelompok yang berada di dalam atau sekitar kawasan pentadbirannya. Ini membuktikan bahawa Penghulu bukan sahaja sebagai penghubung di antara anak buahnya dengan pemerintah tetapi telah bersaudara dengan semuanya. Sebab itulah institusi Penghulu masih dapat dipertahankan sehingga hari ini walaupun sentiasa mengalami perubahan. Kesimpulannya yang dapat dikutip dari keseluruhan perbincangan bab tiga ini ialah jelas terbukti kepada kita betapa pentingnya peranan Penghulu itu dalam menghubungkan pemerintah dengan rakyat, memajukan rakyat dan sebagai penyampai masalah dan kehendak rakyat di peringkat kampung agar terus diberi perhatian oleh pemerintah. Dengan penjelasan ini dibuktikan keunggulan Penghulu sebagai pemerintah atau ketua di peringkat kampung walaupun sentiasa mengalami perubahan dan memperoleh pendapatan yang kurang setimpal dengan tanggungjawab yang diamanahkan kepada mereka. Seterusnya perbincangan akan meneliti perubahan-perubahan yang berlaku terhadap institusi Penghulu di negeri Johor khasnya di Muar sehingga menjelang Perang Dunia Kedua. Perubahan yang dilakukan adalah selaras dengan perubahan dan perkembangan yang berlaku di dalam sistem pentadbiran pusat di Johor Bahru.